KINI terdapat satu jenama baharu untuk minyak pelincir kenderaan anda, iaitu MOL Lubricants. Merupakan satu pengeluar bendalir pelincir dari Hungary dengan lebih 115 tahun pengalaman, MOL Lubricants kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama pengedarnya, Oily Lubricants Malaysia Sdn. Bhd.
Pelancaran ini adalah sebahagian dari inisiatif MOL untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Asia. Dengan kerjasama Oily Lubricants Malaysia, produk-produk premium MOL akan mula ditawarkan bermula September 2022 merangkumi pelincir untuk sektor pengangkutan, servis automotif rasmi dan bebas, sektor pertanian, serta sektor industri.
Menurut Harsanyi Zsolt, Pengurus Jualan Eksport MOL Lubricants, “Kerana formulanya yang maju, produk-produk MOL memberikan prestasi tinggi dan perlindungan ‘wear and tear’ yang baik, yang akan menjanjikan ketahanan serta jangka hayat komponen yang panjang.
“Ia juga akan mengurangkan keperluan penyelenggaraan,” tambahnya.
Sementara itu, Nagy Zsuzsanna, Pakar Jualan Eksport MOL Lubricants semasa dalam pembentangannya berkata, “Portfolio produk MOL merangkumi hampir 800 produk pelincir berkualiti tinggi untuk kenderaan penumpang, motosikal, kenderaan komersial, pertanian, dan industri.”
Khas untuk anda yang mencari rangkaian pelincir kenderaan penumpang, MOL Lubricants mempunyai minyak enjin Botond (gred rendah), Essence (gred sederhana), dan Dynamic (gred tinggi premium).
Minyak enjin sintetik penuh boleh didapati dari rangkaian Essence dan Dynamic, tetapi Dynamic lebih memfokus kepada pelincir OEM bagi jenama-jenama terkemuka Eropah seperti BMW, Renault, Audi, Skoda, SEAT, dan Fiat.
Spesifikasi yang ditawarkan termasuklah 5W-20, 5W-30, 5W-40, dan 10W-40 dan kesemuanya menepati piawaian API SN. Harga adalah antara RM250 hingga RM295 untuk botol 4-liter dan kami difahamkan kesemua minyak enjin ini adalah diimport sepenuhnya.
Bagi pusat servis dan bengkel-bengkel, MOL Lubricants menawarkan ganjaran khas bagi mereka yang mendapatkan bekalan minyak enjin selama enam bulan.
Pengurus Jualan Oily Lubricants Malaysia, Nicholas Oh berkata: “Kami akan menawarkan ganjaran bagi bengkel dan pusat servis yang mendapatkan bekalan selama enam bulan.
“Kami juga mensasarkan untuk melantik 100 bengkel pengedar dalam masa terdekat ini,” tambahnya.
Pelancaran MOL Lubricants itu turut dihadiri oleh wakil-wakil dari kedutaan Hungary di Malaysia.
SUPERCAR secara asasnya bermaksud kereta jalanan yang berkuasa tinggi, jadi ada logiknya juga jika pemandu diwajibkan memiliki lesen khas untuk memandu kereta jenis ini, bukan?
Inilah yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas. Dalam satu kenyataan media, Maulinaskas berkata pihaknya akan menggubal undang-undang baharu bagi memperkenalkan skim perlesenan untuk pemandu yang ingin memandu kereta sport berkuasa tinggi.
Bagi mendapatkan lesen khas ini, pemandu perlu menjalani latihan khusus serta memenuhi pelbagai lagi kriteria lain, sama seperti ketika mengambil lesen motosikal dan trak.
Selain itu, undang-undang baharu ini akan mengharamkan sistem kawalan cengkaman (traction control) yang boleh dinyahaktifkan dalam kenderaan berkuasa tinggi. Ia juga mensasarkan untuk memperkukuhkan undang-undang yang melarang pemandu yang dituduh membunuh daripada memegang lesen sehingga kes mereka selesai.
Langkah ini diambil susulan kematian Sophia Naismith, yang mana menurut ABC terbunuh selepas dilanggar oleh sebuah Lamborghini di luar sebuah restoran Cina pada 2019. Pemandu supercar itu, Alexander Campbell mengaku bersalah memandu secara berbahaya namun baru-baru ini dibebaskan daripada hukuman mati.
Selepas kematiannya, ibu bapa Naismith menjadi aktivis bagi mendesak pembaharuan. Malinauskas berkata, “Saya ingin berterima kasih kepada Pia dan Luke atas sokongan mereka, dan saya berharap pembaharuan ini akan mengelakkan tragedi sedemikian daripada berlaku ke atas keluarga lain.”
“Saya telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk segera memulakan penggubalan undang-undang dan saya berharap Parlimen akan menyokong pembaharuan penting ini,” tambah beliau.
Perundangan itu dijadualkan dibawa ke Parlimen menjelang akhir tahun ini dan Malinauskas sudah menjangkakan tentangan sengit daripada para pemilik supercar.
AUDI secara rasminya mengumumkan bahawa mereka akan menyertai Kejohanan Dunia Formula 1 mulai musim 2026 sebagai pembekal unit kuasa.
Keputusan ini adalah susulan kepada penerbitan peraturan teknikal baharu Formula 1 pada awal bulan ini. Ia dirangka khusus untuk membolehkan dan menarik pendatang baharu menyertai sukan itu pada tahap kompetitif.
