Penguasa Terusan Suez (SCA) dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa kadar tol transit Terusan Suez akan meningkat bermula tahun depan.
Peratusan kenaikan kadar tol transit adalah 15 peratus bagi semua jenis kapal dan 10 peratus bagi kapal pukal kering dan kapal persiaran.
Menurut SCA, punca utama kenaikan kadar tol transit di sepanjang terusan tersebut berpunca daripada kenaikan harga tenaga, kadar pengangkutan dan kadar sewa harian untuk kapal, yang dijangka akan berterusan hingga tahun depan.
Terusan Suez merupakan salah satu laluan perkapalan yang terpenting di dunia yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah.
“Kenaikan (tol) tidak dapat dielak dan perlu dilaksanakan berikutan inflasi global semasa, yang memberikan kesan kepada peningkatan kos operasi dan kos perkhidmatan pelayaran yang disediakan di terusan itu,” kata Pengerusi SCA Ossama Rabiee.
Tambah beliau lagi, SCA menyelaraskan kadar tol melalui mekanisme jelas merangkumi perubahan dalam pasaran pengangkutan maritim. Walaupun berdepan kenaikan, Ossama berkata terusan itu kekal sebagai laluan paling cekap dan paling murah berbanding laluan alternatif.
PENGELUAR kereta nasional Proton kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan, kira-kira 10 tahun selepas ia keluar dari pasaran itu.
Pelancaran semula jenama itu berlaku pada acara yang dianjurkan oleh Combined Motor Holdings (CMH), pengedar rasmi Proton, serentak dengan pelancaran tempatan X70 dan X50.
Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati dalam versi CBU di negara itu dan kemudiannya akan disertai oleh Saga pada awal tahun 2023.
Semasa pelancaran, Jebb McIntosh, Ketua Pegawai Eksekutif CMH berkata, “Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya kerana kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan.
Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa di sini.”
Tambah Jebb lagi, CMH merancang itu membuka 25 pusat pengedaran dalam tempoh enam bulan. Setakat ini, sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal.
Jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaan Proton. Di samping menuntut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif Malaysia, Proton juga ingin mengeksploitasi potensi yang terpendam dalam pasaran antarabangsa bagi menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini.
Bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9 peratus berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.
“Proton sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami. Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Mengenai matlamat syarikat, Roslan berkata Proton mensasarkan untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini di samping mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara.
NAMPAKNYA, pantang ada jalan atau lebuh raya baharu di Malaysia ini, seolah-olah wajib pengguna jalan raya berhenti mengambil gambar, kemudian berlaku kemalangan.
Dan ya, kemalangan pertama telah berlaku di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE), hanya selepas dua hari lebuh raya itu dibuka.
Ia membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira jam 2:45 petang itu menyebabkan penunggang motosikal itu cedera.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan telah berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mengambil gambar,” katanya.
“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang sebelum melanggar kereta terbabit,” tambahnya.
Beliau berkata, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.
Katanya, ini adalah kes kemalangan yang pertama berlaku di Lebuhraya SUKE sejak ia dibuka bermula 16 September lalu.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan,” ujar beliau.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.
“Selain itu, tindakan individu sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Tindakan terbabit boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kemalangan jiwa,” tegasnya.
SUBARU telah memperkenalkan Crosstrek generasi baharu di Jepun. Dengan model generasi ketiga ini, nama XV yang digunakan di beberapa pasaran termasuk Malaysia telah digugurkan, bermakna ia akan dikenali sebagai Crosstrek di peringkat global.
Untuk model tahun 2023, SUV kompak ini masih lagi mengguna pakai platform Subaru Global Platform (SGP) namun ia diberikan reka bentuk yang lebih segar, pengendalian lebih selesa serta beberapa teknologi baharu termasuk trenkuasa hibrid.
Dari segi saiz, model baharu ini mempunyai ukuran panjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,580 mm, menjadikan ia 15 mm lebih panjang dan 35 mm lebih rendah berbanding model sedia ada. Panjang tapak roda pula bertambah sebanyak 5 mm kepada 2,670 mm.
Sementara itu, jarak lega tanah adalah 200 mm, manakala radius pusingan adalah sekitar 5.4 meter.
Perubahan terbesar reka bentuk Crosstrek boleh dilihat pada bahagian depan, di mana ia mendapat gril heksagon lebih besar yang bersambung dengan lampu LED yang lebih langsing, serta kemasan plastik hitam berbentuk C pada bampar.
Profil sisinya tidak begitu berbeza, cuma ia diserlahkan lagi dengan kemasan plastik hitam seperti yang terdapat pada WRX dan pilihan rim aloi berukuran 17 atau 18 inci. Di belakang, lampu berbentuk C dan pintu tailgate diberikan rekaan yang lebih menonjol.
Masuk ke dalam, anda akan menemui papan pemuka yang direka semula bagi memuatkan skrin sistem infohibur berukuran 11.6 inci yang disusun dalam format potret. Bagaimanapun, ia masih tidak mendapat kluster instrumen digital.
Selain itu, Crosstrek didatangkan dengan kerusi baharu yang dikatakan lebih selesa dengan fungsi sokongan tulang pinggul. Struktur tapak kerusi juga telah direka semula bagi mengurangkan gegaran, sekaligus meningkatkan keselesaan.
Subaru turut menggunakan bahan penyerap gegaran pada panel bumbung bagi mengurangkan tekanan bunyi yang terhasil daripada gegaran dan meningkatkan prestasi redaman bunyi di dalam kabin.
