GWM Wey G9 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM269,800

GWM Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model terbaharu MPV plug-in hybrid, iaitu GWM Wey G9 Hi4 PHEV untuk pasaran Malaysia.

Unit pemasangan tempatan ini dijual pada harga bermula dari RM269,800.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

Dimensi

Wey G9 membawakan ukuran sepanjang 5,050 mm, lebar 1,985 mm, tinggi 1,900 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,085 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 155 mm.

Kapasiti kargo adalah sebesar 233 liter dan mampu mencapai sehingga 1,725 liter maksimum.

 

Sistem hibrid Hi-4

MPV plug-in hybrid ini didatangkan dengan sistem hibrid Hi4, terdiri daripada:

  • Enjin 1.5 liter turbo GDI 150 PS @ 5,500 rpm/240 Nm @ 1800-2,400 rpm
  • Motor elektrik depan 108 PS/170 Nm
  • Motor elektrik belakang 184 PS/232 Nm
  • Kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm
  • Transmisi DHT 4-kelajuan
  • Pek bateri 44.2 kWh

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.7 saat dan kelajuan maksimum 190 km/j.

Sistem Hi4 membenarkan Wey G9 bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 170 km, dan jarak keseluruhan mencecah sehingga 1,000 km (data NEDC).

Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 1.2 liter/100 km.

Terdapat lima mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, AWD dan Snow.

 

Casis & Kelengkapan Luaran

Secara standard, Wey G9 didatangkan dengan ciri peredam FRD (Frequency Response Damper), sistem brek cakera, rim 18 inci, serta tayar Michelin e-Primacy (saiz 245/50 R18).

Ciri lain termasuklah sistem lampu LED keliling termasuklah lampu utama automatik dan fungsi suluhan tinggi automatik (AHB), bumbung kaca panorama depan dan belakang, serta pintu tailgate elektronik.

 

Dalaman

Kabin Wey G9 menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk, lengkap dengan balutan kulit Nappa Premium dan leatherette untuk baris ketiga.

Kerusi pemandu didatangkan dengan larasan lapan tahap, fungsi memori, sokongan tulang belakang, urut 10-poin dan juga fungsi pengudaraan, sementara kerusi penumpang hadapan pula mempunyai larasan elektrik enam-tahap, suis Bos, serta fungsi memori dan pengudaraan.

Penumpang baris kedua pula boleh menikmati tempat duduk Graviti Sifar, lengkap dengan fungsi pengudaraan, urut, larasan enam-tahap, serta skrin kecil untuk kawalan penting.

Ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan ambien 64-warna, skrin digital 12.3 inci, skrin tengah sebesar 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio 21 pembesar suara, sistem pembatalan hingar aktif HALOSonic, peti sejuk 12.5 liter, serta port pengecasan USB.

 

Keselamatan

Wey G9 hadir dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Cengkaman (TCS), cagak ISOFIX serta sistem kamera keliling 360 darjah dengan fungsi Transparent Chassis.

Ciri keselamatan aktif pula termasuklah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran hadapan (FCW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pengelakan Pelanggaran Kedua (SCM
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSD)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Sistem Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif Pintar (ACC)

GWM Malaysia mula eksport Wey G9 CKD ke Thailand

GWM Malaysia mencapai satu lagi kejayaan penting dengan penghantaran model pemasangan pertama (CKD) GWM WEY G9 ke Thailand baru-baru ini.

Langkah ini menunjukkan komitmen GWM untuk bekerjasama lebih rapat di peringkat serantau, mengukuhkan keupayaan kenderaan tenaga baharu (NEV), dan membangunkan industri merentas sempadan.

Penghantaran ini dibuat selepas kejayaan pengeluaran pertama WEY G9 pemasangan tempatan di Malaysia, dan menjadi fasa seterusnya dalam rancangan GWM untuk membina rantaian bekalan serta ekosistem pembuatan yang kukuh di ASEAN.

Eksport CKD ke Thailand ini turut membuktikan keyakinan GWM terhadap kemampuan Malaysia dalam kerja pemasangan automotif bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan potensi eksport pada masa depan.

Usaha ini dijangka meningkatkan daya saing industri tempatan, membangunkan vendor, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam strategi serantau GWM.

Menurut En. Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, penghantaran CKD ini membuktikan asas kukuh yang sedang dibina GWM di ASEAN.

“Malaysia kini berperanan sebagai hab pemasangan strategik yang menyokong pasaran jiran dengan produk tenaga baharu yang lebih maju, sambil mengukuhkan integrasi rantaian bekalan serantau.

Mr. Cui Anqi selaku Pengarah Urusan GWM Malaysia pula menambah, “WEY G9 menggabungkan kejuruteraan bertaraf dunia dengan mutu kerja tempatan.

“Penghantaran ke Thailand ini menunjukkan kemampuan Malaysia menyokong pengembangan GWM di rantau ini dan menjadi permulaan kepada pelan jangka panjang GWM dalam teknologi tenaga baharu.

GWM Wey G9 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada bulan ini.

Spesifikasi ringkas:

  • Enjin 1.5 liter turbo 150 PS/240 Nm
  • Dua motor elektrik
  • Kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm
  • Transmisi DHT 4-kelajuan
  • Pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat
  • Bateri 44.2 kWh
  • Jarak pandu EV 145 km (data WLTP)
  • Jarak pandu keseluruhan 850 km

GWM Tank 500 Black Edition dilancarkan di Malaysia – harga dari RM336,800

GWM Malaysia mengumumkan penawaran Tank 500 edisi hitam (Black Edition) untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM336,800.

Sesuai dengan nama yang diberikan, Tank 500 Black Edition ini mendapat kemasan berwarna hitam berkilat pada beberapa bahagian seperti jeriji, emblem Tank, rim 20 inci, pemegang pintu serta perumah tayar simpanan.

Tank 500 juga turut mendapat unit lampu LED dengan efek asap.

Spesifikasi asas Tank 500 Black Edition masih lagi kekal tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan.

Berbeza dengan Tank 500 Black Edition, Tank 500 edisi standard dijual pada harga RM328,800.

GWM Ora Good Cat GT mendarat di Malaysia – 171 PS, 250 Nm, harga dari RM119,800

Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mengumumkan ketibaan model kenderaan elektrik (EV) dengan spesifikasi yang lebih sporti, iaitu Ora Good Cat GT.

Harga jualan bermula dari RM119,800.

Terdapat beberapa perbezaan antara Ora Good Cat GT dengan varian Ultra yang turut ditawarkan.

Berikut merupakan beberapa perincian ringkas berkenaan Ora Good Cat GT:

 

1. Dimensi

Berbanding Ora Good Cat Ultra, Ora Good Cat GT membawakan dimensi sepanjang 4,254 mm (+19 mm) dan lebar 1,848 mm (+23 mm).

Ukuran tinggi dan jarak antara roda masih kekal, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 135 mm.

 

2. Prestasi

Ora Good Cat GT dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana 171 PS dan daya kilas 250 Nm, atau 28 PS dan 40 Nm lebih bertenaga berbanding varian Ultra.

Namun begitu, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 150 km/j sahaja.

Varian GT menawarkan mod pemanduan seperti Normal, Sport, ECO, ECO+, Auto dan Individual.

Sama seperti varian Ultra, Ora Good Cat GT dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 57.7 kWh yang mampu membenarkan jarak pandu sejauh 460 km.

Secara standard, Ora Good Cat GT menyokong pengecasan AC 6.6 kW (pengecasan penuh 9 jam), serta pengecasan pantas DC 60 kW di mana pengecasan 30-80 peratus dalam masa 38 minit sahaja.

Ora Good Cat juga hadir dengan sokongan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.

 

3. Ciri luaran

Membezakan varian GT dengan varian Ultra ialah penampilan luaran yang lebih sporti.
Varian GT mendapat kelengkapan seperti:

  • bampar depan dan belakang lebih agresif
  • angkup brek berwarna kuning
  • rim aloi hitam dengan trim kuning saiz 18 inci
  • pintu belakang berkuasa bebas tangan
  • spoiler belakang GT
  • aksen kuning pada bampar
  • perumah cermin sisi berwarna kuning

 

4. Ruang kabin

Kedua-dua varian Ora Good Cat hadir dengan kemasan warna dua tona, namun varian GT diberikan gandingan warna hitam dan kuning yang lebih menyerlah.

