Arkib Kategori: MALAYSIA

Polis Johor guna dua buah bas halang kumpulan samseng jalan raya

TINDAKAN polis daerah Johor Bahru Selatan menggunakan dua buah bas untuk menghalang laluan membuahkan hasil apabila sekumpulan samseng jalan raya berjaya ditahan dalam operasi khas bersepadu di Jalan Skudai-Pantai Lido awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, operasi selama dua hari bermula jam 5 petang hingga 1 pagi itu menyaksikan seramai 286 individu bersama 257 buah kenderaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu sebanyak 115 motosikal telah disita di bawah seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, operasi membanteras samseng jalanan itu membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi.

Sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan saman 54 kompoun mengikut seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan 46 saman kompoun dan 52 notis arah periksa terhadap individu yang menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras yang ditetapkan.

‘Kita juga menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952″ tambahnya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000.00 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan dan lumba haram boleh menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan (JBS) di talian 07-218 2222.

Proton hantar 261 unit model siri X ke Trinidad & Tobago pada 2024, melebihi sasaran volum

PROTON berkata ia telah bekerjasama dengan ANSA Motors Limited di Trinidad dan Tobago sejak bulan Mac tahun ini.

Setakat ini, pengeluar kenderaan nasional itu telah menghantar 261 unit kenderaan ke negara tersebut pada tahun 2024 iaitu 101% daripada sasaran volumnya. Ini menjadikan keseluruhan kenderaan Proton yang dihantar ke sana sebanyak 366 unit sejak tahun kalendar 2023.

Menurut Proton, ia telah melancarkan X90 dan X50 di negara kepulauan Caribbean itu sejak 13 Mac tahun ini. Dengan permintaan tempatan yang semakin meningkat, ANSA Motors meningkatkan sasaran jualan mereka kepada 300 unit pada tahun 2024.

Rakan pengedar tempatan itu mempunyai pengalaman selama satu abad dalam industri automotif, dan ia dipilih oleh Proton berdasarkan rekod yang mengagumkan dan latar belakang automotif yang kukuh.

Walaupun dengan populasi hanya 1.5 juta, perkembangan industri automotif Trinidad dan Tobago sejajar dengan negara-negara yang lebih maju, dengan pembeli kereta semakin cenderung kepada ciri-ciri baru seperti hibrid dan kenderaan elektrik (EV).

Tambah syarikat itu, dengan peningkatan pendapatan per kapita yang semakin meningkat di rantau tersebut, kenderaan mewah semakin menjadi pilihan. Oleh itu, kemunculan jenama baru dan menarik seperti Proton mendapat penerimaan di luar jangkaan.

Kumpulan Syarikat ANSA McAL merupakan salah satu konglomerat terbesar di Trinidad dan Tobago, dengan lebih daripada 25 anak syarikat di seluruh Caribbean.

Ditubuhkan pada tahun 1919, anak syarikatnya ANSA Motors telah menjadi pelopor dalam industri automotif dan telah memperkenalkan jenama automotif global terkemuka ke negara tersebut.

Syarikat berusia 105 tahun itu adalah pengedar Ford pertama di Caribbean dan telah memainkan peranan penting dalam mengubah industri automotif selama beberapa dekad ini, menjadikannya sebagai subjek kajian di sekolah-sekolah tempatan.

“Teknologi dan penetapan harga kenderaan Proton adalah kekuatan yang kami dapat manfaatkan dan kami sangat yakin tentang masa depan. Kami memerlukan jenama yang menawarkan nilai untuk wang dalam segmen yang kami tiada, dan jenama Proton sememangnya memenuhi keperluan tersebut, kata Jerome Borde, Ketua Perniagaan Serantau, ANSA Motors.

Sejak pelancaran, Proton telah mengeksport 6,501 kenderaan siri X ke 18 negara lain, termasuk Trinidad dan Tobago, Brunei, Mesir, Nepal dan Ghana.

Barisan Bentley Mulliner dipamer – Continental GT, Flying Spur, Bentayga EWB, dari RM3.2 juta

SEJAK sekian lama, Mulliner telah menjadi sebahagian dari Bentley dalam menghasilkan barisan model yang ultra-bespoke dan kustom.

Mulliner menawarkan pilihan warna, bahan, dan ciri yang tiada batasan, memberikan pemilik Bentley lebih eksklusiviti untuk kenderaan kesayangan mereka.

Kali ini, Bentley Kuala Lumpur membawakan barisan Continental GT, Flying Spur, dan Bentayga EWB yang telah menerima sentuhan Mulliner. Kesemua model ini mengekalkan enjin, kotak gear dan sistem pacuan, tetapi memfokuskan kepada kemasan mewah yang khas untuk pemilik individu.

Bentley Continental GT Mulliner V8 – RM3,257,400

Continental GT Mulliner V8 diberikan warna serba hitam Black Velvet untuk warna badan, dan Portland serta Burnt Oak untuk lapisan secondary hide. Rim adalah Mulliner Wheels bersaiz 22-inci.

Papan pemuka pula mendapat Mulliner Bespoke Interior manakala panel veneer dikemaskan dengan warna Grand Black bersama Diamond Milled Console.

Continental GT Mulliner ini juga dilengkapi dengan Bentley Safeguard Plus, Night Vision, lampu kabin, bumbung kaca panoramik, penutup tangki minyak Jewel, sistem audio Naim, Bentley Rotating Display, stereng dengan pemanas, dan pedal sports.

Bentley Flying Spur Mulliner V8 – RM3,432,700

Untuk sedan Flying Spur, ia menerima kemasan serba hitam yang sama seperti Continental di bahagian luar, dengan warna Onyx disulami Portland dan Beluga. Rim 22-inci Mulliner Wheels juga sama, lengkap dengan lencana self-levelling.

Menambah ciri sporti pada Flying Spur ini ialah side sill, splitter depan, diffuser belakang, dan spoiler, kesemuanya gentian karbon high-gloss.

Bahagian kabin pula didatangkan dengan balutan kulit mewah yang diambil khas dari utara Eropah dan dipastikan tiada sebarang gigitan serangga bagi mengekalkan rupa premiumnya.

Bentley Bentayga EWB Mulliner V8 – RM3,321,200

Akhir sekali untuk Bentayga EWB, SUV mewah ini mendapat warna yang kontra dari dua model tadi, iaitu Glacier White yang dilapisi dengan Brunel dan Beluga. Rim adalah Mulliner Wheels bersaiz 22-inci berwarna hitam.

