Land Rover Defender V8 Bond Edition serba hitam sempena filem No Time To Die, 300 unit sahaja

SETELAH ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19, filem James Bond yang ke-25 iaitu No Time To die akhirnya akan menemui peminat di panggung pada 30 September ini.

Seperti biasa dalam filem-filem ejen 007 itu, anda akan lihat beberapa Aston Martin, tetapi Land Rover juga sering muncul. Bersempena filem kali ini, sebuah Defender V8 edisi khas akan dikeluarkan.

Land Rover secara khas menamakan model ini Defender V8 Bond Edition. Apa yang menyedihkan, anda tidak akan dapat aksesori seperti mesin gan atau kerusi anjal, bukan sahaja kerana ianya haram, tetapi juga Defender ini tidak menjadi kereta Bond.

Jika dilihat dari trailer filem itu, Defender V8 ini nampaknya salah satu dari Land Rover yang dipandu oleh penjahat. Ia mendapat warna hitam, rim hitam 22-inci, lencana Defender 007, dan beberapa petunjuk 007 di bahagian lain.

Semua Defender Bond Edition akan diasaskan dari versi 110 empat-pintu, dengan 518hp yang dibekalkan oleh enjin 5.0-liter V8 supercharge. Ini cukup untuk melonjakkan SUV ini dari pegun ke 96km/j dalam 5 saat. Hanya 300 unit edisi Bond ini akan dihasilkan.

“Kenderaan ini memaparkan pertembungan dua nama British yang hebat dan satu sambutan unik untuk ulangtahun ke-38 penglibatan Land Rover dalam James Bond,” kata pengarah Land Rover Brand, Finbar McFall.

Pada harga kira-kira RM416,000 untuk Defender V8, ia memang mahal dan untuk Bond Edition ia pastinya berharga lebih lagi.

Intip: Land Rover Defender 110 dilihat sekitar PJ Old Town

DUA unit Land Rover Defender baharu dilihat sedang memandu di sekitar PJ (Petaling Jaya) Old Town dengan memakai celoreng (camouflage).

Gambar oleh: Jaguar Land Rover Malaysia

Dan menurut laman web Jaguar Land Rover Malaysia, model Defender itu disenarai sebagai “Coming Soon”, maka kitaboleh jangkakan pelancarannya tidak lama lagi.

Dari imej-imej intipan ini, dapat dilihat kedua-dua model ialah Defender 110, iaitu konfigurasi empat-pintu dengan wheelbase 3,022mm. Defender juga boleh didapati dengan konfigurasi 90 iaitu model dua-pintu.

Gambar oleh: Jaguar Land Rover Malaysia

Celoreng itu ‘menyorok’ kebanyakan garisan badan Defender, tetapi masih dapat dilihat beberapa elemen unik padanya seperti lampu depan LED bulat, tingkap safari di bumbung, lampu belakang bulat, dan tayar simpanan yang dipasang di pintu but. Rim enam-bilah juga dilihat serupa dengan rekaan 19-inci pada varian S.

Menurut laman web JLR Malaysia, terdapat lima varian iaitu asas, S, SE, HSE dan X. Dua janaan kuasa boleh didapati – P300 dan P400 MHEV – untuk kedua-dua bentuk badan.

P300 mendapat unit 2.0-liter turbo yang menjana 296hp dan 400Nm tork. Sementara itu P400 MHEV menampilkan enjin Ingenium 3.0-liter turbo 6-silinder menghasilkan 395hp dan 500Nm. MHEV menunjukkan ia model mild hybrid dengan sistem elektrik 48-volt dan motor penghidup elektrik.

Kotak gear ialah automatik 8-kelajuan ZF untuk kedua-dua jenis enjin, dengan dua transfer case untuk sistem pacuan empat roda. Defender juga dilengkapi dengan pilihan pengunci differential tengah dan belakang yang boleh dikawal dengan ciri Terrain Response.

Berbanding dengan Defender dahulu, model baharu ini jauh lebih canggih dan maju bukan sahaja dari segi ciri kelengkapan, tetapi juga dari aspek pembinaan kerangka. Defender baharu ini dibina di atas platform D7x yang menggunakan casis monocoque aluminium, jauh berbeza dari body-on-frame sebelumnya.

Casis D7x ini bukan sahaja mengekalkan keupayaannya di off-road, tetapi juga memberikan Defender kabin lebih luas dan pengendalian yang lebih mantap.