SYM Malaysia umum warna baharu untuk Husky 150 SE, harga RM10,598

Bersempena dengan tahun baru, SYM Malaysia mengumumkan empat warna baharu untuk skuter SYM Husky 150 SE.

Empat warna yang dimaksudkan itu ialah Indigo Blue, White, Matt Grey dan Glossy Green.

 

Skuter ini boleh didapati di semuap pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia pada harga RM10,598 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

SYM Husky 150 SE dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.5 Nm @ 6,000 rpm dengan padanan transmisi CVT.

Antara ciri yang ada pada Husky 150 SE ialah:

  • fork teleskopik depan/penyerap hentak tunggal belakang
  • sistem tanpa kunci
  • paparan meter digital
  • lampu depan dan belakang LED
  • storan bawah pelana 22 liter
  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 785 mm
  • ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS)

SYM Naga 155 2025 muncul di Malaysia – harga RM8,888

Sebuah lagi model baharu keluaran SYM dilancarkan oleh pihak Mforce Bike Holdings, iaitu skuter Naga 155 2025.

Dijual pada harga RM8,888, SYM Naga 155 boleh didapati dengan empat pilihan warna iaitu Matte Green, hitam, putih dan perak.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.6 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.2 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 13 Nm @ 7,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Suspensi Naga 155 terdiri daripada fork hadapan teleskopik dengan jarak pergerakan 90 mm, diikuti unit penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan roda 37 mm).

Brek pula menggunakan rotor tunggal 260 mm di depan, diikuti dengan rotor 233 mm di belakang sementara ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah rim 13 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter digital, sistem tanpa kunci, serta kehadiran port pengecas USB QC 3.0 Type-A dan Type-C.

Berat keseluruhan cuma 144 kg, kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7.3 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm.

SYM VFE 185i 2025 mendarat di Malaysia – harga RM9,988

Pasaran motosikal Malaysia dihangatkan lagi dengan pelancaran model kapcai berkapasiti tinggi oleh Mforce Bike Holdings, iaitu SYM VFE 185i.

Moped ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 183 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 19.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 17.5 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan (jarak pergerakan 80 mm) dan penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan 32 mm).

Brek pula terdiri daripada rotor bersaiz 250 mm di depan dan rotor 200 mm dibelakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan termasuklah rim 17 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter jenis LCD, sistem kunci pintar, serta kehadiran port pengecasan USB Type-A QC 3.0.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm. Berat keseluruhan cuma 135 kg, menjadikannya mudah untuk dikawal.

Ditawarkan dengan harga RM9,988, VFE 185i ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hijau dan juga biru.

SYM Cruisym 400i 2025 rasmi di Malaysia – harga RM27,888

Mforce Bike Holdings melancarkan skuter maxi terbaharu di bawah jenama SYM, iaitu Cruisym 400i 2025 bersempena acara Mforce Mid-Autumn Gala dengan harga jualan RM27,888.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc menghasilkan 33.5 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT.

Casis kerangka buaian keluli skuter ini disokong dengan suspensi jenis teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang.

Brek pula menggunakan rotor 288 mm di depan dan 275 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah skrin paparan TFT, sistem kunci pintar, slot pengecasan USB Type-C, Type A dan soket 12V, lampu LED depan belakang, ruang storan bawah pelana, kamera perakam tunggangan depan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras manual, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 14.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 785 mm.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Space Grey, Dark Night Purple dan Dreamy White.

SYM ADXTG 400 rasmi di Malaysia – harga RM29,888

Sebuah lagi skuter dilancarkan oleh MForce Bike Holdings, iaitu skuter kembara SYM ADXTG 400 2025.

Menurut SYM, penampilan dan rekaan agresif skuter ini banyak diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah, terutama pada bahagian lampu hadapan dan belakang yang agak tajam itu.

 

ADXTG 400 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc sejukan cecair dengan kuasa 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm.

Teknologi Hyper-VVS menyumbang kepada tahap penggunaan bahan api yang lebih ekonomi serta prestasi yang mengujakan.

