HONDA telah menghentikan operasi di kilang Sayama di Saitama, Jepun bagi memberi memberi tumpuan dalam membangunkan teknologi kenderaan elektrik (EV).
Kilang yang mula beroperasi sejak tahun 1964 itu mempunyai kapasiti 250,000 unit kenderaan setahun dan telah menghasilkan beberapa buah model utama seperti Civic dan Accord.
Penutupan pengeluaran di kilang Sayama ini merupakan sebahagian dari pelan penstrukturan semula Honda dalam memenuhi visinya menghasilkan 100 peratus kenderaan elektrik (EV) menjelang 2040.
Meskipun tiada lagi kenderaan yang dihasilkan di sana, kilang berkenaan akan terus menghasilkan bahagian kenderaan dalam jangka masa dua atau tiga tahun lagi sebelum pemindahan sepenuhnya ke kilang Yorii.
Ini bukanlah kali pertama Honda mengambil langkah sedemikian. Tahun lalu, Honda telah menutup operasi kilangnya di Swindon, UK dan juga di Gebze, Turki.
PASUKAN Proton Motorsport di UK yang dikemudi oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) meraih kemenangan di Riponian Stages Rally 2022.
Proton Iriz R5 yang dipandu oleh Oliver Mellors bersama juruarah Max Freeman memenangi empat Special Stage (SS) dan baki dua lagi SS di tempat kedua.
Saingan sengit turut diberikan oleh Elliot Payne yang memandu Ford Fiesta Rally2 dengan perbezaan masa 31 saat. Sementara itu David Henderson yang memandu Ford Fiesta R5 menyusul di tempat ketiga dengan perbezaan masa 2 minit 02 saat.
MEM pada tahun lalu berjaya menduduki tempat kedua di Hills Ford Three Shires Stages dengan menggunakan kerangka Iriz baharu setelah terlibat dengan kemalangan besar di Nicky Grist Stages pada Julai tahun sama.
MASALAH banjir sering kali ‘menghantui’ penduduk Shah Alam mungkin bakal berakhir tidak lama lagi.
Memetik laporan The Star, Bandaraya Anggerik itu bakal menerima kemudahan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, cadangan pembinaan SMART dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
“Mesyuarat terbabit juga telah meluluskan pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh KASA termasuk sungai-sungai utama dinaiktaraf…benteng dan ban sungai serta parit ditinggikan.
Terdapat juga cadangan untuk membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail
Penghujung tahun lalu, Shah Alam merupakan antara kawasan terjejas teruk akibat banjir.
Keadaan itu merupakan situasi yang tidak dijangka sekaligus mengundang keresahan penduduk di masa depan.
Sementara itu, Ismail menjelaskan kerajaan hanya akan memberi fokus terhadap kawasan yang benar berisoko dengan mengambil kira kos penyelenggaraan.
“Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.
“Oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya lagi.
Antara cadangan lain termasuk penubuhan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Pembinaan terowong SMART menelan belanja lebih RM1 bilion. – Foto ihsan Malay Mail
Pada tahun 2007, Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memiliki terowong SMART dengan kos sekitar RM1.88 bilion.
Sepanjang 9.7 kilometer, ia merupakan terowong pengurusan banjir paling panjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia,.
Malahan ia juga menjadi terowong dwi-fungsi pertama di dunia dengan terowong sepanjang 4 kilometer yang boleh dilalui kenderaan.
NOMBOR plat (pendaftaran) BRA akan diteruskan pengeluarannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun gabungan tiga huruf itu kedengaran kurang sopan atau seksis.
Nombor plat BRA untuk negeri Selangor itu dijangka dikeluarkan sekitar April nanti.
Menurut Utusan Malaysia, sumber agensi berkenaan memberitahu setakat ini, tiada sekatan terhadap penggunaan siri plat pendaftaran kenderaan darat dengan huruf tertentu.
“Insya-Allah, huruf tersebut tetap diteruskan apabila tiba masa selepas siri BQY tamat sekitar April depan,” kata sumber agensi tersebut.
Polemik gabungan tiga abjad tersebut bagaimanapun tular diperkatakan segelintir warganet kerana sebutannya menyerupai pakaian dalam wanita dalam Bahasa Inggeris.
“Itu mungkin sekadar pandangan persepsi masyarakat, tetapi, bagi pihak JPJ, kombinasi huruf sedemikian tiada pun melambangkan maksud spesifik kepada mana-mana benda.