Selain itu, varian GT turut mendapat ciri eksklusif seperti tempat duduk baris depan sporti dengan fungsi pengudaraan dan urut, serta kemasan kulit suede.

Ciri standard lain yang dibekalkan termasuklah:

  • skrin paparan digital tujuh inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W
  • sistem pendingin hawa automatik dengan penapis PM 2.5
  • sistem audio enam pembesar suara
  • bumbung kaca panorama

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan standard pada kedua-dua varian termasuklah:

  • enam beg udara
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • cagak ISOFIX
  • kamera 360 darjah
  • fungsi kamera tembus casis
  • sistem bantuan parkir pintar (IIP)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Pemusatan Tengah Lorong (LCK)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Mula Mendaki (HSA)

 

6. Varian Ultra

Ora Good Cat varian Ultra turut ditawarkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM109,800 yang membawakan spesifikasi berikut:

  • motor elektrik tunggal
  • kuasa 143 PS, daya kilas 210 Nm
  • jarak gerak 480 km
  • mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto
  • rim aloi 18 inci
  • pilihan kemasan dalaman Green/Grey, Brown/Rice, atau Green/Rice (bergantung warna luaran)
  • upholsteri kulit sintetik

 

Ora Good Cat GT

Ora Good Cat Ultra

GWM Haval Raptor PHEV 2026 dilancarkan di China, output cecah 443 hp!

Great Wall Motor (GWM) secara rasmi melancarkan model SUV off-road dengan sistem plug-in hybrid, iaitu Haval Raptor PHEV 2026 untuk pasaran China.

Untuk makluman, SUV off-road Haval Raptor ini mula diperkenalkan di pasaran China pada tahun 2023, membawakan rekaan yang hampir sama dengan Haval H9.

Namun tidak seperti H9 yang menggunakan binaan body-on-frame, Haval Raptor pula menampilkan binaan unibodi, dengan dimensi yang besar sedikit berbanding Haval H6.

Apa pula perubahan yang wujud pada Haval Raptor PHEV 2026 ini?

 

1. Rekaan yang telah dikemas kini

Versi facelift ini tampil dengan beberapa perubahan kosmetik.

Seperti contoh, rekaan lampu depan yang lebih petak, serta struktur jeriji serba baharu yang lengkap dengan jalur LED di bawah lencana Haval.

Unit lampu belakang juga telah diperbaharui, kini menampilkan 300 unit ‘manik’ LED.

Selain itu, setiap gerbang roda menampilkan rekaan ribet terdedah, diikuti dengan rekaan rim baharu bersaiz 19 inci.

Opsyen tayar simpanan saiz penuh hanya dikhususkan untuk varian tertinggi.

 

2. Ruang kabin

Antara perubahan pada kabin termasuklah roda stereng dua jejari rekaan baharu, tuil penukaran gear pada kolum stereng, skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin tengah 14.3 inci dengan sistem operasi Coffee OS 3.

Ciri lain termasuklah tempat duduk larasan elektrik dengan fungsi pemanas dan ventilasi, tempat duduk baris kedua dengan sudut sandaran boleh ubah (27° & 32°), bumbung kaca panorama, serta skrin paparan W-HUD.

Varian paling tinggi Ultra Navigator pula mendapat kelengkapan tambahan termasuklah sistem kamera mata ikan, radar, 12 penderia ultrasonik dan cip TDA4VH 32TOPS untuk bantuan pemanduan di lebuh raya pada kelajuan sehingga 150 km/j.

 

3. Enjin

Haval Raptor 2026 didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo (154 hp/243 Nm) dan dua motor elektrik.

Kuasa keseluruhan cecah 443 hp dan daya kilas 750 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sahaja.

Terdapat tujuh mod pemanduan yang disediakan termasuklah Standard, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand dan 4WD yang disokong oleh sistem torque vectoring pintar Hi4 dan algoritma pemanduan salji yang ditambah baik.

 

4. Pemanduan EV sehingga 200 km

Pak bateri ternary lithium 35.43 kWh serba baharu yang dipadankan pada Haval Raptor ini membolehkan SUV ini dipandu tanpa setitik petrol sejauh 200 km.

Terdapat juga pilihan pek bateri berkapasiti 18.74 kWh (jarak pandu 102 km) serta 27.54 kWh (jarak pandu 145 km) yang dikekalkan daripada penawaran terdahulu.

 

5. Harga

Di China, Haval Raptor 2026 dijual pada julat harga bermula dari RMB 173,800 (RM102,328) hingga RMB 208,800 (RM122,935).

Sebagai perbandingan, pesaingnya Jetour Shanhai T2 pula dijual pada harga dari RMB 179,900 (RM105,920).

GWM Haval H6 HEV kini tersedia dengan kemasan warna hitam untuk ruang kabin

GWM Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model SUV hibrid Haval H6 HEV yang kini ditawarkan dengan warna Phantom Black untuk ruang kabin.

Untuk imej yang lebih premium dan sporti, bahagian itu juga turut menampilkan kemasan perak kusam dan penggunaan bahan sentuh lembut.

Menurut GWM Malaysia, perubahan ini adalah sejajar dengan respons pengguna terhadap model SUV hibrid tersebut.

Selain itu, pihak GWM Malaysia kini meningkatkan tempoh jaminan bateri Haval H6 HEV daripada lapan kepada sepuluh tahun, atau had perbatuan sehingga satu juta km (yang mana tiba dahulu).

Jaminan tersebut juga boleh dipindah milik kepada pemilik berikutnya, sekaligus menawarkan ketenangan minda buat para pemilik selain memastikan nilai jualan semula yang lebih baik.

Secara standard, Haval H6 HEV didatangkan dengan pakej jaminan berikut:
– jaminan pengeluar 7 tahun/200,000 km
– jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan bateri HEV 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/1,000,000 km

Sementara pemilik berikutnya boleh menikmati perlindungan seperti berikut:
– jaminan pengeluar yang tidak berubah
– jaminan enjin 7 tahun/200,000 km
– jaminan bateri kekal 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/200,000 km

 

Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Haval H6 HEV masih lagi dikuasakan oleh enjin hibrid 1.5 liter menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.

Untuk pasaran Malaysia, Haval H6 HEV dijual pada harga bermula dari RM139,800.

Inilah dia supercar pertama GWM dengan enjin V8 PHEV, bakal saingi Yangwang U9

Segmen supercar dunia bakal dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu daripada sebuah lagi pengeluar China, iaitu Great Wall Motor (GWM).

Sekeping gambar acah dimuat naik sendiri oleh pengerusi GWM, Wei Jianjun menerusi akaun media sosial Weibo pada sambutan ulang tahun Great Wall Motor yang ke-35.

Supercar tersebut masih lagi dibaluti kain hitam, namun kita dapat melihat ia adalah sebuah supercar yang sebenar berdasarkan dimensinya yang panjang, rendah dan lebar.

Pada bahagian depan, anda boleh melihat garis-garis yang merujuk kepada posisi lampu utama pada bahagian fender, serta bukaan bampar yang agresif.

Bahagian sisi pula menampilkan bukaan liang penyejukan tambahan, sekaligus mengesahkan supercar ini membawakan konfigurasi enjin tengah.

Spesifikasi rasmi jentera ini masih lagi dirahsiakan, namun GWM dijangka akan memadankan supercar ini dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).

Unit enjin baharu ini telah pun debut di Shanghai Auto Show 2025 tempoh hari, dan dibangunkan sepenuhnya oleh GWM secara dalaman.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi GWM, Wu Huixiao berkata, supercar pertama ini telah menjalani program pembangunan selama lima tahun.

Jelasnya lagi, mereka menggunakan pendekatan prestasi tinggi dan dalam masa yang sama menawarkan tanda harga yang lebih rendah berbanding pesaing.

Huixiao juga mendedahkan supercar ini akan dibina berdasarkan casis monocoque gentian karbon, dan dikatakan “jauh lebih baik berbanding model Ferrari SF90”.

