Arkib Kategori: BERITA

Xpeng G6 RWD Standard Range 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Xpeng di Malaysia melancarkan SUV elektrik Xpeng G6 varian RWD Standard Range.

Dengan harga jualan RM158,888, varian asas itu mampu melengkapi varian Long Range dan AWD Performance yang telah dilancarkan sebelum ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Unit pacuan

Xpeng G6 RWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Terdapat enam mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

 

2. Bateri

Varian asas ini hadir dengan bateri lithium iron phospate (LFP) 68.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 480 km (data WLTP).

Ia menyokong pengecasan DC sehingga 382 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus SoC dalam masa 12 minit.
Pengecasan AC pula mampu mencapai sehingga 11 kW untuk pengecasan 7.3 jam dari 5-100 peratus SoC.

 

3. Luaran

Secara standard, G6 RWD membawakan kelengkapan yang sama dengan dua varian yang lebih tinggi seperti lampu utama LED, pemegang pintu tersorok, kaca kalis bunyi serta fungsi privasi untuk baris kedua dan kaca belakang.

Cuma bezanya, ia hadir dengan padanan rim 18 inci.

 

4. Dalaman

Beberapa fungsi telah ditiadakan pada varian asas G6 ini seperti fungsi urut pada tempat duduk hadapan, fungsi pemanas untuk baris kedua, serta balutan kulit nappa/suede.

Ciri lain adalah sama seperti varian tertinggi seperti skrin paparan digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kemas kini over-the-air (OTA), sistem bunyi keliling XPENG XOPERA dengan 16 pembesar suara, sistem penapisan udara PM2.5 dan sistem penyegar kabin N.95.

Tempat duduk pemandu dan penumpang depan diberikan larasan elektrik enam tahap, fungsi sokongan tulang belakang, pemanas, ventilasi dan fungsi memori.

 

5. Keselamatan

G6 RWD ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), peringatan tali pinggang keledar, cagak ISOFIX, Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS), e-Call dan autohold.

Ciri keselamatan termaju termasuklah Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Pemusatan Lorong (LCC), XPilot Assist Parking dengan kamera 360 darjah, Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Bukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW) serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri yang tidak disertakan pada varian asas ini adalah perakam pemanduan dan sistem pemantauan keadaan pemandu (DSM).

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black, Silver Frost dan Stellar Purple, sementara ruang kabin pula mendapat kemasan Light Gray dan Dark Gray.

Setiap pembelian Xpeng G6 disertakan dengan pakej pengecasan tanpa had 2-tahun oleh JomCharge, atau pemasangan pengecas dinding 11kW oleh DC Handal.

Honda Base Station Prototype, treler untuk berkhemah dan aktiviti luar!

Honda membuka tirai 2026 dengan memperkenalkan Base Station Prototype, sebuah treler pekhemah (towable travel trailer) serba ringan yang dibangunkan khusus untuk menjadikan aktiviti berkhemah lebih mudah, lebih mampu milik dan lebih mesra pengguna moden.

Dilancarkan di Torrance, California, konsep ini lahir daripada pasukan R&D Honda di Los Angeles dan Ohio iaitu kumpulan sama yang mencipta skuter elektrik kompak Motocompacto.

Rekaan Ringan, Boleh Ditunda SUV Kompak

Fokus utama Base Station ialah memudahkan pemilik kenderaan biasa menikmati gaya hidup luar tanpa perlu membeli trak besar atau SUV berkuasa tinggi.

Beratnya yang rendah membolehkan ia ditunda menggunakan SUV kompak popular seperti Honda CR-V serta model lain seperti Toyota RAV4, malah EV seperti Honda Prologue dan Honda 0-Series SUV.

Ini membuka pasaran yang jauh lebih besar dalam segmen pengemberaan treler ringan.

Honda menjelaskan bahawa Base Station dibangunkan untuk menjadikan aktiviti luar lebih mudah diakses oleh semua.

Man Maximum/Machine Minimum

Base Station dibina berasaskan falsafah Honda Man Maximum/Machine Minimum, iaitu meminimumkan komponen mekanikal dan memaksimumkan ruang guna.

Meskipun saiznya kompak hingga boleh disimpan dalam garaj kediaman biasa, ruang dalaman terasa besar, lapang dan cerah.

Antara ciri utama:

  • Bumbung boleh dinaikkan untuk menawarkan ruang berdiri setinggi tujuh kaki.
  • Lima tingkap besar dengan cahaya semula jadi maksimum, boleh ditanggalkan dan diganti dengan aksesori.
  • Pintu belakang berengsel atas, membolehkan pergerakan bebas antara treler dan kawasan perkhemahan.
  • Tempat tidur untuk empat orang, dengan sofa gaya futon yang dibuka menjadi katil queen, serta pilihan katil tingkat kanak-kanak.
  • Lampu suasana berbentuk cincin di sekitar tingkap, boleh dilaras warna dan tahap kecerahan, sekali gus memudahkan pemasangan khemah waktu malam.

Aksesori Lengkap: Dari Dapur Ke Penyaman Udara

Konsep modular Base Station membolehkan pengguna menambah aksesori untuk meningkatkan keselesaan. Model prototaip ini dipamerkan dengan:

  • Penyaman udara
  • Dapur luaran lengkap termasuk air mengalir dan dapur induksi
  • Pancuran mandi luaran

Kuasa pula dijana melalui bateri litium standard dengan inverter dan panel solar terbina dalam.

Base Station juga boleh disambungkan kepada sumber kuasa tapak perkhemahan atau penjana Honda untuk tempoh bertahan lebih lama tanpa gangguan.

Pelengkap Kepada Ekosistem Produk Adventure-Ready Honda

Honda sudah lama terlibat dalam dunia gaya hidup lasak melalui barisan trak ringan, ATV, side-by-side, penjana dan motosikal.

Base Station direka untuk seiring dalam ekosistem tersebut sebagai sebuah produk yang menghubungkan dunia automotif, rekreasi dan teknologi pintar.

Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan, tempahan dibuka awal Februari

Mitsubishi Motors Malaysia mengesahkan SUV segmen B terbaharu Mitsubishi Xforce bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tempahan rasmi boleh dibuat pada awal bulan Februari akan datang, namun rakyat Malaysia boleh mendaftarkan minat dengan lebih awal menerusi pautan INI.

Pelanggan yang membuat pendaftaran minat akan diberikan keutamaan untuk menerima jemputan ke jelajah dan pengalaman berkaitan pelancaran, serta tidak ketinggalan kemas kini produk secara eksklusif.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti pra-pelancaran, Mitsubishi Xforce akan dibawa ke beberapa lokasi di seluruh negara, perinciannya seperti berikut:

  • 16-28 Januari – KL & Selangor
  • 5-15 Februari – Pulau Pinang, Perak & Johor
  • 1-15 Mac – Kuantan, Kelantan, Kuala Lumpur & Selangor

Berpandukan slogan “Exceed Xpectations”, Mitsubishi Xforce direka untuk menawarkan nilai pintar dan praktikal yang disesuaikan dengan keperluan pemandu masa kini seperti aspek pengendalian yang unggul, rekaan bergaya, selesa dan penggunaan bahan api yang cekap.

Mitsubishi Xforce juga turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan merangkul anugerah iF Design Award 2024 di dalam kategori Rekaan Produk.

Mitsubishi XFORCE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 103 hp dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.

Walaupun dengan sistem 2WD sahaja, XFORCE tetap mempunyai ciri-ciri sebuah SUV off-road, seperti jarak lega bumi 222 mm, sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 35 darjah, serta empat mod pemanduan (Normal, Gravel, Mud, Wet).

Untuk makluman, Mitsubishi Xforce turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran kenderaan baharu ASEAN NCAP.

Proton e.MAS 7 PHEV 2026 – tempahan kini dibuka, harga anggaran RM110k-RM130k

Proton New Energy Technology (Pro-Net) selaku cabang kenderaan tenaga baharu Proton mengumumkan spesifikasi bagi model SUV baharu e.MAS 7 PHEV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

e.MAS 7 PHEV membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Berbanding e.MAS 7 versi elektrik, versi PHEV 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 5 mm lebih panjang.

Ruang kargo adalah sebesar 528 liter, dan boleh mencapai sehingga 2,065 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

2. Sistem PHEV

e.MAS 7 PHEV menggunakan unit rangkaian kuasa Super Hybrid EM-i Geely, terdiri daripada enjin 1.5 liter NA (98 hp/125 Nm) dan motor elektrik tunggal (215 hp/262 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 258 hp dan 262 Nm yang memacu roda depan.

Terdapat dua pilihan kapasiti bateri untuk e.MAS 7 PHEV.

Varian Premium Plus menggunakan bateri bilah pendek Aegis 29.8 kWh yang menawarkan jarak gerak 170 km (data NEDC), selain menyokong pengecasan pantas DC 60 kW.

Pengecasan 30-80 peratus hanya mengambil masa kurang 16 minit.

Sementara varian Premium dan Prime pula menggunakan bateri CATL 18.4 kWh dengan jarak pandu sejauh 105 km, serta pengecasan DC sehingga 30 kW.

Sistem PHEV ini menawarkan tiga mod hibrid iaitu Series Hybrid Mode, Parallel Mode dan Direct Drive Mode.

Secara keseluruhan, e.MAS 7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,065 km.

 

3. Luaran

e.MAS 7 PHEV menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di bahagian gandar belakang.

Ia juga hadir dengan rekaan lampu yang berbeza berbanding e.MAS 7 EV.

Varian Prime dilengkapi dengan rim 18 inci sementara dua varian tertinggi mendapat rim 19 inci.

 

4. Kabin

Untuk ruang kabin, terdapat sehingga 30 ruang storan tersedia termasuklah ruang storan 100L tersembunyi di bawah lantai kargo belakang.

Ia turut mendapat ciri seperti skrin tengah 15.4 inci lengkap dengan sistem operasi Flyme Auto, sokongan peta pengecasan langsung, Apple CarPlay dan Android Auto, skrin paparan head-up 13.8 inci, dan sistem audio keliling WANOS dengan 16 pembesar suara.

Ciri lain termasuklah bumbung kaca panorama, tempat duduk balutan leatherette dengan fungsi larasan kuasa, memori dan ventilasi, sistem pencahayaan ambien, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

 

5. Keselamatan

e.MAS 7 PHEV hadir dengan tujuh beg udara serta 15 fungsi ADAS Tahap 2 yang turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pengelakan Keluar Lorong (LDP), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), serta sistem Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR).

Proton e.MAS 7 PHEV boleh didapati dalam pilihan warna Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Azure Blue.

Harga jualan anggaran dari RM110,000 hingga RM130,000. SUV plug-in hybrid Proton ini akan dilancarkan secara rasmi pada bulan depan.

Toyota Hiace 2026 untuk Jepun, Toyota Safety Sense lengkap dengan Kawalan Jelajah Radar

Selain Hilux, Hiace merupakan model ikonik Toyota dan kini terdapat versi yang dipertingkat di Jepun yang merangkumi versi Van, Wagon serta Commuter.

Model versi penambahbaikan ini dijadualkan mula dipasarkan pada 2 Februari dengan memfokuskan kepada pengukuhan ciri keselamatan termaju serta pengekalan prestasi asas yang terbukti lasak.

Peningkatan Sistem Keselamatan Toyota Safety Sense

Perubahan paling ketara bagi model ini ialah penggunaan pakej keselamatan pencegahan Toyota Safety Sense versi terkini.

