Arkib Kategori: BERITA

Aveta Motor Malaysia perluas rangkaian khidmat bantuan bergerak Aveta Care on Wheels

Aveta Motor Malaysia mengukuhkan komitmennya kepada pelanggan dengan memperluas program khidmat bantuan bergerak Aveta Care on Wheels.

Langkah ini menyediakan khidmat lepas jualan yang lebih pantas, lebih mudah didapati dan boleh dipercayai bagi para pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Inisiatif Aveta Motor Malaysia

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Aveta Motor Malaysia ialah:

  • merangkumkan pengedar Preferred Plus terpilih dalam rangkaian khidmat bantuan bergerak
  • menambah pasukan khidmat lepas jualan kepada enam unit secara keseluruhan di Semenanjung Malaysia

Rangkaian lebih meluas

Pemilik Aveta di seluruh Semenanjung Malaysia boleh mendapatkan khidmat daripada pengedar berikut:

  • KW Keat Wei Motor – serata Kedah termasuk Alor Setar dengan liputan dilanjutkan ke Perlis
  • CKT Motor – Sungai Petani dan kawasan sekitar termasuk Pulau Pinang dan Perak
  • NG Brothers Motor – Johor Selatan dari Simpang Renggam hingga Johor Bahru dan kawasan berhampiran

Sementara itu, pasukan servis dalaman Aveta terus berkhidmat di Kawasan Tengah, Melaka dan Pantai Timur, untuk liputan menyeluruh di seluruh negara.

Tawaran motosikal ihsan

Segala perkhidmatan ini disediakan dengan kerjasama rapat para pengedar Preferred Plus Aveta, yang menyokong unit perkhidmatan bergerak dan juga tawaran motosikal ihsan.

Kerjasama tersebut membolehkan Aveta untuk meluaskan keupayaan perkhidmatan dengan lebih berkesan.

Dalam masa yang sama, mereka dapat mengekalkan pengalaman pelanggan bermutu tinggi dan konsisten di seluruh titik perhubungannya.

Ekosistem utamakan pelanggan

“Peluasan rangkaian Aveta Care on Wheels dilakukan demi manfaat pelanggan kami,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia.

“Kami memahami proses pemilikan tidak berakhir dengan pembelian motosikal—tetapi turut melibatkan keyakinan dan sokongan yang diterima oleh penunggang motosikal setiap hari selepas itu.

“Menerusi kerjasama rapat dengan para pengedar Preferred Plus, kami menjadikan perkhidmatan lebih mudah didapati, lebih responsif dan lebih selari dengan apa yang benar-benar diperlukan oleh pelanggan.”

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada misi lebih luas Aveta untuk membina ekosistem pemilikan yang boleh dipercayai dan mengutamakan pelanggan.

Menggabungkan kepakaran dalamannya dengan kerjasama yang dijalin dengan pengedar yang dipercayai, Aveta bukan sahaja meluaskan rangkaian perkhidmatan, tetapi juga menambah baik pengalaman pemilikan keseluruhan.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian khas Aveta Careline di 012-503 5409.

Jenama EV milik Sony-Honda berkubur

Belum pun sempat dilancarkan secara rasmi, jenama Afeela milik Sony Honda Mobility (SHM) akhirnya berkubur terlebih dahulu.

Dalam kenyataan rasmi, SHM mejelaskan mereka akan meneruskan perbincangan dengan pihak Sony dan Honda berkenaan hala tuju dan masa depan syarikat.

Mengikut perancangan awal, syarikat kerjasama Honda dan Sony itu bakal melancarkan sebuah sedan elektrik Afeela 1 pada hujung tahun ini.

Sebuah lagi model SUV bakal diperkenalkan pada tahun 2028.

Punca utama: Rombakan strategi EV Honda

Antara sebab utama kenapa projek ini terhenti berkait rapat dengan rombakan besar strategi Honda yang diumumkan awal bulan ini.

Bagi mengelakkan kerugian bernilai 2.5 trilion yen (RM62 bilion), Honda dilapor membatalkan beberapa program EV penting termasuklah:

  • 0 Saloon
  • 0 SUV
  • Acura RSX

Tanpa sokongan perkakasan, platform dan aset teknikal, SHM mengakui mereka tidak lagi mempunyai laluan realistik untuk membawa model tersebut ke pasaran seperti yang dirancang.

Lebih mengejutkan, pengumuman ini hadir tidak lama selepas SHM Amerika merasmikan Afeela Studio dan hab pengedaran di Torrance, California pada 16 Mac lepas.

Dengan pembatalan ini, pelanggan yang telah membuat tempahan Afeela 1 akan menerima bayaran balik penuh.

Vision-S 01 sebagai titik mula

Sony mengejutkan dunia dengan pengenalan model Vision-S 01 pada CES 2020, diikuti Vision-S 02 dua tahun berikutnya.

Kerjasama antara Honda dan Sony (Sony Honda Mobility) pula ditubuhkan pada tahun 2022.

Jenama Afeela diumumkan secara rasmi pada tahun 2023, diikuti pengenalan model produksi sebenar Afeela 1 pada tahun 2025 dengan sasaran harga US$89,900 (RM356 ribu).

Afeela 1 dikuasakan oleh dua motor elektrik (483 hp) yang dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 91 kWh dan keupayaan pengecasan pantas DC 150 kW.

Untuk sekali cas penuh, sedan elektrik ini boleh bergerak sejauh 480 km.

Penamat buat jenama Afeela?

Usah risau, sedan ini sebenarnya masih lagi boleh dipandu ‘secara halal’ menerusi platform Gran Turismo 7.

Menerusi kerjasama antara SHM dan Polyphony Digital, Afeela 1 telah ditambah secara rasmi ke dalam GT7 pada April tahun lepas.

Pihak Polyphony Digital turut menghasilkan bunyi e-motor, diikuti audio khas yang dapat memberikan perasaan kelajuan, brek dan daya selekoh untuk Afeela 1.

