Arkib Kategori: MALAYSIA

Kilang Mercedes di Pekan keluarkan kenderaan ke-100,000 hari ini

HARI ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) meraikan satu lagi kejayaan bermakna khasnya bagi pihak di kilang pengeluaran di Pekan, kerana fasiliti CKD itu merasmikan kenderaan penumpang ke-100,000.

Sebanyak lebih RM500 juta telah dilaburkan oleh syarikat itu di kilang tersebut, dan ini menandakan komitmen mereka ke arah kecemerlangan pembuatan, menaikkan sektor automotif negara ini, selain memperkukuhkan pengeluaran mereka secara CKD.

Kenderaan ke-100,000 itu merupakan Mercedes-Benz EQS500 4Matic+ yang merupakan model elektrik sepenuhnya (EV) dari rangkaian EQ Mercedes. Malah, ia juga model EV Mercedes yang pertama menjalani pemasangan CKD di sini, ia dilancarkan pada Februari lepas.

Mercedes EQS500 menjana 300kW (443hp) dan 855Nm tork dari dua motor, dengan pacuan semua-roda. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.8saat sahaja

Sedan EV ini mendapat kuasanya dari bateri lithium-ion berkapasiti 107.8kWh, dan ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 696km. Ia dijual pada harga bermula RM648,888.

“Sejak operasinya pada 2004, Mercedes-Benz Production Plant di Pekan telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap automotif Malaysia. Pencapaian ini menandakan evolusi dan perjalanan mengagumkan kilang ini, mengukuhkan komitmen kami dalam memperkukuhkan pegangan dalam segmen kenderaah mewah,” kata Amanda Zhang, Presiden dan CEO MBM dan Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars SEA II.

Sementara itu, Naib Presiden Pengeluaran di Mercedes-Benz Cars Malaysia, Andreas Lettner berkata: “Dalam pelarasan visi lestari kami, kami komited mengurangkan pelepasan karbon dengan meminimakan penggunaan air dan tenaga selain menguruskan bahan buangan dengan cekap.”

“Bersama rakan kongsi kami, HICOM Automotive, kami telah menjalankan pelbagai naik taraf di kilang ini.”

Mercedes-Benz bersama HICOM Automotive sedang bekerjasama ke arah Green Production Target bagi memastikan teknik terbaik dijalankan dalam mengurangkan penggunaan tenaga, air, dan bahan buangan, di samping menaikkan peratusan tenaga boleh-diperbaharui dalam operasinya.

Warna dan grafik baharu untuk Modenas Kawasaki Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X

Edaran Modenas Sdn Bhd  mengumumkan warna dan grafik baharu untuk barisan model di Malaysia, iaitu Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X.

Z250 ABS

Z250 mendapat warna Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green, dijual pada harga RM20,600.

Z650 ABS

Bagi Z650 ABS, ia ditawarkan dengan kombinasi warna Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimmon Red. Harga adalah RM35,900.

Versys 1000 SE

Versys 1000 SE pula kini hadir dengan warna Phantom Silver/Metallic Diablo Black, berharga RM81,900.

ZX1000 SE

Seterusnya merupakan Ninja ZX1000 SE, yang kini mendapat warna Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey. Superbike ini ditawarkan pada harga RM71,400.

KX250 dan KX250X

Akhir sekali adalah duo KX250 dan KX250X, dimana masing-masing hadir dengan warna Lime Green. KX250 berharga RM35,000 manakala KX250X RM35,500.

Kesemua model dengan warna baharu ini adalah bagi tahun 2024, dan setiap satu mengekalkan kelengkapan serta prestasi yang ditawarkan model semasa. Dengan pengenalan warna-warna baharu ini juga, warna lama akan ditamatkan penawarannya.

Proton S70 dilancar di kilang Tanjung Malim, sah enjin 1.5 TGDI turbo, tempahan dibuka!

PROTON hari ini mengumumkan pelancaran sedan terbaharu mereka, S70 yang telah secara rasmi dikeluarkan di kilang pemasangan mereka di Tanjung Malim.

Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton juga mengesahkan bahawa semua cawangan syarikat itu akan mula menerima tempahan dari pelanggan mulai 1 November 2023, dengan bayaran sebanyak RM500.

Sebenarnya ramai yang sudah tahu akan nama sedan Proton ini yang dihasilkan dari kerjasama Geely. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 adalah berasaskan Geely Emgrand, yang mempunyai ukuran panjang 4,638mm, lebar 1,820mm, tinggi 1460mm dan jarak roda 2,650 mm.

