Arkib Kategori: BERITA

Sime Darby, Porsche mula operasi pemasangan Cayenne di Kulim

SEJARAH baharu tercipta bagi Sime Darby dan Porsche selepas secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan bagi model Cayenne di Kulim, Kedah.

Ia secara tidak langsung juga menjadi operasi pemasangan tempatan pertama yang dibuat di luar Eropah.

Memetik laporan media, pengeluaran model Cayenne ini hanya dikhaskan untuk pasaran Malaysia sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Group berkata, pihaknya akan terus berusaha memberikan kualiti terbaik kepada para pelanggan.

Selain itu, Datuk Jeffry Salim Davidson turut berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai bersama Porsche.

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan berterusan daripada Porsche kepada Sime Darby.

“Pada masa sama kami bertekad menawarkan produk berkualiti Porsche serta prestasi dan pengalaman pemanduan mengujakan,” katanya.

Operasi di Kulim itu turut membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Fasiliti tersebut juga dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sekaligus menyokong pertumbuhan rantaian industri automotif negara.

Porsche turut berharap perniagaannya berkembang di rantau ini malah, menerima penerimaan positif daripada pengguna.

Mazda3 2022 facelift diperkenal, 1.5 dan 2.0, harga bermula RM139k, Ignite Edition RM165k

BERMAZ Motor telah mengumumkan Mazda3 2022 yang dikemaskini luar dan dalam, dengan harga seperti berikut:

Mazda3 1.5 Liftback: RM138,660
Mazda3 1.5 Sedan: RM138,660
Mazda3 2.0 Sedan High: RM146,119
Mazda3 2.0 Liftback High Plus: RM155,679
Mazda3 2.0 Sedan High Plus: RM155,679

Terdapat juga edisi baharu iaitu Ignite Edition untuk Mazda3 2.0 Liftback High Plus yang berharga RM164,697.

Kesemua harga di atas adalah atas jalan, tanpa insurans.

Pembaharuan utama untuk Mazda3 facelift 2022 ini ialah dari sudut teknologi, dimana kesemua varian mendapat dua slot USB di konsol tengah dan perehat tangan.

Unit infotainmen dengan skrin sesentuh 8.8-inci pula kini menyokong sambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Untuk Mazda3 Ignite Edition, ia didatangkan dengan ciri keselamatan i-Activsense terkini yang merangkumi Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) with Driver Monitoring and Cruising & Traffic Support (CTS).

Mazda3 2022 boleh didapati dengan warna seperti Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Snowflake White Pearl, Polymetal Gray, Deep Crystal Blue (Liftback sahaja) dan warna baharu Platinum Quartz.

Mazda3 2022 merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan bergantung kepada varian, mempunyai pilihan enjin Skyactiv-G 1.5 dan 2.0-liter.

Tiada perubahan mekanikal pada enjin-enjin ini, dimana unit 1.5-liter menjana 118hp pada 6,000rpm dan 153Nm tork pada 4,000rpm.

Sementara itu, enjin 2.0-liter pula menghasilkan 162hp pada 6,000rpm dan 213Nm tork pada 4,000rpm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan.

Kesemua Mazda3 juga dilindungi dengan jaminan serta pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.

WMoto ES250i kini di Malaysia – Enjin Euro 4, ABS dua-saluran, RM13,888

KINI terdapat skuter 250cc terbaharu di pasaran Malaysia, iaitu WMoto ES250i. Dibawakan dan diedar oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, ES250i ini dijual pada harga RM13,888 (tanpa cukai jalan dan pendaftaran).

WMoto ES250i dikuasakan enjin 244.3cc 4-lejang silinder tunggal SOHC yang mampu menjana 21hp pada 8,500rpm dan 21Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT.

Enjin ini juga menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dengan penghidup elektrik dan menepati piawaian Euro 4.

ES250i dilengkapi dengan suspensi teleskopik KYB di depan dan dwi-penyerap di belakang. Sementara itu, sistem brek pula adalah 240mm untuk depan dan belakang serta hadir dengan ABS dwi-saluran.

WMoto ES250i didatangkan dengan rim 13-inci dibaluti tayar 110/70 di depan dan 130/70 di belakang.

Dari segi dimensi pula, skuter ini mempunyai panjang 1,955mm, lebar 740mm dan tinggi keseluruhan 1,115mm. Tinggi tempat duduk pula ialah 770mm manakala kelegaan tanah ialah 135mm.

ES250i mempunyai berat 147kg serta tangki bahan api 12 liter.

WMoto ES250i ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Fiery Red, Midnight Blue dan Slate Grey. Anda boleh mula melihat skuter ini dengan lebih dekat di semua cawangan MForce seluruh negara bermula esok.

Kes rasuah RM85 juta: Bos MARii antara sembilan yang ditahan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan laporan BebasNews berkenaan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut automotif.

Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang wanita dipercayai ditahan merupakan empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang  penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi. Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula semalam dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 58 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya.

Sumber berkata, dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek sebagai balasan  bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020.

BebasNews hari ini memetik sumber melaporkan ‘orang kuat’ Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii),  Datuk Madani Sahari  dan beberapa pegawai lain bakal ditahan reman selepas  SPRM melakukan sebuah ke atas institut itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM,  Dato’ Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Nissan akan jual EV dan hibrid sahaja di Eropah bermula tahun depan

NISSAN ialah salah satu dari beberapa syarikat automotif yang mengambil keputusan untuk tidak lagi melabur dalam pembangunan enjin pembakaran dalaman untuk menepati piawaian Euro 7.

Hasilnya, bermula tahun depan, Nissan tidak akan lagi memperkenalkan sebarang model baharu di benua itu yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) sepenuhnya.

Sebaliknya, pengeluar Jepun itu akan menambah penawaran model elektrik mereka dengan enam lagi produk baharu bermula musim panas tahun ini.

Nissan mempunyai sasaran untuk mencapai 75 peratus jualan di Eropah dengan kenderaan berelektrifikasi menjelang 2026. Sasaran lebih besar pastinya 100 peratus jualan dari kenderaan itu menjelang penghujung dekad (2030).

Menariknya, Nissan berkata enam model akan hadir tahun ini dan mereka akan mempunyai ‘pembezaan jelas’ disebabkan teknologi berbeza yang sedang atau akan dibangunkan.

Guillaume Cartier, pengerusi Nissan Europe berkata, “Kami telah mempersiapkan kepakaran elektrik kami untuk menghasilkan barisan teknologi berelektrifikasi yang menepati keperluan pelanggan, tetapi tidak berkompromi dengan keseronokan (memandu).”

Barisan model semasa Nissan di Eropah terdiri dari beberapa crossover, EV Leaf, Micra, serta kenderaan komersial ringan Townstar dan Primastar.

Nissan baru-baru ini memperkenalkan versi hibrid baharu Juke dan Qashqai manakala Leaf dikemaskini untuk 2022.

GT-R pula dihentikan jualannya di Eropah disebabkan faktor emisi.

Terus bela rakyat, kerajaan kaji mekanisme pemberian subsidi petroleum

MEKANISME pemberian subsidi produk petroleum akan dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang kaedah pemberian subsidi bagaimanapun akan diperhalusi serta diteliti terlebih dahulu.

Jelas Datuk Mohd Shahar Abdullah, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.

“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini,” katanya.

Ketika ini, setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah memberikan hasil RM300 juta kepada kerajaan dan jumlah subsidi ditanggung untuk RON95 adalah RM1.65.

“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta.

“Jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling.

“Kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya lagi.

Harga petroleum sering mendapat perhatian ramai memandangkan ia memberi kesan besar kepada banyak perkara khusus sektor ekonomi.

Namun, kerajaan sentiasa memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan rakyat agar tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga bahan api.

Malaysia, Singapura siap sedia untuk pembukaan sempadan darat dan udara

MALAYSIA dan Singapura mengorak langkah melakukan persiapan segera bagi menyambung semula kebenaran perjalanan darat dan udara sepenuhnya kepada rakyat kedua-dua negara yang telah lengkap divaksin berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin stabil.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung mengadakan perbincangan mengenai keadaan pandemik di kedua-dua negara di pejabatnya di sini semalam.

“Kami bersetuju keadaan sudah stail dan kami boleh mengorak langkah ke arah penyambungan semula perjalanan darat dan udara sepenuhnya untuk mereka yang telah lengkap divaksin,” kata beliau dalam hantaran di Twitternya.