Kempen Build Your Dream Ride LEGO tawar pelbagai set binaan menarik dan pengalaman go-kart

LEGO Malaysia melancarkan kempen Build Your Dream Ride dengan menawarkan set binaan daripada rangkaian LEGO City, LEGO Technic, LEGO Speed Champions dan banyak lagi.

Antara model menarik yang ditawarkan termasuklah:

  • Bugatti Vision GT Hyper Sports Car – RM119.90
  • Ferrari SF90 XX Stradale Sports Car – RM119.90
  • Monster Jam™ Grave Digger™ Fire and Ice – RM139.90
  • Bugatti Chiron Pur Sport Hypercar – RM299.90
  • BMW M4 GT3 EVO Race Car – RM299.90
  • Airport Fire Truck – RM299.90
  • Airplane, Service Truck & Hovercraft Remix – RM299.90

Kesemua set binaan ini boleh didapati di:

  • LEGO Certified Store
  • Toys ‘R’ Us
  • kedai dalam talian rasmi LEGO di Lazada & Shopee
  • peruncit utama seluruh Malaysia

Aktiviti menarik di LEGO Build Your Dream Ride

LEGO turut menganjurkan Build Your Dream Ride Autoshop Experience bertempat di KF Kiddy Circuit di lokasi berikut:

  • Mid Valley Megamall KL
  • The Mall, Mid Valley Southkey JB

Bermula dari 6 Mac hingga 30 Jun 2026, pengunjung boleh menyertai misi mengumpul setem di setiap pit stop yang menawarkan aktiviti menarik seperti:

  • membina dan menguji kenderaan idaman
  • aktiviti gambar interaktif
  • pengalaman go-kart

Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan figura eksklusif dengan Golden Trophy dengan cara bergambar bersama LEGO 3D Minifigure di LEGO Certified Store dan memuat naik ke media sosial.

Promosi tempoh terhad

Bermula 28 Februari-29 Mac, LEGO Certified Store menganjurkan aktiviti Make and Take di mana pengunjung boleh membina LEGO Sports Car sendiri dan membawanya pulang secara percuma.

Menerusi promosi Gift-with-Purchase, setiap pembelian minimum melayakkan pelanggan menerima beg poli eksklusif daripada LEGO Speed Champions, LEGO City atau LEGO Technic.

 

102 unit Rolls-Royce Cullinan (tahun 2019–2025) kena recall gara-gara bolt longgar

Apabila pembeli membelanjakan jutaan ringgit untuk sebuah kereta mewah, sudah tentu mereka mengharapkan tahap kesempurnaan yang tinggi. Namun realitinya, model paling eksklusif sekalipun tidak terkecuali daripada isu kualiti, malah perkara sekecil bolt pun boleh membawa kepada panggilan semula.

SUV ultra mewah pun kena recall

Rolls-Royce kini mengeluarkan arahan kepada pemilik Rolls-Royce Cullinan supaya tidak menggunakan tempat duduk belakang dan ruang but buat sementara waktu. Puncanya ialah komponen tali pinggang keledar di bahagian belakang yang didapati mungkin tidak diketatkan dengan betul semasa pemasangan di kilang.

Bermula dengan bunyi kecil

Menariknya, isu ini bukan berpunca daripada kemalangan. Sebaliknya, ia bermula daripada bunyi pelik yang dikesan ketika ujian di jalan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat bolt pada retractor tali pinggang keledar yang longgar.

Perkara itu mencetuskan siasatan teknikal, dan hasil siasatan mendapati unit yang dihasilkan sejak 27 November 2019 berkemungkinan mempunyai masalah sama.

102 unit Cullinan terjejas

Sebanyak 102 unit Cullinan yang dihasilkan antara tarikh tersebut hingga 19 November 2025 terlibat dalam recall ini. Juruteknik akan memeriksa dan mengetatkan bolt mengikut spesifikasi ditetapkan.

Walaupun jumlahnya kecil, risikonya tidak boleh dipandang ringan. Jika bolt longgar, tali pinggang keledar mungkin tidak berfungsi dengan optimum ketika pelanggaran. Dalam situasi tertentu, tempat duduk belakang juga boleh bergerak jika barang dalam but beralih, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan.

Langkah berjaga-jaga

Buat masa ini, pemilik dinasihatkan untuk tidak menggunakan tempat duduk belakang atau membawa barang di ruang but sehingga pemeriksaan dilakukan.

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini dan semua kerja pembaikan akan dilakukan secara percuma. Notis kepada pemilik dijangka dikeluarkan bermula Mei 2026.

Range Rover klasik ini dapat ‘nadi’ V8 Corvette, harga RM1.8 juta!

Sebuah syarikat dari UK memberikan Range Rover klasik ‘nafas baharu’ dengan transformasi ekstrem, namun harganya setanding supercar moden.

Interpretasi berani model legenda

Baru-baru ini, Twisted Automotive memperkenalkan TRRC, Range Rover tiga pintu yang diolah semula dengan gabungan gaya klasik dan prestasi moden. Nama TRRC merupakan singkatan kepada “Twisted’s interpretation of a Range Rover Classic”.

Projek restomod ini bersifat peribadi kerana pengasas Twisted iaitu Charles Fawcett membangunkannya sebagai penghormatan kepada Range Rover milik bapanya pada era 1980-an.

Peminat Range Rover klasik boleh mendapatkan hasil tangan nostalgia ini namun perlu cepat kerana hanya 12 unit dihasilkan setahun, dengan harga bermula GBP350,000 (RM1.8 juta).

Menariknya, kerana harga tersebut untuk kos restorasi sahaja, manakala kereta perlu disediakan sendiri oleh pelanggan.

Enjin V8 dari Corvette

Di bawah bonet, TRRC menggunakan enjin LT1 6.2 liter V8 daripada Chevrolet Corvette, yang menghasilkan kira-kira 500 hp. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Suspensi, brek dan rangkaian kuasa telah dinaik taraf bagi menampung kuasa yang tinggi itu. Namun menurut Twisted, suspensi ditala bagi mengekalkan keselesaan dan karakter pemanduan Range Rover yang lembut.

