EON Berhad, sebuah syarikat subsidiari DRB-Hicom Berhad telah mengumumkan senarai pemenang cabutan bertuah peraduan EON & Sahabat Autofest 2024, serentak dengan sambutan rumah terbuka yang berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.
Pemenang hadiah utama, Siti Khairunadia Mohd Sharifuddin Paloh dari Johor Bahru berjaya membawa pulang sebuah Proton S70 Flagship.
Wanita berusia 21 tahun itu membeli sebuah Proton Saga 1.3 Automatic Standard sepanjang tempoh tiga hari Autofest berlangsung yang diadakan dari 1 hingga 3 Mac 2024, dan membiayai pembeliannya menerusi platform digital EON.
Empat lagi pemenang cabutan bertuah masing-masing membawa pulang hadiah berupa Dyson Vacuum Cleaner dan iPad, dengan nilai hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.
Dalam ucapannya, Akkbar Danial mengumumkan sepanjang EON & Sahabat Autofest 2024 berlangsung, pihaknya telah berjaya mencatatkan jualan melebihi 650 unit, atau 30 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal.
Acara EON & Sahabat Autofest 2024 menghimpunkan pelbagai jenama motosikal dan kereta di bawah satu bumbung, seperti Proton, Mitsubishi, Audi, Volkswagen, smart, Isuzu, Daihatsu, Honda, Modenas dan Kawasaki.
Bike Specialist di Sheffield, United Kingdom sedang menjual jentera Ducati MotoGP yang pernah ditunggang Troy Bayliss pada musim 2003
.
Jentera Desmosedici GP3 989cc itu – yang dikendalikan Bayliss dan Loris Capirossi – merupakan mesin yang ikonik kerana menandakan kembalinya Ducati pada kelas premier perlumbaan GP selepas 30 tahun.
“Jentera Desmosedici yang kami tawarkan adalah model GP3TB1 (yang merujuk kepada tahun 2003),” jelas Bike Specialist.
Pada musim 2003, Ducati mendakwa jentera GP3 ini menawarkan lebih 200hp pada 16,000rpm dan mampu mencapai kelajuan lebih 320km/j dengan berat hanya 145kg.
Menurut Bike Specialist, jentera Ducati MotoGP ini dibuka untuk jualan dengan harga GBP350,000 (RM2.08j).
SHELL dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Saudi Aramco untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia.
Reuters yang memetik empat sumber industri berkata ia melibatkan perjanjian bernilai kira-kira empat hingga lima bilion ringgit.
Shell enggan mengulas mengenai rundingan itu tetapi berkata Malaysia adalah negara penting kepada syarikat itu. Saudi Aramco juga enggan mengulas.
Shell yang berpangkalan di London memiliki sekitar 950 stesen minyak di seluruh Malaysia, menjadikan ia syarikat petroleum dengan rangkaian kedua terbesar di negara ini selepas Petronas.
Rundingan bermula pada akhir 2023 dan perjanjian mungkin dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, kata satu sumber.
Dua sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu meletakkan potensi saiz urus niaga pada kira-kira empat bilion hingga lima bilion ringgit ($844 juta hingga $1.06 bilion).
Di samping stesen minyak, Shell turut menjual pelincir industri, mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di luar pesisir negeri Sarawak dan Sabah, dan merupakan rakan usaha sama dalam dua usaha niaga gas asli cecair (LNG).
Penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha Ketua Pegawai Eksekutif, Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan.
Shell berkata ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen minyak tahun ini dan seterusnya. Syarikat itu juga sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura.
Satu sumber turut berkata bahawa usaha Shell untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia konsisten dengan langkahnya untuk menjual loji penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang merupakan pembekal rangkaian itu.
Saudi Aramco, yang dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi, tidak mempunyai stesen minyak di Malaysia namun memiliki 50% daripada 300,000 tong sehari (bpd) loji penapisan Pengerang dalam satu usaha sama dengan Petronas.
Aramco mengendalikan stesen minyak di Arab Saudi dan juga mengendalikan stesen minyak di tempat lain dalam usaha sama dengan TotalEnergies di Perancis dan S-Oil Corp di Korea Selatan.