“JPJ pada masa ini memang pun tiada polisi khusus yang akan mengharamkan siri huruf tertentu macam pernah dilakukan oleh Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura,” terang sumber itu.
Plat B mula diperkenalkan oleh JPJ pada 1971 bagi menggantikan siri huruf SL yang diwujudkan British sebagai negeri yang pertama menggunakan format baharu itu sejak 1948.
Siri tersebut amat popular di negara ini selepas kemerdekaan kerana Selangor merupakan pusat ekonomi terbesar sebelum dipintas oleh plat W untuk Wilayah Persekutuan pada 1996 lalu.
Ketika ini, plat negeri termaju berkenaan baru sahaja melepasi siri BQV sebelum ia mencapai giliran huruf tengah baharu iaitu BRA pada Mei ini bergantung keadaan penjualan kenderaan.
STELLANTIS iaitu syarikat gabungan PSA Group (Peugeot, Citroen, DS, Opel) dan FCA (Fiat, Chrysler, Dodge, Jeep, Alfa Romeo, Ferrari, Maserati, dll) dijangka memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) jenama Jeep di Malaysia.
Menurut laporan oleh Wapcar.my, perkembangan itu adalah lanjutan dari fasa Stellantis untuk mengembangkan lagi pengaruh mereka di Asia Tenggara.
Stellantis belum membuat sebarang pengumuman rasmi, tetapi sumber industri memberitahu syarikat itu dijangka mengumumkan pengedar baharu Jeep di Thailand dimana kenderaan-kenderaan yang dijual akan diimport dari kilang Stellantis di Gurun, Kedah.
Apabila ditanya mengenai perancangan Stellantis untuk jenama Jeep di Malaysia, jurucakap syarikat itu menolak untuk memberikan sebarang komen (tetapi tidak juga menafikannya). Menurutnya, fokus Stellantis di Malaysia dalam masa terdekat ini ialah Peugeot.
“Dengan kilang pemasangan Stellantis di Gurun, Malaysia ialah keutamaan kami untuk perniagaan ini – membina di ASEAN untuk ASEAN.
“Hari ini, kami memfokus kepada kejayaan jenama Peugeot dan model-model CKD seperti 2008, 3008 dan 5008 di Gurun.”
Tambahnya lagi, “Kami juga berusaha mempunyai pengeluaran paling kompetitif di Gurun yang akan membolehkan kami meneroka peluang baharu dan menyokong perkembangan semua jenama Stellantis di Gurun pada masa depan.
“Kami akan kongsikan dengan lebih lanjut mengenai operasi kami di Gurun bila ada perkembangan nanti.”
Dua ayat terakhir itu memberi klu pengenalan lebih banyak jenama untuk CKD selain Peugeot. Jadi, adakah Jeep juga akan kembali ke pasaran Malaysia?
Jeep mula dilancarkan di Malaysia pada pertengahan 90-an, dibawakan oleh MBf (kini tidak lagi wujud). Jualan Jeep Cherokee tidaklah terlalu teruk namun pengedar itu gulung tikar semasa krisis ekonomi Asia 1997.
Jeep hanya kembali pada 2014 di bawah DRB-Hicom. Tetapi cubaan kedua Jeep di Malaysia ini hanya bertahan beberapa tahun sahaja.
Selepas itu, pengimport bebas TAHB Automotive pada 2020 telah menyatakan mereka mewakili Jeep di Malaysia. Tetapi selepas gabungan dengan PSA Group, Stellantis berkata TAHB bukan lagi rakan pengedar Jeep di Malaysia.
Sama ada Jeep akan kembali ke Malaysia atau tidak, kita belum dapat tahu. Begitu juga dengan kilang Stellantis di Gurun, adakah ia hanya akan menjadi hab untuk Asia Tenggara untuk dieksport ke Thailand dan Indonesia sahaja dan tidak untuk Malaysia, juga belum diketahui.
Pada masa ini, belum nampak gaya Stellantis telah melantik mana-mana pengedar Jeep untuk Malaysia. Yang pasti, Thailand akan dapat pengedar rasmi dahulu.
Apa pendapat anda mengenai perkembangan ini? Adakah anda mahu Jeep kembali ke Malaysia? Ramai peminat yang menunggu?
LEGO Technic melancarkan kit terbaharu yang pastinya mengujakan para peminat Formula 1 (F1) iaitu McLaren Formula 1 Race Car.