Sistem ini telah dinaiktaraf dengan fungsi yang lebih meluas untuk mengurangkan risiko kemalangan dalam pelbagai situasi pemanduan melalui ciri-ciri berikut:

Sistem Pra Pelanggaran (Pre-Collision Safety)

  • Julat pengesanan telah diperluaskan untuk merangkumi motosikal pada waktu siang selain daripada pengesanan sedia ada terhadap kenderaan pejalan kaki dan penunggang basikal.
  • Ciri ini membantu mengelakkan perlanggaran atau mengurangkan impak kerosakan terutamanya di kawasan persimpangan jalan yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.

Bantuan Isyarat Jalan (Road Sign Assist)

  • Sistem ini berfungsi membaca papan tanda jalan seperti had laju tanda berhenti dilarang pusingan U serta lampu isyarat untuk dipaparkan pada skrin pelbagai maklumat.
  • Ia turut dilengkapi fungsi amaran melalui paparan berkelip dan bunyi buzer sekiranya pemandu dikesan terlepas pandang lampu isyarat merah.

Kawalan Jelajah Radar (Radar Cruise Control)

  • Sistem ini membantu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan mengikut kelajuan semasa.
  • Ia merangkumi fungsi mengikut kenderaan di mana jika kenderaan hadapan berhenti kenderaan sendiri juga akan berhenti secara automatik.
  • Pemandu boleh menyambung semula pemanduan apabila kenderaan hadapan bergerak semula serta dibantu dengan fungsi pengurangan kelajuan semasa di selekoh.

Rangkaian Kuasa

Bergantung pada varian, Hiace dibekalkan enjin 2.8 liter diesel 1GD FTV atau dua pilihan enjin petrol.

Pilihan yang ditawarkan ialah unit diesel 2.8 liter 1GD FTV yang menggunakan sistem suntikan terus common rail dengan pengecas turbo intercooler.

Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 151 hp pada 3,600 rpm dan tork maksimum 300 Nm yang boleh dicapai antara 1,000 hingga 3,400 rpm.

Bagi pilihan petrol terdapat dua varian utama. Enjin 2.7 liter 2TR FE menghasilkan kuasa 160 hp pada 5,200 rpm dengan tork 243 Nm pada 4,000 rpm.

Manakala untuk varian 2.0 liter 1TR FE ia mampu menjana 136 hp pada 5,600 rpm dan tork 182 Nm pada 4,000 rpm.

Sistem pacuan ditawarkan dalam pilihan dua roda belakang atau pacuan empat roda sepenuh masa juga mengikut varian.

Harga di Jepun

Berikut merupakan senarai harga Toyota Hiace 2026 di Jepun.

  • Hiace Van: 2,860,000 Yen (RM 73,044) sehingga 4,683,800 Yen (RM 119,624).
  • Hiace Wagon: 3,350,600 Yen (RM 85,574) sehingga 4,472,600 Yen (RM 114,230)i.
  • Hiace Commuter: 3,762,000 Yen (RM 96,081) sehingga 4,260,300 Yen (RM 108,808).

 

Michelin Malaysia tawar harga promosi, pulangan tunai sempena perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya

Bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya yang bakal tiba, Michelin Malaysia mengumumkan harga promosi istimewa untuk rangkaian produk tayar Michelin di Malaysia.

Bermula sekarang sehingga 31 Mac 2026, pelanggan boleh menikmati harga promosi untuk saiz tayar popular (15-19 inci ke atas) untuk produk tayar berikut:

  • Michelin Energy XM2+
  • Michelin Primacy 5
  • Michelin Primacy SUV+
  • Michelin Pilot Sport 5
  • Michelin LTX Trail ST

Terdapat juga kempen Pulangan Tunai “Double Happiness” di mana pelanggan yang membeli minimum dua unit tayar Michelin terpilih sepanjang tempoh kempen secara automatik akan mendapat pulangan tunai e-Dompet berdasarkan saiz tayar seperti berikut:

  • 15-16 inci: Pulangan tunai sehingga RM30 untuk dua tayar, atau RM60 untuk empat tayar
  • 17-18 inci: Pulangan tunai sehingga RM60 untuk dua tayar, atau RM120 untuk empat tayar
  • 19 inci ke atas: Pulangan tunai sehingga RM100 untuk dua tayar, atau RM200 untuk empat tayar.

Pelanggan juga berpeluang untuk memenangi ganjaran pulangan tunai sehingga RM4,000 menerusi peraduan mingguan.

Untuk menyertai, pelanggan hanya perlu menjawab satu soalan mudah melalui laman mikro kempen “Double Happiness” dan menghantar bukti pembelian.

Seramai 10 pemenang akan diumumkan setiap minggu sepanjang tempoh kempen.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi https://www.michelin.com.my/promotions.

Yamaha Ego Avantiz 2026 hadir dengan 3 warna baharu – harga RM5,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan kemas kini penawaran bagi skuter Yamaha Ego Avantiz 2026.

Model tersebut kini ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu, iaitu hitam, biru dan hijau.

Harga jualan pula bermula dari RM5,998 atas jalan tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi asas skuter ini kekal sama tidak berubah, dimana ia masih dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan udara menghasilkan 9.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 9.6 Nm @ 5,500 rpm.

Kerangka keluli underbone itu disokong dengan fork teleskopik di depan dibantu dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal hidraulik untuk roda depan, dan brek jenis gelendong di belakang.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.2 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 773 mm.

Tempahan Jaecoo J5 2026 kini dibuka, harga anggaran RM120,000

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan sesi tempahan bagi model SUV Jaecoo J5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dengan harga jualan dianggarkan sekitar RM120,000, Jaecoo J5 bakal merancakkan lagi segmen SUV di Malaysia.

Jaecoo J5 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo menghasilkan 147 PS dan 210 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi CVT, dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 7.5 liter untuk setiap 100 km.

J5 bersaing dengan model-model SUV segmen B dalam pasaran seperti Chery Tiggo Cross, Chery Omoda 05, Proton X50 dan Honda HR-V.

Ia berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,620 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 480 liter dan boleh mencapai kapasiti 1,180 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat nisbah 60:40.

