PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) berkata ia bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berikutan siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerima maklum bahawa beberapa warga kerja kami telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan membabitkan kes pembinaan.
“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.
“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, SPRM mengesahkan penahanan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.
HARMONY Auto yang merupakan kumpulan pengedar kenderaan terkemuka dari China hari ini telah melancarkan pusat 3S BYD pertamanya di Hartamas Shopping Centre.
Dengan keluasan ruang sekitar 8,000 kaki persegi, pusat 3S ini menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya.
Ini terdiri dari ruang pamer kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan.
Untuk lebih selesa, ruang menyambut pelanggan bagi urusan lepas jualan — yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses servis khusus untuk setiap pelanggan — bersambung terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.
Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD.
Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.
Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue melancarkan premis berkenaan berkata: “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia.”
Tambah beliau, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan.
Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.
Pusat BYD Harmony Auto juga dilengkapi dengan Pusat Servis dan Alat Ganti yang akan siap pada suku keempat tahun ini.
Dengan pusat 3S beroperasi sepenuhnya, pusat 3S BYD Hartamas ini akan menjadi yang pertama terletak di dalam pusat beli-belah.
Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CB350RS untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM20,500.
Hadir dengan dua warna pilihan, Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic, Honda CB350RS ini pastinya akan menarik minat penggemar motosikal retro di Malaysia.
Walaupun gaya klasik namun CB350RS ini dipacu enjin moden serba baharu yang menawarkan 21.8hp dan 30Nm. Tork pula hadir seawal 3,000rpm sekaligus membenarkan penunggang menikmati kadar pecutan yang efisien.
Antara kelengkapan moden ditawarkan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dipadamkan dan ABS dwi-saluran.
Sementara itu, CB350RS turut dilengkapi sistem PGM-Fi (Programmed Fuel Injection), yang menawarkan penjimatan yang lebih baik.
ASTON Martin telah mendedahkan sebuah jentera kegunaan litar yang sah untuk kegunaan jalan raya. Perkenalkan Valiant, sebuah supercar yang penuh dengan pakej aerodinamik dan diasaskan dari Valour.
Ia dibekalkan dengan nadi yang dikehendaki peminat tegar Aston Martin, iaitu enjin V12 twin-turbo yang menjana lebih 730hp. Dan lebih menarik lagi, enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan.
Menurut Aston, model Valiant diinspirasikan dari pemandu pasukan Formula 1 mereka, Fernando Alonso.
Pada badan Valiant, anda dapat lihat splitter depan yang besar, spoiler besar, dan diffuser yang cukup besar. Badannya diperbuat dari gentian karbon dan dibentuk untuk aliran udara optima.
Rim magnesium bersaiz 21-inci ditutup dengan cakera aero untuk menambah baik aliran udara, diinspirasikan dari Aston RHAM/1 yang berlumba di Le Mans pada lewat 1970an. Brek adalah bersaiz 16.1-inci di depan dan 14.1-inci untuk belakang.
Terdapat beberapa komponen menarik di dalam badannya. Valiant menggunakan subframe belakang cetakan 3D, tiub tork titanium, bateri lithium-ion ringan, kesemuanya mengurangkan 51 pound berat.
Suspensinya dilengkapi dengan penyerap hentak Multimatic Adaptive Spool Valve (ASV). Menurut Aston, sistem ini “mampu melaras setiap penyerap hentak dalam masa kurang enam milisaat”.
Enjin V12 twin-turbo pada Valiant menghasilkan 735hp dan 752Nm tork. Kotak gear manual pula dipasang pada bahagian belakang untuk agihan berat lebih baik, berserta dengan LSD mekanikal.
Seperti dijangka, bahagian dalam mirip jentera lumba dimana Valiant mendapat half-cage, tempat duduk Recaro Podium, dan tali pinggang keledar empat-poin. Kemasan papan pemuka adalah dari Alcantara dan gentian karbon, dengan tombol gear terdedah.
Hanya 38 unit Valiant akan dihasilkan oleh Aston Martin, dan setiap unit telah terjual. Tetapi jika anda ingin tahu harganya, sekitar 2 juta pound (RM11.95 juta).