Supercar pertama GWM ini akan didedahkan secara rasmi menjelang akhir tahun ini, dengan tanda harga bawah 1 juta yuan (RM590 ribu).

Roslan Abdullah kini Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia

GWM Malaysia mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) yang baharu.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri automotif Malaysia, Roslan memainkan peranan penting dalam mengubah dan memperkukuh kehadiran jenama di dalam pasaran, selain meraih kepercayaan pelanggan.

Pelantikan Roslan tiba pada masa yang tepat di mana GWM Malaysia sedang mempercepat usaha untuk membina ekosistem mobiliti yang menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan yang lebih pintar dan hijau.

Menurut Roslan Abdullah, GWM kini mempunyai resepi yang tepat untuk membentuk masa depan mobiliti di Malaysia.

“Visi saya adalah untuk meletakkan GWM sebagai rakan mobiliti jangka panjang yang dipercayai menerusi jaringan pengedar dan servis yang kuat dan boleh dipercayai, portfolio produk yang mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia, serta komitmen kuat untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar.

Roslan sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

GWM Tank 500 HEV Ultra, pencabar baharu segmen SUV off-road sudah tiba – Pandu Uji Ringkas

Siapa sangka, segmen off-road yang sebelum ini dikuasai oleh jenama Jepun kini sudah mula ditembusi oleh model terbaharu daripada pengeluar China.

Namun, tidak seperti kelaziman SUV off-road yang hadir dengan bantuan enjin diesel, pengeluar dari Tanah Besar menumpukan perhatian kepada enjin hibrid serta plug-in hybrid.

Kelebihannya? Enjin bersesaran kecil yang menyumbang kepada kos cukai jalan yang lebih rendah, dan keupayaan yang jauh lebih berkuasa dan bertenaga untuk kegunaan di laluan yang sukar.

Salah satu pengeluar yang tampil dengan penyelesaian off-road moden ialah GWM, menerusi produk SUV saiz penuh Tank 500 HEV.

Jadinya, jika anda sudah mula bosan dengan model buatan Jepun, tidak salah untuk cuba sendiri SUV off-road Tank 500 yang sudah rasmi berada di Malaysia.

Baru-baru ini kami dijemput sendiri oleh GWM Malaysia untuk memandu SUV hibrid mewah ini dari Bandar Elmina menuju ke Pulau Pinang, dan ini merupakan pendapat awal kami berkenaan Tank 500 HEV:

 

Dimensi yang gagah perkasa

Atas jalan, Tank 500 HEV nampak macam sekumpulan delegasi luar negara yang sedang melawat Malaysia, terutama apabila ia dipandu dalam kelompok konvoi.

Tidak seperti Tank 300 yang nampak seperti SUV retro, Tank 500 pula membawakan imej SUV yang lebih moden dan bersih dengan rekaan badan tanpa garis bercelaru.

Jika dibandingkan dengan pesaingnya (apa lagi kalau bukan Land Cruiser), Tank 500 memiliki dimensi yang sedikit kecil.

Namun Tank 500 mempunyai ukuran panjang melebihi lima meter, terima kasih kepada ruang simpanan tayar saiz penuh di bahagian belakang.

Bukaan pintu belakang juga tidak seperti tipikal SUV yang ada di pasaran, ia mempunyai engsel di bahagian sisi lengkap dengan fungsi tutup lembut.

Penulis tiada masalah untuk membiasakan diri dengan rupa paras SUV ini, cuma lebih enak di pandangan mata jika kebanyakan elemen krom itu dikusamkan.

 

Ruang kabin ada elemen olskool

Penulis tidak begitu menggemari susun atur papan pemuka yang mementingkan segala fungsi disumbatkan ke dalam skrin paparan.

Jadi, bila masuk ke dalam kabin Tank 500, penulis mampu melepaskan nafas lega kerana kebanyakan fungsi masih boleh dioperasikan dengan hanya menekan butang fizikal.

Selain butang kawalan sistem pendingin hawa, terdapat juga butang fungsi penting yang diletakkan pada konsol tengah, lengkap dengan tombol gear saiz besar.

Di depan pemandu disediakan skrin paparan sebesar 12.3 inci dan skrin paparan head-up, manakala skrin tengah pula sebesar 14.6 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Tempat duduk hadapan balutan kulit Nappa disediakan bermacam fungsi keselesaan (ventilasi, urut, larasan elektronik).

Untuk peneman sepanjang perjalanan, Tank 500 dipadankan dengan sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara untuk alunan muzik yang kena dengan jiwa.

Untuk keluar dari kabin dengan selesa, terdapat tempat pemijak sisi yang akan muncul secara automatik saat pintu dibuka.

Keselesaan penumpang dibantu dengan sistem pendingin hawa automatik tiga-zon. Penumpang belakang diberikan panel kawalan berasingan, serta empat corong udara untuk memastikan udara sejuk sampai ke tempat sepatutnya.

Perkara yang paling digemari penulis? Jam analog di bawah skrin infohibur itu tadi. Satu sentuhan kecil yang boleh buatkan suasana dalam kabin rasa macam kereta yang lebih mahal.

Kemasan kayu pada beberapa sudut turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih mewah untuk sebuah SUV berharga bawah RM400 ribu.

 

Pengalaman duduk sebagai penumpang

Satu perkara yang membuatkan perjalanan yang lebih selesa dalam Tank 500 ini ialah tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) yang cukup baik untuk sebuah SUV binaan ladder-frame.

Pada kelajuan meluncur yang sederhana tinggi, kami dapat rasakan suasana dalam kabin agak senyap.

Bunyi bising angin luar sukar untuk menerjah masuk, dan kurang bunyi bising yang datang dari arah gerbang tayar.

Sebagai penumpang, penulis mendapati Tank 500 menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas tanpa membuatkan rasa terkepit.

Bagaimana dengan tempat duduk baris ketiga? Penulis berpendapat ia lebih sesuai jika anda membawa kanak-kanak, atau lipat sahaja untuk ruang kargo 795 liter, atau sehingga 1,498 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sekali.

 

Pemanduan lancar dan bertenaga, cuma…

Saat penulis memegang stereng, terdapat beberapa perkara yang berjaya memadamkan tanggapan awal.

Satu: Tank 500 HEV memang cukup stabil dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan melebihi had kebangsaan di lebuh raya.

Dua: Kawalan badan yang mudah untuk dijangka, walaupun tidak dilengkapi dengan suspensi yang canggih.

Tiga: SUV ini memang berat, tapi ia tidaklah malas untuk bergerak.

Secara standard, Tank 500 dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo hibrid (HEV).

Atas kertas, Tank 500 menghasilkan 346 PS dan daya kilas 648 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sitem pacuan empat roda (4WD) menerusi transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan (9HAT).

Namun, ada satu perkara yang harus anda tahu.

Tidak seperti sistem HEV pada Haval H6 yang direka untuk penjimatan, sistem hibrid pada Tank 500 ini lebih bertindak sebagai penambah kuasa untuk memastikan badan seberat 2.5 tan ini bergerak dengan lancar.

Tiada masalah untuk bergerak dari pegun, namun Tank 500 dirasakan tidak cukup bertenaga bila penulis mahukan tujahan ekstra untuk memotong kenderaan berat di hadapan.

Anehnya, tujahan ekstra tersebut hadir pada masa yang salah – ketika SUV sedang meluncur dengan tenang pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.

Bukan penulis seorang sahaja yang perasan, perkara itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan media yang lain.

Ia bukanlah satu masalah, cuma penulis lebih gemar jika bantuan kuasa tambahan tersebut hadir pada masa yang tepat.

Secara purata, dengan pola pemanduan yang bercampur-campur di atas lebuh raya kami berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 11.5 liter untuk setiap 100 km.

Dari segi aspek kawalan pula, ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik.

Satu daripadanya ialah respons stereng, dan yang kedua ialah sistem brek yang kosong di mana ada kalanya sukar untuk penulis tentukan titik gigit brek yang diperlukan.

Tank 500 HEV secara standard hadir dengan tetapan suspensi double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang tanpa sebarang larasan elektronik yang lebih canggih.