Ia turut menrawarkan tetapan suspensi yang unik, terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang.

Untuk ruang kabin pula, terdapat kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin infohibur 13.2 inci resolusi 2K, sokongan Wi-Fi, Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio 8-pembesar suara.

Ciri keselamatan turut merangkumi ADAS Tahap 2.5 serta sistem kamera keliling 540 darjah.

 

Pencapaian Omoda | Jaecoo Malaysia

Sejak debut pada tahun 2024, Omoda | Jaecoo Malaysia terus mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.

Untuk tahun pertama, sebanyak lebih 7,040 unit telah terjual, di mana angka tersebut melonjak kepada 17,849 unit untuk tahun 2025, atau peningkatan sebanyak lebih 153 peratus.

Daripada jumlah tersebut, Jaecoo J7 merupakan model yang paling laris terjual (11,522 unit) sementara lebih 3,000 orang lagi memilih Jaecoo J7 Plug-in Hybrid (PHEV).

Menurut Men Lin Bo selaku Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Pertumbuhan kukuh kami pada tahun 2025 merupakan satu petanda jelas Omoda | Jaecoo telah berubah daripada jenama pendatang baharu menjadi pilihan di kalangan rakyat Malaysia.

“Untuk tahun 2026, tumpuan kami adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai tonggak automotif tempatan,” ujarnya lagi.

Mazda CX-6e diperkenal di Eropah, kerjasama Changan, jarak sehingga 482 km

Mazda memperkenalkan Mazda CX-6e di Brussels Motor Show dan seperti biasa tampil anggun.

SUV elektrik ini menggabungkan reka bentuk bergaya, prestasi mantap, serta teknologi termaju.

Dibangunkan melalui kerjasama global, CX-6e membawakan pengalaman pemanduan Jinba Ittai yang menjadi identiti Mazda dengan teknologi elektrik pintar dari rakan kerjasama.

CX-6e berkait rapat dengan model EZ-60 pasaran China yang dibangunkan melalui usaha sama di antara Mazda dan Changan Automobile.

Mazda EZ-60 China

Evolusi Reka Bentuk Kodo Dan Ruang Praktikal

Mazda CX-6e mengangkat bahasa reka bentuk Kodo ke masa depan mobiliti elektrik melalui tema Soulful Futuristic Modern yang mencerminkan titik pertemuan antara teknologi terkini dan keanggunan seni arca.

Bagi menyerlahkan lagi seni permukaan badan, Mazda menawarkan tujuh pilihan warna luaran yang diterajui oleh warna Nightfall Violet.

Rona pekat dan berkilat ini mampu berubah antara ungu berseri dan bayang hampir hitam bergantung kepada keadaan cahaya.

Memasuki bahagian kabin, reka bentuk dalaman diinspirasi daripada konsep Ma dari Jepun yang mementingkan keindahan ruang kosong, sekali gus memberikan ruang kepala, kaki dan bahu yang luas untuk keselesaan semua penumpang.

Mazda EZ-60 China

Jarak roda sepanjang 2,902 mm dengan unjuran badan pendek memberi ilusi kepada keupayaan ruang muatan serba guna.

Ruang bagasi 468 liter boleh diperluas sehingga 1,434 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Suasana dalaman boleh disesuaikan melalui tiga variasi kemasan warna yang ditawarkan.

Bagi model Takumi, pelanggan boleh memilih antara warna Warm Beige atau Black Maztex, manakala bagi varian Takumi Plus, ia hadir dengan kemasan eksklusif kombinasi dua tona Amethyst dan White Maztex.

Prestasi Pemanduan Dan Kecekapan Elektrik

Unit rangkaian kuasa direka untuk memberikan kawalan yang responsif:

  • Sistem Kuasa: Menggunakan motor elektrik tunggal yang dipasang pada bahagian belakang untuk hantaran kuasa lebih dinamik.
  • Output: Menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 258 PS dan tork 290Nm yang boleh dicapai secara serta-merta untuk pecutan linear.
  • Pecutan dan Kelajuan: Memacu gandar belakang melalui transmisi satu kelajuan, ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 7.9 saat dengan kelajuan maksimum 185 km/j.
  • Bateri dan Jarak Gerak: Dilengkapi bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 78 kWj yang menawarkan jarak gerak WLTP sehingga 482 km.
  • Pengecasan: Pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 195 kW yang membolehkan pengecasan 10 peratus ke 80 peratus dalam masa hanya 24 minit. Untuk pengecasan di rumah, pengecas dalaman menyokong pengecasan AC tiga fasa 11 kW melalui penyambung Type 2.

Inovasi Teknologi Dan Keselesaan Kabin

Bahagian dalaman Mazda CX-6e menampilkan rangkaian teknologi dan ciri kemudahan yang berfungsi secara lancar di sekeliling pengguna.

Fokus utama diberikan kepada kemudahan akses maklumat tanpa mengganggu tumpuan pemanduan:

  • Pusat Kawalan Pintar: Kokpit pintar berpusat pada skrin sentuh 26 inci yang luas dengan susun atur dua pecahan yang boleh diubah suai untuk akses maklumat yang meluas.
  • Bantuan Visual: Dilengkapi papar pandu (HuD) bersaiz besar yang menindan panduan navigasi terus ke atas pandangan jalan di hadapan pemandu.
  • Interaksi Semula Jadi: Sistem pengecaman suara pelbagai bahasa bertindak balas secara semula jadi terhadap permintaan harian seperti melaraskan suhu, membuka tingkap, atau mencari destinasi.
  • Kawalan Tanpa Sentuh: Ciri kawalan gerak isyarat membolehkan pemandu memilih laluan yang telah disimpan atau memainkan muzik kegemaran dengan cepat tanpa perlu menyentuh butang.
  • Keterhubungan Selain Wireless CarPlay dan Android Auto, aplikasi khusus CX-6e menawarkan fungsi kawalan jauh termasuk perkongsian kunci Bluetooth dan pengurusan cas bateri.