Sukan berprestij Formula Satu nampaknya telah berjaya menarik minat golongan pengikut baharu (terutama di Amerika Syarikat) selepas siri dokumentari Drive to Survive ditayangkan di Netflix sejak tahun 2019.
Terkini, Netflix dilapor bakal menerbitkan siri dokumentari mini enam episod berkisarkan kisah hidup juara F1 dari Brazil, Ayrton Senna yang bakal ditayangkan pada tahun ini.
Berdasarkan trailer acah yang disiarkan, dokumentari Senna itu bakal mengisahkan kerjaya Ayrton Senna sebagai pelumba F1, kehidupan serta hubungan dalam dunia sebenar.
Trailer itu turut memaparkan kesukaran yang dialami oleh Ayrton Senna dalam usaha untuk membawa pulang kejayaan semasa GP Brazil pada tahun 1991, selain mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau dalam dunia perlumbaan sejak usia muda.
Dokumentari Senna ini bakal dibintangi oleh Gabriel Leone sebagai Senna, Pâmela Tomé (teman wanita Senna), serta beberapa bintang antarabangsa yang bakal membawakan watak penting seperti Niki Lauda, James Hunt dan Osamu Goto.
Untuk makluman, Ayrton Senna juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam menyempurnakan karakteristik pemanduan kereta sports berenjin tengah Honda NSX generasi pertama.
Syarikat pengeluar kenderaan elektrik Tesla Inc baru-baru ini telah menyaman sebuah syarikat pengeluar bateri yang menggunakan nama yang hampir sama di pasaran India, iaitu Tesla Power USA.
Tindakan saman tersebut dibuat setelah mendapati syarikat Tesla Power USA terus menggunakan nama tersebut untuk produk keluarannya walaupun sudah menerima notis cease-and-desist (C&D) pada April 2022.
Menurut laporan Reuters, peguam Tesla Power telah memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu hanya mengeluarkan bateri asid plumbum yang ringkas, dan tidak merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) seperti Tesla.
Namun, berdasarkan semakan di laman web rasmi Tesla Power USA jelas sekali mendedahkan penjenamaan yang digunakan oleh syarikat itu, serta turut menyertakan lokasi ibu pejabat yang terletak di Delaware – negeri sama di mana Tesla Inc diperbadankan.
Pihak mahkamah telah memberikan tempoh masa sehingga tiga minggu kepada syarikat India tersebut untuk mengemukakan jawapan balas.
Tesla Power USA juga dilarang daripada terus menggunakan tanda dagangan yang dimiliki oleh Tesla Inc sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 22 Mei ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan BJAK Sdn Bhd (Bjak) tidak mempunyai kelulusan untuk menjalankan urus niaga pembaharuan cukai jalan.
JPJ menjelaskan, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak pernah memberikan kelulusan kepada Bjak untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga yang dimaksudkan itu.
Pihaknya juga dikatakan telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai berhubung masalah pembaharuan cukai jalan.
Antaranya ialah tempoh sah laku cukai jalan yang tidak dikemas kini walaupun pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan.
Pihak JPJ juga ingin memaklumkan kenyataan yang dipaparkan oleh pihak Bjak dalam laman sesawang mereka iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di Bjak telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.
Tambahnya, tiada sebarang integrasi antara sistem MySIKAP JPJ dengan sistem yang digunakan oleh pihak Bjak.
JPJ turut menggalakkan orang ramai menjalankan urus niaga pembaharuan cukai jalan menerusi saluran yang disahkan, seperti kaunter dan kiosk JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, aplikasi MyJPJ, dan platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM.
Program We Ride As One anjuran Ducati bagi tahun 2024 berlangsung meriah dengan lebih 300 pemilik Ducati berjaya dikumpulkan.
Acara bermula di Ducati Sungai Buloh sebagai venue permulaan yang menyaksikan pemilik pelbagai motosikal Ducati termasuk Panigale, Mutlistrada, Hypermotard, Monster dan Ducati Scrambler berkumpul.
Peserta memulakan perjalanan dari Ducati Sungai Buloh ke Putrajaya Lake Club pada Sabtu dan menyelusuri laluan dan landskap yang indah.