Biarpun dengan tetapan konvensional, sistem suspensi tersebut telah ditala dengan baik untuk keselesaan dan keyakinan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Cuma ada ketikanya karakteristik SUV ladder-frame masih lagi dapat dirasakan terutama ketika kelajuan rendah. Ia sesuatu yang sukar utuk dielak, terutama untuk SUV dengan binaan badan sebegini.

 

SUV hibrid sedia untuk pemanduan off-road

Biarpun dengan pelbagai ciri mewah, GWM masih tidak lokek untuk melengkapkan SUV ini dengan bermacam ciri dan fungsi yang sangat berguna untuk laluan off-road.

Antaranya ialah kotak gear low-range, tiga kekunci pembeza (diff-lock) di bahagian depan, tengah dan belakang, fungsi tank-turn dan juga kawalan jelajah off-road.

Ia juga mampu meredah air sedalam 800 mm. Mungkin satu hari nanti kami akan kongsikan pengalaman pemanduan off-road di dalam Tank 500.

 

Ciri keselamatan

Selain itu, Tank 500 juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik, sistem pemantauan titik buta, serta sistem parkir automatik.

Selain itu, terdapat enam beg udara serta dua cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak disediakan.

Ciri yang paling berguna untuk SUV saiz besar ini sudah pasti sistem kamera keliling 360 darjah yang lengkap dengan fungsi pandang telus bonet.

 

Kesimpulan

GWM Tank 500 boleh jadi satu alternatif untuk mereka yang mahu tampil berbeza daripada pilihan yang wujud di pasaran.

Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang tempoh dua hari sukar untuk kami meneroka potensi SUV ini dengan lebih mendalam.

Namun yang pasti, dengan spesifikasi serta jaminan menyeluruh daripada pengeluar, serta harga jualan bawah RM350 ribu, GWM Tank 500 mampu menawarkan pengalaman yang tidak anda jangkakan daripada pengeluar China sebelum ini.

Ia bukan produk cap ayam yang boleh anda perlekehkan. Ia sebuah GWM Tank 500.

 

Spesifikasi GWM Tank 500 HEV (RM328,000 OTR)

Enjin: empat silinder sebaris, 2.0 liter turbo (244 PS/380 Nm)
Motor elektrik: 106 PS/268 Nm
Kuasa keseluruhan: 346 PS/648 Nm
Transmisi: Automatik sembilan-kelajuan
Sistem pacuan: empat roda
Pek bateri: Lithium-ion, 1.67 kWh
Dimensi: 5,078 mm x 1,934 mm x 1,905 mm
Jarak antara roda: 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah: 224 mm
Suspensi: Double-wishbone depan/multi-link belakang

GWM Tank 500 HEV rasmi di Malaysia – harga RM328,800

GWM Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV off-road mewah Tank 500 HEV di Malaysia Autoshow 2025.

Untuk pasaran tempatan, Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.

SUV tujuh tempat duduk ini membawakan ukuran dimensi 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Tank 500 HEV menawarkan sistem pacuan roda pintar (dengan ciri M-Lock), sistem Intelligent All-Terrain dengan 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, kawalan jelajah off-road serta fungsi casis pandang telus.

Ia juga mampu meredah air pada kedalaman maksimum 800 mm.

Untuk bahagian luaran, Tank 500 HEV menawarkan ciri seperti lampu LED projektor, jeriji besar dengan kemasan krom, lampu belakang LED, ruang tayar simpanan di belakang, rim 20 inci, serta tempat pemijak sisi boleh simpan automatik.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster 12.3 inci, skrin infohibur 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, jam analog, slot pengecasan peranti nirwayar, butang kawalan iklim fizikal, serta sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara.

Ciri keselamatan termaju turut dimuatkan pada Tank 500 HEV termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal tengah lorong, sistem pengelakan pintar, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta amaran bukaan pintu.

Ditawarkan dalam varian tunggal, GWM Tank 500 HEV dijual pada harga bermula dari RM328,800 atas jalan tanpa insurans.

GWM Malaysia buka tempahan SUV off-road Tank 500 HEV, harga anggaran bawah RM350,000

GWM Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV off-road mewah Tank 500 HEV untuk pasaran tempatan.

Tank 500 HEV secara asasnya merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk, membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Ia dijana dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dipadankan dengan motor elektrik tunggal 105 hp/268 Nm dan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.

Secara keseluruhan, Tank 500 HEV mampu menghasilkan kuasa setinggi 346 hp dan 648 Nm.

Selain daripada sistem pacuan empat roda pintar (dengan ciri M-Lock), GWM Tank 500 HEV menawarkan sistem Intelligent All-Terrain yang turut merangkumi 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, Off-road Cruise Control, dan fungsi casis pandang telus.

Antara kelengkapan ruang kabin termasuklah tempat duduk balutan kulit Nappa, sistem bunyi Infinity, tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, serta fungsi urut dan ventilasi untuk tempat duduk hadapan.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti enam beg udara, casis badan berkekuatan tinggi dan sistem bantuan pemandu termaju L2+.

Sesi pra-tempahan untuk GWM Tank 500 HEV kini dibuka di semua 14 pusat pengedar sah GWM di seluruh negara, dengan harga jualan bermula bawah RM350,000.

Tank 300 2025 ada versi diesel, 2.4T, 181 hp, 480 Nm, transmisi 9AT

Great Wall Motor (GWM) mengemaskini penawaran bagi model SUV off-road Tank 300 2025 di mana pelanggan kini boleh mendapatkan varian berenjin diesel serba baharu.

Tank 300 diesel dijana dengan enjin 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 181 hp dan daya kilas 480 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik sembilan-kelajuan (9AT), Tank 300 dikatakan mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, dengan kadar kecekapan mencecah 97 peratus!

Selain daripada versi petrol turbo 2.0 liter (217 hp/380 Nm), Tank 300 juga tersedia dalam versi plug-in hybrid Hi4-T.

Kuasa keseluruhan Tank 300 Hi4-T mampu mencecah 402 hp dan daya kilas 750 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.7 saat dan menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km.

10 mod pemanduan turut tersedia.

Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana Tank 300 kini menampilkan skrin infohibur sebesar 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, skrin kluster digital 12.3 inci, tuil transmisi pada kolum stereng serta roda stereng baharu.

Selain itu, terdapat juga sistem audio dengan 12 pembesar suara, sistem operasi Coffee OS 3, sistem pembatalan bunyi hingar aktif dan tempat duduk balutan kulit Nappa.

Disebabkan tuil transmisi telah dialihkan diikuti dengan susun atur butang fungsi pada konsol tengah telah diperbaharui, ruang kokpit kini nampak lebih lapang dan kemas.

Dari segi luaran, Tank 300 2025 masih lagi mengekalkan reka bentuk yang sama seperti model sedia ada, cuma ditambah dengan pilihan warna baharu desert yellow.

Di China, harga jualan Tank 300 2025 bermula dari 199,800 yuan (RM122,070), diikuti dengan versi diesel dari 234,800 yuan (RM143,454), sementara varian Hi4-T pula dari 249,800 yuan (RM152,618).

 

Tank 300 Hi4-T

 

Tank 300 Petrol & Diesel

GWM Malaysia rai penyerahan Tank 300 yang ke-500

GWM Malaysia mengumumkan ia telah menyerahkan Tank 300 yang ke-500 kepada pelanggannya.

Menurut syarikat itu, pencapaian ini membuktikan populariti Tank 300 yang semakin meningkat di negara ini, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan peminat off-road.

“Kami amat berbangga melihat sambutan dan impak besar GWM Tank 300 di Malaysia sama seperti di China,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan keterujaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Respons ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan momentum dengan barisan model Tank yang akan datang,” tambah beliau.

Bagi meraikan pencapaian ini, GWM Malaysia menawarkan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi kepada semua pemilik pertama Tank 300.

Syarikat itu turut menawarkan empat promosi eksklusif kepada pemilik baharu dan sedia ada Tank 300:

  • Pandu Uji dan Menang: Pandu uji Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilaiRM 888.
  • Beli dan Menang: Miliki Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilai RM8,888.
  • Pakej Penyelenggaraan Percuma: Miliki Tank 300 dan nikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
  • Menangi Kit Modifikasi Iron Cavalry GWM: Pelanggan yang membuat tempahan Tank 300 dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif kit modifikasi Iron Cavalry GWM. Untuk promosi ini, hanya satu pemenang bertuah akan dipilih.

