Arkib Kategori: BERITA

Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia kini boleh langgan Program Waranti Terhad Lanjutan

MERCEDES-Benz Services Malaysia dan Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Program Waranti Terhad Lanjutan (Extended Limited Warranty Programme) yang ditawarkan dengan kerjasama AXA Affin General Insurance Berhad.

Ditawarkan kepada pemilik kenderaan Mercedes-Benz tahun kelima dan keenam, program ini mempunyai dua pelan perlindungan iaitu Essential dan Comprehensive. Ia menawarkan fleksibiliti untuk langganan selama satu atau dua tahun, dengan perlindungan sehingga RM250,000 setiap pelan.

Komponen yang digantikan di bawah pelan ini dilindungi oleh jaminan Mercedes-Benz Parts selama 24 bulan yang membolehkan pembaikan atau penggantian percuma di mana-mana pusat servis Mercedes-Benz walaupun telah melebihi tempoh jaminan lanjutan.

Selain itu, program ini juga menyediakan perlindungan perbatuan tanpa had untuk kereta tidak melebihi 125,000 km sebelum tahun kelima mereka dan 150,000 km sebelum tahun keenam mereka.

Jadual-jadual berikut menunjukkan harga bagi pakej perlindungan Essential dan Comprehensive untuk model-model yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia:

Pakej perlindungan Essential menawarkan perlindungan terhad komponen-komponen seperti pendingin hawa, brek, enjin, pacuan roda depan dan belakang, tingkap kuasa, stereng, suspensi dan juga transmisi.

Sementara itu, pakej Comprehensive pula meliputi sembilan komponen tambahan daripada pakej Essential iaitu komponen keselamatan aktif dan pasif, topang Airmatic, sistem audio, ECU, sistem pemantauan tekanan tayar, kluster instrumen, sensor, komponen elektrikal serta sistem infohibur belakang untuk kenderaan terpilih.

Kedua-dua pakej ini boleh dipilih semasa atau selepas pembelian kenderaan, untuk kenderaan baharu atau pra-milik dalam tempoh empat tahun pertama dari tarikh pendaftaran.

Setiap pelanggan layak mendapat tuntutan berjumlah RM125,000 untuk pelan Essential dan RM150,000 untuk pelan Comprehensive untuk pembelian secara individu, dan RM200,000 (Essential) dan RM250,000 (Comprehensive) untuk pelanggan yang membeli perlindungan tahun kelima dan keenam secara kombo.

Porsche 911 GT3 RS 2023 tawan Nurburgring dalam 6 minit 49.328 saat + video

SEPERTI biasa, bila Porsche memperkenalkan model GT baharu mereka, ianya akan menjadi lebih pantas di Litar Nurburgring berbanding kereta sebelumnya.

Kali ini, Porsche 911 GT3 RS 2023 pula mempamerkan prestasinya, menyempurnakan satu pusingan penuh litar sepanjang 20.8km itu dengan catatan masa hanya 6 minit 49.328 saat.

Ini tidak memecahkan sebarang rekod dan tidaklah sepantas 911 GT2 RS dengan pakej Manthey Racing yang mencatat 6 minit 43 saat pada Jun 2021.

Walaubagaimanapun, ia tetap signifikan dengan 10 saat lebih pantas dari 911 GT3 standard (6 minit 59.927 saat pada Februari 2021).

“Dengan mengambil kira keadaan tidak ideal, angin berdepan di jalan lurus utama di Döttinger Höhe dan suhu sejuk permukaan tar, kami berpuas hati kali ini,” kata Andreas Preuninger, pengarah kenderaan GT di Porsche.

Seperti versi-versi sebelumnya, 911 GT3 RS terbaharu ini sangat bersahaja di litar, tetapi masih sah dipandu di jalanan. Kuasa hadir dari enjin naturally-aspirated 4.0-liter flat-six yang menjana 518hp pada 8,500rpm dan 465Nm tork pada 6,300rpm.

Enjin ini mampu rev sehingga 9,000rpm dan hanya satu pilihan kotak gear dipadankan padanya, iaitu PDK dwi-klac 7-kelajuan.

GT3 RS ini mampu memecut ke 100km/j dalam 3.2 saat manakala kelajuan maksimanya pada 296km/j.

Selain dari kuasa enjin semata-mata, Porsche telah memberi diet khas pada kereta ini dengan penggunaan CFRP (plastik diperkukuh dengan gentian karbon) untuk komponen seperti pintu, fender depan, dan tempat duduk. Penggunaan CFRP ini diperluaskan lagi dengan pakej Weissach.

Dengan imej menyerlah seperti spoiler besar dan fender berongga, badannya menjana 409kg downforce pada 200km/j. Pada 285km/j, downforce meningkat kepada 860kg.

Harga Yamaha NVX naik hingga RM600 untuk 2022

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan Yamaha NVX model tahun 2022 yang boleh didapati dalam empat warna baharu yang menarik.

Pilihan warna tersebut adalah Mystique Ruby dan Platinum Navy untuk varian ABS dan Cyan dan Matt Grey untuk varian Standard (tanpa ABS).

Mystique Ruby

Bagaimanapun, untuk 2022, harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) NVX dilihat meningkat kepada RM9,598 untuk varian Standard dan RM11,498 untuk varian ABS. Sebelum ini, skuter itu masing-masing dijual pada harga RM8,998 dan RM10,998.

Selain pilihan warna baharu dan harga jualan yang sedikit lebih tinggi, spesifikasi NVX tidak berubah. Ia masih dikuasakan oleh enjin sejukan cecair silinder tunggal 155 cc yang menjana 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,500 rpm.

Cyan

Ia dibina menggunakan kerangka jenis ‘backbone’ yang dipadankan dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian depan dan lengan ayun pada bahagian belakang. Untuk brek pula, kedua-dua versi dilengkapi dengan cakera hidraulik tunggal dan gelendong.

Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, sistem Stop & Start, panel istrumen LCD, soket pengecas USB dan sistem kunci pintar.

Matt Grey

Turut disertakan adalah sistem Y-Connect yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar mereka untuk mendapatkan maklumat seperti status bateri, penggunaan bahan api dan sebagainya.

Pesawat Darkstar dari filem Top Gun: Maverick dipamerkan di pangkalan udara Edwards

IANYA hanya sebuah prop filem, tetapi pesawat fiksyen Lockheed Skunk Works Darkstar sebuah prop yang agak meyakinkan dengan kemampuan hipersonik.

Pesawat yang menjadi jet pejuang ujian Tentera Laut AS dalam filem itu kini dipamerkan dalam acara Aerospace Valley Open House 2022 bertempat di pangkalan udara Edwards, California.

Pesawat itu diparkir bersebelahan pesawat sebenar Lockheed SR-71 Blackbird untuk pameran statik, sepanjang tempoh acara berlangsung iaitu dari 13 hingga 16 Oktober 2022.

Darkstar itu menampilkan konsep pengganti Blackbird, atau designasi SR-72, malah rupa dan penampilannya cukup mirip dengan pesawat pengintip altitud tinggi yang mula beroperasi pada 1960an.

“Ia nampak cukup realistik kerana ia dibina oleh Lockheed Skunk Works sendiri dan bukan oleh Hollywood,” satu sumber dari penganjur melaporkan kepada The Aviationist.

Dalam filem Top Gun: Maverick, pesawat Darkstar itu ditampilkan dalam babak awal dimana watak utama, Pete ‘Maverick’ Mitchelle lakonan Tom Cruise membuat penerbangan ujian dan mencuba untuk mencapai Mach 10 (10 kali ganda kelajuan bunyi).

Pesawat itu meletup dan terhempas selepas penerbangan hipersonik itu tetapi Maverick terselamat dan dibawa pulang ke pangkalan oleh helikopter penyelamat.

Gambar oleh: Aerospace Valley Air Show, The Aviationist

Mitsubishi Evo hilang kawalan, pelumba drag maut

SEORANG pelumba drag maut selepas Mitsubishi Evo dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di tepi litar.

Mangsa dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 39, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di acara drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11:35 pagi itu, Muhamad Hafez parah di bahagian kepala dan anggota badan dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Susulan kejadian tersebut, pihak penganjur telah menangguhkan perlumbaan berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis masih menjalankan siasatan tentang kemalangan ini,” katanya.

PRO-NET, Gentari jalin kerjasama – 20 pengecas DC akan dibina pada 2023

PROTON New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat Proton yang mengendalikan kenderaan tenaga baharu bertukar dokumen perjajnjian dengan Gentari Sdn. Bhd., anak syarikat Petronas, di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).

Susulan perjanjian pengedaran am yang ditandatangani dengan smart pada bulan Ogos dan pembentukan PRO-NET pada bulan September, pertukaran dokumen dengan Gentari adalah langkah seterusnya yang diambil oleh Proton bagi usaha memasuki dan menyumbang kepada ekosistem dalam ruang EV dan NEV negara.

Pelan awal adalah untuk membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa. Gentari pula akan bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian pengendali.

Selain daripada pembangunan infrastruktur pengecasan, Proton bekerjasama dengan smart, melalui anak syarikatnya, untuk memastikan tawaran EV mereka sepadan dengan profil penggunaan pembeli EV di Malaysia.

Pengeluar kereta nasional itu juga melabur dalam mengembangkan pengetahuannya dalam bidang NEV dengan menghantar 16 jurutera ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam semua aspek bidang tersebut.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata pertukaran dokumen itu merupakan sebahagian daripada langkah Proton ke pasaran NEV. Ia juga membuka peluang untuk bekerjsama dengan Petronas untuk menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pengecasan di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadi pusat serantau bagi NEV,” kata beliau.

“Menangani keperluan pelanggan EV dan NEV di Malaysia memerlukan penyertaan banyak pihak dan kerjasama antara pemain industri automotif. Ini adalah benar terutamanya berkaitan dengan infrastruktur pengecasan yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara dan PRO-NET akan menawarkan penyelesaian pengecasan yang komprehensif kepada pelanggan.

“Kami juga menjangka pelanggan NEV mempunyai faktor pendorong yang berbeza berbanding dengan pembeli kereta tradisional. Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu yang memenuhi keperluan mereka. Justeru, PRO-NET akan merekrut pengedar baharu secara aktif dan mengalu-alukan cadangan inovatif untuk pengalaman jenama dan transaksi,” tambah Roslan.

BMW Group Malaysia lancar dua fasiliti pengecasan di The Datai Langkawi

BMW Group Malaysia, bersama Tian Siang Premium Auto, telah melancarkan dua fasiliti pengecasan BMW i Charging baharu di The Datai Langkawi, sekali gus meluaskan lagi ketersediaan infrastruktur pengecasan di pulau pelancongan itu.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia berkata usahasama antara pihaknya dengan wakil pengedar Tian Siang Premium Auto dan The Datai Langkawi menekankan komitmen mere untuk membekalkan pengalaman pemilikan elektrik bertaraf premium kepada semua pemilik EV di Malaysia.

Tan Ka Kin, Pengarah Urusan Tian Siang Premium Auto pula berkata pembukaan fasiliti pengecasan baharu ini memberi keyakinan bahawa permintaan ke atas EV di rantau ini akan terus meningkat.

Dengan pelancaran dua fasiliti pengecasan BMW i Charging baharu ini, Tian Siang Premium Auto kini mempunyai 12 fasiliti pengecasan premium di rantau utara Malaysia. Ini meluaskan lagi akses ke atas mobiliti elektro di lokasi-lokasi utama luar Lembah Klang.

Sementara itu, Arnaud Girodon, Pengurus Besar The Datai Langkawi berkata, “Penyediaan stesen BMW i Charging buat tetamu kami ini merupakan salah satu daripada pelbagai usaha yang kami ambil dengan harapan kita semua dapat menikmati udara yang lebih bersih serta sistem pengangkutan yang lebih lestari, dan ia turut mengetengahkan komitmen kami untuk melindungi kekayaan biodiversiti Langkawi demi generasi akan datang.”

Untuk menggiatkan lagi penerimagunaan mobiliti elektro di pulau tersebut, para tetamu The Datai Langkawi juga dipelawa untuk memandu uji BMW iX menerusi yang disediakan untuk tempoh terhad.

Dua fasiliti BMW i Charging baharu ini juga terletak di lokasi yang sesuai demi kemudahan pengguna, iaitu berhampiran pintu masuk resort tersebut untuk diakses oleh para tetamu.

Honda Civic kini dengan varian e:HEV RS, tempahan dibuka, berapa harga agaknya?

HONDA Malaysia mengumumkan kehadiran varian baharu untuk Civic, iaitu e:HEV RS. Tidak seperti Civic RS sebelum ini yang dikuasakan enjin 1.5-liter VTEC Turbo, varian RS e:HEV mendapat enjin 2.0-liter hibrid.

Tempahan untuk Civic varian baharu ini juga telah dibuka. Berapa agaknya harganya?

Dari segi teknikal, enjin 2.0-liter itu merupakan unit naturally-aspirated (NA) dengan kitaran Atkinson. Ia menghasilkan 139hp dan 189Nm tork, dan enjin ini sebahagian dari sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD).

Elektrik motor padanya pula menjana 181hp dan 315Nm tork, menghantar kuasa secara terus kepada tayar depan dan pada kelajuan lebih tinggi, akan mengunci klac untuk lebih kecekapan.

Sistem ini juga terdiri dari bateri 72 sel baharu, Intelligent Power Unit, dan transmisi E-CVT (electric continuously variable transmission).

Dari segi penampilan luaran, Civic RS hibrid ini mirip dengan versi petrol, tetapi terdapat perbezaan iaitu rim 18-inci dwi-tona, kemasan biru pada lencana Honda, dan emblem e:HEV di belakang. Terdapat juga beberapa krom di gril depan, dalam lampu depan, dan di garisan tingkap.

Civic e:HEV RS juga menjadi model pertama Honda di negara ini yang mendapat Smart Key Card yang berfungsi sebagai pengganti kepada kunci kereta biasa.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, boleh layari prebook.honda.com.my atau ke mana-mana cawangan pengedar sah Honda seluruh negara.

Raikan Halloween sambil beramal di Nuts Wheels

PERAYAAN Halloween bakal menjelma hujung bulan ini, dan bagi anda para peminat dan penggiat scene motosikal kustom di Malaysia, bolehlah meraikannya sambil beramal di Nuts Wheels.

Salah satu motosikal projek oleh Nuts Wheels.

Ini kerana Nuts Wheels bakal mengadakan Halloween Charity Bake Sale, jualan makanan dimana hasilnya akan disumbangkan kepada bantuan kemanusiaan untuk Ukraine yang terkesan oleh peperangan di abad ke-21.

Uniknya, jualan amal ini akan dibuat di sebuah garaj kustom motosikal – pertama seumpamanya di negara ini – dan garaj ini akan dihiasi dengan tema Halloween berserta pengacara dan pengunjung yang mengenakan tema sama.

Dan sudah tentu, anda akan dihidangkan dengan pelbagai pastri, pencuci mulut dan kopi segar home-made.

Semua dijemput memeriahkan acara ini, dan maklumat acara adalah seperti di bawah:

Tarikh: 29 Oktober 2022
Masa: 12 tengahari hingga 4 petang
Alamat: 80, JLN 2/22, Taman Perindustrian Puchong Utama, 47100 Puchong
Waze: Nuts Wheels
RSVP: Hubungi Joe di +60146883020 sebelum 17 Oktober ini

Mari kita sama-sama memeriahkan acara ini sambil beramal! Untuk maklumat lanjut, lawati Nuts Wheels di Facebook.

Yamaha TMAX Tech Max – RM75k, dipasang secara tempatan

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan skuter premium terbarunya iaitu Yamaha TMAX Tech Max. Model pemasangan tempatan ini dijual pada harga RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Menurut HLYM, 35 unit batch pertama TMAX Tech Max telah pun habis dijual dan diserahkan kepada pemilik masing-masing pada satu majlis yang diadakan pada Khamis. Apa yang menarik, 40 unit batch kedua yang dijangka memasuki fasa pemasangan pada November ini juga telah habis ditempah.

TMAX Tech Max dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi jenis V-belt automatik.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) untuk prestasi pendikit yang lebih lancar.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi juga telah ditala semula untuk rim SpinForged Wheels (SFW) untuk tahap kestabilan yang lebih tinggi terutamanya ketika di selekoh. Rim 15 inci itu dibalut dengan tayar Bridgestone berukuran 120/70 di depan dan 120/60 di belakang.

Satu lagi ciri menarik adalah skrin TFT berukuran tujuh inci yang menawarkan tiga mod paparan. Ia juga boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link, membolehkan penunggang memainkan muzik dan menggunakan navigasi.

Ciri-ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, penutup tangki minyak pintar dan panel suis baharu yang boleh digunakan untuk menghidupkan dan mematikan enjin, mengunci bar hendal dan membuka pelana.

TMAX Tech Max boleh didapati dalam dua warna iaitu Dark Petrol dan Power Grey. 100 pembeli terawal akan mendapat set hadiah eksklusif sebagai tanda penghargaan dan setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera.

Borneo Safari kembali, Isuzu D-Max X-Terrain baharu akan diuji sepenuhnya

SELEPAS tampil di suasana urban bergaya ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun ini, Isuzu D-Max X-Terrain kini bersedia pula untuk menyahut cabaran lebih getir dalam acara off-road antarabangsa Borneo Safari.

Tiga unit trak pikap berkenaan akan digunakan sebagai kenderaan rasmi media untuk acara tersebut.

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA), Haji Faez Nordin yang menerima trak pikap berkenaan daripada Pengurus Pemasaran Isuzu Malaysia, Alan Lee, berterima kasih atas sokongan berterusan Isuzu terhadap acara seminggu yang dijangka bakal berlangsung pada penghujung Oktober ini.

Ini juga akan menandakan kembalinya acara ini selepas pandemik melanda sejak lebih dua tahun lalu.

Acara tahun ini dijangka akan menempuh permukaan dan laluan antara yang paling sukar di bahagian kaki gunung Kinabalu, berdekatan Kota Belud.

Dengan pemandangan indah dan sungai bersih yang menyambut pengunjung, permukaan berbatu dan sukar juga akan memberikan cabaran yang bukan calang-calang untuk peserta dan jentera yang terlibat.

“Acara dalam skala seperti ini memerlukan sokongan besar baik dari segi kewangan dan juga penggunaan kenderaan yang cukup berkeupayaan,” jelas Faez.

“Kami sangat berterima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana sekali lagi menyediakan kami dengan Penajaan Platinum serta sebagai pembekal kenderaan rasmi media,” tambahnya.

Tahun ini, Borneo Safari akan meraikan kali ke-30 acara ini dianjurkan setakat ini. Ia juga bakal menyaksikan penampilan sulung Isuzu D-Max generasi ketiga X-Terrain ditugaskan untuk menakluk hutan tebal Borneo kali ini.

“X-Terrain telah dipilih sebagai pembawa bendera kerana ia dilengkapi pelbagai ciri bantuan elektronik pintar,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

“Digandingkan bersama kejuruteraan tinggi komponen mekanikalnya, kami percaya D-Max X-Terrain menggabungkan kepintaran dan ketangkasan yang diperlukan untuk menjadi satu daripada kenderaan off-road moden paling cekap dalam acara berkenaan.”

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Indonesia – enjin 1.5L, harga bermula RM96k

TOYOTA Vios 2023 secara rasminya telah memasuki pasaran Indonesia. Republik itu menjadi negara ketiga di rantau ASEAN yang menyaksikan pelancaran sedan itu selepas Thailand dan Laos.

Untuk pasaran Indonesia, model serba baharu yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu E Type, G CVT dan G TSS CVT. Harga bermula dari 314,900,000 rupiah (RM96,264) hingga 368,400,000 (RM112,620).

Apa yang menarik, Vios untuk pasaran Indonesia didatangkan dengan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder yang turut digunakan pada Perodua Myvi dan Alza baharu. Ia menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm, output yang sama dengan Alza.

Terdapat dua pilihan transmisi iaitu manual lima kelajuan untuk varian E-Type dan D-CVT untuk G dan G TSS.

Untuk perbandingan, Vios untuk pasaran Thailand (di mana ia dikenali sebagai Yaris Ativ) dikuasakan oleh enjin 3NR-VE 1.2-liter dengan 94 hp pada 6,000 rpm dan 110 Nm tork pada 4,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Vios generasi keempat lebih besar sedikit dari model sebelumnya, dengan ukuran panjang 4,425 mm, lebar 1,740 mm dan tinggi 1,480 mm. Di republik itu, ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Attitude Black, Grey ME, Metal Stream ME, Platinum White Pearl dan Red M.M.