Ini menunjukkan Emgrand lebih besar berbanding sedan-sedan segmen-B yang ada dalam pasaran seperti Proton Persona, Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 114PS dan 147Nm.

Bagaimanapun, Proton S70 sah mendapat enjin 1.5-liter TGDI turbo dengan gandingan kotak gear DCT dwi-klac 7-kelajuan. Perkara ini dimaklumkan dalam siaran media yang baru kami terima.

Tiada perincian output didedahkan, tetapi jika ianya enjin yang sama dengan X70, bermakna S70 mempunyai output 177PS dan 255Nm tork.

“Proton S70 mencatatkan bab baru bagi Proton kerana kami kembali ke pasaran sedan keluarga dengan model yang merupakan evolusi seterusnya bagi model sedan kami, kata Dr. Li Chunrong.

“Kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular di kalangan peminat PROTON yang sedia ada dan yang baru, serta membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin oleh model seperti Proton Wira, Waja, dan Prevé,” kata Dr. Li Chunrong.

Kia Carnival 11-seater versi CKD dilancar – RM214k, tempah tahun ini dapat harga RM198,500

DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Kia di Malaysia hari ini mengumumkan Kia Carnival 11-seater versi CKD, kini rasmi memasuki pasaran negara ini.

Ia merupakan model Kia yang ketiga dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, dan ditawarkan pada harga RM213,888.

Dari segi spesifikasi, tidak banyak yang berubah berbanding dengan model CBU (import sepenuhnya) yang dilancarkan sebelum ini.

Carnival 11-seater CKD masih dilengkapi lampu LED dengan DRL, pintu Smart Power Sliding, Smart Power Liftgate, dan Smart Key dengan satu butang untuk membuka semua pintu.

Juga standard adalah kemasan kulit Black and Gray, paparan infotainmen bersaiz 12.3-inci dengan Android Auto dan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sambungan Bluetooth, dan tujuh soket USB.

Enjin dikekalkan, iaitu unit 2.2-liter diesel turbo yang menjana 199hp dan 440Nm tork, digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dengan kawalan elektronik.

Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah MPV bersaiz besar, ia padat dengan ciri keselamatan terkini. Antaranya adalah tujuh beg udara, ABS, EBD, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Multi-Collision Brake Control (MCB), ISOFIX, dan Hill-Start Assist Control (HAC).

Kia Carnival 11-seater ini turut dilengkapi dengan Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Avoidance Assist (RCCA).

Carnival CKD ini boleh didapat dengan empat pilihan warna – Astra Blue, Snow White Pearl, Meteor Gray dan Jet Black. Tempahan boleh dibuat bermula hari ini.

Oh ya, bagi anda yang membuat tempahan dalam tahun ini (dari 1 November hingga 31 Disember 2023), anda boleh mendapat harga tawaran RM198,500 termasuk aksesori.

Kia Carnival 11-seater juga hadir dengan jaminan 5-tahun atau 100,000km, yang mana dahulu. Begitu juga pakej servis percuma, untuk 5-tahun atau 100,000km.

BYD buka dua bilik pameran baharu di Putrajaya dan Ipoh, konsep dalam pusat beli belah pertama

BYD, pengeluar kenderaan tenaga baharu nombor satu dunia, membuka dua lagi bilik pameran baharu di negara ini, iaitu di Putrajaya dan Ipoh.

Menariknya, cawangan di Putrajaya merupakan bilik pameran berkonsepkan dalam pusat beli belah yang pertama di Lembah Klang, terletak di IOI City Mall.

Bilik pameran konsep baharu itu membolehkan pelanggan dan pengunjung melihat dengan lebih dekat kenderaan-kenderaan BYD dalam suasana unik.

Bilik pameran dengan kerjasama Sime Darby Motors dan Millennium Autobeyond ini mempunyai keluasan 1,299 kaki persegi dan beroperasi sebagai pusat 1S. Ia juga menampilkan ruang penyerahan berkonsepkan luaran pertama bagi jenama BYD ini.

Sementara itu, satu lagi bilik pameran yang dibuka di Ipoh adalah kerjasama Sime Darby Motors dengan Goh Brothers Group, bertaraf 2S.

Terletak di kawasan perniagaan ibu negeri Perak itu, bilik pameran ini mempunyai keluasan 4,000 kaki persegi, dengan bangunan dua tingkat yang memuatkan pusat jualan dan servis.

Ia juga menampilkan empat ruang servis, enam ruang parkir pelanggan, dua tempat pengecas komersil, dan sebuah lounge selesa untuk pelanggan menunggu sambil kereta mereka diservis.

