Arkib Kategori: BERITA

DENZA Balakong rasmi dibuka, pusat 4S dengan kemudahan baik pulih badan dan cat

DENZA terus memperluas rangkaiannya di Malaysia menerusi pembukaan rasmi pusat 4S DENZA Balakong.

Dikendalikan oleh Wing Hin Elegant, premis ini menawarkan perkhidmatan jualan kenderaan, servis selepas jualan serta kemudahan baik pulih badan dan cat.

Dengan pembukaan DENZA Balakong, Denza Malaysia kini mempunyai lapan bilik pameran di Malaysia.

Pembukaan ini juga sekali gus mengukuhkan liputan jualan dan selepas jualan di selatan Lembah Klang, serta memudahkan pelanggan melihat rangkaian model termasuk D9, B8 dan Z9GT.

Kemudahan yang disediakan

DENZA Balakong mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 3,000 meter persegi, menjadikannya antara tiga pusat pengedar DENZA terbesar di Malaysia.

Kemudahan yang disediakan merangkumi:

  • Ruang pameran seluas kira-kira 650 meter persegi, dengan tujuh ruang paparan kenderaan di dua tingkat
  • Ruang penyerahan kenderaan khusus seluas 61 meter persegi
  • Tujuh ruang servis untuk kerja mekanikal dan penjajaran roda
  • Kemudahan baik pulih badan dan cat

Pusat ini turut menyediakan ruang menunggu, hidangan kopi percuma dan bilik VIP.

Selain itu, ruang pameran turut diserikan dengan hiasan seni berunsur tempatan, serta sejarah perjalanan jenama Denza.

Kemudahan pengecasan BYD Flash Charging juga dirancang untuk dipasang pada masa akan datang.

DENZA Balakong terletak di Lot 9257C, Jalan Balakong Kembangan, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Waktu operasi bilik pameran ialah:

  • Isnin–Jumaat: 8.30 pagi hingga 6 petang
  • Sabtu–Ahad: 10 pagi hingga 5 petang

Sempena pembukaan, pelanggan yang membuat tempahan model DENZA di pusat ini boleh menikmati hadiah eksklusif sehingga 31 Disember 2026, tertakluk pada terma dan syarat.

Minyak enjin Valvoline Champ dilancar di Malaysia untuk motosikal dan skuter

Valvoline Global Operations melancarkan rangkaian minyak enjin Valvoline Champ untuk pasaran Malaysia.

Rangkaian produk terbaharu ini diformulasi untuk kegunaan motosikal dan skuter dalam cuaca tropika, trafik sesak serta perjalanan jauh.

Menurut Valvoline, rangkaian ini dibangunkan untuk menangani suhu tinggi, mengurangkan pembentukan mendapan dan mengekalkan prestasi enjin mengikut keperluan tunggangan.

Pilihan untuk motosikal empat lejang

Berikut merupakan rangkaian produk Valvoline Champ yang dilancarkan:

Champ 4T Ultra Racing 

  • direka khas untuk tunggangan berprestasi tinggi dan jarak jauh, menampilkan Power Booster Technology
  • menawarkan pecutan responsif, kawalan tunggangan yang diperhalusi dan ketahanan berpanjangan yang memberikan perlindungan maksimum
  • hadir dalam gred kelikatan 10W-40 & 10W-50

Champ 4T Extra 

  • direka untuk kegunaan tunggangan harian, terutama mereka yang perlu mengharungi kesesakan trafik dalam bandar
  • dilengkapi XTRA Clean Technology, ia menawarkan keupayaan pembersihan dalaman, meningkatkan tindak balas pendikit dan memanjangkan jangka hayat enjin
  • ditawarkan dalam pek 1 liter yang praktikal
  • tersedia dalam gred kelikatan 10W-40 & 15W-50

Champ 4T 

  • menawarkan pelindungan menyeluruh terhadap kehausan enjin dan ketahanan pada suhu tinggi
  • sesuai untuk penunggang harian serta motosikal empat lejang yang lama
  • tersedia dalam gred kelikatan Premium 20W-40 & 20W-50 dan 20W-40

Rangkaian khusus untuk skuter

Selain minyak enjin untuk motosikal, Valvoline turut menawarkan pilihan produk untuk skuter, seperti berikut:

Champ 4T Ultra Scooter 

  • dilengkapi Power Booster Technology, ia diformulasi untuk memaksimumkan penjimatan bahan api, perlindungan haba dan menambah baik penyaluran kuasa
  • hadir dalam gred kelikatan 5W-40
  • pek bersaiz 0.8 liter

Champ 4T Extra Scooter

  • dilengkapi XTRA Clean Technology untuk mengekalkan kebersihan enjin, memastikan saluran kuasa yang lancar, dan meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api
  • tersedia dalam gred kelikatan 10W-30 dan 10W-40

Champ 4T Premium Scooter

  • menawarkan perlindungan enjin daripada kehausan, serta prestasi yang konsisten
  • khusus untuk tunggangan harian dalam jarak dekat
  • hadir dalam gred kelikatan 10W-30 dan 10W-40

Produk Valvoline Champ ini diedarkan oleh Vanli Group dan boleh didapati di bengkel, kedai runcit, dan pusat servis sah di seluruh negara.

Sempena pelancaran, Vanli Group turut menaja 1,000 botol minyak enjin Valvoline kepada rakan pemandu Lalamove bagi menyokong keperluan penyelenggaraan komuniti penghantaran.

PETRONAS Lubricants International jalin kerjasama dengan UM Motorcycles, bekal PETRONAS Sprinta ke pasaran global

PETRONAS Lubricants International (PLI) mengumumkan kerjasama strategik dengan UM Motorcycles.

Untuk makluman, UM Motorcycles merupakan jenama motosikal dari Miami, Amerika Syarikat yang diasaskan pada tahun 1999.

Hadir di lebih 40 buah negara, jenama ini menawarkan pelbagai jenis motosikal termasuk cruiser, naked, adventure serta skuter.

Bekal pelincir PETRONAS Sprinta

gambar hiasan

Melalui perjanjian itu, PLI akan membekalkan minyak pelincir PETRONAS Sprinta kepada rangkaian pengedar dan selepas jualan UM Motorcycles di pasaran terpilih sekitar Asia Pasifik, Eropah, Afrika dan Amerika Latin.

Fasa awal melibatkan produk terpilih dengan teknologi UltraFlex™, yang dirumus untuk memberikan tindak balas segera serta perlindungan serentak kepada enjin, klac dan gear.