Ciri unik untuk skuter ADXTG 400 ini ialah penggunaan dua aci pengimbang untuk mengurangkan kesan gegaran, fork hadapan jenis terbalik dan tetapan multi-link untuk roda belakang.

Selain itu, unit roda belakang dipacu dengan sistem rantai, bukannya tali sawat seperti kebanyakan skuter yang ada di pasaran.

Terdapat mod tunggangan off-road, sistem brek ABS, kawalan cengkaman untuk memastikan keselamatan terjamin di atas jalan.

Ciri lain yang tersedia termasuklah sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, pengecasan pantas USB 3.0, ruang storan bawah pelana 32 liter, penghadang angin boleh laras manual, tinggi pelana 790 mm serta lengkap dengan pelindung bar hendal dan enjin.

Mforce mengumumkan SYM ADXTG 400 2025 dijual pada harga RM29,888 atas jalan tanpa insurans.

SYM ADXTG 400 bakal mendarat di Malaysia Mei ini – harga bawah RM30,000

Baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings mengesahkan pihaknya akan melancarkan sebuah skuter gaya kembara baharu menjelang pertengahan tahun ini, iaitu SYM ADXTG 400.

Daripada segi penampilan, rekaan agresif dan bersegi yang wujud pada SYM ADXTG 400 ini adalah diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah.

Ia juga turut mendapat rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian depan dan belakang serta tidak ketinggalan ekzos yang lebih bergaya.

SYM ADXTG 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menghasilkan 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Skuter ini juga turut dibantu dengan teknologi Hyper-VVS yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, serta prestasi yang tidak mengecewakan.

Aspek keselesaan tunggangan disumbangkan dengan dua aci pengimbang bagi mengurangkan kesan gegaran, diikuti dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik dan lengan ayun aluminium dengan tetapan multi-link di belakang!

Menariknya, ADXTG 400 juga turut menyediakan mod tunggangan off-road, diikuti dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.

 

Ciri lain termasuklah bar hendal yang lebar, sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, USB dengan pengecasan pantas 3.0, skrin penghadang angin boleh laras, serta pelindung bar hendal dan pelindung enjin.

Pihak MForce mendedahkan harga jualan anggaran untuk skuter kembara ADXTG 400 ini bermula bawah RM30,000. Berbaloi?

SYM Husky ADV 300 dilancarkan di Malaysia – RM23,888

MForce Bike Holdings memperluaskan penawaran motosikalnya di negara ini menerusi pelancaran SYM Husky ADV 300 baharu.

Hadir dengan gaya adventure seperti Husky 150 yang dilancarkan pada April tahun lalu, Husky ADV 300 dijual pada harga RM23,888 tidak termasuk insurans.

Ia dikuasakan oleh enjin 278.3 cc silinder tunggal yang menghasilkan 25.8 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm pada 6,000 rpm. Enjin berkenaan menggunakan teknologi suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair.

Untuk pengetahuan, skuter ini mempunyai ukuran panjang 2,185 mm, lebar 810 mm, tinggi 1,325 mm dan jarak roda 1,510 mm. Beratnya pula adalah sekitar 138 kg.

Ia dilengkapi dengan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar boleh laras pada bahagian belakang.

Rim berukuran 15 inci di depan dan 14 inci di belakang, manakala untuk brek pula, ia menggunakan cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, lengkap dengan ABS dwi saluran. Turut disertakan adalah Traction Control.

Selain itu, Husky ADV 300 juga didatangkan dengan lampu LED, port USB Type A dan Type C, pelindung tangan, sistem kunci pintar, meter digital, ruang storan di bawah tempat duduk dan tangki bahan api 16 liter.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Space Grey, White dan Matte Black.

SYM Maxsym TL508 dilancarkan pada harga RM46,888

SELAIN Husky 150, MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia turut melancarkan satu lagi skuter iaitu Maxsym TL508.

