GOODYEAR Malaysia telah melancarkan kedai rasmi dalam talian di platform Lazada dan Shopee. Pelbagai jenis rekaan dan dan saiz produk boleh dipilih bermula dari Goodyear Assurance hinggalah ke Goodyear Eagle.
“Kami sedar trend pembelian dalam talian semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia sejak pandemik bermula,” kata Alex Ng, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.
“Dengan adanya kedai dalam talian ini, kami mampu untuk menawarkan produk serta pengalaman pembelian yang berkualiti kepada pelanggan kami.
“Selain itu, semua tayar yang dibeli secara dalam talian datang dengan jaminan terhad selama lima tahun dan juga perlindungan Worry Free Assurance (WFA) bagi sesetengah produk,” tambahnya lagi.
Bermula 14 Februari hingga 15 Mac 2022, Goodyear Malaysia menawarkan baucar bernilai RM8 bagi setiap pelanggan yang mengikuti Goodyear Shopee Mall serta hadiah eksklusif bagi pembelian dua unit tayar dan kotak peralatan bagi pembelian empat unit tayar.Manakala di Lazada, pelanggan berpeluang untuk mendapatkan set hadiah bernilai RM150 bagi pembelian empat unit tayar, selain payung Goodyear bagi pembelian dua unit tayar.
KALI ini kita akan bercerita sedikit sebanyak mengenai tren yang bakal memasuki ‘revenue service’ pada bulan ini iaitu Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kelas 61 atau lebih dikenali sebagai Diesel Multiple Unit (DMU).
Kalau dilihat dari segi luaran, DMU ini hampir menyerupai tren Electic Multiple Unit (EMU) milik KTM yang lain cuma bezanya adalah kuasa DMU dijana menggunakan enjin diesel.
Disebabkan itu, tren DMU ini tidak mempunyai pantograph serta tidak memerlukan landasan yang lengkap dengan kemudahan elektrifikasi atau Overhead Catenary Line (OCL).
DMU Kelas 61 ini dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive (CRRC) pada tahun 2018 hingga 2020 sebanyak 13 unit. Dua set tren pertama dihasilkan di kilang CRRC di Zhuzhou, China manakala baki 11 lagi unit dihasilkan di kilang Batu Gajah, Perak.
DMU ini mempunyai kelajuan maksima 140km/j dan mampu membawa 200 hingga 220 penumpang pada satu-satu masa.
Dengan empat koc atau lebih dikenali sebagai gerabak, DMU ini mempunyai surau, kafe mini dan soket 3-pin di kesemua tempat duduk penumpang.
CRRC memberikan sentuhan teknologi terkini dengan pengenalan sistem signal Wireless Train Tracker menggantikan sistem Automatic Train Protection (ATP) yang sekian lama digunapakai oleh pihak KTM.
Selain itu, ia dilengkapi dengan superkapasitor berasaskan graphene bagi menyimpan kuasa membrek serta pecutan.
Sempena laluan Gemas-Kuala Lipis yang akan mula beroperasi pada minggu hadapan, pihak KTM menawarkan tiket percuma bermula 21 hingga 23 Februari kepada pengguna untuk merasai pengalaman menaiki tren DMU ini.
Dengan menggunakan kod promo ‘JOYRIDEDMU’, orang awam boleh mendapatkan tiket percuma ini secara manual di kaunter KTM sahaja.
PARA peminat Porsche pasti tahu varian T selama ini hanya dikhaskan untuk model 718 dan 911. Kini Porsche Macan pula diperkenalkan dengan varian ini.
Varian T atau Touring menawarkan elemen sporti dan mengujakan tanpa perlu nampak terlalu ekstrem, begitulah juganya dengan Porsche Macan T baharu ini. Ia diletakkan antara model asas Macan dan model lebih berkuasa Macan S.
Jadi, apa yang baharu pada Porsche Macan T?
Sport Chrono Package
Porsche Active Suspension Management (PASM), talaan khas 15mm lebih rendah
Porsche Torque Vectoring dengan talaan khas
Kemasan kelabu pada cermin sisi, spoiler, keliling gril, pemijak tepi
Kemasan hitam pada keliling cermin dan ekzos
Tulisan ‘Macan T’ pada ambang pintu
Casis talaan khas dengan anti-roll bar depan lebih keras
Porsche Macan T dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder yang menghasilkan 261hp 400Nm tork, dan menggunakan kotak gear PDK 7-kelajuan serta pacuan semua roda.
Prestasi 0-96km/j adalah 5.8 saat (0.2 saat lebih pantas dari Macan biasa) tetapi kelajuan maksima adalah sama, iaitu 232km/j. Suspensi adaptif boleh dipilih pelanggan sebagai pilihan tambahan.
Rim 20-inci diambil dari Macan S, tetapi unik untuk Macan T ialah tempat duduk sports dengan ciri pemanas dan pelarasan berkuasa 8-arah. Di tengah-tengah setiap tempat duduk terdapat kemasan Sport-Tex Stripe khas serta perehat kepala dengan tulisan ‘Porsche’.
Ciri lain adalah jahitan berwarna perak pada tempat duduk, perehat kepala, dan stereng, tetapi roda stereng sports GT dengan balutan Race-Tex adalah pilihan tambahan untuk tampak lebih sporti.
SUV ini juga dilengkapi dengan sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 10.9-inci dan sistem navigasi secara standard.
Porsche Macan T kini boleh dibuat pra-tempahan, jika anda berminat bolehlah menghubungi mana-mana Porsche Centre seluruh negara.
HONDA Malaysia bakal melancarkan solusi pra-milik (pre-owned) mereka sendiri tidak lama lagi. Dipanggil Honda Certified Used Car, perniagaan terbaharu ini merupakan inisiatif syarikat itu bagi memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk memiliki kereta Honda.
Menurut Sunita Prabhakaran, ketua divisyen jualan Honda Malaysia, “Kami merasakan ia masa sesuai untuk memperkenalkan inisiatif ini.
“Dengan Certified Used Car, diharapkan lebih ramai pelanggan dapat menikmati ‘The Joy of Driving’ Honda.
“Walaubagaimanapun, kami belum dapat mendedahkan perincian program ini dan akan buat pengumuman tidak lama lagi,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Kenderaan-kenderaan di bawah program sebegini akan melalui pemeriksaan menyeluruh dan bebas kemalangan besar serta akan diberikan jaminan tertentu oleh pengeluar.
Apa pendapat anda mengenai program sebegini? Patutkah lebih banyak pengeluar tawarkan kenderaan terpakai dengan jaminan?
AirAsia bakal menawarkan perkhidmatan e-hailing udara terbaharu mereka iaitu AirAsia Ride. Perkhidmatan ini bakal menggunakan pesawat elektrik vertical take-off and landing (eVTOL).
Hanya 11 minit sahaja masa yang diperlukan untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari KL Sentral menerusi perkhidmatan tersebut dan ianya bakal beroperasi menjelang tahun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan perkara tersebut melalui perkongsian beliau di Instagram.
Terdahulu, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) menandatangani kerjasama dengan syarikat penyediaan pesawat Avolon untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 unit pesawat kecil jenis VX4 eVTOL.
Pesawat ini mampu membawa empat orang penumpang dengan seorang juruterbang pada satu-satu masa dan mempunyai jarak penerbangan sejauh 161km.
Pada ketika ini, tren Express Rail Link (ERL) KLIA Express merupakan penyedia perkhidmatan terpantas menghubungkan KLIA ke KL Sentral dengan masa perjalanan selama 28 minit.
TOYOTA agak aktif awal tahun ini, baru sahaja melancarkan Corolla Cross Hybrid bulan lepas, kini mereka merasmikan pula kehadiran Camry facelift. Sedan segmen-D ini kini menerima pembaharuan luar dan dalam.
Sebenarnya di bahagian luar tidak banyak yang berubah, ia mendapat gril depan yang direka semula, rim 18-inci baharu, dan lampu LED belakang yang diubah sedikit.
Perubahan terbesar adalah pada enjin dan kotak gearnya. Toyota Camry facelift 2022 ini dikuasakan oleh enjin 2.5-liter Dynamic Force baharu yang masih naturally-aspirated, tetapi kini merupakan suntikan terus bahan api.
Ia juga mempunyai kecekapan haba sebanyak 40 peratus serta menampilkan kepala silinder yang direka semula. Output kini adalah 209hp pada 6,600rpm dan 253Nm pada 5,000rpm (25hp dan 18Nm lebih dari sebelum ini).