Penghantaran akan bermula pada suku akhir 2024, tetapi sementara itu, Aston Martin Valiant ini akan membuat kemunculan di Goodwood Festival of Speed bulan depan.
Sime Darby Motors hari ini melancarkan pembukaan pusat servis sehenti Drivecare yang terbuka kepada semua pemilik kenderaan dari pelbagai jenis segmen dan jenama.
Beroperasi dalam kemudahan Auto Selection, inisiatif Drivecare diperkenalkan bertujuan untuk menawarkan harga perkhidmatan yang lebih berdaya saing, menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan yang disokong oleh kepakaran juruteknik SDM yang terlatih.
Selain itu, Drivecare juga dibuka untuk menangani keresahan pelanggan di kebanyakan bengkel servis, seperti kemudahan yang tidak mencukupi, mutu kerja kurang memuaskan, serta ketiadaan ruang menunggu yang selesa.
Buat masa ini, perkhidmatan Driveare boleh didapati di dua fasiliti utama di Lembah Klang, iaitu di Glenmarie dan Jalan Chan Sow Lin.
Bersempena dengan pembukaan rasmi, Drivecare turut menawarkan promosi istimewa bermula 26 Jun hingga 31 Julai 2024, seperti pemeriksaan kenderaan percuma, set bilah pengelap cermin dengan setiap penggantian cermin hadapan, khidmat cucian kereta dan satu produk Liqui Moly secara percuma.
Terdapat juga promosi terhad bagi pelanggan yang memiliki dua buah kenderaan di mana 100 orang pelanggan pertama yang membawa kereta kedua untuk diservis akan menikmati diskaun 50 peratus bagi minyak enjin, tertakluk kepada terma dan syarat.
PEMBANGUNAN bagi nombor plat khas untuk kenderaan elektrik (EV) kini dalam peringkat akhir, dalam fasa memuktamadkan bahagian teknikal sebelum pelancaran rasminya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan dalam proses melantik vendor untuk pelaksanaannya.
“Kita sedang memuktamadkan aspek-aspek teknikal. Selepas ini selesai, kita akan membuat pengumuman,” katanya kepada wartawan semasa majlis MoU antara Batik Air dengan Kia.
Loke berkata walaupun penggunaan nombor plat ini adalah secara sukarela di peringkat awal, EV-EV baharu akan diwajibkan.
“Untuk pemilik EV sedia ada, mereka akan mempunyai pilihan untuk bertukar kepada plat baharu ini,” tambahnya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan semua EV di seluruh negara akan diberikan nombor plat khas bermula dengan “EV” diikuti nombor yang didaftarkan. Sebagai contoh: EV1, EV2.
Kementerian juga berkata struktur harga cukai jalan EV juga sedang dikaji secara menyeluruh.
HAMPIR 25 tahun lalu iaitu pada 1 September 1999, X5 generasi E53 yang pertama keluar dari kilang pemasangan BMW di Spartanburg, South Carolina, sekali gus mencipta kategori Sports Activity Vehicle (SAV) yang digunapakai oleh BMW sehingga ke hari ini.
Bagi meraikan peristiwa bersejarah itu, BMW akan menawarkan X5 edisi istimewa yang dikenali sebagai Silver Anniversary Edition. Ia berasaskan X5 xDrive40i generasi G05 dengan penambahbaikan yang memfokuskan kepada pemanduan off-road.
Untuk bahagian luaran, X5 Silver Anniversary Edition didatangkan dalam warna Lime Rock Grey Metallic dari katalog BMW Individual.
Warna itu dipadankan dengan trim Extended Shadowline yang merangkumi perincian kemasan berwarna gelap pada bingkai tingkap, rel bumbung, saluran udara Air Breathers dan gril kidney.
Di dalam, kerusi sport didatangkan dalam upholsteri kulit yang boleh didapati dalam warna hitam, Cognac, Coffee atau Silver Sensafin. Trim gentian karbon pada konsol tengah dan papan pemuka, yang sebelum ini didatangkan standard pada X5 M60i dan X5 M Competition, turut disertakan pada model ini.