“Malaysia dan Singapura berhubung semula dan #ReopeningSafely,” katanya dalam satu lagi hantaran.

Ong sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula semalam.

Pada masa ini Malaysia melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara dengan Singapura, sebuah program permudah cara perjalanan dua hala bagi individu yang mendapat dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dari sebuah negara boleh memasuki negara lain tanpa kuarantin bergantung kepada saringan Covid-19 dan keperluan selanjutnya ditentukan oleh negara penerima.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan membuka semula sempadan bermula 1 April ini bagi menggiatkan semula ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik ini.

Kajian BMW: Lapan daripada 10 pemandu Malaysia pilih kenderaan elektrik

BMW Group mendapati lapan daripada sepuluh pemandu negara ini ingin melihat lebih banyak kenderaan elektrik (EV) menyusuri jalan raya.

Kaji selidik dijalankan mendapati rata-rata berharap EV dapat mencorak sebuah dunia yang lebih cakna terhadap alam sekitar.

Tinjauan dalam talian itu melibatkan lebih 4,000 pemandu bukan sahaja di Malaysia malah, negara lain turut terlibat seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Fokus kaji selidik adalah untuk memahami lebih mendalam mengenai pemahaman dan kecenderungan terhadap EV dalam kalangan pemandu Asia Tenggara.

Penggunaan kereta elektrik (EV) diyakini mampu menjaga alam sekitar. – Foto ihsan BMW

Selain itu, kaji selidik juga mendapatkan reaksi terhadap impak EV ke atas alam sekitar serta faktor mendorong pengguna memilikinya.

Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, kesedaran dan keterujaan ditunjukkan terhadap mobiliti lestari adalah amat menggalakkan.

Pada masa sama, pemandu Malaysia juga melihat EV sebagai gerbang pengalaman pemanduan premium.

“Sebagai perintis dalam mobiliti elektrik di Malaysia dan setelah menjejakkan kaki di pentas ini sejak tahun 2015, kami dapat melihat sambutan dan keterujaan.

“Bagaimanapun, masih wujud kesangsian kerana isu-isu yang menyelubunginya…kesemuanya kami sedang menanganinya,” kata Hans de Visser.

Sudah tiba masa lebih banyak pengeluar kenderaan menghasilkan kereta cekap tenaga dan mampu milik. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, tinjauan mendapati 72 peratus rakyat Malaysia memilih pengurangan pelepasan karbon.

Sementara itu, 49 peratus memilih penjimatan kos menerusi penggunaan elektrik dan bukannya petrol serta 40 peratus untuk pengalaman premium.

Bagaimanapun, wujud beberapa kebimbangan mengenai EV termasuk jarak perjalanan yang dapat dicapai, kos penyenggaraan dan kesukaran mengecas.

Honda HR-V 2022 dilancar di Indonesia dengan enjin 1.5 VTEC NA dan turbo, dari RM104k

HONDA HR-V 2022 serba baharu telah dilancar di Indonesia dengan empat varian. Tiga darinya dengan enjin 1.5-liter petrol VTEC naturally-aspirated (121PS dan 145Nm) manakala satu lagi versi tertinggi dengan 1.5-liter VTEC turbo (177PS dan 240Nm). Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear CVT.

Ini sedikit berbeza dengan penawaran di Thailand, dimana crossover segmen-B itu mendapat varian hibrid e:HEV. Ini menampilkan enjin 1.5-liter Atkinson-cycle berkuasa 105hp dan 127Nm tork, digabungkan dengan dua motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion.

Output keseluruhan untuk HR-V e:HEV ini adalah 131hp dan 253Nm tork.

Dari segi harga, Honda HR-V di Indonesia ditawarkan dengan harga seperti berikut:

HR-V S: 355.9 juta Rupiah (RM104,738)
HR-V E: 379.9 juta Rupiah (RM111,798)
HR-V E SE: 399.9 juta Rupiah (RM117,701)
HR-V Turbo RS: 499.9 juta Rupiah (RM147,070)

Kelengkapan standard terdiri dari lampu LED penuh dengan DRL, rim 17-inci, panel instrument TFT dan skrin audio 7-inci dengan sambungan telefon pintar, serta pakej keselamatan Honda Sensing.