Untuk 2026, F1 masih akan kekal dengan enjin 1.6-liter V6 namun ia akan dipadankan dengan unit kuasa elektrik yang mempunyai output yang lebih tinggi. Menurut Audi, motor elektrik pada masa itu akan menghasilkan kuasa yang hampir sama dengan enjin pembakaran dalaman iaitu sekitar 400 kW (544 hp).
Bukan itu sahaja, sebagai salah satu prasyarat penyertaan Audi ke dalam siri perlumbaan itu, enjin tersebut juga akan menggunakan bahan api lestari.
Unit kuasa baharu itu akan dibangunkan di fasiliti Audi Sport di Neuburg yang terletak tidak jauh daripada ibu pejabat Audi AG di Ingolstadt. Ini merupakan kali pertama dalam lebih sedekad trenkuasa F1 akan dihasilkan di Jerman.
Fasa ujian untuk enjin, motor elektrik serta bateri telah pun bermula, manakala persiapan dari segi kakitangan dan infrastruktur teknikal juga sedang dilakukan dan akan dilengkapkan menjelang akhir tahun ini. Audi juga telah membangunkan anak syarikat milik penuh Audi Sport untuk projek unit kuasa tersebut.
Selain itu, syarikat itu juga telah menyatakan sokongannya terhadap pelan Formula 1 untuk menjadi lebih mampan dan efisyen dari segi kos. Sukan itu akan mengehadkan kos untuk pengeluar unit kuasa pada 2023, selain menetapkan sasaran untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2030.
Mengenai pasukan mana yang mereka akan bekerjsama bagi musim 2026, Audi berkata pengumuman akan dibuat menjelang akhir tahun ini.
FORD Ranger generasi baharu merupakan model paling pintar setakat ini, dengan tumpuan bagi meningkatkan pengalaman anda sebagai pengguna. Ia direka agar sesuai untuk semua kegunaan, sama ada untuk kenderaan keluarga atau tujuan kerja.
Dari sistem infotainmen SYNC 4A generasi baharu hinggalah kepada skrin bersaiz besar yang berfungsi seperti telefon pintar, Ranger generasi baharu menawarkan pakej teknologi lebih banyak berbanding apa yang pernah hadir dalam sebuah trak pikap.
Mari kita lihatkan sembilan ciri yang menjadikan Ford Ranger generasi baharu ini model paling canggih pernah dihasilkan.
1. Paparan digital
Ranger generasi baharu tidak lagi menggunakan kluster instrumen fizikal untuk speedometer, tetapi menggantikannya dengan panel instrumen digital 8-inci yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
Bergantung kepada varian, anda boleh memilih susunan paparan yang memaparkan maklumat seperti teknologi bantuan pemandu, tachometer On/Off dan lain-lain.
Paparan juga berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih, termasuklah mod on-road atau off-road. Turut ada ialah “paparan tenang” yang meminimakan maklumat yang dipaparkan pada panel ini.
2. Lebih pintar, intuitif dengan SYNC 4A
Nadi kepada teknologi Ranger generasi baharu ini ialah sistem infotainmen SYNC 4A. Ia menawarkan sambungan telefon pintar Apple CarPlay tanpa-wayar dan Android Auto serta memaparkan ciri terkini yang menjadikannya mesra pengguna.
3. Skrin besar
Bergantung kepada varian, Ford Ranger baharu dilengkapi skrin infotainmen 10.1-inci atau 12-inci, paling besar dalam kelasnya.
Ini membolehkan anda menyesuaikan panel maklumat utama yang selalu diinginkan di bawah skrin, seperti navigasi, sambungan telefon dan banyak lagi.
Skrin tablet format besar dipilih kerana ia membolehkan paparan tunjuk arah yang lebih tepat dan dalam masa yang sama menyediakan ruang di bahagian bawah skrin untuk paparan seperti pendingin hawa dan sistem hiburan.
4. Kurang butang, lebih berkemampuan
Kebanyakan kawalan mod pemanduan tradisional telah dialih dari papan pemuka dan konsol tengah ke paparan khusus mereka di skrin SYNC.
Bergantung kepada varian, sebagai contoh, dengan hanya menekan satu butang, anda boleh pergi ke skrin khusus untuk off-road pada Ranger di mana mereka boleh meninjau pacuan, sudut stereng, kecuraman kenderaan, dan sudut olengan.
Pendingin hawa dan sistem hiburan juga boleh dikawal melalui skrin SYNC, dengan kawalan fizikal tambahan tersedia di bawah skrin untuk larasan pantas dan mudah.
5. Pandangan sekeliling
Skrin disambung ke kamera 360-darjah yang mampu memudahkan anda meletak kenderaan di ruang parkir sempit atau untuk membantu meninjau permukaan mencabar di kawasan yang jarang dilalui.
Ini membolehkan anda melihat apa yang ada di depan atau belakang serta pandangan dari atas ke bawah di sekitar kenderaan, termasuk titik buta, untuk lebih keyakinan.
6. Brek parkir elektrik
Ranger WildTrak generasi baharu menjadi yang pertama dilengkapi brek parkir elektrik dalam kelasnya. Perubahan ini bukan sahaja membolehkan capaian lebih mudah untuk pemandu, tetapi turut juga memberi ruang kepada sistem bantuan pemandu canggih (ADAS).
7. Kekal dicas
Dengan Ranger baharu ini, anda boleh mengecaj telefon pintar secara tanpa-wayar di konsol tengah dan pada masa yang sama disambung kepada sistem SYNC 4A.
Telefon pintar juga boleh dicas dengan menggunakan wayar yang disambung ke slot USB atau menerusi soket 12V/240V dan inverter 150W yang juga membekalkan kuasa.