Sehingga kini, BYD telah mempunyai 14 bilik pameran di Malaysia, dan enam lagi dijangka dibuka dalam masa terdekat.

Berikut adalah alamat dan waktu operasi bilik pameran baharu di Putrajaya dan Ipoh:

BYD IOI City Mall Putrajaya
Alamat: G-77, Ground Floor. IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Putrajaya
Waktu operasi: Isnin-Ahad, 10 pagi – 10 malam

BYD Ipoh @ Goh Brothers Cars
Alamat: 1, Jalan Niaga Simee 1, Pusat Perniagaan Simee, 31400 Ipoh, Perak
Waktu operasi: Isnin – Sabtu, 9 pagi – 6 petang, Ahad dan cuti umum, 10 pagi – 5 petang

RapidKL sedia bas khas untuk ke MotoGP

BERITA baik bagi anda yang akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini untuk menonton acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) tetapi tidak mahu memandu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas khas.

Pengendali pengangkutan itu, Rapid KL berkata dalam satu siaran media, bas khas akan disediakan untuk ke SIC dari 10 hingga 12 November ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas khas itu disediakan di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Tiket bas akan dijual di stesen LRT terpilih iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral serta kaunter kad konsesi MyRapid di hab bas Pasar Seni dan kaunter 10 Hab Pengangkutan KLIA Terminal 2.

“Selain itu, pembelian tiket juga boleh dibuat secara dalam talian mulai 28 Okt (Sabtu) di laman shop.myrapid.com.my. Para pengunjung dinasihatkan untuk membeli tiket lebih awal bagi menggelakkan beratur panjang ketika hendak ke SIC,” menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut memaklumkan pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di dalam kawasan SIC ketika berlangsungnya MotoGP itu.

United E-Motor lancar skuter EV TX1800 dan TX3000, jarak tunggangan hingga 120km

UNITED E-Motor hari ini merasmikan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia, membawakan skuter elektrik (EV) dengan dua pilihan spesifikasi iaitu TX1800 dan TX3000.

Sebelum kita melihat skuternya, siapa pula United E-Motor ini? Mereka merupakan pengeluar skuter elektrik dari Indonesia, dengan kerjasama syarikat tempatan iaitu Artroniq Bhd.

Baik, kita ke motosikalnya pula. United E-Motor TX1800 dan TX3000 secara asasnya skuter yang sama, cuma dibezakan dengan bekalan bateri dan prestasi.

TX1800 dibekalkan dengan bateri tunggal 1.72kWh dengan output 2.7hp dan 106Nm tork, mampu memberikan jarak tunggangan sehingga 65km setiap cas. Kelajuan maksima ialah sehingga 75km/j (bergantung kepada mod), dan ia boleh dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam masa sejam setengah sahaja.

Sementara itu, TX3000 mendapat dua bateri 1.72kWh, memberikannya output 5.6hp dan 145Nm tork. Ia boleh ditunggang sehingga 120km setiap cas. Kelajuan maksima untuk model ini ialah 90km/j, manakala pengecasan dari 0 hingga 80 peratus akan mengambil masa empat jam.

Selain mengecas, kedua-dua motosikal mempunyai mod undur sehingga 5km/j dan juga boleh ditukar baterinya jika anda tidak mahu menunggu.

TX1800 mempunyai berat 98kg, manakala TX3000 seberat 118kg. Suspensi adalah serupa bagi kedua-dua skuter, dengan teleskopik di depan, dan dua penyerap hentak di belakang.

Tetapi TX1800 menggunakan tayar 100/70-12 di depan dan 120/70-12 di belakang. TX3000 pula menggunakan 120/70-12 untuk depan dan belakang.

Ciri lain adalah hampir sama, dimana kedua-dua skuter EV ini mendapat lampu LED, paparan LCD, sambungan Bluetooth, ruang simpanan bawah tempat duduk, dan aplikasi U-Key dengan pelbagai fungsi seperti butang SOS, Find My Motor, dan Live Dashboard.

Harga belum diumumkan, tetapi untuk rujukan, TX1800 di Indonesia dijual pada harga sekitar IDR33.9 juta (RM10.1k) dan TX3000 pada IDR49.9 juta (RM14.98k).