Ciri-ciri lain yang tersedia termasuk paparan melengkung dengan BMW Operating System 8.5, Live Cockpit Professional, head-up display dan paparan realiti terimbuh (AR). Anda juga akan menemui plak Silver Anniversary Edition pada konsol tengah.
Apa yang menjadikan model ini lebih menarik adalah pakej xOffroad yang tidak ditawarkan pada mana-mana model BMW X.
Pakej berkenaan merangkumi empat mod pemanduan iaitu xSnow, xSand, xGravel dan xRocks yang berfungsi untuk melaraskan ketinggian kenderaan, penukaran gear, pemetaan pendikit, Traction Control dan pelbagai fungsi lagi.
Bukan itu sahaja, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara, differential lock mekanikal pada gandar belakang dan plat perlindungan bawah badan.
Turut disertakan adalah paparan khas xOffroad View yang menyediakan maklumat seperti jarak lega tanah, olengan dan tahap cerun muka bumi. Terdapat juga kamera luaran yang memberikan pandangan dari pelbagai sudut dari luar ketika kereta bergerak pada kelajuan bawah 35 km/j.
Sebagai pelengkap, BMW turut memberikan rak bumbung, pelapik bagasi dan karpet lantai pelbagai cuaca. Pelanggan juga dapat menikmati diskaun untuk tayar General Grabber All-Terrain.
X5 Silver Anniversary Edition akan dihadkan kepada 1,000 unit sahaja di Amerika Syarikat, dengan harga jualan bermula dari $79,900 (RM376,074).
Sedan segmen C Volkswagen Jetta generasi ketujuh telah terjual di beberapa pasaran utama di dunia sejak dari tahun 2018 lagi.
Versi facelift kali pertama diperlihatkan pada bulan Ogos 2021 sebagai model tahun 2022 dengan membawakan perubahan yang minima, namun kemaskini facelift kali kedua yang muncul kali ini tampil dengan rekaan yang lebih malar segar.
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Volkswagen Jetta 2025 dijual pada harga bermula dari $21,995 (RM103,530).
Apa yang berubah?
1. Muka hadapan lebih anggun
Tidak seperti model Jetta pra-facelift yang nampak agak berserabut, Volkswagen cuba untuk membawakan imej sedan yang lebih ringkas pada Jetta 2025.
Ia membawakan struktur jeriji yang minimalis, diikuti dengan rekaan unit lampu LED yang jauh lebih bergaya dan garang.
Terdapat opsyen untuk menambah bar lampu LED melintang penuh pada bahagian tersebut.
Selain itu, struktur bampar hadapan juga kini membawakan rekaan yang lebih sporti.
2. Hilang identiti Audi pada belakang
Jika anda perasan, Jetta pra-facelift ada membawakan sedikit pengaruh elemen rekaan Audi terutama pada unit lampu belakang.
Untuk versi facelift kali kedua ini Jetta 2025 membawakan rekaan trunk baharu yang dilengkapi dengan bar pencahayaan nipis menghubungkan unit lampu utama kiri dan kanan.
Secara standard, Jetta 2025 boleh dipadankan dengan set rim baharu bersaiz 17 dan 18 inci bergantung kepada varian yang dipilih.
3. Ruang kabin
Boleh dikatakan perubahan pada ruang kabin tidaklah begitu dramatik, namun ia tetap ditambah baik dengan kehadiran skrin infohibur sebesar lapan inci menggantikan skrin 6.5 inci pada model terdahulu.
Sistem kawalan iklim Climatronic Touch dua zon kini menampilkan butang kawalan yang lebih moden.
Bergantung kepada varian, pembeli boleh menikmati ciri-ciri seperti pengecasan peranti pintar tanpa wayar, radio satelit SiriusXM, serta pilihan upholsteri tempat duduk leatherette dua tona, fabrik Molekular, atau pilihan balutan kulit Vienna berlubang dengan kemasan jahitan kontras.
4. Jetta 2025 masih lagi tawar kotak gear manual!
Volkswagen mengekalkan penawaran enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 158 hp yang dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Mereka yang mahukan penukaran gear manual boleh mendapatkan varian Jetta GLI dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 228 hp dan 349 Nm, atau opsyen transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Varian GLI juga agak istimewa kerana dibekalkan dengan sistem brek yang lebih besar, pembeza gelincir terhad kawalan elektronik, peredam adaptif dan sistem ekzos sports.
