Neta V terima penarafan sifar bintang ASEAN NCAP

Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengumumkan bahawa Neta V mendapat penilaian sifar bintang dalam ujian penilaian yang dijalankan di makmal MIROS Provisional CRASE Crash Centre (PC3).

Menurut ASEAN NCAP, Neta V merupakan model EV pertama yang diuji di makmal berkenaan serta model yang pertama mendapat penilaian sifar bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025.

EV yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu itu mencapai markah keseluruhan 28.55 mata iaitu 7.89 mata untuk kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 13.51 untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), 7.14 mata untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 0 mata untuk Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

Neta V, yang turut dipasarkan di Brunei, Indonesia dan Thailand, didatangkan dengan dua beg udara, sistem pengingat tali pinggang keledar untuk pemandu, sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan kestabilan elektronik ESC secara standard.

Dalam ujian pelanggaran offset depan bagi kategori AOP, Neta V tidak diberikan sebarang mata kerana pemandu tidak dilindungi dengan baik dengan kecederaan pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan.

Dalam ujian impak sisi, ia hanya mendapat 6.31 daripada 8.00 mata memandangkan patung ujian mendapat sedikit perlindungan pada bahagian dada. Ia tidak mempunyai Teknologi Perlindungan Kepala (HPT) menyebabkan ia mendapat sifar mata dalam penilaian.

Dalam penilaian dinamik bagi kategori COP, prestasi Neta V dalam ujian offset hadapan dan impak sisi baik namun ia mendapat markah rendah bagi pemasangan Sistem Kekangan Kanak-kanak (CRS). Walaupun mempunyai Isofix dan tambatan atas, lebih separuh daripada CRS yang disyorkan oleh ASEAN NCAP didapati sukar dipasang.

Hatchback elektrik ini juga tidak mempunyai ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA) and Lane Departure Warning (LDW).

Bukan itu sahaja, semua teknologi yang dinilai di bawah kategori MS seperti Blind Spot Technology (BST), Auto High Beam (AHB) dan Pedestrian Protection (PP) juga tidak disertakan pada model ini.

Bilik pameran flagship Neta dibuka di Ampang

Neta Auto dan KCM Group baru-baru ini merasmikan pelancaran bilik pameran flagship pertama Neta di Malaysia yang terletak di Ampang.

Bilik pameran ini merupakan sebahagian daripada misi Neta untuk menjadikan EV pintar lebih mudah diakses, sambil meningkatkan pengalaman pembelian kereta secara keseluruhan.

Terletak di tengah-tengah kawasan kedutaan Kuala Lumpur, bilik pameran berkeluasan 2,322 meter persegi ini menampilkan rekaan minimalis dengan dinding kaca dan kemasan dalam warna kelabu dan tona kayu Nordic.

Selain ruang pameran kenderaan yang menempatkan model-model terkini Neta, ia juga mempunyai pelbagai kemudahan lain termasuk bahagian ruangan, lounge, serta perkhidmatan selepas jualan yang serba lengkap.

Menurut Neta Auto, pembukaan bilik pameran flagship Ampang ini menandakan satu kejayaan dalam strategi pengembangannya untuk pasaran Malaysia.

Syarikat itu merancang untuk membuka 20 cawangan pengedar menjelang akhir tahun ini, merangkumi kawasan-kawasan penting seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Malaysia Timur.

Di samping itu, Neta juga sedang menaik taraf cawangan pengedar sedia ada kepada kemudahan 3S bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dalam saluran jualan dan servis mereka.

“Setiap lokasi baharu mewakili langkah penting dalam mencapai matlamat kami: untuk menjadikan mobiliti pintar boleh diakses oleh semua orang,” kata Zhou Jiang, Naib Presiden Neta Auto.

Bersempena dengan pelancaran bilik pameran ini, Neta Auto turut mengadakan majlis penyerahan 50 unit pertama Neta X kepada pelanggan di Malaysia.

Dilancarkan pada Julai lalu, Neta X boleh didapati dalam tiga varian iaitu 400 Comfort (RM119,888), 400 Luxury (RM127,888) dan 500 Luxury (RM135,888).

Varian-varian 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 52 kWj yang memberikan jarak pandu sehingga 323 km, manakala varian 500 dengan bateri 62 kWj boleh dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh.

Pelanggan yang memilih Neta X mendapat pengecas Neta Wallbox secara percuma atau kredit pengecasan percuma selama setahun oleh chargeEV.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun atau 40,000 km. Promosi istimewa ini sah sehingga 31 Oktober 2024.

