Sebagai penghargaan kepada bintang Rock and Roll, Elvis Presley, Triumph Motorcycles telah melancarkan Triumph Bonneville T120 edisi terhad.
Hanya terhad kepada 925 unit untuk pasaran dunia, Triumph Bonneville T120 Elivs Presley Edition itu mengambil inspirasi daripada persembahan ikonik Elvis ketika ‘Comeback Special’ 1968.
Konsep persembahan itu jelas terpakai pada imej yang diguna pakai Triumph bagi T120 Elvis Presley Edition ini.
Tulisan ELVIS dalam warna keemasan sertatanda tangan Elvis boleh didapati di bahagian atas tangki manakala fender depan pula menempatkan logo ‘Taking Care of Business in a Flash’ (TCB).
Dalam pada itu, pemilihan warna merah sebagai warna utama diilhamkan dari motosikal Bonneville yang dikustom oleh J Daar sempena kutipan derma oleh Elvis Presley Charitable Foundation pada tahun 2023.
Untuk rekod, Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition ini dikuasakan enjin parallel-twin 1200cc 8-valve SOHC dengan ‘270-degree crank’ yang berupaya menajana 78.9hp pada 6,550rpm dan 105Nm pada 3,500rpm.
Namun, kami berasakan peminat Elvis tidak akan menghiraukan soal spesifikasi Bonneville T120 ini sebaliknya lebih memfokuskan elemen yang ditawarkan model edisi terhad tersebut.
FISKER mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi muda hari ini, tetapi syarikat itu antara pengeluar kenderaan elektrik (EV) terawal bersama Tesla.
Baru-baru ini walaubagaimanapun, Fisker telah memfailkan muflis melalui perlindungan bankrap Chapter 11. Ini menjadikan mereka syarikat EV kedua berbuat demikian selepas Lordstown Motors.
Berita ini juga berlaku kurang dua minggu selepas Fisker membuat panggilan semula (recall) hampir semua SUV Ocean, iaitu 6,864 unit. Ia adalah berkenaan isu Motor Control Unit (MCU).
“Sama seperti syarikat-syarikat lain dalam industri kenderaan elektrik, kami telah menghadapi pelbagai cabaran pasaran yang memberi kesan kepada kebolehan kami untuk beroperasi dengan cekap,” tulis Fisker dalam satu kenyataan.
“Selepas menilai semua pilihan untuk perniagaan kami, kami nekad dengan jualan aset kami di bawah Chapter 11 ialah jalan paling sesuai untuk syarikat.”
Menurut kenyataan Fisker juga, pemberhentian operasi pengeluaran yang diumumkan sebelum itu akan diteruskan sehingga masa yang akan diberitahu kelak.
Syarikat itu berharap dapat meneruskan operasi lebih kecil, termasuk membayar gaji dan manfaat pekerja, dan mengekalkan beberapa program pelanggan sementara menjual aset-aset dan menyusun semula hutang.
Fisker dilancarkan di Manhattan Beach, California pada 2016 oleh pereka automotif, Henrik Fisker yang telah menjadi pengerusi dan CEO syarikat itu.
KERAJAAN digesa mengawal ketat jumlah syarikat yang diberi permit import (AP) terbuka bagi memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing.
Presiden Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin mencadangkan agar cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti.
“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal.
“Pekema bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman, ini boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian kerana kereta import terpakai ada susut nilai yang ketara,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) semalam mengumumkan pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif berkuatkuasa 1 Julai 2024, yang membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif memohon menjadi syarikat AP Terbuka.
Empat syarat utama dikenakan ialah syarikat berkenaan berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100 peratus Bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta; dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun
JUMLAH jualan kenderaan di Malaysia dicatatkan sebanyak 68,665 unit pada Mei 2024. Ini adalah lonjakan 18 peratus berbanding 57,991 yang dicatatkan pada April, menurut Malaysia Automotive Association (MAA).
Mengikut perbandingan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat sembilan peratus berbanding Mei 2023 yang mencatatkan 63,158 unit.
Persatuan itu berkata, jualan yang dicatatkan pada Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama pada Mei 2024 dan prestasi mantap oleh pengeluar tempatan.
“TIV dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi kepada 328,901 unit berbanding 303,575 tempoh sama 2023,” kata MAA dalam satu kenyataan.
Pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, meningkat 11 peratus berbanding 56,448 unit bulan sama pada 2023.
Jualan kenderaan komersial bagaimanapun merosot 14 peratus kepada 5,803 unit pada Mei 2024 berbanding 6,710 unit bulan sama 2023.
Dari segi pengeluaran kenderaan, perangkaan terkini MAA itu menunjukkan 74,174 unit kenderaan dikeluarkan pada Mei 2024, meningkat 14 peratus berbanding 64,930 unit pada bulan sama tahun lalu.
Pada bulan itu, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 70,132 unit, 16 peratus lebih tinggi berbanding 60,391 unit pada bulan sama tahun lalu.
BMW telah memperkenalkan X3 generasi keempat yang dikenali dengan kod nama G45. Menggantikan G01 yang terdahulu, Sports Activity Vehicle (SAV) baharu itu tampil dengan reka bentuk lebih menonjol, casis yang dinaik taraf serta pelbagai teknologi baharu.
Ini apa yang anda perlu tahu mengenai BMW X3 baharu:
Saiz bertambah besar
X3 G45 mempunyai ukuran panjang 4,755 mm, lebar 1,920 mm dan tinggi 1,660 mm, menjadikan ia 34 mm lebih panjang, 29 mm lebih lebar dan 25 mm lebih rendah berbanding model sebelum ini. Jarak roda pula meningkat 1 mm kepada 2,865 mm.
Bahasa reka bentuk baharu
Menurut BMW, bahasa reka bentuk baharu yang ditampilkan pada X3 memberikannya penampilan seakan monolithic. Ini diserlahkan lagi dengan struktur baharu untuk gril, serta elemen pencahayaan berbentuk L untuk lampu nyalaan siang, lampu sisi dan lampu isyarat membelok.
Terdapat sembilan warna yang ditawarkan untuk X3 baharu, satu warna solid dan selebihnya metalik, termasuk Dune Grey. Unit yang dipasang di Spartanburg boleh dipesan dengan warna BMW Individiual.
Bergantung kepada varian, model ini didatangkan dengan rim aloi ringan berukuran 18 hingga 21 inci. Pakej M Sport dan M Sport Pro turut ditawarkan.
Ruang kabin serba canggih
Seperti kebanyakan model BMW semasa, X3 tampil dengan paparan melengkung (Curved Display) dan Interaction Bar. Tuil gear diberikan sentuhan baharu, manakala konsol tengah dan trim pintu diserikan elemen pencahayaan dalam warna kontras.
Untuk sistem infotainmen, ia menggunakan BMW iDrive versi terbaru dengan QuickSelect yang dikuasakan oleh BMW Operating System 9. Sistem operasi ini juga membawakan pelbagai perkhidmatan digital yang boleh didapati secara atas udara.
Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk sistem kawalan iklim tiga zon, kaca akustik, Comfort Access, tailgate automatik, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan BMW Live Cockpit Plus. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan BMW Live Cockpit Professional yang membawakan head-up display dan paparan realiti terimbuh (AR).
Lebih banyak sistem bantuan pemandu
X3 didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Info serta pakej Driving Assistant yang merangkumi Lane Change Warning dan Speed Limit Assist.
Parking Assistant, yang turut disertakan sebagai kelengkapan standard, merangkumi Reversing Assistant dan Reversing Assist Camera.
Sebagai tambahan, BMW turut menawarkan Steering and Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist dan Route Speed Control untuk digunakan bersama Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go.
Satu lagi ciri tambahan iaitu Parking Assistant Professional membolehkan pemandu mengawal pergerakan parkir dari luar kereta menggunakan telefon pintar.
Pilihan enjin PHEV dan mild hybrid
Untuk model generasi baharu ini, X3 boleh didapati dalam varian mild hybrid (20 xDrive, 20d xDrive dan M50 xDrive) dan PHEV (30e xDrive). Varian 20 xDrive dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder turbo (190 PS/310 Nm), manakala 20d xDrive dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.0-liter empat silinder (197 PS/400 Nm).
X3 M50 xDrive pula mempunyai enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan teknologi mild hybrid yang menjana 381 PS dan 540 Nm, manakala X3 30e xDrive pula tampil dengan enjin 2.0-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 299 PS dan 450 Nm.
