Arkib Kategori: BERITA

Hayden Haikal menang lagi di kejuaraan Thailand Idemitsu Super Turbo

HAYDEN Haikal telah memperoleh kemenangan ketiga dan tempat keenam dalam Round 2 bagi Idemitsu Super Turbo Championship di Litar Antarabangsa Chang, Buriram Thailand hujung minggu lalu.

Ini menjadikan pelumba remaja Malaysia itu berada selesa di tempat teratas kejuaraan dengan kutipan mata tertinggi.

Dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan setakat ini, Hayden dan Toyota Vios #437 Wing Hin Motorsport terus menunjukkan dominasi mereka dalam Junior Class (Normally Aspirated) bagi enjin 1500cc.

Mereka juga antara pesaing teratas keseluruhan di samping kereta-kereta turbo dan lebih berkuasa.

Untuk hujung minggu baru-baru ini, perlumbaan agak mencabar bagi Hayden. Insiden pada sesi latihan bebas hari Jumaat menyebabkan pasukan terpaksa bekerja keras membaiki kereta dengan baki tiga jam sebelum kelayakan bermula.

Hayden dan pasukan terus menunjukkan taring dengan memperoleh posisi ketiga dalam kelayakan.

Race 1 pada Sabtu bermula dengan baik dimana Hayden berada di tempat ke-12 sebelum mengalami masalah transmisi di pertengahan perlumbaan.

Pelumba berusia 18 tahun itu menghabiskan perlumbaan dengan hanya gear 5, tamat di tempat ke-21 dan keenam dalam kelasnya.

Kemudian dalam Race 2 pada hari Ahad, Hayden berjaya berada di tempat pertama dalam kelasnya, dan tamat di tempat kelapan keseluruhan di belakang jentera-jentera turbo.

Dia pada mulanya tamat di tempat kedua tetapi dinaikkan ke tempat pertama disebabkan pemenang dikenakan penalti.

“Permulaan perlumbaan agak kecoh dengan banyak kereta kemalangan di jalan lurus utama. Saya bernasib baik dapat mengelak dari insiden sebelum bendera merah dikibarkan.

“Apabila perlumbaan dimulakan semula, saya berentap dengan tiga kereta teratas dalam kelas,” kata Hayden.

Sejak memulakan perlumbaan Idemitsu Super Turbo pada Mac, Hayden telah memperoleh kemenangan berturut-turut dalam dua permulaan pembukaan.

Perlumbaan seterusnya akan diadakan pada 18 hingga 23 Jun 2023.

Toyota, Daihatsu, Suzuki akan perkenal van komersial mini elektrik

TIGA pengeluar kenderaan dari Jepun iaitu Toyota, Daihatsu dan Suzuki bakal memperkenalkan prototaip van komersial mini yang bernadikan kuasa elektrik.

Prototaip EV itu akan diperkenalkan kepada umum dalam satu acara pameran yang dianjurkan oleh Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) pada bulan ini.

Acara berkenaan mengetengahkan usaha industri automotif dalam mencapai neutraliti karbon dan berlangsung sekali dengan G7 Hiroshima Summit.

Prototaip van komersial mini EV itu dibangunkan secara bersama oleh ketiga-tiga syarikat tersebut. Ia melibatkan kepakaran Suzuki dan Daihatsu dalam mencipta kenderaan bersaiz kecil dan teknologi elektrifikasi Toyota.

Seperti yang boleh dilihat menerusi gambar-gambar ini, setiap jenama akan memperkenalkan versi masing-masing yang dikenali sebagai Toyota Pixis Van, Daihatsu Hijet Cargo dan Suzuki Every. Bagaimanapun, hanya Daihatsu yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan ketiga-tiga model ini.

Commercial Japan Partnership Technologies Corporation (CJPT) turut terlibat dalam perancangan model-model van komersial mini EV ini untuk mendapatkan spesifikasi optimum bagi logistik jarak terakhir (last mile) yang cekap.

Perincian mengenai spesifikasi van-van ini masih belum diumumkan namun ia dianggarkan mempunyai jarak perjalanan kira-kira 200 km. Pembangunan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan pelanggan dalam industri penghantaran.

GoCar Subs Electric perluas barisan EV, kini ada 7 pilihan model

GOCAR Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menambah beberapa model kenderaan elektrik (EV) ke dalam rangkaian GoCar Subs Electric, bersama pilihan pelan langganan mingguan dan bulanan.

Menurut syarikat itu, penambahan rangkaian model EV dan pelan langganan dalam jangka masa lebih pendek bertujuan memudahkan dan menjadikannya lebih mampu milik buat pelanggan di Malaysia.

Ini selaras dengan usaha berterusan GoCar untuk meningkatkan akses dan kebolehdapatan EV kepada orang ramai.