Seperti juga kit-kit Lego Technic sebelum ini, model baharu ini padat dengan elemen rekaan dan fungsi-fungsi mirip kereta sebenar.
Model Lego Technic ini telah direka bersama dengan pakar kejuruteraan dari pasukan Lego Group dan McLaren Racing. Ia mendapat warna livery dari jentera F1 McLaren musim 2021 tetapi menampilkan beberapa elemen yang akan didapati pada kereta musim 2022.
Antara aspek mekanikal yang menarik pada model Lego Technic ini adalah enjin V6 dengan silinder-silinder bergerak, stereng yang boleh dikawal dari kokpit, sistem suspensi, dan pengunci differential.
Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car ini merupakan model pertama seumpamanya dari Lego dan ia memberikan gambaran kepada peminat mengenai teknologi dan kejuruteraan yang penting di litar.
Model ini terdiri dari 1,432 keping Lego dan pastinya memberikan kepuasan selepas siap membinanya.
Apabila siap, ia akan berukuran 65cm panjang, 13cm tinggi dan 27cm lebar, lengkap dengan pelekat penaja untuk menjadikannya satu model yang boleh dipamerkan dengan bangganya di meja atau alamari anda.
“Kami tidak pernah berhenti untuk mengujakan dan memberi inspirasi kepada peminat-peminat kami dengan meneroka had kemungkinan menerusi teknologi dan rekaan yang kami hasilkan,” kata Niels Henrik Horsted, ketua produk Lego Technic.
Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car boleh mula didapati pada 1 Mac 2022 ini menerusi semua cawangan Lego Certified Stores, Lego Official Store di Lazada dan Shopee, Legoland, serta di semua kedai-kedai utama seluruh Malaysia. Harganya? RM799.90 sahaja.
FORD kini sedang membangunkan sistem klac elektronik yang akan membolehkan pemandu “menukar gear” tanpa menekan pedal klac.
Idea asasnya ialah sistem untuk penukaran gear tanpa sambungan fizikan antara pedal klac, silinder utama, bearing throw-out, dan pelbagai komponen lain. Segala sambungan ini akan digantikan dengan pengesan atau sensor.
Menurut artikel Muscle Cars & Trucks, transmisi manual ini akan serupa dengan unit pada Ford Mustang dan Bronco dengan hanya dua perbezaan utama.
Pertamanya, walaupun masih mempunyai pedal klac, ia tidak akan bersambung dengan apa-apa melainkan pengesan dan aktuator.
Perbezaan lain adalah tombol gear itu sendiri akan mempunyai pengesan terbina dalam, yang mana apabila digunakan oleh pemandu, akan memutuskan klac bila ia digerakkan. Jadi anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac dengan kaki kiri.
Walaubagaimanapun, akan terdapat juga cara untuk ‘melawan’ sistem ini. Anda masih boleh gunakan klac untuk mula memecut kenderaan seperti atau untuk pemandu tegar menggunakannya seperti biasa.
Terdapat banyak kenderaan hari ini dengan dilengkapi transmisi manual yang juga didatangkan dengan fungsi anti-stall dan rev-matching.
Menariknya, fungsi-fungsi ini boleh dinyahaktifkan, dan kami yakin transmisi baharu yang dibangunkan Ford ini juga akan mempunyai ciri sama.
Sebuah transmisi manual moden yang mudah digunakan tetapi masih mempunyai ciri old-school.
Berminat cari kereta transmisi manual dengan harga mampu milik? Boleh tengok senarai kami di bawah:
MEMANDANGKAN sudah berada dalam pasaran sejak 2013, boleh dikatakan Grand Theft Auto 5 (GTA V) sudah agak lama. Ia masih antara permainan video automotif paling fleksibel dan akan menerima kemaskini hujung tahun ini.
Tetapi yang paling penting, Rockstar Games telah mengumumkan generasi baharu GTA yang dikatakan kini dalam pembangunan.
Malangnya, belum ada tarikh pelancaran diumumkan dan pembangun itu cuma berkata “kami akan kongsikan maklumat lanjut bila bersedia.”
Walaubagaimanapun, mereka ada berkata, “kami berbesar hati ingin mengesahkan bahawa pembangunan kini sedang giat dijalankan.”
Hingga saat itu, Rockstar Games akan terus mengemaskini GTA V dan Grand Theft Auto Online. Pada 15 Mac nanti, mereka akan melancarkan versi kedua-dua permainan video itu untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.