Rekaan klasik, kemasan lebih baik

Rekaan luaran TRRC menggabungkan elemen retro dan moden. Bahagian hadapan mengekalkan gaya 1970-an, manakala gril dan lampu diinspirasikan daripada model semasa. Sesetengah panel badan diperbuat daripada aluminium.

Semestinya, pelanggan bebas menyesuaikan penampilan mengikut citarasa tersendiri, termasuk mewarnakan tiang C mengikut warna badan bagi menyingkirkan efek ‘bumbung terapung’ yang sinonim dengan Range Rover klasik.

Kabin moden dan eksklusif

Ruang dalaman pula dihiasi dengan balutan kulit premium, serta menampilkan ciri-ciri moden seperti pemanas tempat duduk, sistem audio premium dan infotainmen ringkas.

Menurut Twisted, setiap unit dihasilkan dengan tangan dan diuji sebelum diserahkan kepada pelanggan. Berminat? Anda perlu menunggu slot 2027 dibuka kerana slot yang diperuntukkan untuk tahun ini sudah pun habis.

MINI Paul Smith Edition 2026 rasmi di Malaysia – harga RM222,222

MINI Malaysia mengumumkan ketibaan model MINI Paul Smith Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.

Model MINI Cooper SE edisi istimewa ini memfokuskan kepada bahasa rekaan ikonik “Icon with a Twist” daripada pereka fesyen Paul Smith.

Kolaborasi MINI x Paul Smith sejak 1998

Kerjasama kreatif antara MINI dan Paul Smith telah terbina sejak berdekad lamanya, bermula dengan model klasik pada tahun 1998.

Buat pertama kalinya, kerjasama ikonik ini tersedia untuk skala produksi yang lebih besar yang menggabungkan penggayaan Britain dengan keseronokan pemanduan elektrik.

Ciri unik

Antara ciri-ciri unik yang ada pada bahagian luar model ini termasuklah:

  • aksen Nottingham Green pada cermin sisi, jeriji radiator dan penutup hab roda
  • bumbung warna Nottingham Green
  • jalur istimewa Paul Smith
  • rim aloi 18 inci dengan logo Paul Smith
  • emblem MINI warna Black Blue
  • perkataan Paul Smith warna Anthracite Grey pada pintu tailgate

Terdapat juga lampu lopak yang memaparkan ‘hello’ tulisan tangan Paul Smith untuk menyambut ketibaan pemandu dan penumpang.

Ruang kabin MINI Paul Smith Edition pula diserikan dengan perincian berikut:

  • mesej “Every day is a new beginning” tulisan tangan pada pelapik ambang pintu
  • tempat duduk JCW Sports balutan upholsteri Vescin warna Nightshade Blue
  • kemasan rajutan Shadow Stripe dengan logo Paul Smith
  • upholsteri Shadow Stripe pada papan pemuka
  • hiasan jalur kulit hitam dengan jahitan biru pada bahagian penumpang
  • tiga gambar latar eksklusif rekaan Paul Smith pada skrin infohibur

Prestasi

MINI Paul Smith Edition mampu menghasilkan kuasa 218 hp dan 330 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Kelajuan maksimum pula sekitar 170 km/j.

Pek bateri 54.2 kWh menawarkan jarak pandu antara 387 km hingga 402 km.

Dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 95 kW, bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh masa kurang 30 minit.

Warna

Terdapat dua warna istimewa ditawarkan iaitu Inspired White dan Statement Grey.

Warna Inspired White merupakan tafsiran moden kepada salah satu warna ikonik MINI Classic Pepper White sejak awal penubuhannya.

Sementara Statement Grey pula memberikan penghormatan kepada warna MINI Austin Seven dari tahun 1959.

Harga

MINI Paul Smith Edition dijual pada harga RM222,222 atas jalan tanpa insurans, atau RM228,522 dengan pakej MINI Service & Repair.

Dengan pakej pembiayaan Easy Drive, MINI Paul Smith Edition boleh dimiliki pada harga bulanan serendah RM2,367 berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.

Mforce lancar minyak sintetik penuh 4T 15W-50, harga RM56 sebotol

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan semula minyak pelincir sintetik penuh Mforce Oil 4T 15W-50 yang dikuasakan oleh teknologi PETRONAS.

Dengan membawakan cogan kata “Unlimited Performance”, minyak enjin ini dijangka menjadi salah satu pilihan utama di kalangan pengguna yang mencari prestasi, perlindungan serta kualiti yang boleh dipercayai.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • RM56.00 di Semenanjung Malaysia
  • RM58.00 di Sabah & Sarawak

Minyak pelincir ini dibekalkan dalam botol 1 liter dengan pembungkusan 16 unit bagi setiap karton.

Teknologi pelinciran termaju PETRONAS

Dengan teknologi pelinciran termaju daripada PETRONAS, minyak 4T ini direka untuk mengurangkan geseran dalam enjin.

Ia membantu menghasilkan pecutan yang lebih responsif, serta prestasi enjin lebih lancar.

Hasilnya, pengalaman tunggangan menjadi lebih bertenaga, stabil dan menyeronokkan untuk kegunaan harian mahupun bagi peminat motosikal.

Perlindungan enjin maksimum

Formulasi sintetik penuh ini juga direka untuk memberikan perlindungan enjin maksimum serta membantu melindungi komponen enjin daripada kehausan, tekanan haba serta penggunaan harian yang mencabar.

Ini memastikan enjin motosikal kekal lebih tahan lama, stabil dan boleh dipercayai sepanjang tempoh penggunaan.

Direka untuk sistem klac basah

Minyak enjin ini direka untuk motosikal yang dilengkapi sistem klac basah bagi memastikan penukaran gear yang lebih lancar serta penglibatan klac yang lebih stabil.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengalaman tunggangan yang lebih selesa dan lancar di jalan raya.