Rangkaian model GoCar Subs Electric kini terdiri daripada tujuh model iaitu Nissan Leaf, Renault Zoe baharu, Hyundai Kona EV, Hyundai Ioniq 5, Great Wall Motor Ora Good Cat, MINI Electric dan Tesla Model Y.

Kadar langganan bermula RM120 sehari untuk pelan bulanan dan RM171 sehari bagi pelan mingguan. Kadar dikira berdasarkan yuran langganan masing-masing dan Penepian Kerosakan Perlanggaran (CDW) mandatori.

Kadar langganan mingguan dan bulanan GoCar Subs Electric adalah seperti berikut:

Untuk membuat tempahan, daftar satu akaun GoCar Subs menerusi aplikasi mudah alih GoCar atau laman web GoCar Subs dan pilih model yang diminati.

Kenderaan akan disediakan dalam tempoh 14 hari (bergantung kepada kebolehdapatan) sebaik sahaja bayaran dibuat yang merangkumi sekali yuran langganan dan deposit sekuriti yang akan dipulangkan semula.

Program GoCar Subs Electric kini ditawarkan di Lembah Klang untuk semua model. Bagi memudahkan urusan pengecasan, semua model EV GoCar Subs disertakan dengan kad chargEV. Kad percuma chargEV menawarkan akses percuma kepada semua pengecas AC, kecuali di Starbucks dan BMW. ChargEV mempunyai rangkaian lebih 300 stesen pengecasan di seluruh negara.

Untuk melihat semua pilihan EV yang ada, layari laman web GoCar Subs Electric.

Nombor plat pendaftaran FF catat kutipan RM34.3 juta, lebih 34k pembida

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa nombor pendaftaran siri FF yang dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya merekodkan hasil kutipan berjumlah RM34,296,327 juta.

Menurut Loke, ini merupakan kutipan paling tinggi sejak bidaan nombor pendaftaran secara dalam talian dibuka kepada orang awam menerusi sistem JPJ eBid.

Rekod bidaan menunjukkan FF8 muncul sebagai nombor pendaftaran paling tinggi dibida dengan nilai RM950,000, diikuti FF9 dengan nilai RM911,999, FF3 dengan nilai RM639,000, FF2 dengan nilai RM638,000 dan FF7 dengan nilai RM633,000.

Tambah beliau lagi, proses bidaan yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei itu mendapat sambutan yang luar biasa dengan penyertaan seramai 34,032 orang. Daripada jumlah itu, 8,348 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

Loke berkata, lima nombor pendaftaran yang paling diminati ialah FF199 dengan 34 orang pembida, diikuti FF51 dengan 32 pembida dan FF155, FF555 dan F168, masing-masing dengan 29 pembida.

Bercakap dalam sidang media, Loke berkata siri nombor pendaftaran FF amat diminati kerana abjadnya sama. Beliau juga difahamkan bahawa siri tersebut mempunyai ramai peminat dikalangan pemilik Ferrari.

Tambah Loke lagi, proses bidaan yang sepatutnya ditutup pada 18 Mei lalu juga terpaksa dilanjutkan selama 24 jam kerana ramai yang membuat bidaan pada saat akhir hingga menyebabkan sistem JPJ eBid tergendala.

Toyo Proxes Sport 2 tiba di Malaysia, dari RM700 seunit

TOYO baru sahaja melancarkan generasi kedua bagi tayar prestasi tinggi mereka, iaitu Proxes Sport 2. Pelancaran dibuat di Genting Highlands, suatu tempat yang sinonim dengan ‘pemanduan bersemangat’ untuk pelumba jalanan mempamerkan kehebatan mereka.

Jadi, mungkin Toyo Proxes Sport 2 boleh menjadi salah satu tayar sesuai untuk kereta-kereta mereka sebelum mereka terbabas dan menyusahkan pemandu-pemandu lain.

Toyo Proxes Sport 2 direka dengan teknologi-teknologi moden terkini. Menurut wakil Toyo dari Jepun yang berada di acara pelancaran, tayar baharu ini merupakan satu evolusi penting dari segi inovasi dan teknologi.

Tayar sport terbaharu ini menampilkan beberapa teknologi dan ciri seperti Asymmetric Tread Compound, rekaan profil baharu, dan rekaan corak khas. Kesemua ini bagi mencapai dua matlamat iaitu pengendalian tepat dan cengkaman mantap di permukaan basah.

Menurut Toyo, tayar ini sesuai bagi kenderaan segmen-C hingga segmen-F, dan boleh didapati dalam 31 saiz dari 18- hingga 20-inci. Jadi bagi anda yang menggunakan rim bersaiz 17-inci dan ke bawah, mungkin harus mencari tayar model lain dahulu.

Harga jualan rasmi bagi Toyo Proxes Sport 2 adalah di antara RM700 hingga RM1,300 seunit dan kini boleh didapati di semua pengedar dan penjual sah tayar Toyo.