Di bawah bonet, terdapat enjin hibrid 2.0-liter e-Boxer yang digandingkan dengan transmisi Lineatronic CVT dan sistem pacuan AWD Symmetrical. Jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan namun menurut Subaru, trenkuasa itu telah ditambah baik bagi mengurangkan gegaran dan bunyi bising.
Untuk keselamatan pula, Crosstrek mendapat sistem EyeSight generasi baharu yang menggunakan perisian baharu dan kamera mono sudut lebar yang boleh mengesan motosikal dan pejalan kaki.
MASIHKAH anda ingat akan lakaran konsep Proton Saga Knight versi moden yang kami paparkan pada 31 Ogos 2021 sempena sambutan Hari Merdeka ke-64? Ianya hasil karya Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS Berhad.
Kali ini, beliau mendedahkan karya terbaharunya iaitu Proton SAGA88. Menariknya, SAGA88 ini mengambil inspirasi Seoul Vibe, iaitu sebuah filem berbahasa Korea yang sedang ditayangkan di Netflix bermula 26 Ogos.
Projek ini juga hasil kerjasama beliau dengan Netflix Malaysia sebagai usaha mempromosikan filem itu. Untuk pengetahuan, Seoul Vibe mengisahkan pemandu dari pasukan Sanggye-dong Supreme Team yang cuba membongkar skandal panggubahan wang haram semasa Sukan Olimpik Seoul 1988.
Menurut Netflix, budaya kereta seperti modifikasi dan perlumbaan mempunyai peminat yang kuat di Malaysia. Jadi ini antara sebab mereka bekerjasama dengan Saharudin bagi membayangkan semula Proton Saga yang menjadi ikon Malaysia, tetapi mengikut tema filem Seoul Vibe.
Proton Saga ini juga boleh dikatakan sebagai ‘period correct’ kerana ia juga dikeluarkan pada 1985, iaitu sebelum Sukan Olimpik Seoul 1988. Jadi, jika Proton Saga ditampilkan dalam filem itu, agaknya beginilah rupanya.
Pada asalnya, Netflix menugaskan Saharudin untuk menghasilkan beberapa rekaan 2D Proton Saga sebelum mereka memilih rekaan terbaik untuk ditampilkan. Kemudian, barulah Saharudin beralih ke fasa rekaan 3D.
Jika dilihat, Proton SAGA88 ini hadir dengan warna merah (mungkin Merah Saga?) lengkap dengan elemen retro seperti pelekat badan “88”, rim berwarna putih, dan penutup plastik berlapis di cermin belakang.
SAGA88 ini juga pastinya mampu bersaing dalam perlumbaan Seoul Vibe kerana ia nampak cukup sporti dengan kit badan penuh, skup di hud depan, dan spoiler besar di belakang.
Apa pendapat anda mengenai rekaan Proton SAGA88 ini?
SEJAK penubuhannya, Chery amat komited terhadap menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi pengguna global melalui pendekatan ‘user-centric’, ataupun mengutamakan pengguna, bagi terus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kepuasan pelanggan.
Chery mengamalkan kaedah pengurusan penyelidikan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) untuk memastikan sejauh mana perkhidmatannya memenuhi keperluan dan kehendak sebenar pelanggan.
Menerusi reka bentuk tinjauan yang teliti, persediaan pra-selidik serta pelaksanaan dan penambahbaikan berterusan, Chery mendekati para pelanggan dengan lebih mendalam, memahami gaya hidup, keperluan dan kehendak mereka secara menyeluruh, dan memanfaatkan pengetahuan ini untuk meningkatkan pengalaman dan kesetiaan pelanggan.
Ruang kabin Tiggo 7 Pro
Selain mendengar isu pelanggan melalui penyelidikan aktif, Chery juga telah membangunkan saluran perkhidmatan atas talian bagi membolehkan tindakbalas dan penyelesaian yang cepat. Platform data OTA (over-the-air) bukan sahaja boleh mendiagnosis kenderaan secara bijak dari jauh, malah menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian dalam cloud.
Aplikasi mudah alih global yang beroperasi 24 jam juga membolehkan respon pantas kepada isu pelanggan, selain membolehkan mereka membuat janji temu servis dengan mudah.
Maklumbalas pelanggan di media sosial juga sentiasa dipantau, ditambah dengan tindakbalas cepat daripada pasukan selepas jualan Chery bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan.
Outlet Chery di Brazil
Pasukan teknikal global Chery menjadikan perusahaan automotif terkemuka dunia sebagai penanda aras, dan sejak 2002, syarikat tersebut telah menganjurkan pelbagai pertandingan kemahiran servis global yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pekerja teknikal dan mencungkil bakat berkualiti tinggi.
Bakat-bakat teknikal dari Brazil, Chile, Argentina, Mesir serta negara-negara lain bersaing di pentas yang sama, mencerminkan daya saing global Chery dalam bidang teknologi dan perkhidmatan selepas jualan.
Kepuasan pelanggan tidak hanya dicapai melalui penyelesaian isu. Di peringkat global, Chery berusaha keras untuk mengadaptasikan perkhidmatannya mengikut pasaran, termasuk mewujudkan identiti korporat bagi ruang istirahat tetamu yang mengambil kira adat dan tradisi tempatan, membawakan pengalaman perkhidmatan peringkat VIP kepada para pengguna di seluruh dunia.
Pada Julai, JD Power telah mengeluarkan keputusan 2022 China Sales Service Satisfaction Study (SSI) dan Chery sekali lagi menduduki tempat kedua dari segi kepuasan jualan di kalangan jenama China.
Dalam 2022 New Car Attractiveness Index Survey Report JD Power yang dikeluarkan Ogos lalu, Chery meningkat lapan kedudukan ke tempat ke-15 dalam kalangan jenama arus perdana – Arrizo 6 Pro menjuarai kategori sedan saiz pertengahan manakala Tiggo 8 Pro Max menduduki tempat kedua dalam segmen SUV saiz pertengahan.