5. IQ.DRIVE sebagai ciri standard
Kesemua varian Jetta didatangkan dengan kelengkapan keselamatan IQ.DRIVE yang menawarkan Front Assist, Travel Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Emergency Assist, Rear Traffic Alert dan Active Blind Spot Monitor.
6. Ada logo lebuh raya pada bampar
Selain daripada rupa paras yang lebih sporti dengan kehadiran aksen berwarna merah, satu lagi ciri unik yang wujud pada Volkswagen Jetta GLI 2025 ialah kewujudan logo lebuh raya pada bahagian bampar hadapan.
Kerajaan Malaysia akan melaksanakan pendekatan yang lebih tegas kepada mana-mana kenderaan asing yang didapati melanggar undang-undang negara ini, lapor Bernama.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan memudahkan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia, namun jangan harapkan ‘pusingan U’ terhadap penguatkuasaan VEP bermula 1 Oktober ini.
Beliau berkata ketika ini kerajaan tidak mempunyai cara untuk mengesan kenderaan asing yang memiliki saman atau kesalahan di negara ini.
“Jadi apabila VEP dilaksanakan, sesiapa atau kenderaan asing yang memasuki Malaysia, jika melanggar undang-undang kita maka mereka perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini. Inilah mesejnya… tidak akan ada pusingan U. Akan dikuatkuasakan pada 1 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia ke-4 di sini hari ini.
Menurut Loke mesej itu jelas terhadap kenderaan asing terutama pemandu Singapura yang kerap datang ke Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berharap pemandu warga asing mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini sepertimana pemandu Malaysia mematuhi undang-undang Singapura.
Loke berkata kementeriannya menyedari e-mel berkaitan kesulitan pemilik kenderaan asing dalam mendaftarkan VEP dan Bahagian Darat kementerian serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarahkan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelesaikan isu terbabit sekali gus memudahkan proses berkenaan.
“Sebaik sahaja kita meneliti isu itu, kita akan buat pengumuman nanti dari segi penambahbaikan,” katanya sambil menambah beliau sendiri akan meneliti isu berkenaan dan akan ke Johor untuk melakukan pemeriksaan.
Pada 28 Mei lepas, Loke mengumumkan VEP bagi kenderaan asing di sempadan darat Malaysia-Singapura akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Mereka yang disabit kesalahan boleh dikompaun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan seperti ketetapan Seksyen 119(2) di bawah Akta 333.
Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kesal selepas melakukan pembelian motosikal idaman jenis BMW S 1000 RR.
Perkongsian di media sosial itu mencuri perhatian apabila lelaki berkenaan mendedahkan bagaimana dia telah membeli motosikal jenis ‘superbike’ dengan harga RM129k pada tahun 2023 namun kemudian meluah rasa kesal.
“Betul orang kata superbike untuk hobi orang kaya, bukan keperluan.
“Aku gaji baru RM6k beli BMW S 1000 RR 2023 dan sekarang baru tengah bulan, lepas perbaharui cukai jalan dan servis, duit makan cuma tinggal RM50,” katanya.
Perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan rata-rata mengkritik tindakan membeli jentera BMW yang paling baharu walaupun terdapat pilihan lain yang menawarkan harga lebih rendah.
Untuk rekod, BMW S 1000 RR 2023 merupakan motosikal segmen 1000cc yang dikuasakan enjin 4-silinder 999cc DOHC dengan teknologi BMW ShiftCam yang berupaya menjana 205hp pada 13,000rpm dan 113Nm pada 11,000rpm.
APA yang anda lihat ini adalah SUV enjin pembakaran dalaman yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Audi Sport GmbH iaitu RS Q8 performance.
Di bawah bonetnya terdapat enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang ditala bagi menghasilkan 640 PS dan 850 Nm. Dengan transmisi automatik Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan quattro, ia hanya memerlukan 3.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Lebih hebat lagi, jentera itu juga telah merangkul gelaran SUV terpantas di Nurburgring dengan masa 7 minit 36.698 saat, dua saat lebih pantas berbanding pemegang rekod sebelum ini iaitu Porsche Cayenne Turbo GT dan hampir enam saat lebih pantas berbanding RS Q8 yang terdahulu.