Volkswagen Polo GTI Edition 25 – model edisi terhad ulang tahun ke-25

TAHUN 1998 merupakan kali pertama Volkswagen meletakkan nama ‘GTI’ yang ikonik pada model Polo. Bagi meraikan peristiwa penuh sejarah itu, Volkswagen telah memperkenalkan model edisi terhad Polo GTI Edition 25.

Terhad kepada 2,500 unit sahaja, Polo GTI Edition 25 tampil berbeza dengan grafik honeycomb dan nombor 25 pada bahagian sisi, kemasan hitam pada bumbung dan cermin sisi, serta rim Adelaide 18 inci dalam warna Glossy Black.

Selain itu, ia boleh didapati dalam warna baharu Ascot Grey, di samping pilihan warna yang sedia ada iaitu Pure White, Kings Red Metallic, Reef Blue Metallic, Smoke Grey Metallic dan Deep Black Pearl Effect.

Tidak dilupakan adalah perincian berwarna merah pada gril, angkup brek dan tulisan GTI pada tailgate.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport dengan balutan kulit hitam-merah dan logo GTI yang disulam, kemasan hitam berkilat dan tulisan GTI berwarna merah.

Logo “One of 2500” pada ambang pintu pula akan mengingatkan pemandu bahawa kereta yang dipandu adalah model edisi terhad.

Polo GTI Edition 25 tidak diberikan sebarang penambahbaikan dari segi prestasi. Ini kerana hot hatch ini sudah cukup berkuasa, dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 207 PS dan 320 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat.

Biarpun begitu, aspek pengendaliannya telah dipertingkatkan menerusi penambahan sistem suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 15 mm.

Menurut Volkswagen, ia mampu memberikan pengendalian yang lebih tepat dan tahap cengkaman lebih tinggi apabila digabungkan dengan electronic differential lock XDS.

Pelanggan yang mementingkan keselamatan boleh mendapatkan pakej IQ.DRIVE yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu termasuk Travel Assist. Ciri ini boleh mengawal stereng, brek dan pecutan dari kelajuan 0 hingga 210 km/j untuk pemanduan separa autonomi.

Polo GTI Edition 25 akan dibuka untuk tempahan di Jerman bermula 1 Jun ini, dengan harga 35,205 euro (~RM172,479).

BMW S 1000 RR baharu kini di Malaysia – RM129,500

SELEPAS melancarkan BMW R 1250 R dan R 1250 RS tempoh hari, BMW Motorrad Malaysia akhirnya mengakhiri penantian peminat superbike dengan pelancaran BMW S 1000 RR baharu.

Apa yang baharu pada model ini? Untuk 2023, S 1000 RR didatangkan dengan winglet pada bahagian depan yang bukan sahaja membuatkan ia tampil lebih garang, malah mampu meningkatkan kecekapan aerodinamiknya.

Selain itu, BMW Motorrad turut menambah baik aspek geomteri casis dengan mendatarkan sudut kepala stereng sebanyak 0.5 darjah serta mengurangkan offset pada bahagian pengapit bertiga (triple clamp) sebanyak 3 mm.

Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris namun kuasanya telah dipertingkatkan kepada 210 PS pada 13,750 rpm, iaitu 3 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jumlah tork yang dihasilkan pula adalah 113 Nm pada 11,000 rpm.

Turut diberi penambahbaikan adalah aspek elektronik, di mana ciri Slide Control baharu dalam sistem Dynamic Traction Control (DTC) mampu memberikan bantuan kepada penunggang semasa memecut keluar dari selekoh.

Ciri tersebut didatangkan dengan dua sudut drift preset bagi DTC yang memanfaatkan sensor sudut stereng bagi mengurangkan kegelinciran dan menstabilkan motosikal semasa dalam keadaan menyendeng.

Satu lagi ciri baharu yang disertakan adalah Brake Slide Assist yang merupakan sebahagian daripada ABS Pro. Juga memanfaatkan sensor stereng, ciri ini membolehkan penunggang membuat pratetapan sudut drift untuk memasuki selekoh pada kelajuan yang terkawal.

Di samping itu, S 1000 RR juga didatangkan dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada jentera ini termasuklah Race ABS, Hill Start Control, Shift Assist Pro, lampu isyarat LED, lampu depan dan belakang LED dan M GPS Laptrigger.

Turut disertakan adalah Dynamic Package yang merangkumi Riding Mode Pro, HSC Pro, Dynamic Brake Control, Dynamic Damping Control, pemanas penggenggam dan Cruise Control.

S 1000 RR boleh didapati dalam dua warna iaitu Style Passion dalam warna Racing Red dan M Package Lightwhite. Harga jualan bermula dari RM129,500 untuk Style Passion dan RM149,500 untuk M Package Lightwhite.