Ia turut menyokong ketahanan enjin dalam pelbagai keadaan, daripada permulaan sejuk dan trafik henti-gerak hingga tunggangan mencabar di jalan terbuka.

Kerjasama ini membuka peluang pertumbuhan antarabangsa kepada PLI, manakala rangkaian UM Motorcycles mendapat manfaat daripada kepakaran pelincir syarikat tersebut.

PLI turut menyokong pembangunan pengedar, latihan teknikal dan pemasaran bersama bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan serta mutu selepas jualan.

Bekalan pertama dijadualkan tersedia pada Oktober 2026, bermula di Asia, sebelum diperluas secara berperingkat ke Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), serta benua Amerika.

iCaur V25 debut di peringkat global, pilihan BEV & REEV, kuasa cecah 455 PS

Bertempat di Wuhu, China, SUV gaya klasik iCaur V25 membuat kemunculan rasmi di peringkat global sebagai pelengkap kepada model siri V sedia ada.

iCaur V25 akan diposisikan di atara model V23 dan V27.

Pilihan BEV & REEV

iCaur V25 ditawarkan dalam versi pacuan elektrik sepenuh masa (BEV) dan versi EV dengan penambah jarak (REEV).

Versi REEV dilengkapi dengan sistem Golden REEV dengan konfigurasi dua motor elektrik menghasilkan kuasa 455 PS dan 505 Nm.

Dengan sistem pacuan semua roda i-AWD, V25 boleh menawarkan konfigurasi pacuan dua roda atau semua roda mengikut keadaan jalan.

Terdapat lima mod pengurusan tenaga iaitu Forced EV, EV Priority, Hybrid, Fuel First dan Forced Charge.

Sistem Golden REEV ini juga mencatatkan kecekapan terma maksimum 44.5% dan kadar penukaran bahan api kepada elektrik 3.71 kWh bagi setiap liter.

Rekaan klasik

Sama seperti V23 dan V27, V25 mengekalkan identiti rekaan Future Classic iCaur, dengan elemen seperti:

  • bentuk badan berkotak
  • lampu utama LED bulat
  • cermin hadapan tegak
  • bonet jenis clamshell
  • fender lebar
  • rim 21 inci
  • pemegang pintu mekanikal separa sembunyi
  • pintu tailgate bukaan sisi dengan tayar simpanan saiz penuh

Rekaan badan yang tegak dan rata itu turut membantu memaksimumkan ruang kabin serta ruang kargo.

Kelengkapan kabin

Susun atur ruang kabin V25 dilihat agak serupa dengan apa yang ditawarkan pada model V23.

Terdapat skrin kluster digital, skrin infohibur sebesar 15.4 inci, empat tombol kawalan yang besar di tengah termasuk tombol penukaran mod pemanduan, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Selain itu, terdapat ciri seperti:

  • tempat duduk pemandu dengan fungsi memori dan sambutan
  • sistem audio 15 pembesar suara
  • bumbung suria panorama
  • penghadang cahaya larasan elektrik
  • fungsi larasan elektrik, pengudaraan dan pemanas tempat duduk hadapan

Dari segi praktikaliti, iCaur V25 menawarkan 41 ruang penyimpanan dan kapasiti kargo sebesar 1,549 liter.

Versi BEV turut mendapat ruang simpanan hadapan dan ruang tambahan 22 liter di bawah lantai.

Piawaian keselamatan lima bintang

Struktur badan V25 dibina menggunakan 80% keluli berkekuatan tinggi dan keluli berkekuatan tinggi termaju, dengan ketegaran kilasan 30,000 Nm/darjah.

Bukan itu saja, V25 turut dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 540 darjah serta ciri bantuan pemandu Tahap Dua seperti:

  • kawalan jelajah adaptif
  • amaran keluar lorong
  • amaran pelanggaran hadapan
  • brek kecemasan automatik
  • sistem pengesanan titik buta
  • sistem pemantauan pemandu

Sedia untuk aktiviti luar

V25 menyediakan lebih 20 titik sambungan khas untuk aksesori dan pengubahsuaian, membolehkan pemilik menyesuaikan kenderaan mengikut aktiviti serta cita rasa masing-masing.

Ia turut menawarkan kapasiti tunda 1.8 tan dan bekalan kuasa luaran V2L sehingga 6 kW, sesuai untuk kegunaan perkhemahan serta peralatan elektrik.

EON rasmi buka Hab Badan & Cat pertama di Glenmarie

Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) hari ini merasmikan pembukaan pusat baik pulih badan dan cat pertamanya di Glenmarie, Shah Alam.

Fasiliti Hab Badan & Cat EON ini menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan jenama di bawah kendalian EON termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan smart.

Proton e.MAS pula bakal menyertai portfolio berkenaan tidak lama lagi.

Perkhidmatan yang ditawarkan

Dengan keluasan 41,508 kaki persegi, fasiliti ini merupakan antara pusat seumpamanya yang terbesar di negara ini.

Ia menawarkan perkhidmatan termasuklah pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan, pengecatan semula serta kerja berkaitan.

Semua kerja ini bertujuan mengembalikan kenderaan kepada keadaan optimum dengan mengekalkan aspek keselamatan, kualiti dan kemasan.

Selain itu, ia dilengkapi dengan 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat, empat kebuk semburan cat serta teknologi pembaikan moden.

Pusat berkenaan turut menerima tuntutan pembaikan kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia.

Ini sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan pembaikan dan pemulihan kenderaan.

Teroka lokasi baharu

EON turut meninjau peluang memperluas rangkaian Hab Badan & Cat dengan tumpuan kepada lokasi strategik yang sudah mempunyai kehadiran pelbagai jenama di bawah kendaliannya.

Akkbar Danial selaku Ketua Pegawai Eksekutif EON berkata, “Di EON, kami percaya setiap interaksi sepanjang tempoh pemilikan kenderaan ialah peluang untuk memberikan nilai, membina kepercayaan dan mencipta pengalaman bermakna.

“Hab Badan & Cat baharu ini membolehkan kami merealisasikan perkara tersebut,” katanya.

Beliau menambah, pusat itu mematuhi sepenuhnya prosedur dan proses EON bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti tinggi dan menyeluruh.

GWM Malaysia eksport 1,100 unit WEY G9 ke Indonesia & Thailand

GWM Malaysia mencatatkan satu pencapaian penting dengan mengeksport lebih 1,100 unit WEY G9 versi pemasangan tempatan (CKD) ke pasaran Indonesia dan Thailand.

