Maextro S800 dapat hampir 4,000 tempahan dalam tempoh seminggu

Sedan ultra mewah pertama jenama Maextro, iaitu S800 ternyata berjaya meraih tumpuan ramai dengan tempahan sebanyak 3,600 unit hanya dalam tempoh masa seminggu.

Untuk makluman, Maextro merupakan syarikat pengeluar automotif segmen mewah hasil kerjasama antara Huawei dan JAC.

Dengan harga jualan bermula dari 708,000 yuan hingga 1,018,000 yuan (RM418 ribu-RM600 ribu), Maextro S800 ternyata mampu  menjadi alternatif kepada pesaing termasuklah Maybach S-Class dan Yangwang U7.

Maextro S800 memiliki dimensi yang agak besar, dengan panjang 5,480 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,536 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,370 mm.

Di pasaran China, S800 boleh didapati dalam varian EV dengan tetapan dua motor elektrik 523 hp dan pek bateri 95 kWh yang menawarkan jarak pandu 702 km (data CLTC).

Terdapat juga S800 versi penambah jarak (EREV) dengan pilihan dua atau sehingga tiga motor elektrik (825 hp) yang dipadankan dengan enjin 1.5 iter berkuasa 154 hp.

Pek bateri 65 kWh pula membolehkan sedan ini bergerak sehingga 400 km tanpa setitik petrol.

Sedan ini turut menawarkan opsyen kamera sisi menggantikan cermin sisi dan juga sistem stereng gandar belakang.

Ruang kabin S800 ini menawarkan sehingga tiga skrin paparan bersaiz 15.6 hingga 16 inci, skrin paparan head-up, sistem audio 2,920 W dengan 43 pembesar suara, dan juga fungsi tingkap penumpang yang boleh dikelamkan menggunakan isyarat tangan.

Bergantung kepada spesifikasi, pembeli boleh mendapatkan S800 dengan tetapan lima tempat duduk, atau varian empat tempat duduk yang lebih mewah.

Maextro S800, sedan elektrik mewah hasil kerjasama Huawei, JAC

Sebagai sebuah syarikat gergasi teknologi komunikasi global, Huawei telah mengejutkan dunia apabila muncul dalam dunia automotif menerusi jenama AITO.

Namun pada pertengahan tahun yang lalu, Huawei telah pun menjual tanda dagang dan paten Aito kepada Seres Group.

Selain AITO, Huawei turut membentuk beberapa syarikat kerjasama yang memfokuskan kepada produk EV premium, seperti Avatr (Changan), Luxeed (Chery), Stelato (BAIC) dan yang terbaharu jenama EV ultra mewah yang dikenali sebagai Maextro.

Maextro merupakan syarikat kerjasama yang terbentuk antara Huawei dan JAC Group, menyasarkan jenama premium seperti Bentley, Maybach dan Rolls-Royce menerusi pengenalan model pertama S800.

Maextro S800 secara asasnya merupakan sebuah sedan premium berkuasa elektrik dengan rekaan yang banyak diinspirasikan daripada sedan jenama Bentley, Rolls-Royce dan Maybach.

Antaranya ialah layangan warna dua tona seakan model Maybach, rekaan rim cakera macam model Rolls-Royce, dan kemasan krom yang mengingatkan kita pada model Bentley.

Beralih ke belakang, kita dapat melihat rekaan lampu utama yang menyamai unit yang wujud pada Porsche Panamera.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,480 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,536 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,370 mm, mampu menyaingi saiz Maybach S-Class namun kecil sedikit berbanding Rolls-Royce Ghost dan Phantom EWB.

Ruang kabin S800 ini membawakan konfigurasi empat tempat duduk, dilengkapi dengan beberapa ciri mewah termasuklah hiasan LED ala gugusan bintang pada headliner, serta balutan upholsteri berkualiti tinggi.

Untuk sebuah syarikat JV yang disokong oleh Huawei, kita menjangkakan sedan S800 ini turut didatangkan dengan beberapa teknologi bantuan pemandu terkini termasuklah sistem berasaskan kepintaran buatan (AI) dan keupayaan pemanduan autonomi tahap 3.

Buat masa ini, Huawei masih belum sedia untuk mendedahkan perincian unit rangkaian kuasa yang digunakan oleh sedan Maextro S800 yang dibina berdasarkan platform Tuling Intelligent Chassis.

Namun, golongan pembeli berpotensi sudah boleh menempah sedan elektrik ini dengan meletakkan deposit serendah RMB 20,000 (RM12,256) di mana harga jualan dianggarkan antara RMB 1 hingga 1.5 juta (RM613 ribu-RM919 ribu).

Ini sekaligus meletakkan sedan S800 bersaing secara terus dengan Mercedes-Benz EQS dan BMW i7 di dalam segmen kenderaan elektrik mewah.