Komponen badan yang lain juga dikontrakan dengan warna hitam berkilat seperti pemegang pintu, ekzos, trim bampar, gril, bezel lampu, dan rel bumbung.

Bentayga EWB juga dilengkapi dengan Airline Seat yang mewah, mempunyai pelarasan berkuasa, dan dengan sistem pemanas. Menambah keselesaan ialah fungsi urut dan bantal.

Sementara itu, teknologi pada Bentayga EWB termasuklah sistem audio Bang & Olufsen, Night Vision, head-up display, pintu belakang power-close, dan lampu mood.

Sekiranya anda menempah mana-mana model Bentley Mulliner, ia akan mengambil masa purata enam hingga lapan bulan untuk disiapkan.

Galeri Continental GT Mulliner V8

Galeri Flying Spur Mulliner V8

Galeri Bentayga EWB Mulliner V8

Pemenang pingat Olimpik Paris terima habuan Chery Tiggo 7 Pro

SEPERTI yang diumumkan pada Jun lalu, Chery Malaysia telah menyerahkan hadiah kepada atlet-atlet Olimpik Malaysia yang membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang memenangi pingat gangsa dalam kejohanan tersebut, masing-masing menerima sebuah Chery Tiggo 7 Pro.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa acara badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turut memenangi sebuah Tiggo 7 Pro namun beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang bersaing dalam kejohanan di luar negara.

“Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar memberi inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Majlis penyerahan hadiah yang diadakan di sebuah bilik pameran Chery di Bandar Bukit Puchong itu turut dimeriahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat. Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,” kata Yeoh.

Dilancarkan pada Jun lalu pada harga RM123,800, Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang memacu roda depan, SUV ini mampu mencapai tahap kecekapan bahan api serendah 7.0 liter/100 km.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik dan sistem audio premium Sony.

Menurut Chery Malaysia, seiring dengan perkembangan jenama Chery di seluruh negara, mereka berhasrat untuk terus menyokong sukan tempatan dan menyumbang kepada kejayaan negara di pentas global.

MG HS 2024 – SUV segmen C, enjin 1.5L turbo, dua varian, harga anggaran RM130k-RM150k

Selain model sedan fastback MG5, SAIC Motor Malaysia turut melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV segmen C MG HS 2024.

Untuk pasaran Malaysia, MG HS boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu HS Standard dan HS Lux.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Kuasa

MG HS dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo TGI dengan kuasa 162 PS @ 5,600 rpm dan daya kilas 250 Nm @1,700-4,400 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar automatik (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Untuk keseronokan pemanduan, terdapat Super Sport Mode yang menyediakan respons pendikit yang lebih pantas, penukaran gear pada RPM yang lebih tinggi dan talaan stereng yang lebih jitu.

 

2. Luaran

Secara standard, MG HS mendapat ciri seperti lampu LED automatik, DRL, lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci.

Sementara varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti rotor brek berliang berserta angkup merah, bumbung panorama, pintu tailgate berkuasa, dan rim aloi belahan berlian 18 inci.

 

3. Kabin

Ruang kabin MG HS dilengkapi dengan upholsteri balutan kulit hitam, tempat duduk pemandu larasan enam tahap (sokongan lumbar manual), diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan empat tahap.

Terdapat juga skrin Multi Info Display bersaiz tujuh inci, skrin infohibur 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim zon tunggal, penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua serta kamera undur.

Varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti skrin kluster 12.3 inci, MG iSMART, kamera keliling 360 darjah, kawalan iklim dua zon, sistem pencahayaan ambien 64 warna, tempat duduk sports, paddle shifter, pedal sports, penyeka kaca sensitif hujan serta enam pembesar suara.

Ruang kargo sebesar 463 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,287 liter.

 

4. Keselamatan

Varian Standard dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Pengagihan Daya Brek Elektronik, Kawalan Dinamik Kenderaan, Kawalan Brek Selekoh, Perlindungan Olengan Aktif, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menurun Cerun.

Sementara varian Lux pula mendapat kelengkapan MG PILOT yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Kesesakan Trafik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Pengesanan Titik Buta, Bantuan Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, MG HS 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM130,000 hingga RM150,000.

MG Cyberster EV 2024 buat kemunculan pertama di Malaysia

Serentak dengan pelancaran dua buah model ICE, MG Malaysia turut membuat kejutan dengan memperlihatkan sebuah model roadster berkuasa elektrik, iaitu MG Cyberster EV 2024.

Tiada sebarang info berkenaan harga jualan serta spesifikasi didedahkan buat masa ini.

Di sini kami kongsikan serba sedikit informasi berdasarkan spesifikasi model MG Cyberster yang dijual di pasaran global.

 

1. Dua pilihan pacuan: RWD atau AWD

MG Cyberster EV boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 310 hp/475 Nm, atau output yang lebih tinggi 335 hp/475 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

Sementara versi motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda pula mampu menjana kuasa setinggi 536 hp dan 725 Nm, di mana ia mampu  memecut sepantas 3.2 saat dari pegun ke 100 km/j.

 

2. Jarak gerak cecah 580 km

Terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri tersedia, iaitu 64 kWh dengan jarak gerak mampu mencecah 501 km, atau 77 kWh dengan jarak gerak mencecah 580 km (520 km untuk versi AWD).

 

3. Roadster sifar emisi dengan rekaan sporti

Apa yang mencuri tumpuan ialah rekaan luaran roadster yang mampu mencuri tumpuan orang ramai.

Ia membawakan rekaan hadapan seakan hidung jerung, diikuti unit lampu LED, bukaan pintu scissor ala Lamborghini, rim 20 inci, serta rekaan lampu belakang membawakan motif bendera Union Jack dan anak panah.

 

4. Kabin

Ruang kabin MG Cyberster ini hanya mampu memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah tempat duduk sports balutan kulit Nappa/Alcantara, roda stereng sports, skrin digital 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

 

5. Ruang kargo

MG Cyberster menyediakan ruang kargo belakang sebesar 249 liter.

Di pasaran Thailand, MG Cyberster versi AWD dijual pada harga THB 2,499,000 (RM317,949). Agak-agak, berapa harga jualan yang bakal diletakkan untuk pasaran Malaysia? RM200,000?