Kestabilan terma

Satu lagi kelebihan utama formulasi ini ialah kestabilan terma yang cemerlang.

Ia membolehkan minyak enjin mengekalkan prestasi yang konsisten walaupun beroperasi dalam keadaan suhu tinggi serta penggunaan intensif.

Hasilnya, enjin terus menerima perlindungan yang stabil sepanjang tempoh penggunaan minyak.

 

BYD Malaysia lantik Jacob Ma selaku Pengarah Urusan baharu ganti Eagle Zhao

BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Jacob Ma sebagai Pengarah Urusan baharu yang akan mengawasi kedua-dua jenama BYD dan Denza.

Beliau menggantikan Eagle Zhao yang akan menggalas jawatan Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia.

Legasi kukuh Eagle Zhao

Eagle Zhao meninggalkan legasi kukuh selepas memacu pertumbuhan pesat BYD dan DENZA di Malaysia.

Sepanjang tempoh beliau menerajui operasi tempatan, lebih 30,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, selain memperluaskan rangkaian pengedar, meningkatkan keupayaan selepas jualan dan mempercepatkan penerimaan kenderaan tenaga baharu di negara ini.

Usaha tersebut menjadikan BYD antara jenama EV yang berkembang paling pantas di Malaysia.

Eagle menyifatkan Malaysia sebagai “bab yang amat bermakna” dalam perjalanan kerjayanya dan yakin momentum yang dibina akan terus mengukuhkan kedua-dua jenama.

Jacob Ma bawa pengalaman antarabangsa

Mengisi kekosongan tersebut, Jacob Ma membawa pengalaman antarabangsa dari ibu pejabat BYD di Shenzhen.

Beliau sebelum ini mengetuai Unit Latihan BYD selama lima tahun dan kemudian berkhidmat sebagai Naib Presiden PT BYD Motor Indonesia selama dua tahun.

Jacob mempunyai latar belakang dalam pembangunan bakat, penyelarasan organisasi serta pengalaman awal dalam industri penerbangan, termasuk projek pemindahan teknologi.

Kepakaran ini dijangka membantu BYD Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.

Jacob menegaskan komitmen BYD untuk terus memperkenalkan produk inovatif, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan pertumbuhan mampan bagi BYD dan DENZA di Malaysia.

Fokus kepimpinan baharu

Sebagai Pengarah Urusan, Jacob akan mengetuai strategi menyeluruh merangkumi:

  • Jualan dan pemasaran
  • Pembangunan rangkaian pengedar
  • Operasi selepas jualan
  • Pengukuhan pembezaan jenama BYD dan DENZA
  • Pengembangan portfolio produk untuk kekal kompetitif

Lotus Eletre & Emeya 600 2026 kini di Malaysia – harga dari RM489,000

Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan model EV Lotus Eletre dan Emeya yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Lotus Emeya 600 2026 – RM489,000
  • Lotus Eletre 600 2026 – RM499,000

Naik taraf spesifikasi

Kedua-dua model itu tadi mendapat naik taraf kelengkapan, seperti:

  • Active Rear Spoiler
  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • tali pinggang keledar tiga-warna gelap
  • sistem pencahayaan ambien

Selain itu, terdapat juga pilihan naik taraf rim saiz besar (21 inci untuk Emeya atau 22 inci untuk Eletre), tayar Pirelli P Zero dan angkup brek 6-omboh.

Kelengkapan standard lain masih lagi dikekalkan seperti:

  • sistem suspensi udara adaptif dengan Continuous Damping Control (CDC)
  • sistem audio premium KEF
  • kawalan iklim empat-zon
  • skrin paparan head-up 29 inci
  • lampu matriks LED

Terdapat pelbagai pilihan warna tersedia seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta warna istimewa seperti:

  • Galloway Green
  • Boreal Grey
  • Fireglow Orange
  • Solar Yellow

Prestasi

Lotus Eletre dan Emeya varian 600 ini dikuasakan oleh sistem motor elektrik berkembar dan pacuan semua roda (AWD).

Dengan hamburan kuasa 610 hp dan 710 Nm, Lotus Emeya 600 boleh memecut sepantas 4.15 saat dari 0-100 km/j.

Sementara Eletre 600 pula mengambil masa 4.5 saat.

Kedua-dua model ini dilengkapi pek bateri 102 kWh, dengan jarak pandu sejauh 580 km (Emeya cecah 610 km) untuk sekali cas penuh.

Lebih 300 EV Lotus atas jalan raya

Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group, “Pengenalan Lotus Eletre dan Emeya MY27 ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membawakan kenderaan elektrik berprestasi terbaik Lotus ke Malaysia.”

Jelasnya lagi, sehingga kini sudah lebih 300 kenderaan elektrik Lotus didaftarkan di Malaysia.

Mforce umum kempen panggil semula ganti peredam ekzos QJMotor AX200S

Mforce Bike Holdings selaku pengedar rasmi QJMotor di Malaysia mengumumkan kempen panggil semula bagi unit terpilih AX200S.

Pelaksanaan program ini bertujuan untuk menggantikan komponen peredam ekzos disebabkan keretakan pada bahagian tersebut.

Sebagai langkah proaktif, Mforce memperkenalkan peredam yang dipertingkatkan untuk ketahanan dan prestasi lebih baik bagi jangka masa panjang.

Proses penggantian kini dimulakan setelah bekalan komponen peredam telah diterima daripada pihak prinsipal.

Para pemilik QJMotor AX200S yang terlibat dinasihatkan supaya segera menghubungi atau mengunjungi pengedar sah untuk mengatur proses penggantian.

Proses penggantian ini akan dilakukan secara percuma termasuk kos alat ganti dan kos upah.

Semakan status boleh dibuat menerusi laman web https://productrecall.mforceservice.my/

Lepas hasilkan baju raya untuk kanak-kanak

Lepas merupakan satu lagi jenama automotif yang bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.