Dengan pencapaian ini, syarikat tersebut telah membina reputasi yang kukuh di kalangan pengguna global sebagai syarikat yang mengamalkan pendekatan perkhidmatan yang mesra dan mengutamakan pengguna.
Chery akan memanfaatkan pengalaman global ini untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi rakyat Malaysia, mengutamakan pengguna melalui rangkaian jualan dan selepas jualan baharu di seluruh negara, serta menawarkan polisi servis yang kompetitif.
BAJET 2023 disaran hapus cukai jalan ekoran pemilik kenderaan kini berdepan sistem cukai berlapis-lapis.
Kerajaan disaran supaya menghapuskan cukai jalan bagi meringankan beban rakyat memandangkan sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada ketika ini berkonsepkan ‘cukai atas cukai’.
Muhammad Zahid Md Arip. Gambar oleh: Parlimen Malaysia
Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip berkata, pada ketika ini pemilik kenderaan berdepan dengan sistem cukai yang berlapis-lapis seperti duti import, cukai eksais, cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta cukai jalan.
“Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari.
“Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk Perdana Menteri menggembirakan rakyat.
“Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.
Menurut beliau, cadangan tersebut dilihat memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan kerajaan secara keseluruhan.
“Saya sedar cadangan ini akan mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan sekitar RM3 bilion setahun, tetapi ia bukanlah satu jumlah yang terlalu besar berbanding manfaat lebih banyak yang bakal diperoleh rakyat serta kerajaan secara keseluruhannya, apatah lagi ketika gendang pilihan raya umum semakin kuat dipalu ketika ini.
“Kerajaan sebenarnya boleh melihat dan mempelajari dari United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan hal ini, yang mana negara itu sudah menghapuskan cukai jalan sejak 2015 dan hanya mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan.
“Bagi menampung kehilangan hasil akibat penghapusan cukai jalan ini pula, kerajaan boleh menimbangkan untuk mengurangkan subsidi minyak dan kaedah ini sebenarnya lebih adil kepada rakyat dan kerajaan, kerana ia bersifat bersasar terus kepada pengguna yang layak khususnya daripada kumpulan B40,” ujarnya.
Ujar beliau, rakyat masih lagi belum bangkit daripada kesan ekonomi pasca pandemik Covid-19, terutamanya bagi mereka yang hilang pekerjaan sebelum ini.
MUDAH untuk kita berasa bangga apabila melihat kereta nasional kita di luar negara, dan terbaharu, sebuah Proton Satria GTi tetapi bukan di sebarangan tempat. Sebaliknya di litar yang mendapat jolokan The Green Hell, tidak lain lagi iaitu Nurburgring Nordschleife, Jerman.
Lebih menarik lagi, ia bukan dipandu oleh warga asing, tetapi rakyat Malaysia sendiri!
Perkara ini dikongsi oleh pemiliknya iaitu Danial Khairi yang berhubung dengan Engear baru-baru ini. Menurut Danial, dia melawat dan memandu Satria GTi miliknya di litar Nurburgring itu pada 5 September lepas.
“Ini kali pertama saya memandu Satria GTi di sini, dan sudah lama mengimpikannya, sejak lima tahun lepas,” katanya.
Dia memandu Satria GTi itu dalam sesi Nurburgring Touristfahrten (pemanduan pelancong) dimana semua pemandu boleh membawa masuk apa jua kenderaan mereka ke dalam litar dengan bayaran mengikut jumlah pusingan.
“Asalkan kereta kita selamat dipandu, ada kelulusan penuh dari pemeriksaan Tüv. Tüv ni macam Puspakom di Malaysia,” terangnya.
Ianya bukan perlumbaan, malah anda perlu mematuhi undang-undang jalan-raya biasa semasa di dalam litar. Sebagai contoh, hanya potong di sebelah kiri (kerana stereng kereta di bahagian kiri). Cuma sudah tentu tiada had laju.
“Jadi, kami tak ambil catatan masa. Sesi ini bertujuan untuk memahami karakter kereta masing-masing.
“Lagipun kalau semua nak kejar masa, nanti kurang toleransi dan tiada beri ruang kepada pemandu lain,” tambahnya.
Danial melawat litar itu bersama dua rakannya iaitu Ruben dan Jochem. Tambahnya, bayaran dikenakan adalah 25 Euro (RM113) untuk satu pusingan.
Tetapi disebabkan kami ingin tahu juga anggaran catatan masa, Danial berkongsi bahawa keretanya mencatatkan masa kira-kira 11 minit.
“Tengok video catatan masa ditambah dengan masa untuk beri ruang kepada pemandu lain, dalam 11 minit. Kalau litar kosong dan tekan sehabisnya, mungkin boleh bawah 10 minit,” kata Danial.
11 minit sebenarnya agak bagus untuk pemanduan separa santai di litar sepanjang 20.83km dengan 160 selekoh itu.
Untuk konteks, kereta pacuan roda-depan terpantas di litar itu adalah Renault Megane RS Trophy R dengan catatan 7 minit 40.1 saat, rekod dibuat pada 2019.
Berkenaan modifikasi atau naik taraf pada GTi miliknya, Danial berkata tiada modifikasi serius melainkan tayar Nankang NS-2R dan sistem ekzos Gestec buatan Jerman.
“Saya sengaja tak ‘setup’kan kereta kerana nak tengok potensi dan prestasi asal suspensi talaan Lotus dan Proton.