Bergantung kepada varian, sedan ini didatangkan dengan lampu belakang LED, rim aloi 17 inci, paparan audio berukuran sembilan inci dengan ketersambungan telefon pintar, kluster instrumen TFT digital tujuh inci, stereng ’tilt and telescopic’ dan kamera undur.

Sebagai varian tertinggi, Vios G TSS mendapat sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Pre-Collision Warning & Pre-Collision Braking, Front Departure Alert, Lane Departure Warning & Lane Departure Prevention, Pedal Misoperation Control dan Automatic High Beam.

Pelancaran ini secara tidak langsung menandakan ketibaannya ke pasaran Malaysia juga semakin hampir. Yang menjadi persoalan, adakah ia akan ditawarkan dengan enjin 1.2-liter atau 1.5-liter?

BMW M2 2022 tidaklah buruk mana! 3.0-liter 6-silinder sebaris, 453hp, pilihan manual 6-kelajuan

TIDAKLAH seburuk seperti dari imej yang tersebar sebelum ini. Itulah yang mampu kami katakan mengenai BMW M2 2022 serba baharu.

Setelah imej rasmi M2 generasi kedua itu disiarkan bersama beberapa foto lain menunjukkan ia sedang beraksi di litar, ia nampak agak cantik. Tetapi kami masih lebih gemarkan rupa BMW M2 yang sebelum ini.

Baik, jom kita lihatkan perincian BMW M2 baharu ini. Di bawah hud depannya tersimpan enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris twin-turbo, mampu menghasilkan 453hp dan 550Nm tork.

Sebagai sebuah jentera M sejati, enjin S58 ini menghantar kuasa ke roda belakang sahaja, melalui pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik 8-kelajuan M Steptronic.

Pecutan 0-100 adalah 4.1 saat untuk transmisi manual, dan 3.9 saat bagi versi automatik. Ya, automatik pasti lebih pantas tapi adakah itu lebih penting berbanding keseronokan memandu dengan kotak gear manual H-pattern?

Kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j walaubagaimanapun ianya ditingkatkan kepada 284km/j dengan pakej M Driver. Sistem brek pula adalah 6-piston di depan dengan angkup berwarna biru metalik, tetapi anda juga boleh pilih kemasan brek berwarna merah.

Dari segi saiz, M2 baharu adalah sedikit lebih besar berbanding sebelumnya. Ia kini 4.1-inci lebih panjang, 1.3-inci lebih lebar, tetapi 0.3-inci lebih rendah.

Jarak roda pula dipanjangkan sebanyak 2.1-inci, sementara lebar gandar depan dan belakang ditambah, kini menyamai M4. Rim adalah aloi ringan bersaiz 19-inci di depan dan 20-inci di belakang dengan kemasan hitam.

Suspensi Adaptive M serta differential Active M didatangkan standard.

BMW M2 2022 menampilkan gril kidney berkembar BMW yang ‘duduk’ atas apron depan dengan tiga seksyen. Ruang-ruang udara ini penting bagi penyejukan komponen-komponen enjin serta brek.

Bahagian belakang pula menampilkan bampar dan diffuser yang lebih menyerlah dan bersegi, menjadi kontroversi dan bualan sejak akhir-akhir ini. Pelengkap kepada bahagian ini adalah ekzos quad yang menjadi identiti jentera M.

Kabin M2 dilengkapi dengan tempat duduk sport M baharu dengan perehat kepala dihiasi tulisan M bernyala. Terdapat pilihan tempat duduk gentian karbon ditawarkan buat kali pertama, sebahagian dari Carbon Package, yang juga merangkumi bumbung karbon untuk merendahkan titik graviti kereta ini.

Aspek teknologi pula merangkumi sepasang skrin masing-masing bersaiz 12.3-inci dan 14.9-inci, kawalan khas M, pelbagai pilihan konfigurasi, menu M Setup, serta M Traction Control.

BMW M2 2022 akan boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Alpine White, Sapphire metalik, Brooklyn Grey metalik, Toronto Red metalik, dan Zandvoort Blue baharu.

GoCar Garage kini dibuka di Ipoh dan Negeri Sembilan

GOCAR Malaysia mengumumkan pengembangan perkhidmatan penyelenggaraan dan servis kereta berpusat GoCar Garage ke Ipoh dan Negeri Sembilan.

Pengembangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GoCar untuk meluaskan lagi rangkaian servis Garage, menerusi kerjasama strategik bersama bengkel-bengkel sah dan bebas.

Rakan-rakan Garage ini dipilih melalui satu proses penilaian yang ketat bagi memastikan standard dan kecemerlangan perkhidmatan GoCar Garage dapat dipenuhi.

Buat masa ini, terdapat lebih 40 lokasi Garage di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan kini di Ipoh serta Negeri Sembilan yang mudah dicari melalui aplikasi mudah alih GoCar.

Platform GoCar Garage direka untuk menawarkan pengalaman penyelenggaraan kereta secara menyeluruh dengan struktur harga yang telus. Ia boleh menyelenggara pelbagai jenis kenderaan penumpang daripada jenama tempatan, Jepun, continental dan premium.

Pelanggan boleh menggunakan aplikasi mudah alih GoCar untuk menjadual temu janji servis, memilih jenis servis, meluluskan sebut harga sebelum kerja-kerja membaik pulih diteruskan dan membuat bayaran.