Kejayaan eksport ini bertepatan dengan satu lagi pencapaian besar di mana jumlah pengeluaran CKD kini melebihi 10,000 unit.

Kedua-dua pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport strategik bagi rantau ASEAN.

Ia juga menandakan kemajuan GWM daripada sekadar memenuhi pasaran domestik kepada menyokong rantau ASEAN yang lebih luas.

Operasi CKD sejak 2024

Operasi pemasangan GWM di Malaysia bermula sejak tahun 2024 menerusi kerjasama dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Malaysia.

Model kenderaan pertama yang dipasang ialah HAVAL H6 HEV.

Ia kemudian diperluaskan dengan model GWM WEY G9 Hi4 PHEV pada tahun 2025, dan disusuli dengan pengenalan varian HEV pada tahun ini.

Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, operasi CKD menggabungkan teknologi automotif global dengan kepakaran pembuatan Malaysia.

Ia turut menyokong pemindahan pengetahuan teknikal, pembangunan tenaga kerja dan penyertaan lebih luas pemain industri tempatan.

Komitmen jangka panjang di Malaysia

Cui Anqi, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia berkata, peranan Malaysia kini semakin penting dalam strategi pertumbuhan serantau dan pengeluaran syarikat.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan jangka panjang kami terhadap Malaysia serta komitmen untuk berkembang bersama industri automotif negara, sambil membuka lebih banyak peluang untuk keupayaan tempatan menyumbang kepada pasaran ASEAN,” katanya.

Roslan Abdullan selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, pencapaian terbaharu ini mencerminkan kemajuan yang dicapai bersama rakan pengeluaran.

“Lebih penting, ia menunjukkan komitmen kami yang semakin kukuh terhadap Malaysia.

“Daripada memperkenalkan teknologi baharu hingga memperluas eksport serantau, kami mahu mewujudkan peluang yang menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara,” katanya.

Castrol Unleashed Youth Simracing Championship kembali cari bakat baharu perlumbaan simulator Malaysia

Castrol Unleashed Youth Sim Racing Championship 2026 kini kembali membuka peluang kepada anak muda yang berbakat dalam perlumbaan simulator.

Terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 24 tahun, musim kedua kali ini mempertandingkan dua kategori, iaitu:

  • Belia Lelaki
  • Belia Wanita

Selain itu, ia juga turut menawarkan program pembangunan untuk membantu peserta meningkatkan kemahiran dan bersedia menghadapi perlumbaan lebih kompetitif.

Akses mudah kepada sukan permotoran

Joshua Tan selaku Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, perlumbaan simulator menyediakan laluan yang lebih mudah diakses untuk anak muda menceburi sukan permotoran.

Platform Castrol Unleashed pula membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan kesediaan untuk bersaing.

Ini dibuktikan menerusi penganjuran musim pertama yang berjaya menarik penyertaan lebih 400 pelumba muda serta penglibatan 4,000 orang awam.

Bagi musim kedua, peserta turut mendapat manfaat daripada Castrol Unleashed Masterclass Series dengan sokongan TGR Malaysia.

Siri itu merangkumi kira-kira 13 sesi dalam talian yang membincangkan kemahiran perlumbaan, analisis telemetri, teknik mencatat masa pusingan serta pengenalan kepada kereta dan litar yang digunakan sepanjang kejohanan.

Tempahan slot saringan

Saringan menggunakan format Time Attack di dua lokasi:

  • Cove Circuit Cyberjaya: 10 dan 11 Oktober 2026.
  • Cove Circuit Bandar Sunway: 17 dan 18 Oktober 2026.

Semua slot saringan pertama di Cyberjaya telah habis ditempah, mencerminkan sambutan terhadap kejohanan ini. Peserta boleh mendaftar sehingga dua slot saringan dengan bayaran RM10 menerusi unleashedsimracing.com.

Latihan juga boleh dilakukan di Cove Circuit menggunakan perkakasan simulator yang sama seperti dalam kejohanan.

20 pelumba terpantas bagi setiap kategori akan layak ke pusingan akhir di Pusat Beli-belah 1 Utama pada 13 hingga 15 November 2026.

Di pentas akhir, 10 peserta terbaik setiap kategori akan bersaing merebut hadiah wang tunai, termasuk RM6,000 untuk juara Lelaki Belia dan RM3,000 untuk juara Wanita Belia.

Cycle & Carriage rasmi buka bilik pameran Leapmotor Setia Alam, lokasi ketujuh di Malaysia

Cycle & Carriage secara rasmi membuka bilik pameran Leapmotor terbaharu yang terletak di Setia Alam, Selangor, sekali gus meluaskan akses kepada pelanggan sekitar Setia Alam dan Shah Alam.

Premis itu kini menjadi lokasi Leapmotor ketujuh di bawah kendalian Cycle & Carriage di Malaysia

Kemudahan

Dengan keluasan sekitar 3,570 kaki persegi, bilik pameran itu boleh memuatkan sehingga empat kenderaan Leapmotor pada satu-satu masa.

Ia turut menyediakan ruang istirahat pelanggan yang dilengkapi televisyen dan kemudahan sokongan untuk keselesaan ketika berurusan dengan pasukan jualan.

Bilik pameran Setia Alam terletak di Unit No. 23-1, Setia Avenue, Jalan Setia Prima S U13/S, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.

Ia dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Selain Setia Alam, rangkaian Leapmotor Cycle & Carriage kini merangkumi lokasi berikut:

  • Plaza 33 Petaling Jaya
  • Pavilion Bukit Jalil
  • Paradigm Mall Johor Baharu
  • Pusat 3S Glenmarie
  • Pusat 3S Johor Bahru
  • Pusat 3S George Town

Kukuh kerjasama dengan Stellantis

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, pembukaan itu mengukuhkan kehadiran syarikat di Malaysia, selain mendekatkan Leapmotor kepada lebih ramai pelanggan melalui sokongan jualan dan selepas jualan.

Pembukaan ini turut memperkukuh kerjasama Cycle & Carriage dengan Stellantis Malaysia dalam mengembangkan jenama Leapmotor dan meningkatkan akses kepada mobiliti elektrik pintar.

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, rangkaian jualan yang kukuh dan mudah diakses penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna beralih kepada EV.

Jelasnya lagi, bilik pameran baharu itu membolehkan pelanggan melihat sendiri teknologi serta rangkaian produk Leapmotor sebelum membuat pilihan.