8. Kuasa penuh
Dengan lebih ramai pemandu menggunakan dash cam dan keadaan jalan raya mencabar hari ini, ciri berkenaan turut dipasangkan pada cermin utama melalui saluran USB.
Sambungan Type-A USB juga menukar kuasa 12V kepada USB 5V dan direka untuk membekalkan kuasa kepada GPS luaran atau dash cam. Ia juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar, walaupun ia tidak akan disambungkan kepada sistem SYNC 4A.
Tambahan lagi, bergantung kepada varian, turut tersedia di kotak barangan adalah soket 400W dan 12V untuk anda menggunakannya bagi kerja-kerja DIY di luar.
9. Cahaya terang
Khas Ranger WildTrak, trak pikap ini hadir dengan lampu utama LED Matrix yang pertama dalam segmennya.
Lampu LED ini mampu melaras pencahayaan secara automatik bergantung kepada situasi pemanduan, seperti mengikut kelajuan atau mengelakkan silau kepada kenderaan dari arah depan.
Sertai siri jelajah Ranger generasi terbaharu
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di Kuching pada 7-11 September di Vivacity Megamall, dan Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober.
Acara pratonton ini adalah sebahagian daripada siri jelajah seluruh negara bagi Ranger generasi baharu ini di lima kawasan, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru melibatkan tempoh lima hujung minggu.
Jangan ketinggalan untuk berkunjung ke acara pratonton akan datang ini dan dekati Ranger generasi baharu dalam siri jelajah berkenaan.
Daftar di laman Register ini untuk mendapatkan jemputan eksklusif ke lokasi berdekatan anda.
PADA Mac lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha XMAX 250 yang dikemas kini dengan enjin dan beberapa ciri baharu. Kini, syarikat itu mengumumkan pula pilihan warna baharu untuk skuter maxi tersebut.
Untuk model tahun 2022, XMAX 250 boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu merah dan hijau matte. Ia menggantikan pilihan warna sebelum ini iaitu Icon Grey dan Power Grey.
Boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula bulan ini, XMAX 250 dijual pada harga RM22,298 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak RM300 berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, dari segi mekanikal dan kelengkapan, tiada sebarang perubahan. XMAX 250 masih dikuasakan oleh enjin 250 cc silinder tunggal SOHC yang menjana 22.5 hp (16.8 kW) pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,000 rpm.
Enjin yang melepasi piawaian emisi Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi jenis tali sawat-V automatik. Kapasiti tangki bahan api adalah 13 liter.
Selain itu, ia juga hadir dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, perumah lampu yang lebih gelap dengan efek ‘smoked’, bar hendal dan penghadang angin boleh laras, panel instrumen LCD, soket 12V dan kunci pintar dengan rekaan baharu.
Di bawah tempat duduk, terdapat ruang penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar.
Untuk sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan ABS bahagian depan dan belakang, serta sistem Traction Control.
BAGI mereka yang sudah menamatkan pengajian di peringkat kolej atau universiti, antara keperluan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan adalah memiliki kereta.
Ini akan memudahkan urusan ulang-alik mereka ke tempat kerja sekiranya tiada pilihan lain seperti pengangkutan awam.
Dan disebabkan mereka baru sahaja menamatkan pengajian, kebanyakan graduan belum mempunyai simpanan mencukupi untuk membeli kereta.
Untuk ini, terdapat skim graduan yang ditawarkan oleh beberapa bank tempatan, dan Pegawai Sokongan Jualan di Bank Islam, Nurul Hazira Azman berkongsi sedikit maklumat mengenai ini.
Apa itu skim graduan baharu?
Skim graduan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada graduan baharu memiliki kereta pertama.
Berbeza dengan pinjaman biasa, skim graduan baharu ini tidak menghendaki anda untuk mempunyai penjamin.
Pinjaman biasa memerlukan pemohon memiliki sekurang-kurangnya satu komitmen hutang. Misalnya kad kredit untuk bank menilai trend dan tabiat pembayaran anda. Namun, dengan skim ini pemohon tidak perlu mempunyai apa-apa komitmen.
Apakah syarat untuk memohon di bawah skim graduan baharu?
Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Tetapi secara umumnya, jika anda berumur 20 hingga 30 tahun dan bekerja kurang daripada setahun, anda sudah layak memohon skim graduan.
Anda perlu sekurang-kurangnya tamat pelajar pada peringkat diploma daripada pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diperakui. Pastikan anda sudah tamat pengajian dengan rasmi supaya fakulti atau pihak universiti boleh mengeluarkan surat tamat pengajian.
Tidak pernah memiliki kereta sendiri. Jika sebelum ini sudah pernah memiliki kereta sendiri, anda tidak layak untuk memohon skim graduan baharu yang ditawarkan oleh mana-mana bank.
Mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,800 ke atas.
Tidak mempunyai masalah tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sekiranya masih mempunyai tunggakan PTPTN, langsaikan segala tunggakan baru layak untuk memohon skim graduan baharu.
Apakah dokumen yang diperlukan?
Wajib menyediakan salinan Kad Pengenalan.
Wajib melampirkan salinan Lesen Memandu, sekurang-kurangnya Lesen P.
Wajib mempunyai transkrip mini atau surat tamat pengajian.
Jika sudah menerima gaji pertama, serahkan salinan slip gaji bersama dokumen wajib yang lain.
Jika mempunyai kad pekerja atau kad perubatan kerja, lampirkan bersama salinan kad tersebut.