Servis yang ditawarkan termasuklah penukaran minyak enjin, servis berkala, pembaikan, penukaran dan membetulkan tayar, brek, bateri, pendingin hawa, mekanikal dan sistem elektrikal. Pelanggan juga boleh menikmati servis bukan pembaikan seperti talaan prestasi, tinted, perapian dan lapisan cat.

Sempena pembukaan cawangan baharu ini, GoCar menawarkan penjimatan sehingga RM50 ke atas mana-mana servis yang ditawarkan dalam platform GoCar Garage. Ia tertakluk kepada tempahan dan boleh ditebus dari 19 September hingga 30 November 2022 dengan menggunakan kod promo “CUBALAH50”.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, orang ramai dijemput untuk mengunjungi siri jelajah GoCar Garage di premis-premis Lotus’s di Bukit Jelutong, Cheras dan Puchong di Lembah Klang serta Desa Tebrau di Johor Bahru. Maklumat mengenai siri jelajah in boleh didapati di laman web atau menerusi aplikasi mudah alih GoCar.

Jualan Toyota terus positif untuk September, Harrier 2022 kini dengan ciri baharu

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memasuki ambang suku keempat 2022 dengan jualan 9,098 unit kenderaan Toyota pada September, diikuti Lexus dengan 135 unit. Angka ini merupakan sedikit peningkatan berbanding 9,091 untuk bulan sebelumnya.

Jualan terkumpul setakat ini untuk 2022 pula adalah 70,872 unit. Sementara itu, jualan 9,233 unit untuk September (Toyota dan Lexus) adalah sekitar 15 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama pada 2021 (8,033 unit).

Toyota Harrier 2022

Dalam pada itu, UMWT juga mengumumkan kehadiran Toyota Harrier 2022 yang dikemaskini dari model sebelum ini yang diperkenalkan pada Februari 2021.

 

Kemaskini 2022 yang utama termasuklah Panoramic View Monitor dan pakej Toyota Safety Sense yang kini merangkumi Pre-Collision Brake, Lane Departure Alert, dan Dynamic Radar Cruise Control.

Sebagai tambahan, satu varian baharu kini hadir iaitu 2.0L Special Edition yang mendapat warna Red Metallic baharu dengan kombinasi warna kabin Brown.

Tiada perubahan dari aspek lain. Enjin 2.0-liter 4-silinder Dynamic Force dikekalkan, dimana ia menjana 173hp pada 6,600rpm dan 203Nm tork dari 4,400 hingga 4,900rpm.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Direct Shift CVT, menghantar kuasa ke roda depan. Ia memberikan pecutan 0 ke 100km/j dalam 9.7 saat dan kelajuan maksima 190km/j.

Ciri lain yang dikekalkan juga termasuklah lampu depan bi-LED, lampu kabus depan dan belakang LED, pintu but berkuasa, moonroof panoramik, skrin infotainmen 8-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin pandang belakang digital, dan perakam video digital (dashcam).

Toyota Harrier 2022 dijual pada harga RM274,000 dan boleh dipilih dengan lima pilihan warna – Slate Grey Metallic, Precious Black, Steel Blonde Metallic, Dark Blue Metallic dan Platinum White Pearl.

Blueshark R1 diperkenal di Malaysia – teknologi tukar bateri, jarak tunggangan 160km

BLUESHARK R1 hari ini diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB), bertempat di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2022. Kerjasama ini adalah sebagai usaha merevolusi mobiliti urban hijau di Malaysia.

Beberapa memorandum kerjasama (MoC) juga dibuat dengan beberapa pemain industri tempatan bagi mencetus peluang pekerjaan berasaskan kelestarian buat komuniti B40 dengan memudahkan penerimagunaan mobiliti urban hijau di Malaysia.

Sebuah program rintis yang akan dijalankan dalam fasa pertama dengan rakan penghantaran dan infrastruktur masing masing akan mendemonstrasikan kebolehlaksanaan platform berelektrik ‘first-to-last mile’ serta ekosistem yang sedia menemui pasaran di kawasan Lembah Klang.

Skuter elektrik Blueshark R1 dikuasakan motor elektrik dengan kuasa maksima 5000W dan tork setinggi 201Nm (dalam mod Turbo Racing). Ia mampu memecut dari pegun ke 50km/j dalam hanya 4.5 saat, dengan kelajuan maksima 80km/j dan jarak tunggangan sehingga 160km.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) yang berteknologi terkini. Menariknya, selain boleh dicaj seperti biasa, bateri ini juga boleh ditukar dengan mudah.

Selain itu, Blueshark R1 menampilkan sistem operasi ArkRide OS yang dikatakan pertama seumpamanya untuk kenderaan dua roda. OS ini dipaparkan pada skrin IPS 10-inci yang memberikan paparan lebar, jelas, selain kalis air dan debu.

Skuter ini turut dilengkapi dengan lebib 70 pengesan yang akan mengawal pelbagai fungsi seperti sistem brek, lampu, dan kelajuan. Ia mampu memberikan amaran atau petunjuk sekiranya terdapat sebarang sistem yang bermasalah.

