Sebuah lagi model baharu keluaran SYM dilancarkan oleh pihak Mforce Bike Holdings, iaitu skuter Naga 155 2025.
Dijual pada harga RM8,888, SYM Naga 155 boleh didapati dengan empat pilihan warna iaitu Matte Green, hitam, putih dan perak.
Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.6 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.2 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 13 Nm @ 7,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Suspensi Naga 155 terdiri daripada fork hadapan teleskopik dengan jarak pergerakan 90 mm, diikuti unit penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan roda 37 mm).
Brek pula menggunakan rotor tunggal 260 mm di depan, diikuti dengan rotor 233 mm di belakang sementara ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS).
Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah rim 13 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter digital, sistem tanpa kunci, serta kehadiran port pengecas USB QC 3.0 Type-A dan Type-C.
Berat keseluruhan cuma 144 kg, kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7.3 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm.
Pasaran motosikal Malaysia dihangatkan lagi dengan pelancaran model kapcai berkapasiti tinggi oleh Mforce Bike Holdings, iaitu SYM VFE 185i.
Moped ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 183 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 19.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 17.5 Nm @ 7,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan (jarak pergerakan 80 mm) dan penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan 32 mm).
Brek pula terdiri daripada rotor bersaiz 250 mm di depan dan rotor 200 mm dibelakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.
Antara kelengkapan termasuklah rim 17 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter jenis LCD, sistem kunci pintar, serta kehadiran port pengecasan USB Type-A QC 3.0.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm. Berat keseluruhan cuma 135 kg, menjadikannya mudah untuk dikawal.
Ditawarkan dengan harga RM9,988, VFE 185i ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hijau dan juga biru.
Mforce Bike Holdings melancarkan skuter maxi terbaharu di bawah jenama SYM, iaitu Cruisym 400i 2025 bersempena acara Mforce Mid-Autumn Gala dengan harga jualan RM27,888.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc menghasilkan 33.5 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT.
Casis kerangka buaian keluli skuter ini disokong dengan suspensi jenis teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang.
Brek pula menggunakan rotor 288 mm di depan dan 275 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS).
Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah skrin paparan TFT, sistem kunci pintar, slot pengecasan USB Type-C, Type A dan soket 12V, lampu LED depan belakang, ruang storan bawah pelana, kamera perakam tunggangan depan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras manual, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 14.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 785 mm.
Terdapat tiga warna pilihan iaitu Space Grey, Dark Night Purple dan Dreamy White.
Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance hari ini mengumumkan ketibaan model 911 GT3 serta 911 GT3 dengan pakej Touring untuk pasaran Malaysia.
Majlis pelancaran model tersebut turut dihadiri oleh Jörg Bergmeister selaku Duta Jenama Porsche.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Porche 911 GT3:
1. Enjin
Porsche 911 GT3 dikuasakan oleh nadi flat-six 4.0 liter aspirasi semula jadi yang berkeupayaan menjana 510 PS dan daya kilas 450 Nm.
Enjin tersebut telah ditala semula dan dilengkapi dengan dua penapis zarah dan empat penukar bermangkin supaya dapat memenuhi piawaian pelepasan emisi yang lebih ketat.
Perubahan lain termasuklah:
kepala silinder dan aci sesondol yang disemak semula
aliran pada injap pendikit individu yang lebih berkesan
unit penyejuk enjin yang turut dioptimasikan
2. Transmisi
Enjin itu dipadankan dengan pilihan transmis PDK tujuh-kelajuan serta transmisi manual GT enam-kelajuan, dengan nisbah pacuan akhir lapan peratus lebih pendek berbanding model terdahulu.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.9 saat, atau 3.4 saat untuk versi PDK sebelum mencapai kelajuan tertinggi 313 km/j (PDK dihadkan kepada 311 km/j)
3. Rupa luaran
Terdapat beberapa perubahan dibuat pada luaran 911 GT3 seperti:
spoiler lip dan diffuser hadapan yang disemak semula
sirip bawah badan untuk aliran udara yang lebih berkesan dan daya mendap dipertingkatkan
lampu utama LED Matriks yang direka semula
Selain daripada itu, sayap belakang 911 GT3 kini mempunyai plet sisi bersudut.
Penampilan yang lebih segak turut disumbangkan oleh sistem suspensi yang turut disemak semula mirip kepada perubahan yang dibawakan pada model 011 GT3 RS terdahulu.