Buat mereka para lepasan universiti yang ingin memiliki kereta pertama, anda boleh gunakan bantuan yang ditawarkan ini.
Tetapi jika anda mahu mencari kereta terpakai, boleh ikuti beberapa tips yang kami pernah kongsikan di sini.
EMPAT tahun selepas dilancarkan di Malaysia, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports kini diberi penambahbaikan yang melibatkan aspek mekanikal dan juga kelengkapan.
Model ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl White Glare Tricolour dan dijual pada harga RM117,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
Untuk model tahun 2022, transmisi klac berkembar (DCT) pada CRF1100L Africa Twin Adventure Sports telah ditala semula dengan tetapan yang diperhalusi untuk penukaran gear 1 dan 2 yang lebih lancar.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin penghadang angin lebih pendek berukuran 110 mm yang mempunyai lima tahap pelarasan. Menurut Boon Siew Honda, skrin ini meningkatkan keterlihatan penunggang dan pada masa yang sama menawarkan perlindungan dari angin.
Akhir sekali, badannya kini dihiasi dengan grafik ‘Cracked Terrain’ yang memberikan penampilan yang lebih menarik.
Seperti sebelum ini, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports dikuasakan oleh enjin 1,084 cc silinder berkembar sebaris yang menghasilkan 100.5 hp pada 7,500 rpm dan 105 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT enam kelajuan.
Jentera ini menggunakan sistem suspensi elektronik Showa yang berupaya untuk menguruskan daya redaman bergantung kepada mod yang dipilih iaitu Soft, Mid, Hard dan Off-Road.
Selain itu, terdapat juga ciri Intertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang ditugaskan untuk mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Cornering ABS, Rear Lift Control dan transmisi.
Penunggang boleh memilih daripada empat mod tunggangan yang disediakan iaitu Urban, Tour, Gravel dan Off-Road. Turut disertakan adalah dua mod User yang boleh disesuaikan mengikut kehendak penunggang.
Semuanya boleh diakses menerusi paparan sentuh multi-info TFT berukuran 6.5 inci yang turut menyokong Apple CarPlay, Android Auto dan ketersambungan Bluetooth. Penunggang tidak perlu risau tentang bateri telefon pintar kerana motosikal ini didatangkan dengan port pengecas USB.
MEREKA yang selalu kehilangan kunci mungkin boleh mula menggunakan peranti ‘key finder’ atau meletakkan kunci di tempat yang tetap di dalam rumah.
Tetapi tidak bagi Brandon Dalaly. Penyelesaiannya untuk masalah ini ialah dengan ‘menanam’ terus cip ke dalam tangannya untuk membolehkannya membuka atau menghidupkan keretanya.
Kini, Dalaly boleh membuka kunci Tesla miliknya dengan hanya melambai tangannya bila berdekatan dengan kereta. Cip implan itu juga mampu menghidupkan kereta itu dari dalam.
“Anda takkan kehilangan tangan, jadi anda akan sentiasa boleh masuk ke dalam kereta,” katanya.
Dalaly yang merupakan seorang pakar dan peminat teknologi berkata, dia bukanlah peminat tegar Tesla. Dia cuma peminat tegar teknologi, dan dia menanam cip implan untuk kemudahan dan praktikaliti.
Sementara itu pada tangan sebelah lagi, terdapat cip yang membolehkannya membuka kunci pintu rumahnya. Cip itu juga ‘menyimpan’ semua maklumat kenalan serta perubatan Dalaly, termasuklah sijil vaksinasi Covid-19.
Anda boleh lihat bagaimana beliau membuka keretanya tanpa kunci dalam video di bawah:
DIPERKENALKAN buat pertama kali pada Jun lalu, Volkswagen Golf R “20 Years” kini dinobat model Volkswagen R terpantas di litar Nurburgring-Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 47.31 saat, empat saat lebih pantas berbanding model standard.
Jentera yang dibangunkan bagi menyambut ulang tahun ke-20 Golf R32 ini dipandu oleh pelumba dan pemandu pembangunan Volkswagen R iaitu Benjamin Leuchter. Menurut Volkswagen, ia berjaya mencapai kelajuan 265 km/j pada bahagian Döttinger Höhe di litar itu.
“Dengan kereta ini, saya boleh memandu di di Nürburgring dan perhentian seterusnya ialah kedai roti atau kedai DIY. Ia benar-benar kenderaan serba boleh yang boleh melakukan segala-galanya,” kata Leuchter.
Golf R “20 Years” dikuasakan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silinder yang telah ditala bagi menghasilkan 333 PS, 13 PS lebih tinggi berbanding apa yang terdapat pada Golf R standard. Ini menjadikannya model produksi Golf paling berkuasa pernah dihasilkan.
Di samping enjin lebih berkuasa, transmisi DSG tujuh kelajuannya juga diberikan pemetaan baharu untuk penukaran gear yang lebih agresif terutamanya ketika dalam mod S atau S+. Dengan sistem pacuan semua roda 4Motion, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.
Selain itu, Golf R “20 Years” juga didatangkan dengan Driving Dynamics Manager, R-Performance Torque Vectoring dan pakej R-Performance yang merangkumi dua mod tambahan yang dibangunkan dengan kerjasama Leuchter sendiri iaitu Special dan Drift.
Untuk percubaan catatan masa ini, Leuchter menggunakan mod Special yang dibangunkan khusus untuk litar Nurburgring. Apa yang menarik, mod ini melaraskan suspensi supaya menjadi lebih lembut dan selesa bagi membolehkan ia menampung beban yang tinggi ketika memandu di atas litar yang beralun itu.