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear yang juga baharu, iaitu automatik Direct Shift 8-kelajuan. Walaupun mempunyai lebih nisbah gear, ianya mempunyai saiz lebih kompak berbanding unit 6-kelajuan sebelumnya.
Masuk ke dalam pula, anda akan lihat bahawa unit infotainmen kini diletakkan di atas corong pendingin hawa, dan paling penting, kini menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dan di belakang, terdapat satu ciri yang pasti memberi kelebihan buat Camry berbanding pesaing-pesaingnya. Ciri ini ialah panel kawalan elektronik di perehat tangan belakang yang mampu mengawal fungsi-fungsi seperti penyandar, sistem pendingin hawa, tirai cermin belakang, serta sistem audio.
Ciri lain pada Camry facelift termasuklah keyless entry, lampu automatik, tempat duduk depan dengan pelarasan berkuasa, pengecaj tanpa-wayar, kamera 360-darjah, sistem audio JBL, dan sistem telematik.
Bahagian keselamatan Camry juga dipertingkat, kini menampilkan Toyota Safety Sense 2.5. Beberapa ciri seperti Autonomous Emergency Braking kini mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam keadaan siang dan malam.
Adaptive Cruise Control pula kini mampu memperlahankan kenderaan untuk mengambil selekoh dan memecut secara automatik untuk memotong apabila signal dihidupkan.
Berapakah harga untuk Camry facelift 2022 ini? Ia ditawarkan pada harga RM199,110 atas jalan tanpa insurans, kira-kira RM10,000 lebih dari model sebelum ini. Adakah peningkatan harga ini berbaloi dengan penambahan spesifikasinya?
BARU-baru ini sebanyak 113 stesen minyak Petron dari lapan buah negeri – iaitu Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menerima penarafan lima bintang daripada majis tempatan negeri.
“Penilaian ini mengiktiraf komitmen kami terhadap kecermerlangan perkhidmatan pelanggan,” kata Choong Kum Choy, Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron.
“Keperluan dan jangkaan pelanggan adalah penting bagi kami dan kami mahu mereka mendapat pengalaman positif setiap kali mereka berada di stesen minyak Petron.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan stesen kami hentian pit pilihan ramai,” tambahnya.
Petron Malaysia memulakan kempen tandas bersih di bawah program Fuel Happy untuk memastikan semua stesen minyaknya bersih, kering dan beroperasi.
Pada 2018, Petron telah melancarkan program ‘Tandas kita Bersih’ dengan slogan ‘Jom Singgah Petron’.
Program ini dibangunkan melalui rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beberapa buah stesen minyak termasuk Petron Batu Buruk di Terengganu, Petron Tongkang Pecah di Johor dan Petron Senawang 2 di Negeri Sembilan telah memenangi tempat pertama dalam Anugerah Tandas Terbaik Kebangsaan di bawah kategori stesen minyak.
Choong juga berkata, “Kami memuji usaha pengusaha kamu untuk meningkatkan cabaran bagi mencapai dan mengekalkan standard perkhidmatan tertinggi buat pelanggan kami.
“Mempunyai tandas yang bersih membuktikan bahawa kami mengambil berat tentang setiap aspek pengalaman pelanggan kami di stesen minyak.”
Darul Aman Raret’ro (DARE) telah diadakan di perkarangan Zaques Hotel, Sungai Petani pada 4 hingga 6 Februari lepas. Acara yang menghimpunkan jentera-jentera klasik itu merupakan yang terbesar pernah diadakan dan merupakan tahun kelima penganjuran.
Pelbagai aktiviti telah diadadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung seperti autoshow dan persembahan audio dari 40 buah kereta diwakili kumpulan audio Kedah.
Selain itu, setiap peserta dan pengunjung yang hadir layak untuk mendapatkan satu tiket cabutan bertuah dengan setiap pembelian kemeja-T rasmi.
Sesi cabutan bertuah diadakan dua hari berturut-turut, menawarkan dua hadiah utama iaitu sebuah motosikal Honda C70 sumbangan Surico Malaysia dan telah direstore sepenuhnya serta satu set rim sport 14-bintang sumbangan Atara Racing.