DHAS raih pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi sistem penjejakan kenderaan pintar

DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi pelaksanaan sistem penjejakan kenderaan pintar dalam kawasan operasi terbesar menerusi DHAS Vehicle Tracking System (DVTS).

Sistem yang dibangunkan secara tempatan itu membantu meningkatkan kecekapan operasi dengan memantau lokasi serta pergerakan kenderaan secara digital.

Lokasi dan pergerakan dipantau secara digital

DVTS menggabungkan teknologi rangkaian kawasan luas jarak jauh (LoRaWAN), peranti penjejakan GPS, pagar geografi (geofencing) serta pemantauan digital berpusat.

Gabungan teknologi ini membolehkan DHAS memantau lokasi dan pergerakan kenderaan dengan lebih jelas, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada kaedah manual.

Hasilnya, kenderaan dapat dikenal pasti dengan lebih pantas, manakala rekod pergerakan menjadi lebih tepat. Proses penghantaran kepada pelanggan juga dapat dipercepat.

Selaras operasi dari penerimaan hingga penghantaran

Sistem ini telah digunakan di Pusat Pemprosesan Kenderaan DHAS di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah, Selangor serta Pekan, Pahang.

Di PKFZ, sistem ini menyokong pemantauan dan penyelarasan kenderaan di zon penerimaan, penyimpanan, pemprosesan serta penghantaran meliputi kawasan seluas 33 ekar.

DVTS turut menyediakan papan pemuka digital, laporan dan analisis data bagi membantu perancangan sumber, keputusan operasi serta penyampaian perkhidmatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad, pengiktirafan itu menjadi dorongan kepada syarikat untuk terus memperkukuh operasi menerusi teknologi.

Beliau berkata, DVTS membolehkan pengurusan kenderaan dilakukan dengan lebih cekap dan tepat, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan serta rakan niaga.

DHAS akan terus meneroka penggunaan automasi dan penyelesaian digital bersepadu bagi memperkukuh keupayaan logistik automotifnya.

Proton e.MAS Impianku – reka EV menggunakan AI, menang model cetakan 3D

Proton New Energy Technology (PRO-NET) mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai pertandingan reka bentuk e.MAS Impianku menggunakan kecerdasan buatan (AI) berlangsung dari 19 Oktober hingga 30 November 2026.

Inisiatif tersebut memberi peluang kepada peserta berkongsi idea mengenai reka bentuk, ciri dan teknologi yang ingin dilihat pada kenderaan elektrik masa hadapan.

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan pelajar universiti.

Kategori terbuka

Kategori ini terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia.

Rekaan yang memenuhi syarat akan dipaparkan dalam galeri digital untuk undian orang ramai dari 5 hingga 13 Disember 2026.

Sebanyak 20 rekaan dengan undian tertinggi akan disenarai pendek untuk penilaian akhir.

Lapan pemenang bakal menerima hadiah berikut:

  • Tiga hadiah utama: Model cetakan 3D berukuran 10 inci berdasarkan rekaan pemenang.
  • Lima hadiah saguhati: Model miniatur 3D berdasarkan rekaan masing-masing.

Pemenang kategori terbuka akan diumumkan pada acara rasmi PRO-NET pada Januari 2027.

Kategori pelajar universiti

Kategori ini terbuka kepada pelajar berumur 18 tahun ke atas yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di Malaysia.

Pemenang dipilih sepenuhnya oleh panel juri tanpa undian orang ramai.

Tiga pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai seperti berikut:

  • Tempat pertama: RM1,000
  • Tempat kedua: RM600
  • Tempat ketiga: RM400

12 pemenang hadiah saguhati pula akan membawa pulang barangan eksklusif Proton e.MAS.

Cara penyertaan

Peserta perlu melayari protonemasimpianku.com, memilih kategori dan menggunakan contoh arahan AI (prompt) yang disediakan sebagai panduan menghasilkan rekaan menerusi mana-mana platform AI generatif.

Hasil rekaan kemudian perlu dimuat naik bersama borang penyertaan yang lengkap sebelum 11.59 malam, 30 November 2026.

Peserta boleh menghantar lebih daripada satu rekaan, tetapi hanya dibenarkan menyertai satu kategori. Semua penyertaan mestilah karya asli yang dijana menggunakan AI dan mematuhi terma serta syarat pertandingan.

Rekaan tersebut merupakan konsep kreatif semata-mata dan tidak menggambarkan model Proton e.MAS yang disahkan untuk pengeluaran.

Gentari dan BYD Malaysia jalin kerjasama teroka pembangunan Flash Charging di Malaysia

Gentari dan BYD Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan infrastruktur pengecasan EV berkuasa tinggi di Malaysia.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gentari, Sushil Purohit dan Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma.

Teknologi pengecasan ultra pantas

Kerjasama itu merangkumi teknologi BYD Flash Charging serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) untuk menyokong pengecasan lebih pantas dan mudah.

Dengan pengecasan sepantas lima minit, BYD Flash Charging boleh menambah jarak pemanduan kira-kira 400 km.

Kedua-dua pihak akan mengenal pasti lokasi sesuai, termasuk laluan utama antara bandar, selain menilai keperluan bekalan kuasa, BESS serta aspek teknikal, komersial dan operasi sebelum pelaksanaan lebih meluas.

Kerjasama tersebut turut membuka ruang penerokaan dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga.

Sasar 30 ribu lokasi pengecasan

Malaysia merekodkan 53,537 pendaftaran EV baharu dalam sembilan bulan pertama 2026, meningkat 98.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kerajaan turut menyasarkan 30,000 lokasi pengecasan EV awam menjelang 2030.

Gentari kini mengendalikan lebih 600 lokasi pengecasan EV di Malaysia, selain menyediakan akses kepada kira-kira 18,000 lokasi di Malaysia, Singapura, Thailand dan India melalui Gentari Go Roaming Hub.

 

Penjawat awam dilarang guna Waze serta-merta, TuJu disaran sebagai alternatif

Penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), lapor Bernama.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh 20 Oktober 2026, selepas mesyuarat JKSN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua kementerian, jabatan dan agensi diminta memaklumkan arahan tersebut kepada pegawai masing-masing serta memastikan pematuhan menyeluruh.

Sebarang pertanyaan pelaksanaan boleh dirujuk kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Kebimbangan terhadap keselamatan

Terdahulu, Anwar menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif navigasi, dengan menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna Waze.

TuJu dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd dan dilancarkan pada 26 November 2025.