Walaubagaimanapun varian HR-V E SE ditambah dengan kelengkapan lebih premium iaitu lampu signal sequential, bumbung panoramik kaca, lampu kabus LED, rim 18-inci, skrin infotainmen 8-inci, dan Honda LaneWatch.

Sementara itu, varian tertinggi Turbo RS pula dilengkapi dengan kit badan khas, ekzos berkembar, kemasan kulit hitam dengan jahitan merah, stereng balutan kulit, skrin instrumen TFT boleh dikustom, serta mod pemanduan Sport, Normal dan Econ.

Ia juga mendapat pintu but belakang berkuasa dengan fungsi hands-free, dan enam beg udara.

Honda HR-V di Indonesia ditawarkan dengan enam warna iaitu Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Sand Khaki Pearl 2-Tone dan Ignite Red Metallic 2-Tone.

Teruja untuk Honda HR-V baharu di Malaysia?

Honda Malaysia ada mengumumkan bahawa model serba baharu yang akan dibawa ke pasaran kita akan mendapat enjin VTEC Turbo dan hibrid e:HEV.

Crossover segmen-B ini juga dijangka tiba tahun ini, salah satu dari dua model serba-baharu yang dirancang untuk 2022.

SIC anjur MotoGP sehingga 2024, Petronas penaja utama

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia FIM MotoGP sehingga tahun 2024.

Perkara itu disahkan Dorna Sports yang pada masa tidak menolak kemungkinan perjanjian akan dilanjutkan sehingga 2026.

Dorna Sports turut mengesahkan Petronas sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.

Justeru, perlumbaan musim ini di Sepang bakal dinamakan Petronas Grand Prix Malaysia sekaligus memastikan jenama itu terus signifikan dalam sukan permotoran.

Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. – Foto ihsan Facebook / MotoGP

Kehadiran Petronas dalam bidang sukan permotoran bukan suatu yang asing malah, merupakan pembekal bahan api bagi kelas Moto2 dan Moto3.

Dalam perkembangan sama, SIC berharap para peminat MotoGP kembali memberi sokongan dengan kembali ke litar bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.

Sebelum ini, Malaysia terkeluar daripada kalendar MotoGP selama dua tahun susulan penularan virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.

Susulan itu, tema GP Malaysia pada tahun ini adalah #WelcomeHome yang menjadi simbolik kepada kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa.

Jadi, kepada semua peminat MotoGP ayuh kita sama-sama memberi sokongan untuk GP Malaysia tahun ini!

Porsche 718 Cayman/Boxster bakal jadi EV menjelang 2025

PORSCHE 718 Cayman dan Boxster bakal dijelmakan sebagai kereta sports elektrik dengan reka bentuk serta karakter sama seperti kereta sports berenjin tengah.

Porsche telah mengesahkan perkara tersebut dan ianya dijangka bakal memasuki pasaran pada 2025 nanti.

Ini menjadikan 718 sebagai model EV ketiga dalam barisan Porsche selepas Taycan dan Macan. Keputusan Porsche ini sejajar dalam visinya yang menyasarkan 80 peratus daripada keseluruhan jualan merupakan EV menjelang 2030.

Menggunakan susun atur bateri serba baharu yang dikenali sebagai e-core layout, EV terbaharu dari Porsche ini akan menawarkan kedudukan pusat graviti dan tempat duduk serendah mungkin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Oliver Blume, “Apabila kami menghasilkan sesebuah model EV, kami tidak akan menggunakan platform sama seperti yang digunakan pada model enjin pembakaran dalaman.

“Kami akan membangunkan platform tersendiri dengan perkongsian beberapa bahagian atau modul dari model lain,” tambahnya lagi.

Ketua Teknikal Porsche, Michael Steiner pula berkata mereka mahu menjadikan kereta tersebut serendah mungkin bagi mengurangkan rintangan aerodinamik.

Jadi ini menyebabkan Porsche tidak akan menggunakan platform EV tradisional berbentuk papan selaju yang mempunyai bateri di bahagian lantai.