 

Pemenang cabaran kecekapan bahan api GWM Haval H6 HEV catat 1,204 km dengan satu tangki!

Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengumumkan pemenang bagi kempen ‘GWM HAVAL H6 HEV Fuel Efficiency Challenge:Drive Further, Win Bigger’ yang berlangsung dari 20 Januari hingga 9 Februari 2025.

Dalam kempen ini, peserta menguji kemampuan kenderaan masing-masing untuk mencapai jarak pemanduan tertinggi dengan satu tangki penuh.

Gelaran juara telah dirangkul oleh Koh Hui Min dari Kelantan dengan catatan jarak tertinggi iaitu 1,204 km, sekali gus membuktikan kemampuan Haval H6 HEV dalam mencapai kecekapan bahan api maksimum untuk perjalanan jarak jauh.

Berikut adalah enam pemenang teratas dengan catatan jarak tertinggi:

  1. Koh Hui Min (1,204 km)
  2. Lee Keat Teng (1,127 km)
  3. Hasif Radzi (1,120 km)
  4. Teh Harn Jian (1,102 km)
  5. Tan Cheng Yang (1,101 km)
  6. Mohd Syarizal bin Mohd Noor (1,077 km)

“Pencapaian luar biasa ini membuktikan kemampuan SUV hibrid ini untuk mencapai kecekapan bahan api yang lebih efisien tanpa mengabaikan prestasi kenderaan,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Haval H6 HEV menampilkan gabungan enjin 1.5-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 243 PS dan 530 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.

GWM berkata Haval H6 HEV mempunyai tahap penggunaan bahan api 5.8 liter/100 km, bermakna ia boleh menempuh lebih daripada 1,000 km dengan satu tangki penuh.

Pusingan kedua cabaran ini kini sedang berlangsung dari 17 Februari hingga 9 Mac 2025. Enam pemenang teratas akan berpeluang untuk memenangi kad petrol bernilai RM1 untuk setiap 1 km jarak yang berjaya dicapai.

Pemilik yang berminat boleh mendaftar melalui pautan ini: https://forms.gle/TZM6QxHE9verxPVs5.

GWM pamer teknologi PHEV baharu, lancar inisiatif off-road di Changbaishan

Jika kita berbicara soal pemanduan off-road, sudah pasti terlintas dalam fikiran beberapa jenama serta model kenderaan yang lebih sesuai digunakan untuk tujuan itu.

Namun, anda harus tahu pengeluar automotif China kini tidak lagi ketinggalan jauh di belakang seperti suatu ketika dahulu.

Malah dengan kehadiran pelbagai teknologi baharu yang lebih moden dan lasak, mereka juga mampu berdiri sama baris dengan jenama-jenama terkemuka di luar sana.

Bertempat di kawasan pergunungan Changbai, wilayah Jilin pada 9-15 Januari yang lepas, GWM menganjurkan acara yang dinamakan sebagai Ice & Snow Festival.

Di sana, kami diberikan peluang untuk menguji sendiri keupayaan barisan kenderaan off-road Haval, Tank dan Poer meredah laluan ekstrem yang dipenuhi ais dan salji pada suhu mencecah negatif 30 darjah Celcius.

Biarpun hadir dengan spesifikasi standard kilang tanpa sebarang ubahsuai, kesemua kenderaan off-road tersebut membuktikan keupayaan sebenar dengan menghabiskan perjalanan meredah pelbagai bentuk muka bumi di sekitar Huamei Resort.

Antara sorotan utama acara Ice & Snow Festival itu ialah sistem plug-in hybrid (PHEV) baharu menerusi model Tank 500 Hi4-Z.

Berbanding sistem hibrid Hi4-T yang lebih ‘hardcore’, sistem Hi4-Z tidak lagi menampilkan aci pemacu yang menghubungkan enjin dengan gandar belakang.

Sebaliknya, roda belakang kini digerakkan oleh motor elektrik.

Disebabkan itu juga, GWM boleh memuatkan pek bateri yang lebih besar kapasitinya (59.05 kWh) untuk jarak gerak sifar emisi sejauh 200 km!

Dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (248 hp/380 Nm) dan dua motor elektrik, sistem Hi4-Z ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 852 hp dan daya kilas 1,195 Nm.

Ini membolehkan Tank 500 Hi4-Z memecut sepantas 4.6 saat dari 0-100 km/j sahaja.

Selain daripada itu, GWM juga melancarkan inisiatif GWM Off-Road Alliance.

Inisiatif terbaharu ini bertujuan untuk mengukuhkan komuniti off-road di peringkat global dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti latihan teknik pemanduan off-road, serta mengoptimasikan prestasi kenderaan untuk pelbagai jenis bentuk muka bumi.

GWM turut memperkenalkan sistem penggredan laluan off-road (skala 1 hingga 10) yang boleh memberikan satu kerangka kerja yang lebih jelas untuk menangani keadaan bentuk muka bumi yang berbeza.

Untuk pemandu di Malaysia, sistem gred ini boleh digunakan sebagai rujukan dan persiapan menghadapi pelbagai cabaran seperti kawasan berpasir di persisiran pantai, laluan ladang berlumpur serta jalan pergunungan yang curam.

Semua ini untuk memastikan komuniti off-road dapat menikmati perjalanan mencabar dengan lebih selamat dan dalam masa yang sama menikmati pengalaman yang menyeronokkan.

GWM Tank 500, Wey 80 buat kemunculan di KLIMS 2024

Acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 menyaksikan kemunculan dua model baharu daripada Great Wall Motor (GWM) iaitu Tank 500 dan Wey 80.

Menurut GWM Malaysia, SUV dan MPV mewah itu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2025 tetapi tarikh sebenarnya masih belum diberitahu.

Tank 500

Seperti Tank 300 yang memasuki pasaran tempatan pada Julai lalu, Tank 500 merupakan SUV off-road namun model ini bersaiz lebih besar dengan ukuran panjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm, dengan jarak roda 2,850 mm.

Di China, Tank 500 ditawarkan dengan beberapa jenis trenkuasa namun unit yang dipamerkan ini adalah varian hibrid yang menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 342 PS dan 648 Nm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda menerusi sistem pacuan empat roda.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuk 11 mod pemanduan, fungsi tank turn, Off-Road Cruise Control, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bantuan pemandu ADAS.

Harga tidak diumumkan namun jika diambil kira harga Tank 300 yang bermula dari RM250,000, model ini berkemungkinan besar dijual pada harga sekitar RM350,000.

Wey 80

Juga dikenali sebagai Gaoshan di China, Wey 80 merupakan MPV tujuh tempat duduk daripada sub-jenama mewah yang bernaung di bawah GWM iaitu Wey.

Model ini menampilkan trenkuasa hibrid plug-in Dedicated Hybrid Technology (DHT). Ia menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 487 PS (358 kW) dan 762 Nm.

Selain itu, trenkuasa berkenaan juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 37.96 kWj yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km berdasarkan kitaran CLTC.

Dari segi saiz, Wey 80 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,960 mm dan tinggi 1,900 mm, manakala jarak rodanya adalah 3,085 mm. Ia mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.

Antara ciri utamanya termasuk upholsteri kulit premium, kerusi sifar graviti, kerusi kapten pada barisan kedua, peti sejuk 12.5 liter, bumbung panoramik dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.

 

Haval H6 HEV, boleh ke tapau Corolla Cross Hybrid, CR-V e:HEV? – Pandu Uji

Di peringkat global, trend pemilikan kenderaan elektrik dilihat menjadi semakin perlahan.

Rata-rata pengeluar utama automotif dunia mula menarik brek tangan dan membuat pusingan U untuk kembali menghasilkan kenderaan bahan bakar fosil untuk para pelanggannya.

Apa yang pasti, teknologi zaman purba itu masih lagi belum menemukan titik penghujungnya, dan ia kini ditambah baik dengan bantuan sistem hibrid untuk jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding kereta elektrik bateri (BEV) dan semestinya kereta ICE tulen.