Di samping enjin yang berkuasa, sebahagian besar prestasi RS Q8 performance di litar Neraka Hijau itu disumbangkan oleh sistem suspensi udara adaptif dengan talaan spesifik untuk model RS.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan differential mekanikal pada bahagian tengah yang merupakan sebahagian daripada sistem pacuan quattro. Ia ditugaskan untuk mengagihkan kuasa enjin ke gandar depan dan belakang pada nisbah 40:60.
Jika berlaku gelinciran, tidak lebih daripada 70% tork akan disalurkan ke gandar depan, dan sehingga 85% disalurkan ke gandar belakang. Ini memberikan pengendalian yang lebih tepat dan responsif, serta mengurangkan understeer.
Audi turut menawarkan RS Q8 performance dengan penstabil olengan aktif elektromekanikal (eAWD) yang secara asasnya berfungsi untuk mengurangkan pergerakan lateral badan.
Sebagai alternatif kepada versi performance, pelanggan boleh mendapatkan varian asas yang mempunyai 600 PS dan 800 Nm ‘sahaja’.
Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 3.8 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j namun boleh dinaikkan kepada 280 km/j atau 305 km/j.
Untuk prestasi yang lebih berbisa, RS Q8 asas boleh dilengkapi dengan dynamic plus package yang merangkumi eAWS, differential quattro sport dan sistem brek seramik (didatangkan standard pada RS Q8 performance).
Sementara itu, sistem stereng empat roda, yang berfungsi untuk mengurangkan radius putaran, disertakan secara standard pada kedua-dua versi.
Di Jerman, RS Q8 boleh ditempah mulai 27 Jun tahun ini dengan harga dari 141,900 euro (RM716,317) untuk versi asas dan 155,700 euro (RM785,960) untuk performance.
Sebuah kilang pembuatan bateri utama di selatan Seoul terbakar menyebabkan sekurang-kurangnya 22 individu terbunuh dan tiga lagi cedera.
Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat, Kim Jin-young, lapan daripada mangsa yang terkorban disahkan pekerja warga China, manakala seorang lagi rakyat Laos.
“Kita mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti identiti mangsa memandangkan keadaan mayat yang sudah rentung,” katanya pada Isnin.
Kebakaran bermula di kilang pengeluar bateri litium Aricell di Hwaseong, kira-kira 45 km’ di selatan Seoul, sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.
Kebakaran dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi.
Pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran sepenuhnya kerana bateri litium yang terbakar sukar dikendalikan dengan kaedah pemadam kebakaran konvensional.
Balai bomba menyatakan bahawa api merebak dengan cepat kerana sel bateri di dalamnya meletup secara berterusan, menyukarkan operasi mencari dan menyelamat di dalam kilang.
Sekurang-kurangnya 35,000 bateri dipercayai berada di dalam kilang itu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min meminta pihak berkuasa tempatan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelak bahan kima daripada kilang itu mencemari kawasan sekeliling.
Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini terdapat usaha untuk menghidupkan semula semangat jentera-jentera rali klasik yang disuntik dengan elemen kemodenan.
Dengan jumlah wang yang mencukupi, anda kini boleh mendapatkan sebuah jentera Kimera EVO37 yang diinspirasikan daripada Lancia 037, serta Prodrive P25 yang diinspirasikan daripada Subaru Impreza 22B STi.
Prodrive P25
Kimera EVO37
Bagi para peminat Ford, usah risau kerana pengeluar tersebut memberikan lampu hijau kepada syarikat UK Boreham Motorworks untuk menghasilkan semula dua jentera ikonik rali era 70-an dan 80-an yang halal digunakan atas jalan raya, iaitu Escort Mk1 dan RS200.
Ford Escort Mk1 merupakan bintang yang pernah menguasai pentas rali di Britain era 60-an dan 70-an, sementara Ford RS200 pula merupakan hero 80-an yang bertempur di dalam Group B menentang pesaing seperti Audi Quattro dan juga Lancia 037.
Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan, kedua-dua jentera ikonik dilihat cuba sedaya upaya untuk mengekalkan bentuk badan yang asal, namun ditambah dengan ciri moden seperti unit lampu LED serta mungkin sekali kelengkapan yang lebih selesa.
Tiada sebarang perincian berkenaan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada kedua-dua model, namun Boreham mendedahkan model RS200 yang dihasilkan semula itu akan mengekalkan susun atur enjin yang asal serta sistem pacuan semua roda.
Manakala untuk model Escort pula akan dibina setepat mungkin mengikut pelan blueprint yang asal, serta mempunyai sambungan nombor VIN daripada siri nombor yang asal.
Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan dan bertepatan dengan ‘undang-undang’ yang tidak tertulis, kedua-dua model ini akan dihasilkan dalam unit yang agak terhad.
Selain daripada dua model yang disebutkan tadi, Boreham Motorworks akan menghasilkan beberapa model ikonik Ford yang lain, di mana setiap pembeli akan diberikan keahlian kelab eksklusif Boreham High Performance yang menawarkan pengalaman pemanduan yang unik serta berpeluang menghadiri pelbagai acara di seluruh dunia.
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan kempen panggilan semula Siri 2/2024 yang melibatkan beberapa model kenderaan daripada tiga jenama iaitu Toyota, Mercedes-Benz dan Chery.
Menurut JPJ, panggilan semula bagi model-model terlibat telah dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan tersebut sejak dari bulan Mac 2024 dan masih berlangsung sehingga kini.
Berikut adalah semua model yang terlibat dengan kempen panggilan semula:
Toyota
Corolla Cross (tahun pengeluaran Julai-September 2023) – 2,379 unit
Mercedes-Benz
C 200 (Januari-Julai 2023) – 1 unit
CLA 200, CLA 45 AMG 4Matic, A 250, A 45 AMG 4Matic dan S 400 Hybrid (Jun 2012-Januari 2021) – 11 unit
EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, GLC 300 4Matic, GLC 350 E 4Matic, AMG EQE 53 4Matic+, AMG EQS 53 4Matic+, AMG SL 43 Roadster, Maybach S 580 4Matic dan S 580 E (Januari-November 2023) – 1,297 unit
GLE 450 4Matic dan GLS 450 4Matic (Februari 2018-November 2023) – 1,302 unit
Chery
Omoda 5 (November 2023-April 2024) – 600 unit
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa berikutan isu kegagalan gandar belakang Omoda 5 yang tular baru-baru ini, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti panggilan semula sejak 3 Mei 2024.
Sehingga 7 Jun 2024, Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit (98.67%) Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti panggilan semula itu.
“Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan pada akhir Jun 2024,” kata JPJ.
Pasukan Polis Dubai sememangnya sangat terkenal dengan barisan kereta peronda yang paling pantas atas muka bumi ini, terdiri daripada bermacam-macam kereta eksotik yang mahal seperti Bugatti Veyron dan Lamborghini Aventador.
Dengan kewujudan model-model pantas yang telah dipamerkan sebelum ini, sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan model pantas terbaharu yang bakal ditampal dengan liveri hijau Polis Dubai.
Sayang sekali, pendatang terbaharu dalam armada kereta peronda Polis Dubai nampaknya bukanlah sebuah supercar atau hypercar, sebaliknya mereka membuat keputusan untuk menggunakan sebuah trak pikap berkuasa elektrik Tesla Cybertruck.
Tidak seperti kebanyakan kereta peronda Polis Dubai, MPV Cybertruck ini dipadankan dengan warna putih yang tradisional, diikuti dengan liveri hijau yang lebih ringkas pada bahagian sisi.
Menurut Polis Dubai, Tesla Cybertruck ini kebanyakan masa akan diletakkan di kawasan tumpuan utama pelancong seperti pusat membeli belah untuk dijadikan sebagai prop penggambaran.
Spesifikasi kereta peronda Cybertruck ini tidak didedahkan, namun dalam varian yang paling tinggi Cyberbeast, ia dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa sehingga 845 hp, dengan jarak gerak sejauh 515 km untuk sekali cas penuh.