PLatform J1

Taycan merupakan model Porsche yang pertama menggunakan platform tersebut yang diberi kod J1, yang turut dikongsi bersama Audi dalam penghasilan model e-tron GT.

Tahun lalu, firma yang berpengkalan di Stuttgart itu telah mendedahkan EV konsep Porsche Mission R yang mempunyai saiz serta dimensi yang hampir sama seperti 718 Cayman dan Boxster.

EV Konsep Porsche Mission R

Syarikat pengendali berbeza, lorong SmartTag dan RFID perlu diasingkan

TEMPOH percubaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) adalah penting bagi memastikan kelancaran sistem berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, sesi percubaan dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah seperti dihadapi kebanyakan pengguna sebelum ini.

Jelas Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya memandang serius isu dihadapi pengguna dan berharap penyelesaian dapat dilakukan segera.

“Kita mengenal pasti daripada segi teknologi, pentadbiran, perundangan serta kelancaran ataupun efisiensi sistem yang ada itu dan tidak akan membebankan rakyat.

“Itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Fadillah menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya bercadang untuk sistem SmartTag dan RFID disatukan dalam lorong sama.

Tambahnya, pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza dan teknologi serta ‘reader’ (pengesan tekonologi) juga tidak sama.

“Sekiranya diletakkan dalam satu lorong, ia akan menyebabkan kecelaruan untuk mengenal pasti sistem tag yang digunakan,” katanya lagi.

Mengenai harga RFID, Fadillah berkata nilai RM35 itu merangkumi kos tag, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian.

Namun, kerajaan telah mengarahkan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos itu bagi tujuan mengurangkan harga jualan.

Perang Rusia – Ukraine: Vietnam Airlines gantung laluan ke Moscow

KONFLIK Rusia dan Ukraine menyaksikan Vietnam Airlines bertindak menggantung sementara penerbangan laluan Hanoi – Moscow.

Ia dibuat bagi menyemak prosedur, keperluan dan peraturan berkaitan insurans pesawat serta operasi penerbangan ke Rusia.

Memetik laporan Bernama, syarikat penerbangan itu akan menawarkan bayaran balik percuma kepada penumpang yang sudah membeli tiket.

Bayaran balik juga akan dibuat kepada penumpang yang menukar ke penerbangan lain apabila laluan itu disambung semula.

“Penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

“Syarikat penerbangan mengesyorkan penumpang sentiasa mengikuti maklumat terkini,” kata syarikat itu.

Vietnam Airlines merupakan syarikat penerbangan tunggal mengendalikan laluan tetap ke Rusia.

Para penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang Vietnam Airlines di www.vietnaairlines.com.

Tindakan menyerang Ukraine menyebabkan beberapa syarikat terkemuka dunia menghentikan operasi di Rusia.

Antara syarikat terbabit termasuk Toyota, Michelin dan beberapa lagi firma terlibat dalam bidang automotif.

Alami gegaran otak, Marquez belum pasti beraksi di GP Argentina

NASIB juara dunia MotoGP sebanyak lapan kali Marc Marquez terus menjadi tanda tanya pasca perlumbaan Grand Prix Indonesia minggu lalu.

Susulan kemalangan ketika sesi warm up di Litar Antarabangsa Mandalika, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau double vision.

Portal motogp.com melaporkan pelumba asal Sepanyol itu kini mendapatkan rawatan di Barcelona bersama pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau.

Dr Sanchez mengesahkan masalah dihadapi Marquez sama seperti dilaluinya dalam kemalangan pada tahun 2011.

Sementara itu, Marquez meminta semua peminatnya bertenang sambil berharap masalah kesihatan dihadapi tidak menjejaskan kempen perlumbaan musim ini.

“Saya mula mengalami ketidakselesaan dengan penglihatan dan kami memutuskan bertemu Dr Sanchez.

“Nasib baik keadaan kini kurang teruk berbanding kecederaan yang saya alami pada penghujung tahun lalu. Terima kasih semua di atas sokongan anda,” katanya.

Pada perlumbaan di Mandalika, Marquez terbabas ketika pusingan warm up yang menyaksikan pelumba itu melayang ke udara.

Beliau kemudian disahkan tidak dapat berlumba kerana mengelami gegaran otak sebelum diterbangkan ke hospital di Lombok.