“Ini kerana konsep di sebalik kereta ini adalah hot hatch yang boleh dipandu setiap hari termasuk di salji, jarak jauh, jalan berbukit, berselekoh, dan di litar.
“Di Nurburgring, terbukti pengendalian buat masa sekarang adalah memuaskan,” kata Danial.
Syabas, Danial! Dan teruskan bawa Satria GTi ini ke merata-rata kawasan di Eropah agar lebih ramai penduduk di sana tahu mengenai model ikonik Proton ini.
HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa ia akan melancarkan Hyundai Staria versi 10 tempat duduk pada suku keempat tahun ini.
MPV dengan rekaan ala kapal angkasa lepas itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max, dengan harga jualan yang dijangka bermula dari RM17X,XXX.
Ia kini sudah boleh ditempah di mana-mana bilik pameran Hyundai atau secara dalam talian menerusi platform Cl!ck to Buy dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.
Untuk perbandingan, varian tujuh tempat duduk boleh didapati dalam satu varian sahaja iaitu Premium dan dijual pada harga bermula dari RM358,888.
Menurut Low Yuan Lung, Pengarah Urusan HSDM, Staria 10 tempat duduk merupakan model MPV yang ditunggu-tunggu selepas pengenalan varian tujuh tempat duduk pada Oktober tahun lalu.
“Kami mendapat pertanyaan mengenai varian 10 tempat duduk kerana terdapat jangkaan bahawa ia akan menggantikan Starex. Seperti Starex, varian ini sesuai untuk keluarga besar, pengendali pelancongan dan perniagaan namun dengan lebih banyak peningkatan dan kefungsian dalam setiap aspek berbanding Starex,” kata beliau.
Secara umumnya, Staria 10 tempat duduk ini tidak ubah seperti varian tujuh tempat duduk cuma ia mempunyai empat barisan tempat duduk yang dibentangkan dalam konfigurasi 2-3-2-3.
Barisan belakang boleh dilipat rata sepenuhnya (full-flat), menjadikan model ini sesuai untuk aktiviti-aktiviti yang memerlukan banyak ruang dan fleksibiliti seperti perkhemahan, serta untuk mengangkut barangan.
Selain itu, ia juga dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.2-liter CRDi yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.
BMW Malaysia hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan pada BMW M850i xDrive Coupe, kira-kira empat tahun selepas ia dilancarkan di pasaran Malaysia.
Kini digelar sebagai M850i xDrive Coupe MY Edition, model itu mendapat pencahayaan ‘Iconic Glow’ yang merangkumi unit-unit LED pada bilah gril kidney. Menurut BMW, ciri baharu ini menawarkan teknik pencahayaan umpama air yang mengalir.
Profil sisi jentera ini diserlahkan lagi menerusi rim aloi ringan M berukuran 20 inci yang didatangkan dengan kemasan 895 M Bicolour. Sebagai penyudah, pakej M Performance, M Lights Shadowline dan M Shadowline turut disertakan.
Untuk bahagian dalaman pula, M850i xDrive Coupe MY Edition kini dilengkapi dengan paparan kawalan beresolusi tinggi yang lebih besar berukuran 12.3 inci. Kerusi M Sport untuk pemandu dan penumpang depan juga disertakan secara standard, begitu juga dengan kemasan Carbon Fibre M dan kawalan electroplated pada keempat-empat pintu.
Untuk kemudahan, model ini hadir dengan penyaman udara automatik dwi zon, manakala elemen hiburan dibekalkan oleh sistem bunyi keliling Bower & Wilkins Diamond. Bukan itu sahaja, sistem penggera turut disediakan bagi meningkatkan ciri keselamatan di dalam kenderaan.
Penawaran warna luaran untuk M850i xDrive Coupe MY Edition termasuklah BMW Individual Frozen Pure Grey Metallic dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue Metallic.
Sementara itu, upholsteri ruang dalaman pula BMW Individual Extended Leather Trim Merino, dengan pilihan warna seperti Black, Cognac, Ivory White, Night Blue, Tartufo dan Fiona Red.
Harga jualan, dengan Inklusif Servis dan Pembaikan BMW serta cukai jualan dan perkhidmatan, adalah RM1,102,800.
Setiap pemilik juga akan mendapat pakej waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun, program servis berjadual percuma, pakej bantuan tepi jalan dan talian kemalangan BMW, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+, kad keistimewaan BMW dan servis dalam talian.
INI bukan sahaja SUV pertama dari Ferrari, tetapi juga kereta pertama dengan empat-pintu dari Maranello. Diberi nama Purosangue, ia mendapat penggayaan moden Ferrari terkini seperti Roma, 296 GTB, SF90 dan 812 Superfast.
Tetapi harus diingat, Ferrari tidak mahu anda panggil Purosangue ini sebagai SUV. “Kami tidak memanggilnya SUV”, kata CEO Ferrari, Benedetto Vigna. “Kita langsung tida bercakap mengenai SUV.” Baiklah.
Tetapi betul juga, bentuk Purosangue ini lebih kepada kereta sports empat pintu yang sedikit tinggi. Garis-garis dan bentuk pada badannya memang sleek dan sporti.
Di dalam hud yang panjang di depannya, tersimpan enjin 6.5-liter V12 naturally-aspirated yang duduk agak rapat dengan ruang kabin, memberikan Purosangue ini keseimbangan depan-ke-belakang 49/51.
Kuasa adalah 715hp dan menariknya, tork juga 715Nm. Enjin ini memberikan 80 peratus torknya pada 2,100rpm, kuasa maksima pada 7,750rpm, dan enjin ini mampu rev sehingga 8,250rpm.
Output disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua-roda baharu dan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan. Sistem pacuan semua-roda ini memutuskan pacuan roda depan dalam gear keempat atau kira-kira 200km/j.
