Lambretta X300 Casa Limited Edition rasmi di Malaysia – 99 unit sahaja

Bike Continent Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Lambretta di Malaysia mengumumkan ketibaan model edisi istimewa X300 Casa Limited Edition.

Difahamkan, sebanyak 999 unit sahaja dihasilkan untuk pasaran global dan hanya 99 unit diperuntukkan untuk pasaran Malaysia.

Menggunakan khidmat daripada cabang pengubahsuaian Casa Lambretta, X300 Casa ini mempunyai ciri-ciri berikut:

  • komponen prestasi tinggi gentian karbon seperti penghadang angin, spoiler belakang, dan pelindung penyerap hentak depan
  • skrin paparan TFT warna penuh
  • tayar Angel Scooter
  • grafik perlumbaan serta angka “47” yang menandakan kelahiran Lambretta pada 1947
  • kemasan Gold Matte Chrome pada kerangka lampu utama, trim dan pelindung hon

X300 Casa dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 275 cc yang mampu menghasilkan 25.1 hp @ 8,250 rpm dan 24.5 Nm @ 6,250 rpm.

Kerangka monocoque keluli itu disokong dengan suspensi jenis double arm-link di depan dan penyerap berkembar di belakang.

Sistem brek menggunakan rotor bersaiz 220 mm di depan dan 240 mm dibelakang, dibantu dengan sistem ABS dua-saluran.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7.5 liter sementara tinggi pelana 790 mm.

Lambretta Malaysia turut mencatatkan rekod ASEAN dan Asia baharu apabila berjaya mengumpulkan 818 peserta berdaftar untuk menyertai tunggangan beramai-ramai di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Konsep skuter elektrik retro Lambretta Elettra buat kemunculan di MAS 2025

Dua tahun lepas, Lambretta memperlihatkan sebuah model konsep skuter elektrik Elettra di acara pameran EICMA di Milan, Itali, dan kini ia muncul di Malaysia Autoshow 2025.

Lambretta Elettra membawakan penampilan retro klasik, dengan struktur belakang skuter tersebut boleh diangkat sepenuhnya untuk akses ruang storan yang mampu memuatkan sebuah helmet.

Tinggi pelana pula adalah sekitar 780 mm.

Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak berkembar di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak yang dipasang secara mendatar di bahagian belakang.

Secara standard, Elettra datang dengan rim 12 inci yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso Scooter bersaiz 110/90 dan 120/80 belakang.

Lambretta Elettra ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 15 hp dan daya kilas 257.6 Nm.

Pek bateri lithium-ion 4.6 kWh membenarkan Elettra ini bergerak sejauh 104.6 km untuk sekali cas penuh.

Skuter ini menyokong pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 36 minit, sementara penggunaan soket domestik 220 volt pula membenarkan pengecasan penuh selama 5.5 jam.

Terdapat tiga mod iaitu Eco (had laju 40 km/j, jarak sehingga 127 km), mod standard (had laju 72 km/j, jarak cecah 70 km), serta mod Sport (had laju 80 km/j, jarak tunggangan 62.8 km).

Anda masih berpeluang untuk melihat skuter futuristik ini dengan lebih dekat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9-15 Mei ini di MAEPS, Serdang.

 

Lambretta G350 Series II kini di Malaysia – RM29,800

Sebuah lagi skuter gaya klasik ditawarkan oleh Lambretta untuk pasaran Malaysia, iaitu G350 Series II.

Memasuki generasi kedua, G350 Series II turut membawakan gaya klasik namun dengan kombinasi warna yang lebih berani.

G350 Series II dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair 330 cc menghasilkan 26.5 hp @ 7,500 rpm dan 25.3 Nm @ 6,750 rpm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED depan, lampu belakang LED yang nipis, skrin paparan TFT digital, serta pengecas USB di dalam glove box.

Casis keluli monocoque skuter ini disokong oleh tetapan suspensi jenis double arm-link dengan penyerap hentak berkembar untuk roda depan, serta tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.

Secara standard, G350 ini hadir dengan tetapan brek yang terdiri daripada rotor bersaiz 240 mm depan dan belakang, serta sistem brek ABS.

Tangki bahan api adalah sebesar 9 liter, sementara tinggi pelana pula 790 mm.

Terdapat tiga kombinasi warna menarik yang boleh dipilih, iaitu Bianco-Rosso (pelana hitam), Nero-Bianco (pelana merah) dan Grigio-Bianco (pelana hitam).

Lambretta G350 Series II dijual pada harga RM29,800.

Lambretta X300 GT 2025 rasmi di Malaysia – RM26,800

Peminat skuter dengan reka bentuk retro klasik kini boleh mendapatkan barisan model terbaharu yang dilancarkan oleh Lambretta di Malaysia Autoshow 2025.

Salah satu daripadanya ialah Lambretta X300 GT, sebuah skuter dengan penggayaan ala grand touring.

X300 GT didatangkan dengan ciri unik seperti cermin penghadang angin, sistem lampu LED depan, lampu belakang rekaan tujuh bar kristal lengkap dengan sistem IFS (Integrate-Fuction Signals) dalam satu perumah tunggal.

Bahagian sisi pula dihiasi dengan jalur berlogo 300 GT serta corak papan dam.