Pameran kereta IAM-MIME kini berlangsung di MITEC, KL

ACARA International Modifief (IAM) Kuala Lumpur dan Malaysian International Motor Expo (MIME) ‘membuka pintunya’ kepada pengunjung bermula hari ini hingga 29 Oktober 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dianggap sebagai acara penalaan kereta dan gaya hidup terbesar di rantau ASEAN, acara ini menampilkan koleksi terbaik kereta yang telah dimodifikasi, di samping barisan model terkini, kenderaan elektrik (EV) dan jentera 4X4.  Acara ini disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Untuk peminat modifikasi, IAM akan menawarkan hampir 100 anugerah individu kepada pemenang dalam kategori masing-masing yang termasuk Distinctive Awards, Style Awards, Car Audio Awards, Performance Awards, Distinctive Build Awards dan pelbagai lagi.

Acara tahun ini juga bakal menyaksikan penglibatan nama-nama besar seperti JWide, Qartel, Vertex, Street Garage, SpeedSyndicate,, B.A.R, Bambush, Bon Stylo dan Blackmailz.

Dengan kerjasama MIME, acara ini juga akan menampilkan Electric Vehicle (EV) Fest di mana pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat dan memandu uji pelbagai jenis EV dengan lingkungan harga antara RM100,000 hingga RM500,000.

Selain itu, MIME juga menyediakan bahagian outdoor khas yang dinamakan 4X4 Xchange bagi mempromosikan gaya hidup lasak, sukan off-road serta barangan-barangan trak pacuan empat roda.

Tarikan-tarikan lain yang menanti pengunjung termasuk bahagian “Your First Dream Car Selection”, pameran JPM Museo, pameran supercar dari Utama Motors, pameran Tamiya, kereta kawalan jauh, festival muzik dan banyak lagi.

Acara ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Tiket dijual pada harga RM30 dan boleh dibeli di pautan https://ticket.malaysiamotorexpo.com/ atau di http://t2u.asia/e/31710?sec=36057http://t2u.asia/e/31710?sec=36057, serta di tiket kaunter. Kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma dan perlu diawasi oleh sekurang-kurangnya seorang dewasa.

 

Pemandu warga asing bawah pengaruh dadah rempuh Istana Besar Johor

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar dua kereta sebelum merempuh Istana Besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat kejadian berlaku jam 5.28 pagi membabitkan kereta jenis Audi dipandu seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata, pemandu berusia lingkungan 20-an dari pusat bandar menghala Skudai bersama dua penumpang dipercayai gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Kereta warga asing itu kemudian melanggar sebuah teksi dan Perodua Aruz, sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan.

Raub berkata, pemandu kereta cedera ringan, manakala pemandu dua lagi kenderaan yang dilanggarnya tidak cedera, dengan pagar istana mengalami kerosakan.

Sementara itu, hasil ujian air kencing mendapati pemandunya positif methamphetamine manakala kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Proton, Gentari pasang pengecas pantas DC di CoE, terbuka kepada semua pemilik EV

PROTON, dengan kerjasama Gentari, telah melancarkan pengecas pantas DC 100 kW di Centre of Excellence (CoE). Kemudahan ini boleh digunakan oleh semua pengguna EV tanpa mengira jenama.

Pengecas dinamik yang dipasang oleh anak syarikat milik penuh Gentari iaitu Gentari Green Mobility itu ditempatkan di kawasan letak kereta pelanggan di bilik pameran Proton Crystal.

“Dengan kemasukan kami ke pasaran kenderaan elektrik (EV) melalui smart Malaysia tidak lama lagi, inilah masanya bagi Proton untuk mengambil langkah seterusnya ke dalam segmen yang berkembang pesat ini.

“Kami bersyukur kerana mempunyai rakan kongsi yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di tapak ibu pejabat kami dan berharap lebih banyak kerjasama sedemikian pada masa hadapan, dalam rangkaian pengedar kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton

Shah Yang Razalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility berkata, usaha gabungan ini boleh mempercepatkan lagi pergerakan mobiliti hijau, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang betul dalam perjalanan peralihan tenaganya.

Sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gentari dan Pro-Net pada 12 Oktober 2022, kedua dua syarikat telah meneroka pelbagai penyelesaian untuk memperkukuhkan rangkaian pengecasan di Malaysia.

Ini termasuk kerjasama antara Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Proton Global Services dan rakan kongsi lain untuk membangunkan bukti konsep bagi penyelesaian pengecasan EV mudah alih menggunakan Proton Exora.

Tiga unit konsep itu sedang diuji, dengan setiap pengecas menawarkan 30 kW kuasa pengecasan. Kajian pengguna yang berterusan sedang dijalankan untuk menilai permintaan untuk konsep inovatif ini.

Pro-Net juga bekerjasama dengan Gentari untuk memasang pengecas pantas di beberapa pengedar Proton. Sebagai sebahagian daripada program fasa pertama, lima pengecas DC Gentari tambahan ditetapkan untuk dipasang pada penghujung tahun 2023, dengan sasaran 20 pengedar.