Bumbungnya diperbuat dari gentian karbon untuk merendahkan titik graviti. Pintu belakangnya boleh dibuka sehingga 79 darjah, penting untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk memandangkan ruang belakangnya tidak begitu besar.
Harga untuk Ferrari Purosangue bermula kira-kira USD400,000 (RM1.8 juta) dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula awal 2023.
ACARA finale Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima yang akan berlangsung pada 24 dan 25 September di Litar Antarabangsa Sepang bakal menyaksikan kemunculan tarikan baharu iaitu festival di atas bumbung paddock.
Seperti sebelum ini, acara Toyota Gazoo Racing Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge dibuka kepada umum namun kemasukan ke festival atas bumbung tersebut akan dihadkan kepada 2,000 pengunjung pertama yang mendaftar secara atas talian.
Antara acara menarik yang menanti 2,000 pengunjung tersebut adalah sesi ‘meet and greet’, pameran dan jualan cenderahati Gazoo Racing dan Toyota, dua konsert utama, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti keluarga.
Konsert tersebut akan menampilkan dua selebriti yang menyertai Vios Challenge iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali, serta persembahan rap daripada K-Clique pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula, pengunjung akan dihiburkan oleh barisan artis hebat seperti Khai Bahar, Ella dan kumpulan Dolla.
Sementara itu, acara cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk empat buah iPhone 13 Mini, dua iPad dan dua jam tangan Apple Watch Series 7. Turut akan diadakan adalah aktiviti di atas litar termasuk ‘track day’ untuk kelab-kelab pemilik Toyota yang terpilih.
Untuk pusingan akhir musim kelima, Vios Challenge akan diadakan pada waktu malam. Gelaran juara untuk kelas Promotional sudah tentu akan menjadi rebutan antara Zizan Razak dan Shukri Yahaya selaku juara bertahan.
Sementara itu, kelas Rookie pula akan menyaksikan pertarungan hebat antara dua pelumba simulator muda iaitu Nabil Azlan dan Muhammad Hamdany Abdul Hamid.
Dalam kelas Sporting, Naquib Azlan dari Axle Motorsports, yang merupakan juara keseluruhan kelas Rookie tahun lalu, berharap kelebihan yang dimiliknya selepas memenangi tiga perlumbaan sebelum ini cukup untuk memberikan gelaran juara kedua berturut-turut.
Saingan dalam kelas Super Sporting tidak kurang hebatnya, dengan empat pemandu masih lagi berpeluang untuk merampas takhta juara. Mereka adalah Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, Mark Darwin, Eddie Liew dan Freddie Ang.
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan harga rasmi bagi dua model elektrik di bawah payung Mercedes-EQ iaitu EQB 350 4Matic dan EQC 400. Kedua-dua model ini diperkenalkan buat pertama kali bersama dengan EQS 450+ pada 22 Julai lalu.
EQB 350 4Matic dijual pada harga bermula dari RM328,888 manakala EQC 400 pula berharga RM388,888. Harga-harga yang disebutkan adalah harga atas jalan (on-the-road) tidak termasuk insurans.
Merupakan EV mewah pertama di Malaysia yang menawarkan tujuh tempat duduk, EQB 350 4Matic tampil dengan kemasan luaran Electric Art, rim aloi berukuran 19 inci, rel bumbung aluminium dan lampu depan LED High Performance.
Bahagian dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Artico dan fabrik Cupertino dalam warna dwi tona Rose Gold dan Titanium Grey Pearl, serta balutan kulit nappa pada stereng. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access, pendingin hawa Thermotronic dan Easy-Pack Tailgate.
Untuk trenkuasa pula, model ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 423 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 10% hingga 80% kuasa bateri mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW atau 32 minit dengan pengecas pantas DC berkapasiti 100 kW.
Sementara EQC 400 pula tampil agresif dengan kit badan AMG Line, rim AMG multi-spoke berukuran 20 inci dan pemijak sisi aluminium. Turut disertakan secara standard adalah lampu depan Multibeam LED dan pengelap cermin automatik dengan sensor hujan.
Ruang dalaman mengekalkan tema sporty AMG menerusi paddle shifter Direct Select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka. Bagi menambah lagi keselesaan, ia juga mendapat cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar empat hala.
EQC 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 80.0 kWh yang dikatakan cukup untuk memberikan jarak pemanduan antara 373 km hingga 437 km. Dari segi prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.
MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini meraikan kejayaan mencatat jualan yang ke-100,000 unit bagi Mitsubishi Triton di pasaran Malaysia.
Sejak penubuhan syarikat pada 2005, trak pikap Triton telah menjadi asas bagi perniagaan Mitsubishi Motors dan memberikan manfaat kepada pelanggan dari segi pengendalian, prestasi, keselamatan dan harga jualan kompetitif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.
Tahun lalu, Triton mengekalkan pegangan pasarannya sebanyak 22 peratus walaupun berdepan pandemik dan saingan sengit daripada pesaing-pesaingnya. Jualan trak pikap itu mencecah 9,268 unit pada 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi meraikan kejayaan bermakna ini, MMM menghadiahkan diesel percuma untuk 100,000 km bernilai RM27,000 kepada pemilik Triton yang ke-100,000 iaitu Muhammad Faerus.
Bersempena dengan sambutan ini juga, Mitsubishi Motors akan mengadakan peraduan ‘100,000 Triton Ambitions’ bermula 14 September ini yang terbuka kepada semua pemilik Triton.