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan – Menteri KPDN

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang melibatkan beberapa kementerian semalam (17 Mei 2023) bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Katanya perbincangan itu melibatkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kesemua kementerian ini melihat dan sedang menyiapkan satu pangkalan data bersepadu bagi proses penyelarasan data yang berkesan.

Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat dan berkesan apabila ia (subsidi bersasar diesel) dilaksanakan,” katanya.

Pada Februari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Lamborghini Urus Performante Essenza SCV12 diperkenalkan

DIPERKENALKAN pada Julai 2020, Lamborghini Essenza SCV12 merupakan hypercar ekstrem yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di litar lumba sahaja. Hanya 40 unit sahaja ditawarkan.

Kini, 40 individu yang memiliki model itu berpeluang untuk memperluaskan lagi koleksi Lamborghini mereka menerusi satu lagi model edisi terhad iaitu Urus Performante Essenza SCV12.

Dihasilkan oleh divisyen Ad Personam, pemilik Urus Performante Essenza SCV12 bebas untuk mengkonfigurasikan SUV mereka dengan elemen-elemen yang diinspirasikan daripada hypercar tersebut.

Ini termasuk bahagian-bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon seperti bonet, bumbung, cermin sisi serta bingkai yang menampilkan logo Lamborghini yang diletakkan di antara lampu belakang.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh memilih livery dwi-tona serta nombor masing-masing supaya sepadan dengan Essenza SCV12 mereka. Seperti hypercar itu, bahagian bawah badan menampilkan warna hitam.

Setiap unit dilengkapi dengan rim berukuran 23 inci dan angkup brek yang didatangkan secara standard dalam warna hitam. Sudah tentu, warna rim dan angkup brek tersebut boleh ditukar mengikut citarasa masing-masing.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri Alcantara berwarna hitam Nero Cosmus, trim kulit, gentian karbon dengan kemasan berkilat atau matte, elemen aluminium dan Dark Package. Papan pemuka pada bahagian penumpang menampilkan logo Essenza SCV12.

Bagi menjadikan model ini lebih unik, Lamborghini turut menyertakan dua plak gentian karbon pada bahagian penumpang. Satu menampilkan logo ulang tahun ke-60 Lamborghini, manakala satu lagi memaparkan nombor kenderaan dan nama pemilik.

Sayangnya, Urus Performante Essenza SCV12 tidak mempunyai ‘nadi’ V12 seperti jentera lumba itu. Seperti Urus Performante versi standard, ia dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menjana 666 PS dan 850 Nm.

Walaupun begitu, prestasi SUV ini masih mengagumkan, dengan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam hanya 3.3 saat dan kelajuan maksimum mencecah 306 km/j. Sebagai perbandingan, Essenza SCV12 mempunyai 830 PS yang dibekalkan oleh enjin naturally aspirated 6.5-liter V12.

Honda CRF1000L Africa Twin dalam skala 1/6 oleh Tamiya

TAMIYA baru-baru ini mempamerkan model Honda CRF1000L Africa Twin dalam skala 1/6 di acara Shizuoka Hobby Show 2023. Motosikal adventure itu menjadi model terbaharu dalam siri model skala plastik oleh pengeluar model dan mainan dari Jepun itu.

Model dalam skala 1/6 itu menampilkan perincian yang sangat tepat dengan motosikal sebenar yang turut dipamerkan di belakangnya. Selain dari komponen utama plastik, terdapat skru dan syaf untuk meningkatkan rupa realistik padanya.

Antara ciri lain pada model ini termasuklah:

  • Lampu depan dengan plastik jernih
  • Komponen tambahan untuk pedal kaki dan tongkat tengah
  • Fork depan dengan bahagian tiub luar dan dalam besi dan spring, spring belakang berwarna merah
  • Rim yang terdiri dari empat komponen berasingan untuk rupa realistik
  • Tayar getah sintetik

Honda CRF1000L Africa Twin ialah motosikal adventure touring yang mengambil inspirasi jentera off-road yang menjadi juara Paris-Dakar 4-kali.

CRF1000L mula dipasarkan pada 2015 dan menampilkan enjin parallel-twin 998cc dengan 92hp. Ia turut mendapat ciri seperti transmisi dwi-klac, kawalan tork untuk permukaan licin, dan brek ABS.

Kit Tamiya skala 1/6 ini pastinya memberikan pengalaman menarik untuk anda membina dan memasang sendiri Honda Africa Twin sebelum mempamerkannya di atas meja di rumah anda.

Kit ini dikenali sebagai Item 16042 dan boleh didapati di laman web rasmi Tamiya dengan harga USD312 (RM1,420).

Caltex tawar mata ganjaran setiap kali anda isi minyak

CHEVRON Malaysia Limited selaku pemasar jenama Caltex telah melancarkan program loyalti mereka iaitu Caltex Rewards. Program ini yang boleh didapati dalam aplikasi CaltexGO membolehkan anda mengisi minyak, mengumpul mata dan menebus pelbagai ganjaran dalam transaksi sama.