Seramai 300 motosikal terlebih berkonvoi ke tiga lokasi utama yang merangkumi Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Seri Saujana sebelum berakhir di Kelab Tasik Putrajaya di mana kesemua Ducatisti berpeluang meramah mesra dan menikmati makan tengah hari.
PERODUA pada 3 Mei lepas telah memperkenalkan Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.
Syarikat itu juga akan meningkatkan jualan eksport tahun ini sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit berbanding 1,094 unit pada tahun 2023. Ini berikutan sasaran yang dibuat oleh syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.
Di samping itu, Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan sebanyak 460 unit.
Pada tahun 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan pada tahun lalu.
“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau menjangka pertumbuhan yang berterusan di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.
“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami.
“Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.
“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Dato’ Sri Zainal.
Berikut adalah harga model-model Perodua yang dijual di Brunei:
Alza AV – B$30,900 (RM108,510)
Alza H – B$27,900 (RM97,975)
Axia AV – B$21,900 (76,905)
Axia G – B$17,900 (RM62,859)
Bezza 1.0L G – B$16,900 (RM59,347)
Kesemua harga yang disenaraikan adalah termasuk cukai jalan dan insurans.
HAYDEN Haikal terus mengharumkan nama negara, kali ini berjaya menjuarai kelas GT4 di perlumbaan Thailand Super Series Championship. Lebih menarik lagi, perlumbaan ini merupakan penyertaan pertamanya memandu Mercedes-Benz AMG GT4 tersebut!
Kemenangan Hayden Haikal ini turut memberikan pasukan Racing Aurora (sebuah pasukan Malaysia) kemenangan pertama GT4 di peringkat antarabangsa.
Pemandu berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan lebih satu jam itu di litar Chang International Circuit yang mempunyai jarak 4.554km. Hayden melepasi garisan penamat 26 saat di depan pemandu tempat kedua, K. Kantadhee yang memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport.
Hayden menyertai perlumbaan Super Series Supercar GT4 27 minit selepas ia bermula, mengambil alih tugas rakan sepasukannya, Peter Hackett semasa pertukaran pemandu di tengah-tengah perlumbaan. Pada masa itu, Kantadhee berada di depan sejauh 8 saat.
Selepas beberapa ketika, Kantadhee yang memandu untuk AAS Motorsport itu terpaksa berada di pit kerana mekanik perlu membuang balutan yang rosak di bonet depan jenteranya.
Dua pelumba lain yang juga memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport telah dikenakan penalti stop-and-go 2 saat kerana melanggar had masa minima semasa hentian pit.
Hayden yang tidak menyedari akan insiden-insiden ini terus mara ke posisi depan, jauh dari pesaing lain.
“Menggalas dua tanggung jawab (bersaing dalam Super Eco dan GT4 Class) dan tamat dengan kemenangan pertama saya dalam GT4 merupakan satu perasaan menakjubkan,” kata Hayden.
“Saya berterima kasih kepada Peter (Hackett), Racing Aurora, dan para penaja kerana merealisasikan semua ini,” tambahnya.
ENJIN gempak, power gila, tapi nama hampeh. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Ferrari 12Cilindri serba baharu. Kami rindukan nama-nama hebat seperti Fiorano, Scuderia, Maranello, dan F50.
Ia dinamakan sempena enjin yang menjadi kemegahan Ferrari iaitu V12 naturally-aspirated berkapasiti 6.5-liter, serta menjana 819hp dan 678Nm tork.
Enjin ini diletakkan dalam konfigurasi front-mid pada badan dengan bonet depan yang panjang, suatu bentuk klasik Ferrari. Konfigurasi front-mid bermaksud di depan kabin, tetapi di belakang gandar depan, untuk imbangan optima.
Unit V12 ini telah digunakan sejak berdekad yang lalu, bermula pada Enzo. Untuk 12Cilindri, Ferrari berjaya melepasi piawaian ketat terkini tanpa sebarang bantuan hibrid atau elektrifikasi. Ya, jadi enjin ini dapat menjerit dan dikerah sendiri untuk mencapai kuasa puncaknya.