Sistem suspensi menggunakan tetapan double arm-link pada roda depan (dengan tujuh tahap larasan), diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan rotor bersaiz 220 mm di depan, rotor bersaiz 240 mm di belakang lengkap dengan sistem ABS dua saluran.

Lambretta X300 GT dikuasakan oleh enjin silinder tunggal Lambretta Super Performance (LSP) 275 cc dengan kuasa 25.1 hp @ 8,250 rpm, dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 7.5 liter.

Tempat duduk pula membawakan rekaan klasik dengan ketinggian sekitar 790 mm.

Akhir sekali, skrin paparan TFT yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menawarkan beberapa ciri yang boleh disesuaikan termasuklah lima tema dan enam tahap kecerahan yang boleh dipilih.

Untuk pasaran Malaysia, Lambretta X300 GT dijual pada harga RM26,800, serta hadir dengan dua pilihan warna iaitu Light Grey dan Super Black.

Lambretta X250, G350 dilancarkan secara rasmi di Malaysia

SELEPAS mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia pada April lalu, jenama skuter klasik Lambretta kini dengan secara rasminya melancarkan X250 dan G350.

Direka dengan daya tarikan klasik dan teknologi moden, X250 tampil dengan enjin silinder tunggal, sejukan cecair bersesaran 250 cc yang menjana 24.8 hp pada 8,250 rpm dan 24.5Nm pada 6,2500 rpm.

Model ini mempunyai ukuran panjang 1,922 mm, lebar 741 mm, tinggi 1,117 mm dan jarak roda 1,370 mm. Kapasiti tangki bahan apinya adalah 7 liter manakala berat keringnya mencecah 165 kg.

X250 mempunyai kerangka separa monocoque yang dipadankan dengan penyerap hentak berkembar pada bahagian depan dan belakang. Ia menggunakan rim berukuran 12 inci, dengan tayar 120/70 di depan dan 130/70 di belakang.

Selain itu, ia didatangkan dengan lampu LED, gabungan meter analog dan paparan LCD, brek cakera depan dan belakang berserta ABS untuk meningkatkan aspek keselamatan.

Sementara itu, G350 pula merupakan penawaran premium yang diinspirasikan dari dunia fesyen Milan. Ia mempunyai ‘nadi’ berupa enjin 330 cc silinder tunggal dengan sejukan cecair yang menghasilkan 25.8 hp pada 7,500 rpm dan 25.5Nm pada 6,250 Nm.

Dari segi saiz, ia sedikit lebih besar berbanding X250 dengan ukuran panjang 1,956 mm, lebar 770 mm, tinggi 1,129 mm dan tapak roda 1,400 mm. Ia mempunyai tangki bahan api berkapasiti 9.5 liter, dengan berat kering 173 kg.

G350 dibina menggunakan kerangka monocoque keluli dan mempunyai penyerap hentak berkembar depan dan belakang untuk sistem suspensinya. Ia juga menggunakan rim berukuran 12 inci namun dengan tayar Pirelli.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan lampu LED depan dan belakang, paparan digital TFT dan pengecas USB yang diletakkan di dalam kompartmen.

Sistem keselamatannya pula merangkumi brek cakera berukuran 240 mm pada bahagian depan dan belakang, serta ABS.

Harga jualan X250 dan G350 masing-masing bermula dari RM22,800 dan RM29,800. X250 ditawarkan dalam warna perak, hijau, putih, hitam dan kuning, manakala G350 pula boleh didapati dalam warna merah, putih dan hitam.

Lambretta masuk pasaran Malaysia, bakal lancar X250 dan G350

LAMBRETTA, sebuah jenama skuter klasik yang cukup dikenali ramai, telah mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, Lambretta akan membuka lima kedai rasmi di Malaysia yang terletak secara strategik di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuching. Ia juga akan melancarkan dua model baharu iaitu X250 dan G350 tidak lama lagi.

Lambretta diasaskan pada tahun 1947 oleh Ferdinando Innocenti, dengan inspirasi daripada skuter Cushman berwarna hijau zaitun yang digunakan secara meluas di Itali semasa zaman peperangan.

Visinya adalah untuk mencipta sebuah kenderaan yang menawarkan kemudahan pemanduan, sesuai untuk lelaki dan wanita, dan membolehkan penumpang bergerak tanpa menjejaskan pakaian mereka.

Model terawal Lambretta menggunakan sistem suspensi bebas pada roda hadapan dan belakang, serta rekaan enjin tertutup dan badan streamline.

Hari ini, Lambretta masih menjadi lambang subkultur Mod, mewakili skuter sebagai kenderaan Mod yang hakiki dan memperlihatkan gaya Itali yang unik pada era tersebut.

Era baharu skuter Lambretta menggabungkan keanggunan, fungsi, dan estetik yang kekal sepanjang zaman. Dengan gaya klasik, Lambretta memberi penghormatan kepada asal usulnya sambil menggabungkan estetik berkekalan sepanjang zaman dengan inovasi kontemporari.

Ia juga menampilkan seni bina monocoque unik yang menandakan garis ketangkasan dan kekuatan yang tidak terputus melalui setiap lengkung dan kontur. Model-model baharu ini memancarkan keanggunan dan eksklusiviti, mewakili puncak warisan skuter Lambretta.