Program ini sah di semua stesen Caltex di Malaysia dan bagi memberikan lebih kemudahan serta pengalaman mengisi bahan api lebih memuaskan.

Caltex Rewards boleh digunakan sama ada di aplikasi mudah alih CaltexGO, laman web, atau di dalam kedai, dan merupakan hasil kerjasama dengan FamilyMart, Lotus, dan Grab.

Mata ganjaran yang dikumpul dari transaksi boleh digunakan untuk mendapat diskaun dari pembelian bahan api. Ahli-ahli Caltex Rewards juga boleh memilih pelbagai ganjaran dari penebusan minyak sehingga e-baucar dari katalog, dimana perinciannya boleh didapati di laman web dan aplikasi.

Untuk menjadi ahli, hanya perlu daftar di mana-mana stesen Caltex di Malaysia. Mereka yang mendaftar melalui aplikasi atau laman web akan mendapat 500 mata selamat datang (RM5).

Mata ganjaran juga boleh digandakan dengan mendapat dua mata untuk setiap liter bahan api. Terdapat juga bonus 500 mata hari jadi yang diberikan setiap tahun. Aplikasi CaltexGO boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play Store.

Dean Gilbert, pengerusi Chevron Malaysia Limited berkata: “Untuk pengguna jalan raya di Malaysia, mengisi minyak merupakan tugas rutin yang membuatkan mereka kerap ke stesen minyak. Tawaran Caltex Rewards mudah – apa kata anda dapat ganjaran setiap kali anda mengisi minyak?”

“Tiada kos tambahan, tiada perbelanjaan minima, dan tidak menyusahkan. Caltex Rewards membolehkan anda mendapat mata ganjaran setiap kali mengisi minyak, tidak kira berapa nilainya.”

MINI John Cooper Works 1to6 Edition – manual, 999 unit sahaja

JANGAN tak tahu, MINI adalah antara beberapa jenama yang mempunyai sejarah yang panjang dalam sukan permotoran. Sebagai tanda meraikan asal-usulnya, ia telah melancarkan model John Cooper Works 1to6 Edition yang terhad kepada 999 unit sahaja.

Nama ‘1to6’ dipilih bersempena dengan kotak gear manual enam kelajuan, yang merupakan satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan untuk model ini.

Transmisi itu dipadankan dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang sama seperti pada model JCW biasa. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 231 PS dan 320 Nm.

Dari segi penampilan, JCW 1to6 Edition boleh dibezakan menerusi beberapa elemen termasuk warna Midnight Black, jalur pada bahagian bonet, bumbung dan but, serta rim Circuit Spoke 18 inci berwarna Jet Black.

Sebagai pelengkap, terdapat logo ‘1to6’ eksklusif dalam warna perak, merah dan putih pada bahagian sisi dan tiang C bagi memastikan orang ramai tahu bahawa ini bukanlah calang-calang model.

Tidak cukup dengan itu, logo edisi ‘1to6’ juga ditampilkan pada bahagian ambang pintu, stereng, papan pemuka dan karpet. Malah, kunci pun dihiasi dengan logo yang sama. Akhir sekali, anda akan menemui tulisan ‘One of 999’ pada bahagian kiri stereng.

Menurut MINI, JCW 1to6 Edition akan membuat penampilan sulungnya di perlumbaan perlumbaan 24 Jam Nurburgring pada 20 Mei ini.

Model ini akan dijual bermula September tahun ini, namun ia hanya akan ditawarkan di Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

LIMA 2023: The Black Eagles tiba dengan lapan T-50, singgah Kuantan sebelum Langkawi

PASUKAN aerobatik The Black Eagles hari ini tiba di Malaysia setelah berlepas dari Korea Selatan untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

The Black Eagles yang merupakan pasukan dari Tentera Udara Diraja Korea (ROKAF) itu berlepas dan terbang melalui Filipina, sebelum singgah di Kuantan, Pahang.

Menurut siaran di Facebook The Republic of Korea Air Force Aerobatic Team, Black Eagles 블랙이글스, mereka berlepas dari Wonju, dan tiba di Clark, Filipina melalui Jeju dan Kaoong.

“The Black Eagles akan menyertai Pameran Udara Lima di Langkawi, Malaysia dari 23 hingga 27 Mei!” tulis siaran itu.

Beberapa pesawat T-50 The Black Eagles berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.

Dalam pada itu, rakan penulis Engear berkongsi video pesawat-pesawat The Black Eagles yang sedang berlepas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, petang tadi.

Difahamkan pasukan itu singgah di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

The Black Eagles menerbangkan pesawat KAI T-50 Golden Eagle yang merupakan pesawat latihan supersonic yang digunakan tentera udara Korea Selatan.