Teknologi terkini yang digunakan pada enjin V12 ini ialah Aspirated Torque Shaping yang menggunakan elektronik untuk mengubah lengkungan tork dalam gear tiga dan empat.
Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan yang terletak di belakang, seperti anda jangkakan, juga untuk imbangan berat. Kotak gear ini dikatakan mampu menukar gear 30 peratus lebih cepat dari 812, model sebelumnya.
Untuk prestasi, Ferrari berkata 12Cilindri ini mampu memecut ke 100km/j dalam 2.9 saat dan mencapai 200km/j kurang 7.9 saat. Versi Spider sedikit ‘perlahan’, iaitu 2.95 saat dan 8.2 saat masing-masing untuk mencapai 100km/j dan 200 km/j. Kelajuan maksima kedua-dua model adalah melebihi 340km/j.
Ferrari 12Cilindri dilengkapi dengan pelbagai sistem kawalan casis termaju seperti Side Slip Control 8, sistem stereng empat-roda bebas, pilihan rim 20 atau 21-inci, dan pilihan tayar Michelin Pilot Sport S 5 atau Goodyear Eagle F1 Supersport. Casis juga 15 peratus lebih tegar berbanding 812.
Seperti dijangka, harganya tidak akan murah. 12Cilindri dijual pada harga USD423,000 (RM2.006 juta) untuk coupe dan USD466,000 (RM2.209 juta) bagi Spider. Pada masa ini, kita bolehlah anggap semuanya telah habis dijual kerana Ferrari V12 mempunyai permintaan sangat tinggi.
PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan April 2023, yang menyaksikan pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan sebanyak 11,025 unit untuk pasaran domestik dan eksport.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17.1% berbanding 9,415 unit yang dicapai pada April tahun lalu.
Selain itu, jualan bagi empat bulan pertama tahun 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023.
Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.
Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7% pada bulan April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2%, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara.
Menurut Proton, X50 mencapai jualan sebanyak 1,642 unit pada bulan April, sekali gus membolehkan model itu mendahului semula jualan SUV segmen B.
Sementara itu, S70 terus menerajui jualan sedan segmen C dengan 1,635 unit terjual pada bulan lalu. Ini melonjakkan jualan kumulatif sedan itu kepada 7,463 unit.
Saga pula kekal sebagai model Proton terlaris dengan merekodkan jualan sebanyak 5,031 unit pada April, dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8% kepada 23,278 unit.
X70 mencapai 552 unit, manakala Persona dan X90 masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit. Iriz menambah 424 unit kepada jumlah jualan April.
“Penurunan dalam jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac
2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan
pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Jualan eksport pula menyaksikan peningkatan sebanyak 38.5% kepada 835 unit berbanding 603 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Mendahului carta jualan eksport adalah Saga dengan 427 unit terjual sejak awal tahun, diikuti dengan X50 dengan 176 unit dan S70 dengan 89 unit dalam pasaran eksport tunggalnya iaitu Brunei.
Kia EV6 mula menjengah dunia pada Mac 2021 sebagai sebuah kenderaan elektrik yang berkongsi platform E-GMP dengan Hyundai Ioniq 5.
Versi facelift pertengahan kitaran dijangka akan muncul dalam masa terdekat berdasarkan hantaran terbaharu pengeluar tersebut menerusi laman media sosial Facebook.
Antara sorotan utama yang bakal dibawakan oleh Kia EV6 facelift ini termasuklah unit pencahayaan utama hadapan serba baharu, lengkap dengan grafik LED yang lebih moden.
Selain itu, Kia EV6 juga turut mempunyai rekaan ‘hidung harimau’ yang lebih menonjol, serta bampar hadapan yang telah direka semula untuk menghasilkan efek 3D yang lebih ketara.
Di bahagian belakang pula, tidak banyak perubahan yang dibawakan, melainkan grafik LED yang lebih kemas.
Dari segi rangkaian kuasa pula, Kia EV6 dijangka akan menerima pek bateri 84 kWh baharu yang sama dipadankan pada Hyundai Ioniq 5 2025, menggantikan unit 77.4 kWh sedia ada sekaligus membenarkan jarak gerak yang lebih jauh.
