Sebuah lagi jenama automotif baharu bakal debut di pasaran Malaysia pada separuh pertama tahun ini, iaitu Lepas.
Serentak dengan itu, Lepas Malaysia turut mengumumkan strategi untuk membuka 20 pusat jualan dan servis di negeri-negeri utama Semenanjung dan Malaysia Timur.
Lepas turut menyasarkan sehingga 30 pusat jualan dibuka menjelang akhir 2026.
Jenama premium itu akan membariskan model-model SUV (L4, L6 dan L8) yang dibangunkan berdasarkan platform global kenderaan tenaga baharu (NEV) Chery Group.
Platform ini direka untuk menyokong pelbagai saiz kenderaan serta pelbagai konfigurasi rangkaian kuasa termasuklah enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik sepenuh masa.
Lepas juga merancang untuk mendirikan Pusat Pengalaman Gaya Hidup di Lembah Klang yang membolehkan pelanggan merasai sendiri konsep mobiliti elegan yang cuba diketengahkan berteraskan kepada tiga tunjang utama iaitu:
- Leopard Aesthetics sebagai DNA reka bentuk
- Exquisite Space sebagai kekuatan produk
- Elegant Driving sebagai pengalaman pemanduan.
Menurut Men Lin Bo selaku Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, “Lepas direka untuk generasi yang yakin, kreatif dan sentiasa berhubung. Ia untuk individu yang mencari keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan minat, serta mahukan kenderaan yang mencerminkan gaya hidup dan estetika peribadi mereka.”
Jenama Lepas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2025 dan kini sedang membina kehadiran di pasaran Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara.