MASIH ingatkah anda pada Toyota Sienta? Ya, MPV kompak yang dilancarkan di Malaysia pada 2016 itu telah pun memasuki generasi ketiga dan kini ia tampil dengan platform, enjin dan pelbagai teknologi baharu.
Sienta serba baharu dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture versi GA-B seperti Yaris (model pasaran Eropah) dan Yaris Cross, namun ia lebih panjang dan tinggi dengan ukuran panjang 4,260 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,715 mm dan tapak roda 2,750 mm.
Menurut Toyota, ukuran tinggi Sienta bertambah sebanyak 20 mm jika dibandingkan dengan model generasi kedua, sekaligus menjadikan ruang kabin lebih luas dan selesa untuk penumpang.
Reka bentuk luaran Sienta dilihat lebih moden dan cantik berbanding sebelum ini, dengan motif-motif berbentuk bulat dan petak bergelar ‘Shikakumaru’ menghasilkan penampilan yang kompak serta membuatkan ia kelihatan lincah di jalan raya.
Sementara itu, papan pemuka pula memperlihatkan reka bentuk yang praktikal menerusi ruang penyimpanan yang besar di sebelah tombol gear dan depan penumpang, serta pemegang cawan pada bahagian kiri dan kanan. Bahagian atas papan pemuka dihiasi dengan upholsteri fabrik.
Bergantung kepada varian, Sienta dilengkapi dengan panel instrumen digital dan sistem Display Audio yang menyediakan ciri-ciri seperti navigasi, arahan suara dan hotspot WiFi. Turut disertakan adalah outlet AC100 V/1,500 W yang bukan sahaja boleh digunakan untuk perkakasan elektrik, malah sebagai penjana kuasa sandaran sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Memasuki kabin kini lebih mudah kerana Sienta mempunyai lantai serendah 330 mm dan pintu gelongsor elektrik pada bahagian kiri dan kanan yang boleh dibuka dengan gerakan kaki. Bukan itu sahaja, bukaan pintu berkenaan telah bertambah sebanyak 60 mm berbanding sebelum ini.
Selain itu, tinggi bukaan pintu hatch belakang dan ruang bonet masing-masing bertambah sebanyak 15 mm dan 50 mm. Ini membolehkan pengguna memuatkan sebuah basikal dengan tayar berukuran 27 inci tanpa sebarang masalah.
Untuk enjin pula, terdapat dua pilihan iaitu petrol dan petrol hibrid. Versi petrol menampilkan enjin Dynamic Force 1.5-liter M15A-FKS yang dipadankan dengan Direct-Shift CVT, manakala versi hibrid pula dikuasakan oleh enjin 1.5-liter M15A-FXE dengan eCVT dan sebuah motor elektrik yang dikatakan mampu memberikan bacaan bahan api sehingga 28.8 km per liter.
Seperti Yaris Cross, versi hibrid ini juga boleh didapati dalam versi E-Four yang secara langsung menjadikan ia model All-Wheel-Drive dengan adanya motor elektrik kedua pada gandar belakang.
Sistem keselamatan pula didahului oleh Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-collision Safety System, Proactive Driving Assist dan Advanced Park. Selain kereta, sistem Pre-Collision berupaya mengesan motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal, manakala Proactive Driving Assist pula membantu pemandu dari segi kawalan stereng dan pendikit.
Untuk pasaran Jepun, Sienta ditawarkan dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk, dengan tiga varian (X, G dan Z) masing-masing untuk versi petrol, hibrid pacuan roda depan dan hibrid E-Four. Harga bermula dari 1,950,000 yen (RM64,020) hingga 3,108,000 yen (RM102,040).
ANDA pasti ada terlihat beberapa gambar Perodua Myvi dengan liveri polis yang tular beberapa minggu lepas. Pagi ini, Perodua secara rasmi menyerahkan lima unit Myvi 1.5 Advance kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor.
Majlis penyerahan itu dibuat di ibu pejabat pengeluar tersebut di Rawang, dan turut dihadiri oleh pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Kelima-lima Perodua Myvi yang diserahkan adalah dari generasi pra-facelift, dalam varian tertinggi 1.5 AV, dan ianya sebahagian dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat itu. Serahan ini juga hadir dengan sokongan servis dan penyelenggaraan percuma selama dua tahun oleh Perodua.
Menurut Arjunaidi, Perodua Myvi tersebut akan digunakan untuk tugas-tugas rasmi PDRM selain rondaan harian dalam pencegahan jenayah.
Tiga unit akan ditempatkan di balai-balai di Serendah, Rasa dan Ulu Yam, manakala baki dua akan ditempatkan di ibu pejabat polis daerah Hulu Selangor.
Myvi PDRM ini adalah standard, dengan liveri PDRM biasa iaitu biru dan kuning, dan sedikit warna hijau di sisi. Ia menggunakan keretas asal berwarna perak, dan bukan putih.
Terdapat tulisan ‘POLIS’ di hud dan pintu depan, manakala bahagian belakang mendapat tulisan kecil di kiri. Kemudian terdapat juga nama balai yang menerima Myvi ini, iaitu Serendah, Rasa, dan Ulu Yam Bharu.
Lampu beacon di atasnya menampilkan unit LED biru biasa, tetapi tiada lampu suluh berwarna putih yang cerah di bahagian sisinya. Kemudian pelengkap kepada Myvi PDRM ini adalah siren dengan beberapa mod bunyi, serta pembesar suara (loud hailer).
Enjin juga standard, jadi Myvi PDRM ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 102hp dan 136Nm tork, serta kotak gear automatik 4-kelajuan. Apa pun, hati-hati semua, King kini sudah menjadi polis!
KES kecurian kenderaan sedang meningkat dengan mendadak di sekitar bandaraya Detroit dan lebih malang lagi, ada di antaranya melibatkan kanak-kanak.
Dalam kes terbaru, pasukan polis Detroit berkata mereka telah menahan tiga kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam percubaan mencuri kereta pada 22 Ogos.
Mereka diberkas ketika sedang cuba mencuri Dodge Charger Hellcat dan Challenger Hellcat di tempat penyimpanan kereta di kilang Jefferson North Assembly Plant yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Detroit.
Sumber gambar: Fox 2 Detroit
Selain Charger dan Challenger Hellcat, tempat itu juga dijadikan lot penyimpanan untuk model-model lain di bawah payung Stellantis seperti Dodge Durango dan Jeep Grand Cherokee.
Polis Detroit berkata kes kecurian kenderaan di bandaraya itu menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu namun pihak polis sedang berusaha keras untuk membanteras aktiviti itu.
Menurut ketua unit kecurian auto komersial, Clive Stewart, ini merupakan pesalah paling muda yang terlibat dalam kes seperti ini. Baru-baru ini, mereka berjaya memberkas seorang pencuri kereta berusia 14 tahun yang juga merupakan pesalah berulang yang baru sahaja tamat hukuman pada Mei lalu.
Polis Detroit mengesyaki bahawa terdapat kemungkinan yang pesalah-pesalah juvana ini terlibat dalam sindiket curi kenderaan yang diketuai oleh orang lebih dewasa.
DIPERKENALKAN empat tahun yang lalu, Lamborghini Urus mungkin sedang mendominasi segmen SUV berprestasi tinggi mewah buat masa ini namun dengan kehadiran model-model seperti Aston Martin DBX 707 dan Ferrari Purosangue, pengeluar supercar dari Itali itu tidak lagi boleh berdiam diri.
Oleh itu, Lamborghini telah memperkenalkan versi yang lebih berkuasa dan ringan yang dikenali sebagai Urus Performante. Kemampuannya telah pun terbukti apabila ia mencatat rekod baharu dalam kategori SUV produksi dalam Pikes Peak International Hill Climb Road dengan catatan masa 10:32.064.
Apakah rahsia kehebatan jentera ini? Pertama sekali, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 telah dinaik taraf bagi menghasilkan 666 PS pada 6,000 rpm, iaitu 16 PS lebih tinggi berbanding Urus standard. Jumlah tork kekal pada 850 Nm, namun pengagihannya ditambah baik dengan adanya differential baharu.
Dengan peningkatan kuasa ini, masa pecutan 0-100 km/j berjaya dipendekkan dari 3.6 saat kepada 3.3 saat, manakala pecutan 0-200 km/j pula berkurang dari 12.8 saat kepada 11.5 saat. Kelajuan maksimum meningkat sebanyak 1 km/j kepada 306 km/j.
Selain itu, Urus Performante juga telah mengalami pengurangan berat sebanyak 47 kg, sekaligus memberikannya nisbah kuasa-ke-berat yang terbaik dalam kelasnya. Ini dicapai menerusi penggunaan komponen-komponen gentian karbon dan juga sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic.
Lamborghini turut mengemas kini casis SUV ini dengan menggunakan set spring keluli baharu yang membuatkan ia 20 mm lebih rendah, serta melebarkan jarak track sebanyak 16 mm. Ia didatangkan standard dengan rim berukuran 22 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero yang dibangunkan khusus. Pelanggan bagaimanapun boleh juga mendapatkan rim 23 inci.
Dari segi elektronik pula, sistem mod pemanduan Tamburo kini mempunyai mod baharu iaitu Rally yang ditala khusus untuk pemanduan di atas litar off-road dengan kecenderungan untuk oversteer.
Menurut Lamborghini, penyerahan pertama Urus Performante dijangka akan dilakukan pada akhir tahun ini. Harga bermula dari 218,487 euro (RM973,333).
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-Benz C-Class generasi kelima dalam versi pemasangan tempatan atau CKD.
Seperti versi import CBU yang memasuki pasaran pada Februari lalu, sedan eksekutif kompak yang dipasang di Pekan, Pahang ini ditawarkan dalam dua varian iaitu C200 Avantagarde Line dan C300 AMG Line, dengan harga masing-masing bermula dari RM287,888 dan RM327,888.
Melihat kepada spesifikasi yang diberikan, C-Class CKD mempunyai kelengkapan yang sama seperti versi CBU, cuma ia telah dikemas kini dengan penambahan Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan juga sistem keselamatan Pre-Safe.
Dari segi penampilan, C200 boleh dibezakan dengan C300 menerusi kit badan Avantgarde Line dan rim aloi berukuran 18 inci. C300 pula menggayakan kit badan AMG Line yang lebih agresif, rim aloi AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi boleh lipat dan juga perlindunan bawah badan.
Ruang dalaman pula menampilkan sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci. Turut disertakan adalah sistem navigasi, modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me, Apple CarPlay dan Android Auto.
C200 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 204 hp dan 300 Nm, manakala C300 pula hadir dengan enjin 2.0-liter yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan Integrated Starter Generator yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 15 kW dan 200 Nm.
Selain itu, C200 dan C300 juga berkongsi suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, serta sistem Dynamic Select.