Selain itu, empat pengedar smart Malaysia juga telah memasang pengecas DC dari pembekal lain menjelang pelancaran smart #1.

Triumph Bonneville Stealth Editions diperkenalkan untuk lapan model 2024

TRIUMPH Bonneville diperkenalkan dengan Stealth Editions bagi tahun 2024, bukan untuk satu atau dua model, tetapi lapan model berbeza.

Model-model tersebut adalah seperti berikut:

Bonneville Speedmaster Red Stealth Edition
Bonneville Bobber Purple Stealth Edition
Bonneville T100 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Blue Stealth Edition
Bonneville T120 Black Stealth Edition
Speed Twin 1200 Red Stealth Edition
Speed Twin 900 Green Stealth Edition
Scrambler 900 Orange Stealth Edition

Setiap satu model edisi ini hadir dengan rekaan unik pada tangki minyak, membawakan kemasan lukisan tangan dengan latar belakang warna berbeza.

Proses bermula dengan lapisan metalik ‘Silver Ice’ dikenakan pada setiap tangki, diikuti graphite ‘Sapphire Black’ yang dilukis dengan tepat dari gelap kepada cerah. Akhir sekali, beberapa lapisan jernih dibuat untuk memberikan balutan yang pekat dan menyerlah.

Kesemua edisi ini hanya boleh didapati selama setahun pada 2024 nanti. Sementara itu, anda boleh belek setiap model dan warna unik masing-masing dalam galeri di bawah.

BYD Seal, Dolphin terima 5 bintang dari Euro NCAP

BUKAN satu, tetapi dua kenderaan elektrik (EV) keluaran BYD iaitu Seal dan Dolphin telah meraih pengiktirafan lima bintang dari program penilaian keselamatan EURO NCAP.

Menurut BYD, kunci utama pencapaian tersebut adalah kualiti binaan dan teknologi mereka termasuk e-Platform 3.0 dan bateri Blade. Platform berkenaan menampilkan struktur ‘multi-load path’ yang berfungsi untuk mengawal bagaimana tenaga diserap oleh kereta jika berlaku perlanggaran, seterusnya mengurangkan impak di dalam kabin.

Terima kasih kepada teknologi Cell-to-Body (CTB), Seal mempunyai ketegaran kilasan 40,500 Nm/darjah, membolehkan ia mencapai markah 89% untuk perlindungan penumpang dewasa.

Bukan itu sahaja, ruang penumpang juga kekal stabil dalam ujian offset hadapan, selain menawarkan perlindungan daripada kecederaan whiplash. Sistem eCall yang berfungsi untuk mengenakan brek selepas impak bagi mengelakkan perlanggaran kedua juga memainkan peranan.

Dalam ujian perlindungan kanak-kanak, Seal mencapai markah 87% dengan meminimumkan impak kepada bahagian-bahagian kritikal dalam ujian penghadang hadapan dan sisi.

Pengguna jalan raya seperti pejalan kaki dan penunggang basikal pula dilindungi dengan adanya sistem Autonomous Emergency Braking (AEB). Euro NCAP turut memuji sistem amaran yang berbunyi sekiranya pintu dibuka semasa penunggang basikal mendekati dari belakang.

Sementara itu, Dolphin mendapat markah 89% dalam ujian perlindungan penumpang dewasa dan 87% dalam ujian perlindungan penumpang kanak-kanak. Seperti Seal, ruang penumpang Dolphin kekal stabil dalam ujian offset hadapan, menawarkan perlindungan daripada whiplash.

Bukan itu sahaja, sistem bantuan keselamatan Dolphin yang merangkumi ciri-ciri seperti Intelligent Speed Limit Assist dan Lane Keeping Assist menerima 79% markah. Sistem AEB pula menyumbang kepada markah perlindungan pengguna jalan raya sebanyak 85%.

Pusat 3S Suzuki dibuka di Johor Bahru, tampilkan Lifestyle Corner pertama

NAZA Eastern Motors – pengedar tunggal kenderaan Suzuki di Malaysia – baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 3S pertama mereka di Johor, di lokasi strategik di Permas Jaya.

Ia merupakan 3S kedua di negara ini selepas bilik pameran Petaling Jaya yang dibuka pada 2021, sekaligus mengukuhkan misi dan komitmen jenama itu di Malaysia.

Pusat 3S ini mempunyai keluasan 7,252 kaki per segi, mampu memuatkan enam kereta di ruang pameran serta mempunyai kapasiti servis untuk 12 kenderaan sehari.