Untuk mengukuhkan kehadiran jenama tersebut, Lepas melaksanakan beberapa inisiatif yang menggabungkan budaya, komuniti dan kekuatan kejuruteraan global.

Inisiatif Baju Raya untuk kanak-kanak

Antaranya ialah bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan bertaraf antarabangsa, iaitu Karl Ho.

Kerjasama antara dua pihak ini menghasilkan baju raya khas untuk kanak-kanak daripada rumah kebajikan berikut:

  • Pertubuhan Baitul Asnaf Sendayan
  • Yayasan Kasih Sayang Kuala Pilah
  • Pusat Jagaan Anak Yatim Kausar Senawang

Setiap persalinan tersebut dibuat khas bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Lepas bukan sekadar jenama mobiliti

Menurut Sarah Choo selaku Pengarah Kanan Jenama Lepas di Malaysia menjelaskan Lepas bukanlah sekadar jenama mobiliti.

“Kami membina jenama yang mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang saling mengangkat dan menyokong.”

Bagi Karl Ho, kolaborasi ini mengukuhkan tanggungjawab seorang pereka untuk menyemai keyakinan.

“Menerusi kerjasama dengan Lepas, kami menggunakan ketukangan khusus bukan sahaja untuk menghasilkan pakaian raya, tetapi untuk menanam rasa bangga dan aspirasi dalam diri generasi muda.

“Bila seorang kanak-kanak memakai sesuatu yang dibuat khas, ia akan menguatkan keyakinan terhadap potensi diri,” jelasnya lagi.

Perkataan Melayu jadi asas falsafah jenama

Usaha ini mencerminkan kepercayaan Lepas bahawa mobiliti bukan sekadar pergerakan, tetapi tentang memacu kemajuan dan mengangkat martabat komuniti.

Nama Lepas sendiri yang berakar daripada perkataan Melayu “lepas”, yang membawa maksud membebaskan dan melangkah ke hadapan.

Itu menjadi asas kepada falsafah jenama untuk LEAP, iaitu menginspirasikan individu agar melangkaui batasan dan merangkul masa depan.

Tiga model baharu

Lepas bakal memperkenalkan tiga produk SUV baharu yang dibina berdasarkan platform global NEV (kenderaan tenaga baharu) Chery, iaitu L4, L6 dan L8.

Platform ini menyokong pelbagai saiz kenderaan dan rangkaian kuasa termasuklah enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Di peringkat global, jenama tersebut telah pun bertapak di Eropah, Timur Tengah, Afrika serta Asia Tenggara.

Malaysia pula menjadi antara pasaran pemanduan kanan (RHD) terawal dalam strategi pengembangan serantau mereka.

Di sini, Lepas menyasarkan kedudukan yang berbeza dalam landskap SUV dengan mengimbangi inovasi, reka bentuk dan nilai kemasyarakatan.

 

Hyundai Casper Electric Lounge 2026, EV bandar dari Korea

Hyundai Motor Group melancarkan varian terbaharu, Hyundai Casper Electric Lounge 2026 untuk pasaran Korea.

Selain Korea, Casper turut dibawa ke negara luar seperti Eropah, Jepun, Taiwan dan Australia dan dikenali sebagai Inster.

Penambahan varian ini untuk mengukuhkan pasaran EV bandar melalui penawaran yang lebih premium.

Langkah ini memberikan lebih banyak pilihan buat pelanggan yang mahukan kemewahan dalam saiz kompak.

Varian Lounge diletakkan sebagai spesifikasi tertinggi dalam barisan model Hyundai Casper Electric.

Berbeza dengan model Cross yang berimej lasak, varian Lounge memfokuskan kepada konsep ruang peribadi yang sofistikated.

Pembangunannya memberikan penekanan terhadap kualiti kemasan dalaman bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang lebih sofistikated.

Reka Bentuk Casper Electric Lounge Lebih Segar dan Futuristik

Casper Electric Lounge menampilkan rekaan futuristik melalui radiator dan gril bampar dengan reka bentuk eksklusif.

Ia dilengkapi secara standard dengan lampu hadapan Full LED jenis unjuran (projection) serta lampu kombinasi belakang LED bagi menghasilkan suasana yang sofistikated.

Bahagian sisi pula menampilkan rim aloi 17 inci eksklusif untuk model Lounge bersama kemasan cladding metalik sederhana dan side molding bagi mengukuhkan daya tarikan ikoniknya.

Selain itu, rak bumbung dipasang secara standard bagi meningkatkan lagi tahap penggunaan kereta bandar ini.

Ruang Dalaman Premium dan Keselesaan Maksimum

Kabin varian Casper Electric Lounge direka khas untuk memberikan suasana yang lebih tenang dan sangat selesa.

Ia merupakan satu-satunya model dalam kelasnya yang hadir dengan tempat duduk kulit asli secara standard.

Penggunaan kain kait pada kemasan bumbung turut menyumbang kepada suasana ruang yang lebih eksklusif.

Hyundai turut memasang sistem audio premium dengan pembesar suara kon Kevlar yang memberikan mutu bunyi lebih mantap.

Banyak ciri pilihan sebelum ini kini dijadikan standard untuk memberikan nilai lebih baik kepada pemilik.

Antaranya ialah kerusi baris pertama yang boleh dilipat sepenuhnya serta kerusi baris kedua jenis lungsur.

Rangkaian Kuasa dan Jarak Casper Electric Lounge

 Casper Electric Lounge menggunakan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 84.5 kW (115 ps).

Kuasa ini dibekalkan oleh pek bateri 49 kWj jenis NCM dan mampu mencatatkan jarak gerak sejauh 295 km untuk setiap pengecasan penuh.

Jarak ini dikira berdasarkan penggunaan rim aloi 17 inci dan kitaran pemanduan gabungan yang lazim di kawasan bandar.

Angka tersebut sudah memadai untuk keperluan rutin harian tanpa perlu kerap mencari stesen pengecasan.