Tersedia di Google Play Store dan Apple App Store, aplikasi itu menawarkan ciri seperti:

  • maklumat laluan
  • anggaran masa ketibaan
  • tol dan trafik masa nyata
  • lokasi R&R
  • paparan CCTV langsung
  • bantuan kecemasan

Mercedes-AMG ONE Service Hub pertama di Asia Tenggara dibuka di Malaysia – pelaburan RM2.2 juta

Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya membuka pusat servis Mercedes-AMG ONE pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara, bertempat di Hap Seng Star Bukit Tinggi, Klang.

Dibangunkan dengan pelaburan RM2.2 juta, fasiliti ini menjadikan Malaysia antara hab servis khusus Mercedes-AMG ONE di dunia, selain Jerman, Switzerland, Dubai, Abu Dhabi, Kuwait dan Jepun.

Kemudahan

Pusat servis ini menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal khusus kepada pemilik hypercar Mercedes-AMG ONE di rantau Asia Tenggara.

Bagi memenuhi keperluan penyelenggaraan model berprestasi tinggi ini, pusat servis tersebut dilengkapi:

  • Peralatan khusus sistem voltan tinggi
  • Sistem diagnostik Mercedes-AMG ONE
  • Ruang penyimpanan dan penyelenggaraan terkawal
  • Juruteknik bertauliah Mercedes-AMG
  • Sokongan terus daripada pakar teknikal Mercedes-AMG

Fasiliti ini turut menyediakan khidmat pakar teknikal bergerak (Flying Doctors) serta sistem diagnostik digital masa nyata.

Kedudukannya yang strategik turut mendapat sokongan hab logistik alat ganti Mercedes-Benz Asia Pasifik di Malaysia bagi mempercepatkan urusan penyelenggaraan dan bekalan komponen.

Pembukaan pusat servis ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perkhidmatan automotif berprestasi tinggi di rantau Asia Pasifik.

Hypercar dengan teknologi F1

Mercedes-AMG ONE merupakan hypercar berasaskan teknologi Formula 1 yang dihasilkan sebanyak 275 unit sahaja di seluruh dunia.

Ia menggunakan enjin V6 turbo 1.6 liter bersama empat motor elektrik menerusi sistem hibrid E PERFORMANCE, menghasilkan kuasa keseluruhan melebihi 1,063 hp.

Enjinnya juga mampu mencapai putaran sehingga 11,000 rpm.

Hyundai Avante N Monochrome 2027 untuk Korea, bakal masuk pasaran lain

Hyundai Motor memperkenalkan Avante N Monochrome 2027, model edisi khas baharu berasaskan sedan berprestasi tinggi Avante N.

Di pasaran luar seperti Amerika Syarikat, Avante N dikenali sebagai Elantra N.

Model ini mengetengahkan konsep reka bentuk monokrom yang mengurangkan penggunaan warna menyerlah bagi memberikan lebih tumpuan kepada prestasi dan keseronokan pemanduan.

Monokrom merujuk kepada penggunaan satu warna atau tona daripada keluarga warna yang sama.

Konsep ini diterapkan pada bahagian luaran dan dalaman Avante N Monochrome untuk menghasilkan penampilan yang lebih ringkas serta menonjolkan ciri prestasi tinggi model berkenaan.

Menurut Ketua Pengurusan N, Park Jun-woo, model ini dibangunkan susulan permintaan pelanggan yang mahu menikmati warisan prestasi tinggi Avante N dalam bentuk lebih sederhana.

Beliau berkata, pendekatan mengurangkan elemen yang terlalu menyerlah sambil menambah perincian membolehkan pemandu memberikan lebih tumpuan kepada keseronokan pemanduan

Ciri-Ciri Avante N Monochrome

Avante N Monochrome ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Black dan Performance Blue. Antara ciri khusus model ini ialah:

  • Rim tempa khusus Monochrome dengan reka bentuk baharu.
  • Bampar hadapan dan belakang dengan kemasan monokrom.
  • Angkup brek dan butang pada stereng dengan kemasan sepadan.
  • Penggunaan bahan Alcantara pada bahagian dalaman, termasuk stereng.
  • Komponen luaran tertentu, termasuk cermin sisi, menggunakan bahan karbon.

Penggunaan Alcantara pada bahagian dalaman seperti stereng dan bahan karbon pada komponen luaran tertentu seperti cermin sisi menambah lagi ciri prestasi tinggi model ini.

Rangkaian Kuasa

Hyundai tidak mendedahkan butiran terperinci namun Avante N yang menjadi asas model ini menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter dengan teknologi Flat Power khusus N.

Enjin tersebut menghasilkan 280 PS pada 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksimum 392Nm pada 2,100 hingga 4,700 rpm.

Model Avante N di pasaran turut ditawarkan dengan pilihan transmisi DCT lapan kelajuan atau manual enam kelajuan.

Berat (kerb) masing-masing ialah 1,520 kg bagi versi DCT dan 1,480 kg bagi versi manual.

Korea Selatan Dahulu

Hyundai merancang untuk memulakan jualan Avante N Monochrome di Korea Selatan pada 29 Oktober sebelum diperkenalkan di pasaran global pada masa akan datang.

Model ini juga akan dipamerkan di Hyundai N Festival di Everland Speedway pada 31 Oktober dan 1 November 2026.

Malaysia pertaruh empat atlet e-sukan di APMC 2026, buru emas di Thailand

Empat atlet e-sukan bakal membawa nama Malaysia dalam Asia Pasific Motorsport Championship 2026 di Litar Bira, Pattaya 23 hingga 25 Oktober ini.

Empat atlet tersebut ialah:

  • Nabil Azlan (24 tahun)
  • Iqbal Suji (28 tahun)
  • Ethen Low (16 tahun)
  • Raja Amirul Syauqat (22 tahun)

Kesemua atlet dipilih selepas menamatkan pertandingan kelayakan kebangsaan masing-masing di dua kedudukan teratas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Kategori Assetto Corsa

Nabil Azlan kembali ke APMC dengan misi memperbaiki pencapaiannya selepas meraih pingat perak dalam kategori iRacing pada edisi 2025.

Beliau yang beralih ke kategori Assetto Corsa tahun ini merupakan juara MAM Festival of Speed Esport 2026 dan Toyota GAZOO Racing Malaysia e-Racing Pro Class 2025.

Sementara itu, Iqbal Suji bakal membuat penampilan sulung di APMC dengan pengalaman sebagai finalis Gran Turismo World Series 2023 Nations Cup dan Asia Pacific Final FIA Rally Star 2023.