Menurut SYM, model baharu ini tampil dengan enjin yang telah dipertingkatkan berbanding enjin 465 cc pada Maxsym TL500 yang dilancarkan pada 2020.

Enjin silinder berkembar berkapasiti 508 cc dengan teknologi suntikan bahan api itu mampu menghamburkan 45 hp pada 6,750 rpm dan 49.9 Nm pada 5,250 rpm.

Menariknya, skuter maxi ini dikatakan mempunyai pengagihan berat yang seimbang antara bahagian hadapan dan belakang iaitu 50/50.

SYM berkata konfigurasi badan yang sempurna ini memberikan Maxsym TL508 prestasi pengendalian yang cemerlang.

Dari segi kelengkapan pula, ia hadir dengan pelbagai ciri canggih termasuk sistem Traction Control (TCS), brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran dan penghadang angin boleh laras.

Skuter ini juga sesuai untuk tunggang jarak jauh kerana reka bentuk tempat duduknya yang ergonomik dan anti gelincir memberi sokongan pada bahagian pinggang penunggang dan penumpang.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai lampu hadapan dan belakang LED, paparan TFT, port pengecas USB dan tangki bahan api sebesar 12.5 liter. Barang boleh disimpan di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk.

 

Maxsym TL508 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Indigo Blue, Storm Grey dan Jet Black. Ia dijual pada harga bermula dari RM46,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pasaran bermula Mei depan.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

SYM Husky 150 kini masuk pasaran Malaysia – dari RM9,998

MForce Bike Holdings telah melancarkan model skuter yang ditunggu-tunggu iaitu SYM Husky 150.

Ia boleh didapati dalam varian Standard pada harga RM9,998 dan Special Edition pada harga RM10,298. Terdapat empat pilihan warna iaitu Ebony Black dan Pure White untuk Standard, serta Matte Green dan Wolf Grey untuk Special Edition.

Skuter yang mempunyai ciri-ciri pengembaraan ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 150 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 14.5 hp pada 8,000 rpm dan 14.5 Nm pada 6,000 rpm.

Walaupun berkapasiti kecil, Husky 150 sarat dengan ciri-ciri keselamatan terkini seperti sistem Traction Control (CTS) dam sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang. Menurut SYM, tangki bahan api 15 liter dapat mengurangkan kekerapan berhenti untuk pengisian semula.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci dan mod pencucuhan kecemasan yang membolehkan anda menghidupkan enjin walaupun bateri kunci lemah.

Turut disertakan adalah panel instrumen TFT berukuran lima inci yang mempunyai ciri pemalap automatik dan dua mod paparan iaitu siang dan malam. Penunggang boleh mengecas telefon pintar mereka menggunakan port pengecas USB 3.0 yang disediakan.

Husky 150 boleh didapati di mana-mana pengedar sah SYM di seluruh Malaysia bermula 2 April 2024. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

KL Bike Show 2023: SYM Tuscany 150 kini di Malaysia, RM8,888

SYM Malaysia sebagai salah satu pempamer di KL Bike Show mengambil peluang ini untuk melancarkan SYM Tuscany 150.

KL Bike Show 2023 sedang diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur bermula hari ini 24 Ogos hingga Ahad ini, 27 Ogos 2023.

SYM Tuscany 150 merupakan antara model yang dinanti-nantikan oleh pencinta skuter klasik ini, membawakan reka bentuk klasik dan moden.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin 149.6cc satu silinder 4-lejang, dengan output 11.4hp pada 8,000rpm dan 11.4Nm tork pada 5,500rpm.

Tuscany 150 didatangkan dengan Smart Key System, lampu LED, paparan LCD digital penuh, dan pengecas USB.

Tiga warna boleh dipilih, iaitu merah, kelabu, dan putih dengan harga permulaan RM8,888 tanpa insurans dan cukai jalan.

Ia kini boleh didapati di semua pengedar sah SYM seluruh negara, dan setiap pembelian hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km, yang mana dahulu. Perkhidmatan servis dan alat ganti akan disokong oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd.