Arkib Kategori: BERITA

Nissan Kicks e-Power bakal dilancarkan Disember ini – dua varian, CBU Thailand

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mendedahkan spesifikasi Nissan Kicks e-Power yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Disember ini.

Menurut ETCM, SUV segmen B ini akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu VL dan VLT.

Kedua-dua varian menampilkan trenkuasa e-Power yang menggabungkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder, sebuah motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 2.1 kWj. Gabungan ini menghasilkan 129 PS dan 280 Nm.

Tidak seperti trenkuasa hibrid konvensional, enjin dalam trenkuasa e-Power bertindak sebagai penjana yang ditugaskan untuk mengecas bateri. Kuasa kemudiannya akan disalurkan ke motor elektrik bagi menggerakkan roda.

Ia bermakna Kicks e-Power dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah kenderaan elektrik sebenar tetapi ia tidak perlu dicas.

Kadar penggunaan bahan api adalah 21.7 km/l berdasarkan kitaran NEDC. Dengan tangki bahan api sebesar 41 liter, ia dikatakan mampu mencapai jarak sejauh 900 km.

Selain mod Normal, Sport dan Eco, terdapat juga mod EV di mana enjin tidak dihidupkan langsung bagi memberikan pemanduan seperti EV sebenar.

Namun untuk mod ini, ia hanya boleh diaktifkan ketika cas bateri berada pada tahap penuh dan hanya boleh digunakan sejauh 2.5 km memandangkan saiz bateri yang kecil. Turut disertakan adalah ciri pemanduan satu pedal.

Dari segi kelengkapan, Kicks e-Power didatangkan standard dengan lampu LED automatik, lampu kabus LED, cermin sisi boleh lipat automatik, pengelap cermin sensitif kelajuan dan kit pembaikan tayar (tiada tayar ganti).

Di dalam, terdapat tempat duduk Zero Gravity dengan balutan fabrik, pelarasan manual enam hala untuk kerusi pemandu dan empat hala untuk kerusi penumpang depan, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci dan tiga port USB.

Ciri keselamatan pula terdiri daripada Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Hill Start Assist, Intelligent Driver Alertness, Cruise Control, Intelligent Forward Collision Warning dan Forward Emergency Braking.

Mereka yang memilih varian VLT mendapat ciri-ciri tambahan berupa upholsteri kulit dua tona, kamera 360 darjah, Intelligent Rear View Mirror, Intelligent Cruise Control, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Kicks e-Power boleh didapati dalam warna Black Star, Sunrise Orange, Brilliant White Pearl, Brilliant Silver dan Red Pearl.

Varian VLT juga boleh dipesan dengan bumbung hitam Super Black untuk warna Sunrise Orange, White Pearl dan Red Pearl. Satu lagi warna dua tona yang ditawarkan untuk varian ini adalah Dark Metal Grey.

Proton Saga LHD mula dipasang di Mesir Disember ini

Proton dijangka akan memulakan proses pemasangan kenderaan (CKD) di Mesir pada Disember ini menerusi pembukaan kilang di Kaherah, Mesir.

Perasmian kilang CKD tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersempena dengan lawatan rasminya ke negara itu.

Terletak di Al Oula Industrial Park, Giza, fasiliti yang dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) bernilai US$35 juta ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dan mampu menyediakan 400 peluang pekerjaan.

Perasmian kilang CKD tersebut merupakan susulan daripada penghantaran pertama unit CKD ke Mesir pada 9 September yang lalu.

Unit pertama Proton Saga versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dijangka akan meluncur keluar dari barisan produksi pada bulan Disember ini dengan sasaran pengeluaran 1,400 unit untuk tahun 2024.

Angka tersebut akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun 2025, dengan unjuran pengeluaran sebanyak 16,000 unit Saga CKD versi LHD untuk tempoh sehingga tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain pasaran domestik Mesir, Proton juga akan mengeksport model kenderaan ke negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Proton juga merancang untuk menjadikan Mesir sebagai salah satu hab terpenting pengeluar itu di rantau tersebut.

Rekaan sedan bandar Honda Amaze 2025 didedahkan, pelancaran rasmi bulan depan

Faktor kekangan saiz menyebabkan tidak banyak model sedan segmen A dalam pasaran global mempunyai reka bentuk yang cantik dan seimbang.

Honda nampaknya cuba untuk memecahkan pandangan skeptikal tersebut menerusi imej rekaan Amaze 2025 generasi ketiga serba baharu.

Secara asasnya, Honda Amaze 2025 merupakan sebuah sedan bandar berukuran panjang bawah empat meter dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 4 Disember ini.

Ia menggandingkan rekaan hadapan yang diinspirasikan daripada SUV HR-V, diikuti bahagian belakang daripada sedan City, sementara ruang kabin pula membawakan susun atur yang lebih ringkas seakan kabin Civic.

Ruang kabin Amaze ini berkemungkinan besar menggunakan kelengkapan yang sama digunakan pada Honda Elevate, dengan skrin sentuh 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin hawa digital serta corong angin berbentuk segi empat.

Honda Amaze dijangka mengekalkan penggunaan enjin empat silinder sebaris 1.2 liter berkuasa 90 PS dan 110 Nm, atau pilihan enjin diesel i-DTEC 1.5 liter berkuasa 100 PS dan 200 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual atau CVT.

Apabila dilancarkan secara rasmi kelak, Honda Amaze 2025 bakal bersaing dengan Maruti Suzuki Dzire, Hyundai Aura serta Tata Tigor.

Operasi CKD Chery Omoda E5 sudah bermula di Kulim

Chery Auto Malaysia mengumumkan bahawa ia telah memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) Omoda E5, kira-kira lapan bulan selepas ia dilancarkan dalam versi CBU. Unit pertama EV itu telah pun keluar dari barisan pengeluarannya di Kilang Inokom di Kulim, Kedah.

Pencapaian ini selari dengan komitmen Chery untuk meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan, mempromosikan pertumbuhan industri Malaysia, dan menyumbang kepada peralihan negara ke arah masa depan automotif yang lestari dengan EV.

Omoda E5 merupakan kenderaan keempat Chery yang dipasang di negara ini selepas Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan Omoda 5.

“Dengan memasang kereta kami secara tempatan, ia bukan sahaja membolehkan kami menawarkan harga yang lebih kompetitif tetapi juga menandakan komitmen jangka panjang Chery di Malaysia, memupuk penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja tempatan,” kata Leo Chen, Presiden Chery Auto Malaysia.

Tambah beliau, inisiatif ini selaras dengan dasar pematuhan penyetempatan kerajaan dan akan menyokong serta membantu Malaysia menjadi hab serantau untuk EV.

Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, pencapaian penting ini mencerminkan pengukuhan kerjasama dan visi yang dikongsi antara Sime Darby dan Chery.

“Keupayaan kami merangkumi seluruh rantaian nilai automotif, dan perkhidmatan pemasangan adalah kawasan pertumbuhan yang penting serta pemacu utama untuk bahagian pemotoran kami,” tambahnya.

Semasa majlis perasmian line-off itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Liew Chin Tong, berkata, “Chery patut diberi pujian kerana 99% daripada tenaga kerja pemasangan mereka di sini adalah rakyat Malaysia. Industrialisasi Malaysia harus membawa kepada pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia, bukan lebih banyak pekerjaan untuk pekerja asing yang tidak mahir.”

Beliau menambah bahawa, setakat 30 September 2024, terdapat 32,543 Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang didaftarkan di jalan raya Malaysia. Walau bagaimanapun, 98% daripada BEV ini merupakan unit import CBU.

“Dengan majlis line-off ini, Chery menyertai jenama-jenama lain yang memasang EV di Malaysia, menandakan satu kemajuan besar dalam usaha melokalkan pengeluaran kenderaan elektrik.

“Penyetempatan sebanyak mungkin dalam aspek pembuatan kenderaan mempunyai dimensi imbangan pembayaran. Pada tahun 2023, sektor automotif mencatatkan jumlah nilai import sebanyak RM62.14 bilion, manakala nilai eksport keseluruhan ialah RM18.01 bilion,” kata YB Liew.

MODENAS serah 1,092 skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan kumpulan kedua skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO sebanyak 1,092 unit kepada Pos Malaysia sebagai sokongan kepada komitmen untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.

Kesemua skuter elektrik ini akan dihantar secara berperingkat menyertai armada EV Pos Malaysia sedia ada  yang terdiri daripada 220 unit motosikal elektrik (termasuk 140 unit MEV-1 yang telah diserahkan sebelum ini) dan 143 van elektrik.

Modenas MEV-1 PRO telah direka untuk memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran, menyokong kapasiti beban sehingga 250 kg, kuasa maksimum 4.3 kW (5.8 hp) serta keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah.

Syarikat MODENAS akan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO menerusi rangkaian pusat servisnya di seluruh negara.

Difahamkan, skuter elektrik MODENAS MEV-1 juga akan ditawarkan kepada pengguna umum dengan versi yang lebih mampu milik diperkenalkan bermula suku pertama 2025 (Q1 2025).

 

Rangka pesawat yang tular bukan milik TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini menafikan rangka pesawat yang dipaparkan dalam video dan gambar tular menerusi media sosial adalah miliknya, lapor Bernama.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan bahawa semua pesawat milik pasukan itu berada dalam pegangan dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM.

“Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat (yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat) yang tular di media sosial (Facebook, TikTok dan platform X), TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM.

“Pihak TUDM menyeru agar tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 10 saat dan gambar memaparkan beberapa pesawat pejuang yang dipercayai berada di sebuah pelabuhan.

RXZ Twin Boss V2 bakal gegarkan Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32

Semasa acara Art Of Speed 2024, motosikal RXZ Twin Boss V2 oleh FNG Works menjadi tumpuan utama apabila merangkul Anugerah Pilihan Juri dan Pilihan Awam dalam pertandingan Art of Speed Invitational Bike Build Off.

Sebagai juara keseluruhan, motosikal binaan khas ini akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32 pada tahun 2024 di Jepun, bersama kenderaan kustom terbaik dari seluruh dunia.

FNG Works dimiliki dan dioperasikan oleh Mohamad Irwann Bin Mohd Azlan. Pemuda berusia 33 tahun yang lebih mesra dikenali sebagai Cheng ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UiTM Shah Alam.

Antara inspirasi binaan beliau adalah motosikal yang direka oleh Khalid “The Rusty Factory”, Omar Jumiran, Padin Musa, Hills Angels, Azizan Rahim, dan Acid Welding. Bagi pembina antarabangsa, Cheng mengagumi karya Maxwell Hazan, Allen Millyard, Ed Roth, Arlen Ness, dan Sure Shot.

Kisah Twin Boss V2 bermula pada Art Of Speed 2017 dengan debut RXZ Twin Boss yang asal. Dalam reka bentuk V1, Twin Boss juga dikuasakan oleh dua enjin Yamaha RXZ 135cc tetapi dikonfigurasikan dengan satu enjin di hadapan yang lain dan disambungkan pada crank melalui pemacu rantai. Ia telah disiapkan dalam gaya ‘Digger’ dan menjadi hadiah cabutan bertuah pada AOS 2017.

Untuk Art Of Speed Malaysia 2024 yang ke-13, Cheng menggabungkan sepenuhnya dua enjin Yamaha RXZ 135cc menjadi enjin dua silinder tunggal untuk RXZ Twin Boss V2.

Cheng menjelaskan, “Saya ingin mencipta motosikal yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Sesetengah orang mungkin mengkategorikannya sebagai gaya ‘Board Tracker’ atau ‘Land Speed Racer’, tetapi saya mulakan dengan dua enjin Yamaha RXZ yang saya gabungkan menjadi satu unit.

“Dari situ saya membina motosikal di sekeliling enjin yang, pada pendapat saya, mempunyai perkadaran dan garisan yang tepat. Untuk sentuhan terakhir, saya mensasarkan tahap ketepatan fabrikasi yang paling tinggi yang saya mampu capai.”

Art Of Speed Malaysia (AOSM) akan membiayai penyertaan Cheng dalam acara tersebut, dengan bajet RM60,000 untuk menghantar motosikal tersebut ke Jepun, termasuklah penerbangan, hotel, pengangkutan, dan logistik.

Bagi meraikan acara ini, pasukan AOS akan menghasilkan sebuah filem pendek bagi meraikan serta memperingati perjalanan RXZ Twin Boss V2 dari Ipoh, Malaysia ke Yokohama, Jepun.

Projek filem ini akan menampilkan Cheng sendiri, pembina kustom dari Ipoh, bersama-sama dengan Farid Nabawi, Pengarah Kreatif AOS. Hanif Sulhi, pemenang Anugerah Siri Dokumentari Terbaik 2023, Fail Mahkamah TV3, akan membawa bakatnya dalam penceritaan dan menjadi pengarah filem pendek tersebut.

Dengan tajuk “RXZ Balik Kampung: Dari Ipoh ke Yokohama”, mesej yang penuh inspirasi ini bertujuan untuk memperkasakan kreativiti dalam kalangan belia, menyemai keseronokan, dan mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Filem pendek ini akan dibahagikan kepada siri 6 episod, dengan tayangan perdana di semua platform sosial AOS pada Hari Krismas, 25 Disember 2024. Ia juga akan dihantar ke pelbagai Festival Filem Antarabangsa, termasuk Festival Filem Motosikal (Toronto, Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA), dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).

AOSM percaya bahawa penyertaan Malaysia dalam acara ini akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia di persada dunia dan membawa perhatian global kepada industri kreatif Malaysia terutamanya dalam dunia kustom.

Pasukan AOS akan berada di Jepun selama enam hari bersama 15 peserta rombongan untuk menyokong dan memberikan semangat kepada FNG Works.

@engear.tv RXZ Twin Boss V2 Buatan Malaysia 😎 #fyp #carsoftiktok #madeinmalaysia #rxz #yamaha #135cc #twinboss #kustomkulture #hotrod #yokohama #artofspeed #engeartv #viral #trending ♬ Pop beat BGM / long version(1283324) – nightbird_bgm

SAIC Motor Malaysia serah lebih 20 unit MG5 kepada pemilik

SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan lebih 20 unit MG5 baharu kepada para pemilik dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie (Mega Galeri Sdn Bhd).

Menurut SAIC Motor Malaysia, kejayaan acara penyerahan ini adalah hasil kerjasama lebih 18 pengedar sah Motor MG yang terletak di lokasi strategik, memastikan pelanggan menerima kereta mereka dengan segera.

“MG5 telah menarik minat segmen pembeli yang mengutamakan gaya dan keperibadian, dan kami amat teruja untuk meraikan kejayaan ini bersama pelanggan kami,” kata Lee Wen Hsiang, Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor Malaysia.

Tambah beliau lagi, acara tersebut memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, mendengar maklum balas mereka, serta meraih pandangan mengenai tahap kepuasan mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu kami mempertingkatkan perkhidmatan, tetapi juga mengukuhkan komuniti yang kukuh dengan semangat MG,” katanya.

Dilancarkan pada Oktober lalu, MG5 ditawarkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.

Sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.

Ia dikuasakan oleh enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.

Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.

MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.

Kini anda boleh beli tayar Continental menerusi aplikasi TNG eWallet

Continental telah melancarkan Program Mini di aplikasi TNG eWallet, membolehkan pelanggan membeli tayar dengan hanya beberapa ketikan pada telefon bimbit mereka.

Bagi meraikan pelancaran dan meningkatkan keyakinan pembelian tayar dalam talian, Continental menawarkan promosi eksklusif dari 7 November hingga 30 November, bertepatan dengan Jualan Mega 11.11.

Pelanggan boleh menikmati pulangan tunai sehingga RM1 juta, dengan purata 15% pulangan tunai setiap transaksi.

Pelanggan yang membelanjakan minimum RM300 dalam satu transaksi antara 7 Nov 2024 hingga 31 Jan 2025, secara automatik akan menyertai cabutan bertuah dan memperoleh satu penyertaan.

Hadiah utama merangkumi jongkong emas bernilai RM10,000, serta hadiah-hadiah menarik seperti tiga iPhone 16 Pro, dua konsol PS5, dua Huawei MatePad 11.5” Edisi PaperMatte, dan dua Baucar Trapo.

Pemenang mingguan juga boleh menerima pulangan tunai untuk pembelian tayar Continental mereka (tiga pemenang setiap minggu) dan Kad NFC Continental x Touch ‘n Go Edisi Terhad.

“Platform baharu ini memudahkan rakyat Malaysia membeli tayar Continental dalam talian, memenuhi permintaan mereka untuk kemudahan, keselamatan dan harga yang kompetitif,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.

Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, berkata, “Kerjasama kami dengan Continental menunjukkan komitmen kami untuk meningkatkan kehidupan pengguna kami merentasi pelbagai titik sentuh, memberikan mereka perjalanan digital yang lancar, selamat dan holistik.”

Program Mini membantu pengguna mencari corak dan saiz tayar yang betul, dengan pilihan untuk membeli.

Pengguna boleh menggunakan kod promosi, memilih pengedar berdekatan dan menjadualkan pemasangan dalam kedai di lebih 120 kedai tayar Continental yang mengambil bahagian di seluruh negara melalui Program Mini.

Setelah mengesahkan pembayaran melalui TNG eWallet, pelanggan hanya perlu memandu ke pengedar terpilih untuk pemasangan percuma, termasuk pengimbangan, dengan perkhidmatan penjajaran pilihan yang tersedia.

Enjin baharu Mazda Skyactiv-Z bakal ganti Skyactiv-G, Skyactiv-X, muncul tahun 2027

Selain berusaha untuk menghasilkan kembali nadi rotari yang selama ini menjadi identiti jenama, Mazda juga mahu menambah baik penawaran enjin pembakaran dalaman sedia ada.

Menurut satu laporan kewangan yang dibentangkan baru-baru ini, Mazda mendedahkan projek pembangunan enjin empat silinder baharu Skyactiv-Z bagi menggantikan peranan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X.

Hasil daripada input pembangunan enjin empat silinder Skyactiv-Z ini akan digunakan untuk pembangunan unit enjin enam silinder sebaris akan datang.

Enjin baharu ini akan menggunakan kaedah pembakaran lambda (λ) satu (lambda one combustion method), di mana ia mewakili nisbah udara dan bahan api yang seimbang dicapai semasa proses pembakaran.

Dalam senario ini, enjin Skyactiv-Z mampu menjanjikan kecekapan operasi, prestasi yang cemerlang, dan dalam masa yang sama meminimumkan pencemaran.

Mazda mahu memperkenalkan enjin Skyactiv-Z ini di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat menjelang tahun 2027, sekaligus beransur-ansur menghentikan penggunaan enjin Skyactiv-G dan Skyactiv-X sedia ada.

Selain daripada enjin empat silinder sebaris, Mazda juga serius untuk mengekalkan enjin rotari yang telah menjadi identiti jenama itu.

Jika anda masih ingat, awal tahun yang lalu Mazda telah menubuhkan satu pasukan khas yang akan bertanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap enjin rotari.

Pasukan yang terdiri daripada 36 orang jurutera itu akan terus mengembangkan kegunaan enjin rotari bukan sahaja sebagai unit penambah jarak, malah boleh disesuaikan dengan penggunaan bahan api neutral karbon (CNF) supaya dapat memenuhi regulasi di pasaran utama dunia.

Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

Rosenbauer Panther 6×6 Electric, trak bomba sifar emisi untuk lapangan terbang

Syarikat pengeluar kenderaan bomba dan penyelamat dari Austria, Rosenbauer memperlihatkan model baharu yang direka khas untuk operasi di lapangan terbang, iaitu Panther 6×6 Electric.

Ia dikategorikan sebagai kenderaan penyelamat dan pemadam kebakaran pesawat (ARFF) dan merupakan versi sifar emisi kepada Panther 6×6 diesel.

Biarpun menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik, Panther 6×6 Electric ini masih lagi membawakan keupayaan yang sama seperti model diesel, dilengkapi dengan tangki air 12,000 liter, tangki buih 1,450 liter dan tangki serbuk 250 kg.

Untuk menggerakkan trak seberat 40 tan ini, Panther 6×6 Electric dijana oleh empat motor elektrik berkuasa 980 hp (atau setinggi 1,200 hp menggunakan mod boost).

Pecutan 0-80 km/j boleh dicapai dalam tempoh 19.7 saat sahaja sebelum mencapai kelajuan maksimum 120 km/j

Pek bateri berkapasiti 256 kWh pula mampu membenarkan jumlah tenaga yang mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas di dalam kawasan lapangan terbang.

Pengecasan pantas DC 300 kW membolehkan bateri dicas dari sifar ke 100 peratus dalam tempoh 45 minit sahaja.

Menurut Rosenbauer, lebih daripada 90 peratus operasi harian Panther boleh dikendalikan menggunakan kuasa elektrik semata-mata.

Terdapat sistem tenaga sandaran menggunakan enjin diesel untuk menampung kuasa yang diperlukan oleh pam berprestasi tinggi semasa melakukan tugas-tugas kecemasan.

Dengan adanya alternatif trak sifar emisi ini, ia sudah pasti akan menjadi pilihan di kalangan pengendali lapangan terbang dan industri aviasi dalam usaha untuk mencapai misi nyahkarbon.

 

Yamaha Y16ZR 6MRO dilancarkan – 3,000 unit sahaja, RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mencatat sejarah dengan pengeluaran motosikal yang ke-6 juta unit baru-baru ini.

Bagi meraikan pencapaian itu, HLYM telah melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6th Million Roll Out (6MRO) ke pasaran tempatan.

Jika dibandingkan dengan versi standard, Y16ZR 6MRO tampil lebih menonjol dengan livery dwi warna serta grafik dengan efek khas “chameleon” yang boleh bertukar warna.

Selain itu, model ini juga boleh dibezakan menerusi logo ‘glow in the dark’ pada bahagian sisi dan lencana khas yang tertera nombor siri pengeluaran.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Y16ZR 6MRO mengekalkan enjin 155 cc SOHC VVA silinder tunggal yang mampu menghasilkan 17.7 hp dan 14.4 Nm.

Menurut HLYM, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 3,000 unit sahaja. Harga jualan bermula dari RM13,668 (harga atas jalan tidak termasuk insurans).

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej eksklusif yang terdiri daripada kotak paparan, seutas jam tangan Casio G-Shock, plat sijil pemilikan logam dan model die-cast.

Tidak cukup dengan itu, pembeli juga akan menerima sebuah topi keledar Tekhne dalam warna yang sedondon dengan motosikal.

HLYM rai pengeluaran motosikal ke-6 juta, lancar pembukaan muzium Space Y

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan pencapaian pengeluaran motosikal yang ke-6 juta, bertempat di kilang Sungai Buloh.

Model yang ke-6 juta ini merupakan sebuah Yamaha Y16ZR dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Jim Khor selaku Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd; Katsuaki Watanabe, Pengerusi, Pengarah dan Presiden Yamaha Motor Jepun; Datuk Kwek Leng San, Presiden dan CEO Hong Leong Manufacturing Group dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia.

Menurut Dato’ Jim Khor, “Sebelum ini, angka produksi 5 juta merupakan satu pencapaian yang membanggakan yang dicapai dalam tempoh masa 46 bulan.

“Hari ini, kami meraikan pencapaian 6MRO hanya dalam tempoh masa 37 bulan sahaja, menandakan produksi jutaan terpantas di dalam sejarah industri motosikal Malaysia.

Serentak dengan pencapaian tersebut, HLYM turut secara rasmi membuka muzium motosikal yang pertama di Malaysia, Space Y yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Terletak di HQ Yamaha Motor Lifestyle Station, Space Y menawarkan ruang seluas 9,000 kaki persegi yang menyediakan pameran yang menarik, termasuklah ruang sejarah dan perlumbaan, terowong inovasi, ruang seni interaktif, teater dan kedai barangan eksklusif Space-Y.

Dibuka setiap hari kecuali Ahad (10.00 am-5.00 pm), pengunjung tidak akan dikenakan yuran kemasukan sehingga 31 Disember 2024.

Bermula Januari 2025, yuran kemasukan sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak akan dikenakan.

 

HLYM Space Y

Isu stereng: Honda Malaysia panggil semula 36,000 Civic, Civic Type R dan CR-V

Honda Malaysia telah mengumumkan kemas kini produk proaktif membabitkan kira-kira 36,000 unit Honda Civic, Civic Type R dan CR-V.

Menurut syarikat itu, aktiviti ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS).

Roda kotak gear (worm wheel) EPS boleh membengkak dan mengurangkan ketebalan filem gris, menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau melekit.

Model yang terlibat termasuk Civic tahun 2022-2024, Civic Type-R tahun 2023-2024, dan CR-V tahun 2024.

Honda Malaysia berkata ia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam kemas kini produk ini.

“Syarikat percaya kemas kini produk proaktif ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai kemas kini produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terlibat dalam kemas kini ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan. Ini bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan/atau dibaiki jika perlu.

Kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok gantian akan tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024.

SAH: Kereta sports Mazda Iconic SP akan diproduksikan, kekal dengan enjin rotari?

Setelah setahun berlalu, Mazda akhirnya mengumumkan perancangan untuk menghasilkan model konsep Iconic SP menjadi sebuah model produksi yang sebenar.

Menurut ketua unit rekaan Mazda, Masashi Nakayama berkata, “konsep ini bukanlah sekadar kereta pameran yang kosong, ia telah direka dengan niat yang sebenar untuk mengubahnya menjadi model produksi tidak lama lagi.

Sebelum ini, terdapat beberapa bayangan di mana Mazda mahu merealisasikan projek tersebut.

Petunjuk pertama muncul ketika acara Japan Mobility Show 2023, di mana presiden dan CEO Mazda Masahiro Moro menyifatkan Iconic SP sebagai mercu tanda “komitmen masa depan” jenama itu.

Beberapa bulan kemudian, Mazda dilapor menyertai pakatan yang ditubuhkan oleh Mazda untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang dapat mencapai sasaran neutral karbon, di mana pengeluar itu komited untuk mengekalkan enjin rotari ikonik mereka.

Sebagai pengganti kepada kereta sports RX-7 dan RX-8, kereta konsep Mazda Iconic SP dilengkapi dengan enjin rotari rotor berkembar yang dipadankan dengan unit rangkaian kuasa elektrik (EV), dan output keseluruhan mampu mencecah 365 hp.

Mazda mendakwa unit enjin rotari penambah jarak itu boleh menggunakan apa jua bahan api neutral karbon yang mampu mengurangkan penghasilan emisi sehingga 90 peratus.

Selain daripada itu, Mazda juga kini sedang menguji teknologi yang dapat memerangkap CO2 daripada emisi ekzos, di mana ia mungkin memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan masa depan pengeluar itu.

 

Enjin rotari generasi baharu

 

Mazda Iconic SP Concept @ Japan Mobility Show 2023

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

Anthony Loke: Semua bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres berikutan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini, menurut laporan Kosmo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres itu sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.

“Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.

“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada MOT boleh mengarahkan APAD memastikan peralatan mengecas telefon yang di pasang dalam pengangkutan awam diuji tahap keselamatan sebelum diberi kelulusan untuk digunakan.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.

Menurut beliau, soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.

“Ini jangan bimbang. Tidak perlu bimbang penggunaan soket tersebut. Bagi bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut.

“Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan. Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” katanya.

Berita penuh di Kosmo!

Brabus Big Boy 1200, inilah rumah mewah bergerak yang sebenar!

Inginkan sebuah rumah bergerak yang serba lengkap dan mewah?

Anda mungkin sekali memerlukan sebuah Brabus Big Boy 1200, sebuah motorhome atau RV tiga gandar yang dibangun menerusi kerjasama dengan STX Motorhomes.

Dibina berdasarkan pelantar Mercedes Actros, RV sepanjang 12 meter, lebar 2.5 meter dan tinggi 4 meter ini mampu menyediakan kemudahan seperti bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan ruang dapur, lengkap dengan tangki air bersih dan kotor yang cukup besar.

Terdapat juga sepasang TV 4K bersaiz 43 inci, konsol permainan PS5, dan sistem audio premium yang mampu menemani sepanjang kembara.

Tidak cukup dengan saiz yang tersedia?

Pihak STX turut memasang sehingga empat modul berkuasa elektrik yang boleh diluncurkan keluar untuk ruang untuk berehat atau bekerja yang lebih luas dan selesa, lengkap dengan jek hidraulik untuk memastikan kestabilan struktur.

Kemudahan bermalam yang disediakan termasuklah katil kelamin, dua sofa dan tambahan katil tunggal yang boleh ditarik turun pada bahagian belakang kokpit.

Ruang dapur pula menyediakan pelbagai perkakasan moden termasuklah tungku memasak, ketuhar, peti sejuk beku, mesin kopi dan mesin pembasuh pinggan mangkuk.

Aspek ketersambungan bukanlah masalah besar kerana Brabus Big Boy 1200 ini dilengkapi dengan piring satelit Starlink dan penghala Wi-Fi.

Selain itu, Brabus turut memasang sehingga lapan panel solar, pek bateri dan unit penjana kuasa untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk tempoh masa di luar grid yang lebih lama.

Untuk menggerakkan motorhome tiga gandar ini, Brabus Big Boy 1200 dikuasakan oleh enjin diesel turbo 12.8 liter menghasilkan 523 hp dan 2,600 Nm, di mana kelajuan dihadkan kepada 90 km/j sahaja.

Harga untuk satu unit Brabus Big Boy 1200 bermula dari €1,260,504.20 (RM6 juta).

Touch ‘n Go lancar kempen e-Mas, rebat tunai bagi setiap pembelian RFID

Touch ‘n Go (TnG) melancarkan dua kempen baharu bagi meningkatkan pengalaman rakyat Malaysia dalam penggunaan dompet digital.

Kempen e-Mas yang sah bermula 1 Oktober 2024 hingga 31 Januari 2025 menawarkan pengguna eWallet TnG mendapatkan e-Mas, iaitu emas digital yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun.

Untuk melayakkan diri, pengguna hanya perlu membuat pembelian tag RFID sepanjang tempoh yang disebutkan tadi, di mana 100 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk menerima pulangan tunai e-Mas bernilai RM100.

Kempen Rebat Pulangan Tunai RFID pula menawarkan rebat RM5 untuk setiap pembelian tag RFID di pusat pemasangan atau servis sah di seluruh negara, bermula 1 November 2024 hingga 31 Januari 2025.

Rebat ini akan mengurangkan harga tag RFID daripada RM35 kepada RM30, dan terhad kepada 27,500 orang pelanggan pertama yang layak dengan melakukan pembayaran menggunakan eWallet TnG.

Menerusi kempen terbaharu ini, TnG mahu menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan moden dalam mempelbagaikan simpanan sambil menyepadukan perbelanjaan harian dengan lebih lancar, dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengalaman pengguna melalui inovasi digital.

Toyota ‘dedah’ barisan kereta sports baharu dalam siri anime GRIP

Selain daripada siri animasi Jepun “Initial D” dan “MF Ghost” yang memaparkan watak utama memandu sebuah kereta berjenama Toyota, terdapat juga siri animasi yang dihasilkan secara rasmi oleh pengeluar tersebut.

Siri anime “GRIP” yang boleh ditonton secara halal di saluran YouTube kini sudah pun masuk musim kedua dan ia mempunyai telur Easter yang mampu menggembirakan hati para peminatnya.

Dikongsikan dalam laman forum Supra MKV, telur Easter tersebut muncul pada papan contengan dalam satu babak di mana terdapat senarai kereta sports GR yang mungkin akan muncul kelak, iaitu Supra Mk6, Celica Mk8, MR2 Mk4, GR86 Mk3 dan GR GT3.

Jika anda perasan, nama GR Yaris dan GR Corolla langsung tidak tercatat dalam senarai tersebut, diikuti dengan GR Starlet yang digembar-gemburkan sebagai alternatif mampu milik kepada model hatchback GR Yaris.

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Toyota Gazoo Racing akan menghidupkan semula beberapa nama ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah sukan permotoran jenama itu.

Celica dijangka akan muncul sebagai sebuah coupe pacuan semua roda dengan enjin 2.0L turbo 400 hp, manakala MR2 pula berkemungkinan besar hadir sebagai kereta sports berenjin tengah berdasarkan model konsep FT-Se.

Selain daripada GR86 dan GR Supra yang muncul dalam generasi baharu, terdapat juga GR GT3/Lexus LFR yang mungkin sekali dikuasakan oleh nadi V8.

Sumber gambar: Best Car Web JP

Toyota juga mahu menghasilkan sebuah lagi model pantas GR Starlet yang diposisikan sebagai pelengkap kepada barisan hot hatch sedia ada (GR Yaris, GR Corolla).

Tidak seperti dua model dengan sistem pacuan GR-Four, GR Starlet akan menggunakan enjin tiga silinder sebaris berkuasa sekitar 150 hp dan 220 Nm untuk memacu roda hadapan sahaja.

 

Shell Malaysia, BonusLink perkenalkan program kesetiaan yang diperbaharui

Shell Malaysia dan BonusLink telah melancarkan program ganjaran dan kesetiaan yang diperbaharui, yang membolehkan ahli mengakses ganjaran yang lebih baik berdasarkan peringkat mereka.

Program kesetiaan yang diperbaharui ini mempunyai struktur tiga peringkat, iaitu Silver, Gold dan Platinum. Ini membolehkan ahli menggandakan ganjaran mereka sehingga lima kali ganda, menjadikan faedah premium lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

Ahli Silver memperoleh 1.5X mata, ahli Emas menerima 3X mata, dan ahli Platinum boleh menggandakan ganjaran mereka sehingga 5X mata bagi setiap liter semasa mengisi minyak di Shell dan juga pembelian di dalam kedai.

Selain itu, tempoh kemas kini ganjaran telah dilanjutkan kepada dua bulan, memberikan ahli lebih masa untuk mengumpul mata dan memaksimumkan faedah mereka.

Ahli juga digalakkan untuk beralih ke aplikasi Shell bagi pembayaran, untuk mendapatkan ganjaran eksklusif yang jauh melebihi yang ditawarkan oleh kad fizikal. Ia juga memudahkan proses pengumpulan dan penebusan sementara menawarkan kemudahan yang tiada tandingan.

“Selama bertahun-tahun, program kesetiaan telah menjadi sebahagian daripada hubungan jenama-pelanggan, tetapi di Shell, kami fokus untuk memastikan pelanggan kami mendapat nilai yang nyata setiap kali mereka berkunjung. Bersama dengan BonusLink, kami telah memperbaharui program ganjaran kami untuk memberi manfaat kepada semua, bukan hanya kepada mereka yangberbelanja besar. Dengan setiap pemberhentian di Shell, ganjaran anda berganda, yang dibuat lebih lancar melalui aplikasi Shell.

“Sejak kami melancarkan aplikasi Shell pada 2023, kami telah menerima maklum balas yang sangat baik mengenai cara kami dapat meningkatkan pengalaman pembayaran. Kami teruja untuk melancarkan aplikasi Shell yang ditingkatkan tidak lama lagi, menjadikannya cara pilihan untuk membayar minyak di Shell. Kemas kini ini mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan, memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan lebih banyak faedah dan pengalaman yang lebih lancar,” kata Seow Lee Ming, Pengarah Urusan Shell Malaysia.