Standard Keselamatan Dan Perlindungan Penumpang

  • Perlindungan Pasif: Setiap model dilengkapi dengan sembilan unit beg udara secara standard untuk perlindungan menyeluruh.
  • Rangkaian Sensor: Menggunakan rangkaian kamera definisi tinggi (HD), radar gelombang milimeter dan penderia ultrasonik bagi meningkatkan keterlihatan serta kesedaran pemandu terhadap persekitaran.
  • Bantuan Pemandu Aktif: Sistem bantuan pemandu yang lengkap merangkumi Smart Brake Support, Lane Keeping Assist, dan Blind Spot Monitoring bagi memastikan keyakinan dalam setiap perjalanan.
Mazda EZ-60 China

Ringkasan Spesifikasi Teknikal Mazda CX-6e

  • Jenis Bateri: Lithium Iron Phosphate (LFP)
  • Kapasiti Bateri: 78 kWj
  • Kuasa Maksimum: 258 PS
  • Tork Maksimum: 290Nm
  • Sistem Pacuan: Roda Belakang (RWD)
  • Jarak Gerak (WLTP): Sehingga 482 km
  • Pecutan 0-100 km/j: 7.9 saat
  • Kelajuan Maksimum: 185 km/j
  • Pengecasan Pantas DC: 195 kW (10 peratus ke 80 peratus dalam 24 minit)
  • Pengecasan AC: 11 kW Tiga Fasa (Type 2)
  • Jarak Roda: 2,902 mm
  • Kapasiti But: 468 liter sehingga 1,434 liter
  • Sistem Keselamatan: 9 beg udara, kamera definisi tinggi dan radar gelombang milimeter

Toyota Vellfire HEV 2026 rasmi di Malaysia – harga RM549,900

UMT Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan MPV mewah Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge untuk pasaran Malaysia.

Vellfire HEV digerakkan oleh sistem hibrid pengecasan kendiri terdiri daripada enjin Dynamic Force 2.5 liter (kod A25A-FXS) berkuasa 187 PS/233 Nm dipadankan dengan motor elektrik 182 PS/270 Nm dan transmisi e-CVT.

Secara keseluruhan, sistem HEV ini mampu menjana kuasa setinggi 250 PS, atau 37 peratus lebih berkuasa berbanding model 2.5 liter standard.

Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 5.7 liter/100 km di mana Vellfire HEV boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 1,000 km dengan tangki bahan api sebesar 60 liter.

Selain mod pemanduan Eco dan Normal, Vellfire HEV turut menawarkan mod EV untuk pemanduan sifar emisi pada jarak dekat tanpa menggunakan setitik petrol.

Selari dengan falsafah hospitaliti Jepun (omotenashi), Vellfire HEV menawarkan keselesaan yang tersendiri.

Tempat duduk VIP Executive Lounge menawarkan larasan kuasa, sistem pengudaraan, serta fungsi urut dan ottoman yang boleh dikawal menerusi panel skrin sentuh.

Antara ciri lain termasuklah meja boleh lipat, tempat perehat tangan yang lebih besar, fungsi anti-gegaran, balutan kulit Nappa, sistem pencahayaan suasana 64-warna, skrin belakang sebesar 14 inci dan sistem audio JBL dengan 15 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, Vellfire HEV menawarkan pakej Toyota Safety Sense 3.0 merangkumi fungsi seperti Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Pengesan Lorong (LTA), Sistem Suluhan Tinggi Adaptif (AHS), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Sokongan Brek Parkir (PKSB).

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Vellfire HEV, iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal dan hitam yang boleh dipadankan dengan kemasan dalaman hitam atau Sunset Brown.

Selain Vellfire HEV, pengguna masih boleh mendapatkan Vellfire dengan enjin 2.5 liter (kod 2AR-FE) dengan janaan kuasa 182 PS dan 235 Nm yang dipadankan dengan transmisi Super CVT-i 7-kelajuan.

Vellfire 2.5 didatangkan dengan ciri seperti bahan kulit sintetik, tempat duduk Executive tanpa panel kawalan, tiada sistem Rear Seat Enterntainment dan tiada skrin paparan head-up (HUD).

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Toyota Vellfire 2.5 – RM448,000
  • Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge – RM549,900

Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026

Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.

Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.

Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.

Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.

Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.

Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.

Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.

Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.

Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.

Hyundai Malaysia tawar promosi menarik sempena Tahun Baru Cina, Tucson serendah RM125,888

Hyundai Motor Malaysia meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan tawaran istimewa untuk Hyundai TUCSON baharu, kini bermula RM125,888.

SUV ini hadir dengan teknologi moden, ruang dalaman luas dan rekaan futuristik yang menonjol di jalan raya. Ia turut dilengkapi ciri keselamatan Hyundai SmartSense, pengecas tanpa wayar, pengecaman cap jari dan tempat duduk berpengudaraan.

Selain TUCSON, Hyundai turut menawarkan ganjaran menarik untuk model Santa Fe dan Staria.

Sorotan Promosi Tahun Baru Cina

1. Hyundai Tucson

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tawaran berikut:

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM19,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma untuk varian terpilih
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM24,000 untuk varian terpilih
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih
  • Sokongan Trade-In – sehingga RM2,300 untuk varian terpilih

2. Hyundai Santa Fe

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tiga pilihan pemilikan (bergantung kepada varian):

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM24,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM29,000
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih

3. Hyundai Staria

  • Total Drive Rewards – Rebat tunai sehingga RM20,000 untuk varian terpilih

Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat pandu uji mana-mana model Hyundai dan melengkapkan tempahan dalam tempoh tujuh hari bekerja akan menerima Ang Pao Early Bird bernilai RM888.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran Hyundai bertauliah di seluruh negara.
Maklumat tambahan turut tersedia di laman rasmi: https://www.hyundai.com/my/en

Toyota GR Corolla versi Automatik kini di Malaysia, harga RM378,950

UMT Toyota Motor mengumumkan ketibaan sebuah lagi model berprestasi tinggi, iaitu Toyota GR Corolla dalam versi transmisi automatik.

