JPJ lawat kilang pengeluaran skuter elektrik GGR Motor di Sungai Penchala

GGR Motor baru-baru ini menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di kilang GGR Legacy (M) di Kampung Sungai Penchala, Khamis lalu.

Lawatan kerja yang disertai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan itu diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang bertujuan untuk meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar motosikal elektrik pertama tempatan.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” katanya.

Kunjungan Eric Jusiang bersama anggotanya disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Muhammad Mussaddiq.

Selain diberikan taklimat operasi, rombongan JPJ turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi bagi menyokong ekosistem EV.

Difahamkan, GGR Motor akan membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 dan beberapa model baharu akan datang.

Dibina atas tapak seluas lebih satu ekar, kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu selain diperkuat menerusi kerjasama strategik dengan PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Menurut Mussaddiq, motosikal EV Lion G1 sudah boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam tempoh seminggu selepas pelancaran, Lion G1 mencatatkan tempahan lebih 2,500 unit, menjadi petunjuk jelas penerimaan rakyat malaysia terhadap EV sebagai alternatif mobiliti harian.

GGR Motor bakal lancar motosikal elektrik hujung bulan ini menerusi inisiatif ‘Go Green Revolution’

GGR Motor, sebuah syarikat automotif tempatan bakal melancarkan model motosikal elektrik untuk pasaran Malaysia menerusi inisiatif ‘Go Green Revolution’.

Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun ini bertempat di Saloma Kuala Lumpur, dengan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn Bhd selaku Rakan Strategik Eksklusif merangkap pengedar sah utama.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini merupakan langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat.

Selain daripada sesi pelancaran dan pameran, ia juga akan dimeriahkan dengan aktiviti waktu malam seperti persembahan komuniti, acara tunggang uji, cabutan bertuah, serta akviti santai bersama pencinta EV.

Antara artis yang bakal memeriahkan suasana adalah Johan, Cat Farish, Farid Kamil, Ajak Shiro dan Nabil Ahmad.

“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,” katanya.

Selain itu, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit e-bike Lion G1 (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung konsert Aku Muzik Kami (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung pada 26-27 Julai di Sepang.

“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.

Mengikut spesifikasi, Lion G1 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan kuasa 4 hp (3 kW) dan daya kilas 140 Nm yang dipadankan dengan pek bateri graphene 32 Ah 72 V yang menawarkan jarak gerak sejauh 120 km, dan kelajuan maksimum 70 km/j.