Apabila memerlukan tenaga tambahan, sistem pengecasan pantas pada model ini sangat membantu.

Pemandu hanya perlu meluangkan masa sekitar 30 minit sahaja untuk mengecas bateri daripada tahap 10% hingga 80%.

Kelajuan pengecasan ini memastikan perjalanan jarak jauh atau urusan harian tidak terganggu dengan waktu menunggu yang lama.

Pilihan Warna dan Penawaran Eksklusif

Casper Electric Lounge tersedia dalam lima pilihan termasuk warna eksklusif baharu iaitu Glow Mint, serta Atlas White, Unbleached Ivory, Tomboy Khaki dan Abyss Black Pearl.

Untuk ruang dalaman, terdapat dua jenis warna iaitu hitam atau warna eksklusif baharu Dark Grey/Dark Orange dengan titik tumpu Glow Mint.

Ciri-Ciri Hyundai Casper Electric Lounge

  • Motor elektrik: 84.5 kW (115 ps)
  • Kapasiti bateri: 49 kWj jenis NCM
  • Jarak gerak: 295 km (rim 17 inci dan kitaran gabungan)
  • Tempoh pengecasan: 10% hingga 80% dalam masa 30 minit
  • Harga jualan: 34,570,000 KRW (RM91,126 selepas insentif cukai)
  • Anggaran harga subsidi: Sekitar 20,000,000 KRW (RM52,720) dengan bantuan subsidi kerajaan pusat dan tempatan di Seoul.

WMoto NX150S 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM6,688

Mforce Bike Holdings melancarkan sebuah lagi model skuter baharu untuk pasaran tempatan, iaitu WMoto NX150S 2026.

Skuter ini ditawarkan pada harga RM6,688 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Spesifikasi WMoto NX150S

Skuter ini dikuasakan enjin silinder tunggal 149.6 cc menghasilkan 15.6 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Ia hadir dengan tetapan suspensi fork teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk kedua-dua roda.

Antara ciri lain termasuklah:

  • rim 13 inci
  • ABS dua saluran
  • TCS yang boleh dinyahaktif
  • tangki bahan api 15 liter
  • brek tangan boleh laras
  • sistem kunci pintar
  • slot pengecasan USB Type A & Type C
  • ruang storan bawah pelana 19 liter

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Grind Green, Glacier Grey dan Lava Brown.

TQ Wuling serah kumpulan pertama Bingo EV, ADAS kini sebagai ciri standard

TQ Wuling baru-baru ini mencatatkan satu pencapaian penting apabila kumpulan pertama Bingo EV versi CKD telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.

Ia menandakan peralihan jenama itu daripada fasa pengenalan kepada pemilikan sebenar.

Menurut Wan Wei Sun selaku Ketia Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd berkata, “Detik ini lebih daripada sekadar menyerahkan kenderaan, ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada lebih banyak perjalanan pemilikan.

“Kami amat menghargai pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan EV kami di Malaysia.

Pelanggan awal Bingo EV kongsi pengalaman

Kebanyakan pemilik awal berkongsi faktor seperti praktikaliti, nilai dan ketenangan minda merupakan ciri utama yang menentu keputusan pembelian mereka.

“Saya amat tertarik dengan rekaan retro-moden Bingo EV sejak dari mula.

“Selepas memandu uji, saya amat teruja dengan respons dan mudah untuk dipandu di dalam bandar.

“Selain rupa paras, sokongan penyelenggaraan yang wujud di Malaysia memberikan ketenangan minda. Ia bergaya, praktikal dan sesuai dengan bajet saya,” ujar Intan, salah seorang pemilik terawal Bingo EV.

Seorang lagi pelanggan, Christine berkata, “Sejak menerima unit Bingo EV, kami sangat menikmatinya. Ia mempunyai ruang yang luas, sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca panas kita, dan keupayaan pemanduan yang hebat.

“Untuk kegunaan harian, ia satu pilihan yang tepat. Apa yang mengagumkan ialah harga yang berpatutan dan betapa mudahnya ia bergerak dalam kesesakan trafik.

ADAS sebagai ciri standard

Seiring dengan penyerahan pertama, TQ Wuling turut mengumumkan Bingo EV CKD ini hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:

  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.

Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

Toyota GR Yaris 2026 kini hadir dengan roda stereng rekaan baru!

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Toyota GR Yaris telah mengalami perubahan yang cukup besar luar dan dalam.

Selepas versi facelift dilancarkan pada tahun 2024, Toyota mengumumkan pula model ‘Type 26’.

Sama seperti model terdahulu, versi baharu kali ini turut menampilkan penambahbaikan yang diambil daripada pengalaman di dalam sukan permotoran.

Roda stereng GR baharu

Toyota GR Yaris Type 26 kini hadir dengan rekaan roda stereng serba baharu untuk memastikan tahap kawalan yang lebih baik.

Disebabkan oleh kedudukan suis pada roda stereng terdahulu, ada pemandu yang merungut mereka tidak dapat meletakkan tangan pada posisi yang ideal.

Dengan bantuan pelumba profesional, Toyota telah menghasilkan unit prototaip stereng dan mengujinya di dalam litar lumba sebenar.

Hasilnya, roda stereng baharu ini mempunyai diameter yang lebih kecil untuk meningkatkan tahap respons stereng.

Struktur bentuk genggaman kiri dan kanan yang direka untuk keselesaan pegangan sewaktu di selekoh.

Selain itu, segala butang kawalan telah diposisikan semula diikuti dengan pencahayaan cincin untuk meningkatkan keterlihatan waktu malam.

Tidak ketinggalan, sistem stereng EPS telah ditala semula untuk pengendalian yang lebih tepat dan konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Tayar prestasi tinggi baharu

Selain roda stereng, Toyota GR Yaris 2026 kini didatangkan dengan tayar Bridgestone Potenza Race, khusus untuk dua trim teratas RZ.