Secara purata, lebih 500 buah kenderaan retro memenuhi ruang acara setiap hari, terdiri dari kereta dan motosikal old school.
Hari terakhir menyaksikan himpunan Saga Big Day Out dengan lebih 200 buah Proton Saga dengan pelbagai gaya modifikasi dan restorasi. Dari modifkasi ala perlumbaan, tayar kangkang, hingga standard ‘abah-abah’, semuanya ada.
Dianggarkan hampir 7,000 pengunjung hadir ke acara tiga hari itu, rata-ratanya adalah penduduk kawasan setempat.
Aktiviti tidak terhad kepada kereta dan motosikal sahaja, sebaliknya terdapat juga jualan pasar karat, bundle, Hooligan Camp, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, demo dan klinik BMX, dan persembahan DJ piring hitam.
Pendek kata, acara Darul Aman Raret’ro ini sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur. Acara kali ini juga mendapat sokongan dan penajaaan dari pihak Malaysia Automotive, Robotics and ioT Institute (MARii), Surico Malaysia, dan Maktok Maruku.
Acara juga dijalankan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
SERENTAK dengan pengenalan X3 facelift 2022, BMW Malaysia juga memperkenalkan X4 facelift, kini dengan varian xDrive30i M Sport.
BMW X4 ini juga dipasang secara CKD, dan kini berharga RM398,800 atas jalan, tanpa insurans dan termasuk dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan.
BMW X4 xDrive30i ini membawakan pakej janaan kuasa 2.0-liter turbo 4-silinder sebaris, cukup untuk menjana 252hp dan 350Nm tork. Output ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem xDrive.
Dari segi penampilan, BMW X4 facelift ini mendapat bampar belakang baharu dengan ekzos rekaan baharu.
Kemudian di dalam, ia kini dilengkapi dengan paparan instrumen Live Cockpit Professional bersaiz 12.3-inci, corong pendingin hawa baharu, dan sistem infotainmen Operating System 7 dengan kebolehan kemaskini over-the-air.
Ciri keselamatan pula merangkumi Driving Assistant dengan Lane Change Warning, Lane Departure Warning dan Front Collision Warning dengan bantuan brek. Parking Assistant dan Reversing Assistant juga didatangkan secara standard.
BMW X4 xDrive30i baharu ini boleh didapati dengan pilihan warna Alpine White, Piemont Red, Phytonic Blue dan Carbon Black dengan padanan kemasan kulit Vernasca.
Sementara itu, untuk Alpine White dan Carbon Black, anda boleh pilih kemasan kulit Vernasca berwarna Tacora Red sebagai alternatif.
SELAIN dari pelancaran Golf GTI, Volkswagen Passenger Cars malaysia (VPCM) juga mengumumkan mereka telah membuka tempahan untuk Golf R-Line. Harganya? Anggaran sekitar RM155,000 hingga RM165,000.
Sama seperti GTI, varian Golf R-Line ini juga dipasang CKD di Pekan, Pahang dan kerana itu harganya agak menarik. Golf R-Line Mk7.5 sebelum ini merupakan unit CBU dan berharga sekitar RM167k semasa dilancarkan.
Golf Mk8 ini dipacu oleh enjin 1.4 TSI yang sama, dengan output 150PS dan 250Nm. Tetapi kotak gear adalah baharu, kini menggunakan automatik 8-kelajuan (torque-converter) yang menggantikan dwi-klac DSG sebelumnya.
Seterusnya, Golf R-Line seperti pada namanya, bermaksud ia mendapat pakej penggayaan seperti Golf R. Kelengkapan luaran adalah rim 17-inci, tayar Bridgestone Turanza T005, lencana R, lampu LED depan dan belakang, serta kemasan ekzos krom.
Di bahagian dalam pula, Golf Mk8 ini mendapat kokpit minimalis dengan kebanyakan kawalan adalah dari skrin dan panel sentuhan haptik.
Tempat duduk adalah fabrik Sardegna dengan pelarasan manual, dan nampak cukup sporti. Panel instrumen di depan pemandu bersaiz 10.25-inci manakala unit infotainmen di tengah bersaiz 10-inci, dengan fungsi navigasi serta Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar.
Golf R-Line Mk8 hadir dengan pilihan lima warna iaitu Moonstone grey, Kings Red, Atlantic Blue, Deep Black dan Oryx White.