Bilik pameran baharu ini juga buat pertama kali diperkenalkan dengan Suzuki Lifestyle Corner, suatu ruang khas yang menawarkan pelbagai aksesori dan koleksi jenama Suzuki, kesemuanya boleh dibeli.

Serentak dengan pembukaan ini juga, Naza melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition dengan keluaran terhad, berharga RM145,900.

Mohamad Irwan Shahril, Ketua Pegawai Operasi Naza Eastern Motors berkata, “Pusat 3S di Permas Jaya dijangka menjadi ‘rumah kedua’ untuk Suzuki Cars Family di Johor, membawakan suasana bilik pameran kami di Petaling Jaya.”

Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancarkan – jumlah terhad, harga dari RM145,900

NAZA Eastern Motors telah melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition ke pasaran tempatan. Model edisi terhad ini dilancarkan bersempena dengan pembukaan pusat 3S pertama Suzuki di Johor baru-baru ini.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Swift Sport Silver Edition tampil dalam warna Premium Metallic Silver yang diserlahkan lagi jalur perlumbaan pada bahagian hud dan sisi, perincian merah pada gril dan bampar belakang, serta rim dua tona.

 

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kemasan gentian karbon pada cermin sisi, pemegang pintu belakang dan spoiler, serta muncung ekzos gentian karbon keluaran Akrapovic untuk bunyi yang lebih garang.

Tidak cukup dengan itu, kemasan gentian karbon turut digunakan pada panel instrumen, suis pendingin hawa dan pintu, sekali gus menaikkan lagi suasana sporty di dalam kabin.

Terdapat juga sistem infohibur Soundstream yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 10 inci yang turut menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Seperti versi standard, Swift Sport Silver Edition dikuasakan oleh enjin Boosterjet 1.4-liter yang mampu menghasilkan 140 hp dan 230 Nm pada 2,500 rpm. Masih tiada pilihan transmisi manual, hanya automatik enam kelajuan dengan paddle shifter ditawarkan.

Swift Sport dibina menggunakan platform Heartect yang memfokuskan kepada keselamatan dengan bahagian underbody yang diperkukuhkan. Menurut Suzuki, model ini 80 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, memberikannya nisbah tork-berat sebanyak 4.2 kg/Nm.

Menurut Naza Easter Motors, Swift Sport Silver Edition akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad dan hanya boleh didapati di Malaysia. Harga jualannya bermula dari RM145,900 tidak termasuk insurans.

Honda RS-X Repsol Edition terima warna baharu – Terhad 5,000 unit, harga RM9,998

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan warna baharu untuk RS-X Repsol Edition. Ia ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Hanya 5,000 unit akan dikeluarkan, boleh mula didapati bermula 28 Oktober 2023.

Repsol Edition membawakan grafik ikonik yang menggabungkan warna putih, oren, merah, dan hitam seperti pasukan MotoGP.

Selain dari skema warna ini, spesifikasi lain adalah sama dengan RS-X biasa. Motosikal ini dipacu enjin 150cc DOHC Euro 4 dengan output 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dan klac jenis basah.

Honda RS-X Repsol Edition juga dilengkapi dengan brek cakera untuk depan dan belakang, sementara ABS adalah satu saluran (depan sahaja).

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di depan, dengan monoshock di belakang berserta pelarasan pra-beban. RS-X ini menggunakan rim 17-inci dengan profail 90/80 di depan dan 120/70 di belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 4.5 liter, berat 1222kg, paparan meter digital dengan penunjuk gear, serta lampu LED depan dan belakang.

Seperti dinyatakan tadi, Honda RS-X Repsol Edition boleh mula didapati esok, 28 Oktober 2023. Ia hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Bezza model terlaris Perodua untuk 2023, jualan keseluruhan naik 22 peratus dalam Q3 2023

PERODUA Bezza menjadi model terlaris dijual sepanjang sembilan bulan 2023, diikuti oleh Axia dan Myvi. Jualan keseluruhan Perodua untuk 2023 setakat ini ialah 233,337 unit.

Perodua juga melaporkan kenaikan jualan sebanyak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini dengan 88,537 unit berbanding 69,011 unit pada suku sama tahun lepas. Ini berikutan faktor pengeluaran yang bertambah baik.

Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan keluarkan – iaitu kenaikan sebanyak 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.

“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, pengeluar kereta kompak itu telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus  daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap  aspek kecekapan kos dan kualiti,” tambahnya.