Spesifikasi asas jentera ini masih lagi sama, didatangkan dengan enjin tiga silinder G16E-GTS 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm.

Seperti GR Yaris AT, GR Corolla AT dibekalkan dengan kotak gear DAT (Direct Automatic Transmission) lapan nisbah kelajuan, lengkap dengan fungsi ekslusif Launch Control.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 5.3 saat.

Sistem pacuan semua roda GR-Four menawarkan tiga tetapan agihan kuasa, iaitu Normal, Gravel dan Track, dibantu dengan tiga mod pemanduan iaitu Sport, Normal dan Eco.

Secara standard, GR Corolla AT didatangkan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan belakang.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah sistem ABS yang telah ditala untuk kuasa brek yang lebih stabil atas apa jua permukaan serta talaan suspensi untuk pengendalian yang lebih meyakinkan di selekoh.

Untuk ruang kabin, GR Corolla AT 2026 mendapat kelengkapan seperti skrin Display Audio 10 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin paparan head-up (HUD), paddle shifter serta penambahan ciri pemantauan titik buta (BSM).

Harga jualan untuk GR Corolla AT bermula dari RM378,950, atau RM10,000 lebih mahal berbanding GR Corolla versi manual.

Toyota GR86 jadi jentera rali hasil sentuhan Kuhl Racing

Kereta sport dibangunkan untuk beraksi di jalan berturap, bukannya jalan tanah atau trek lasak. Namun trend sekarang menunjukkan perkara sebaliknya, dengan beberapa pengeluar seperti Porsche dan Lamborghini mula bereksperimen dengan kereta sport off-road.

Bagi Toyota GR86, kereta sport itu tidak mempunyai versi off-road terus dari kilang namun tuner terkemuka dari Jepun iaitu Kuhl Racing telah memperkenalkan GR86 Outroad yang dibangunkan dengan inspirasi daripada sukan rali.

GR86 Outroad dilengkapi sistem suspensi khas yang menaikkan ketinggian kira-kira 3 inci berbanding model standard. Jika itu tidak mencukupi, Kuhl Racing turut membangunkan sistem angkat hidraulik yang boleh menambah lagi ketinggian sebanyak 1.6 inci untuk pemanduan lebih lasak.

Selain casis, rekaan luaran turut dipertingkatkan. Fender flare lebih lebar membolehkan tayar lebih besar dipasang, manakala bampar hadapan dan belakang direka khusus untuk meningkatkan sudut pendekatan dan pelepasan.

Selain itu, jentera ini juga dipasang pelindung bawah badan, lampu tambahan dan rel bumbung, sekali gus memberikannya imej rali yang jauh lebih garang berbanding model standard.

Di bawah bonet, enjin 2.4 liter empat silinder boxer dikekalkan tetapi Kuhl Racing mempunyai kit turbo untuk mereka yang dahagakan kuasa lebih tinggi. Dengan talaan ECU dan sistem penyejukan yang ditambah baik, kuasa boleh meningkat sekitar 50 hp.

Lebih menarik lagi, GR86 Outroad bukan sekadar kereta pameran. Kuhl Racing menawarkan pakej penuh dan juga komponen seperti suspensi, kit badan, rim, dan brek secara berasingan bagi pemilik GR86 yang mahu membangunkan jentera mereka mengikut citarasa tersendiri.

Menurut Kuhl Racing, pakej penuh dijual sekitar ¥4.15 juta (anggaran RM108,000), tidak termasuk harga kereta. GR86 Outroad akan membuat penampilan rasmi di Tokyo Auto Salon sebelum mula dijual di Jepun bermula lewat 2026.

Afeela Prototype 2026: Sony Honda Mobility dedah model EV kedua di CES

Sony Honda Mobility (SHM), usaha sama di sebalik jenama kenderaan elektrik Afeela, telah memperkenalkan model keduanya di Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas.

Model baharu ini buat masa ini dikenali sebagai Afeela Prototype 2026 dan tampil dalam bentuk SUV elektrik dengan gaya fastback.

Walaupun spesifikasi teknikal masih belum didedahkan, SHM menyatakan bahawa Afeela Prototype 2026 dibangunkan berasaskan teknologi yang diperkenalkan menerusi model pertamanya iaitu sedan elektrik Afeela 1.

Ini menunjukkan bahawa model baharu ini berkemungkinan menggunakan platform dan seni bina elektronik yang sama, dengan penekanan kuat terhadap perisian, ketersambungan, hiburan digital serta sistem bantuan pemandu termaju.

Jika dibandingkan dengan Afeela 1 yang lebih rendah, bentuk SUV ini dijangka menawarkan ruang kabin yang lebih luas serta akses keluar masuk yang lebih mudah, sekali gus menjadikannya lebih mesra pengguna untuk pasaran yang lebih besar.

Seperti model Afeela yang pertama, tumpuan utama bukan sekadar pada prestasi, tetapi pada pengalaman di dalam kenderaan itu sendiri. SHM membayangkan kereta-keretanya sebagai ruang mobiliti interaktif, lengkap dengan pembantu berasaskan AI, sistem infotainmen imersif, dan pelbagai ciri bantuan pemanduan.

Buat masa ini, syarikat itu mengesahkan bahawa versi produksi model ini disasarkan untuk dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2028.

Strategi ini selari dengan pendekatan biasa dalam industri EV, iaitu memulakan langkah dengan model sedan terlebih dahulu sebelum memperkenalkan SUV yang lazimnya mempunyai tarikan pasaran lebih luas. Jenama seperti Tesla, Porsche, Rivian dan Lucid turut mengikuti laluan yang sama dalam membina barisan EV masing-masing.

Dalam pada itu, tempahan untuk Afeela 1 telah dibuka di California, dengan penyerahan kepada pelanggan dijadualkan bermula tahun ini, sebelum jualan diperluaskan ke negeri Arizona menjelang 2027.