Akhir sekali, 911 GT3 didatangkan dengan rim saiz 20 inci depan dengan balutan tayar 255/35 ZR20, dan 21 inci belakang dengan getah 315/30 ZR 21.
4. Pakej khas untuk pembeli
Buat pertama kalinya, Porsche Malaysia menawarkan Pakej Touring yang terdiri daripada sayap belakang jenis retractable, logo 911 GT3 Touring pada jeriji belakang, rim aluminium (1.5 kg lebih ringan) serta Gurney flap.
Sementara ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berkualiti tinggi, tempat duduk baris kedua (opsyen) serta suasana sporti klasik.
Penggunaan bateri lithium-ion 40Ah juga mengurangkan lagi berat badan sebanyak 4 kg.
Dalam tetapan yang paling ringan, Porsche 911 GT3 cumalah seberat 1,420 kg sahaja.
Terdapat juga beberapa pakej lain seperti berikut:
Weissach Package – penambahan bar anti-oleng, rod penyambung, dan panel ricih untuk gandar belakang yang diperbuat daripada CFRP. Selain itu, ia turut menerima beberapa komponen seperti panel bumbung, plet sisi sayap belakang, perumah luaran cermin sisi, dan sirip udara, sementara ruang kabin pula dihiasi kemasan upholsteri Race-Tex dan pemegang pintu CFRP. Terdapat opsyen rim magnesium dan sangkar oleng CFRP.
Lightweight Package – ditawarkan untuk 911 GT3 dengan Pakej Touring. Ia mendapat komponen seperti pengimbang, rod penyambung dan panel ricih gandar belakang yang diperbuat daripada CFRP.
Rim magnesium dan panel pintu ringan juga menjadi sebahagian daripada pakej. Akhir sekali, plet Leichtbau yang boleh didapati pada bahagian depan tuil gear.
Untuk 911 GT3 dengan sayap belakang, pakej Clubsport untuk kegunaan litar ditawarkan tanpa kos tambahan, merangkumi:
sangkar oleng keluli belakang
sistem abah-abah enam-poin
unit pemadam kebakaran mudah alih
tempat duduk bucket sport serba ringan
5. Jam eksklusif
Porsche Malaysia turut menawarkan jam tangan eksklusif rekaan Porsche Design untuk pemilik 911 GT3 dan 911 GT3 Touring.
Jam tangan chronograph ini menampilkan ciri berikut:
pergerakan Porsche Design WERK 01.200 yang diiktiraf COSC
fungsi flyback
casis titanium dengan salutan titanium karbida hitam
rekaan dial GT3
komponen winding rotor mengikut rekaan rim GT3
Tali jam pula dihasilkan menggunakan bahan kulit asli Porsche, sementara warna boleh dipilih menerusi program Paint to Sample.
6. Harga
Untuk pasaran Malaysia, Porsche 911 GT3 serta 911 dengan Pakej Touring dijual pada harga bermula dari RM2,290.000.
Bagi mereka yang bimbang sistem BUDI95 akan mengalami gangguan apabila dilaksanakan pada 30 September ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelayan sistem tersebut mampu menampung jumlah pengguna.
Menurut Anwar, pelayan bagi subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit, iaitu 10 kali ganda berbanding program bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) sebelum ini.
Katanya, kapasiti yang lebih besar ini bertujuan mengelakkan gangguan teknikal seperti yang pernah berlaku dalam pelaksanaan subsidi terdahulu.
Beliau turut mempertahankan keperluan pengesahan kad pengenalan ketika membeli petrol bersubsidi, dengan menegaskan sistem itu direka untuk memastikan hanya warganegara Malaysia yang menikmati manfaat, sekali gus menghalang warga asing daripada menerima kadar subsidi.
Bermula 30 September, harga baharu RON95 di bawah skim BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 sebelum ini.
Anwar berkata, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah serta MyKad layak menerima subsidi tersebut, dengan anggaran lebih 16 juta orang bakal menikmati skim ini.
Beliau mengumumkan beberapa kumpulan akan menerima subsidi lebih awal, iaitu 27 September bagi kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera, serta 28 September bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau juga menegaskan bahawa warga asing yang memiliki kenderaan berdaftar Malaysia akan dikenakan kadar RM2.60 seliter, manakala kenderaan nombor plat asing hanya boleh mengisi petrol RON97.
Bagi mereka yang masih belum pasti tentang kelayakan, Anwar menggalakkan orang ramai membuat semakan melalui portal BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan yang disediakan.