Sementara itu, pusat 3S pertama milik Blueshark yang bakal dibuka tidak lama lagi di Glenmarie untuk sokongan selepas jualan pengguna. Pemilik skuter ini juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mendapat dan mengawal segala maklumat R1.

Untuk maklumat lanjut, layari www.blueshark.com.my.

Pratempahan BMW XM dibuka 20 Oktober ini – harga bermula RM1.4 juta

BMW Malaysia mengumumkan bahawa pratempahan untuk BMW XM akan dibuka pada 20 Oktober ini. Diperkenalkan di peringkat global pada September lalu, XM merupakan model BMW M pertama yang didatangkan dengan trenkuasa yang dielektrifikasi.

Menurut syarikat itu, harga anggaran (atas jalan, tidak termasuk insurans) dengan pakej waranti servis lanjutan bertempoh lima tahun adalah RM1.4 juta untuk Semenanjung Malaysia atau RM820,000 di Langkawi. Ia akan ditawarkan secara eksklusif dalam bilangan yang terhad.

Tarikh penyerahan untuk pasaran Malaysia tidak dinyatakan namun pengeluaran kenderaan ini dijangka bermula di kilang BMW Group di Spartanburg, South Carolina pada Disember 2022.

Sebagai standard, XM didatangkan dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan disediakan untuk profil Shadow Line. Selain itu, lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan sebagai standard.

Ini dipadankan dengan gril ‘kidney’ bercahaya, jalur trim dalam rona ‘nightgold’ yang selari dengan garisan tingkap, serta rim 23 inci M Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Nightgold. Pelanggan yang memilih profil Shadow Line akan mendapat rim M Law Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Black, juga berukuran 23 inci.

Penawaran warna luaran bagi XM terdiri daripada Cape York Green Metallic, Carbon Black, Marina Bay Blue, Toronto Red, Mineral White, Black Sapphire dan Dravite Grey.

Untuk bahagian dalaman pula, terdapat upholsteri Leather Merino dengan pilihan warna Deep Lagoon, Silverstone, Black dan Sakhir Orange.

Kelengkapan standard yang tersedia termasuklah BMW Live Cockpit Professional dengan Paparan Informasi 12.3 inci, Paparan Kawalan 14.9 inci, Head-up Display dan BMW Intelligent Personal Assistant. Ia beroperasi menggunakan Sistem Operasi BMW 8 yang menawarkan kawalan intuitif ke atas fungsi-fungsi kenderaan menggunakan pertuturan kata yang natural.

Turut disertakan adalah BMW Gesture Control, Connected Package Professional, Panggilan Kecemasan Pintar, Telekservices, Connected Drive Services serta Apple CarPlay dan Android Auto.

XM dikuasakan oleh sistem pacuan M Hybrid plug-in yang terdiri daripada enjin 4.4-liter biturbo V8 dengan 489 PS/650 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 197 PS/280 Nm. Gandingan ini menghasilkan 653 PS/800 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat dengan bantuan Launch Control.

Oleh kerana ia didatangkan standard dengan M Driver’s Package, XM mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/j. Dalam mod EV pula, ia boleh dipandu sejauh 88 km dan mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 140 km/j.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 25.7 kWh yang boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam 4 jam 15 minit menggunakan pengecas AC 7.4 kW.

Pacuan M xDrive disertakan secara standard, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation dan Integral Active Steering. Untuk brek pula, model ini menggunakan sistem brek M Sport dengan cakera depan berukuran 508 mm.

Akhir sekali, sistem bantuan pemandu terdiri daripada Driving Assistant Professional yang merangkumi Distance Control (ACC), Automatic Speed Limit Assist, Steering dan Lane Control Assistant, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant, Lane Change Warning, Front/Rear Crossing-traffic Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning dan pelbagai lagi.

Sistem Parking Assistant Plus juga disertakan dan ia membawakan ciri-ciri seperti Reversing Assist Camera, Lateral Parking Aid, Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Parking View, Surround View system, Remote 3D View, Drive Recorder dan Anti-theft Recorder.

Need For Speed Unbound tiba Disember ini – perlumbaan dengan inspirasi komik dan seni jalanan

SUDAH lama tiada Need For Speed terbaharu dan kini, francais permainan video perlumbaan popular itu akan kembali dengan siri terkini mereka, Unbound, pada Disember ini. Lebih tepat lagi, 2 Disember 2022 nanti.

Perkara pertama yang dapat anda lihat dari imej-imej disiarkan ini adalah seni grafik yang menjadi tema untuk aksi perlumbaan. Benar sekali, Unbound diinspirasikan dari seni jalanan dan buku komik.

Ia mungkin mengundang debat sama ada Need For Speed patut mengambil tema sebegini kerana ia begitu berbeza dengan siri-siri sebelum ini. Mungkin tidak mengapa untuk mengadakan sedikit perubahan, sejajar dengan peredaran masa dan permintaan, bukan?

Jika dilihat sebelum ini Need For Speed juga pernah mengambil langkah lebih kurang serupa dengan Underground dan Undergrond 2, dimana ia mula memasuki scene perlumbaan haram JDM di tengah bandar.

Ini sangat berbeza berbanding di awal francais seperti Hot Pursuit dan High Stakes dengan supercar eksotik Eropah yang dikejar polis di kawasan luar bandar seperti pergunungan dan jalan persekutuan.

