Geely masuki bidang ketenteraan, hasilkan satelit untuk operasi kereta pandu-sendiri

ZHEJIANG Geely Holding Group telah memulakan pengeluaran satelit untuk menghasilkan rangkaian navigasi berketepatan-tinggi yang akan membantu kereta pandu-sendiri.

Pengeluaran besar-besaran telah bermila di Taizhou, Zhejiang Province, menandakan kemasukan pengeluar automotif China itu dalam bidang yang sebelum ini dipelopori oleh tentera.

Satelit-satelit ini dibangunkan sendiri oleh Geespace, iaitu syarikat dari kumpulan Geely dengan sasaran pengeluaran tahunan 500 unit.

Geely merancang untuk membina rangkaian satelit orbit rendah yang akan menghantar maklumat posisi tepat untuk kereta-kereta pandu-sendiri (self-driving cars).

Industri aeroangkasa China mempunyai hubungan rapat dengan People’s Liberation Army. Tetapi syarikat-syarikat swasta Amerika Syarikat (AS) juga telah mula membuat penglibatan signifikan dalam industri angkasa, terutamanya yang melibatkan automotif.

Jadi, Geely melihat keperluan untuk menceburkan diri dalam bidang ini untuk mengembangkan operasi automotif global mereka.

Pengasas dan pengerusi Geely, Li Shfu juga berkhidmat dalam National People’s Congress dan dikatakan rapat dengan presiden China, Xi Jinping.

Beberapa syarikat swasta di Zhejiang Province juga akhir-akhir ini telah membuat pelaburan dalam bidang seperti nuklear.

Geely sasar buka 5,000 stesen penukaran bateri EV di China

SYARIKAT subsidiary Geely iaitu Geely Technology Group bercadang membina lebih 5,000 stesen penukaran bateri electric vehicle (EV) di China.

Sasaran dibuat selepas syarikat itu berjaya menghasilkan proses perkhidmatan penukaran bateri E-Energee sebelum ini.

Pada acara Wuzhen Internet Conference 2021, Geely Technology Group menunjukkan bahawa mereka berjaya menghasilkan proses penukaran bateri dalam tempoh kurang seminit.

Foto ihsan Geely

Apa yang menarik, Geely Technology Group mendakwa proses penukaran bateri hanya mengambil masa 59 saat berbanding 90 saat.

Pelanggan boleh melakukan pembayaran secara dalam talian dan lebih mudah, pemandu tidak perlu keluar dari kenderaan ketika proses penukaran bateri dibuat.

Setakat ini, Geely Technology Group telah membina lebih 10 stesen E-Energee dengan hub pertama dibina di Chongqing pada September 2020.

Foto ihsan Geely

Untuk rekod, terdapat sebuah lagi syarikat automotif China dikenali sebagai NIO turut mempunyai sistem penukaran bateri EV.

Bagaimanapun, proses penukaran lengkap memakan masa lebih tiga minit.

Geely Xingyue L umpama kuda “Zooro”, mampu cari pemandu secara auto

GEELY Auto menambah satu lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) dikenali sebagai Xingyue L.

Ditayangkan buat pertama kali di Shanghai Auto Show 2021, Xingyue L dikatakan antara SUV paling canggih pernah dihasilkan syarikat itu.

Xingyue L antara SUV terhebat pernah dilahirkan Geely. – Foto ihsan Geely

Sehubungan itu, tidak hairan jika setakat ini lebih 30,000 tempahan telah dibuat dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Menarik tentang Xingyue L

Model ini merupakan SUV ketiga selepas Xingyue S dan Preface.

SUV ini dibina menggunakan platform CMA (Compact Modular Architecture) yang turut digunakan oleh Volvo XC40, C40 dan Polestar 2.

Bagaimanapun, Xingyue L mempunyai ukuran tapak roda atau wheelbase jauh lebih panjang berbanding model XC40, C40 dan Polestar 2 iaitu 2,845 mm.

Ukuran titik tengah roda kiri dan kanan (wheel track) pula adalah 1,610 mm sekaligus memberikannya penampilan lebih besar dan gagah.