Lokasi pemasangan
X3 baharu akan dipasang di kilang pemasangan BMW Group di Spartanburg di Amerika Syarikat dan Rosslyn di Afrika Selatan. Ia akan memasuki pasaran Eropah dan AS pada suku keempat tahun ini, diikuti dengan pasaran-pasaran lain bermula Januari 2025.
Chery Malaysia dengan bangganya mengumumkan sokongan berbentuk ganjaran untuk kontinjen atlet tempatan yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris pada bulan depan.
Kerjasama tersebut diumumkan oleh Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen dalam satu acara yang turut dihadiri oleh Datuk Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia dan Koordinator Road to Gold Programme; Yin Tongyue, Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd dan Zhang Guibing, Presiden Chery International.
Sebagai satu tanda penghargaan dan motivasi kepada para atlet tempatan, Chery Malaysia menjanjikan pemenang pingat emas dengan SUV tujuh tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro, diikuti Chery Omoda E5 untuk pemenang pingat perak dan Chery Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub berkata, “kami amat berbesar hati dengan ikrar yang diberikan oleh Chery Malaysia untuk memberikan ganjaran kepada para atlet Malaysia yang beraksi dengan baik dalam Sukan Olimpik Paris. Kami berharap ini akan merangsang para atlet untuk memberikan yang terbaik dan membanggakan negara.”
Di peringkat global, Chery Group sentiasa menyokong para atlet tempatan dari pelbagai negara yang akan bersaing dalam pelbagai jenis sukan.
Menurut Leo Chen, “kami tahu atlet Malaysia telah bekerja keras dan berlatih berjam-jam lamanya untuk sukan (Paris Games). Kami mempunyai harapan yang tinggi untuk tahun ini pasukan Malaysia akan mencapai pingat emas yang diidamkan.
“Untuk kontinjen Malaysia, anda harus tahu Chery Malaysia akan sentiasa menyokong dan menceriakan setiap langkah anda.”
SELEPAS beberapa bulan pengenalan GLA200 facelift, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini melancarkan pula GLA250 4Matic AMG Line. Ianya versi yang lebih berkuasa dengan penggayaan lebih sporti.
Seperti biasa, berbanding GLA200 yang mendapat enjin Renault 1.3-liter turbo, varian GLA250 ini dikuasakan enjin Mercedes sendiri – 2.0-liter 4-silinder turbo dengan output 224PS dan 350Nm tork.
Output ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 8-kelajuan dan sistem pacuan 4Matic. Apa yang baharu ialah GLA250 juga mendapat sistem mild-hybrid yang terdiri dari belt starter generator (BSG) 48-volt, menyumbang kepada tambahan kuasa 14PS dan 150Nm.
Hasilnya, prestasi pecutan 0-100 ialah 6.8 saat, lebih satu saat lebih pantas dari GLA200. Kelajuan maksima pula ialah 240km/j.
Dari segi kelengkapan luaran, Mercedes GLA250 4Matic baharu ini didatangkan dengan bampar AMG sporti, lampu LED High Performance dengan grafik baharu, lampu belakang baharu, diffuser, dan rim AMG 19-inci 5-bilah. Terdapat juga brek sport dengan cakera berongga.
Ciri standard lain termasuklah rel bumbung, suspensi sport, keyless entry, sistem pendingin hawa satu-zon, lampu ambien 64-warna, pengecas tanpa wayar Qi, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur, dan pintu but berkuasa.
Bahagian kabin pula menampilkan stereng baharu dengan kawalan sesentuh, MBUX dikemaskini dengan skrin 10.25-inci, dan paparan instrumen 10.25-inci.
Jajan AMG pada GLA250 adalah tempat duduk sports, kemasan kulit Artico dengan Microcut, kemasan aluminium berusan, pedal aloi, siling hitam, dan pemijak sisi bernyala.
Ciri keselamatan terdiri dari Autonomous Emergency Braking, Blind Spot monitoring, Door Opening Warning, dan Park Assist.
Mercedes GLA250 4Matic AMG Line ditawarkan pada harga RM295,888 tanpa insurans. Ini termasuk dengan jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan.
PROTON telah mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah 41 tahun penubuhannya apabila berjaya mencapai pengeluaran melebihi lima juta unit.
Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, unit kelima juta yang dikeluarkan merupakan Proton X90 Flagship. Ia diperkenalkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Perindustrian dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanglong.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, Proton ditubuhkan pada 1983 untuk memobilitasikan rakyat Malaysia dan mewujudkan ekosistem automotif tempatan.
“Hari ini, kami terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Lebih daripada 100,000 orang memperoleh mata pencarian hidup melalui aktiviti yang dikaitkan dengan Proton dan setiap pekerja memainkan peranan untuk memacu syarikat ke arah pencapaian lima juta unit ini,” katanya.
Sejak menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Geely pada 2017, Proton telah melancarkan empat model serba baharu, menaik taraf model rekaan tempatannya dan memperkenalkan kecerdasan dan ketersambungan kepada barisan modelnya.
Dengan penambahbaikan dalam kualiti produk, pelaburan dalam pengurusan selepas jualan dan alat ganti serta penubuhan rangkaian pengedar dengan bilangan cawangan 3S/4S tertinggi di Malaysia, aktiviti ini telah membawa kepada pertumbuhan jualan lima tahun berturut-turut dengan peningkatan yang sepadan dalam pengeluaran.
Sejak pengenalan Proton X70 pada 12 Disember 2018, lebih daripada 217,000 unit SUV siri X telah dijual setakat ini kepada pelanggan pasaran tempatan dan eksport. Ini membolehkan Proton jauh menerajui jualan keseluruhan SUV di Malaysia dalam tempoh masa itu.
Penjualan Proton Saga pula telah melepasi dua juta unit, membolehkan ia mengekalkan kedudukannya sebagai kereta buatan Malaysia yang paling popular.
“Baru-baru ini, kami telah mengumumkan e.MAS sebagai jenama untuk produk EV Proton masa hadapan dan hari ini kami telah menetapkan satu lagi pencapaian. Oleh yang demikian, masa depan penuh dengan peluang untuk Proton terus menyediakan mobiliti yang mampan bagi rakyat Malaysia dan pasaran eksport kami,” tambah Dr Li Chunrong.
Salah satu berita sedih yang melanda peminat Volvo di UK pada tahun lepas ialah penamatan jualan bagi model-model wagon V60 dan V90 disebabkan jualan yang kurang memberangsangkan.
Namun, dalam perkembangan terbaharu, Volvo mengumumkan langkah untuk menjual semula dua model wagon di pasaran UK bermula bulan depan.
Menurut Volvo, mereka telah menerima permintaan yang amat menggalakkan bagi produk estate/station wagon untuk tempoh beberapa bulan ini, mendorong pengeluar itu untuk membawanya kembali ke pasaran.
Tempahan bagi model V60 dan V90 di pasaran UK akan dibuka pada bulan depan, di mana Volvo V60 boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0L hibrid ringan berkuasa 197 hp, atau versi PHEV berkuasa 455 hp.
Sementara V90 pula hanya ditawarkan secara ekslusif dalam versi PHEV dengan kuasa keseluruhan sekitar 350 hp.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Autocar, wakil Volvo menjelaskan, “kami telah menghentikan penjualan V60 dan V90 di UK Ogos lepas di tengah-tengah kejatuhan minat pelanggan terhadap kereta estate.
“Walaupun ia kekal sebagai sebuah trend jangka panjang, kami telah melihat peningkatan minat terhadap produk estate kami dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dan membuat keputusan untuk memperkenalkan kembali V60 dan V90 ke dalam portfolio produk UK.
“Dalam industri yang bergerak pantas, kami akan sentiasa menilai semula portfolio produk untuk memastikan kami mempunyai gabungan produk yang terbaik untuk pelanggan kami.
“Sebagai sebahagian daripada proses ini, adalah satu perkara biasa bagi kami untuk membuang produk tertentu, dan memperkenalkannya semula di kemudian hari.
DARI jauh, Toyota Alphard ini kelihatan seperti kenderaan peronda polis atau ambulans, tetapi bila didekati, tulisan di badannya bertulis POLITE, bukannya POLICE.
MPV di Singapura ini menarik perhatian netizen dan telah dikongsi di laman Facebook SG Road Vigilante.
Bila diimbas kod QR pada badan Alphard ini, ia akan membawa anda ke laman web kedai ais krim.
Netizen mempunyai pelbagai komen dan pendapat di ruangan komen. Ada yang beranggapan ianya idea menarik, ada juga yang berkata “misleading” kerana menyerupai kenderaan penguasa.