Seperti biasa, Golf Mk8 dilindungi dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun dan bantuan tepi jalan 5-tahun.
AKHIRNYA lagenda hot hatch, Volkswagen Golf GTI kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kini dengan generasi ke-8 atau Mk8.
Ia ditawarkan pada harga cukup menarik iaitu RM212,711 (atas jalan dengan pengecualian SST, tanpa insurans). Jika anda masih ingat, Golf GTI Mk7.5 semasa dilancarkan pada 2019 adalah lebih mahal, hampir RM240k.
Golf GTI Mk8 ini mendapat harga lebih kompetitif kerana ia kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Ia juga model GTI pertama dipasang di kilang CKD itu.
Tidak perlu pengenalan lagi, Volkswagen Golf GTI merupakan bapa kepada segala hot hatch, diperkenalkan sejak 1975 dan kini lebih 2.3 juta unit terjual.
Golf GTI Mk8 dikuasakan oleh enjin 2.0 TSI yang berupaya menjana 245PS dan 370Nm tork, sementara kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan.
Ia menggunakan suspensi MacPherson di depan serta multilink di belakang, dan mempunyai suspensi sport serta pengunci differential XDS untuk penghantaran kuasa optima di selekoh.
Hot hatch ini menampilkan sistem Vehicle Dynamics Manager untuk pemandu melaras segala tetapan mengikut seleranya.
Dari segi rupa luaran, Golf GTI Mk8 boleh dibezakan dari lampu LED matriks IQ Light, bar lampu melintang hingga ke logo depan (bukan DRL), strip merah di fender, gril honeycomb, dan tayar Bridgestone Potenza S005.
Selain itu, GTI juga mendapat ekzos berkembar, spoiler belakang, serta lencana GTI di gril depan dan pintu but belakang.
Golf GTI Mk8 ini juga menampilkan Driver’s Workspace iaitu kokpit digital sepenuhnya. Ia terdiri dari paparan instrumen 10.25-inci, kawalan sesentuh haptik, dan sistem infotainmen dengan skrin 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.
Unit infotainmen ini juga menyokong sistem arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng.
Ciri lain adalah tempat duduk sports balutan kulit Vienna dengan pelarasan berkuasa, fungsi memori dan sokongan lumbar.
Volkswagen Golf GTI Mk8 hadir dengan lima pilihan warna – Kings Red, Atlantic Blue, Moonstone Grey, Deep Black, dan Oryx White.
Golf GTI dilindungi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan, dan penyelenggaraan percuma tiga tahun.
BMW Malaysia hari ini memperkenalkan X3 facelift 2022 dengan tiga varian baharu, dengan harga seperti berikut:
X3 sDrive20i M Sport: RM315,800
X3 xDrive30i M Sport: RM358,800
X3 xDrive30e M Sport: RM 356,800
Kesemua model adalah versi CKD (pemasangan tempatan) dan harga adalah atas jalan termasuk cukai SST, tanpa insurans.
BMW X3 sememangnya sudah dipasang di Malaysia untuk model sebelum ini, tetapi untuk facelift 2022, varian hibrid X3 xDrive30e juga mendapat versi CKD buat pertama kali.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata: “Kami teruja untuk mengelektrifikasikan BMW X3 pemasangan tempatan buat pertama kali, sementara menawarkan pilihan janaan kuasa berbeza untuk mereka yang mahukan pengalaman memandu berbeza.”
“Ini mencerminkan janji kami untuk menawarkan Power of Choice melalui pilihan kenderaan petrol, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya di Malaysia.”
Dari segi rupa luaran, BMW X3 2022 mendapat ‘kidney grille’ lebih besar, rekaan bampar depan baharu dengan ruang kemasukan udara menegak, dan lampu depan LED lebih nipis.
Seperti biasa, versi PHEV xDrive30e boleh dikenalpasti melalui port pengecaj yang terletak di belakang fender kiri tayar depan.
Dimensi keseluruhan BMW X3 2022 tidak berubah, namun pilihan rim kini adalah sehingga 20-inci, lampu belakang LED sepenuhnya, serta ekzos lebih besar.