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya sama ada Marquez dapat beraksi pada pusingan ketiga MotoGP di Argentina minggu depan.

Hino dan MARA bekerjasama hasilkan tenaga kerja mahir MRO kenderaan komersial

Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bertujuan meningkatkan pembangunan dari segi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan dalam industri automotif.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama dan Ketua Pengarah MARA, Dato Azhar Abdul Manaf.

Perkongsian strategik antara Hino dan MARA ini bertujuan untuk membangunkan program tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kenderaan komersial.

Selain itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pertumbuhan industri automotif dan menggalakkan perkongsian pengetahuan serta teknologi.

Menurut Datuk Seri Panglima Hajah Azizah, kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada MARA dan HINO, malah ianya akan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri automotif terutamanya bidang MRO di samping menghasilkan tenaga kerja berkemahiran untuk masa hadapan.

Atsushi Uchiyama pula berkata, “MARA merupakan pelanggan setia kami sejak tertubuhnya HINO di Malaysia pada tahun 1977 lagi.

“Di HINO, kami mengalu-alukan kolaborasi sebegini dalam membuka peluang serta potensi baru industri automotif di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman,” tambahnya lagi.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis tandatangan MoU ialah Pengerusi MARA Datuk Seri Panglima Hajah Azizah dan Pengarah HINO, Ahmad Yasmin Yahya.

Nissan GT-R dihenti pengeluaran di Eropah kerana peraturan emisi

NISSAN GT-R R35 telah mula dilancar pada 2007 dan masih dikatakan antara supercar paling berupaya di dunia.

Penggantinya pula masih belum jelas tetapi Nissan telah pun menghentikan pengeluaran dan penawaran GT-R di beberapa pasaran seluruh dunia.

Selepas Australia menamatkan jualan GT-R disebabkan peraturan kemalangan lebih ketat, nampaknya Eropah pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Godzilla ini.

Menurut Autoblog.nl, GT-R tidak lagi boleh didapati di banyak negara-negara Eropah. Walaupun masih didapati di Jerman dan Belgium contohnya, pengedar-pengedar di Belanda, Itali, Sepanyol dan beberapa negara lain tidak lagi menerima tempahan GT-R.

Media Belanda itu juga mendapat pengesahan dari Nissan bahawa supercar itu akan meninggalkan terus pasaran Eropah – sekurang-kurangnya buat masa ini – disebabkan standard emisi/pelepasan yang semakin ketat.

Mereka juga menyatakan bahawa GT-R sudahpun cukup mahal untuk dimiliki di negara itu dan agak susah untuk pengedar menjualnya.

Kali terakhir ia dijual di Belanda, harga permulaan GT-R ialah 183,000 Euro (lebih RM850k) manakala GT-R Nismo bermula pada 303,000 Euro (lebih RM1.4 juta).

Untuk pasaran lain seperti di Amerika Syarikat, Nissan GT-R akan masih ditawarkan dan secara perbandingan menerus, harganya masih lebih rendah berbanding di Eropah.

Kes Ford Ranger langgar kereta mewah, 10 individu lagi dipanggil polis

POLIS bakal memanggil sepuluh individu dipercayai terlibat dalam insiden kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Ketua Polis Johor berkata, kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

“Mereka yang terlibat akan dipanggil termasuk pemandu yang kita sudah tahan dan juga mereka yang berkaitan.

“Pemandu perempuan itu sudah membuat laporan polis mendakwa dia dipukul.

“Kita juga dapati pemandu wanita itu tidak mabuk, dia mungkin panik,” kata Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sebelum ini, polis menyiasat insiden dipercayai melibatkan kesalahan memandu secara melulu, memukul pemandu wanita dan membuat halangan di jalan raya.

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan pemandu wanita pacuan empat roda mendakwa dirinya dipukul kumpulan konvoi tersebut.

Semalam, tular di media sosial menunjukkan kereta pacuan empat roda Ford Ranger melanggar sebuah kereta mewah berhampiran susur keluar Sedenak.

Ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun berasal dari Yong Peng itu ditahan kira-kira 1 pagi untuk siasatan lanjut setelah hadir menyerah diri di balai polis.

Wanita itu direman selama tiga hari dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda jika disabit kesalahan.