Pemiliknya, Goh Yong Wei berkata kepada The Straits Times, beliau menghiasai Toyota Alphard miliknya sejak Mei lepas, dan pengguna jalan raya sering memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan.
Katanya, “Sebagai pemandu dan penunggang motosikal di Singapura, saya dapati budaya memandu di sini tidak cukup bagus, terutamanya di waktu puncak.
“Saya mahu dilihat, saya mahu perhatian, saya mahu orang lihat saya dan memperlahakankan kenderaan untuk mengelakkan perlanggaran.”
Goh berkata dia pernah terlibat dalam lebih 10 kemalangan kereta dan motosikal sejak empat tahun lepas, dan dekal pada Alphard ini membantu mengelakkan kemalangan padanya.
“Saya rasa lebih selamat, lebih mudah memandu sekarang. Ramai orang dalam kereta tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada saya.
“Ini memberikan pengalaman memandu yang menarik buat saya,” tambahnya.
Walaubagaimanapun, pihak polis Singapura berkata mereka menerima laporan berkenaan hal ini, dan perkara ini sedang disiasat.
Selepas mempamerkan model konsep SuperNEX pada 2018 dan RevoNEX pada 2019 di EICMA, Kymcokemudiannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model sebenar.
Selepas beberapa tahun, akhirnya Kymco bakal merealisasikan projek motosikal elektrik itu namun menerusi beberapa perubahan drastik kepada reka bentuk asal.
Pada awalnya, Kymco mahu memperkenalkan motosikal elektrik itu secara sendirinya termasuk membangunkan sistem transmisi khas yang menggabungkan platform elektrik dengan transmisi manual konvensional. Pada masa sama, Kymco juga bercadang menubuhkan kilang sendiri di Itali bagi menghasilkan kedua-dua model ini.
Bagaimanapun, pelan asal itu telah diketepikan pada tahun 2022 apabila Kymco mendedahkan konsep generasi kedua yang membawa nama RevoNEX dan SuperNEX namun dengan reka bentuk berbeza. Senario itu berlaku selepas Kymco memeterai kerjasama dengan LiveWire (jenama elektrik milik Harley-Davidson) bagi membangunkan model LiveWire S3.
Perkembangan itu secara tak langsung mendedahkan bahawa RevoNEX dan SuperNEX akan dibangunkan mengguna pakai platform LiveWire.
Pertalian antara RevoNEX dan SuperNEX bersama LiveWire lebih jelas apabila Kymco memfailkan paten yang jelas memaparkan reka bentuk RevoNEX namun dengan casis dan trenkuasa LiveWire.
Setakat ini belum ada maklumat terperinci sejauh mana perbezaan antara S3 dengan S2 dari segi prestasi dan jarak gerak (range) ditawarkan. Namun, mengambil kira LiveWire pernah memaklumkan bahawa S3 merupakan motosikal elektrik yang lebih ringan, kami menjangkakan penggunaan bateri dan motor elektrik yang lebih kecil berbanding S2.
KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa mulai 1 Julai, syarikat bumiputera boleh mula memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.
Menurut MITI, langkah itu adalah selaras dengan usahanya untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka. Permohonan itu terbuka kepada mana-mana syarikat Bumiputera termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif.
“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa.
Syarat utama permohonan ialah syarikat perlu berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.
Justeru, syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan, borang permohonan dan senarai semak.
Tambah MITI, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosio-ekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.
Menurut kementerian itu, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.
Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.
VOLVO S60 di Amerika menjadi alternatif yang sepi kepada BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class. Kini sedan eksekutif itu tiba ke akhir hayatnya.
Volvo mengesahkan bahawa jualan S60 akan ditamatkan di Amerika Syarikat (AS) selepas 24 tahun, merangkumi tiga generasi.
“Selepas lima tahun Volvo Cars mengakhiri pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Caroline pada Jun 2024 untuk AS dan beberapa pasaran untuk memberi fokus kepada EX90 serba baharu,” jurucakap Volvo memberitahu Motor1.
Volvo S60 generasi ketiga mula dilancarkan sebagai model tahun 2019 dan dikeluarkan di fasiliti South Carolina. Beberapa varian ditawarkan sepanjang pengeluaran, dari versi asas T5 berkuasa 252hp hinggalah model prestasi Polestar Engineered.