Kia sebelum ini mengesahkan model EV6 facelift akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua 2024 (Q2 2024), diikuti varian EV6 GT pada Q4.
Honda mengejutkan dunia dengan kehadiran sebuah model konsep coupe dua pintu Honda Prelude di acara Tokyo Mobility Show tahun lepas.
Difahamkan, model tersebut sedia untuk diproduksikan kelak dan bakal memberikan saingan kepada kereta-kereta sports seperti Mazda MX-5 Miata dan Toyota GR86.
Berdasarkan laporan terkini daripada laman Best Car Web, berikut merupakan serba sedikit perincian berkenaan kereta sports terbaharu Honda Prelude:
1. Dimensi hampir sama besar dengan GR86
Honda Prelude dijangka akan membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,300 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,300 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,575 mm.
Ini menjadikan Honda Prelude jauh lebih besar berbanding model Mazda MX-5 Miata, namun memiliki jarak antara roda yang hampir sama dengan Toyota GT86.
2. Pacuan roda depan
Menggerakkan Honda Prelude ialah enjin 2.0 liter inline-4 e:HEV yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 210 PS.
Enjin yang sama digunakan pada Honda Civic e:HEV dan Accord e:HEV, di mana Honda telah menala semula nadi tersebut untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih sporti.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan roda hadapan menerusi transmisi e-CVT. Tidak mengejutkan pun apabila model pilihan playboy ini tidak lagi didapati dengan padanan kotak gear manual.
3. Kereta sports 2+2
Honda Prelude generasi baharu ini dijangka akan mewarisi ciri-ciri ikonik yang telah wujud pada Prelude yang terdahulu.
Selain daripada sistem pacuan roda depan, Prelude baharu ini juga bakal menawarkan konfigurasi tempat duduk 2+2.
Namun, Honda sebelum ini telah mengesahkan model Prelude tidak akan menjadi model yang lebih sporti dan lincah seperti Honda Civic Type R.
4. Harga jualan anggaran
Honda Prelude dijangka akan muncul secara rasmi pada separuh kedua tahun 2025.
Dianggarkan, harga jualan bermula dari 4.2 juta yen (RM129,541) hingga 4.5 juta yen (RM138,794), berdasarkan kadar pertukaran matawang semasa 1,000 JPY = RM30.84.
CHERY Auto Malaysia telah mengeluarkan satu lagi kenyataan mengenai isu gandar patah yang melibatkan sebuah Chery Omoda 5 yang tular baru-baru ini.
Selepas melancarkan kempen panggilan semula melibatkan 600 unit Omoda 5, syarikat itu mengumumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan pembetulan semua kenderaan yang terjejas mematuhi standard keselamatan tertinggi.
Dalam kenyataan itu, Naib Presiden Chery Auto Malaysia menjelaskan bahawa pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkenaan untuk memberikan penjelasan status serta punca kejadian tersebut.
Berikutan siasatan menyeluruh, pihak vendor melaporkan bahawa masalah tersebut disebabkan oleh naik taraf fasiliti di mana muncung mesin kimpalan automatik yang haus digantikan dengan muncung baharu.
“Penggantian muncung kimpalan baharu itu telah menyebabkan salah kalibrasi pada kelengkapan tersebut,” jelas Lee.
Kesan daripada itu, Chery Auto Malaysia mendapati bahawa terdapat sebanyak 60 unit Omoda 5 yang dikeluarkan pada 15 Ogos 2023, dilengkapi dengan bahagian yang bermasalah itu.
Syarikat itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil semula dan memeriksa gandar belakang Omoda 5 yang dikilangkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023, berjumlah 600 unit semuanya.
“Chery Auto Malaysia memandang serius perkara ini kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami sedang dalam proses menghubungi pelanggan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) yang terjejas untuk meminta mereka membawa kenderaan mereka ke pusat servis sah kami untuk pemeriksaan terperinci.” kata Lee.
Bukan itu sahaja, Chery juga telah melancarkan laman web khusus di mana pelanggan boleh mengesahkan sama ada kereta mereka terkesan atau tidak dengan hanya memasukkan VIN.