Toyota sedang bangunkan GR Yaris dengan transmisi automatik 8-kelajuan

TOYOTA dilaporkan telah membuat ujian transmisi automatik lapan-kelajuan untuk GR Yaris. Naib Pengerusi Toyota Motor Corporation, Shigeru Hayakawa turut terlibat sebagai pemandu pembangunan bagi transmisi baharu ini.

GR Yaris dengan nombor 109 dilaporkan telah menyertai Toyota GAZOO Racing Rally Challenge pusingan satu di Akitakata, Jepun pada 13 Mac lalu.

Transmisi automatik ini merupakan rekaan baharu sepenuhnya dengan lapan kelajuan menggunakan torque converter.

Pertukaran transmisi pula menggunakan gear planetary yang mana nisbah gearnya telah diletakkan secara bersilang.

Transmisi automatik yang dibangunkan ini tidak hanya memfokuskan kepada penjimatan bahan api malah turut memberikan pengalaman menyeronokkan dalam pertukaran gear yang pantas dan selesa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Akio Toyoda, GR Yaris pada asalnya merupakan sebuah kereta sports dengan transmisi manual.

“Akan tetapi transmisi automatik baharu yang digunakan dalam perlumbaan tersebut turut memberikan aksi yang kompetitif.

“Mungkin penggunaan transmisi automatik pada hadapan akan lebih baik berbanding manual,” tambahnya lagi.

Transmisi baharu lapan kelajuan ini boleh menukar gear menggunakan paddle shift namun menurut pasukan pembangunan projek ini, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan pertukaran gear lebih pantas pada posisi D semata-mata.

Demi keselamatan, had laju sekitar KL mungkin turun sehingga 30 km/j

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal membentangkan cadangan penurunan had laju di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, bulan depan.

Cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan penurunan had laju sehingga 30 km/j dan 50 km/j.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, jika segala cadangan mendapat reaksi positif maka ia dijangka akan dilaksana pada bulan September.

“Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini.

“Kawasan terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60 km/j dan 40 km/j.

“Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70 km/j dan 80 km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sebelum ini, cadangan penurunan had laju sekitar ibu negara mendapat perhatian di parlimen.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya bertanyakan mengenai pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS melaksanakan had laju kenderaan 30 km/j hingga 50 km/j di kawasan terpilih.

Antara negara yang mengamalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j adalah Perancis.

Pelaksanaan pada Ogos tahun lalu itu melibatkan kawasan sekitar Paris.

Terdahulu, Jalaluddin memaklumkan DBKL menyambut baik cadangan awal MIROS demi keselamatan pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki.

Jual 60,419 kenderaan pada Feb, Chery sasar ‘tawan’ pasaran global

SYARIKAT pengeluar kenderaan nombor satu China Chery berjaya memasarkan lebih 60,419 produknya pada Februari tahun ini.

Chery dalam satu kenyataan berkata, ia meningkat 26.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

“Chery menjual sebanyak 60,419 kenderaan pada Februari…termasuk 19,997 unit di luar China,” katanya.

Jualan Chery bagi dua bulan pertama 2022 mencecah 147,459 kenderaan termasuk yang dieksport iaitu sebanyak 46,897 kenderaan.

Chery Tiggo 2 antara model mendapat permintaan tinggi. – Foto ihsan Chery International

Walaupun berdepan masalah kekurangan cip, Chery International berjaya mengembangkan pemasarannya menerusi pelancaran produk dan teknologi baharu.

Apa yang lebih membanggakan, syarikat itu juga memiliki enam pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Selain itu, Chery memiliki sepuluh pusat pengeluaran dan lebih 1,500 pusat jualan dan servis di luar China.

Chery semakin ke hadapan dengan mengutamakan rekaan mewah. – Foto ihsan Chery International

Hal ini menyaksikan kapasiti pengeluaran Chery di luar China mencapai 200,000 unit setahun. 

Kekal sebagai pengeksport kenderaan penumpang nombor satu China selama 19 tahun berturut-turut, Chery kini menyasarkan eksport tahunan mencecah 400,000 kenderaan.

Setakat ini, terdapat lebih 10 juta pengguna Chery termasuk dua juta di luar China.