MG5 GT 2024 – sedan fastback, nadi 1.5L NA, 114 PS, 150 Nm, harga anggaran bawah RM100k

SAIC Motor Malaysia memperlihatkan model terbaharu MG5 GT 2024 di mana ia bakal memberi saingan terus kepada model sedan segmen B di Malaysia seperti Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

MG5 GT membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.

Menurut SAIC Motor, MG5 GT merupakan sedan segmen B yang paling panjang dan lebar, selain menampilkan bentuk badan sedan fastback coupe untuk mereka yang mahukan kelainan.

 

2. Nadi aspirasi semula jadi

Sedan ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 114 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi iCVT lapan nisbah kelajuan.

Komponen ini dikatakan telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.

 

3. Ciri luaran

Selain bentuk badan yang sporti, MG5 GT 2024 membawakan ciri seperti spoiler ekor itik, jeriji hadapan 3D agresif, bumbung suria, lampu nyalaan siang DRL LED, dan rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci.

 

4. Ruang kabin

Masuk ke dalam ruang kabin, MG5 GT memperlihatkan ciri moden seperti skrin digital LCD tujuh inci, skrin infohibur terapung 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.

Selain itu, terdapat tempat duduk balutan kulit merah/hitam, sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, serta tidak ketinggalan sistem kamera keliling 360 darjah.

 

5. Keselamatan

Secara standard, MG5 GT 2024 dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Ditawarkan dalam 1 varian tunggal, MG5 GT 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM100,000 dan bakal dijual pada suku keempat tahun ini (Q4 2024).

Kenapa ‘fanboi’ YSuku tak suka dengan Yamaha Y16ZR?

Rata-rata motosikal keluaran Yamaha sememangnya berjaya menarik perhatian peminat dua roda di Malaysia antaranya RX-Z, 125ZR kemudian Y15ZR. 

Bagaimanapun, lain pula ceritanya sebaik Yamaha memperkenalkan Y16ZR yang diangkat sebagai ‘pengganti’ kepada Y15ZR yang pada satu ketika pernah menjadi ‘fenomena’ di Malaysia. 

Atas kertas, Y16ZR merupakan versi ditambah baik dari Y15ZR. Pertamanya, Y16ZR diberikan enjin yang lebih besar dengan 155cc berbanding 149.7cc sebelum ini sekaligus menyumbang kepada 17.7hp dan 14.4Nm. 

Namun begitu, kapasiti enjin yang lebih besar itu turut menyebabkan pemilik perlu membayar cukai jalan (roadtax) sebanyak RM30. 

Selain itu, Yamaha Y16ZR ini turut dilengkapi dengan teknologi VVA (variable-valve actuation) yang pada dasarnya menawarkan penjimatan dan aliran kuasa yang lebih efisien. 

Yamaha Y16ZR juga dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berbanding 5-kelajuan yang ada pada Y15ZR. Kami berasakan naik taraf ini antara yang paling signifikan kerana ramai pengguna Y15ZR yang mengadu tidak berpuas hati dengan ciri tersebut. Sistem klac slipper juga membantu meringkan beban ketika menukar gear. 

Dalam pada itu, disebabkan penggunaan enjin yang lebih besar, Y16ZR juga menawarkan daya pecutan yang lebih baik. Namun begitu, ada yang medakwa Y16ZR lebih ‘makan minyak’. Dakwaan itu kami akui ada benarnya selepas menguji motosikal itu selama beberapa hari apatah lagi tangki disediakan hanya 5.4L. 

Apa yang pasti, Y16ZR menawarkan sesuatu yang ekstra berbanding Y15ZR. Mereka yang menghargai motosikal ini adalah mereka yang perlukan sesuatu yang lebih berkuasa tanpa perlu mengubahsuai motosikal seperti yang menjadi kegilaan geng Y15ZR. 

Tidak hairanlah rata-rata yang meminati Y16ZR adalah mereka yang berada dalam kumpulan usia pertengahan berbanding Y15ZR yang masih lagi jadi kegilaan anak muda. 

Dongfeng Box EV versi RHD diperlihatkan, 94 PS, jarak gerak 430 km, pelancaran Oktober ini

Persatuan Pengimpot dan Perniagaan Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menerusi anak syarikat Central Auto Distributors Bhd (CADB) baru-baru ini memperlihatkan sebuah kenderaan elektrik kompak yang bakal dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu berkenaan Dongfeng Box EV:

 

1. Dimensi

Dongfeng Box EV dibina berdasarkan platform Quantum Architecture S3.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,020 mm, lebar 1,818 mm, tinggi 1,570 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,663 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Dongfeng Box EV bakal bersaing secara terus dengan model BYD Dolphin.

 

2. Ciri unik

EV comel ini membawakan beberapa ciri yang unik di dalam kelasnya.

Antaranya ialah rekaan bumbung terapung, pintu tanpa bingkai, serta pemegang pintu yang tersorok kemas dalam panel badan.

Penampilan Dongfeng Box diserikan dengan struktur lampu LED tiga dimensi, serta rim dua tona bersaiz 17 inci.

 

3. Kabin nampak mewah

Unit pra-produksi yang dipamerkan ini menampilkan penggunaan bahan yang tampak mewah dan premium, dengan upholsteri balutan kulit, kemasan papan pemuka dan panel pintu dua tona.

Antara ciri lain termasuklah skrin kluster digital lima inci, skrin infohibur sebesar 12.8 inci dengan paparan yang boleh dikustom, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem pencahayaan ambien 32 warna, pengecas peranti pintar tanpa wayar, kamera 360 darjah, dan sistem pendingin hawa automatik.

 

4. Kuasa dan jarak gerak

Dongfeng Box EV secara standard datang dengan motor elektrik tunggal pacuan depan berkuasa 95 PS dan 160 Nm, dengan halaju maksimum 140 km/j.

Terdapat dua kapasiti bateri tersedia, iaitu 31.45 kWh dengan jarak gerak 330 km atau 42.3 kWh dengan jarak gerak sejauh 430 km untuk sekali cas penuh.

EV ini turut menyokong pengecasan pantas di mana bateri boleh dicas dari 30-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Fungsi V2L juga turut tersedia bagi membolehkan pengguna mengecas perkakasan elektrik semasa membuat aktiviti luar.

 

5. Harga

Harga jualan hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi pada bulan Oktober tahun ini, dengan julat sekitar RM100,000 hingga RM120,000.

UMW Toyota buka pusat 3S di Kota Samarahan, Sarawak

UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini melancarkan pusat 3S Toyota baharu yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak.