The Dubai Police General Command has added the Tesla Cybertruck, the modern electric car with a futuristic design, to its tourist police luxury patrol fleet. pic.twitter.com/eubpvfjVbA
— Dubai Policeشرطة دبي (@DubaiPoliceHQ) June 16, 2024
BATIK Air memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.
Menerusi kerjasama dengan pengedar rasmi jenama Kia iaitu Dinamik Jaya Motors Sdn Bhd, Batik Air akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi dengan menawarkan pemindahan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA.
Penumpang akan dibawa menggunakan SUV elektrik Kia EV9 dan MPV Kia Carnival antara lokasi pengambilan yang terletak di Gate G1 di Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit.
Menurut Batik Air, perkhidmatan ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotren.
Datuk Chandran Rama Muthy, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil memastikan pelanggan mereka dapat menikmati keselesaan dan kemewahan yang tiada tandingan.
“Inisiatif ini selaras dengan dengan visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dalam penerbangan,” katanya.
Sementara itu, Kevin Ahn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik berkata perkongsian dengan Batik Air itu sejajar dengan visi korporat Pelan S Kia dan komitmen mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.
SETELAH lama dinanti-nantikan oleh para pemilik Tesla dan warga Pulau Pinang, Tesla telah dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang.
Perasmian ini turut menampilkan Model 3 Performance 2024, Model Y dan Cybertruck. Ketiga-tiga model ini dipamerkan di Aras G, Centre di Gurney Plaza, George Town bermula 21 Jun hingga 30 Jun ini.
Menurut Tesla, pelancaran ini penting kerana mereka mempunyai perancangan untuk meluaskan pasaran dan perkhidmatannya di negeri-negeri utara Malaysia.
Tesla juga telah mengumumkan rancangannya untuk membuka lokasi perkhidmatan selepas jualan khas di Pulau Pinang tidak lama lagi.
Orang ramai di Pulau Pinang kini boleh memandu uji Model 3 dan Model Y, hubungi 1800-81-0655 atau layari tesla.com/en_my/event/tesla-penang-testdrive untuk mengetahui lebih lanjut dan menjadualkan pandu uji.
Tesla kini mempunyai tiga buah tapak pengecasan di Pulau Pinang iaitu di The Ship Campus, All Seasons Place dan Sunway Carnival yang menyediakan sejumlah 12 buah Pengecas Destinasi (Wall Connectors) dan 4 buah Pengecas Super V3.
Tesla juga telah mengesahkan projek pemasangan stesen pengecasan V4 pertama di Pulau Pinang di Gurney Plaza.
Stesen pengecasan ini akan memudahkan lagi orang ramai untuk memiliki Tesla di Pulau Pinang. Rancangan untuk mengembangkan lagi infrastruktur pengecasan juga akan dilaksanakan pada masa hadapan.
Pemain baharu dalam segmen supermoped di Malaysia, Voge Formica Rossa 150 (FR150) bakal tiba di pengedar tempatan seluruh negara hujung bulan ini.
Menariknya, menurut laporan rakan media PanduLaju, MForce telah pun menerima lebih 5,000 tempahan setakat ini dengan kumpulan pertama sebanyak 1,300 akan tiba di pengedar Julai ini.
Sambutan yang diterima itu ternyata satu perkembangan menarik apatah lagi pasaran tempatan yang ketika ini didominai motosikal ‘supermoped’ dari Honda dan Yamaha.
Untuk rekod Voge FR150 dipacu enjin satu silinder 149.6cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 15.4hp dan 13.5Nm. Kami dimaklumkan enjin tersebut dibina menyerupai enjin Honda RS150 namun telah ditambah baik agar penyakit yang sering berlaku pada kapcai Honda itu tidak berlaku.
Seperti Honda RS150/RS-X, FR150 juga dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan namun dipertingkat dengan sistem klac slipper.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk panel meter digital, lampu LED dengan DRL (daytime running light), smartkey (keyless), port USB ,fork teleskopik dengan jarak pergerakan 83mm, berat 123kg, tangki bahan api 5.8L dan ABS dwi-saluran.