Kategori iRacing

Raja Amirul Syauqat pula hadir dengan reputasi sebagai juara MAM eRacing GP National Championship 2026 dan bakal membuat penampilan sulung di APMC.

Beliau akan bergandingan dengan Ethen Low, atlet berusia 16 tahun yang kini mendahului Toyota GAZOO Racing Malaysia Rookies Championship.

Ethen juga baru-baru ini muncul juara kategori Young Dreamers dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026.

Malaysia buru kejayaan

Penyertaan skuad negara mendapat sokongan Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP).

Sejak penganjuran sulung APMC pada 2023, Malaysia telah meraih pingat emas dalam kategori individu dan berpasukan bagi disiplin e-sukan.

APMC 2026 dijangka menghimpunkan antara 250 hingga 500 peserta dari 24 negara yang akan bersaing dalam enam disiplin sukan permotoran.

Kejohanan anjuran Royal Automobile Association of Thailand (RAAT) itu bakal menyaksikan peserta merebut pingat emas, perak dan gangsa dalam kategori masing-masing.

Heritage Motor Exchange Asia 2026 bakal pamer 50 kereta klasik di WTC KL

Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran sulung Heritage Motor Exchange Asia 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

Bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), acara ini bakal menghimpunkan sehingga 50 kereta klasik dan koleksi eksklusif dari seluruh rantau Asia.

Bertemakan When Passion Meets Acquisition, acara ini bukan sekadar pameran automotif, malah menyediakan platform jual beli kereta koleksi dengan sistem penilaian lebih telus.

Tarikan utama

Antara tarikan utama ialah pengenalan 100-Point Concours Judging System, iaitu sistem penilaian 100 mata bagi menentukan kondisi, ketulenan komponen dan anggaran nilai pasaran sesebuah kenderaan.

Setiap kenderaan yang dinilai akan menerima sijil penilaian rasmi, manakala kereta terpilih untuk jualan akan memaparkan julat harga pada cermin hadapan.

Sebanyak enam kategori kenderaan bakal dipamerkan iaitu Vintage, Classic, Modern Classic, Contemporary Exotic, Luxury dan Performance.

Acara ini turut menampilkan lima segmen utama:

  • Concours de Vente – Pameran dan penilaian kereta koleksi untuk jualan.
  • Concours d’Elegance – Pengiktirafan terhadap reka bentuk, sejarah dan restorasi kenderaan.
  • Private Consignment Paddock – Platform jual beli kereta koleksi.
  • Back From the Future – Penampilan robot humanoid Mornine daripada AiMOGA.
  • Historic Motorsport – Pameran kereta lumba dan rali ikonik sejak 1970-an.

Selain itu, Cycle & Carriage turut menyertai acara ini sempena memperingati hubungan 75 tahun bersama Mercedes-Benz di Malaysia dan Singapura.

JPJ dan PUSPAKOM juga akan hadir bagi menyokong urusan pemeriksaan kenderaan, pertukaran hak milik serta dokumentasi berkaitan.

Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Dewasa: RM23
  • Pelajar: RM16
  • Warga emas dan OKU: RM13
  • Pakej tiga orang: RM66
  • Kanak-kanak bawah 12 tahun: Percuma

Acara dibuka kepada orang awam pada 23 Oktober bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam, manakala 24 dan 25 Oktober dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tiket boleh dibeli menerusi CloudJoi atau terus di lokasi acara.

Honda CBR600RR 2027 diperkenal di Eropah!

Honda CBR600RR 2027 pasaran Eropah menerima beberapa penambahbaikan merangkumi reka bentuk aerodinamik, sistem brek, elektronik dan paparan meter.

Motosikal supersport ini masih menggunakan enjin empat silinder sebaris 599cc yang menghasilkan kuasa 121 PS pada 14,250rpm dan tork 63Nm pada 11,500rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CBR600RR pernah diperkenalkan pada 2021 dan ditawarkan pada harga RM98,888.

Model itu tiada lagi di dalam pasaran dan Boon Siew Honda sekarang ini menawarkan CBR650R pada harga RM49,999.

Reka Bentuk dan Aerodinamik Baharu

Bahagian hadapan CBR600RR 2027 dikemas kini dengan reka bentuk front fairing yang mengintegrasikan winglet bawah ke dalam badan motosikal.

Reka bentuk ini memberikan penampilan lebih kemas tanpa mengurangkan daya mendap atau menjejaskan rintangan udara.

Perubahan tersebut turut membantu mengalihkan aliran udara daripada penunggang dan lengannya bagi mengurangkan keletihan serta gangguan angin.

Bahagian bawah fairing juga dibentuk untuk mengarahkan aliran udara ke bawah dan mengurangkan rintangan pada tayar belakang.

Motosikal ini ditawarkan dalam dua warna, iaitu Ignition Red HRC TriColour dan Matt Ballistic Black Metallic.

Enjin 599cc dan Sistem Elektronik

Enjin empat silinder sebaris DOHC 16 injap dengan penyejukan cecair dikekalkan, tetapi beberapa komponen dan bahagian sistem kemasukan udara telah ditambah baik untuk prestasi pada putaran tinggi.

Antara ciri utama enjin dan elektronik ialah:

  • Kuasa dan tork: 121 PS pada 14,250rpm dan 63Nm pada 11,500rpm.
  • Sistem kemasukan udara: Diameter badan pendikit 44mm, dengan kapasiti aliran liang kemasukan meningkat 2.2 peratus.
  • Klac: Jenis assist/slipper yang mengurangkan daya pengendalian sebanyak 32 peratus berbanding reka bentuk standard.
  • Transmisi: Manual enam kelajuan dengan quickshifter standard dan tiga tahap pelarasan.
  • Kawalan cengkaman: Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan sembilan tahap serta pilihan untuk dimatikan.
  • Mod tunggangan: Tiga mod pratetap dan dua mod User untuk tetapan kuasa enjin, Engine Brake, HSTC dan Wheelie Control.

Sistem Throttle By Wire (TBW) dipadankan dengan Bosch IMU enam paksi yang mengira pergerakan motosikal sebanyak 100 kali sesaat.

Sistem ini menguruskan HSTC, Cornering ABS dan Rear Lift Control.

Brek Fireblade dan Suspensi Showa

Perubahan penting untuk model 2027 ialah penggunaan angkup brek hadapan Nissin empat omboh jenis pemasangan jejari daripada Honda CBR1000RR-R Fireblade.