Setakat 3 Mei 2024, Chery telah menghubungi 32 daripada 60 pemilik yang terjejas. Syarikat itu juga mengesahkan bahawa model lain tidak terjejas.
Untuk pertanyaan, hubungi Talian Khidmat Pelanggan Chery Malaysia di +603 – 2771 7070 (Isnin hingga Jumaat, 8:30 pagi hingga 5:30 petang).
PENGEDAR rasmi Kia iaitu Dinamikjaya Motors telah melancarkan kenderaan elektrik ketiganya untuk pasaran Malaysia iaitu Kia EV9.
SUV itu boleh didapati dalam dua varian iaitu GT-Line AWD 6 tempat duduk dan GT-Line 7 tempat duduk, masing-masing dijual pada harga RM374,668 dan RM369,668.
Kedua-dua varian menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar yang menghasilkan 380 hp dan 700 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.
Spesifikasi bateri juga sama iaitu bateri litium ion berkapasiti 99.8 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 505 km dengan satu cas penuh.
Untuk pengecasan, EV9 dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 24 minit. Ia juga menyokong pengecasan AC 11 kW yang memerlukan 10.5 jam untuk pengecasan penuh.
EV9 merupakan model kedua Kia yang dibina menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) selepas EV6. Ia mempunyai ukuran panjang 5,015 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 3,100 mm.
Rekaan luarannya diserlahkan menerusi Digital Tiger Face yang menampilkan Digital Pattern Lighting Grille, lampu LED menegak, serta Star Map Lighting pada lampu nyalaan siang dan lampu belakang. Rim didatangkan dalam saiz 21 inci untuk kedua-dua varian.
Di dalam, terdapat papan pemuka panoramik terapung yang menempatkan dua skrin, masing-masing berukuran 12.3 inci, serta sebuah lagi paparan segmen berukuran lima inci yang membolehkan pemandu mengakses semua fungsi kenderaan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga dua skrin kecil pada panel pintu kiri dan kanan yang memaparkan imej dari kamera sisi.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles, port pengecas USB-C di hadapan, tengah dan belakang, pencahayaan ambien dan sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara.
Dengan sistem pengecasan Integrated Charging Control Unit (ICCU) yang fleksibel, EV9 juga mempunyai fungsi Vehicel-to-Load (V2L) yang boleh membekalkan tenaga sehingga 3.6 kWj untuk mengecas pelbagai peralatan elektronik.
Turut disertakan adalah ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti High Beam Assist (HBA), Parking Collision-Avoidance Assist (PCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Blind-Spot View Monitor (BVM), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA2), Lane Following Assist (LFA2) dan Smart Cruise Control (SCC).
EV9 diimport sepenuh dari Korea Selatan dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Grey, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green.
Ia didatangkan dengan waranti pengeluar untuk lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km.
BYD Atto 3 boleh dikatakan sebuah model elektrik (EV) yang masih baharu dalam pasaran. Tetapi Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi telah memperkenalkan BYD Atto 3 2024 yang dikemas kini.
Antara pembaharuan bagi Atto 3 ini adalah dari segi rupa luarannya. SUV EV ini mendapat grafik hitam baharu pada tiang-D, dan logo BYD di belakang yang menggantikan tulisan “BUILD YOUR DREAMS” sebelum ini.
Kemudian, bahagian kabinnya boleh dipilih dengan dua tema warna iaitu Black-Dark Blue atau Dark Blue-Light Grey, mengikut selera anda. Terdapat juga tambahan warna badan Cosmos Black baharu, selain warna sedia ada.
Untuk aspek teknologi pula, BYD Atto 3 2024 dilengkapi pengecas tanpa-wayar dan skrin lebih besar 15.6-inci (sebelum ini 12.8-inci) yang masih boleh diputar. Sambungan Android Auto dan Apple Carplay masih ditawarkan seperti biasa.
Tiada perubahan untuk sistem janaan kuasa. Bermakna Atto 3 masih dipacu motor elektrik di depan dengan output 201hp dan 310Nm, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam 7.9 saat.