Kemudahan terbaru ini dikendalikan oleh Borneo Mobility (Samarahan) Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar UMWT sejak 2020.

Ia terletak di lokasi strategik 30 km dari tenggara Kuching dan bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan yang mempunyai populasi lebih daripada 130,000 orang itu.

Selain ruang pameran, pusat 3S ini juga menyediakan lima ruang servis bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan Toyota di sekitar Kota Samarahan dan kawasan berhampiran.

Menurut UMWT, pusat ini dijangka akan menyumbang 12% kepada jumlah jualan Borneo Mobility.

Dikenali dengan jolokan ‘Kota Pengetahuan’, Kota Samarahan kini berkembang pesat dengan dua buah universiti terkemuka, kawasan perumahan, pusat komersial dan projek infrastruktur, menjadikannya lokasi yang menarik untuk membangunkan perniagaan.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Pusat servis 3S baharu ini adalah cara kami membawa jenama Toyota lebih dekat kepada pelanggan kami, di mana sahaja mereka berada, sambil memastikan mereka mempunyai akses mudah kepada perkhidmatan kami pada bila-bila masa.”

Pusat 3S Toyota baharu ini beralamat di Lot 9040-9043, Block 26, 15-20 Uni Alam Commercial Centre, Jalan Datuk Mohamad Musa, 94300 Kota Samarahan, Sarawak.

Waktu operasi adalah 8 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 petang pada Sabtu.

McLaren Artura Spider tiba di Malaysia – 700hp, bumbung dibuka dalam 11 saat, harga dari RM3.4 juta

DUA tahun lalu, McLaren Kuala Lumpur memperkenalkan Artura, iaitu supercar hibrid pertama dari jenama sports British itu. Hari ini, model tersebut menerima versi convertible iaitu Artura Spider.

Model baharu ini tampil dengan peningkatan melibatkan aspek trenkuasa, casis dan aerodinamik, yang akan turut diberikan kepada versi coupe untuk model tahun 2025.

Pertama sekali, McLaren telah menala semula enjin hibrid 3.0-liter V6 bagi meningkatkan kuasa dari 680hp sebelum ini kepada 700hp. Tork kekal pada 720Nm namun dengan ubahsuai pemetaan elektronik, ia disalurkan ke roda dengan lebih baik.

Enjin berkenaan menerima bantuan motor elektrik yang diletakkan di dalam kotak gear. Motor itu menjana 95hp dan 225Nm, dan digandingkan dengan bateri berkapasiti 7.4kWh yang memberikan jarak gerak elektrik sejauh 33km.

Dengan transmisi 8-kelajuan yang telah dikalibrasi semula, Artura Spider boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.0 saat dan 0 hingga 200km/j dalam 8.4 saat. Walaupun berbumbung convertible, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 330km/j.

Tambah McLaren, kereta ini juga mendapat cagak enjin baharu yang lebih tegar bagi mengawal pergerakan trenkuasa. Ini akan meningkatkan kestabilan, respon stereng dan ketangkasan pendendalian kenderaan.

Artura Spider menggunakan bumbung jenis hardtop yang boleh dibuka dan ditutup dalam 11 saat dengan bantuan lapan motor elektrik. Biarpun begitu, ia mempunyai berat 1,560 kg, hanya 62kg lebih berbanding Artura Coupe.

Untuk memastikan pemandu dapat menikmati sepenuhnya bunyi enjin ketika bumbung diturunkan, McLaren turut menyertakan sistem ekzos baharu dengan resonator ditala semula dan muncung berbentuk kon.

Jika ini tidak cukup kuat, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem ekzos sport yang menawarkan nada yang lebih jelas dengan menyalurkan gelombang bunyi dari ekzos ke dalam kabin.

Ride and handling pula diperbaiki dengan meningkatkan kadar tindak balas sistem Proactive Damping Control sebanyak 90 peratus, menjadikan ia lebih responsif terhadap input pemandu dan permukaan jalan.

Untuk brek, Artura Spider mempunyai cakera karbon seramik berukuran 390mm di hadapan, 380mm di belakang, masing-masing digandingkan dengan angkup monobloc aluminium enam dan empat piston.

McLaren Artura Spider boleh menjadi milik anda dengan harga bermula RM3,400,000 termasuk duti, sebelum opsyen tambahan.

Proton, Geely bekerjasama naik taraf Saga

DALAM satu kenyataan baru-baru ini, Proton mengesahkan bahawa ia sedang bekerja rapat dengan Geely untuk meneroka aktiviti peningkatan model Saga dari platform yang sedia ada.

Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, usaha kerjasama dengan Geely yang telah berjalan selama bertahun-tahun ini dapat dipercepatkan selepas penubuhan pusat R&D Proton di China pada April tahun ini.

Maklumat terperinci serta garis masa mengenai pelancaran Saga baharu itu tidak dinyatakan namun Proton berkata, peningkatan model tempatan itu melibatkan penggunaan sumber bersama dengan Geely dan diketuai oleh jurutera R&D Proton di Malaysia.

“Keupayaan untuk mencipta, mereka bentuk, membangunkan, dan mengeluarkan kenderaan baru dari awal adalah unik bagi Proton sebagai jenama nasional. Keupayaan ini kini telah diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman sedia ada Proton dengan sumber dan pengetahuan Geely,” kata syarikat itu.

Dalam kenyataan sama, Proton memberitahu bahawa Saga, yang kini dalam tahun ke-39 pengeluaran, mencatatkan jualan yang luar biasa sebanyak 7,855 unit pada bulan lalu. Ini merupakan jualan bulanan terbaik model tersebut sejak Oktober 2013.

Secara keseluruhan, jualan sehingga kini (YTD) untuk Saga telah meningkat sebanyak 8.8% berbanding tahun lalu kepada 42,693 unit, menetapkan asas untuk tahun jualan yang cemerlang di hadapan.

Sejak Proton Saga pertama mula dikeluarkan pada 9 Julai 1985, jualannya telah melepasi tanda dua juta unit tahun ini, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai model paling popular dari jenama automotif Malaysia.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia dan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat, Proton telah melancarkan kempen “Saga-Merdeka Mudah Dimiliki” yang menawarkan pelbagai insentif dan tawaran eksklusif sepanjang bulan Ogos.