Salah satu kereta hibrid buatan China yang sudah pun wujud di pasaran Malaysia ialah Haval H6 HEV.

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, Haval H6 HEV merupakan pendatang baharu SUV segmen C untuk melawan pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan juga Proton X70.

Selain daripada pakej saiz, Haval H6 HEV juga datang dengan pakej harga yang cukup menarik perhatian – RM139,800, meletakkannya lebih murah berbanding dengan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Adakah dengan taktik harga murah itu mampu menarik golongan pembeli daripada mendapatkan Corolla Cross, atau CR-V yang lebih sofistikated?

Kami berjaya mendapatkan unit pandu uji Haval H6 HEV untuk tempoh beberapa hari dan ini merupakan hasil penilaian kami:

 

1. Rekaan luaran

Dalam banyak-banyak SUV segmen C yang ada, boleh dikatakan Haval H6 HEV ini mempunyai rekaan yang agak selamat.

Tiada sebarang garis-garis tajam yang agresif, reka bentuknya membulat, tapi tidaklah terlalu pau rupanya macam Proton X70.

Muka depan tampak garang dengan kehadiran lampu utama LED serta struktur jeriji lebar ‘Star Matrix’, cuma rim 19 inci itu dilihat agak kecil bila duduk di bawah gerbang roda SUV ini.

Untuk bahagian belakang pula, ia mendapat bar lampu LED melintang penuh, serta gugusan empat unit lampu brek yang bertenggek pada spoiler.

Senang cerita, rekaannya memang biasa-biasa saja. Tiada apa yang ‘wow’. Melainkan kewujudan lencana HEV yang menandakan ia bukanlah SUV yang malas bergerak macam anak gajah.

Faktor rupa yang agak selamat itu juga berjaya menyembunyikan fakta bahawa ia sebenarnya sebuah SUV yang agak besar!

Dengan ukuran 4,683 mm x 1,886 mm x 1,730 mm, Haval H6 jauh lebih lebar dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V, dengan kelebihan jarak antara roda yang lebih panjang.

 

2. Rekaan dalaman

Mengikuti trend semasa, Haval H6 HEV membawakan susun atur ruang kabin yang lebih minimalis.

Kelengkapannya juga serba lengkap, ada skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infohibur 12.3 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ciri penting untuk sebuah kereta moden!), kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat beberapa butang fungsi penting, cuma sayang sekali ia tidak menyertakan fungsi yang jauh lebih penting – kawalan suhu dan kelajuan hembusan angin sejuk.

Semuanya anda perlu selongkar sendiri menerusi skrin tengah. Hmmm… Sudah pasti ia mendatangkan kesulitan terutama ketika memandu seorang diri.

Penulis juga tidak begitu gemar dengan kemasan tiga tona yang menampilkan warna rose gold itu, rasa agak mengganggu tumpuan pemanduan.

Beralih kepada skrin hadapan, apa yang kami hargai ialah kesudian pihak GWM untuk tidak membanjirkan skrin tersebut dengan segala macam logo dan simbol-simbol yang menyemakkan mata memandang.

Reka letak dan grafik amat tajam dan mudah untuk dibaca, cuma sayang sekali kurang pilihan penyesuaian paparan disertakan untuk penulis yang lebih menggemari paparan meter kelajuan stail analog.

 

3. Pakej kuasa yang mengujakan

Ini merupakan antara SUV hibrid yang paling berkuasa di dalam kelasnya.

Haval H6 HEV dibekalkan dengan sistem enjin hibrid berkuasa 243 PS dan 530 Nm, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm), motor elektrik tunggal (177 PS/300 Nm), kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan dan sistem pacuan roda depan.

Dengan mod Sport yang tersedia, Haval H6 HEV mampu memecut sepantas 7.75 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.

Sebagai perbandingan, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 98 PS/142 Nm dan motor elektrik tunggal 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS.

Manakala CR-V e:HEV pula mendapat nadi hibrid 2.0 liter NA yang digandingkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 181 PS dan 335 Nm.

 

4. Pemanduan

Atas kertas memang nampak bertenaga, cuma hamburan kuasa yang diberikan oleh Haval H6 HEV tidaklah seagresif kereta sports atau kereta elektrik (EV) dengan tork yang menggila.

Saat pedal pendikit ditekan rapat ke lantai, anda boleh merasai pecutan yang responsif dan lancar tanpa menyebabkan leher anda kesakitan akibat daya G yang tinggi.

Kuasa ini sebenarnya sangat diperlukan ketika anda sedang memandu dengan ruang kabin yang sarat dengan penumpang dan barang, dan ketika itu perlu memotong lori treler lapan belas tayar di hadapan yang agak perlahan di jalan lama sebab terlebih muatan.

Satu perkara yang kami boleh puji SUV ini ialah tahap gegaran enjin yang langsung tidak dirasakan dari dalam ruang kabin.

Walaupun ada ketika SUV ini memerlukan kerahan tenaga ekstra, operasi enjin 1.5 liter turbo itu sangat cekap tanpa kehadiran bunyi bising dan gegaran yang disebutkan tadi.

Dengan dimensi yang agak besar, SUV ini masih lagi senang untuk dikawal, cuma roda stereng itu dirasakan terlalu besar – terasa macam pandu lori pun ada.

Aspek pengendalian juga memuaskan di mana ia lebih ditala untuk aspek keselesaan semua penumpang.

Sistem gantungan Haval H6 HEV bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran dan lubang yang muncul dari permukaan jalan raya, dan dalam masa yang sama tidak membuai dengan teruk di laluan yang berselekoh.

Sistem brek juga berfungsi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV yang berat ini daripada kelajuan tinggi, cuma pada kelajuan rendah anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan respons pedal supaya SUV ini tidak berhenti secara mengejut.

Menurut GWM, untuk satu tangki penuh Haval H6 HEV dikatakan mampu bergerak sejauh 1,000 km.

Angka tersebut sebenarnya telah pun dicapai oleh beberapa rakan media kami yang sudah menguji pandu SUV ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi, penulis berjaya mencapai angka jarak pemanduan melebihi julat 700 km – angka impresif tersebut boleh dicapai walaupun penulis tidak memandu secara santai demi mendapatkan manfaat penjimatan bahan api.

Sudah pasti, ia amat berguna untuk pemanduan jarak jauh di mana anda tidak perlu untuk berhenti dengan lebih kerap untuk melakukan pengisian bahan api.

 

5. Keselesaan

Tatkala penulis amat berpuas hati dengan hamburan kuasa yang diberikan oleh SUV hibrid ini, ada perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh GWM – keselesaan.

Untuk pemanduan jarak dekat, apa yang ditawarkan oleh Haval H6 HEV tidak akan mendatangkan masalah keselesaan yang ketara.

Namun bagi pihak berkeluarga yang kerap membuat pemanduan jarak jauh (balik kampung contohnya) mungkin sukar untuk mempertimbangkan SUV ini.

 

Apa yang penulis perasan ialah tempat duduk Haval H6 HEV tidak menawarkan sokongan bawah peha yang mencukupi.

Jadi, sepanjang masa kaki pemandu dan penumpang akan rasa tergantung dan ini akan membuatkan kita rasa lebih cepat penat.

Faktor dimensi yang besar membolehkan Haval H6 menyediakan ruang kaki dan kepala yang besar dan selesa, cuma ia tidak diseimbangkan dengan balutan upholsteri yang menyenangkan.

Terdapat fungsi ‘boss switch’ membolehkan pemandu melaraskan kedudukan kerusi penumpang hadapan sekiranya penumpang di sebelah terlena akibat kepenatan – ciri yang sangat diperlukan oleh suami mithali.

Dari segi praktikaliti pula, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan seperti beg bagasi dan plastik bungkusan dari pusat membeli belah terkemuka.

Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan diberikan ruang kargo sebesar 1,485 liter.

Akhir sekali, kami dapati aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) Haval H6 HEV berada di tahap yang agak memuaskan.

Dengan penggunaan tayar yang lebih senyap, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan ruang kabin Haval H6 yang lebih selesa, bunyi bising angin yang menderu juga turut ditapis dengan berkesan.