Mereka yang berminat hanya perlu mengisi borang kaji selidik peraduan dan menghantar sekeping gambar untuk salah satu atau keempat-empat kategori berikut:
The Stylo King – aktiviti riadah yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
Tough Champ – pengalaman paling sukar dengan Triton
Extreme Adventurer – perjalanan jarak jauh yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
Mod Hero – Triton yang dimodifikasi yang paling cool
Pemenang dari setiap kategori akan membawa pulang diesel untuk 25,000 km bernilai RM7,000 setiap satu.
PAGANI telah mempertontonkan kepada dunia hasil terbaharu mereka iaitu Utopia. Hypercar ini merupakan versi produksi untuk C10.
Menurut Pagani, untuk menghasilkan Utopia ini, mereka telah bertanya kepada pelanggan-pelanggan sedia ada. Mereka meminta tiga benda: keringkasan, keringanan, dan keseronokan memandu.
Pagani Utopia dikuasakan oleh enjin 6.0-liter V12 dengan sudut 60 darjah. Enjin yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG ini menghasilkan 852hp pada 6,000rpm dan 1,100Nm tork dari 2,800 hingga 5,900rpm.
Pemilik boleh memilih antara manual automated 7-kelajuan yang mana Pagani berkata merupakan kotak gear dengan penukaran terpantas dengan gear helical. Terdapat juga pilihan manual sebenar dengan pedal klac, juga 7-kelajuan. Kuasa disalurkan ke roda belakang dengan differential elektro-mekanikal.
Berbanding dengan Huayra dan Zonda, Utopia ini mempunyai rekabentuk minimalistik. Pagani meletakkan elemen aerodinamik aktif dengan ringkas untuk menampakkan badan yang tidak keterlaluan.
Pagani Utopia ini dibina pada struktur Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62, manakala sub-bingkai depan dan belakang adalah besi Chromoly.
Badannya pula dibina dari bahan yang menurut Pagani, “gentian karbon A-class jenis baharu” yang 38 peratus lebih tegar tetapi mempunyai berat yang sama dengan bahan sebelumnya.
Ekzos quad dengan balutan seramik mempunyai berat cuma 6kg, dan kesemua bahan-bahan ringan ini menjadikan Utopia cuma seberat 1,280kg. Cukup ringan untuk sebuah hypercar.
Untuk suspensi, Utopia menggunakan double-wishbone dengan aluminium kukuh dan penyerap hentak dengan kawalan elektronik. Brek pula adalah Brembo karbon-seramik dengan 6-piston di depan dan 4-piston di belakang.
Rim depan dan belakang masing-masing berukuran 21-inci dan 22-inci. Rim-rim ini mempunyai ekstraktor gentian-karbon berbentuk turbin untuk ‘menyedut’ udara panas dari brek. Sementara itu tayar Pirelli mempunyai bentuk Utopia pada dinding tepinya.
Di bahagian dalam, Pagani Utopia tidak mengikut trend yang menggunakan banyak paparan digital. Hanya satu skrin tunggal antara speedometer dan tachometer analog.
Tiada paparan infotainmen, Pagani meletakkan banyak kawalan instrumen, suis dan panel pendingin hawa di bahagian konsol tengah. Stereng dan pedal dihasilkan dari blok besi.
Pagani tidak mendedahkan harganya atau bila penghataran akan bermula. Apa yang pasti, hanya 99 unit Utopia akan dibina.
JIKA Toyota Alphard dikatakan antara model paling mewah, Hilux pula menjadi pilihan untuk kerja-kerja lasak dan melakukan tugas berat. Menariknya, sekumpulan pelajar kolej di Jepun mahu menggabungkan kedua-dua model ini menjadi suatu trak pikap mewah.
Pelajar-pelajar di Nihon Automobile College (NATS) ini merancang untuk mempamerkan projek Alphard dan Hilux kacuk mereka ini di Tokyo Auto Salon 2023 (TAS2023).
Kolej automotif itu telah menghantar bahan pameran mereka di acara berprestij di Jepun itu setiap tahun sejak 1997. Jadi, pameran untuk projek kali ini juga bukanlah suatu yang asing bagi mereka.
Acara itu juga menjadi pentas bagi mempromosikan nama NATS selain mampertontonkan kebolehan dan kreativiti pelajar-pelajar kolej di negara itu.
Untuk TAS2023, Alphard-Hilux kacukan itu akan didedahkan sebagai salah satu projek utama di pameran. Berdasarkan lakaran rekabentuk, “Alphilux” itu akan direndahkan dan mendapat rim lebih besar untuk lebih gaya modifikasi.
Setakat ini, kumpulan pelajar itu telah berjaya memotong badan Alphard menjadi separuh sebelum disambung dengan ruang kargo belakang Hilux.
Dan kenderaan kacukan ini bukan sahaja akan menggabungkan dua model Toyota tersebut, malah terdapat model ketiga yang akan digunakan iaitu Probox, sebuah van syarikat yang biasa digunakan di Jepun.
NATS juga berkata mereka mungkin akan mempamerkan dua unit Alphilux ini di TAS2023 nanti.
Sementara itu, anda boleh ikuti perkembangan mereka di media sosial. Dengan model Hilux dan Alphard cukup popular di negara kita, pastinya ramai antara kita yang terjua dengan projek ini.
SEJAK diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, Hyundai N telah memperkenalkan beberapa model produksi dan konsep yang amat mengujakan. Apa yang anda lihat ini adalah tambahan terbaharu kepada koleksi kereta konsep divisyen tersebut yang dikenali sebagai N Vision 74.
Diperkenalkan pada acara N Day 2022 pada Julai lalu, rekaannya diinspirasikan oleh kereta konsep Pony Coupe yang direka oleh Giorgetto Giugiaro pada 1974.