Di bawah hud, terdapat enjin turbo empat silinder sebaris berkapasiti 2.0 liter yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Geely dan Volvo.

Enjin tersebut boleh didapati dalam dua versi iaitu 215 hp/325 Nm dan 235 hp/380 Nm.

Transmisi juga didatangkan dalam dua pilihan iaitu automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang dibangunkan sendiri oleh Geely dan automatik lapan kelajuan daripada Aisin.

Prestasi pecutan 0-100 km/j kedua-dua versi tersebut tidak jauh berbeza iaitu 7.7 saat untuk versi 235 hp dan 7.9 saat untuk versi 215 hp.

Menurut Geely, Xingyue L mempunyai pembahagian tork 50:50 yang dicapai menerusi sistem pacuan empat roda keluaran BorgWarner.

Ia juga didatangkan dengan lima mod pemanduan iaitu Eco, Norm, Sport, Snow dan Off-Road.

Xingyue L versi hibrid 

Semua model Star termasuk Xingyue L ditawarkan dengan sistem tren kuasa hibrid sekaligus selari dengan inisiatif Blue Geely.

Versi hybrid akan diperkenalkan pada suku keempat 2021 ini menawarkan kecekapan termal 43.2 peratus dan penjimatan bahan api melebihi 40 peratus.

Berikut antara teknologi canggih lain terdapat pada Xingue L:-

  • Sistem operasi Milky Way
  • Head up display realiti terimbuh (AR) 25.6 inci
  • Sistem audio Bose dan pencahayaan ambien

Sistem valet automatik

Sementara itu, Xingyue L juga mempunyai sistem valet automatik yang menggunakan teknologi 5G.

Penggunaan sistem ini membolehkan kenderaan masuk ke petak parkir tersebut dengan sendiri.

Apa yang lebih gempak, ia juga boleh keluar dari petak parkir dan bergerak secara automatik kepada pemandu dalam lingkungan jarak 200 meter!

Pada masa sama, model ini juga mempunyai Highway Assisted Driving (HWA) yang berfungsi memantau keadaan di sekeliling kenderaan.

Selain itu, sistem ini memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang membolehkan ia menukar lorong dan mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan lebih besar secara automatik.

Bagi memastikan sistem dan teknologi berfungsi pada tahap optimum setiap masa, segala perisian akan dikemas kini secara atas udara atau Over The Air (OTA).

Hebat Geely!

Reka bentuk belakang yang sangat menarik dan eksklusif. – Foto ihsan Geely

Harga Geely Geometry A Pro tak masuk akal, bakal dieksport waktu terdekat

SYARIKAT pengeluar kenderaan gergasi China Geely nampaknya semakin serius dalam menghasilkan kenderaan pintar.

Memperkenalkan model Geometry A Pro, ia bukan sahaja mesra alam tetapi turut didatangkan dengan teknologi canggih demi kepuasan pemanduan.

Sebenarnya, Geometry A Pro merupakan kesinambungan daripada model Geometry A yang dilancarkan pada tahun lalu.

Geometry A Pro sudah pasti memiliki beberapa penambahbaikan dengan peningkatan teknologi terkini serba canggih.

Memetik maklumat didedahkan Geely UnCut, Geometry A Pro yang didatangkan dengan bateri 70 kWh dapat menjimatkan 20 peratus ruang meskipun mempunyai kapasiti lebih tinggi.

Mengikut kitaran NEDC, Geometry A Pro mampu mencapai jarak pemanduan mencecah 600 kilometer.

Sementara itu, Geometry A Pro juga didakwa mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam masa 6.9 saat.

Apa lagi menarik mengenai Geometry A Pro?

Geometry A Pro juga memiliki teknologi iBooster terbaharu keluaran Bosch.

Teknologi ini mampu memberi daya tahan lebih lama kepada kenderaan terutama ketika dipandu dalam bandar.

Setakat ini, Bosch mendakwa iBooster mampu menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti lebih pendek selain memberi “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras.

Geometry A Pro dijual pada harga sekitar 148,000 yuan atau bersamaan RM95,116.