TQ Wuling mulakan pemasangan Bingo EV di Malaysia

TQ Wuling mengumumkan permulaan program pemasangan tempatan (CKD) bagi model TQ Wuling Bingo EV di Malaysia.

Hatchback elektrik kecil itu dipasang di kilang milik Kumpulan Tan Chong yang terletak di Segambut.

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran EV global daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas Kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan khas untuk pasaran Malaysia.

Menurut Wan Wei Sun selaku Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, “Permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran sebuah model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan kami terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan hab pengeluaran.

“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, kami membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan serta meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

TQ Wuling Bingo EV 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM62,800 selepas rebat

TQ Wuling yang merupakan jenama kerjasama antara Tan Chong Motor Holdings Berhad dan SAIC-GM-Wuling melancarkan model kenderaan elektrik mampu milik, iaitu Bingo EV.

Hatchback elektrik kompak ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Bingo Pro dengan harga RM67,800, sementara varian Bingo Max pula dari RM72,800.

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling turut menawarkan rebat tunai bernilai RM5,000.

Ini bermakna, harga jualan selepas rebat bermula dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan RM67,800 untuk Bingo Max.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,706 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda 2,560 mm.

Secara standard, EV ini dibekalkan dengan rim 15 inci dengan tayar 185/60 R15.

Ruang kargo pula adalah sebesar 395 liter dan boleh mencapai kapasiti 1,240 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

2. Motor elektrik & bateri

Kereta elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan kuasa 68 PS dan 150 N.

Terdapat empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.

Varian Pro hadir dengan bateri LFP 31.9 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 333 km, sementara varian Max pula dilengkapi bateri 37.9 kWh dengan jarak pandu mencecah 410 km.

 

3. Pengecasan

Bingo EV menawarkan pengecasan AC 7 kW di mana bateri boleh dicas 0-100 peratus dalam masa 4.5 jam (5.5 jam untuk varian Max).

Kedua-dua varian turut menyokong pengecasan pantas DC 70 kW, dengan pengecasan 30-80 peratus SoC dalam tempoh kurang 35 minit.

 

4. Luaran

TQ Wuling menawarkan tiga pilihan warna dua tona, iaitu Lavender Purple, Neon Blue dan Milky White dengan gandingan bumbung warna hitam.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED dengan DRL berbentuk X, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, serta lampu membelok pada perumah cermin sisi.

 

5. Kabin

Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin instrumen 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, roda stereng balutan kulit, serta sistem audio dengan empat pembesar suara.

Selain itu, tempat duduk pemandu diberikan larasan enam tahap berkuasa elektrik, diikuti dengan balutan upholsteri leatherete berliang.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Amaran Titik Buta, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto-Hold, kamera undur, cagak ISOFIX serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

6. Lima manfaat untuk 500 orang pelanggan pertama

Bersempena dengan pelancaran, TQ Wuling menawarkan lima manfaat bernilai lebih RM12,000 kepada 500 orang pelanggan pertama termasuklah:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Jaminan bateri EV selama 8-tahun atau 120,000 km serta jaminan motor pemacu 8-tahun/160,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Ansuran bulanan serendah RM625 menerusi institusi kewangan terpilih
  • Pakej pengecas EV rumah 7 kW percuma, pengecas mudah alih percuma dan pakej tinted solar premium TQ
  • Faedah insurans dan perlindungan EV menarik oleh panel insurans terpilih

TQ Wuling Bingo EV dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025

Tan Chong Motor Group dan SAIC-GM-Wuling baru-baru ini mengadakan kerjasama strategik, membentuk satu jenama EV baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu TQ Wuling.

Produk pertama yang bakal dipasarkan pada suku keempat (Q4) tahun ini ialah sebuah kereta elektrik bandar, TQ Wuling Bingo EV.

EV comel ini akan dipasang secara CKD di kilang Tan Chong Segambut, dengan harga jualan anggaran di bawah RM100,000.

Setakat ini, TQ Wuling tidak mendedahkan spesifikasi rasmi EV tersebut.

Namun di pasaran luar, Bingo EV dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 68 PS dan 150 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri disediakan, iaitu 31.9 kWh dengan jarak pandu sejauh 333 km, sementara pek bateri 37.9 kWh pula membenarkan pemanduan sejauh 410 km.

Bingo EV menyokong pengecasan AC di mana bateri boleh dicas penuh dalam masa 6.5 jam, serta pengecasan pantas DC yang boleh diselesaikan dalam tempoh masa 35 minit sahaja (30-80 peratus).

Bingo EV membawakan ukuran dimensi sepanjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Ini bermakna, Bingo EV mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Proton e.MAS 5 walaupun mempunyai jarak antara roda yang sama panjang.

Adakah TQ Wuling Bingo EV mampu menjadi pesaing hebat kepada Proton e.MAS 5 serta EV pertama Perodua kelak?