Neta X dilancar: Tiga varian, sehingga 410km jarak pemanduan, dari RM120k

PASARAN kenderaan elektrik (EV) bawah RM150,000 semakin hangat, kini Neta X pula memasuki persaingan. Dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini, Neta X kini dilancarkan secara rasmi dengan varian dan harga seperti berikut:

Neta X 400 Comfort: RM119,888
Neta X 400 Luxury: RM127,888
Neta X 500 Luxury: RM135,888

Semua varian dipacu oleh satu motor elektrik di depan, menjadikannya SUV FWD. Output adalah 120kW (163hp) dan 210Nm, cukup untuk pecutan 0-100 dalam masa 9.5 saat.

Untuk dua varian 400, baterinya berkapasiti 52kWh manakala varian 500 dilengkapi bateri 62kWh. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 323km untuk varian 400, dan 410km untuk varian 500.

Dari segi pengecasan pula, Neta X boleh diisi baterinya pada kadar 6.6kW untuk AC, sembilan jam diperlukan untuk penuh. Dengan pengecasan pantas DC pada kadar 65kW, pengecasan dari 30 hingga 80 peratus memerlukan 30 minit. Terdapat juga fungsi V2L untuk mengecas perkakas luaran.

Neta X mempunyai ukuran 4,619mm panjang, 1,860mm lebar, dan 1,628mm tinggi. Jarak roda pula ialah 2,770mm.

Kelengkapan standard pada Neta X termasuklah lampu LED, bumbung panoramik, rak bumbung, cermin sisi berkuasa, dan rim 18-inci.

Di dalam pula, EV ini mendapat skrin sesentuh 15.6-inci untuk infotainmen, fungsi kemaskini perisian over-the-air (OTA), arahan suara, sambungan Bluetooth, dan sistem audio lapan pembesar suara. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport, serta fungsi pemanduan satu-pedal.

Ciri keselamatan merangkumi Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Change Assist dengan Blind Spot Detection. Terdapat juga Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, dan High Beam Assist.

Neta X boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue, dan Amber Brown. Anda juga boleh memilih dua warna untuk kabin iaitu hitam atau coklat.

Apa pendapat anda mengenai Neta X setakat ini? Boleh mencabar BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5?

NexV Manufacturing lantik lima vendor Tahap Sifar untuk kilang EV

Syarikat NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan lima vendor Tahap Sifar (Tier Zero, atau T0) bertempat di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Lima syarikat yang dimaksudkan itu ialah PHN Industry Sdn Bhd, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Noble Star Parts Sdn Bhd, Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.

Vendor Tahap Sifar merujuk kepada syarikat “Kilang dalam Kilang” (FWF) di mana vendor yang dilantik itu bertanggungjawab menghasilkan sistem operasi yang tersendiri untuk memastikan pengurusan aliran bahan dan proses pemasangan kenderaan yang lebih cekap.

 

 

Selain daripada itu, NexV turut menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan dua pengedar, iatu Central Auto Distributors Bhd dan Wise Star Assets Sdn Bhd untuk pemasangan model-model kenderaan tenaga baharu (NEV) Dongfeng serta bas elektrik Skywell.

NexV Manufacturing dijangka akan menyiapkan fasa satu pembinaan kilang pengeluaran dan pemasangan yang terletak di Rembau pada bulan Oktober 2024.

Operasi pengeluaran besar-besaran pula akan bermula pada Mac 2025 dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, dengan potensi yang mampu dipertingkatkan kepada 50,000 unit setahun.

Dalam usaha untuk memupuk pertumbuhan industri, NexV Manufacturing menjalinkan kerjasama dengan Institut Kemahiran Tinggi Negara (IKTBN) Chembong untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam teknologi NEV dan memastikan tenaga mahir yang bersedia untuk memacu industri ke hadapan.

NexV juga turut membuka peluang kepada mana-mana jenama NEV lain sama ada jenama kenderaan penumpang, kenderaan komersial dan motosikal elektrik untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD) di kilang mereka.

Malaysia Autoshow 2024: Neta X buat kemunculan, harga dari RM120k

NETA, yang diedarkan oleh Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group, telah memperkenalkan EV kedua mereka untuk pasaran Malaysia iaitu Neta X.

Menurut syarikat itu, X akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun ini. Terdapat tiga varian untuk dipilih iaitu 400 Comfort, 400 Luxury dan 500 Luxury, dengan harga anggaran antara RM119,900 ke RM139,900.