T-50 juga mempunyai varian LCA (light combat aircraft) iaitu FA-50 yang telah ditempah oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam program Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Pengeluar FA-50, Koraea Aerospace Industries Co (KAI), pada Februari lepas dilaporkan telah menandatangani kontrak bernilai 1.2 trilion won (RM4.08 bilion) untuk membekalkan 18 pesawat pejuang kepada Malaysia.

Sumber gambar: Facebook

Peugeot 2008 SE, e-2008 dan Landtrek dipamerkan di 1 Utama hingga 25 Mei

BERMULA 17 hingga 25 Mei ini, Bermaz Auto Alliance akan mengadakan siri jelajah Peugeot bertempat di LUXE Concourse, pusat beli-belah 1 Utama, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Acara itu akan menampilkan beberapa model terbaharu Peugeot termasuk 2008 SE dan e-2008. Turut ditampilkan adalah trak pikap Landtrek, 2008 dan juga 3008.

Peugeot 2008 SE

Dilancarkan ke pasaran tempatan pada April lalu, 2008 SE tampil lebih menonjol dengan grafik unik pada bahagian bonet dan sisi, serta kemasan Matte Black pada bampar hadapan dan belakang. Sebagai pelengkap, ia juga didatangkan dengan rim 17 inci berwarna Piano Black.

Model ini ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak RM2,900 berbanding model standard. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Fusion Orange dan Pearl White.

Peugeot e-2008

Dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Autoshow 2023 tempoh hari, e-2008 merupakan versi elektrik bagi 2008. Ia dipacu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 136 PS dan 260 Nm, membolehkan crossover ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 10 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti 50 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 320 km dengan satu cas penuh. Bateri ini boleh dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit menggunakan pengecas DC 100 kW.

Peugeot Landtrek

Landtrek merupakan trak pikap saiz pertengahan yang tampil cukup bergaya dengan gril menegak bersama logo Peugeot Lion di tengah, lampu signatur LED dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar bersaiz 265/60. Turut disertakan adalah paparan instrumen digital 4.2-inci, skrin infotainmen 10-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem pendingin hawa dwi-zon.

Ia dipacu oleh enjin 1.9-liter diesel turbo empat silinder dengan 150 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Tayar BFGoodrich g-Force PHENOM T/A dilancarkan di Malaysia

BFGoodrich telah memperkenalkan tayar baharu ke pasaran Malaysia iaitu g-Force PHENOM T/A ke pasaran Malaysia.

Menurut syarikat itu, tayar jalan raya berprestasi tinggi ini dirumus untuk menaik taraf pengalaman pemanduan dalam kondisi basah mahupun kering, selain menjamin pemanduan yang cemerlang dari posisi henti, serta semasa membelok dan membrek secara agresif.

Prichapakorn Dangrojana, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, berkata, “Menjamin prestasi luar biasa dengan nilai yang hebat, tayar baharu ini dijangka mampu menarik perhatian para pengguna baharu terhadap jenama ini, dan mempelawa mereka untuk mengalami dunia pemanduan prestasi.”

Berikut adalah antara kelebihan utama tayar BFGoodrich g-Force PHENOM T/A:

  • Teknologi “Performance Racing Core” yang memelihara bentuk yang optimum semasa membelok pada kelajuan tinggi dan memberi kawalan maksimum
  • Teknologi “Ulti-Grip” memberikan prestasikan prestasi basah yang cemerlang, manakala “Wide Circumferential Rain Grooves” menyingkirkan air dengan cepat
  • “Solid Shoulder Blocks” lebih besar yang diilhamkan oleh pengalaman dalam sukan permotoran membolehkan pemandu membelok dengan lebih yakin sepanjang hayat tayar
  • “Lateral Groove Damper” membantu mengurangkan bunyi semasa menyusur di jalan raya
  • Didatangkan dengan waranti enam tahun untuk tayar kereta penumpang dan lori ringan

Tayar BFGoodrich g-Force PHENOM T/A kini tersedia menerusi wakil pengedar BFGoodrich yang bertauliah di seluruh negara.

Ia ditawarkan dalam 25 saiz tayar dalam lingkungan 16 hingga 20 inci, dengan harga bermula dari RM500 hingga RM1,300.

Ops Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara – PDRM, JPJ dan AADK

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi khas ke atas motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara setelah mengambil maklum mengenai penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menunggang pada kelajuan tinggi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata selain menunggang pada kelajuan tinggi, pelbagai kesalahan lalu lintas lain turut dikesan.

“Sebagai langkah pencegahan, JSPT akan mengadakan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara yang mana tumpuan akan diberikan kepada penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Umum mengetahui motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Nasri lagi, JSPT akan sentiasa memberi penekanan terhadap penunggang motosikal terutamanya melibatkan motosikal berkuasa tinggi dengan mengadakan Op Khas ini.