Dalam satu kenyataan rasmi, Rockstar Games menjanjikan mod grafik terbaharu sehingga resolusi 4K, 60 frames per second, naik taraf grafik dan tekstur, serta pilihan-pilihan HDR dan ray-tracing.
Tambahan lagi, pemain-pemain akan dapat menikmati masa menunggu yang lebih singkat, audio 3D lebih baik, maklumbalas haptic lebih baik, dan bermacam lagi. Ini pastinya disebabkan komponen yang jauh lebih berkemampuan pada PS5 dan Xbox terkini.
Paling penting, jika anda bermain GTA V dan GTA Online di PS4 atau Xbox One, anda akan boleh memindahkan karakter dan perkembangan anda ke platform baharu nanti.
Akhir sekali, Grand Theft Auto Online akan mendapat versi baharu untuk PS5 dan Xbox Series X|S. Ia akan boleh didapati untuk tiga bulan pertama selepas pelancarannya di PS5.
Antara ciri baharu adalah penceritaan lebih baik, tutorial online baharu, dan kedai Hao’s Special Works dimana anda boleh memodifikasi sesetengah kenderaan.
BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.
Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.
Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.
Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).
Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.
Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.
Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.
Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).
PENUNGGANG Ducati Lenovo, Frencesco Bagnaia atau lebih dikenali sebagai ‘Pecco’ mencatatkan masa ke-6 terpantas iatu 1 minit 58.265 saat semasa acara MotoGP Winter Test yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Setelah dua hari beraksi (5 dan 6 Februari 2022) beliau mencatatkan 110 pusingan manakala rakan sepasukan, Jack Miller melengkapkan sebanyak 92 pusingan, berada pada kedudukan yang ke-14 dengan catatan masa 1 minit 58.645 saat.
Sementara itu, catatan masa terpantas keseluruhan diperolehi oleh Enea Bestianini dari Gresini Racing Team dengan 1 minit 58.131 saat.
Jentera Desmoseddici serba baharu dengan kod GP22 pasukan Ducati dijangka memberikan saingan sengit buat pasukan lain memandangkan mereka menjadi juara pengeluar pada musim lepas dengan 433 mata, dan ‘Pecco’ di tempat ke-2.
Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi pasukan Ducati Lenovo bagi musim 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini 7 Februari 2022, 11 malam waktu Malaysia. Buat peminat tempatan, anda boleh menyaksikan pelancaran tersebut di ducati.com serta laman Facebook rasmi Ducati.
Seterusnya, mereka akan berada di Litar Mandalika, Lombok, Indonesia pada hujung minggu ini bagi meneruskan jelajah MotoGP ‘Winter Test’.
KOENIGSEGG sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi mereka sendiri yang canggih dan lain dari yang lain seperti teknologi Freevalve dan transmisi Koenigsegg Direct Drive (KDD).
Kini, pengeluar hypercar dari Sweden itu memperkenalkan satu lagi teknologi penting yang bakal digunakan secara meluas dalam model-model keluarannya. Dikenali sebagai Quark, ia merupakan sebuah motor elektrik ultra-kompak yang mampu menjana kuasa yang tinggi.
Menurut Koenigsegg, Quark dibangunkan khusus untuk dipadankan dengan enjin Tiny Friendly Giant (TFG) yang digunakan oleh Gemera namun ia juga boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti trenkuasa elektrik, aeroangkasa, Vertical Take Off and Landing (VTOL), marin dan pelbagai lagi.
Secara asasnya, Quark menggabungkan topologi radial dan axial untuk membentuk apa yang digelar sebagai ‘Raxial Flux’. Gabungan topologi ini didakwa mampu memberikan nisbah tork-kuasa-berat yang terbaik dalam industri.
Dakwaan ini mungkin benar kerana motor elektrik itu hanya seberat 30kg (28.5kg tanpa komponen driveline), manakala saiznya tidak begitu besar dengan tinggi tidak melebihi dua buah tin minuman 330ml.
Namun bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Satu unit Quark mampu menjana 340PS dan 600Nm secara berterusan selama 20 saat. Selepas itu, kuasanya akan diturunkan kepada 136PS dan 249Nm.