Cuma satu perkara yang penulis harus ingatkan, walaupun senyap, tayar standard yang digunakan pada Haval H6 HEV ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari corak pemanduan yang agresif.

Sedikit pelaburan besar amatlah diperlukan supaya anda boleh menikmati pemanduan berprestasi Haval H6 HEV yang lebih seimbang.

 

6. Hibrid, tapi boleh pandu macam EV!

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa Haval H6 HEV hanya didatangkan dengan kotak gear 2 nisbah kelajuan sahaja.

Jawapannya mudah, Haval H6 HEV bergantung hampir sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak dan tidak memerlukan nisbah gear yang terlalu banyak.

Enjin 1.5 liter turbo itu hanya akan dihidupkan sekiranya pemandu memerlukan kuasa ekstra untuk pemanduan agresif.

Kapasiti pek bateri yang dibekalkan agak kecil, sekitar 1.7 kWh sahaja namun sudah cukup untuk membenarkan Haval H6 HEV ini berperangai macam sebuah EV tulen!

Jarak gerak yang ditawarkan tidaklah terlalu jauh sehingga berbelas-belas kilometer, namun penulis perasan Haval H6 HEV ini langsung tidak menggunakan kuasa enjin semasa memandu di tengah-tengah ibu kota pada julat kelajuan yang rendah.

Sehinggakan ada yang bertanya, “SUV ni elektrik ke?” disebabkan operasinya yang agak senyap.

 

7. Harga yang agak berbaloi

Pada ketika ini, harga jualan Haval H6 HEV untuk pasaran Malaysia bermula dari RM139,800, menjadikannya sedikit murah berbanding Toyota Corolla Cross Hybrid (RM142,000).

Sebuah lagi SUV segmen C popular, Honda CR-V e:HEV RS dijual pada harga RM195,900 di mana ia hadir dengan rupa paras yang lebih agresif, namun kurang berkuasa berbanding Haval H6 HEV.

Ini secara tidak langsung meletakkan Haval H6 HEV sebagai sebuah model pesaing yang cukup ampuh untuk menentang dua model buatan Jepun, dengan kelebihan dari segi harga, kuasa, dan praktikaliti yang ditawarkan.

 

Persoalannya, dengan kelebihan yang disebutkan di atas, adakah kehadiran Haval H6 HEV mampu menggoncangkan asas yang sudah dibina kukuh oleh dua pengeluar Jepun itu tadi?

Bagi penulis, jawapan sebenar kepada persoalan itu mungkin sukar untuk menggembirakan hati semua pihak.

Ini kerana setelah menilai antara ketiga-tiga SUV tersebut, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh model buatan Jepun yang rasa lebih hidup dan terhubung dengan pemandu, keselesaan penumpang yang jauh lebih baik selain fungsi-fungsi penting yang lebih mudah untuk dioperasikan tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya skrin tengah.

Penulis tidak menolak sepenuhnya kelebihan yang wujud pada Haval H6 HEV, namun faktor kepuasan pemanduan adalah lebih penting, jauh mengatasi apa yang cuba digula-gulakan oleh GWM pada model ini.

 

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: Empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

 

Haval H6 HEV 2024 rasmi, 243 PS/530 Nm, dari RM139,800

Great Wall Motors Malaysia (GWM) Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV hibrid Haval H6 HEV 2024.

Ia dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa hibrid, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (177 PS/300 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.


Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan, iaitu H6 HEV Ultra dengan kelengkapan seperti struktur jeriji ‘Star Matrix’, unit lampu LED matriks, serta rim aloi 19 inci kemasan hitam berkilat.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin infohibur 12.3 inci, kawalan iklim dua zon, corong pendingin hawa baris kedua, tempat duduk balutan kulit, pintu tailgate berkuasa, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Ruang kargo adalah sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi keselamatan, Haval H6 HEV datang dengan enam beg udara, sistem kamera keliling 360 darjah, brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang, bantuan penukaran lorong serta sistem bantuan parkir.

Harga jualan Haval H6 HEV 2024 bermula dari RM139,800, lengkap dengan jaminan penuh kenderaan selama tujuh tahun/200,000 km, jaminan enjin selama 10 tahun atau satu juta km had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau satu juta km had perbatuan untuk komponen HEV.

Selain daripada tawaran pakej servis percuma selama lima tahun dan rebat RM3,000 untuk tempahan selewat-lewatnya 20 Oktober 2024, pemilik kenderaan GWM sedia ada juga boleh menikmati rebat tambahan bernilai RM3,000.

Tiga perkara kami kurang suka pada Ora 07 Long Range – Pandu Uji

Sedan elektrik Ora 07, atau nama lainnya Ora Lightning Cat mungkin sekali satu pakej EV yang agak unik di dalam pasaran Malaysia pada ketika ini.

Ia membawakan pakej rupa paras yang diinspirasikan daripada model jutaan ringgit, dalam masa yang sama harga yang cukup mampu beli.

Ulasan pandu uji telah pun kami kongsikan sebelum ini, namun dalam artikel ini kami akan bercerita tiga perkara yang kurang digemari wujud pada model ini.

 

1. Perumah lampu belakang yang ‘terpaling merah’

Rekaan luaran Ora 07 ini memang feminin dan nampak ringkas, siap ada spoiler adaptif lagi.

Namun, perkara yang kurang digemari ialah struktur perumah lampu belakang berwarna merah secara keseluruhannya.

Ketika pemanduan waktu siang, pengguna jalan raya lain mungkin sukar untuk meneka sama ada penulis sudah pun memberikan isyarat membelok atau mungkin masuk simpang menggunakan niat.

 

2. Tiada pilihan tema meter analog

Penulis cukup suka dengan ‘gugusan’ meter stail Porsche 911 yang wujud pada ruang kabin Ora 07 ini.

Nampak klasik dan moden dalam masa yang sama.

Cuma kekurangannya, ia tidak menawarkan pilihan tema meter analog untuk disesuaikan dengan jiwa pemanduan maskulin Ora 07 ini.

Namun sejujurnya penulis akui paparan grafik meter ini jauh lebih kemas berbanding sedan buatan China lain yang wujud di pasaran.

 

3. Kemudahan yang mudah namun rumit untuk digunakan

Sebagai seorang yang tidak mahu tumpuan pemanduan terganggu di atas jalan, penulis amat menghargai kewujudan tombol larasan manual pada bahagian konsol tengah untuk sistem pendingin hawa.

Bermakna, amat mudah untuk melaraskan suhu serta kelajuan tiupan angin sejuk dalam ruang kabin.

Cuma, itu sahaja.

Fungsi lain seperti arah tiupan angin perlu dilaraskan menerusi menu yang tersorok dalam skrin infohibur, dan tiada sebarang tombol manual yang tersedia pada corong angin pun!

Laporan penuh pandu uji Ora 07 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Kali pertama model ini menerjah dalam kotak ingatan ialah semasa menghadiri acara Auto Shanghai 2023 pada tahun lepas.

Ora 07, atau lebih dikenali dengan nama Ora Lightning Cat di pasaran luar sememangnya membawakan rekaan yang kontroversi, mengingatkan kita pada model sedan Porsche Panamera dan Porsche 911.

Untuk meletakkannya sama aras dengan model harga jutaan ringgit itu mungkin satu perkara yang tidak adil.

Ora 07 merupakan model kenderaan elektrik (EV) kedua yang dibawa masuk oleh pihak GWM Malaysia selepas hatchback comel Ora Good Cat, dengan penawaran harga bawah RM200 ribu (RM169,800).

Berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, adakah Ora 07 ini sebuah EV yang biasa-biasa?

Berdasarkan pengalaman pandu uji yang dibuat tempoh hari, jawapan muktamad yang kami boleh bagi, “Tidak!”.

 

1. Reka bentuk feminin

BYD Seal dan Tesla Model 3 membawakan bentuk badan sedan yang lebih tradisional.

Ora 07 pula lebih mengingatkan kita pada bentuk badan Porsche Panamera, dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang, diikuti dimensi badan yang agak panjang.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler adaptif berkuasa elektrik yang boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan, lampu depan pula kalau dilihat daripada mana-mana sudut pun, macam 911.