Gambar oleh: MalayMail

Mereka yang terlibat dengan kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit salah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

JSPT menasihatkan semua pemilik motosikal berkuasa tinggi supaya sentiasa berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.

“Tindakan lain juga boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” ujarnya.

Pelaksanaan Ops Khas ini juga diadakan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ingress Swede Automobile tawar program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT

INGRESS Swede Automobile kini menawarkan program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT di bilik pameran mereka yang terletak di Mutiara Damansara.

Program ini menampilkan pelbagai kenderaan Volvo terpakai berkualiti tinggi yang telah melalui ujian dan pemeriksaan menyeluruh.

Menerusi Volvo SELEKT, pelanggan juga dijanjikan perkhidmatan yang profesional dan ketenangan dalam setiap pembelian.

Rabian Ab Rahman, Pengarah Urusan Ingress Swede Automobile, “Sebagai pengedar sah untuk Volvo Car Malaysia, kami sentiasa berusaha meneroka peluang baharu agar terus berkembang dan berinovasi dalam industri automotif di Malaysia.

“Program ini bukan sahaja merupakan tambahan mantap kepada portfolio kami yang sedia ada, tetapi juga seiring dengan visi jangka panjang kami,” katanya.

Setiap kenderaan Volvo terpakai di bawah program SELEKT menjalani proses ujian dan pemeriksaan menyeluruh 125 mata untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi.

Setiap kenderaan turut didatangkan dengan jaminan minimum selama 12 bulan dan perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam.

Bukan itu sahaja, Volvo SELEKT juga hanya menjual hanya kenderaan bebas kemalangan dan banjir yang diluluskan dengan jaminan kurang dari lima tahun atau 100,000 km jarak perbatuan.

Berikut adalah antara kelebihan yang ditawarkan oleh program Volvo SELEKT:

  • Pemulihan dengan teliti: Semua kenderaan Volvo SELEKT diubahsuai dengan teliti menggunakan alat ganti dan aksesori tulen Volvo, serta perisian terkini.
  • Rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan: Semua kenderaan akan menjalani pengesahan rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan.
  • Pakej perkhidmatan: Pakej Perkhidmatan Penyelenggaraan Volvo (VSA)-5 atau 3 ditawarkan untuk mengurangkan kos pemilikan jangka panjang bagi pemilik baru. Pakej penyelenggaraan percuma selama sekurang-kurangnya 1 tahun turut diberikan.
  • Pakar yang sah dan terlatih: Warga kerja di pusat servis Volvo SELEKT yang terlatih dan berkemahiran tinggi untuk menjelaskan semua ciri dan fungsi kenderaan secara terperinci kepada pelanggan.
  • Lokasi strategik: Terletak di Lembah Klang, menjadikannya mudah diakses oleh pelanggan.

Kedai kenderaan terpakai jual kereta kepada warga asing

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) giat mengesan premis menjual kenderaan terpakai yang aktif menjual kereta kepada warga asing.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, premis berkenaan akan menerima bayaran secara tunai bagi memudahkan urusan dan mengelakkan dikesan.

Menurut beliau, sebuah syarikat sudah dikesan menjual sehingga 10 kenderaan dan tiada pertukaran maklumat pembeli. Ada beberapa premis yang sudah disenarai untuk diambil tindakan di mahkamah.

Mohd Misuari berkata, sebelum ini mereka bebas datang ke JPJ untuk membayar kompaun dan membawa pulang kenderaan apabila kenderaan itu disita.

“Kita juga sedang memikirkan tindakan yang boleh diambil sebagai pengajaran. Bukan untuk menghukum tetapi mengelakkan perkara itu tidak menjadi satu amalan,” katanya.

Menurut Mohd Misuari, ada penahanan membabitkan etnik Rohingya yang membeli kenderaan selepas menerima wang sebanyak RM2,000 daripada abangnya di Australia semata-mata untuk membeli kereta di sini.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 24 kes kesalahan pemanduan dan pemilikan kenderaan melibatkan etnik Rohingya didakwa di mahkamah dalam tempoh hampir dua bulan.

Tambah beliau, jumlah denda keseluruhan ialah RM85,000.

“Alasan mereka ketika ditahan ialah meminjam kenderaan dan menyewa tetapi yang pasti ada transaksi pembelian antara warga tempatan,” katanya.

Jelasnya, warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah akan menyukarkan untuk membuat tuntutan insurans pihak ketiga sekiranya terlibat dengan kemalangan.

“Pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu juga tidak terlatih dan tidak cekap mengendalikan kenderaan serta tidak memahami undang-undang jalan raya seterusnya boleh mengundang risiko berlaku kemalangan,” katanya.