Sepanjang tempoh sebulan itu, Proton menawarkan rebat tunai RM500 untuk pembelian mana-mana model Proton Saga. Selain itu, pelanggan Maybank layak untuk rebat tambahan RM200 apabila pelanggan menunjukkan mesej promosi daripada Maybank kepada mana-mana pengedar Proton yang mengambil bahagian.

Ini 7 fakta Litar Antarabangsa Sepang yang anda mungkin tak pernah tahu

Litar Antarabangsa Sepang atau SIC (Sepang International Circuit) ialah salah satu mercu tanda kebanggaan negara kita. Ia siap dibina pada 1998 sebelum menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pertama pada 1999.

Walaupun kini tidak lagi menganjurkan acara F1, Litar Sepang masih berada dalam kalendar MotoGP dan masih aktif dengan pelbagai aktiviti permotoran, sesi track day, dan bermacam acara korporat.

Baru-baru ini Litar Sepang menjadi bualan di platform-platform media sosial kerana netizen berkata bila lagi F1 akan hadir ke sini. Malah pemandu-pemandu F1 pun kononnya dikatakan rindu untuk beraksi di Malaysia.

Apa pun, jom kita lihatkan tujuh fakta berkenaan litar berkelas dunia ini yang mungkin anda tidak pernah tahu.

1. Hasil kerja tangan Hermann Tilke

Litar Antarabangsa Sepang direka oleh arkitek Jerman, Hermann Tilke, yang sebelum itu mereka litar A1-Ring di Austria. Tilke melakar sebuah litar yang beralun dan pantas untuk Sepang, didominasi oleh dua laluan lurus utama.

Rekaan Sepang mengambil inspirasi dari elemen tempatan, sebagai contoh kanopi di grandstand berbentuk seperti daun-daun pokok kelapa sawit, yang merupakan tanaman di ladang yang menjadi tapak litar ini.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada Disember 1996, sebelum siap pada 1998 dan menelan belanja RM286 juta.

2. Antara litar terpanjang dan tercanggih

Litar Sepang menampilkan 15 selekoh dan lapan laluan lurus dengan kelebaran minima 16 meter, dan menjadi 20 meter di beberapa bahagian.

Litar Antarabangsa Sepang siap dengan jarak 5,543 meter (satu pusingan), dan menjadi antara litar terpanjang dalam kalendar F1 dan MotoGP. Dua litar yang lebih panjang adalah Spa-Franchorchamps, Belgium dan Silverstone, England.

Semasa siap dan dibuka kepada umum, Litar Sepang merupakan litar F1 tercanggih di dunia. Tetapi sudah tentu kini banyak lagi litar lain di dunia yang lebih baharu dan lebih canggih, kebanyakannya merupakan air tangan Tilke.

3. Satu-satunya lokasi Japan GT di luar Jepun

Selain acara perlumbaan bertaraf dunia seperti F1 dan MotoGP, Litar Antarabangsa Sepang juga berada dalam kalendar perlumbaan berprestij lain termasuklah Japan Super GT.

Menariknya, Litar Sepang ialah satu-satunya litar di luar Jepun untuk acara Japan Super GT. Ini menjadikan Sepang sangat unik bagi acara ini dengan cuacanya yang ekstrem panas dan hujan lebat.

4. Cuaca ekstrem

Bercakap mengenai cuaca, suhu persekitaran Litar Sepang boleh mencecah 60 darjah Celcius, suatu suhu yang mencabar untuk jentera dan para pemandu.

Kemudian selepas panas terik di tengahari, hujan lebat pula boleh turun di sebelah petang. Cabaran cuaca ini antara ciri unik Sepang yang tidak terdapat di litar-litar lain, bermakna pasukan-pasukan yang berlumba perlu bijak mengatur strategi hentian pit dan pertukaran tayar.

Sebagai tambahan, perlumbaan F1 pada 2009 pernah dihentikan disebabkan hujan yang terlalu lebat dan terlalu bahaya untuk memandu.

5. Anak Malaysia memandu F1

Litar Sepang menyaksikan dua orang anak Malaysia yang pernah memandu jentera F1. Mereka adalah Alex Yoong dan Fairuz Fauzy.

Alex Yoong memandu untuk pasukan Minardi pada 2002 dengan pencapaian terbaik tamat perlumbaan di tempat ketujuh semasa GP Australia.

Fairuz Fauzy juga termasuk dalam golongan elit yang pernah memandu jentera F1, tetapi sebagai pemandu ujian pasukan Lotus pada 2010.

6. Proton Satria GTI rasmikan Sepang

Walaupun Litar Sepang dikenali dengan penganjuran F1 dan sukan-sukan bertaraf dunia yang lain, kita harus berbangga kerana sebuah Proton telah ‘merasmikan’ litar ini beberapa hari sebelum GP Malaysia yang pertama pada 1999.

Dan kereta itu ialah Proton Satria GTI, dipandu oleh Tiff Needell, seorang hos media permotoran dan bekas pelumba profesional. Beliau juga pernah berlumba di Malaysia, tetapi di Litar Batu Tiga, Shah Alam pada 1980an.

7. Tragedi Marco Simoncelli

Seperti yang semua tahu, sukan permotoran merupakan satu sukan yang berisiko tinggi walaupun sentiasa mementingkan standard keselamatan yang tinggi.

Litar Antarabangsa Sepang pernah meragut nyawa seorang pelumba MotoGP, Marco Simoncelli. Dalam kejadian pada 23 Oktober 2011, pelumba Itali itu terjatuh semasa dalam pusingan keenam dan kemudian dilanggar oleh seorang pelumba lain.

Porsche Carrera Cup Asia 2024 tampil perlumbaan endurans di Litar Sepang

Perlumbaan pusingan ke-9, 10, dan 11 Porsche Carrera Cup Asia 2024 telah pun melabuhkan tirainya pada 10 dan 11 Ogos yang lepas.

Ia menyaksikan pasukan tempatan Sime Darby Racing Team yang mewakili Porsche Malaysia bersaing di tanah air sendiri untuk tahun kedua berturut-turut di dalam kategori PRO.

 

Pusingan ke-9

Dalam perlumbaan pusingan ke-9, Mathys Jaubert (TORO Racing) meraih kedudukan pertama walaupun pelumba Porsche Junior 2024 Alessandro Ghiretti mendahului selepas beberapa selekoh pertama.

Ini merupakan kemenangan pertama Jaubert dalam Porsche Carrera Cup Asia, sementara dua tempat lagi diduduki oleh Marco Giltrap (Team Porsche New Zealand) dan Rodrigo Dias Almeida (R&B Racing).