Motor elektrik ini mendapat kuasanya dari bateri LFP (lithiup iron phosphate) yang memberikannya jarak pemanduan 345km (kitaran WLTP).
BYD Atto 3 menyokong pengecasan AC 7kW dan DC sehingga 70kW, selain fungsi V2L.
EV ini ditawarkan hanya dalam satu varian untuk 2024, dengan harga RM149,800. Anda juga boleh memilih tiga pakej jaminan antara 6-tahun/150,000km hingga 8-tahun/150,000km.
MERCEDES-Benz Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi CLE 300 4Matic Coupe iaitu RM518,888 (OTR, tidak termasuk insurans, dengan cukai jualan 10%).
Apa yang menarik, harga ini sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan pada awal April lalu iaitu RM526,000.
CLE secara asasnya adalah pengganti kepada C-Class Coupe dan E-Class Coupe yang ditawarkan sebelum ini. Ia lebih besar berbanding C-Class Coupe, dengan ukuran panjang 4,850 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,428 mm, dengan jarak roda 2,865 mm.
Jika dibandingkan dengan E-Class Coupe pula, badan CLE sedikit lebih panjang dan rendah, namun jarak rodanya sedikit lebih pendek.
Dari segi kelengkapan, CLE 300 didatangkan standard dengan lampu hadapan Digital Light yang berfungsi seperti projektor dan boleh bertindak balas dengan perubahan keadaan trafik, jalan atau cuaca.
Selain itu, model itu turut tampil dengan pakej AMG Line dan Night Package, rim multi-spoke AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.
Ruang dalamannya tidak ubah seperti C-Class sedia ada, dengan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci dan paparan tengah 11.9 inci yang diposisikan dalam format potret dan dihalakan enam darjah ke arah pemandu.
Upholsteri Artico menghiasi panel instrumen manakala kulit Nappa pula membaluti stereng sport multifungsi dan tempat duduk hadapan. Turut disertakan adalah sistem audio Burmester 3D dengan 17 pembesar suara dan pencahayaan ambien.
CLE 300 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menjana 258 PS pada 5,800 dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm. Ia digandingkan dengan sistem mild hybrid yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 17 PS dan 205 Nm.
Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan 4Matic, CLE 300 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j 6.2 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Sistem bantuan pemandu disertakan secara standard, merangkumi Driving Assistance Package Plus, Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Memory Parking Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah, dan Guard 360°.
Direct Lending telah mengumumkan kerjasama bersama Tan Chong Motor Holdings Berhad bagi memperkenalkan pelan ansuran servis kereta sepenuhnya digital yang patuh Shariah, di pusat perkhidmatan Nissan seluruh Malaysia.
Menurut Tan Chong, kerjasama ini sejajar dengan komitmen mereka untuk memberikan pemilik kereta Nissan pengalaman yang lancar di pusat perkhidmatan mereka.
Menerusi kerjasama ini, pelanggan Tan Chong kini boleh membuat semakan kelayakan kewangan dan pengesahan dokumen secara dalam talian dan mendapatkan pembiayaan segera berbanding pembiayaan kewangan tradisional.
Ini akan membolehkan pelanggan meningkatkan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan servis dan penyelenggaraan kereta mereka dengan tempoh pembayaran balik sehingga 12 bulan.
Pemohon boleh mendapatkan pembiayaan segera dalam tiga langkah mudah iaitu mengisi butiran, menghantar kad pengenalan berserta penyata bank bagi tiga bulan terkini dan mengakhiri proses dengan membuat pembayaran pertama, menetapkan kadar pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan. Keseluruhan proses ini dijalankan secara digital melalui telefon pintar.
Sebagai permulaan, perkhidmatan Direct Lending boleh didapati di 10 pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong yang terpilih. Kemudahan ini akhirnya akan dikembangkan di semua pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong seluruh negara.
Hui Yik Seong, Pengasas Direct Lending berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat menawarkan sebuah pelan ansuran yang mematuhi prinsip Shariah, yang memberi manfaat kepada semua orang, termasuk pelanggan Tan Chong Motor Holdings Berhad.”
