Ruf Rodeo bukanlah sekadar 911 yang diubahsuai untuk off-road

Kira-kira lima tahun selepas pengenalan model konsep, Ruf akhirnya secara rasmi memperlihatkan contoh model Rodeo versi produksi sebenar di Monterey Car Week.

Ia bukanlah sekadar sebuah Porsche 911 yang diubahsuai untuk pemanduan off-road.

Ruf Rodeo menggunakan casis monocoque gentian karbon yang dihasilkan khas, diikuti dengan komponen bash bar yang digandingkan terus pada bampar depan dan belakang.

Disebabkan jarak trek roda yang lebih lebar 41 mm di depan dan 142 mm di belakang, Ruf memadankan fender flare yang lebih lebar berbanding model SCR.

Untuk pemanduan off-road, Rodeo dipasangkan dengan gegelung pushrod lengkap dengan peredam aktif, selain mampu meninggikan jarak kelegaan tanah sehingga 242 mm.

Keempat-empat sudut roda dilengkapi dengan rim 18 inci, tayar all-terrain Goodyear, sistem brek seramik karbon yang terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan angkup empat omboh di belakang, serta rotor brek bersaiz 350 mm.

Dari segi kuasa, Rodeo hadir dengan enjin flat-six 3.6 liter turbo sejukan cecair yang mampu menjana kuasa setinggi 610 hp dan 700 Nm.

Kuasa tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda boleh laras menerusi transmisi manual enam-kelajuan.

Tidak ketinggalan, komponen pembeza gelincir terhad (LSD) pada gandar depan dan belakang.

Untuk ruang kabin, Ruf Rodeo dilengkapi dengan ciri moden seperti sistem pendingin hawa, tempat duduk jenis bucket, kemasan kulit/Alcantara serta roda stereng tiga jejari.