AFAZ sahkan kehadiran supermoped buatan tempatan, enjin GSX-R150

Ini merupakan satu perkembangan menarik yang datang daripada jenama motosikal nasional kedua, AFAZ.

Hujung minggu lalu, pihak AFAZ mendedahkan beberapa info tentang perkembangan terbaharu sebuah lagi model yang bakal dilancarkan tahun ini, iaitu supermoped 150 cc.

Ya, nampaknya Modenas Z15GT bakal ada pesaing sebenar tak lama lagi!

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

1. Supermoped AFAZ ini akan menggunakan enjin 147 cc daripada GSX-R150.

Difahamkan, enjin yang mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 14 Nm @ 9,000 rpm ini akan ditala semula oleh pihak AFAZ.

 

2. Ketika acara berlangsung, kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar rupa sebenar supermoped tersebut.

Unit prototaip yang dipamerkan selepas itu didapati mengguna pakai komponen daripada Raider 150.

Namun usah risau kerana menurut AFAZ, casis bagi supermoped ini akan dibangunkan serba baharu, dan segala komponen lain turut dibuat sendiri oleh pihak AFAZ.

 

 

3. Supermoped AFAZ ini dikategorikan sebagai sebuah model premium yang setanding dengan model Yamaha Y16ZR.

Antara ciri yang boleh kita jangkakan termasuklah skrin paparan TFT dengan sokongan arahan suara, ABS dua-saluran, lampu LED dan ciri yang lebih sesuai untuk sebuah motosikal pantas.

 

4. Satu lagi benda menarik yang dikongsikan ialah supermoped ini bakal menggunakan sistem auto clutch yang dibangunkan oleh Amitech, sebuah sub-syarikat di bawah AFY Mobilities.

Sistem auto clutch ini akan debut pada model Raider pasaran Vietnam, sebelum ditawarkan pada model supermoped AFAZ ini.

5. Sedang berkira-kira untuk mencari supermoped selain Yamaha, Honda dan Modenas?

Anda boleh menantikan kemunculan model ini tidak lama lagi, jangkaan pelancaran mungkin dalam separuh kedua tahun ini (H2 2026).

AFAZ serah model Kencana Sport kepada Perdana Menteri

Satu detik bersejarah tercatat semalam (15 Januari) apabila jenama motosikal tempatan AFAZ Kencana Sport diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Majlis ini menandakan kemuncak kepada inisiatif jangka panjang yang bermula dengan pelaksanaan Automotive Manufacturing 2 (AM-2) pada tahun 2022.

Ia merupakan satu kerangka dasar strategik bertujuan untuk memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh.

Pada tahun 2023, KMSB Motors Sdn Bhd memeterai Perjanjian Memorandum (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.

Hasilnya, projek AFAZ telah dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional dengan matlamat jelas untuk membangunkan Motosikal Nasional Kedua Malaysia dan memperkukuh ekosistem industri motosikal negara.

Penyerahan AFAZ Kencana Sport kepada Perdana Menteri bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan keupayaan Malaysia dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian mobiliti bertaraf nasional, hasil gabungan dasar progresif, kerjasama industri strategik dan keupayaan tempatan yang semakin matang.

AFAZ Kencana Sport merupakan sebuah motosikal underbone dengan enjin Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, serta disokong teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan dan prestasinya.

Objektif utama pembangunan model ini adalah untuk menyediakan sebuah motosikal yang praktikal dan mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan pasaran massa.

 

Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan, keselamatan dan pematuhan peraturan. Pendekatan ini memastikan motosikal ini bukan sahaja relevan untuk pasaran tempatan, malah bersedia untuk dieksport ke pasaran ASEAN dalam tempoh terdekat.

Dengan tahap kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan piawaian yang kompetitif, AFAZ Kencana Sport berpotensi menjadi duta industri dua roda Malaysia di peringkat serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada vendor tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif ASEAN.

AFAZ Kencana Sport 115 rasmi di Malaysia – harga RM5,799

Malaysia kini mempunyai sebuah lagi jenama motosikal baharu, iaitu AFAZ yang merupakan kerjasama antara pihak AFY Mobility Industries dan Suzuki.

Model pertama yang dilancarkan untuk tahun ini ialah AFAZ Kencana Sport 115, sebuah kapcai bersesaran 115 cc dengan harga jualan RM5,799.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal SOHC piawaian Euro4 yang mampu menjana kuasa setinggi 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.0 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

Enjin itu tadi turut mendapat sistem sejukan minyak Suzuki (SOCS).

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik depan diikuti penyerap hentak berkembar KYB di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal bersaiz 220 mm di depan, dibantu dengan brek gelendong di belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED depan belakang, paparan meter analog yang mudah untuk dibaca, tangki bahan api sebesar 4.2 liter dan tinggi pelana 760 mm.

Dua warna menarik ditawarkan iaitu Delima Red dan Laguna Blue.