Berbanding pesaing-pesaingnya, jualan Volvo S60 agak sendu di AS. Jualannya tidak pernah melebihi 20,000 unit setahun. Secara purata ia dijual sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun.
Sebagai perbandingan, BMW dan Mercedes masing-masing menjual 33,000 unit 3-Series dan C-Class tahun lepas.
Pada masa yang sama, penamatan Volvo S60 diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak keuntungan buat Volvo apabila mereka memperkenalkan EX90 nanti.
EX90 ialah SUV elektrik sepenuhnya (EV) tiga-baris pertama Volvo, dibekalkan dengan bateri 111kWh dengan output 496hp dan jarak pemanduan sehingga 480km.
TESLA telah membuka dan mengaktifkan stesen Supercharger di Kuantan, Pahang. Terletak di premis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), ianya menjadi Tesla Supercharger pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Menurut Josh KY Chua yang berkongsi beberapa gambar dalam laman Facebook Warga Kuantan, stesen itu boleh digunakan oleh orang awam 24 jam sehari.
Terdapat empat ruang pengecas di lokasi ini. Sama seperti stesen-stesen Supercharger lain di seluruh negara, stesen baharu di Kuantan ini juga mempunyai kadar caj RM1.25 per kWh.
Terdapat juga bayaran melahu RM4.00 seminit sekiranya stesen itu penuh.
Walaupun Tesla telah mula membuka rangkaian Supercharger V4 di Malaysia, stesen di MBK walaubagaimanapun adalah Supercharger V3.
Pembukaan Supercharger baharu ini adalah selari dengan apa yang diumumkan oleh Pengarah Rantau Tesla, Isabel Fan pada Mac bahawa Supercharger di Kuantan akan dibuka menjelang penghujung suku kedua tahun ini.
Lokasi-lokasi lain untuk suku kedua ini adalah Supercharger pertama di Pulau Pinang yang terletak di Prai.
CHERY Auto Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan Kilang Korporat Malaysia Chery yang terletak di Shah Alam.
Menurut Chery, kemudahan ini adalah yang pertama di rantau ASEAN yang akan mengeluarkan SUV off-road premium Jaecoo J7.
Pelancaran kilang pengeluaran baharu itu diraikan dengan pengeluaran unit pertama Jaecoo J7 pacuan semua roda (AWD). Versi pacuan dua roda (2WD) juga akan dipasang di kilang yang sama.
Majlis pelancaran disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat dari China (MIIT), Dr Jin Zhuanglong.
Menurut Chery Auto Malaysia, pembukaan kilang itu telah mencipta 500 pekerjaan baharu dengan potensi untuk berkembang seiring dengan permintaan pasaran.
Ia terletak secara strategik di zon perindustrian Shah Alam iaitu berhampiran pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.
Bukan itu sahaja, ia juga berada tidak jauh dari Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan paling sibuk Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara, meningkatkan lagi tahap kesediaan syarikat itu untuk mengeksport ke rantau ASEAN pada masa depan.
Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd, Yin Tongyue berkata, “Malaysia ialah sebuah pasaran yang sangat penting bagi Chery. Wawasan kami bagi pasaran Malaysia ialah untuk melangkah maju seiring rakan-rakan tempatan dan pelanggan dalam jangka panjang.”
Mengenai pasaran kenderaan cekap tenaga yang sedang berkembang pesat, Yin menambah pihaknya teruja untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Sebelum ini, syarikat itu telah memberikan gambaran awal portfolio EV masa depannya dengan mempertontonkan Chery Tiggo 8 Pro PHEV, Jaecoo JV PHEV dan Jaecoo J6 di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu.
Sehingga kini, Chery bertanggungjawab mencipta lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia menerusi operasi tempatannya. Jenama ini juga mempunyai rangkaian 100 pusat jualan dan servis di seluruh negara.
Ini mungkin sekali satu berita yang kurang enak didengari oleh golongan yang masih mendambakan kereta sports berenjin pembakaran dalaman daripada Porsche.
Menurut laporan, Porsche dijangka akan menghentikan pengeluaran bagi model kembar 718 Cayman dan Boxster pada bulan Oktober 2025.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna Twitter (kini dikenali sebagai X) Zerin Dube yang berkongsi tangkap layar informasi tersebut daripada portal pengedar Porsche.