Dato’ Sri Zainal berkata dengan berlakunya semua penambahbaikan ini, jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.

“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai. Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada bulan September 2023, kenaikan sebanyak 17.7 peratus daripada 24,626 pada September 2022.

Manakala dalam aspek pengeluaran, Perodua telah menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan sebanyak 8.2 peratus daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.

Armor All lancar rangkaian produk penjagaan kereta Extreme Shield +Ceramic

ARMOR All, jenama produk penjagaan kereta di bawah Energizer Holdings Inc, mengembangkan penawaran produk mereka di Malaysia dengan pelancaran siri Extreme Shield +Ceramic.

Siri Extreme Shield +Ceramic dirumus dengan teknologi hidrofobik +Ceramic yang kalis kotoran, air dan sinaran UV untuk memberikan perlindungan yang tahan lebih lama untuk kenderaan.

Terdapat empat produk penjagaan yang ditawarkan di bawah siri Extreme Shield +Ceramic iaitu:

  • Extreme Shield + Ceramic Car Wash (RM82 untuk botol 520 ml) – membantu untuk air menjadi manik (water beading) dengan lebih baik sambil meningkatkan kilauan kereta
  • Extreme Shield + Ceramic Spray Coating (RM75 untuk botol 500 ml) – membantu menangkis air untuk perlindungan maksimum
  • Extreme Shield + Ceramic Glass Treatment and Cleaner (RM46.90 untuk botol 500 ml) – menjadikan cermin hadapan kereta anda jelas dan terang dengan lebih lama
  • Extreme Shield + Ceramic Wheel Treatment and Cleaner (RM71.90 untuk botol 500 ml) – membersihkan, menjaga serta membantu roda kekal bersih lebih lama

Siri Extreme Shield +Ceramic dan produk-produk automotif Armor All boleh didapati di kedai-kedai utama di seluruh negara, seperti Ace Hardware, Aeon, Lotus’s dan menerusi platform e-dagang Shopee dan Lazada.

Bersempena dengan pelancaran ini, Armor All kini menawarkan perkhidmatan mencuci dan membersihkan kereta secara percuma di Plaza Arkadia, Desa Parkcity, Kuala Lumpur.

Perkhidmatan ini terbuka kepada orang ramai bermula hari ini hingga Ahad dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Apa yang menarik, kereta pengunjung akan dicuci dan dibersihkan menggunakan produk-produk terkini Armor All.

Sementara menunggu kereta siap dicuci, pengunjung boleh melihat dan membeli rangkaian produk Armor All yang dijual pada harga menarik sehingga Ahad ini sahaja.

Maserati MC20 Cielo kini di Malaysia – RM1.2 juta sebelum duti, cukai

NAZA Itali telah mengumumkan ketibaan Maserati MC20 Cielo di pasaran Malaysia. ‘Cielo’ bermaksud ‘langit’ dalam bahasa Itali dan model ini secara asasnya adalah versi convertible kepada MC20 coupe yang dilancarkan di sini pada Jun lalu.

MC20 Cielo menampilkan bumbung jenis hardtop dengan panel kaca elektrokromik yang boleh ditukar dari telus kepada legap menerusi teknologi Advanced Polymer-Dispersed Liquid Crystal (PDLC).

Bukan itu sahaja, bumbung tersebut juga boleh dibuka dan ditutup dalam masa 12 saat, semasa kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Menurut Maserati, penggunaan bumbung kaca itu tidak menjejaskan ketegaran kilasan dan nisbah kuasa-berat jentera ini, dengan beratnya cuma bertambah sebanyak 65 kg berbanding versi coupe.

Dari segi kuasa, MC20 Cielo tampil dengan enjin Nettuno yang sama seperti yang terdapat pada versi coupe. Dilengkapi dengan pelbagai teknologi daripada F1, enjin tersebut menghasilkan 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan 0-200 km/h dalam 9.2 saat. Ia juga dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j.

Seperti versi coupe, MC20 Cielo mempunyai pintu butterfly yang dibuka ke atas. Versi pelancaran ini menampilkan warna metalik tiga lapisan yang dikenali sebagai Acquamarina, yang ditawarkan sebagai opsyen menerusi program kustomisasi Maserati Fuoriserie.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pelbagai sistem keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking, Traffic Sign Information dan kamera 360 darjah, di samping ciri-ciri sedia ada seperti sensor parkir, kamera undur dan Blind Spot Monitor.

Turut disertakan adalah sistem multimedia Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Untuk pengalaman pemanduan yang lebih menghiburkan, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio Sonus Faber dengan 12 pembesar suara.

