Pos Malaysia uji kenderaan logistik autonomi tanpa pemandu

POS Malaysia AV 2026 1

Pos Malaysia Berhad kini memasuki era baharu logistik pintar dengan pelancaran kenderaan autonomi (AV) yang pertama di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Pos Malaysia dengan Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS) serta Digital Nasional Berhad (DNB).

ALS merupakan syarikat tempatan yang bertanggungjawab membawa masuk kenderaan logistik autonomi tanpa pemandu (Tahap 4) Zelos berkuasa elektrik sepenuhnya yang direka khusus untuk penghantaran barang B2B.

Pos Malaysia dan ALS akan menjalankan Pembuktian Konsep (PoC) selama enam bulan dalam persekitaran operasi Pos Malaysia sebagai langkah kritikal ke arah penggunaan di atas jalan raya sebenar.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Futurise bagi memastikan ia memenuhi rangka kerja peraturan dan keselamatan yang ditetapkan.

Pengenalan kenderaan autonomi elektrik ini mengukuhkan komitmen Pos Malaysia terhadap Pelan Hala Tuju Kemampanannya yang mengutamakan penyahkarbonan, kecekapan operasi dan inovasi hijau merentasi rantaian nilai.

Dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mengoptimumkan laluan penghantaran, AV ini berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara dan meningkatkan kecekapan tenaga dalam operasi logistik.

Pos Malaysia kini mengendalikan armada kenderaan elektrik terbesar di negara yang terdiri daripada lebih 1,500 motosikal dan van elektrik, merangkumi 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan dalam armadanya.

Di China, Zelos sudah mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomi merentasi beberapa negara termasuklah China, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved