Arkib Kategori: MALAYSIA

Mercedes-AMG SL 63 S E Performance 2025 rasmi – sportster PHEV berharga RM2.2 juta

Selain daripada model AMG GT 63 4MATIC+ Coupe, Mercedes-Benz Malaysia turut sama melancarkan model roadster SL 63 S E Performance berharga RM2,168,888.

Ini merupakan model kelima yang menampilkan teknologi hibrid E Performance AMG yang dipadankan dengan enjin 4.0 liter V8, menghasilkan kuasa keseluruhan 816 hp dan 1,420 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.9 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 317 km/j.

Motor elektrik 204 hp yang diposisikan pada gandar belakang itu mendapat kuasa daripada bateri 6.1 kWh.

Dengan sistem PHEV, roadster ini boleh bergerak sejauh 13 km tanpa menggunakan setitik petrol, tidak ketinggalan fungsi seperti sistem pemulihan tenaga dan pemanduan pedal tunggal turut disertakan.

Terdapat sehingga lapan pilihan program pemanduan AMG Dynamic Select termasuklah Electric, Battery Hold, Comfort, Smoothness, Sport, Sport+, Race dan Individual.

Aspek pengendalian dibantu dengan suspensi AMG Active Ride Control, AMG Aerodynamics Package, sistem brek komposit seramik AMG, spoiler belakang adaptif serta sistem stereng aktif gandar belakang.

Di bahagian luar, roadster SL 63 AMG ini mendapat kelengkapan seperti unit lampu Digital Light, pakej AMG Night Package II dan Exterior Carbon Package, rim AMG cross-spoke 21 inci, serta perumah cermin sisi gentian karbon.

Sementara ruang kabin SL 63 AMG ini menampilkan tetapan tempat duduk 2+2 dengan balutan kulit Nappa dan mikrofiber Microcut, roda stereng AMG Performance, skrin paparan dengan tema dan menu khas AMG, serta fungsi Airscarf yang khusus untuk model convertible.

Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé 2025 kini di Malaysia – dari RM1.9 juta

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model berprestasi tinggi Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé untuk pasaran tempatan, dijual pada harga RM1,882,888.

Ia dipadankan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar menghasilkan 585 hp dan 800 Nm dan transmisi Speedshift MCT 9G.

Pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 315 km/j.

Sistem pacuan semua roda 4MATIC+ menawarkan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda dengan nisbah agihan kuasa 50:50.

Selain itu, AMG GT 63 Coupé ini turut didatangkan dengan kawalan suspensi AMG Active Ride Control, sistem brek komposit AMG serta sistem stereng aktif untuk gandar belakang.

Antara kelengkapan di bahagian luar termasuklah jeriji radiator AMG, unit lampu utama Digital Light, spoiler belakang aktif, lampu belakang LED, diffuser, pakej AMG Exterior Carbon, pakej AMG Night dan rim cross-spoke 21 inci AMG.

Aspek pemanduan turut dibantu dengan sistem aerodinamik aktif Airpanel – bukan saja menyumbang kepada kestabilan pemanduan pada kelajuan tinggi, bahkan boleh digunakan untuk menyejukkan komponen penting.

Untuk ruang kabin, AMG GT 63 Coupé ini membawakan konfigurasi tempat duduk 2+2, dengan stereng AMG, skrin kluster digital, skrin tengah 11.9 inci, skrin paparan head-up, serta menu khas untuk model AMG seperti berikut:
• AMG Performance – paparan info-info penting jentera
• AMG Track Pace – pencatat data spesifik untuk kegunaan dalam litar
• AMG Dynamics – enam mod pemanduan yang disediakan termasuklah Comfort, Sport, Slippery, Sport+, Race dan juga Individual.

Festival Super GT Malaysia 2025 tawar Toyota GR Supra sebagai hadiah cabutan bertuah

Pengunjung Festival Super GT Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 26-28 Jun ini berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra bernilai RM650,000.

Hadiah cabutan bertuah itu dibawakan khas oleh HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan pempromosi bagi Super GT pusingan Malaysia.

Untuk melayakkan diri, anda hanya perlu membuat pembelian menggunakan Mastercard bermula 1 Jun hingga 28 Jun untuk tiket-tiket berikut:
• Main Grandstand (RM250)
• GT Suite (RM350)
• GT Live! Rock Zone (RM500)
• GT Club Paddock (RM2,000)
• Experience Package (RM5,000)
• Ultimate Package (RM12,000)
• Dream Package (RM15,000)

Pembelian tiket K1 Grandstand tidak layak untuk menyertai cabutan bertuah tersebut.

Nama pemenang bertuah akan diumumkan secara langsung di acara konsert pasca-perlumbaan GT Live!.

Selain daripada perlumbaan GT300 dan GT 500 Super GT, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan dimeriahkan dengan perlumbaan Vios Challenge Musim 8 pusingan kedua, serta perlumbaan sulung GR86 Cup Malaysia Series.

Selain daripada itu, rakyat Malaysia juga boleh menyaksikan penyertaan kad liar (wildcard) dua pelumba negara, iaitu Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva di dalam kelas GT300.

Kedua-dua pelumba itu akan berlumba di dalam jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO pasukan EBM, di mana Jazeman akan berganding dengan Kerong Li, manakala D’Silva pula dengan Earl Bamber.

Festival Super GT Malaysia 2025 akan turut dimeriahkan dengan kehadiran reruai Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) di mana para peminat boleh mendapatkan barangan eksklusif Samurai Blue seperti uniform replika dan kot happi Jepun.

Tiket masuk boleh dibeli menerusi laman web www.supergtmalaysia.com.

Alternatifnya, anda boleh hadir ke lokasi Festival Super GT Malaysia di Sungei Wang Plaza (29 Mei-1 Jun & 6-8 Jun) dan Lot 10 (3-5 Jun) untuk menyertai pelbagai acara menarik termasuklah peluang memenangi tiket masuk dan barangan eksklusif.

Wuyang Honda E-VO: cafe racer elektrik untuk pasaran China, jarak gerak cecah 170 km

Cafe racer ini merupakan E-VO, motosikal elektrik pertama oleh jenama Wuyang Honda yang direka untuk pasaran China.

Jentera retro moden ini dikuasakan oleh motor elektrik dengan kuasa puncak 20.5 hp (15.3 kW) atau kuasa berterusan 11 hp, dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 120 km/j.

Terdapat dua opsyen bateri, iaitu 4.1 kWh dan 6.2 kWh.

Versi 4.1 kWh merupakan tetapan bateri berkembar yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 120 km, dan boleh dicas dalam tempoh masa 1 jam 30 minit.

Tempoh pengecasan sejam boleh dicapai sekiranya pemilik menggunakan pengecas kereta konvensional.

Sementara versi 6.2 kWh pula membawakan tetapan tiga unit bateri yang menawarkan jarak sejauh 170 km.

Ia boleh dicas dalam tempoh 2 jam 30 minit di rumah, atau 1 jam 30 minit menggunakan pengecas kereta.

Aspek tunggangan dibantu dengan tiga mod kuasa (Eco, Normal, Sport) diikuti fork teleskopik jenis terbalik di depan, serta penyerap hentak tunggal di belakang.

Secara standard, E-VO didatangkan dengan ciri seperti skrin paparan TFT tujuh inci, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera perakam tunggangan hadapan (tambah unit belakang untuk model 6.2 kWh), serta pelana setinggi 765 mm.

E-VO versi dua bateri mempunyai berat sekitar 143 kg, manakala versi tiga bateri pula seberat 156 kg.

Di China, Wuyang Honda E-VO dijual pada harga bermula dari CNY 29,999 hingga CNY 36,999 (RM17,683-RM21,809).

Ujian rintis sistem ‘point-to-point’ AWAS masih belum bermula – MOT

Pejabat Menteri Pengangkutan mengumumkan pelaksanaan ujian rintis sistem pemantauan had laju berasaskan kaedah ‘point-to-point‘ masih belum dimulakan, lapor Berita Harian.

Buat masa ini, tiada ada maklumat berkenaan tarikh sistem baharu itu dijadualkan bermula, dan sebarang perkembangan akan diumumkan kelak.

Dalam laporan terdahulu, sistem berasaskan kepintaran buatan (AI) itu akan diuji di dua lokasi lebuh raya utama, iaitu dari Terowong Genting Sempah-Hentian Rehat Gombak (KLK), serta Plaza Tol Senawang-Plaza Tol Simpang Ampat (PLUS).

Terdapat juga perancangan untuk memasang sistem tersebut di lokasi yang sering berlaku kemalangan, seperti contoh di lokasi Terowong Menora-Hentian Rehat Sungai Perak (PLUS).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini menyatakan pelaksanaan sistem berkenaan dijangka bermula Jun ini.

Sistem terbaharu itu dirangka untuk menggantikan kaedah kamera statik sedia ada yang disifatkan tidak lagi berkesan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.

Sekiranya pemandu dikesan tiba lebih awal daripada masa sepatutnya, saman akan dikeluarkan secara automatik menerusi sistem pengesanan nombor pendaftaran kenderaan.

Sistem itu juga mampu mengesan sekiranya pemandu berhenti sebagai helah untuk mengelak daripada dikesan.

 

Proton lantik Ainol Azmil sebagai pemangku timbalan CEO ganti Roslan Abdullah

Proton mengumumkan pelantikan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sekaligus mengambil alih peranan Roslan Abdullah.

Ainol Azmil akan melapor kepada Dr. Li Chunrong (Ketua Pegawai Eksekutif Proton) dan dalam masa yang sama akan terus menjalankan portfolio sedia ada di dalam Strategi Korporat dan Perolehan Teknikal Kumpulan.

Menurut Dr. Li Chunrong, “Proton mengalu-alukan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan yakin akan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini.

“Pada masa yang sama, Proton ingin menyampaikan penghargaan tertinggi kepada Roslan Abdullah atas sumbangannya kepada syarikat dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha-usahanya yang akan datang.

Roslan Abdullah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif selama lima tahun, di mana beliau membantu mengukuhkan kedudukan Proton di Malaysia, selain memasuki pasaran EV menerusi model Proton e.MAS 7.

SPRM sita aset RM32 juta milik Tan Sri disyaki seleweng dana lebuh raya

Laman Bernama semalam (29 Mei) melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, antara barangan yang disita ialah tas tangan, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara.

Beliau memaklumkan hasil penggeledahan itu, SPRM menyita 217 utas jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta, 27 tas tangan (lebih RM1 juta) dan barang kemas (lebih RM4 juta).

“Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta,” katanya.

SPRM turut menemukan sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di satu lagi kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Sumber itu memaklumkan SPRM juga menyita sebuah lagi unit kediaman mewah di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dipercayai milik individu berkenaan.

Beliau berkata kesemua barangan dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Motul Asia lancar minyak pelincir sintetik 7000 4T untuk motosikal

Motul Asia Pasific baru-baru ini mengumumkan penawaran produk minyak pelincir sintetik berprestasi tinggi 7000 4T untuk pasaran Malaysia.

Minyak pelincir motosikal 7000 4T merupakan evolusi daripada rangkaian produk H-Tech 100 yang boleh disesuaikan dengan teknologi dan piawaian pelincir terkini.

Dengan formulasi minyak sintetik 100 peratus dengan ciri molekul seragam, minyak pelincir Motul 7000 4T dapat mengurangkan geseran, meningkatkan kecekapan dan merendahkan kadar penggunaan bahan api.

Selain itu, Motul 7000 4T menjanjikan tindak balas enjin yang lebih lancar, perlindungan yang lebih baik serta kebolehpercayaan untuk tunggangan harian dalam apa jua keadaan.

Produk Motul 7000 4T ini sesuai untuk kebanyakan model motosikal empat lejang yang ada di Malaysia, malah ia melepasi piawaian industri keserasian klac basah mengikut JASO MA2 dan API SP.

Ia boleh didapati dalam empat gred kelikatan iaitu 5W40, 10W30, 10W40 dan 10W50, serta tersedia dalam pek botol 1L dan 1.2L.

Setiap botol 7000 4T diperbuat daripada 50 peratus plastik kitar semula dan 100 peratus boleh dikitar semula, mencerminkan komitmen Motul terhadap kemampanan dan mengurangkan impak kepada alam sekitar.

BMW R 1300 GS Adventure 2025 – harga jualan rasmi dari RM148,500

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan harga jualan rasmi bagi jentera BMW R 1300 GS Adventure 2025 yang boleh didapati di semua pengedar sah di seluruh negara, bermula dari RM148,500.

Motosikal adventure tersebut diperlihatkan buat kali pertama di acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung tempoh hari.

Dari segi kuasa, R 1300 GS Adventure ini dijana dengan enjin boxer dua silinder 1,300 cc menghasilkan 145 hp dan 149 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi melebihi 200 km/j.

BMW R 1300 GS Adventure ini menampilkan penggayaan serba baharu termasuklah struktur casis yang direka semula yang dibantu sistem suspensi Dynamic Suspension Adjustment (DSA).

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Eco dan Enduro, serta pilihan Riding Modes Pro untuk prestasi yang lebih diperibadikan.

Selain itu, R 1300 GS Adventure ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Dynamic Traction Control (DTC), Hill Start Control (HSC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, kawalan jelajah (DCC), Engine Drag Torque Control (MSR), serta Dynamic Brake Control (DBC).

Terdapat pilihan untuk menambah fungsi Shift Assist Pro untuk varian standard, serta Automated Shift Assistant untuk tiga varian yang lain (Style GS Trophy, Triple Black dan Option 719).

Secara standard, BMW R 1300 GS Adventure ini dilengkapi dengan pakej Touring yang menambah kelengkapan seperti manifold krom, peranti navigasi, serta cagak untuk kotak simpanan aluminium.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT 6.5 inci, slot pengecasan USB, tangki bahan api sebesar 30 liter, kotak storan atas 37 liter, kotak sisi aluminium berkapasiti 73 liter, serta sistem lampu LED.

Harga jualan adalah seperti berikut:
BMW R 1300 GS Adventure Standard – RM148,500
BMW R 1300 GS Adventure Triple Black – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure GS Trophy – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure Option 719 Karakorum – RM164,500

NAZA Auto buka pusat pameran mercu Suzuki Cars di Petaling Jaya

NAZA Automotive Group menerusi syarikat subsidiarinya Naza Eastern Motors secara rasmi membuka pusat pameran Suzuki Cars Malaysia bertaraf mercu yang pertama di Petaling Jaya, bersebelahan dengan NAZA Auto Mall.

Pusat pameran berkeluasan 5,000 kaki persegi itu berfungsi lebih daripada sekadar outlet jualan, ia kini menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada rekaan dan identiti korporat Suzuki yang terkini, pusat pameran Suzuki itu turut menyediakan kaunter servis dalam fasiliti, ruang gaya hidup, sudut kanak-kanak, serta ruang perbincangan peribadi.

Ia juga akan menjadi ruang pameran eksklusif untuk barisan model-model Suzuki yang bakal dipasarkan di Malaysia.

Menurut Pengerusi Naza Automotive Group, Dato’ Jasmy Ismail berkata, pembukaan rasmi pusat pameran ini menggambarkan visi NAZA Auto untuk memperkukuhkan perniagaan selain memperdalam penglibatannya dengan pelanggan di Malaysia.

“Ia mencerminkan penjajaran strategik kami untuk menumpukan perhatian terhadap segmen utama berimpak tinggi seperti Suzuki, yang kini kekal sebagai salah satu jenama dinamik yang paling dipercayai di dalam ruang mobiliti urban dan kompak.

“Fasiliti ini bukan sekadar mempamerkan kereta, ia adalah ruang untuk mencipta perjalanan pelanggan yang lebih bermakna dengan menawarkan nilai melangkaui produk dan memastikan Suzuki terus berkembang sebagai jenama pilihan di dalam industri automotif Malaysia yang sangat kompetitif.

Sejajar dengan pembukaan rasmi bilik pameran Suzuki Petaling Jaya, pelanggan boleh menantikan promosi pertengahan tahun eksklusif serta program kesetiaan yang direka untuk pelanggan baharu serta pemilik Suzuki sedia ada.

Alami pengalaman mengujakan MINI JCW Track Day 2025 hujung minggu ini

Berita baik! MINI Malaysia menyediakan peluang untuk anda merasai sendiri pengalaman pemanduan ala go-kart hujung minggu ini.

Bertempat di Gamuda Cove, acara MINI John Cooper Works (JCW) Track Day 2025 direka untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang dinamik dan menyeluruh.

Terdapat dua zon prestasi khas disediakan, dimulakan dengan zon pemanduan MINI JCW sepanjang 3.4 km yang memberikan peluang kepada para peserta untuk menguji keupayaan termasuklah pecutan berkelajuan tinggi dan pengendalian di selekoh.

Zon Litar MINI JCW pula diinspirasikan daripada litar lagenda Kartdromo Parma di Itali, sebuah litar bersejarah yang pernah menjadi medan latihan pemandu lagenda Formula Satu selain turut menjadi lokasi kejohanan dunia.

Para peserta terutama MINIacs akan diberikan peluang untuk merasai barisan hot hatch berprestasi tinggi seperti MINI JCW dan MINI JCW EV, serta barisan crossover JCW Aceman dan JCW Countryman ALL4 EV.

Selain daripada itu, MINI Malaysia turut emenyediakan barisan model penuh terkini untuk dipandu uji seperti:
• MINI Cooper
• MINI Cooper EV
• MINI Cooper 5-pintu
• MINI Convertible
• MINI Aceman
• MINI Countryman
• MINI Countryman EV

Untuk makluman, promosi eksklusif MINI Malaysia masih berlangsung sehingga 30 Jun 2025 di mana setiap pembelian akan diberikan pakej servis percuma 10 tahun untuk model terpilih, serta subsidi insurans komprehensif.

Menurut Benjamin Nagel selaku Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Acara MINI JCW Track Day merupakan satu pengalaman yang luar biasa yang membolehkan kami membawa keterujaan MINI ke tahap maksima buat para MINIacs dan peminat pemanduan.

“Memandu model JCW mengingatkan kita kepada ciri yang menjadikan pengalaman pemanduan MINI begitu unik, iaitu tahap responsifnya, ketepatan dalam setiap selekoh, serta keserasian erat antara pemandu dan kenderaan.

“Kami berharap agar para perserta dan MINIacs melihat acara ini sebagai cerminan jelas arah tuju kami yang mana semangat, ketepatan, dan inovasi akan terus membentuk masa hadapan MINI dan pengalaman JCW.

Malaysia kekal sasaran 10,000 pengecas EV menjelang akhir 2025

Buat masa ini, Malaysia masih lagi mengekalkan sasaran untuk mewujudkan sehingga 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan inovasi EV, sambil memperkukuh keseluruhan rantaian nilai EV.

“Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur pengecasan di seluruh negara untuk merangsang jualan EV serta menarik pelabur berpotensi ke dalam segmen yang sedang berkembang pesat ini.

gambar hiasan

 

“Sasaran kita adalah untuk memiliki kira-kira 10,000 stesen pengecas di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Thailand pada Khamis.

Beliau juga percaya Malaysia mempunyai potensi besar di dalam segmen EV, selain mampu menarik minat banyak pihak untuk terus melabur di dalam sektor tersebut.

Dalam masa yang sama, Fadillah mengakui cabaran permintaan tinggi terhadap pengecas arus terus (DC) berbanding pengecas jenis arus ulang alik (AC).

“Kami bekerjasama rapat dengan Petronas dan pihak industri lain untuk menangani isu ini. Kementerian kami memastikan kesalinghubungan pengecasan mencukupi, termasuk di lebuh raya, kawasan luar bandar dan seluruh Malaysia,” katanya.

 

Proton tawar khidmat pasang tayar Continental di pusat 3S/4S terpilih, harga serendah RM211

Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Continental Malaysia untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan di seluruh negara.

Menerusi kerjasama terbaharu, Proton akan memperkenalkan perkhidmatan tayar bersepadu di beberapa pusat servis terpilih di seluruh negara, di mana pelanggan boleh mendapatkan tayar Continental pada harga yang lebih kompetitif.

Menjelang akhir tahun ini, Proton menyasarkan sekurang-kurangnya 60 cawangan akan menyediakan perkhidmatan ini bagi memudahkan pelanggan mendapatkan pakej penyelenggaraan lengkap di bawah satu bumbung.

Selain daripada pakej harga kompetitif (bermula serendah RM211), terdapat juga pakej perlindungan Total Confidence Plan (TCP) yang disediakan oleh Continental Malaysia.

Ia merangkumi jaminan kerosakan jalan raya selama setahun, serta penggantian tayar satu dengan satu secara percuma bagi kes-kes yang tidak diduga.

Perkhidmatan pembiayaan secara ansuran juga turut disediakan.

Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “pengenalan perkhidmatan penukaran tayar merupakan langkah seterusnya dalam usaha kami mentransformasikan pusat 3S/4S menjadi penyelesaian sehenti yang lengkap.

“Ini mencerminkan usaha kami untuk memperkukuh imej Proton sebagai jenama automotif pilihan utama rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.

Proton kini mempunyai lebih 173 pusat servis dan 73 pusat badan & cat di seluruh negara.

 

CFMoto 800MT-X 2025 rasmi di Malaysia, dari RM48,888

CFMoto Malaysia melancarkan model adventure touring berkuasa tinggi 800MT-X untuk pasaran tempatan.

Dijual pada harga bermula dari RM48,888, CFMoto 800MT-X boleh didapati dalam pilihan warna Zephyr Blue dan juga Nebula Black.

CFMoto 800MT-X dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 799 cc dengan janaan kuasa 93.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 87 Nm @ 6,750 rpm, dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi klac jenis ‘sliding’ serta sistem pacuan rantai.

Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras.

Sistem brek J.Juan terdiri daripada rotor berkembar di depan, diikuti rotor tunggal di belakang yang dibantu dengan fungsi ABS dua saluran yang boleh dimatikan (roda belakang sahaja).

Selain itu, 800MT-X ini turut didatangkan dengan fungsi kawalan cengkaman, penukaran gear pantas (quickshifter), mod tunggangan (Standard, Rain, off-road), serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT bersaiz tujuh inci, lengkap dengan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Untuk kemudahan perjalanan, CFMoto 800MT-X ini turut didatangkan dengan pelindung bar hendal, penghadang angin boleh laras (manual), kotak atas 45 liter, serta dua kotak sisi bersaiz 35 liter.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 22.5 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 830 mm.

Omoda | Jaecoo Malaysia buka gudang simpanan alat ganti di Shah Alam

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan gudang simpanan alat ganti baharu bagi menyokong pertumbuhan jumlah pelanggan dan jaringan pengedarnya di Malaysia.

Gudang simpanan yang terletak di Hicom Industrial Estate Shah Alam itu dimiliki dan dikendalikan oleh Chery Corporate Malaysia.

Fasiliti berkeluasan sehingga 88,000 kaki persegi itu kini memuatkan sehingga 10,000 komponen dan alat ganti untuk semua model Omoda | Jaecoo di Malaysia.

Difahamkan, stok alat ganti bagi model jenama iCAUR juga turut disimpan di gudang tersebut sebagai persediaan awal menjelang pelancaran model sulung iCAUR 03 yang dijangka berlangsung pada suku ketiga 2025 (Q3 2025).

Emily Lek selaku naib presiden Omoda | Jaecoo Malaysia berkata, “Sedang kami menakrikan semula kemewahan yang mudah dicapai, pengalaman pelanggan kekal sebagai fokus utama misi Omoda | Jaecoo Malaysia.

“Adalah penting bagi jaringan pengedar kami dapat menyokong keperluan selepas jualan secara dinamik bagi pengkalan pelanggan kami yang semakin meningkat.

“Gudang baharu ini akan membantu pertumbuhan jenama Omoda | Jaecoo di pasaran Malaysia, selain menyokong perniagaan eksport yang semakin berkembang di rantau ASEAN,” jelasnya lagi.

Omoda | Jaecoo Malaysia kini mempunyai 45 buah pengedar di seluruh negara yang merangkumi aspek jualan dan sokongan selepas jualan.

Sementara itu, iCAUR mengumumkan 11 rakan pengedar baharu dengan perancangan untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar di seluruh Malaysia.

Tesla Malaysia mula edar Model Y 2025 facelift

Tidak lama lagi, kita dapat melihat kelibat Tesla Model Y 2025 facelift di atas jalan raya.

Ini kerana Tesla Malaysia telah memulakan proses pengedaran bagi model SUV elektrik Tesla Model Y 2025 facelift ‘Juniper’ di tiga lokasi, iaitu Tesla Delivery Centre Cyberjaya, Tesla Service Centre Penang dan Tesla Service Centre Johor.

Dilancarkan secara rasmi pada Februari lepas, Tesla Model Y 2025 tersedia dalam dua varian utama iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range AWD berharga RM242,450.

Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.

Pemilik Tesla boleh menikmati pengecasan percuma di 15 buah stesen pengecas destinasi (70 nozel) selain kadar serendah RM1.19/kWh di 14 buah stesen Supercharger (64 nozel).

Tesla Malaysia turut mengumumkan enam buah stesen Supercharger yang akan didirikan tidak lama lagi pada tahun ini termasuklah di:
• Pavillion Damansara Heights
• Bangsar South
• IPC Shopping Centre
• i-City Finance Avenue
• The Mall, Mid Valley Southkey
• Toppen Shopping Centre

Tesla Malaysia menggalakkan pemilik baharu dan sedia ada untuk mengambil bahagian dalam program Refer & Earn yang menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 setahun.

Selain itu, pelanggan Tesla juga dapat menikmati sokongan pengecasan rumah percuma dan skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah untuk memiliki Tesla, dengan jumlah insentif sehingga RM28,000.