KIA menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 baharu untuk kegunaan barisan jurulatih skuad Harimau Malaya.
Penyerahan itu adalah sebahagian dari kerjasama strategik antara jenama itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
MPV-MPV itu akan memudahkan urusan kerja Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan pemerhatian terhadap pemain-pemainnya di seluruh negara selain digunakan untuk melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.
Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.
“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.
“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana,” kata Datuk Haji Hamidin.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata: “DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.”
Kia Carnival 2022 merupakan versi CKD yang dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah, dan hadir dengan varian 7 dan 8 tempat duduk. Ia dijual pada harga antara RM231,228.80 hingga RM261,228.90.
Carnival 2022 dipacu oleh enjin 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.
SEDAR-sedar sudah 20 tahun berlalu sejak Koenigsegg CC8 mula memasuki pasaran. Legasi ini diteruskan dengan Koenigsegg CC850, hypercar moden yang nampak mirip kereta asal yang dikeluarkan pada 2002.
Walaubagaimanapun, di bawahnya sangat berbeza, termasuk kotak gear manual 9-kelajuan. Sekejap, biar betul?! Ya, anda tak salah membaca.
Kami akan terangkan selepas ini. Apa pun, beberapa angka. Koenigsegg berkata enjin pada CC850 ini adalah unit 5.0-liter V8 twin-turbo dari Jesko, dan ia menjana 1,385hp dengan bahan api E85.
Dengan petrol biasa, kuasanya menurun sedikit kepada 1,185hp. Tork pula adalah 1,385Nm dan menariknya, berat hypercar ini juga 1,385kg.
Baik, untuk kotak gear tadi. Sama seperti enjin dari Jesko, kotak gear juga dari model ini, yang merupkan “Light Speed Transmission”.
Di dalam kabin, tombol gearnya menampilkan rekaan gated shifter tetapi sedikit berbeza dari Jesko yang merupakan transmisi automatik sequential. Bagi CC850, terdapat pedal klac, bermakna kotak gear ini perlu anda tukar sendiri.
Walaubagaimanapun, ianya bukan sistem manual tradisional. Koenigsegg memasang sistem lebih moden untuk manual ini.
Hasilnya, sebuah kereta yang Koenigsegg gelarkan sebagai – TWMPAFMPC. Fuh, apa maksudnya? The World’s Most Powerful And Fastest Manual Production Car.
Dalam mod manual, CC850 boleh dipandu seperti kereta biasa. Klac perlu ditekan untuk menukar gear, dan jika anda melepaskan klac terlalu laju seperti anda lakukan pada Perodua Axia semasa di sekolah memandu, enjinnya akan termati.
Hanya enam kelajuan dari sembilan gear boleh digunakan pada satu-satu masa, dan gearnya bergantung kepada mod pemanduan. Hanya mod tertentu yang akan membolehkan anda akses kepada semua sembilan gear.
Untuk prestasi, Koenigsegg belum bersedia untuk mendedahkan sebarang angka. Dengan kuasa sedikit rendah berbanding Jesko, ia bukanlah jentera yang akan memecahkan rekod kelajuan tertinggi dunia.
Tetapi dengan lebih dua kali ganda kuasa dari CC8S asal, ia tidaklah perlahan juga.
Hanya 50 unit Koenigsegg CC850 akan dibina, sempena ulang tahun ke-50 pengasas jenama Sweden itu, iaitu Christian von Koenigsegg.
MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), bersama wakil pengedar rasmi Lofty Ambition (Rawang) Sdn Bhd, baru-baru ini telah melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors baharu yang terletak di Rawang.
Ia merupakan cawangan Mitsubishi Motors keempat yang dikendalikan oleh Lofty Ambition, selepas cawangan Ipoh, Taiping dan Sitiawan. Ia juga merupakan cawangan Mitsubishi Motors yang ke-16 di Lembah Klang.
Beralamat di Jalan Millenium, Pusat Perniagaan Rawang Millenium, cawangan baharu ini ditempatkan di tiga lot kedai dan kawasan berkeluasan 4,000 kaki persegi. Ia menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors yang selaras dengan slogan global ‘Drive Your Ambition’.
Di samping sebuah pusat servis yang serba lengkap dengan peralatan terkini, cawangan ini juga mempunyai ruang rehat dengan sambungan Wifi bagi memastikan keselesaan pelanggan. Waktu operasi adalah dari Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 6 petang dan Ahad dari 11 pagi hingga 4 petang.
“Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 2014 dan dalam tempoh lapan tahun ini, Lofty Ambition telah menubuhkan empat bilik pameran Mitsubishi. Ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap jenama Mitsubishi, dan komitmen untuk mengukuhkan lagi kehadiran Mitsubishi di Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.
Beliau menambah, “Bilik pameran baharu ini adalah untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Lembah Klang kerana kami melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya bagi trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander.”
Mengenai prestasi jualan syarikat, Shinya berkata sepanjang separuh pertama 2022, MMM berjaya menjual sebanyak 12,261 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Perkongsian pasaran MMM ketika ini adalah 4 peratus, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan di tangga tiga teratas bagi jenama bukan nasional di Malaysia.
SEORANG pengumpul kereta di Amerika Syarikat (AS) telah membeli sebuah Nissan Skyline R34 GT-R dengan harga hampir USD2 juta, lebih tepat lagi USD1,985,000! Ya, bukan Ringgit Malaysia tuan-tuan, tetapi Dollar AS.