Harga jualan MC20 Cielo bermula dari RM1,228,000 tidak termasuk duti dan cukai, opsyen dan insurans. Harga berkenaan termasuk waranti standard selama tiga tahun tanpa had perbatuan, dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun/60,000 km.

Acara ‘Trade-in Turn-Up Saturday’ anjuran Proton-Carsome catat 624 tempahan, 320 tukar-beli

PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya mencatat sebanyak 624 tempahan baharu menerusi acara ‘Trade-in Turn-Up Saturday’ yang diadakan dengan kerjasama syarikat e-Bidding (EBC), Carsome pada 14 Oktober lalu.

Acara yang diadakan secara serentak di 32 cawangan Proton itu menarik seramai 1,552 pengunjung, dengan 320 pelanggan memilih untuk tukar-beli kenderaan mereka.

Bukan itu sahaja, Carsome turut menjalankan 489 pemeriksaan kenderaan pada hari itu, jauh melebihi sasaran awal 320 unit yang ditetapkan sebelum acara itu.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, berikutan volum jualan yang terus berkembang, pihaknya perlu mempertimbangkan cara untuk memudahkan pengambilan, pengedaran dan pelupusan kereta terpakai untuk menyokong tempahan baharu.

“Bahagian pengurusan kereta terpakai (UCM) kami telah dibentuk untuk mencapai matlamat ini dan dengan bekerjasama dengan EBC, kami dapat menawarkan proses yang lebih cekap dan telus yang memudahkan pelanggan untuk memiliki kereta baharu.

“Penukaran dalam rangkaian dengan lebih banyak pilihan adalah penting bagi kami untuk mengekalkan pelanggan semasa kami setia kepada jenama dan salah satu caranya ialah menstabilkan nilai kereta terpakai bersama rakan kongsi kami,” katanya.

Bagi tahun 2023, bahagian pengurusan kereta terpakai telah menerima lebih 4,500 unit di 32 cawangannya dan berada di landasan untuk mencipta rekod baharu menjelang akhir tahun ini.

Menjelang tahun 2024 pula, terdapat rancangan untuk mengembangkan rangkaian kepada 60 cawangan dengan sasaran untuk mencapai sekurang- kurangnya 6,000 unit dengan menjalankan lebih banyak acara tukar beli pada setiap suku tahun.

BMW X7 xDrive40i 2023 dikemas kini – CKD, pakej M Sport, dari RM719k

ANDA mencari sebuah SUV premium saiz besar untuk tujuh dewasa? Anda mungkin boleh tengok ini, BMW X7. Ia dikemaskini untuk 2023, dengan penambahan beberapa ciri.

BMW X7 hadir dalam varian xDrive40i M Sport untuk pasaran Malaysia, dan ia masih dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Nadi kepada SUV premium besar ini adalah enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris turbo petrol, dengan output 375hp dan 520Nm tork. Output ini boleh ditambah kepada 540Nm melalui boost, kerana ia disokong oleh sistem mild hybrid 48-volt dengan bekalan kuasa 12hp/200Nm.

Transmisi ialah automatik 8-kelajuan Steptronic Sport, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem xDrive. Ini membolehkan X7 xDrive40i memecut ke 100km/j dalam masa 5.8 saat, hingga ke kelajuan maksima 245km/j.

Dari segi kelengkapan bahagian luar, BMW X7 2023 didatangkan dengan pakej M Sport yang memberikannya bampar agresif, selain lampu LED matriks, dan kemasan ekzos lebih besar. Rim aloi 913 M bersaiz 22-inci pelengkap kepada gaya mewah SUV ini.

Di dalam, X7 xDrive40i dilengkapi kemasan kayu Fineline Black dengan kesan logam berkilat, dipadankan dengan balutan kulit Merino dari BMW Individual. Skrin melengkung lebar mendominasi papan pemuka, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci dan infotainment bersaiz 14.9-inci.

Untuk menjadikan SUV besar ini sedap dipandu, ia dilengkapi suspensi udara, Executive Drive Pro dengan penstabil olengan aktif, dan sistem stereng roda belakang.

Ciri keselamatan juga dipertingkat, dimana ia kini mendapat Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dengan fungsi stop and go serta bantuan stereng, dan Lane Control Assistant.

Terdapat juga barisan sistem keselamatan aktif lain seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan bantuan brek, Rear Crossing Traffic Warning, Speed Limit Info, dan Reversing Assistant Professional.

BMW X7 xDrive40i M Sport boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM718,800, ia hadir dengan jaminan dan pakej servis lima-tahun.