Proton edar 2,716 e.MAS 7 dalam tempoh empat bulan pertama 2025

Dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2025, Pro-Net telah berjaya mengedarkan sebanyak 2,716 unit EV Proton e.MAS 7 untuk pelanggan di Malaysia dan pasaran eksport.

Ini bermakna, secara purata sebuah Proton e.MAS 7 terjual pada setiap jam!

Malah sepanjang bulan April 2025, Proton mencatatkan jualan sebanyak 863 unit e.MAS 7 bagi pasaran tempatan dan eksport, sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju di dalam segmen EV.

Penguasaan pasaran pula adalah sebanyak 26 peratus untuk empat bulan berturut-turut.

Untuk memudahkan urusan pemilik, Pro-Net terus memperluaskan jaringan pengecasan di mana Peta Pengecasan Langsung Bersepadu kini mencatatkan lebih 2,500 titik pengecasan yang boleh diakses menerusi sistem navigasi kereta atau aplikasi Proton e.MAS.

Pemilik e.MAS 7 yang tinggal di kondominium dan pangsapuri juga tidak perlu risau kerana lebih 1,000 titik pengecasan sudah tersedia di 397 lokasi kediaman.

Selain daripada itu, pemilik e.MAS 7 boleh menghantar kenderaan mereka untuk servis penyelenggaraan berkala di 24 buah pusat 3S, dibantu dengan 10 pusat Badan dan Cat.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net berkata, “Seiring dengan pertumbuhan EV yang semakin pesat, kami juga giat memperbaiki perkhimatan agar setiap pemilik e.MAS 7 dapat menikmati pengalaman memiliki kenderaan yang lebih lancar, menyeronokkan dan mesra alam.

Secara standard, Proton e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 218 PS/320 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu 49.52 kWh untuk jarak gerak sejauh 345 km, atau 60.22 kWh untuk jarak gerak mencecah 410 km.

Untuk pasaran Malaysia, Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari RM105,800 bagi varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium.

UMWT, Toyota Gazoo Racing Malaysia diumum sebagai penaja utama Super GT Malaysia 2025

UMW Toyota Motor dan Toyota Gazoo Racing Malaysia bakal menjadi penaja utama bagi acara Festival Super GT Malaysia 2025 tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Haro Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan pempromosi bagi Autobacs Super GT pusingan Malaysia, baru-baru ini.

Selain daripada perlumbaan utama melibatkan kelas GT300 dan GT500, Litar Sepang bakal digegarkan dengan acara perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup serta pusingan kedua Vios Challenge 2025 musim kelapan.

Festival Super GT Malaysia 2025 turut mengalu-alukan Bridgestone sebagai Jenama Pembekal Tayar Rasmi bagi pusingan pembukaan GR86 Cup Malaysia Series.

Bukan itu sahaja, pengunjung Festival Super GT Malaysia juga berpeluang untuk menyertai acara kebudayaan dan makanan Jepun, iaitu Nihon Matsuri, serta menyaksikan konsert pasca perlumbaan GT Live! yang membariskan pelbagai artis ternama.

Antaranya ialah trio Tenxi, Naykilla & Jemsii (TNJ), KLP48, Fareed K-Clique, Sabhi Saddi, dan Kaka Azraff.

Menurut Rakan Pengurusan Haro Sports & Enterntainment, Fahrizal Hasan berkata, “Festival Super GT Malaysia bukanlah sekadar perlumbaan. Ia sebuah acara untuk menghiburkan semua orang, baik dari pameran automotif sehinggalah kepada pameran kebudayaan Jepun, perhimpunan kereta JDM hinggalah kepada konsert GT Live!”

Tiket masuk sudah boleh dibeli menerusi laman web www.supergtmalaysia.com, perinciannya seperti berikut:
K1 Grandstand – RM100 (promosi awal RM80)
Main Grandstand – RM250 (promosi awal RM200)
GT Suite – RM350
GT Live! Rock Zone – RM500
GT Club Paddock – RM2,000

MG S5 EV 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia – tiga varian, dari RM115,900

MG Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model EV terbaharu mereka, iaitu MG S5 EV 2025.

Ia merupakan SUV elektrik dalam segmen C yang bakal memberikan saingan secara terus kepada Proton e.MAS 7 serta BYD Atto 3.

Dari segi dimensi, MG S5 EV berukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 453 liter dan boleh mencapai kapasiti maksimum 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Untuk pasaran tempatan, SUV elektrik ini tersedia dalam tiga varian, iaitu Com, Com Long Range dan juga Lux Long Range.