Menurutnya, produksi bagi semua model 982 (kod generasi keempat untuk Porsche 718) akan ditamatkan pada Oktober 2025, bermakna para peminat Porsche 718 kini mempunyai masa kurang 18 bulan untuk mendapatkan kereta sports tersebut.
Ini adalah bertepatan dengan laporan terdahulu yang menyebut model pengganti 718 berkuasa elektrik dijangka muncul pada tahun 2025 atau 2026.
Porsche sebelum ini telah ‘dipaksa’ untuk menghentikan penjualan dua model tersebut di pasaran Eropah disebabkan gagal untuk memenuhi undang-undang baharu keselamatan siber EU yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2024.
Menurut beberapa laporan media antarabangsa, pengganti 718 akan dibina menggunakan platform SSP Sport dengan membawakan elemen rekaan daripada model Porsche Mission R Concept 2021.
Satu persoalan penting: Adakah Porsche 718 EV yang bakal dilancarkan kelak bakal mewarisi semangat pemanduan yang sama didapati daripada model 718 Cayman/Boxster berenjin pembakaran dalaman?
Tahukah anda, kira-kira 55 tahun yang lalu generasi pertama Z (Datsun 240Z) mula meluncur keluar dari barisan produksi kilang Hiratsuka, Kanagawa, Jepun.
Sejak daripada itu, Datsun 240Z telah menjadi satu titik permulaan kepada legasi kereta sports lagenda untuk tempoh berdekad-dekad lamanya.
Kini, legasi itu diteruskan dengan kehadiran edisi khas Nissan Z yang dinamakan sebagai Nissan Z Heritage Edition untuk pasaran Amerika Syarikat.
Menurut Nissan, edisi Heritage ini dibina sebagai satu penghormatan kepada kereta sports Datsun 240Z (generasi S30).
Ia bukan sahaja membawakan warna jingga New Sight yang eksklusif, Nissan Z Heritage Edition ini turut dipadankan dengan fender flare, bampar baharu, serta set roda 19 inci yang dilihat menyamai gaya rim retro RS Watanabe yang kerap digunakan pada 240Z.
Untuk pasaran US, Nissan Z Heritage Edition dibina berdasarkan trim Z Performance, dan datang dengan enjin bentangan V6 3.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 400 hp dan 475 Nm.
Pembeli diberikan pilihan untuk mendapatkan kotak gear manual enam nisbah kelajuan atau transmisi automati jenis torque converter sembilan nisbah kelajuan, serta pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal.
Di US, Nissan Z Heritage Edition dijual pada harga bermula dari $60,275 (RM284,377), atau $6,165 (RM29,086) lebih mahal berbanding model Nissan Z Performance.
Tiada sebarang info berkenaan berapa unit yang bakal ditawarkan, namun Nissan telah mengesahkan Z Heritage Edition bakal dijual dalam unit terhad, dan khusus untuk model tahun 2024 sahaja.
Perodua dijangka akan melancarkan dua buah model baharu pada tahun 2025, iaitu Perodua D66B pada awal tahun diikuti model kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun yang sama.
Menurut penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, kumpulan automotif itu membayangkan 2025 akan menjadi satu tahun yang sangat menarik dengan kemunculan dua model baharu yang disebutkan tadi.
“Model EV Perodua keluaran tempatan dijangka berharga dalam julat RM50,000 hingga RM100,000, dan diharapkan dapat dijual 10,000 unit dalam tempoh awal projek EV Nasional oleh Perodua,” jelasnya dalam satu nota penyelidikan.
Pada Malaysia Autoshow 2024 yang baru berlangsung tempoh hari, Perodua telah mempamerkan model prototaip EV pertama yang dinamakan sebagai emo-1 (Electric Motion Online).
Menggunakan Perodua Myvi sebagai asas, emo-1 digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 161 hp dan 220 Nm, dipadankan dengan pek bateri 55.7 kWh untuk jarak gerak sejauh 350 km.
Menurut Perodua, pembangunan prototaip EV ini dibuat dengan kerjasama daripada tiga universiti tempatan, iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM), sementara pembangunan teknologi rangkaian kuasa pula dibuat dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.
Peranan hot hatch berenjin pembakaran dalaman (ICE) kian lenyap ditelan zaman, dan ia kini digantikan dengan kehadiran hot hatch berkuasa elektrik.