Secara keseluruhan, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun pada Ora 07 ini. Sesuai untuk mereka yang berjiwa feminin dan individu yang mahukan kelainan dalam segmen sedan elektrik.

Cuma, rekaan perumah lampu belakang yang serba merah itu mungkin akan membuatkan pengguna jalan raya keliru dan sukar untuk menentukan sama ada penulis bagi isyarat membelok atau isyarat kecemasan.

 

2. Dalaman inspirasi daripada Bugatti, Porsche

Tidak cukup dengan bahagian luar, susun atur ruang kabin juga banyak mengambil ilham daripada model ternama.

Konsol tengah yang tinggi itu dilihat mengambil inspirasi daripada Bugatti, sementara skrin kluster digital hadapan pemandu pula memang terang-terang membawakan elemen Porsche.

Setidak-tidaknya, susun atur yang ditunjukkan pada ruang ini jauh lebih baik dan senonoh berbanding kereta yang hanya sekadar menenggekkan skrin iPad pada papan pemuka semasa proses pembangunan dan terus menjualnya kepada umum.

Penulis cukup suka dengan rekaan skrin kluster digital Ora 07 ini, nampak lebih segar.

Cuma, kekurangannya, ia tidak didatangkan dengan pilihan tema yang bersesuaian dengan reka bentuk bulat itu. Malah, tiada opsyen untuk grafik meter analog tersedia pun!

 

3. Mudah dioperasikan, tapi masih menyusahkan

Satu perkara yang penulis hargai pada Ora 07 selain daripada sokongan Apple CarPlay/Android Auto ialah kewujudan tombol larasan manual pada bahagian tengah untuk sistem pendingin hawa.

Ia menawarkan larasan untuk kelajuan tiupan angin sejuk serta suhu kabin. Mudah untuk dioperasikan menggunakan ingatan otot tangan. Namun, itu sahaja manfaat yang diberikan.

Tiada tuil larasan tiupan angin fizikal disertakan pada corong pendingin hawa. Bermakna, jika anda rasa rimas dengan tiupan angin sejuk yang mencucuk hidung, anda perlu menyelongkar menu tambahan bagi sistem kawalan iklim dalam skrin infohibur.

Ya, Ora 07 menyertakan beberapa jenis mod tiupan angin dalam skrin tersebut untuk digunakan semasa musim panas, namun ia bukanlah satu ciri yang mampu menyenangkan pemanduan seharian.

Mujur juga Ora 07 dilengkapi dengan sistem audio 11 pembesar suara Infinity yang mengasyikkan, jadi bolehlah layan lagu kegemaran selepas puas menggodek tetapan kawalan iklim.

 

4. Kabin selesa, tapi…

Penggunaan bahan bersifat premium banyak menguasai ruang kabin Ora 07. Nampak mewah juga.

Tempat duduk sports yang disertakan standard dari kilang turut membantu dari segi aspek keselesaan, sama juga halnya dengan tempat duduk belakang yang agak empuk itu.

Selain jarak antara roda panjang, satu perkara yang membuatkan ruang tersebut nampak lebih luas ialah bumbung kaca panorama yang agak luas dan memanjang ke belakang.

Disebabkan itu, penumpang belakang dapat menikmati ruang kepala yang lebih luas. Cuma elakkan daripada membuat perjalanan jarak jauh untuk tempoh yang lama semasa matahari tegak di atas kepala.

Tiada suis tersedia untuk membuka struktur panel kaca tersebut, dan tiada penghadang cahaya disertakan pada bahagian tersebut untuk menapis sinaran mentari yang mampu membakar rambut anda.

 

5. Akses ruang kargo sedikit terhad

Sedan ini menyediakan ruang kargo sebesar 333 liter, cukup besar untuk kegunaan seharian.

Walaupun Ora 07 secara standard membawakan bentuk badan sedan fastback, ia tidak memberi makna bahagian belakang boleh dibuka dengan luas seperti mana-mana model aeroback yang lain.

Bukaan yang agak terhad mungkin menyukarkan anda untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Mujur juga tempat duduk baris kedua boleh dilipat, jadi anda boleh meletakkan barangan yang jauh lebih panjang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga beberapa ruang storan kecil tersedia dalam ruang kabin, menambahkan lagi aspek praktikaliti Ora 07.

 

6. Pemanduan maskulin

Secara standard, Ora 07 hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan 340 Nm yang memacu roda depan.

Kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan sedan elektrik di laluan urban, tiada masalah kekurangan tenaga.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Apa yang membuatkan penulis rasa teruja dengan sedan elektrik ini ialah pakej pengalaman pemanduan mengujakan yang sukar didapati pada mana-mana kereta elektrik lain.

Walaupun hadir dengan pelbagai ciri-ciri bersifat feminin, aspek pemanduan Ora 07 bersifat lebih jantan. Ibarat sebuah kereta dua alam.

Untuk seketika, penulis langsung terlupa Ora 07 merupakan sebuah sedan elektrik yang berat (2.5 tan) ketika menguji pengendalian kereta ini di laluan yang berliku-liku.

Respons stereng yang cukup bagus untuk memastikan kereta ini berada di landasan yang tepat, selain talaan casis dan sistem gantungan yang membuatkan pemanduan sedan elektrik ini dirasakan cukup seronok ketika meratah jalan-jalan lama di Negeri Sembilan.

Olengan badan juga dirasakan pada tahap minimum, membuatkan penulis lebih ghairah untuk terus menekan pedal pendikit setiap kali jalan lurus dihubungkan dengan selekoh.

Penggunaan tayar Hankook Ventus S1 Evo3 juga turut membantu sedan ini melekat dengan baik atas permukaan aspal.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih ‘hidup’ ialah iringan simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infohibur.

Setidak-tidaknya, ia dapat mengubati kerinduan anda terhadap kereta enjin, dan penulis kira ciri ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bunyi kapal angkasa yang wujud pada model EV yang lebih mahal harganya.

Terdapat beberapa mod pemanduan disertakan yang boleh diakses menerusi tombol manual tengah, termasuklah mod Well Being di mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal pendikit.

Macam kereta ICE, tak begitu?

 

7. Masalah bimbang jarak dipadamkan

Kami menguji varian Long Range yang dipadankan dengan pek bateri 83.5 kWh.

Mengikut data NEDC, sedan ini boleh bergerak sejauh 640 km untuk sekali cas penuh, satu angka yang mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk dicapai.

Berdasarkan penggunaan, kami berjaya merekodkan jarak pemanduan sejauh 470 km sebelum bateri mencatatkan baki 15 peratus SoC dengan anggaran jarak tersisa sekitar 102 km.

Pada pendapat kami, Ora 07 sesuai untuk dijadikan sebagai kereta belasahan harian, atau sekali sekala digunakan untuk merentas negeri melebihi dua marhalah.

Pengecasan DC sehingga 88 kW membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam tempoh setengah jam sahaja, bermakna anda tidak perlu menunggu lama sekiranya terpaksa melakukan perjalanan jauh dalam Ora 07.

 

8. Keselamatan

Secara standard, Ora 07 hadir dengan ciri keselamatan termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, sistem pengelakan pintar serta bantuan pengekalan lorong.

Ciri kawalan jelajah adaptif terbukti berkesan semasa berada di atas lebuh raya untuk mengekalkan jarak pemanduan yang selamat.

Cuma cara bantuan pengekalan lorong beroperasi mungkin dirasakan sedikit agresif terutama bagi mereka yang sudah yakin dengan pemanduan masing-masing.

 

Kesimpulan

Dengan harga bermula dari RM169,800, Ora 07 Long Range ini boleh jadi satu alternatif sedan elektrik yang dapat memenuhi cita rasa golongan pembeli yang mahukan kelainan, dan mahu lebih menonjol daripada kebiasaan.

Biarpun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun segala permasalahan itu mungkin akan terpadam apabila anda berupaya menikmati pemanduan yang cukup mengujakan dalam sedan ini.

Tak percaya? Sehingga sekarang pun penulis masih tak percaya!

Spesifikasi:

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda depan
Kuasa: 201 hp, 340 Nm
Pecutan: 0-100 km/j 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: 83.5 kWh
Jarak gerak: 640 km (data NEDC)