Varian Com boleh didapati dengan pilihan pek bateri lithium iron phospate (LFP) berkapasiti 49 kWh dengan jarak gerak 340 km, sementara varian Com Long Range pula dilengkapi bateri 62 kWh dengan jarak gerak cecah 430 km.

Sementara varian Lux Long Range pula hanya eksklusif dengan pek bateri 62 kWh.

Namun, kesemua varian secara standard dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 170 PS dan 250 Nm.

Selain itu, MG S5 EV juga menyokong pengecasan AC 7 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux pula diberikan kelebihan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Ini membolehkan MG S5 EV Lux dicas dalam tempoh 26 minit dari 10-80 peratus SoC.

Secara standard, MG S5 EV dilengkapi dengan unit lampu LED berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED, baru lampu LED melintang di belakang, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin kluster digital 10.25 inci serta skrin tengah sebesar 12.8 inci.

Varian Lux pula mendapat kelengkapan tambahan termasuklah rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, upholsteri tempat duduk kulit-fabrik, tempat duduk pemandu boleh laras, pemanas roda stereng, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, pintu tailgate berkuasa, sistem audio dengan enam pembesar suara dan kamera keliling.

Terdapat lima warna tersedia iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.

Harga jualan bermula dari RM115,900 untuk varian Com, RM125,900 untuk varian Com Long Range, sementara varian Lux pula berharga RM135,900.

Untuk 500 orang pelanggan pertama akan menerima manfaat berupa penjimatan sehingga RM6,000 serta pakej pengecas dinding 7kW secara percuma. Ini bermakna, harga jualan MG S5 EV kini bermula serendah RM109,900.

MG S5 EV 2025 (Varian Com)

Eurorepar masuk Malaysia sebagai pembekal alat ganti aftermarket pelbagai jenama

Stellantis baru-baru ini mengumumkan kehadiran jenama pembekal alat ganti aftermarket yang dinaunginya, iaitu Europar untuk pasaran Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2002, Europar menawarkan lebih 17,000 produk automotif termasuklah alat ganti, aksesori, tayar, minyak enjin dan barangan pakai buang pada harga yang lebih kompetitif.

Selain itu, terdapat juga perkhidmatan Eurorepar Car Service yang akan diposisikan sebagai jaringan pusat servis pelbagai jenama untuk kenderaan di bawah jenama Stellantis serta jenama-jenama lain.

Dengan mempunyai jaringan sebanyak 6,500 pusat servis di lebih 30 buah negara, Eurorepar berhasrat untuk menawarkan pendekatan berpaksikan nilai dan kualiti untuk pasaran Malaysia.

Ini membolehkan pusat servis bebas untuk menonjolkan perkhidmatan bertaraf profesional dalam masa yang sama menawarkan kos lebih munasabah dan disokong oleh alat ganti tulen OEM.

Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN berkata, “Pengenalan Eurorepar dan jaringan Eurorepar Car Service di Malaysia mewakili satu perkembangan penting dalam meluaskan jejak global selepas jualan Stellantis, selain menyediakan penyelesaian sehenti yang menyeluruh untuk alat ganti berkualiti serta khidmat profesional.

Jelasnya lagi, Hab Alat Ganti Serantau yang terletak di Zon Bebas Pelabuhan Klang akan menjadi tulang belakang bagi Eurorepar untuk memastikan bekalan stok mencukupi serta penghantaran tepat pada masanya untuk rakan kongsi, pengedar dan juga pelanggan.

“Dengan lebih 60 keluarga produk dalam portfolio syarikat, Eurorepar akan menawarkan pelbagai jenis alat ganti yang mampu milik kepada semua pelanggan di Malaysia.

“Ramai pelanggan mencari keseimbangan antara perkhidmatan profesional pada harga mampu milik.

“Kami yakin dengan penawaran servis dan alat ganti OEM bertaraf profesional pada kadar yang menjimatkan kos, ia dapat menembusi permintaan unik yang cuba disediakan oleh Eurorepar.

Eurorepar juga dijangka akan mengumumkan kerjasama dengan rakan pengedar pada tahun ini berikutan sambutan tempatan yang menggalakkan.

Setiap alat ganti Eurorepar akan dilindungi jaminan standard selama dua tahun bagi memastikan tahap kecekapan operasi selain menawarkan ketenangan minda kepada ejen servis dan pelanggan.