Federal Express Corporation (FedEx) mengumumkan penambahan sebanyak 41 unit van elektrik Maxus e-Deliver 3 baharu ke dalam armada sedia ada sebagai langkah untuk menggiatkan komitmen terhadap logistik mampan di Malaysia.
Setiap van elektrik tersebut boleh bergerak sejauh 228 km untuk sekali cas penuh, dan mempunyai kapasiti kargo seberat 920 kg.
Dengan penambahan van elektrik itu tadi mampu mengurangkan pelepasan CO₂ sehingga 305 tan metrik setahun berbanding van berkuasa diesel yang digantikannya.
Kesemua EV akan dikerahkan untuk perkhidmatan pengambilan dan penghantaran bungkusan di beberapa bandar utama termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Lembah Klang.
FedEx turut memasang sehingga 41 stesen pengecas arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC) di beberapa lokasi strategik untuk menyokong armada EV itu tadi.
Menurut Tien Long Woon selaku Pengarah Urusan FedEx Malaysia berkata, “Kejayaan penghantaran EV rentas-sempadan antara Malaysia dan Singapura tahun lalu mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap peranan kenderaan elektrik yang boleh dimainkan dalam sektor logistik.
“Perluasan armada EV terbaharu ini merupakan satu langkah bermakna ke hadapan untuk menggabungkan kelestarian ke dalam operasi harian kami.
Petron Malaysia mengumumkan pihaknya berjaya meraih Lesen Produk Tulen SIRIM bagi produk minyak enjin di Malaysia.
Majlis penyerahan sijil rasmi diadakan di ibu pejabat Petron Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Azmi Musa selaku Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perkhidmatan Ujian, SIRIM QAS International Sdn. Bhd.
Pensijilan ini berasaskan piawaian SIRIM 58 – Skim Pensijilan Produk Tulen (Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor).
Skim ini memastikan setiap produk mematuhi piawaian, melindungi pengguna daripada minyak enjin tiruan serta memberikan keyakinan bahawa minyak enjin Petron dihasilkan secara konsisten mengikut spesifikasi.
Antara rangkaian pelincir Petron yang menerima pensijilan SIRIM seperti berikut:
siri Petron Blaze Racing
siri Petron Rev-X
siri Petron Rider 4T
siri Petron 2T
Super Tractor Universal Oil (STOU)
Mohd Asri Ibrahim, Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia, berkata “Selaras dengan garis panduan dan prosedur baharu, Petron berbangga menerima Lesen Produk Tulen SIRIM yang menegaskan lagi kualiti, keaslian dan kebolehpercayaan minyak enjin kami.
“Ia juga membuktikan komitmen kami untuk menghasilkan produk yang mampu memberi perlindungan lebih baik kepada enjin kenderaan pelanggan.”
Malaysia Book of Records (MBOR) secara rasmi mengiktiraf dua pencapaian cemerlang oleh penunggang Malaysia, iaitu Dato Muruganantham @ Anand dan K.V.R. Sanjevee.
Majlis yang dianjurkan baru-baru ini meraikan rekod tunggangan Harley-Davidson beregu terpanjang di India sejauh 11,475 km.
Dato Muruganantham dan K.V.R Sanjevee juga diiktiraf sebagai pemilik Harley-Davidson dari Malaysia yang pertama berjaya menawan Umling La Pass, iaitu laluan yang paling tinggi di dunia pada ketinggian 5,798 m.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Sivarajah Chandran, Jegan Kasinathan (Pengarah Serantau H.O.G), Lau Chye Wang (Ketua Jenama Harley-Davidson Malaysia, serta tetamu-tetamu kehormat dan pemilik Harley-Davidson.
Dalam majlis tersebut, wakil daripada Malaysia Book of Record turut memuji dedikasi, ketahanan, dan semangat pengembaraan yang dipamerkan oleh penunggang Malaysia di pentas global.
Pencapaian itu juga meletakkan Malaysia teguh pada peta motosikal dunia, memberi inspirasi kepada komuniti Harley-Davidson dan penunggang motosikal pengembaraan di seluruh rantau ini.
Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model sedan mewah S 580 e with EQ Hybrid Technology untuk pasaran tempatan.
Sedan S-Class yang dipasang di kilang Pekan, Pahang itu kini dijual pada harga bermula dari RM738,888 atas jalan tanpa insurans.