Angka tersebut mungkin tidak begitu mengagumkan pada zaman kini namun harus diingat bahawa Gemera mempunyai tiga unit Quark untuk membantu enjin TFG. Enjin twin-turbo tiga silinder itu juga boleh tahan berbisa dengan output mencecah 600PS dan 600Nm yang dihasilkan dengan sendirinya.
Untuk membuktikan kemampuan ciptaannya, Koenigsegg menggabungkan dua unit Quark dengan inverter enam fasa bernama David dan juga gear bagi menghasilkan sebuah pacuan elektrik yang dikenali sebagai Terrier.
Nama itu dipilih bersempena dengan baka anjing Terrier yang terkenal dengan sifatnya yang kecil tetapi bertenaga dan berani.
Untuk memberikan gambaran yang jelas tentang saiznya, Terrier mempunyai ukuran panjang 425mm, lebar 475mm dan tinggi 340mm, manakala beratnya ialah sekitar 85kg.
Tidaklah besar mana namun kuasanya boleh mencecah 680PS dan 1,100Nm. Apa yang menarik, ia juga mempunyai fungsi pemvektoran tork manakala saiznya yang kompak membolehkan ia dipasang terus pada casis tanpa perlu menggunakan subrangka.
Tidak dapat dipastikan pada model manakah Terrier akan digunakan kerana setakat ini, Koenigsegg masih belum mempunyai EV.
KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terbaharu mereka iaitu tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).
Melalui perkhidmatan baharu ini, para penggemar sukan berbasikal boleh membawa basikal terus ke destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman unik kepada peminat aktiviti berbasikal sekaligus memenuhi permintaan penumpang yang ingin menikmati perjalanan menggunakan lokomotif diesel.
Ketika majlis pelancaran baru-baru ini, seramai 150 orang peserta telah dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim. Seterusnya, mereka berbasikal sejauh 49km dari Stesen Tanjung Malim melalui Sungai Bil – Behrang Ulu – Sungai Dar sebelum berpatah semula ke Stesen Tanjung Malim.
Koc basikal yang telah diubahsuai ini mampu memuatkan kira kira 60 basikal pada satu-satu masa. Buat masa ini, pihak KTMB mempunyai tiga buah koc XKB.
Pemilik basikal juga tidak perlu khuatir kerana basikal-basikal ini akan diletakkan pada alatan khusus bagi memastikan keselamatan ketika perjalanan.
Pihak KTMB juga bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan sekiranya para pelanggan ingin menyewa koc basikal ini bersama dengan koc tempat duduk serta tempat tidur (ADNS) mahupun koc yang mempunyai kafeteria. Kadar sewaan XKB bergantung kepada pilihan pakej pelanggan serta jarak perjalanan tren.
Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pihak KTMB di talian 03-2263 1077 atau emel kepada chartertrain@ktmb.com.my
NORWAY telah benar-benar menerima kenderaan elektrik (EV) dengan kadar lebih tinggi dari negara-negara lain. Kini jualan EV di negara itu melebihi kenderaan pembakaran dalaman (ICE).
Dan menariknya, Porsche Taycan sangat laris di sana dengan jualan model itu sahaja melebihi gabungan semua kenderaan ICE. Sebanyak 181 unit Taycan kepada pelanggan sepanjang Januari 2022.
Menurut Norwegian Road Traffic Information Council (OFV), dari 7,957 kenderaan yang dijual di negara itu tahun lepas, hanya 387 sahaja yang menggunakan diesel atau petrol.
Harus diketahui bahawa jualan bulanan kenderaan ICE di sana telah menjadi rendah, dengan penurunan 2,400 unit berbanding Januari 2021.
Hampir 84 peratus kenderaan baharu di Norway bulan lepas (6,659 unit) adalah elektrik sepenuhnya.
Dari 20 kenderaan paling popular, kesemuanya adalah elektrik kecuali Toyota RAV4. Ini bukan sahaja rekod baharu untuk negara itu, malah menunjukkan peningkatan 53 peratus berbanding bulan sama tahun lepas.
Kenderaan paling popular secara keseluruhan bulan lepas adalah Audi Q4 E-Tron dengan 643 unit diserahkan kepada pelanggan. Ini diikuti oleh Hyundai Ioniq 5 (477 unit) dan BMW iX (444 unit).
Menariknya, Volkswagen ID.3 yang lebih murah hanya terjual sebanyak 125 unit, sangat rendah jika dibandingkan dengan ID.4 dan Skoda Enyaq (masing-masing 389 unit terjual).