Di luar AS, penghantaran di Jepun dijangka bermula pada separuh pertama tahun hadapan. Bagi pasaran lain, termasuk Asia Tenggara dan Malaysia, setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi.

Nissan Aura NISMO RS Concept, guna e-POWER dari X-Trail NISMO!

Nissan Motor Co., Ltd. bersama Nissan Motorsports & Customizing Co., Ltd. (NMC) memperkenalkan Aura NISMO RS Concept di Tokyo Auto Salon 2026.

Model konsep ini diasaskan daripada Aura NISMO, kemudian dipertingkat secara agresif melalui reka bentuk dan aerodinamik.

Lebih mengujakan adalah peningkatan ketara pada output ke roda hasil daripada rangkaian kuasa e-POWER 1.5 liter turbo daripada X-Trail NISMO.

Walaupun masih konsep, Nissan menyatakan projek ini adalah ujian teknikal dan sedang menilai potensi untuk dijadikan model produksi.

Rekaan Fokus Prestasi

Reka bentuk luaran Aura NISMO RS Concept meneruskan evolusi konsep Agile Electric City Racer dari Aura NISMO dengan gaya lebih maskular, tajam dan berfokus prestasi.

Fender dilebarkan sebanyak 145 mm, manakala suspensi direndahkan 20 mm, menghasilkan pusat graviti lebih rendah dan gayaan lebih agresif.

Pakej aero pula merangkumi:

  • Spoiler hadapan
  • Skirt sisi
  • Penyebar (diffuser) belakang dengan riasan merah NISMO
  • Fender hadapan yang mengoptimumkan aliran udara
  • Pemisah udara sisi
  • Spoiler belakang khusus

Keseluruhan permukaan badan ditampilkan dalam warna eksklusif Dark Matte NISMO Stealth Gray, memastikan tona warna kekal konsisten di bawah pelbagai intensiti cahaya matahari.

Pembangunan Prestasi

Model konsep ini menggabungkan pengalaman NISMO dalam kejuruteraan perlumbaan untuk meningkatkan pecutan, pengendalian dan brek.

Badan lebih lebar membantu kestabilan pada laluan lurus serta jalan berliku, manakala tayar berprestasi tinggi dan teknologi e-4ORCE talaan NISMO memberikan cengkaman dan kuasa masuk selekoh yang lebih agresif.

Perkakasan brek terdiri daripada angkup omboh berlawanan dengan empat omboh di depan dan dua omboh di belakang.

Pakej ini dibuat untuk memastikan kuasa henti yang konsisten walaupun berat meningkat kira-kira 100 kg berbanding Aura NISMO biasa.

Rangkaian Kuasa

Aura NISMO RS Concept menggunakan sistem hibrid e-POWER output tinggi daripada X-Trail NISMO.

Rangkaian kuasa ini memberikan lonjakan kuasa ketara dan tindak balas pedal lebih agresif berbanding e-POWER asal dengan enjin 1.2 liter.

Enjin Penjana Kuasa

  • Enjin: KR15DDT 1,497 cc turbo
  • Kuasa maksimum: 142 hp
  • Tork maksimum: 250 Nm

Motor Hadapan

  • Model: BM46
  • Kuasa maksimum: 150 kW
  • Tork maksimum: 330 Nm

Motor Belakang

  • Model: MM48
  • Kuasa maksimum: 100 kW
  • Tork maksimum: 195 Nm

Pacuan dan Roda

  • Pacuan: Semua roda e-4ORCE talaan NISMO
  • Rim: NISMO LM GT4 18×9.0J
  • Tayar: Michelin Pilot Sport 4 (245/45R18)

Perbandingan Dengan Aura NISMO

  • Panjang: 4,262 mm (+142 mm)
  • Lebar: 1,880 mm (+145 mm)
  • Tinggi: 1,485 mm (-20 mm)
  • Berat: 1,490 kg (+100 kg)
  • Jarak roda: 2,580 mm

Berbekalkan pakej yang begini hebat adakah bakal dikeluarkan?

Nissan dan NMC merancang untuk terus memperkemaskan dan mengoptimumkan konsep ini untuk kegunaan perlumbaan, selain mempertimbangkan kemungkinan pengkomersialan pada masa hadapan.

Mitsubishi Triton 2026 dapat muka baharu di Thailand, varian Mega Cab sahaja

Mitsubishi Thailand mengemas kini penawaran bagi trak pikap popularnya dengan menawarkan versi Street.

Ini mungkin sekali gambaran Triton facelift, namun muka baharu ini hanya unik untuk stail badan Mega Cab sahaja, dan tidak tersedia untuk Triton Single Cab dan Double Cab.

Reka bentuk agresif berkemungkinan besar diinspirasikan daripada helmet Stormtrooper daripada siri Star Wars bagi menggantikan pendekatan Dynamic Shield Triton sedia ada.

Selain itu, ia hadir dengan skid plate hitam yang lebih besar, kemasan jeriji pepenjuru, rim 17 inci dan pilihan warna Solid White, Blade Silver dan Graphite Gray.

Tetapan suspensi asal yang lebih direka untuk jalanan turut dikekalkan.

Triton Street juga kekal dengan enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 148 hp dan 330 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual dan sistem pacuan roda belakang.

Untuk ruang kabin pula, ia hadir dengan tempat duduk fabrik, skrin infohibur sebesar 10 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, dan sistem audio dengan dua pembesar suara.

Ciri keselamatan pula termasuklah tiga beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TCL) serta Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM).

Di Thailand, Mitsubishi Triton Street Mega Cab ini dijual pada harga bermula dari THB 649,000 (RM83,798).

Honda N-Box kei car paling laris di Jepun untuk 11 tahun berturut-turut!

Honda nampaknya masih lagi menguasai pasaran kenderaan ringan (kei car) di Jepun.