Ketiga-tiga varian menampilkan motor elektrik pada gandar hadapan yang menghasilkan 161 hp (120 kW) dan 210 Nm. Menurut Neta Malaysia, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa bawah 9.5 saat, manakala kelajuan maksimum dikatakan melebihi 150 km/j.

Untuk bateri, varian-varian 400 menggunakan bateri berkapasiti 52.49 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 401 km berdasarkan kitaran NEDC. Varian 500 Luxury pula mempunyai bateri 64.14 kWj dengan jarak gerak mencecah 480 km dengan satu cas penuh.

X didatangkan dengan pengecas AC 6.6 kW yang boleh melakukan pengecasan penuh (0-100%) dalam sembilan jam. Ia juga mempunyai pengecas pantas DC yang mengambil masa 30 minit untuk pengecasan 30-80%, namun kapasitinya tidak dinyatakan.

Dari segi saiz, X lebih besar berbanding dua pesaing terdekatnya iaitu BYD Atto 3 dan Chery Omoda 5 dengan ukuran panjang 4,619 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,628 mm dan wheelbase 2,770 mm.

Antara kelengkapan yang terdapat pada crossover elektrik ini termasuk kluster instrumen digital berukuran 8.9 inci dan paparan HD 15.6 inci yang dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 8155. Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan pengecas tanpa wayar.

Selain itu, varian 400 dan 500 Luxury juga dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Traffic Jam Assist (TJA) dan Intelligent Cruise Assistance(ICA).

Betul ke harga Neta V dah jatuh kepada RM79,800?

BARU-baru ini tular gambar yang memaparkan harga jualan Neta V bermula dari RM79,800, iaitu RM20,000 lebih rendah berbanding harga yang diumumkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu.

Gambar berkenaan dimuat naik ke laman Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) dan dipercayai diambil di siri jelajah yang diadakan di sebuah pusat beli-belah.

Ini secara tidak langsung menimbulkan pertanyaan sama ada harga model itu telah jatuh secara mendadak dalam masa beberapa bulan selepas ia diperkenalkan.

Malah, ia juga tidak selaras dengan polisi kerajaan yang tidak membenarkan EV import dijual pada harga di bawah paras RM100,000.

Menurut laporan paultan.org, pengedar rasmi Neta di Malaysia iaitu Intro Synergy Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan harga tersebut.

Dalam kenyataan itu, Intro Synergy menjelaskan bahawa harga Neta V hanya akan diumumkan secara rasmi ketika majlis pelancarannya yang dijadualkan pada bulan hadapan.

“Pihak kami akan mematuhi segala dasar yang ditetapkan. Apa yang pasti pihak kami akan mengumumkan harga Neta V berserta tawaran pakej yang menarik kepada semua pelanggan,” katanya.

Neta V membuat kemunculan sulungnya di negara ini menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 yang diadakan pada Mei lalu. Harga (OTR tidak termasuk insurans) yang diumumkan ketika itu adalah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan menikmati rebat tunai RM10,000, menjadikan harganya RM89,800.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

Neta V kereta elektrik termurah di Malaysia – RM99,800

NETA, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China yang bernaung di bawah Hozon Auto, secara rasminya memasuki pasaran Malaysia dengan model Neta V sebagai penawaran pertama.

Diedarkan oleh Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group, Neta V tampil sebagai EV paling mampu milik di negara ini dengan harga jualan serendah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan mendapat rebat tunai berjumlah RM10,000.

Model ini didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 150,00 km dan waranti bateri selama lapan tahun atau 180,000 km. Jualan dijangka bermula suku ketiga tahun ini.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Untuk pengecasan pula, bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh.

Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

Seperti model-model EV yang lebih mahal seperti Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6, Neta V didatangkan dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik.

Antara kelengkapan lain yang disertakan pada model ini termasuklah lampu LED, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16 inci, upholsteri kulit, kluster instrumen digital 12 inci, skrin sentuh 14.6 inci, pendingin hawa automatik dan penapis udara HEPA N95.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara, ABS, EBD, Cruise Control, parkir sensor, kamera undur, Hill Start Assist dan Tyre Pressure Monitoring System. Sistem bantuan pemandu ADAS tidak disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, Neta V ditawarkan dalam lima warna iaitu White Storm, Midnight Grey, Cyan, Sky Blue dan Sakura Pink. Ruang dalaman didatangkan dalam warna hitam sahaja.