ARIIC XGobi 250 2026 bakal mendarat di Malaysia – harga anggaran RM14,388

Sebuah lagi skuter sesaran 250 cc jenama ARIIC bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun depan, iaitu ARIIC XGobi 250.

Skuter kembara ini berkongsi nadi silinder tunggal 249 cc yang sama dengan Touch 250, namun hadir dengan tangki bahan api 12.5 liter dan kadar penggunaan bahan api sekitar 2.9 liter/100 km.

Secara fizikalnya, XGobi 250 dilengkapi dengan beberapa ciri dan penampilan yang lebih lasak.

Antaranya ialah padanan crash bar secara standard, fork hadapan jenis terbalik (USD), skrin penghadang angin larasan manual, serta rim lidi aloi aluminium.

Ciri lain yang tersedia termasuklah unit lampu LED, sistem permulaan tanpa kunci, sistem brek cakera depan belakang, serta skrin paparan TFT saiz 7-inci.

Aspek keselamatan pula terdiri daripada ciri seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS), serta kamera perakam tunggangan (depan).

Sama seperti ARIIC Touch 250, ARIIC XGobi 250 juga bakal memasuki pasaran Malaysia selewat-lewatnya Mei 2026, dengan harga anggaran RM14,388.

ARIIC Touch 250 2026 bakal tiba di Malaysia – harga anggaran RM13,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan model skuter baharu segmen 250 cc yang bakal memasuki pasaran Malaysia kelak, iaitu ARIIC Touch 250.

Skuter maxi ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc menghasilkan kuasa 22.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 23.5 Nm @ 5,000 rpm.

Dengan tangki bahan api 11 liter, Touch 250 boleh bergerak sejauh 370 km dengan kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 3.0L/100 km.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan (jarak pergerakan roda 80 mm) serta penyerap hentak berkembar di belakang, sementara brek pula menggunakan rotor saiz 260 mm di depan dan 220 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, penghadang angin larasan elektrik, sistem permulaan tanpa kunci, skrin paparan TFT 6.75 inci dengan sokongan Bluetooth dan navigasi, mod tunggangan, serta pelana setinggi 760 mm.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan juga kamera perakam tunggangan (depan).

Skuter ini dijangka masuk pasaran Malaysia selewat-lewatnya Mei 2026 dengan harga anggaran RM13,888.

Unit prototaip ARIIC 400GS diperlihatkan – bakal masuk Malaysia tahun depan

Bertempat di Jinlang Motorcycle Culture Week di Taizhou, China, ARIIC memperlihatkan unit prototaip skuter kembara 400GS yang turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia tahun depan.

Dari segi kuasa, 400GS dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 396 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 33.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 38.3 Nm @ 5,500 rpm.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 3.62 liter/100 km.

Tidak banyak perincian didedahkan buat masa ini, cuma yang pasti 400GS ini hadir dengan sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (HSCT), skrin panel instrumen LCD penuh, serta skrin penghadang angin boleh laras empat-tahap.

Pihak Mforce Bike Holdings turut mengesahkan skuter ini bakal dipasarkan di Malaysia, dengan pelancaran rasmi dirancang pada acara Mforce Motorshow yang berlangsung bulan Mei 2026.

Skuter maxi Ariic 318GT 2025 kini di Malaysia – RM22,888

MForce Bike Holdings baru-baru ini melancarkan sebuah lagi skuter maxi untuk pasaran tempatan di bawah jenama Ariic, iaitu 318GT 2025.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair bersesaran 330 cc yang mampu menghasilkan 27.6 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 30.8 Nm @ 5,500 rpm.

Nama 318GT itu diinspirasikan daripada Lebuhraya Nasional 318 yang memiliki jarak paling panjang di negara China.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang, dibantu dengan sistem brek cakera berkembar 260 mm di depan, rotor tunggal 240 mm di belakang dan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan pada 318GT ini termasuklah unit lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) agresif, lampu belakang LED, penghadang angin boleh laras elektronik, butang kawalan bercahaya, port pengecasan USB, kamera perakam tunggangan hadapan dan sistem kunci pintar.

Ia juga turut menyediakan ruang penyimpanan tengah, serta ruang storan bawah pelana yang boleh memuatkan satu topi keledar bermuka penuh dan satu topi keledar separuh.

Terdapat juga skrin paparan TFT berwarna penuh yang lengkap dengan ciri sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sekitar 16 liter, sementara tinggi pelana pula 790 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Ariic 318GT dijual pada harga RM22,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.