Angkup ini dipadankan dengan cakera terapung 310mm dan silinder induk omboh jejari.

Modul ABS baharu turut menawarkan tiga mod pilihan:

  • Standard: Mengutamakan kestabilan untuk pelbagai keadaan, termasuk jalan basah.
  • Track: Meniadakan kawalan rear lift untuk kegunaan litar.
  • Race: Menyahaktifkan ABS roda belakang bagi membolehkan membrek dengan lebih agresif, sementara sistem mengawal gelinciran roda hadapan.

Suspensi masih menggunakan fork terbalik Showa Big Piston 41mm yang boleh dilaraskan sepenuhnya dan penyerap hentak belakang Showa Unit Pro-Link.

Kelengkapan lain termasuk rangka aluminium twin-spar, lengan ayun aluminium dan Honda Electronic Steering Damper (HESD).

Skrin TFT 5 Inci dan Kelengkapan Lain

Paparan meter kini menggunakan skrin TFT-LCD berwarna berukuran lima inci.

Maklumat yang dipaparkan termasuk masa pusingan, jumlah pusingan dan masa pusingan terpantas.

Penunjuk pertukaran gear pula menggunakan lima lampu LED putih yang menyala dan berkelip apabila enjin mencapai putaran yang ditetapkan.

Ciri kelengkapan lain termasuk:

  • Lampu hadapan berkembar dan lampu belakang LED.
  • Emergency Stop Signal (ESS) yang mengaktifkan lampu isyarat ketika membrek secara mendadak untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
  • Honda Ignition Security System (HISS) untuk menghalang enjin dihidupkan tanpa kunci yang sepadan.

Honda turut menyediakan tiga pilihan HRC Race Kit untuk kegunaan litar, merangkumi pilihan bagi World Supersport, Superbike dan track day.

Kit tersebut menawarkan peningkatan prestasi enjin, keupayaan mengambil selekoh dan cengkaman, selain pengurangan berat.

Spesifikasi Honda CBR600RR 2027 Eropah

  • Enjin: Empat silinder sebaris, DOHC, 16 injap, penyejukan cecair, 599cc
  • Kuasa maksimum: 121 PS@14,250rpm
  • Tork maksimum: 63Nm@11,500rpm
  • Transmisi: Manual enam kelajuan
  • Paparan meter: TFT-LCD berwarna 5 inci
  • Kapasiti tangki: 18 liter
  • Suspensi hadapan: Showa Big Piston USD 41mm
  • Brek hadapan: Cakera terapung 310mm, angkup empat omboh
  • Brek belakang: Cakera 220mm, angkup satu omboh
  • Jarak roda: 1,370mm
  • Ketinggian pelana: 820mm
  • Berat (kerb): 194kg

Mitsubishi Pajero 2027 kini ditawarkan di Thailand, harga mula RM182 ribu

Mitsubishi Motors memulakan jualan Mitsubishi Pajero generasi baharu di Thailand pada 19 Oktober 2026. ‘

Pajero 2027 dikeluarkan di kilang Mitsubishi Motors (Thailand) Co., Ltd. (MMTh) di Laem Chabang dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula ฿1.499 juta (RM181,979).

Selain Thailand, penghantaran Mitsubishi Pajero baharu ke Australia dan Jepun akan dibuat sebelum jualan bermula pada pertengahan Disember 2026.

Bermula tahun kewangan 2027, Mitsubishi Motors merancang memperkenalkan model ini secara berperingkat di kira-kira 100 negara dan wilayah, termasuk pasaran Timur Tengah dan Amerika Latin.

Mitsubishi Pajero baharu meneruskan legasi model itu menerusi gabungan keupayaan pemanduan off-road, teknologi moden dan kabin yang mengutamakan keselesaan.

Model ini turut menampilkan kemasan bermutu tinggi serta pengendalian yang lebih lincah untuk memenuhi keperluan perjalanan di pelbagai keadaan jalan.

Enjin Diesel VGT 2.4L, 480Nm

Mitsubishi Pajero baharu menggunakan enjin diesel VGT 2.4 liter yang dibangunkan khusus untuk model ini.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan (8AT) dan menghasilkan kuasa maksimum 204 hp dan tork 480 Nm.

Mod Sport dan paddle shift turut disediakan untuk meningkatkan respons serta pengalaman pemanduan dalam pelbagai keadaan.

Antara ciri utama sistem pemanduan Pajero baharu ialah:

  • Super-All Wheel Control (S-AWC).
  • Super Select 4WD-II (SS4-II).
  • Active Yaw Control (AYC).
  • Tujuh mod pemanduan untuk pelbagai keadaan jalan dan perjalanan.

Gabungan sistem tersebut direka untuk memberikan keyakinan ketika memandu di permukaan jalan, keadaan cuaca dan laluan yang berbeza.

Reka Bentuk Luaran Lebih Tegap

Mitsubishi Pajero baharu mengekalkan penampilan SUV cross-country menerusi badan yang tegap dan garisan reka bentuk yang menyerlah.

Varian asas dan pertengahan menggunakan gril hadapan Kendo Mask.

Varian tertinggi pula menerima gril sarang lebah bersama kemasan bampar hadapan dan belakang khusus, pelindung bawah badan serta rim aloi 20 inci.

Model ini turut dilengkapi lampu alu-aluan (Welcome Light) yang menyala secara automatik apabila kunci pintu dibuka, selain animasi lampu Dynamic Flow Light ketika pintu dikunci atau dibuka.

Kabin Tujuh Tempat Duduk

Ruang dalaman Mitsubishi Pajero baharu menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan susun atur yang direka untuk menyediakan ruang luas kepada penumpang di semua barisan.

Kabin menggunakan balutan kulit dan kulit sintetik dalam kombinasi warna Camel Brown dan hitam.

Untuk meningkatkan keselesaan perjalanan, Mitsubishi turut memasang kaca akustik pada tingkap pintu hadapan dan belakang, selain bahan penebat bunyi di seluruh kabin.

Ciri ini membantu mengurangkan bunyi angin dan enjin supaya penumpang dapat berbual dengan lebih selesa sepanjang perjalanan.

Tempat duduk hadapan boleh dilaraskan secara elektrik dalam lapan arah. Fungsi memori turut disediakan untuk tempat duduk hadapan, stereng dan cermin sisi.

Bahagian paparan hadapan mengambil inspirasi daripada susun atur mendatar Pajero generasi pertama.

Gayaan itu diberi sentuhan moden menerusi dua skrin bersaiz 14.3 inci yang disatukan dalam reka bentuk monolitik.