Ucapkan selamat datang kepada Alpine A290 GT 2025, EV supermini berprestasi tinggi dengan membawakan penggayaan luaran retro moden.
Alpine A290 GT menggunakan asas daripada model EV Renault 5 E-Tech, dan masih lagi mengekalkan layout pacuan roda hadapan yang sama.
Terdapat dua varian ditawarkan, di mana versi aras mula A290 GT dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 178 hp dan 285 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j sepantas 7.4 saat.
Varian paling bertenaga A290 GT Performance pula mendapat hamburan kuasa 217 hp dan 300 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j kini sepantas 6.4 saat.
Kedua-dua varian hot hatch ini mendapat pek bateri 52 kWh, dengan jarak gerak sejauh 380 km, kurang 20 km berbanding Renault 5.
Pengecasan pantas DC 100 kW pula membolehkan pek bateri A290 GT ini dicas selama 30 minit dari 15-80 peratus SoC.
Rekaan luaran A290 GT ini banyak mengingatkan kita pada model Renault 5 Turbo yang popular era 1980-an, dengan kehadiran garis badan yang bersegi, fender yang lebih lebar, dan jarak trek yang lebih panjang (+60 mm).
Antara ciri lain termasuklah motif X pada lampu utama dan jeriji, rim 19 inci dengan dua rekaan berbeza, penampilan hot hatch tiga pintu walaupun asalnya ialah lima pintu, serta sistem brek Brembo dengan angkup empat omboh untuk roda hadapan.
Susun atur ruang kabin adalah lebih kurang sama sahaja dengan model Renault 5, namun ditambah dengan ciri unik seperti pedal sports, butang pemilihan transmisi, roda stereng bespoke, serta butang khas OV (overtake).
Menurut Alpine, A290 GT akan dijual pada harga bermula dari €38,000 (RM192,103), menjadikannya lebih mahal berbanding MINI Cooper E/SE.
Alpine A290 GT versi pemanduan sebelah kiri akan mula diedarkan pada penghujung tahun ini, diikuti pasaran pemanduan sebelah kanan bermula awal tahun 2025.
Nissan dalam satu kenyataan secara rasmi mengumumkan produksi bagi model kereta sports Nissan GT-R akan ditamatkan untuk pasaran Amerika Utara pada Oktober ini.
Serentak dengan pengumuman tersebut, dua model edisi terhad Nissan GT-R turut dilancarkan sebagai satu penghormatan kepada sejarah plet nama yang sangat panjang dan ikonik itu, iaitu Nissan GT-R Skyline Edition dan NissanGT-R Takumi Edition.
Nissan GT-R Skyline Edition membawakan kembali nama Skyline ke dalam daftar nama GT-R selepas digugurkan pada tahun 2007, dan dibina berdasarkan varian GT-R Premium.
Ia juga turut mengembalikan semula warna Bayside Blue yang sebelum ini pernah ditawarkan pada GT-R R34, sebelum digunakan kembali untuk model ulang tahun yang ke-50 pada tahun 2019.
Nissan GT-R Takumi Edition pula menggunakan asas daripada model T-Spec, di mana nama ‘Takumi‘ itu merujuk kepada craftmen, atau pakar yang bertanggungjawab memasang setiap satu unit enjin menggunakan tenaga tangan.
Berbeza dengan Skyline Edition, Takumi Edition pula dilayangkan dengan warna ikonik GT-R, iaitu Midnight Purple, diikuti warna eksklusif Mori Green untuk ruang kabin.
Selain itu, versi ini turut mendapat naik taraf seperti sistem brek seramik karbon Nismo, rim Nismo Rays bersaiz 20 inci, kawalan dinamik kenderaan talaan Nismo dan fender hadapan yang lebih lebar.
Kedua-dua model edisi khas ini akan ditawarkan kurang dari 200 unit, dan boleh didapati di beberapa pengedar Nissan yang terpilih di pasaran US musim panas ini.
Adakah ini satu pengakhiran buat plet nama GT-R?
Mungkin tidak, kerana Nissan sebelum ini menjanjikan GT-R akan digantikan dengan sebuah model baharu yang akan muncul menjelang tahun 2030, sebelum ini diperlihatkan menerusi konsep Hyper Force berkuasa elektrik.