BMW X xDrive20i dan xDrive30i kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter 4-silinder TwinPower Turbo, tetapi dengan talaan berbeza. Enjin pada xDrive20e menjana 184hp dan 300Nm tork manakala unit pada xDrive30i pula menghasilkan 252hp dan 350Nm tork.
Kotak gear walaubagaimanapun adalah sama, iaitu automatik 8-kelajuan. Ini memberikan pecutan 0-100km/j sepantas 8.2 saat untuk X3 xDrive20i dan 6.3 saat untuk X3 xDrive30i. Kelajuan maksima pula adalah 215km/j untuk xDrive20i dan 240km/j untuk xDrive30i.
Sementara itu, versi PHEV X3 xDrive30e pula menggabungkan enjin 2.0-liter dengan motor elektrik dan bateri berkapasiti 12kWh. Ini membolehkannya dipandu sehingga 50km dalam mod elektrik tanpa setitis petrol.
Kesemua varian BMW X3 baharu ini mendapat suspensi M Sport dengan penyerap hentak talaan sporti, dan sistem pacuan roda-belakang (X3 xDrive20i) serta pacuan semua-roda (X3 xDrive30i dan xDrive30e).
Bahagian dalaman pula dilengkapi Control Display dengan skrin 10.25-inci, elemen kawalan baharu pada konsol tengah, tempat duduk sports dengan sokongan tepi lebih baik, dan paparan instrumen BMW Live Cockpit dengan teknologi panel hitam.
Sementara itu, teknologi untuk bantuan pemanduan pula terdiri dari Driving Assistant yang terdiri dari Lane Change Warning, Lane Departure Warning dan Front Collision Warning dengan bantuan brek.
Terdapat juga ciri seperti Parking Assistant, Reversing Assistant, Park Assist, dan Active Park Distance Control (PHEV sahaja).
Dari segi pilihan warna pula, BMW X3 hadir dengan kombinasi seperti berikut:
Alpine White, Brooklyn Grey, Phytonic Blue, dan Carbon Black dengan kemasan dalam Leather Vernasca Black dan jahitan biru, atau
Alpine White dan Carbon Black dengan kemasan dalam Leather Vernasca Mokka
KEHEBATAN kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 terus mendapat kepercayaan ramai.
Terbaharu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah memilih Proton X50 sebagai kenderaan rasmi.
MBSJ telah menerima lapan unit X50 1.5T Executive dalam satu majlis penyerahan baru-baru ini.
Setakat ini, MBSJ merupakan badan kerajaan pertama yang menjadikan Proton X50 sebagai kenderaan rasmi.
Proton X50 antara SUV yang diminati ramai di Malaysia. – Foto ihsan Proton
Pemilihan Proton X50 1.5T Executive dilihat sesuai untuk kegunaan MBSJ memandangkan beberapa ciri menarik terdapat pada model itu.
Proton X50 1.5T Executive dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm.
Sementara itu, ia turut digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.
Reka bentuk Proton X50 tidak dinafikan sememangnya menawan. – Foto ihsan Proton
Pada September 2020, Proton telah melancarkan model SUV X50 pada harga RM84,800.
Sejak diperkenalkan, Proton telah mencatatkan penjualan memberansangkan bagi model X50.
Tahun lalu, X50 muncul sebagai model SUV paling laris dengan jualan sebanyak 28,774 unit.
PIHAK Kementerian Pertahanan Turki menawarkan Malaysia untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima TF-X.
Merujuk laporan Malaysia Gazette bertarikh 9 Febuari 2022, Malaysia berpotensi menjadi penyumbang pembangunan industri pertahanan.
Berdasarkan prospek itu, Turki menawarkan kerjasama dalam bentuk pelaburan untuk projek jet pejuang TF-X, dimana mereka sebelumnya menawarkan pesawat Hurjet dan kerjasama pembangunan di Malaysia.
Presiden Industri Pertahanan Turki, Prof. Dr. Ismail Demir berkata, “Kami secara terbuka menjemput negara-negara saudara seperti Malaysia dan Indonesia untuk menyertai program ini di peringkat awal, pembangunan bersama, dan juga penggunaan di masa depan.”
“Kami tahu proses ini sangat mencabar. Ia akan memerlukan banyak sumber-sumber dari segi tenaga manusia dan kewangan.
“Dalam jangka masa panjang, negara-negara ini akan memerlukan platform udara yang sofistikated. Jadi apabila sampai masanya, daripada membeli dari negara asing, mereka akan mempunyai teknologi sendiri,” ulasnya.
Presiden Industri Pertahanan Turki, Prof. Dr. Ismail Demir. Foto: Ahval News
Ismail juga menambah: “Seperti Malaysia khasnya, latihan dan pengalaman yang diperolehi oleh jurutera-jurutera dari program ini turut akan menjadi pengalaman untuk kami juga.”
Ismail turut menegaskan bahawa kesemua negara (Turki, Malaysia dan Indonesia) haruslah saling menyokong antara satu sama lain dalam jangka masa panjang, dan hubungan ketiga-tiga negara adalah akrab.
Foto oleh: TRT World
TAI TF-X ialah sebuah pesawat penguasaan udara (air superiority) generasi ke-5 berenjin kembar dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan bantuan teknologi daripada BAE Systems, United Kingdom.
Pesawat ini diwar-warkan akan menggantikan armada pesawat F-16 yang digunakan oleh Tentera Udara Turki dan juga akan ditawarkan kepada negara-negara luar antaranya kepada negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.
Projek ini merupakan sebahagian daripada projek berprofil tinggi di Turki dengan melibatkan teknologi stealth.
Turki sebelumnya telah berjaya mendapatkan blueprint dan bantuan teknikal daripada SAAB AB, serta bantuan teknologi daripada BAE System.
ASELSAN kini sedang membangunkan sebuah radar imbasan elektronik aktif termaju yang akan menggunakan teknologi gallium nitride (GAN) dalam program TF-X.
Turki dilihat telah beberapa kali sejak tahun lalu menawarkan kerjasama dengan Malaysia dalam industri aeroangkasa dengan negara itu.
PASARAN motosikal terus meriah dengan kehadiran dua model terkini daripada Honda iaitu CBR500R 2022 dan CB500X.
Dua model ini dijangka bakal mendapat permintaan tinggi terutama daripada mereka yang baru ingin berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.
Honda CBR500R 2022. – Foto ihsan Honda
Terdapat beberapa ciri menarik pada CBR500R dan CB500X ini termasuk penggunaan fork hadapan daripada Showa.
Didatangkan dengan saiz 41mm Separate Function-Big Piston (SSF-BP) jenis terbalik, ia dikatakan mampu memberikan tunggangan lebih selesa dan meyakinkan.
Selain itu, dua model ini juga memiliki sistem brek berkembar hadapan Nissin jenis axial-mount/radial-mount.
Foto ihsan Honda
Honda turut melengkapkan sistem brek dua model ini dengan rotor brek 296mm dan lengan ayun baharu lebih ringan.
Bagaimana pula dengan sistem enjin?
CBR500R 2022 dan CB500X dijana dengan kuasa enjin 471cc parallel-twin sejukan cecair.
Honda CB500X 2022. – Foto ihsan Honda
Ia mampu menjana kuasa sehingga 49.6 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serta klac assist/slipper.
Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Honda CBR500R 2022 dan CB500X 2022:-
• Unit roda aluminium 19 inci
• Penggunaan radiator lebih ringan
• Sistem pemancit bahan api untuk menambahbaik karakter serta respond enjin
Foto ihsan Honda
Harga jualan Honda CBR500R 2022 bermula dari RM34,499 sementara Honda CB500X 2022 dijual serendah RM36,099.
KERAJAAN menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, kenderaan motor elektrik akan menikmati pengecualian itu bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.
Jelas Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pengecualian bagaimanapun tidak terpakai untuk kenderaan hibrid mempunyai enjin pembakaran dalaman.
“Pengecualian fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau ‘fuel cell’ (sel bahan api),” katanya, semalam.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail
Sementara itu, pengecualian fi LKM kenderaan motor milik OKU hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk mereka yang berkenaan.
Kenderaan tidak diubah suai pula, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.
“Kenderaan motor terbabit yang layak hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU berkaitan.
“OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.
Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar mempunyai anak OKU.
Ia meliputi suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU dengan syarat OKU terbabit juga telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Permohonan bagi pengecualian itu akan bermula pada 15 Mac 2022.
Pada Belanjawan 2022, kerajaan mengumumkan akan membayar sepenuhnya Lesen Kenderaan Motor bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.
EV juga mendapat rangsangan termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.
HONDA Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi City Hatchback varian RS e:HEV, iaitu pada RM107,783.09.
Honda pada Disember 2021 telah melancarkan City Hatchback tetapi harga yang diumum hanyalah untuk varian S (RM75,670), E (RM83,080) dan V (RM87,860). Kini anda yang mahu meminang City Hatchback RS e:HEV bolehlah mula membuat kira-kira atau pecah tabung.
Harga City Hatchback RS ini juga kira-kira hampir RM2,000 lebih tinggi dari City RS sedan yang berharga RM105,950.45.
Berbeza dengan City Hatchback lain, varian RS e:HEV ini merupakan versi hibrid yang dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Sports i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) yang mendapat bantuan kuasa dari dua motor elektrik.
Pakej powertrain ini membekalkan 106hp dan 253Nm, menjadikannya model dengan tork tertinggi dalam kelasnya. Output disalurkan ke roda depan melalui transmisi Electric Continuous Variable Transmission (e-CVT).
Enjin dan dua motor elektrik pada City Hatchback RS e:HEV ini mampu memilih antara tiga mod pemanduan iaitu EV, Hybrid dan Engine yang akan ditukar bergantung kepada situasi.
Gaya dan rekaan City Hatchback mensasarkan pembeli dan gaya hidup golongan muda, maka ia mendapat elemen seperti kemasan hitam pada gril depan, dan cermin sisi. Bampar belakang pula mempunyai diffusor untuk penampilan lebih sporti.
Varian RS e:HEV dan V akan dilengkapi lampu LED untuk kesemua lampu utama, DRL, lampu kabus dan lampu belakang. Pelengkap kepada ciri luaran adalah rim aloi 16-inci.
Satu ciri utama pada bahagian dalaman ialah tempat duduk ULTRA Seats dengan 4 mod yang sinonim dengan Honda Jazz. Dengan mod Utility, Long, Tall atau Refresh, ia akan membolehkan tempat duduk disusun mengikut keperluan dan aktiviti anda.
Ciri lain termasuklah Remote Engine Start, corong pendingin hawa belakang, brek parkir elektronik, dan Honda SENSING yang merangkumi sistem keselamatan termaju seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dan Lane Keep Assist System (LKAS).
Honda City Hatchback juga akan didatangkan dengan LaneWatch (untuk RS e:HEV dan V sahaja) iaitu sistem kamera yang akan memantau titik buta di bahagian kiri kenderaan.
Dalam satu siaran media hari ini, Honda Malaysia juga mendedahkan bahawa mereka telah mengutip lebih 5,200 unit tempahan City Hatchback sejak ia dilancarkan.
Honda City Hatchback RS e:HEV hadir dengan tiga warna iaitu Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl.
UMW Toyota nampaknya mencatatkan permulaan yang baik untuk 2022 dengan jualan 7,528 unit kenderaan untuk Toyota dan Lexus pada Januari.
Ini satu peningkatan besar iaitu sebanyak 96 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 3,845 unit.
Antara model-model kenderaan penumpang, Vios kekal sebagai model paling laris Toyota dengan 28 peratus dari keseluruhan jualan. Hilux pula masih ‘KING’ iaitu trak pikap paling popular di Malaysia, dengan 38 peratus jualan adalah dari model ini.
“Kami berterima kasih dengan keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan sehingga 30 Jun 2022. Ini sangat membantu pihak industri seperti kami untuk pulih dari kesan pandemik sejak dua tahun lepas,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.
“Kami juga menggalakkan peminat Toyota memanfaatkan lanjutan pengecualian cukai ini untuk memiliki kereta idaman mereka di samping tawaran nilai seperti kempen jualan Stay Ahead yang sedang berlangsung,” tambahnya.
Kempen Stay Ahead oleh UMW Toyota Motor ini menawarkan penjimatan sehingga RM4,500.
Model popular Vios obleh dimiliki dengan ansuran serendah RM540 dan penjimatan cukai sebanyak RM2,216. Yaris pula ditawarkan dengan ansuran dari RM493 serta penjimatan cukai RM2,192.
Untuk maklumat lanjut, layari toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).