Negara Jepun bakal berdepan masalah kekurangan pemandu trak yang kritikal bagi memenuhi keperluan pengedaran logistik pada tahun fiskal 2030 disebabkan oleh populasi yang semakin menua, lapor akhbar Japan Today.
Menurut data kajian daripada Nomura Research Institute, jumlah pemunggahan muatan kargo menggunakan jalan raya pada tahun fiskal berakhir Mac 2031 diunjurkan sebanyak 1.40 bilion tan, menurun sedikit berbanding 1.43 bilion tan pada fiskal 2020.
Sementara itu, jumlah pemandu trak dijangka turun mendadak daripada 660,000 orang pada tahun fiskal 2020 kepada hanya 480,000 orang pada tahun fiskal 2030.
Ini bermakna, Jepun bakal mengalami kekurangan sebanyak 36 peratus tenaga pekerja yang diperlukan untuk mengendalikan 1.40 bilion tan kargo.
sumber gambar: CNBC
Antara wilayah yang paling teruk terkesan ialah Tohoku di timur laut Jepun dan Shikoku di wilayah barat dengan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 41 peratus, diikuti Kyushu sebanyak 40 peratus.
Jepun baru-baru ini telah melaksanakan peraturan baharu yang mengenakan had lebih masa sebanyak 18 jam per minggu untuk pemandu trak, teksi dan bas.
Walaupun ia bertujuan untuk membendung masalah kerja berlebihan, ada pihak bimbang peraturan baharu ini akan menyumbang kepada penurunan kapasiti penghantaran barangan, kadar keuntungan pengendali yang semakin mengecil serta caj yang lebih mahal dikenakan kepada pengirim barang.
Firma kajian itu turut meramalkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh pengirim akan meningkat 34 peratus antara fiskal 2022 dan fiskal 2030.
Mercedes-Benz Malaysia mengemaskini penawaran model SUV mewah GLB-Class untuk model tahun 2024 dengan pakej yang lebih menarik untuk para pelanggan.
Sama seperti penawaran terdahulu, Mercedes-Benz GLB-Class 2024 boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu GLB 200 berharga RM290,888 dan GLB 250 4MATIC berharga RM341,888.
Dari segi luaran, GLB 200 2024 membawakan bampar hadapan yang telah direka semula, diikuti dengan empat struktur kekisi melintang dan kit badan Progressive Line yang menjadikan penampilan SUV ini yang lebih elegan.
Sementara GLB 250 4MATIC pula membawakan kekisi jeriji hadapan melintang tunggal berserta kemasan krom, pakej AMG Line, Night Package, serta kemasan paip ekzos berwarna hitam berkilat.
Secara standard, GLB 200 dipasangkan dengan rim aloi 5 jejari berkembar bersaiz 18 inci, sementara GLB 250 4MATIC pula mendapat rim aloi AMG bersaiz 19 inci.
Terdapat beberapa pembaharuan yang dibuat pada ruang kabin, seperti contoh roda stereng sports balutan kulit untuk GLB 200 (kulit Nappa untuk GLB 250 4MATIC), diikuti penambahan port pengecasan USB-C, kuasa pengecasan yang dipertingkatkan dan kesemua slot USB yang bercahaya.
Sama seperti model terdahulu, GLB 2024 menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25 inci, lengkap dengan sistem infohibur MBUX, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.
Antara ciri lain termasuklah trim Star Pattern (tambahan fungsi cahaya untuk GLB 250), tempat duduk balutan kulit (atau gandingan kulit ARTICO/MICROCUT untuk GLB 250), sistem pencahayaan ambien 64 warna dan kawalan iklim automatik.
Dari segi kuasa, Mercedes-Benz GLB 200 datang dengan nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 163 hp dan 270 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tujuh kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 207 km/j.
Sementara Mercedes-Benz GLB 250 4MATIC pula dibekalkan dengan enjin bersesaran 1,991 cc berkuasa 224 hp @ 5,500 rpm dan 350 Nm @ 2,000-4,000 rpm, dengan padanan transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.
Eksklusif untuk varian GLB 250 ialah ciri pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid BSG 48 voltan yang mampu memberikan kuasa ekstra 13.4 hp dan 150 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 236 km/j.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Parking Package, Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).