Tayar yang dibangunkan baharu ini menawarkan corak bunga, struktur dalaman serta kompaun getah yang telah disemak semula.

Ia juga telah menjalani ujian menyeluruh bagi menawarkan prestasi cengkaman tinggi untuk tempoh masa yang lebih lama.

Karakteristik redaman suspensi yang dioptimasikan pada gandar depan dan belakang juga menyumbang kepada prestasi tayar yang maksimum.

Tambahan opsyen pemanas stereng dan tempat duduk

Pembeli Toyota GR Yaris 2026 kini boleh mendapatkan ciri pemanas roda stereng dan tempat duduk apabila memilih opsyen brek parkir menegak bersama-sama Navigation Package atau Comfort Package.

Toyota GR Yaris masih lagi kekal dengan enjin G16E-GTS yang mampu menjana 304 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 3,250-4,600 rpm.

Hot hatch ini boleh dipadankan dengan transmisi iMT 6-kelajuan atau Direct Automatic Transmission (DAT) 8-kelajuan.

Harga jualan Toyota GR Yaris bermula dari 3,617,200 yen (RM89,255) untuk versi RC iMT, dan mencecah sehingga 5,882,200 yen (RM145,144) untuk versi RZ High Performance + Aero Performance Package DAT.

BMW M3 Touring 24H: Dari April Fools’ ke realiti

Siapa sangka gurauanApril Fools’ BMW M3 Touring di media sosial kini bakal membakar litar lumba sebenar.

BMW M Motorsport mengesahkan BMW M3 Touring 24H akan beraksi di Nürburgring, membuktikan mereka tidak main-main apabila peminat bersuara.

Apa yang bermula sebagai imej suntingan komputer untuk mengusik netizen pada 2025, kini sudah siap dan sedia untuk mengaum di Green Hell.

Berasaskan slogan “You dreamed it, we built it”, BMW M Motorsport mendedahkan sambutan luar biasa hantaran media sosial pada 1 April 2025 menjadi pemangkin projek.

Gurauan tersebut berjaya mencapai lebih satu juta pengguna dengan 1.6 juta tontonan.

Angka yang sangat besar ini telah mendorong BMW M mengubahnya menjadi projek kejuruteraan serius.

Pembangunan BMW M3 Touring 24H

Sejurus selepas pelancaran BMW M3 Touring road car pada tahun 2022, BMW M Motorsport sebenarnya sudah pun mula mempertimbangkan idea untuk membina sebuah versi perlumbaan.

Namun, susulan kejayaan tular gurauan tersebut, rancangan merealisasikan versi perlumbaan BMW M3 Touring ini menjadi konkrit pada musim panas 2025.

Pasukan jurutera di BMW M Motorsport hanya mengambil masa lapan bulan sahaja untuk membina jentera ini.

Walaupun menggunakan badan asas wagon M3 Touring, nadi dan kerangka teknikal dikongsi dengan jentera lumba BMW M4 GT3 EVO.

Dari segi dimensi, BMW M3 Touring 24H adalah 200 mm lebih panjang bagi mengekalkan profil ikonik sebuah Touring.

Selain itu, jika diambil kira ketinggian sehingga ke bahagian sayap belakang, jentera ini adalah 32 mm lebih tinggi berbanding model coupe.

Walau bagaimanapun, data teknikal lain bagi kedua-dua jentera ini adalah sama untuk memastikan persaingan yang kompetitif di litar lumba.

Perlumbaan di Nürburgring

Jentera ini akan dikendalikan pasukan Schubert Motorsport dan bakal tampil pada hujung minggu depan dalam pusingan kedua Nürburgring Langstrecken Serie (NLS).

Untuk perlumbaan 24 jam pada 16 dan 17 Mei, jentera ini akan diletakkan dalam kelas SPX.

Ini bermakna ia tidak akan bersaing secara langsung dengan tiga buah unit BMW M4 GT3 EVO yang akan berentap untuk kejuaraan keseluruhan dalam kategori SP9.

Empat pemandu rasmi BMW M telah dipilih iaitu Jens Klingmann, Ugo de Wilde, Connor De Phillippi dan Neil Verhagen.

Sebagai tanda penghargaan, reka bentuk luaran jentera untuk perlumbaan persediaan akan memaparkan komen terpilih peminat pada hantaran gurauan asal tersebut.

Kerjasama Teknikal Bersama Yokohama

Sama seperti jentera utama Schubert Motorsport, BMW M3 Touring 24H akan menggunakan tayar daripada Yokohama.

Kerjasama ini dianggap sebagai pencapaian bersejarah bagi Yokohama dalam penglibatan mereka di litar Nürburgring.

Spesifikasi Teknikal BMW M3 Touring 24H

  • Model Asas: BMW M3 Touring
  • Asas Teknikal: Berkongsi platform bersama BMW M4 GT3 EVO
  • Panjang: Tambahan 200 mm berbanding BMW M4 GT3 EVO
  • Tinggi: Tambahan 32 mm berbanding BMW M4 GT3 EVO (termasuk sayap belakang)

BYD Mansion Pulau Pinang rasmi dibuka

Sime Motors mengumumkan pembukaan rasmi BYD Mansion Macalister yang terletak di Pulau Pinang.

Bangunan berusia lebih 100 tahun ini telah menjalani proses pemuliharaan dan pengubahsuaian yang teliti untuk mengekalkan karakteristik senibina asal.

Dalam masa yang sama, bangunan ini turut disuntik elemen moden yang memfokuskan kepada masa depan mobiliti elektrik.

Kemudahan di BYD Mansion

BYD Mansion mempunyai keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 26,994 kaki persegi.

Ia mempunyai kemudahan ruang pameran yang boleh menempatkan empat model BYD, ruang konsultansi serta bilik serahan peribadi.

Sementara pusat servis pula mempunyai lima ruang kerja, satu ruang penjajaran dan tiga ruang penerimaan servis.

Terdapat juga hab pengecasan pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC bagi menyokong ekosistem EV yang semakin berkembang.