Peningkatan mendadak jualan EV ini juga mungkin disebabkan pengurangan insentif Norway terhadap kenderana hibrid, yang hanya terdiri dari 19 peratus sahaja pada Januari 2021, kemudian menurun kepada 6.6 peratus tahun ini.
BARU-BARU ini, BMW telah melancarkan model facelift 8-Series yang terdiri daripada varian Coupe, Cabriolet dan Gran Coupe. Kemudian, giliran Alpina pula melancarkan B8 Gran Coupe. Tempahan bakal dibuka pada Julai tahun ini dengan harga bermula €162,100 (RM764,762) tidak termasuk cukai.
Dari segi luaran, tidak banyak perbezaan Alpina B8 berbanding BMW 8-Series Gran Coupe. Namun, versi Alpina ini dilengkapi dengan gril bercahaya baharu serta pilihan warna hijau dan biru untuk badannya. Tidak berkenan? Anda mempunyai pilihan untuk memilih variasi kemasan cat standard dari BMW dan BMW Individual.
Tayar adalah dari Pirelli dengan profil 245/35 ZR21 di depan manakala di belakang berprofil 285/30 ZR21. Alpina juga mengekalkan identiti rim berjejari 20.
Di bahagian dalam kabin pula, tidak banyak perubahan berbanding BMW 8-Series. Cuma sedikit perbezaan dimana B8 Gran Coupe bakal menggunakan paparan Live Cockpit Professional bersaiz 12.3-inci menggantikan unit 10.25-inci.
Butang kawalan iDrive yang diperhalusi dengan kemasan kristal serta kemasan pintu yang menyala dengan logo Alpina memberikan perasaan yang lebih eksklusif buat pemilik kereta ini.
Untuk enjin pula, unit 4.4-liter twin-turbo V8 telah ditala untuk menghamburkan 621hp dan 800Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.
Ini membolehkan Alpina B8 ini memecut ke 100km/j dalam 3.4 saat sahaja, manakala kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 324km/j.
Selain dari kombinasi spesifikasi yang ditawarkan, anda juga bebas memilih kemasan dalaman, cat, dan pemilihan bahan mengikut citarasa asalkan sanggup membayarnya.
PERNAH tonton klip video aksi drift dari Ken Block? Hebat bukan? Kini, semua orang boleh menjadi seperti beliau. Bayangkan jika kereta anda boleh membuat aksi drift tanpa sebarang kawalan dari pemandu.
Toyota kini sedang membangunkan teknologi Autonomous Drifting yang mana kereta anda mampu membuat aksi drift secara automatik tanpa sebarang bantuan daripada pemandu.
Jangan salah faham, teknologi ini dibangunkan bukan untuk memberikan anda kebebasan membuat aksi di jalan raya awam.
Sebaliknya menurut Toyota, teknologi yang dibangunkan ini adalah lebih kepada menaiktaraf aspek keselamatan bagi barisan kenderaan Toyota dan Lexus di masa hadapan.
Sebagai contoh, jika anda hilang kawalan ketika melalui jalan licin, komputer akan mengambil alih pemanduan seperti pemandu rali profesional.
Sebuah Toyota Supra telah digunakan bagi tujuan penyelidikan dan kajian teknologi ini. Komputer akan mengawal input pendikit minyak, sistem kawalan stereng, transmisi dan juga kuasa membrek bagi setiap tayar secara berasingan.
Bagi mengekalkan kawalan ketika aksi ‘drift’, sistem yang dipanggil Nonlinear Model Predictive Control (NMPC) akan mengira pergerakan kenderaan bagi setiap 0.05 saat. Ya, 0.05 saat! Lebih pantas dari kelipan mata anda.
“Melalui projek ini, adalah diharapkan agar pemandu mampu memberikan tindak balas yang sama seperti pemandu profesional terutamanya ketika menghadapi saat kecemasan dan memastikan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain,” menurut kata Avinash Balachandran, salah seorang Pengurus Human Centric Driving Research di Toyota Research Institute (TRI).
ORANG ramai ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini sehingga 6 Februari diminta mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA).
Memetik kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), TTA tersebut boleh digunakan oleh pelanggan dari utara dan selatan tanah air yang ingin kembali ke Lembah Klang.
“Kami menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA dikeluarkan,” memetik kenyataan itu.
PLUS menjangkakan jumlah trafik meningkat pada Sabtu dan Ahad ini berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan sempena cuti sekolah.