Untuk Unbound ini, kami rasa tetap teruja untuk melihat hasilnya dan mungkin mencuba sendiri bermain nanti. Ini kerana penulis sendiri membesar dengan siri Need For Speed seperti NFS3, High Stakes, Most Wanted, Porsche Unleashed, dan Underground.

Kereta-kereta yang dipaparkan setakat ini juga nampak menarik, seperti Mercedes 190E dan sebuah jentera seakan kereta drift (kami tak pasti model apa).

Aksi perlumbaan akan bertempat di sebuah bandar dinamakan Lakeshore, iaitu lokasi fiksyen (rekaan) yang mirip seperti Chicago, Amerika Syarikat. Ia bermula dengan sebuah rompakan kereta berharga di sebuah bengkel.

Apa pendapat anda mengenai Need For Speed baharu ini dan konsepnya? Sementara itu, jemput tonton trailer-nya di bawah.

Nissan Almera terima facelift di AS, Malaysia bila pula?

SEDAR tak sedar, Nissan Almera generasi ketiga sudah berusia lebih tiga tahun dan ini bermakna sudah tiba masa untuk sedan kompak itu menerima facelift.

Buat pengetahuan anda, facelift ini diberikan untuk model pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu. Di sana, Almera dikenali dengan nama Versa.

Untuk model tahun 2023, Almera akan tampil dengan gril V-motion baharu yang lebih besar dan lebar. Bahagian ini tampil segar dengan susunan bar melintang yang disudahi dengan kemasan krom pada bahagian hujung dan logo Nissan baharu.

Bahagian bawah bampar depan turut direka semula dengan bukaan udara yang lebih lebar untuk penampilan lebih sporty. Sesetengah varian boleh didapati dengan rim aloi 17 inci baharu dan warna badan Gray Sky Pearl.

Rekaan ruang dalaman tidak berubah namun Nissan kini menawarkan kelengkapan tambahan untuk lebih nilai. Sebagai contoh, pelanggan boleh mendapatkan pakej S Plus yang merangkumi Apple CarPlay dan Android Auto dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60/40.

Sementara itu, varian SV didatangkan dengan paparan Advanced Drive-Assist tujuh inci dan pad pengecas wayarless, manakala varian SR dengan skrin sentuh lapan inci, sistem audio lapan pembesar suara, hotspot Wi-Fi, Nissan Connect dan penghidup enjin kawalan jauh.

Dari segi keselamatan, setiap varian dilengkapi dengan Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Lane Departure Warning, Rear Automatic Braking dan High Beam Assist. Ciri-ciri seperti Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert disertakan pada varian-varian tertentu.

Tidak seperti pasaran Malaysia, Almera (Versa) dikuasakan oleh enjin NA 1.6-liter empat silinder yang menjana 122 hp dan 154 Nm, dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau Xtronic CVT.

Di Malaysia, Almera dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober 2020 dengan harga bawah RM80,000. Anda rasa bila model facelift ini akan tiba di sini?

Produksi Geely RADAR RD6 kini bermula, trak pikap EV untuk gaya hidup outdoor

GEELY telah memulakan pemasangan dan pengeluaran trak pikap elektrik RADAR RD6 yang mula diperkenalkan kira-kira empat bulan lalu. Ia merupakan trak pikap China pertama yang menggunakan platform EV sepenuhnya.

Trak pikap ini menggunakan binaan unibody Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely. Jadi dari aspek ini, RD6 lebih dekat dengan Proton Arena atau Honda Ridgeline berbanding Toyota Hilux yang menggunakan casis ladder-frame.

Radar RD6 dilengkapi dengan pakej kuasa “tiga-dalam-satu berkuasa-tinggi” 200kW, yang mampu memberikannya pecutan 0-100km/j dalam 6 saat.

Ia menggunakan bateri Ni55 dengan ketumpatan kuasa yang tinggi, membolehkannya mencapai jarak pemanduan sejauh 610km dan mempunyai daya caj maksima sehingga 120kW. Ini bermakna baterinya mampu memberikan jarak 120km selepas mengecaj selama hanya 15 minit.

RADAR RD6 menggunakan suspensi independent di kesemua empat roda, dengan ukuran panjang hampir 5.3 meter, diameter belokan 12.2 meter, dan mendapat sunroof panoramik sebesar 55-inci.

Untuk versatiliti, trak pikap EV ini juga menampilkan tiga ruang kargo utama, termasuk kotak simpanan tersorok di depan bersaiz 70 liter, ruang simpanan di tempat duduk belakang 48 liter, dan ruang kargo utama belakang 1,200 liter.

Terdapat soket nyah-caj berkuasa tinggi 6kW di ruang kargo belakang untuk kegunaan perkakasan dan aksesori elektrik.

Dari segi teknologi, RADAR RD6 dilengkapi dua skrin besar 12.3-inci di kabin dan sebuah skrin 9-inci untuk fungsi head-up dispay (HUD) yang juga menyokong fungsi arahan suara.

Aktiviti luar kini menjadi trend di China, maka pengenalan RADAR ini dikatakan sangat bertepatan dengan permintaan semasa.

Di masa depan juga, jenama ini akan memfokus kepada kenderaan seperti trak pikap EV pelbagai saiz, SUV untuk off-road, ATV, dan sebagainya.