Operasi BYD Mansion dikendalikan oleh Sime Darby Beyond Auto yang merupakan pengedar BYD terbaik di Malaysia.

Kumpulan itu juga turut meraih 13 daripada 27 anugerah di BYD Dealer Conference & Awards Night yang dianjurkan tahun ini.

iCaur Malaysia tubuh kelab rasmi rai pencapaian 1,800 EV atas jalan

iCaur Malaysia mencatatkan satu pencapaian baharu dengan jumlah kenderaan berdaftar kini mencecah 1,800 unit di jalan raya.

Pencapaian ini mencerminkan permintaan terhadap iCaur, seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) off-road.

Kelab rasmi ditubuhkan

Dalam satu acara penyerahan kepada pemilik yang ke-1,800, kelab rasmi pertama jenama tersebut (Kelab Pemilik iCaur Malaysia) turut ditubuhkan.

Direka sebagai nadi komuniti iCaur, kelab pemilik ini menghimpunkan para pemilik menerusi pertemuan, pengalaman bersama, dan aktiviti gaya hidup.

Kelab ini berpaksikan kepada dua teras utama:

  • Perjalanan Pengubahsuaian yang memberi peluang kepada pemilik untuk bertukar idea dan meraikan kreativiti
  • Pembangunan Komuniti yang menumpukan kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli menerusi pelbagai aktiviti menarik

iCaur V23 laris sepanjang Februari 2026

Dengan 179 pendaftaran, iCaur V23 muncul sebagai EV ketiga paling laris di Malaysia, sementara iCaur 03 pula berada di tangga ketujuh.

Sepanjang tahun 2025, iCaur 03 merupakan EV ke-14 paling laris dengan 836 unit telah didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama.

Menurut Francis Chin, Pengarah Kanan iCaur Malaysia berkata, “pencapaian 1,800 kenderaan menandakan detik bermakna bagi iCaur Malaysia.

“iCaur kekal komited untuk menerajui segmen NEV pengembaraan lasak, serta menarik minat generasi yang menghargai keunikan diri, ekspresi peribadi serta inovasi melalui ekosistem tersendiri,” ujarnya lagi.

KTNS TT Classic 150 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM6,888

Mforce Bike Holdings baru-baru ini melancarkan model scrambler bersesaran kecil KTNS TT Classic 150 2026.

Jentera ini ditawarkan pada harga bermula RM6,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Spesifikasi KTNS TT Classic 150

TT Classic 150 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair dengan kuasa 10.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 11.5 Nm @ 5,500 rpm.

Transmisi pula adalah jenis manual 5-kelajuan.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras di bahagian belakang.

 

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • tangki bahan api 11 liter
  • panel meter LCD berwarna
  • bar pelindung
  • tempat pemijak kaki anti-gelincir
  • lampu LED penuh
  • ruang simpanan barang kecil
  • rim jejari 18 inci depan/17 inci belakang
  • tayar dwi-kegunaan

Pelancaran model baharu ini turut menandakan kemunculan semula jenama KTNS setelah sekian lama menyepi dalam pasaran Malaysia. 

Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026: Pendaftaran dibuka, kategori baharu wanita diperkenalkan

Porsche Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance mengumumkan Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia kembali untuk edisi ketiga tahun ini.

Pendaftaran dibuka mulai 13 Mac 2026 di laman web pescm.porsche.com.my.

Kategori baharu diperkenalkan, khusus untuk wanita

Untuk tahun 2026, PESCM akan memperkenalkan kategori baharu bagi peserta perempuan berusia antara 10 hingga 23 tahun.

Ini memberikan ruang kepada mereka yang berminat untuk merasai pengalaman perlumbaan dalam suasana yang lebih inklusif.

Berikut merupakan kategori yang dipertandingkan dalam PESCM 2026:

  • Junior Dreamers: 10-14 tahun
  • Young Dreamers: 15-17 tahun
  • Driven Dreamers: 18-23 tahun
  • Female Dreamers: 10-23 tahun

Format perlumbaan sebenar

PESCM meniru format perlumbaan sebenar Porsche Carrera Cup dengan menggunakan jentera lumba 911 GT3 Cup.

Dengan menggunakan tetapan seragam, setiap peserta perlu bergantung kepada kemahiran, fokus dan strategi untuk menang.

Pusingan kelayakan PESCM 2026

PESCM 2026 akan menggunakan platform Assetto Corsa di mana sebanyak tiga pusingan kalah mati dengan pelbagai format akan disediakan.

Setiap peserta perlu memilih Porsche Centre yang terdekat yang akan menentukan lokasi untuk pusingan kelayakan 2.

Pusingan kelayakan 1 akan berlangsung di tiga lokasi berikut:

  • Bangsar Shopping Centre, KL (18-19 April 2026)
  • The Mall, Mid Valley Southkey, JB (25-26 April 2026)
  • Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang (2-3 Mei 2026)

30 pelumba teratas dari setiap kategori dan setiap lokasi akan mara ke Pusingan Kelayakan 2 di Porsche Centre di seluruh negara.

10 pelumba terpantas dari setiap Porsche Centre akan mara ke Pusingan Kelayakan 3 di Pavilion Bukit Jalil pada 4-5 Julai 2026.

Pusingan akhir di Porsche Carrera Cup Asia, Litar Sepang

10 peserta akhir dari Pusingan Kelayakan 3 akan berentap di pentas akhir semasa Porsche Carrera Cup Asia berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 22-23 Ogos 2026.

Pusingan akhir ini berlangsung serentak dengan hujung minggu perlumbaan sebenar, menjadikan pengalaman yang lebih epik untuk peserta.

Kejohanan tahun ini turut menampilkan kisah inspirasi Naquib Azlan, juara Driven Dreamers 2025 yang kini berlumba dalam Porsche Carrera Cup Asia.

Ia membuktikan perjalanan dari simulator ke litar sebenar memang boleh menjadi satu kenyataan.