Justeru, PLUS membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa.
Ini termasuk menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.
PLUS juga bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.
Sementara itu, PLUS menasihati pelanggannya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet mencukupi.
Ia bagi mengelak sebarang kesesakan di plaza tol sekaligus menjejaskan perjalanan pengguna lebuh raya lain.
“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol,” katanya lagi.
Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial atau layari laman web www.plus.com.my.
SEORANG aktivis mempersoalkan mengapa hanya institut memandu berdepan tindakan sekiranya ramai calon terbabit kemalangan atau tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, berkata tidak logik untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya menjatuhkan hukuman kepada institut memandu sahaja. Sebaliknya semua pihak perlu bertanggungjawab.
“Macam tak logik macam sekolah yang dikenakan tindakan,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun tidak menolak pihak JPJ mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa tindakan itu dibuat kerana berkemungkinan wujud lambakan sekolah memandu yang dibangunkan tanpa pengawasan standard membabitkan soal keselamatan jalan raya.
“Tapi ada kemungkinan kenyataan dikeluarkan itu bersebab. Sebagai contohnya lambakan sekolah memandu yang dibangunkan tanpa pengawasan standard,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun mencadangkan penambahbaikan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalanraya bukan sekadar melalui hukuman sebaliknya perlu lebih kepada cara mendidik di peringkat awal yang perlu melibatkan semua pihak.
“Sewajarnya diseimbangi melalui pendidikan, kempen keselamatan jalanraya yang lebih menyeluruh dan menarik minat terutama para belia, bahkan usaha itu seharusnya dipikul oleh semua pihak, bukan setakat JPJ sahaja.
“Saya percaya sikap menghargai diri sendiri dan orang lain itu bermula dari rumah. Sebagai contohnya peranan ibu bapa, rakan sebaya, begitu juga dengan persatuan penduduk mahupun JMB bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan taman perumahan, penempatan yang turut membimbangkan, semua pihak harus saling berpesan,” katanya.
Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim sebelum ini memaklumkan institut memandu berdepan tindakan penggantungan atau pembatalan permit sekiranya mengeluarkan ramai calon terbabit kemalangan dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Katanya, tindakan itu akan dijalankan menerusi kaedah melekatkan kod di lesen memandu bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana pesalah itu menerima latihan pemanduan.
PENGGUNA lebuh raya dinasihati tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berkata,ia mengundang bahaya kepada si pelaku malah, berisiko kepada pengguna lebuh raya lain.
“Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan.
“Perlu diingat jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.
“Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik,” kata Hanif Yusabra Yusuf.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf. – Foto ihsan Bernama
Jalan Temiang-Pantai mulai tular di media sosial selepas ramai kalangan pemandu gemar memberhentikan kenderaan di kawasan terbabit.
Pemandu didapati bersalah boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959.
Undang-undang tersebut memperuntukan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
STERENG pada umumnya adalah alat untuk mengemudi arah tuju kenderaan. Namun teknologi yang semakin maju membuatkan pelbagai jenis input kawalan diletakkan di bahagian stereng seperti Cruise Control, kawalan radio, dan Bluetooth.
Namun, Mercedes-Benz telah melangkah setapak ke hadapan dengan mempatenkan rekaan terbaru mereka iaitu roda stereng dengan corong pendingin hawa di German Patent and Trade Mark Office (DPMA).
Seperti mana yang sedia maklum, kebanyakan pengeluar kenderaan premium pada masa kini menyediakan tempat duduk yang mempunyai corong pendingin hawa sebagai ciri standard. Maka tidak mustahil pada masa akan datang, pendingi hawa pada stereng pula akan ditambah.
Memperlihatkan lakaran yang dihantar kepada DPMA, corong pendingin hawa tersebut berada di bahagian tengah stereng.
Udara sejuk akan disalurkan melalui hub di bahagian tengah dan disalurkan terus kepada corong seperti gambar di atas. Ia pasti sangat berguna bagi pemandu di negara beriklim tropika seperti di negara kita.
Pandangan peribadi penulis, konsep rekaan yang sama turut boleh digunakan bagi negara yang beriklim sejuk namun ditukarkan dengan menggunakan udara panas.
Elemen pemanas telah pun berada pada roda stereng sesetengah kereta premium, jadi pasti tidak sukar untuk mengintegrasikannya dengan sistem penghawa dingin.