Dalam kelas Pro-Am, Bao Jinlong meneruskan penguasaan dominan, juga meraih tempat keempat secara keseluruhan.

Sementara kategori Am pula menyaksikan Eric Kwong (Bergwerk Motorsport) mengalahkan Munkong Sathienthrakul (EBM) untuk menduduki tangga pertama.

 

Pusingan ke-10

Perlumbaan yang berlangsung pada waktu malam itu merekodkan sebanyak 29 buah jentera mengelilingi litar Sepang.

Dylan Pereira (Team Shanghai Yonda BWT) meraih gelaran juara pertama sejak pembukaan musim, sementara Liu Kai Shun (R&B Racing) merampas kedudukan tempat Bao Jinlung sekaligus meraikan kemenangan pertama beliau dalam kategori Pro-Am.

Kedudukan dalam kategori Am pula bertukar tangan, di mana Sathienthirakul berjaya mengalahkan Eric Kwong dengan perbezaan masa beberapa saat.

 

Pusingan ke-11

Perlumbaan akhir pada hujung minggu lepas menampilkan format endurans buat pertama kali, dan keadaan menjadi sukar disebabkan oleh kondisi cuaca basah.

Nazim Azman yang mewakili Sime Darby Racing Team pada mulanya berjaya menduduki tangga ketiga, namun terpaksa menerima penalti pasca perlumbaan disebabkan sentuhan semasa memotong Ragginger.

Ia sekaligus membolehkan pelumba Porsche Holding itu meraih kedudukan podium.

Dalam kelas Pro-Am, Kai Shun menunjukkan kehebatan dengan meraih kemenangan kedua untuk perlumbaan tersebut, sementara persaingan sengit antara Eric Kwong dan Sathienthirakul menyaksikan pelumba Bergwerk kembali merampas kedudukan pertama daripada pelumba EBM.

Dengan berbaki lima lagi perlumbaan, Ghiretti terus mendahului kejuaraan dengan kelebihan 20 mata di hadapan pencabar terdekat Jaubert.

Bao mempunyai kelebihan yang selesa dalam kelas Pro-Am, sementara dalam kategori Am pula Eric Kwong mendahului Munkong Sathienthirakul dengan kelebihan 21 mata.

Porsche Carrera Cup Asia 2024 akan kembali untuk pusingan ke-12 dan 13 di Litar Marina Bay, Singapura sebagai perlumbaan sokongan kepada Grand Prix Singapura.

Turut berlangsung ialah acara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2024 menampilkan tiga kategori utama (Junior Dreamers, Young Dreamers, dan Driven Dreamers) di mana setiap peserta diberikan peluang memandu Porsche 911 GT3 Cup (992) atas Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang maya.

Dalam masa yang sama, Porsche Malaysia turut mempamerkan beberapa buah model 911, termasuklah 911 S/T, 911 Dakar, dan jentera lumba 911 RSR.

Toyota buka tempahan untuk Fortuner, Hilux, dan GR86 baharu

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan tempahan untuk  Hilux, Fortuner dan GR86 baharu telah dibuka hari ini, menampilkan beberapa pembaharuan dan naik taraf.

Toyota Hilux

Raja trak pikap di Malaysia, Toyota Hilux diperbaharui dengan Vehicle Stability Control (VSC) pada model 2.4 Single Cab.

Ia juga mendapat Remote Engine Start untuk varian terpilih, dan ciri ini merupakan yang pertama untuk model Toyota. Daiktifkan menggunakan aplikasi Toyota My, fungsi ini juga mampu menghidupkan pendingin hawa untuk anda menyejukkan kabin sebelum memasuki kenderaan.

Hilux 2.8 GR Sport, Rogue, dan 2.4V juga dilengkapi dengan Panoramic View Monitor, manakala GR Sport dan Rogue mendapat ciri pengecas tanpa-wayar.

Varian 2.8 GR Sport dipacu oleh enjin 2,755cc dengan output 224PS dan 550Nm tork, manakala 2.8 Rogue mempunyai output 204PS dan 500Nm. Sementara itu, Hilux 2.4 menghasilkan 150PS dan 400Nm tork.

Toyota Hilux ditawarkan dengan harga bermula RM104,880.

Toyota Fortuner

Toyota Fortuner kini hadir dengan kit badan GR sebagai aksesori tambahan untuk 2.7 SRZ dan 2.4. Kit ini merangkumi skirting bampar depan, kemasan lampu kabus, dan skirting bampar belakang.

Remote Engine Start kini didapati pada Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ.

SUV ini masih ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Unit petrol 2.7 SRZ menghasilkan 166PS dan 245Nm tork, manakala diesel 2.8 VRZ menjana 150PS dan 400Nm tork.

Toyota Fortuner 2024 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM195,800.

Toyota GR86

Bagi kereta coupe sports GR86, kedua-dua varian automatik dan manual dikemaskini untuk pengendalian dan respon lebih baik.

Respon pendikit minyak telah ditala semula untuk kawalan lebih tepat, manakala suspensi diperhalusi untuk respon pengendalian dan feel jalanan. Sistem stereng juga dikalibrasi semula untuk rasa lebih telus.

Bagi transmisi automatik, talaan baharu membolehkan downshift pada rpm lebih tinggi. Ini memberikan kawalan lebih baik untuk pemandu.

Harga bagi Toyota GR86 2024 bermula pada RM295,000.

Lotus Emeya dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga RM555k-RM777k

LOTUS Cars Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik keduanya iaitu Emeya ke pasaran tempatan.

Seperti Eletre, Hyper-GT elektrik sepenuhnya ini boleh didapati dalam tiga varian iaitu Emeya, Emeya S dan Emeya R. Varian asas dijual pada harga RM555,000, S dijual pada harga RM643,000 manakala R pula berharga RM777,000.

Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Setiap varian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/150,000 km, dan jaminan untuk bateri selama lapan tahun/200,000 km.

Varian asas Emeya dan Emeya S dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menghasilkan 603 hp dan 710 Nm. Dengan transmisi kelajuan tunggal, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sementara itu, Emeya R sebagai varian tertinggi mempunyai 905 hp dan 985 Nm. Tidak seperti varian-varian lain, ia mempunyai transmisi dua kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat. Kelajuan maksimumnya juga sedikit lebih tinggi iaitu 256 km/j.