Kereta konsep rekaan pereka bertaraf lagenda itu tidak pernah menjadi realiti namun ia terus ‘hidup’ menerusi beberapa elemen reka bentuknya yang dibawa ke N Vision 74 seperti profil sisi dan tiang B. Rekaan lampu Parametric Pixel pula memberikan suntikan retro futuristik seperti IONIQ 5 dan IONIQ 6.
Kereta konsep ini mempunyai ukuran dimensi 4,952 mm panjang, 1995 mm lebar dan 1,331 mm tinggi, manakala ukuran tapak rodanya pula adalah 2,905 mm.
Seperti kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang diperkenalkan pada 2015, N Vision 74 menampilkan trenkuasa hidrogen hibrid yang menggabungkan sistem pacuan bateri-elektrik dan sel bahan api hidrogen.
Menurut Hyundai, penggunaan trenkuasa ini membolehkan kereta ini memanfaatkan sistem penyejukan yang efisien, serta menggunakan dua sumber kuasa berbeza (sel bahan api hidrogen dan elektrik), bergantung kepada keadaan.
Dengan tangki hidrogen berkapasiti 4.2 kg yang boleh diisi semula dalam hanya lima minit dan pek bateri 62.4 kWj yang menyokong pengecasan pantas 800 V, N Vision 74 dikatakan boleh dipandu sejauh 600 km. Untuk angka prestasi pula, gabungan ini menjana 680 PS dan 900 Nm yang membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Kemungkinan untuk N Vision 74 memasuki fasa produksi adalah sangat rendah, namun seperti kereta-kereta konsep “rolling labs” sebelum ini seperti RM14, RM15, RM16, RM19 serta RM20e yang diperkenalkan dua tahun lalu, Hyundai mungkin akan menggunakan teknologi yang ada untuk kereta produksinya pada masa depan.
JURUTERBANG helikopter yang dilaporkan hilang di Bidor selepas terputus hubungan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Mangsa dikenali sebagai Kapten Zee Khin Richard Chan, berusia 58 tahun dan merupakan warga negara Hong Kong. Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus.
Gambar BERNAMA
Menurut Bernama, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat selepas diterbangkan dari lokasi kejadian menggunakan sebuah helikopter.
Awal hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata bahawa juruterbang tersebut ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ka Siong berkata pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan.
Sumber gambar: Media sosial
Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik persendirian itu terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari sebelum ia dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Lokasi terakhir pesawat itu yang diketahui ialah kawasan hutan berhampiran Bidor.
Ia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi semalam dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 12.37 tengah hari.
VOLVO Car Malaysia baru-baru ini memperkenalkan fasiliti pembaikan badan dan cat pertamanya menerusi pelancaran pusat Volvo Certified Damage Repair (VCDR) di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.
Nick Connor, Ketua Volvo Cars APEC berkata, “Kami amat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini. Dari pelaksanaan strategi elektrifikasi global hingga menjual XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami melancarkan VCDR untuk merealisasikan visi kami dalam menawarkan standard tertinggi dalam perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan kami.”
Nick Connor
Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini yang melancarkan VCDR.
VCDR meningkatkan lagi pengalaman selepas jualan pelanggan dengan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan pembaikan badan dan cat yang cepat dan efisien. Pembaikan berkualiti dilakukan menggunakan peralatan canggih serta menerusi pematuhan ketat kepada standard Volvo.
“Kami mahu pelanggan kami membawa peluang sebuah kereta Volvo dengan ketenangan minda kerana mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.
VCDR mengintegrasikan teknologi mampan dalam perkhidmatan pembaikan badan dan cat mereka, seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pelapasan zarah mikroskopik serta penggunaan tenaga.
Charles Frump
Selain itu, mesin-mesin juga menggunakan tenaga bateri untuk memanaskan sistem elektrik dan lebih 80 peratus daripada udara akan disedut menerusi sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau.
Penggunaan Volatile Organic Compounds (VOC) dalam cat pula telah digantikan dengan cat berasaskan air bagi mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.
Dilengkapi dengan teknologi terkini dan juruteknik terlatih, Federal Auto Cars Glenmarie dan Sime Darby Motors Centralised Body and Paint Centre merupakan dua pusat servis Volvo pertama di Malaysia yang mematuhi piawaian VCDR. Dengan keluasan 11,133 kaki persegi, setiap fasiliti ini boleh menampung sehingga 1,260 buah kenderaan setahun.
RATU Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun pada 8 September baru-baru ini.
Sepanjang pemerintahannya selama 70 tahun, baginda menzahirkan minat dan koleksi kenderaan. Selain jenama-jenama British seperti Bentley dan Rolls-Royce yang menjadi kereta kebiasaan untuk kerabat diraja negara itu, baginda juga memiliki kereta-kereta lain yang sesuai dengan keperluannya.
Mari kita lihatkan beberapa koleksi kereta baginda.
1953: Land Rover Series 1
Kenderaan ini merupakan antara kereta pertama dimiliki baginda dari jenama Land Rover. Series 1 khas ini tidak didaftarkan dan pernah dibawa mengelilingi dunia dalam sebahagian lawatannya ke negara-negara Komanwel selama enam bulan di awal pemerintahannya.
Ia mempunyai platform khas untuk pasangan diraja itu berdiri di belakangnya. Land Rover Series 1 ini digunakan dari 1945 hingga 1956, kemudian diganti dengan Series 2 dan 3 sebelum diganti dengan Range Rover lebih baharu.
Daimler Empress Mk2
Sedan empat pintu dengan rekaan sleek dan klasik ini juga digunakan di awal pemerintahan Ratu, lengkap dengan meja walnut boleh dilipat dan tempat duduk ala takhta.