Ini bersamaan RM8.9 juta. Tetapi ini bukan Nissan Skyline R34 biasa, sebaliknya versi NISMO Z-Tune. Tapi masih sangat mahal, bukan? Harga ini dikatakan empat kali ganda dari harga biasa.
GT-R Z-Tune ialah versi tertinggi dalam Skyline, paling diburu dan pastinya paling mahal. NISMO pada asalnya mahu membina sebanyak 20 unit, tetapi akhirnya hanya mengeluarkan 19 unit. Kesemua kereta juga dibina dan dipasang dengan tangan.
Kereta yang terjual ini difahamkan salah satu dari dua unit di Thailand, yang pertama pernah terjual juga di AS, dan yang kedua adalah unit ini.
Ianya dibeli oleh seorang pengumpul dengan nama samaran 458 Destroyer, yang memang peminat tegar Nissan GT-R dan pernah membeli hampir kesemua varian.
Difahamkan juga beberapa tahun lepas Z-Tune berharga sekitar USD500,000 (RM2.24 juta) tetapi disebabkan permintaan tinggi hari ini, dia membayar keseluruhan RM8.9 juta termasuk kos pengangkutan dan cukai.
Dari labih 50 kereta dalam koleksinya, 458 Destroyer meminati jentera Jepun (JDM) 90an serta eksotik moden, termasuklah dua Lexus LFA, sebuah LaFerrari, 599 GT0, sebuah Sheepy Lamborghini, Nissan R34 Paul Walker, RX-7 Veilside, dan banyak lagi.
Harga Nissan GT-R R34 telah melonjak naik beberapa tahun kebelakangan ini, dan harganya boleh sangat ‘keras’ untuk versi seperti Z Tune dan V-Spec II Nur.
Permintaan ini antaranya adalah disebabkan peminat di negara seperti AS dan Australia yang sanggup membayar dengan amaun berlipat ganda semata-mata minat mereka terhadap jentera JDM era ini.
Sedikit latar belakang mengenai Z-Tune, selain jumlah terhad, ia mencapai status tinggi kerana NISMO menala Skyline ini berdasarkan pengalaman mereka dalam perlumbaan seperti LeMans GT2 serta GT500.
Enjin pertama 2.8-liter 6-silinder turbo dikenali sebagai Z1 dan menghasilkan 500hp dan 540Nm, dengan pecutan 0-100 boleh dicapai dalam 3.8 saat, cukup pantas semasa tahun 2003. Kelajuan maksima tidak dihadkan, dan angka 300km/j tidak mustahil.
SETELAH hampir 20 tahun, Bugatti akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan enjin W16 bagi membolehkannya melangkah ke era hibrid dan elektrifikasi bersama Rimac. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan model terakhir yang dikuasakan oleh enjin quad turbo berkenaan. Memperkenalkan, Bugatti W16 Mistral.
Menurut Bugatti, W16 Mistral dinamakan sempena angin yang bertiup di lembah Rhone River. Unit berwarna hitam hangat dengan sedikit perincian coklat truffle dan aksen kuning diinspirasikan oleh Type 57 Roadster Grand Raid keluaran tahun 1934 yang kini dipamerkan di Muzium Louwman di Den Haag.
Namun seperti yang boleh dilihat, bentuk badan roadster ini membawakan elemen-elemen daripada beberapa model semasa Bugatti. Sebagai contoh, lampu belakang yang berbentuk X adalah daripada Bolide, manakala rekaan lampu depan pula adalah gabungan antara Divo dan La Vouitre Noire.
Ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Chiron, namun untuk W16 Mistral, jurureka menggunakan tombol gear yang diperbuat daripada blok aluminium yang dihiasi dengan kemasan kayu dan amber. Panel pintu pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang ditenun.
Sudah tentu, ‘nadi’ jentera ini adalah enjin 8.0-liter W16 dengan 1,600 PS. Ia merupakan versi enjin yang sama seperti pada Chiron Super Sport 300+ yang mencapai kelajuan 304.773 bsj (490.484 km/j) pada 2019. Bugatti berhasrat untuk menjadikan W16 Mistral kereta roadster terpantas di dunia bagi mengalahkan pemegang rekod semasa iaitu Hennessey Venom GT Spyder.
Pengeluaran W16 Mistral akan dihadkan kepada 99 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga 5 juta euro (kira-kira RM22.5 juta). Jangan terkejut kerana semuanya telah habis terjual!
HINDUSTAN Aeronautics Limited (HAL) baru-baru ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur.
HAL Tejas. Sumber: Eurasian Times
Firma aeroangkasa dan pertahanan India itu berbuat demikian bagi meneroka tawaran baharu di Asia Tenggara.
“Pejabat di Malaysia akan membantu HAL dalam memanfaatkan peluang perniagaan baharu untuk jurulatih utama pejuang (FLIT) LCA dan keperluan lain Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti naik taraf Su-30 MKM dan Hawk,” kata HAL dalam satu kenyataan pada Khamis.
MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar HAL (pesawat tempur ringan) Ravi K dan Mejar (Bersara) Mohd Husairi Mat Zain dari syarikat Malaysia Forte Drus, wakil rasmi HAL di Malaysia.
India membida untuk menjual 18 LCA Tejas kepada Malaysia dengan mengemukakan cadangan itu pada Oktober 2021.
“Keputusan akhir tender dijangka akan diumumkan tidak lama lagi oleh pihak berkuasa Malaysia. LCA Tejas mempunyai peluang yang adil untuk dipilih dalam bidaan itu kerana ia memenuhi semua syarat yang dicari oleh TUDM,” kata HAL dalam kenyataannya.