“Keselamatan pelanggan merupakan keutamaan kami. Dengan menjalin kerjasama dengan Direct Lending, kami dapat memastikan bahawa pelanggan kami mempunyai fleksibiliti kewangan untuk menyelenggara kenderaan mereka supaya berada dalam keadaan optimal, seterusnya menyumbang kepada pemanduan yang lebih selamat,” kata Daniel Ho Wai Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong.
Pelan ansuran servis kereta Direct Lending merupakan kemudahan pembiayaan patuh Shariah yang disokong sepenuhnya oleh Amanie Advisors, sebuah firma Penasihat Kewangan Islam global yang terkemuka, memastikan kebolehcapaiannya untuk semua. Setakat tahun 2023, syarikat itu telah melakukan lebih daripada 130,000 penilaian berhubung kelayakan pembiayaan kewangan.
Para peminat trak pikap di United Kingdom kini boleh mendapatkan penawaran terbaharu Hilux GR Sport II daripada Toyota yang diposisikan sebagai pencabar ‘sebenar’ kepada Ford Ranger Raptor.
Toyota menyifatkan Hilux GR Sport II ini sebagai trak pikap Hailak yang paling sedap untuk dipandu.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah dimensi trek 150 mm lebih lebar, jarak lega bumi 20 mm lebih tinggi, diikuti dengan penambahbaikan dari segi karakteristik pengendalian termasuklah respons stereng yang lebih jitu dan suspensi yang telah disemak semula.
Selain itu, trak pikap GR Sport II ini turut menggantikan brek gelendong gandar belakang kepada sistem brek cakera.
Sayang sekali, Toyota tidak langsung menyentuh aspek prestasi Hilux GR Sport II ini.
Sebaliknya, ia masih lagi mengekalkan nadi diesel turbo 2.8 liter yang mampu menjana kuasa 201 hp dan 500 Nm, sistem transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan empat roda (4WD), serta keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg – antara yang terbaik dalam kelasnya.
Dari segi penggayaan, Hilux GR Sport II ini membawakan rupa paras yang agresif, terima kasih kepada struktur jeriji berserta perkataan TOYOTA besar, bampar depan sporti, skid plate palsu, fender flare lebar, serta sport bar aerodinamik.
Keempat-empat sudut dipadankan dengan set rim aloi hitam bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar all-terrain.
Untuk ruang kabin, Toyota menggunakan upholsteri kulit hitam dan suede untuk tempat duduk sports, logo GR pada perehat kepala, tali pinggang keledar merah, serta pedal aluminium.
Terdapat juga sistem audio premium JBL dengan sembilan buah pembesar suara yang menjadi pelengkap kepada skrin infohibur, serta sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto (berwayar).
Untuk pasaran UK, harga jualan Hilux GR Sport II bermula dari £49,750 (RM252,880).
Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia telah melancarkan barisan model American Touring untuk pasaran tempatan menerusi CVO Road Glide ST, Road Glide dan Street Glide 2024.
Menariknya, hanya empat unit (dari 150 unit seluruh dunia) Harley-Davidson CVO Road Glide ST ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM346,900. Lebih mengejutkan kesemua empat unit itu telah pun habis dijual.
Model edisi terhad itu diinspirasikan jentera pasukan Screaming Eagle yang beraksi di kejuaraan King of the Baggers di Amerika Syarikat.
Untuk rekod, CVO Street Glide ST ini dikuasakan enjin Milwaukee Eight 121 HO (High Output) yang berupaya menjana 126hp dan 193Nm.
Motosikal ini juga tampil unik dengan menawarkan gabungan warna Graphic Flow State dan CVO 25th Anniversary. Selain itu, CVO Road Glide ST ini turut dilengkapi dengan ekzos Screamin Ealge Extreme Flow Titanium dan hadir dengan tujuh mod menunggang termasuk mod Track dan Track Plus.
Pakej elektronik juga cukup premium dan menawarkan fungsi ‘chassis control’, brek elektronik dan ‘traction control’.
Pada masa sama, CVO Road Glide ST ini juga lebih menonjol dengan penggunaan komponen gentian karbon dan sistem audio dari Rockford Fostgate Stage 2 yang menawarkan 4-saluran dan amplifier 500W RMS.