Untuk tahun yang ke-11 sejak tahun 2015, Honda N-Box dinobatkan sebagai kereta kecil yang paling laris dengan jumlah sebanyak 201,354 unit terjual sepanjang tahun 2025.

Malah, sepanjang bulan Disember Honda berjaya menjual sebanyak 15,570 unit N-Box, mengalahkan Suzuki Spacia di tempat kedua (11,397 unit) dan Daihatsu Tanto di tangga ketiga (9,287 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kei car paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Honda N-Box: 201,354 unit
2. Suzuki Spacia: 165,589 unit
3. Daihatsu Tanto: 124,619 unit
4. Daihatsu Move: 122,349 unit
5. Suzuki Hustler: 87,972 unit
6. Suzuki Wagon R: 72,520 unit
7. Nissan Roox: 71,498 unit
8. Mitsubishi Delica Mini/ek: 58,916 unit
9. Suzuki Alto: 57,553 unit
10. Daihatsu Mira: 55,777 unit

Sementara itu, Toyota pula menguasai 8 tangga dalam senarai 10 kereta penumpang paling laris di Jepun.

Tempat pertama disandang oleh Toyota Yaris dengan jumlah jualan 166,533 unit, diikuti oleh Toyota Corolla (138,829 unit) dan Toyota Sienta (106,558 unit).

Tidak cukup dengan itu, Toyota turut menguasai segmen MPV menerusi model Alphard, Noah dan Voxy.

Honda pula menduduki tangga keenam menerusi model Freed (90,437 unit) manakala Nissan pula di tangga ke-10 dengan model Note (78,123 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kereta penumpang paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Toyota Yaris: 166,533 unit
2. Toyota Corolla: 138,829 unit
3. Toyota Sienta: 106,558 unit
4. Toyota Raize: 100,851 unit
5. Toyota Roomy: 95,221 unit
6. Honda Freed: 90,437 unit
7. Toyota Alphard: 86,959 unit
8. Toyota Noah: 80,065 unit
9. Toyota Voxy: 78,760 unit
10. Nissan Note: 78,123 unit

GR Yaris MORIZO RR dapat input daripada Akio Toyoda, 100 unit khas untuk pasaran Jepun

Toyota GR Yaris bukanlah sebuah hot hatch yang ‘sempurna’ sejak dari awal pengenalannya.

Ini kerana sehingga kini masih wujud ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing bagi menjadikan ia lebih sedap untuk dipandu.

Berbekalkan pengalaman berlumba di Nurburgring 24 Hours 2025, Toyota Gazoo Racing memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR yang dibangunkan bersama-sama Master Driver Akio Toyota – atau lebih dikenali dengan nama Morizo.

Dari segi luaran, GR Yaris MORIZO RR mendapat kelengkapan seperti sayap belakang kekal yang lebih besar diperbuat daripada gentian karbon, spoiler depan, skirt sisi, hud enjin gentian karbon, angkup brek kuning, rim Matte Broze, emblem MORIZO RR dan tandatangan Morizo pada cermin hadapan.

Ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng eksklusif GR balutan suede dengan dimensi yang lebih kecil.

Jika anda perasan, susun atur butang fungsi juga berlainan dengan apa yang wujud pada GR Yaris sedia ada, tetapan ini lebih mirip kepada apa yang digunakan pada jentera rali GR Yaris Rally2.

Akhir sekali, tombol pemilihan pacuan GR-Four kini mempunyai fungsi khas “PUSH MORIZO” menggantikan mod Gravel pada kereta GR Yaris standard.

Dalam mod yang dibangunkan khas bersama MORIZO ini, ia akan menetapkan agihan kuasa sebanyak 50:50 untuk roda depan dan belakang.

Aspek pemanduan pula ditambah baik dengan tetapan suspensi yang telah ditala semula berdasarkan permukaan jalan di Nurburgring supaya wujud keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang sporti.

Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) juga turut ditala semula oleh pihak GAZOO Racing.

Toyota GR Yaris MORIZO RR akan diproduksikan sebanyak 100 unit terhad untuk pasaran Jepun, di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi rasmi TGR iaitu GR App.

Sebanyak 100 unit lagi akan turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah.

Proton X70 2026 kini dengan enjin i-GT 1.5 turbo – harga dari RM99,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV X70 2026 yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Dari segi luaran, X70 baharu ini dilihat sama sahaja seperti apa yang telah ditawarkan pada dua tahun lepas.

Namun, perubahan ‘besar’ yang dibuat ialah menggantikan enjin 3-silinder yang asal kepada enjin 4-silinder i-GT 1.5 liter turbo.

Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Proton mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km, dan 5.5 peratus lebih jimat berbanding X70 terdahulu.

Aspek NVH bertambah baik sebanyak 4.5 peratus dengan penggunaan rantai pemasa bergigi yang dikatakan lebih senyap 25.24 peratus berbanding rantai pemasa standard.

Proton turut menyentuh aspek pengendalian dan keselesaan (ride & handling) X70 dengan menjadikan respons stereng yang lebih pantas dan nisbah yang ditambah baik, diikuti suspensi yang ditala semula.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang khusus untuk varian Premium merangkumi:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Kawalan Suluhan Tinggi (IHBC)
  • Informasi Papan Tanda Trafik (TSI)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Ruang kabin X70 2026 masih menawarkan kelengkapan yang sama seperti model terdahulu, seperti skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan arahan suara Hi Proton.

Cuma sayang sekali, beberapa ciri yang sebelum ini ada telah dibuang seperti balutan kulit Nappa serta bumbung kaca panorama.

Proton X70 2026 varian Premium juga masih kekal dengan padanan rim 19 inci rekaan yang asal, namun balutan getah Continental UC6 telah digantikan dengan tayar Giti Comfort F50 (225/55R19).

Harga jualan (selepas rebat RM7,000 untuk 1,500 unit pertama, sah sehingga 31 Mac) bermula dari RM99,800 untuk varian Executive hingga RM112,800 untuk varian Premium.