Selain motor elektrik yang berkuasa, sebahagian besar prestasi Emeya disumbangkan oleh rekaannya yang aerodinamik.

Emeya dilengkapi dengan gril depan aktif untuk mengurangkan rintangan angin dan menyejukkan bateri, air dam aktif pada bahagian depan, diffuser aktif pada bahagian belakang serta spoiler aktif dua lapisan yang boleh menjana downforce sehingga 215 kg.

Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda bersama sistem Lotus ICC intelligent torque distribution, dan sistem suspensi udara yang boleh membaca keadaan jalan pada kadar 1,000 kali sesaat.

Ketiga-tiga varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 102 kWj, namun jarak gerak (WLTP) bagi setiap varian adalah berbeza. Varian asas menawarkan jarak gerak 610 km, manakala S pula menawarkan 540 km. Emeya R boleh dipandu sehingga 435 km.

Emeya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit. Ia juga mempunyai ciri pengecasan AC 22 kW.

Ruang dalaman Emeya menampilkan ciri minimalis yang digabungkan dengan material mewah dan teknologi termaju. Bagi mengurangkan jejak karbon, Lotus menggunakan benang premium yang diperbuat dari fabrik lebihan industri fesyen.

Selain itu, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 15.1 inci yang dikuasakan oleh sistem Unreal Engine, serta sistem audio KEF dengan pembesar suara Uni-Q, subwoofer Uni-Core dan sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Turut disertakan adalah ciri Road Noise Cancellation (RNC).

Untuk sistem keselamatan, terdapat ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti amaran halangan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran depan dan sistem pemantaun titik buta. Semua maklumat penting dipaparkan menerusi head up display realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci.

Mercedes-Benz EQS 450 4MATIC SUV 2024, 360 hp, 800 Nm, jarak gerak 675 km, RM626k

Mercedes-Benz Malaysia baru sahaja melancarkan sebuah lagi model SUV berkuasa elektrik EQS 450 4MATIC SUV 2024 sebagai pelengkap kepada penawaran model EQS SUV sedia ada.

Dari segi spesifikasi, EQS 450 SUV datang dengan motor elektrik berkuasa 360 hp dan daya kilas maksimum 800 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Pek bateri berkapasiti 118 kWh membenarkan jarak gerak sejauh 673 km untuk sekali cas penuh berdasarkan data kitaran WLTP.

EQS 450 SUV menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW (0-100 peratus SoC dalam 6 jam 15 minit), serta pengecasan pantas DC sehingga 200 kW (10-80 peratus dalam 31 minit).

Penampilan luaran diserikan dengan pakej AMG Line, rim AMG bersaiz 22 inci, jeriji dengan logo bintang Mercedes, sistem DIGITAL LIGHT dengan bantuan suluhan tinggi adaptif, serta tempat pemijak sisi ala aluminium.

Casis EQS SUV dibantu dengan sistem gandar four-link di depan, diikuti suspensi multi-link di belakang, serta suspensi udara AIRMATIC yang mampu meninggikan jarak kelegaan tanah.

Terdapat beberapa mod pemanduan termasuklah ECO, COMFORT, SPORT, INDIVIDUAL dan OFFROAD.

Untuk memudahkan pengendalian, EQS 450 SUV turut dibekalkan dengan sistem stereng gandar belakang yang membenarkan roda belakang diubah sudutnya sehingga 10 darjah.

Ruang kabin EQS SUV dilengkapi dengan tempat duduk berbilang kontur, tempat duduk baris ketiga, sistem MBUX hyper screen, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem MBUX High-End Rear Seat Entertainment, dan sistem bunyi keliling Burmester dengan teknologi Dolby Atmos.

Harga jualan Mercedes-Benz EQS 450 SUV 2024 bermula dari RM625,888 tidak termasuk insurans, dan akan mula diedarkan September 2024.

Proton X70 2025 dilancar dengan 4 varian bermula RM99k, dah ada Apple Carplay dan Android Auto!

AKHIRNYA Proton X70 2025 facelift dilancarkan secara rasmi hari ini. Ia ditawarkan dengan empat varian dan harga seperti berikut:

X70 Standard: RM98,800
X70 Executive: RM110,800
X70 Premium: RM123,800
X70 Premium X: RM126,800

Setiap pembelian X70 2025 juga didatangkan dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, pakej data 5-tahun berkapasiti 1GB/bulan, enam kali upah percuma, faedah pembiayaan serendah 2.4 peratus, dan program insurans Proton.

Selain itu, terdapat pakej Early Birds berupa rebat tunai RM7,000, sokongan trade-in overtrade bernilai RM2,800, dan program insurans Proton yang dinaik taraf. Kesemua ini sah untuk 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar kenderaan mereka.

Menurut Proton, X70 facelift ini mempunyai 360 bahagian baharu, dan proses R&D mengambil masa 290,000 jam. Ujian jalan raya telah dijalankan melibatkan jarak sejauh 4.2 juta km.

Proton X70 2025 mendapat wajah lebih segar yang diambil dari Geely Boyue facelift 2022. Selain lampu LED baharu, ia tampil dengan gril lebih besar dengan perincian ala berlian, serta bonet, bampar dan dapra yang direka semula.

Untuk belakang, terdapat bampar baharu dengan pemantul melintang. Rim aloi juga diberi rekaan terkini, dengan saiz 18-inci untuk Executive dan 19-inci.

Lima warna boleh dipilih untuk X70 baharu ini iaitu Snow White, Armous Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baharu Marine Blue.

Papan pemuka direka semula, kini menampilkan trim berwarna hitam piano dan pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang berubah mengikut muzik.

Di bahagian tengah papan pemuka adalah skrin infotainmen 12.3-inci baharu. Buat pertama kalinya untuk Proton, Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Selain itu, X70 2025 mendapat stereng baharu, paparan baharu pada panel meter LCD dan upholsteri kulit Nappa dalam warna Stone Grey.

Dari segi kelengkapan, X70 kini tampil dengan Walk Away Auto Lock, manakala pintu but kuasanya kini mempunyai fungsi Nearby Auto Open untuk operasi bebas tangan.

ADAS tersedia pada varian Premium dan Premium X. Ia merangkumi beberapa ciri baharu iaitu Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Intelligent Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Centering Control, Traffic Sign Information dan Rear Collision Warning.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDI tiga silinder yang menghasilkan 175hp pada 5,500rpm dan 255Nm dari 1,500-4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Dengan penambahbaikan yang melibatkan aspek kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran, enjin ini mencatat penggunaan bahan api 7.3 liter/100 km, iaitu 4 peratus lebih baik berbanding X70 2022.