Lexus RX 350 generasi baharu dilancarkan di Malaysia – RM469k

LEXUS Malaysia telah melancarkan Lexus RX generasi kelima ke pasaran tempatan, di mana ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu RX 350 Luxury.

Harga jualan bermula dari RM468,888 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan model ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Tempahan dibuka bermula hari ini.

Dari segi penampilan, RX 350 hadir dengan rekaan menonjol dan segar dengan gril baharu yang lebih halus dan bersahaja. Bucu bonet juga dinaikkan, manakala bucu tingkap belakang direndahkan bagi memberikan SUV ini postur yang lebih rendah.

Melengkapkan imej serba baharu model ini adalah pilihan warna metalik yang direka menggunakan teknologi sonik khusus Lexus.

Dari segi saiz, RX yang menggunakan platform GA-K ini lebih lebar sebanyak 25 mm, manakala jarak antara rodanya juga bertambah sebanyak 60 mm.

Ruang dalaman RX mengetengahkan konsep Tazuna yang memfokuskan untuk memberi hubungan yang lebih rapat antara kenderaan dan pemandu.

Navigasi, radio dan pelbagai fungsi lain boleh diakses menerusi paparan berukuran 14 inci, manakala suis di stereng disepadukan dengan paparan head-up bagi membolehkan pemandu memberi perhatian sepenuhnya terhadap pemanduan.

Turut disertakan adalah ciri Active Noise Control (ANC) yang membantu mengurangkan bunyi bising di dalam kabin.

Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 279 PS pada 6,000 rpm dan 430 Nm dari 1,700 hingga 3,600 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD.

Selain itu, RX 350 juga dilengkapi dengan sistem suspensi Adaptive Variable Suspension (AVS) SUV yang dikatakan boleh membantu mengawal daya hentakan untuk memberikan lebih keselesaan.

Untuk sistem keselamatan, terdapat Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitor dan Safe Exit Assist. Seperti NX, RX 350 juga mempunyai sistem operasi pintu E-Latch.

Renault Zoe dilancarkan secara rasmi – 2 varian, harga dari RM165k

SELEPAS dipertontonkan pertama kali pada Ogos tahun lalu, Renault Zoe baharu kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia menerusi TC Euro Cars (TCEC) selaku pemegang francais tunggal Renault di negara ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Zoe ditawarkan dalam dua varian iaitu R110 dan R135. Harga jualan (atas jalan, tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk R110 dan RM179,000 untuk R135.

Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

Apa yang menarik, EV ini juga dibuka untuk langganan menerusi Fixed Plan yang menawarkan pelan untuk setahun, dua tahun dan tiga tahun. Berikut adalah kadar langganan bagi setiap pelan mengikut varian:

Menurut TCEC, proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.

Zoe menggunakan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh. Hasilnya, jarak pemanduan meningkat lebih 20 peratus iaitu 395 km untuk R110 dan 386 km untuk R135.

Varian R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan 225 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.

Sementara itu, R135 pula dipacu oleh motor 100 kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135 PS dan 245 Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 140 km/j.

Zoe menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW yang membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 70 minit. Pengecasan AC berkapasiti 22 kW pula boleh memulihkan tenaga bateri dari 0 hingga 100 peratus dalam tiga jam.

Setiap unit didatangkan dengan kabel pengecas 22 kW Type 2. Pelanggan juga boleh memasang pengecas wallbox Vestel 7 kW pada harga RM6,250 atau 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.

Satu lagi teknologi yang tersedia adalah brek janaan semula Mode B yang berfungsi untuk menukar tenaga kinetik menjadi tenaga elektrik untuk meningkatkan jarak perjalanan.

Dari segi penampilan, walaupun dimensi Zoe kekal sama, ia tampil lebih maskulin dengan bonet dan bampar yang direka semula. Terletak di tengah gril adalah logo holografik Renault yang menyembunyikan port pengecasan.

Kelengkapan yang ada termasuklah lampu LED sepenuhnya, lampu nyalaan siang berbentuk C, rim aloi bersaiz 16 inci dan brek cakera depan dan belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Zoe R110 ditawarkan dalam warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam warna hitam, biru, merah dan ungu.

Di dalam, anda akan menemui panel instrumen digital berukuran 10 inci, skrin sentuh 9.3 inci dengan Android Auto/Apple CarPlay, Bluetooth, dua port USB dan enam pembesar suara.

Sebagai varian tertinggi, Zoe R135 mendapat tambahan sistem navigasi offline, dua port USB, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.

Untuk keselamatan dan sistem bantuan pemandu, kedua-dua varian didatangkan dengan empat beg udara, Lane Departure Warning, Electronic Stability Control, Anti-Slip Regulation, ABS, EBA dan Hill Start Assist.

Varian R135 mendapat beberapa ciri tambahan iaitu Adaptive High Beam, Blind Spot Warning dan Hands-Free Park Assist.