Hanya 33 unit pernah dibina, kereta ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter dan menjadi antara kegemaran keluarga diraja pada 1950an.
1954: Aston Martin Lagonda Drophead Coupe
Kereta ini dipandu oleh Putera Philip, dan hanya 20 unit versi Mk1 pernah dihasilkan. Ia juga merupakan kereta yang menjadikan Aston Martin mendapat status Royal Warrant.
Apa yang menarik, Aston Martin Lagonda ini dilengkapi dengan hud depan yang boleh dibuka secara automatik dengan kuasa elektrik dan inovasi ini disukai oleh baginda.
1955: Rolls-Royce Phantom IV State Landaulette
Kereta ini dibina khas oleh Hooper dan merupakan model pertama Rolls-Royce dengan enjin 5.7-liter 8-silinder.
Hanya 18 unit pernah dibina, casis 4BP5 mempunyai pengudaraan dan pemanas khas, serta radio keselamatan dengan pembesar suara luaran dan antena di bawah badan. Khas untuk keluarga diraja juga adalah pemegang di bumbung dan panel Perspex untuk lebih cahaya ke dalam kabin.
1960: Rolls-Royce Phantom V State Limousine
Antara limousine British paling ikonik, Phantom V telah menjadi kenderaan rasmi ramai orang termasuk Shah Iran hinggalah Elvis Presly dan John Lennon. Ratu Elizabeth memiliki dua buah dan kedua-duanya aktif dalam perkhidmatan. Kini salah satunya dipamerkan di Transport Museum di Sandringham Estate.
Semasa digunakan, mascot perak kesukaan Ratu iaitu St George dan Dragon diletakkan di atas gril depan menggantikan logo biasa Spirit of Ecstasy.
1961: Vauxhall Cresta PA Friary Estate
Ratu Elizabeth bertukar selera pada awal 1960 untuk sebuah kereta lebih luas yang juga buatan British, iaitu wagon Vauxhall. Ia dilengkapi dengan sangkar anjing, rak senapang, dan rod memancing yang dipasang di bumbung.
1963: Rover P5B 3.5-liter
Walaupun Ratu biasa dipandu ke sana sini di kota London, baginda juga gemar memandu sendiri, antaranya dengan Rover P5B 3.5-liter ini. Ada yang berkata Rover diibaratkan seperti ‘Rolls-Royce murahan’, kereta milik Ratu ini lengkap dengan kulit mewah dan kemasan kayu gelap.
1978: Land Rover Series 3
Seperti biasa, keluarga diraja memilih kenderaan pacuan empat-roda dari Land Rover. Model Series 3 milik Ratu ini mempunyai bahagian penumpang dengan bumbung boleh dibuka di belakang pemandu menggunakan sistem lampu isyarat.
Lampu-lampu ini memberi amaran awal kepada pemandu bila untuk memperlahankan kenderaan atau berhenti. Ada yang berkata rekaan ini mendapat sentuhan dari Putera Philip sendiri, termasuk kemasan tempat duduk kulit berwarna putih.
2001: Daimler V8 Super Saloon LWB
Sedan long-wheelbase dengan warna British Racing Green ini menjadi kenderaan peribadi Ratu Elizabeth selama tiga tahun, dengan jarak perbatuan 17,700km.
Antara modifikasi pada kereta ini termasuklah pemegang gelungsur untuk beg tangan dan suis khas untuk membuka tingkap belakang di bahagian penumpang.
2002: Bentley State Limousine
Bentley menghadiahkan Ratu Elizabeth dengan dua kenderaan rasmi untuk sambutan jubli perak baginda. Enjin V8 twin-turbo telah dimodifikasi secara menyeluruh dengan rekaan bumbung lebih tinggi.
Keret aini menampilkan cermin dan badan kalis peluru, tayar dengan Kevlar khas, dan kabinnya boleh dikedapkan untuk menempuhi serangan gas.
Land Rover Defender 110
Sebuah Defender 2002 telah dibina khas untuk baginda dan menjadi antara kenderaan kegemaran. Ia diasaskan model long-wheelbase 110 dengan enjin 4.2-liter V8, dan direka untuk kegunaan memburu, kemasan kulit hijau di dalam, dan suspense lebih tinggi.
Semasa dilelong pada 2014, ia dilaporkan turut mempunyai penyimpan shotgun dan peta menembak di dalam ruang simpanan papan pemukanya.
2009: Jaguar X-Type Sovereign Estate
Jaguar X-Type ini merupakan model varian tertinggi dengan pengesan parkir, tempat duduk dengan pemanas, dan tempat simpanan anjing penjaga.
Wagon dengan enjin V6 ini banyak digunakan untuk dipandu sekitar Windsor, dengan perbatuan cuma 12,200 semasa dijual pada 2016.
2015: Range Rover LWB Hybrid
Mendiang Ratu telah memandu berbagai jenis Range Rover, dan untuk model ini, ia direka dengan versi landaulette open-top dan platform lebih tinggi untuk membolehkan baginda dilihat dengan lebih mudah.
2017: Bentley Bentayga
Bentley memasuki segmen SUV dengan Bentayga dan sebagai meraikannya, mereka menyerahkan unit pertama SUV mewah itu kepada Ratu Elizabeth.
Semasa baru dikeluarkan, Bentley Bentayga merupakan SUV paling laju di dunia, kini ia berdepan dengan persaingan sengit dari model-model seperti Lamborghini Urus dan Aston Martin DBX 707.
Sumber gambar: Autoevolution, Bentley, Carscoops, CNN, Deccan Chronicle, Flickr, Gentleman’s Journal, Stuff.co.nz, Telegraph.co.uk, The Telegraph.