EON perkukuh kedudukan dalam sektor automotif tempatan, tawar perkhidmatan menyeluruh

Beberapa puluh tahun yang lepas, kita lebih mengenali syarikat Edaran Otomobil Nasional Sdn Bhd (EON) sebagai sebuah syarikat pengedar kereta-kereta jenama Proton.

Namun, EON kini lebih daripada sekadar itu.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun EON yang ke-40, pihak pengamal media telah dijemput untuk menyertai EON & Sahabat Media Getaway 2024 dan mendengar sendiri daripada mulut Akkbar Danial selaku CEO EON mengenai perancangan mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor automotif tempatan.

Berikut merupakan beberapa info menarik yang perlu anda tahu:

1. Selain daripada Proton, syarikat konglomerat itu kini mengendalikan beberapa buah jenama automotif yang besar, seperti Audi, Mitsubishi, smart, Volkswagen, dan jenama e.MAS yang bakal dilancarkan kelak.

2. EON juga turut mengendalikan beberapa jenama kenderaan komersial seperti Daihatsu dan Isuzu.

3. EON turut mengendalikan perkhidmatan sewa dan pajakan kenderaan AVIS, merangkumi kenderaan penumpang, perkhidmatan chauffeur, serta menyediakan armada kenderaan untuk sektor komersial.

Secara keseluruhan, AVIS mempunyai kira-kira 19 cawangan di seluruh Malaysia, dengan armada lebih 4,000 unit kenderaan.

4. EON-Petromin Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2022 dengan fokus menyediakan perkhidmatan selepas jualan dan servis untuk pelbagai jenama kenderaan, terutama bagi pemilik kenderaan yang sudah tidak dilindungi jaminan pengeluar.

Untuk permulaan, EON-Petromin memfokuskan kepada kawasan Lembah Klang dan bakal dikembangkan ke wilayah Utara dan Selatan.

5. Untuk memudahkan urusan pengguna mendapatkan kereta idaman, EON menerusi divisyen pembiayaan melancarkan platform digital EON Capital semasa EON Autofest pada Mac yang lalu.

Dengan azam untuk menangani tiga kebimbangan utama yang disuarakan oleh pelanggan, EON Capital mahu menyediakan platform permohonan pembiayaan kenderaan yang pantas dan mudah, selamat, serta pembelian yang lebih berbaloi.

6. Selain daripada proses pendigitalan pembiayaan kenderaan, EON dalam masa yang sama menekankan proses pendigitalan platform yang biasa digunakan oleh pelanggan, seperti laman web rasmi, pusat pameran 3D, kedai jualan kenderaan dalam talian, permohonan insurans dan perkhidmatan selepas jualan.

7. Bergerak ke hadapan, EON mahu terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pengedaran automotif dengan pembukaan pusat aksesori eksklusif serta pusat badan dan cat (B&P) berpusat untuk penjanaan hasil hiliran.

8. Pada masa hadapan, EON juga akan bekerjasama dengan syarikat perniagaan kenderaan terpakai seperti myTukar, Carsome dan syarikat OEM, selain menggunakan laman web EON sebagai platform perniagaan tukar-beli dan kenderaan terpakai.

9. Bagi melengkapkan lagi ekosistem pengalaman pemilikan dengan nilai yang lebih baik, EON telah melancarkan pembukaan EON Autospa pada 1 Mac 2024 yang lalu.

EON Autospa yang terletak di Glenmarie merupakan outlet Autospa yang pertama dibuka untuk memenuhi keperluan pelanggan EON dari pelbagai perniagaan runcit automotif seperti Audi, Mitsubishi, Proton dan smart.

Menerusi kerjasama dengan beberapa jenama ternama, pelanggan bukan sekadar boleh mendapatkan perkhidmatan cuci kereta, mereka juga boleh mendapatkan aksesori kenderaan seperti filem tingkap, tempat duduk balutan kulit, filem perlindungan cat serta kamera perakam papan pemuka.

Sekatan jalan raya dalam media sosial, nak share ke tak?

KITA biasa melihat maklumat dan informasi mengenai road block atau sekatan jalan raya dikongsikan melalui aplikasi mudah alih seperti Whatsapp dan Telegram.

Kita pun secara automatik menekan butang Share untuk terus menyampaikannya kepada lebih ramai orang. Semoga bermanfaat, kononnya.

Ya, mungkin bermanfaat untuk sesetengah orang. Tetapi, patutkah kita berkongsi dan membantu menyampaikan keberadaan sekatan jalan raya?

Sebelum itu, mari kita lihatkan tujuannya terlebih dahulu. Sekatan jalan raya boleh diadakan bagi tujuan-tujuan seperti pembinaan jalan, penutupan jalan tertentu, operasi penguatkuasaan undang-undang, dan memburu penjenayah.

Kami faham, anda meng-Share dan berkongsi operasi sekatan jalan raya disebabkan penguatkuasaan undang-undang kerana mungkin ada antara anda dan orang sekeliling yang mempunyai kenderaan tidak cukup sifat, sebagai cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak ikut spesifikasi, atau membuat modifikasi tertentu.

Jadi anda berkongsi operasi sekatan jalan raya agar rakan-rakan sekeliling dan ahli group Whatsapp kelab kereta anda tidak disaman.

Tetapi, bagaimana jika sekatan jalan raya itu dibuat kerana mahu mengesan penjenayah? Apabila penjenayah terbaca perkongsian anda, maka beliau pun melencong ke jalan alternatif atau melarikan diri pada waktu lain.

Gambar oleh: MalayMail

Pihak berkuasa tidak dapat menangkap penjenayah itu, dan kes tidak dapat diselesaikan. Anda gembira kerana tidak disaman?

Jika penjenayah itu baru membuat penganiayaan terhadap anda, dan mereka dapat meloloskan diri kerana orang lain berkongsi tentang sekatan jalan raya, anda masih gembira?

Di kesempatan ini, kami di Engear ingin menegaskan supaya tidak berkongsi akan keberadaan sekatan jalan raya. Tidak perlulah kita terlebih caring atau menjadi wartawan tidak bertauliah semata-mata mengelakkan kawan disaman. Lebih kepada menyusahkan kerja pihak berkuasa.

Jom kita ubah!