Satu skrin berfungsi sebagai sistem maklumat hibur skrin sentuh, manakala satu lagi memaparkan maklumat pemanduan.

Kelengkapan lain termasuk:

  • Sistem audio Dynamic Sound Yamaha Ultimate dengan 12 pembesar suara.
  • Bumbung kaca panoramik.
  • Kemasan kabin premium dengan gabungan warna Camel Brown dan hitam.

Teknologi Keselamatan Diamond Sense

 

Mitsubishi Pajero baharu dilengkapi teknologi keselamatan Diamond Sense dengan rangkaian ciri keselamatan dan bantuan pemandu.

Antara sistem yang disediakan ialah:

  • Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Departure Prevention (LDP).
  • Leading Car Departure Notification (LCDN).
  • Front Cross Traffic Alert (FCTA).
  • Emergency Assist for Pedal Misapplication (EAPM).
  • Moving Object Detection (MOD).
  • Rear Cross Traffic Brake (RCTB).
  • Lane Keep Assist (LKA).
  • Traffic Sign Recognition (TSR).

SUV ini turut dilengkapi sistem bantuan pemandu pintar MI-PILOT yang direka untuk meningkatkan kemudahan pemanduan dan mengurangkan beban kerja pemandu sepanjang perjalanan.

Harga Mitsubishi Pajero 2026 Di Thailand

Mitsubishi Pajero pasaran Thailand ditawarkan dalam tiga varian, iaitu GLS, GSR dan Super Exceed.

  • Pajero GLS: THB1,499,000 (RM181,979)
  • Pajero GSR: THB,699,000 (RM206,059)
  • Pajero Super Exceed: THB1,999,000 (RM242,679)

Volvo Padel Open 2026 kembali 23-25 Oktober ini – lapan komuniti bakal berentap

Volvo Car Malaysia mengumumkan penganjuran Volvo Padel Open 2026 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

Memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2023, kejohanan kali ini tampil dengan format baharu yang memberi tumpuan kepada persaingan antara komuniti padel tempatan.

Sebanyak lapan komuniti padel akan mengambil bahagian bagi merebut gelaran juara serta hadiah yang ditawarkan bernilai sehingga RM105,000.

Lapan komuniti bertanding

Antara komuniti yang mengambil bahagian ialah:

  • All’Bout Padel
  • Baby Buaya Posse
  • Jerung Padel Club
  • Kelab Padel Pop x ABBT
  • Padé x LGK
  • Padel Hood
  • Padel Pushers x APC
  • Wolfpack Padel

Setiap komuniti akan menghantar 40 pemain terbaik untuk bersaing dalam lima kategori kemahiran melibatkan divisyen lelaki dan wanita.

Kategori pertandingan

Volvo Padel Open 2026 menawarkan lima kategori pertandingan iaitu:

  • Low Bronze (Lelaki & Wanita)
  • High Bronze (Lelaki & Wanita)
  • Low Silver (Lelaki & Wanita)
  • Mid Silver (Lelaki & Wanita)
  • Gold (Lelaki & Wanita)

Yuran penyertaan ditetapkan pada RM200 bagi setiap pemain atau RM400 untuk setiap pasukan.

Bagi kategori Bronze, pemain perlu melalui pusingan kelayakan komuniti sebelum layak ke peringkat akhir.

Sementara itu, peserta kategori Silver dan Gold didaftarkan secara terus oleh kelab masing-masing.

Sokongan pembangunan sukan padel

Menurut Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw, penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada komuniti tempatan yang menjadi penggerak utama perkembangan sukan padel di Malaysia.

Kejohanan ini turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Selangor Padel Association sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan bakat baharu.

Volvo Padel Open 2026 dianjurkan dengan kerjasama Invictus Blue, redONE dan Tactical Padel.

Acara ini turut menerima sokongan Dox Digital, SKINTIFIC, NESCAFÉ GOLD, Padé Langkawi serta Directors Think Tank.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.volvocars.com/my

BYD Rawang dibuka – bukan sekadar bilik pameran EV, turut sokong artis tempatan

BYD Sime Motors terus memperluaskan rangkaian pengedarannya di Lembah Klang menerusi pembukaan bilik pameran baharu BYD Rawang.

Dikendalikan oleh BE Autohaus di bawah BE Group, cawangan ini merupakan bilik pameran BYD ketiga kumpulan tersebut selepas Setia Alam dan Kota Kemuning.

Pembukaan ini bertujuan memudahkan pelanggan di Rawang dan kawasan sekitarnya mendapatkan akses kepada rangkaian kenderaan elektrik (EV) BYD.

Seni bina Eropah

BYD Rawang menawarkan ruang pameran seluas 4,298 kaki persegi di atas tapak berkeluasan 10,803 kaki persegi.

Reka bentuk bangunannya diinspirasikan daripada seni bina Eropah dengan kemasan cerah serta elemen dekorasi berkonsepkan istana.

Bilik pameran ini mampu menempatkan sehingga lima buah kenderaan pada satu-satu masa.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang istirahat pelanggan dan bilik khas untuk penyerahan kenderaan baharu.

BE Group mula bekerjasama dengan BYD pada November 2022 menerusi pembukaan BYD Setia Alam yang dikendalikan oleh BE Drive Auto.

Rangkaian tersebut kemudian diperluaskan dengan pembukaan BYD Kota Kemuning di bawah BE Motorworld pada September 2024.

Sokong bakat seni tempatan

Selain menawarkan rangkaian EV BYD, bilik pameran Rawang turut menyediakan ruang khas untuk mempamerkan hasil karya artis tempatan.

Menerusi inisiatif ini, artis terpilih berpeluang mempamerkan dan menjual karya mereka untuk tempoh tiga bulan.

Pameran akan diperbaharui setiap suku tahun bagi memberikan peluang kepada lebih ramai penggiat seni tempatan.

Menariknya, artis yang mengambil bahagian akan menerima 100 peratus hasil jualan karya tanpa sebarang potongan komisen.

Bagi meraikan pembukaan ini, BYD Rawang akan menganjurkan rumah terbuka dari 19 hingga 30 Oktober 2026.

Antara aktiviti yang disediakan termasuklah sesi pandu uji, tawaran eksklusif bagi model-model BYD terpilih dan cabutan bertuah bagi pelanggan yang membuat tempahan sepanjang acara tersebut.

Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran seni sulung karyawan tempatan yang sedang meningkat naik.