Berbanding model terdahulu, S 580 e 2025 mendapat beberapa ciri baharu seperti:
rim aloi berbilang jejari saiz 20 inci
sistem stereng gandar belakang (sudut sehingga 4.5 darjah)
pengecasan pantas DC 60 kW untuk pengecasan 20 minit (10-80 peratus)
Sementara ruang kabin pula mendapat kemas kini seperti:
kemasan baharu pada konsol tengah
fungsi ventilasi dan pemanas tiga tahap untuk tempat duduk depan
penapis udara kabin PM2.5 Energizing Air Control
Dari segi kuasa, S 580 e ini kekal dengan tetapan enjin plug-in hybrid (PHEV) terdiri daripada nadi enam silinder sebaris 2,999 cc dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 510 hp dan daya kilas 750 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.2 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Pek bateri 28.6 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 100 km.
Antara ciri lain termasuklah sistem suspensi udara Airmatic, lampu digital, tayar jenis run-flat, tempat duduk dan roda stereng balutan kulit nappa, gandingan skrin 12.3 dan 12.8 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Burmester 3D.
Untuk penumpang belakang pula disediakan tempat duduk boleh laras elektrik, MBUX High-End Rear Seat Entertainment System terdiri daripada tablet, set fon telinga tanpa wayar, serta skrin berkembar saiz 11.6 inci.
Ciri keselamatan termasuklah Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, sistem kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), bantuan parkir, serta Driving Assistance Package.
Lebih 1,000 orang pemilik Isuzu D-Max berkumpul untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68 di beberapa lokasi di seluruh negara.
Sejumlah 1,028 buah Isuzu D-Max menyertai Konvoi Merdeka Isuzu yang bermula dari 39 premis pengedar sah Isuzu ke lokasi menarik di negeri masing-masing dalam usaha untuk memperagakan semangat patriotik serta meluangkan masa bersama rakan dan taulan.
Konvoi Merdeka Isuzu tahun ini turut menyertakan aktiviti seperti lawatan ke dusun, tapak perkelahan, makan durian, lawatan ke lokasi tarikan pelancongan, kunjungan ke pulau-pulau serta aktiviti permainan ekstrem.
Menurut Tomoyuki Yamaguchi selaku Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, “Konvoi Merdeka Isuzu menjadi platform yang bermakna bagi semua pelanggan kami untuk menunjukkan semangat patriotik serta rasa bangga mereka sebagai warga Malaysia.
“Sangat mengujakan untuk melihat pelbagai lapisan masyarakat berkongsi satu kecintaan yang sama terhadap negara ini dan meraikan detik bersejarah tersebut bersama,” ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu, Kenichi Kudo menambah, Konvoi Merdeka Isuzu juga menjadi acara yang ideal untuk mempertemukan pelanggan dan mengunjungi lokasi menarik di Malaysia menggunakan trak pikap yang paling cekap tenaga dan tahan lasak milik mereka.
“Selain peluang untuk meraikan penyatuan warga dalam semangat Merdeka, Konvoi Merdeka Isuzu juga merupakan peluang bagi pemilik untuk menikmati keseronokan memandu Isuzu D-Max sekali gus menikmati keindahan Malaysia,” jelas Kudo.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga jualan petrol RON95 turun kepada RM1.99/liter bermula 30 September ini, lapor Berita Harian.
Pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) itu disasarkan kepada rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Beliau berkata, lebih 16 juta rakyat Malaysia dengan lesen memandu sah akan menerima manfaat penurunan harga bahan bakar tersebut.
“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
Untuk bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60/liter bermula tarikh yang sama.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Boon Siew Honda telah menambah dua pilihan warna baharu untuk Honda BeAT iaitu hitam dan putih.
Kedua-dua rona baharu ini melengkapkan pilihan sedia ada iaitu perak matte dan hijau, menjadikan jumlah keseluruhan empat warna untuk dipilih mengikut cita rasa penunggang.
BeAT dikuasakan oleh enjin 110cc Enhanced Smart Power (eSP) yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 5,500 rpm.
Ia diperakui sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dengan penggunaan bahan api serendah 1.7 liter/100 km.
Dari segi keselamatan, skuter ini dilengkapi sistem brek gabungan (CBS) untuk prestasi membrek yang lebih seimbang, disokong penarafan keselamatan 3-bintang MyMAP.
Ia juga praktikal untuk kegunaan harian dengan kemudahan seperti pengecas peranti, kotak simpanan 12 liter, cangkuk beg, kunci brek tangan, dan pembuka tempat duduk jenis one-touch.
Selain itu, terdapat juga lampu utama LED untuk pencahayaan jelas pada waktu malam, serta panel meter rekaan moden dengan penunjuk ECO dan bateri.
Pilihan warna baharu ini akan mula ditawarkan menerusi Honda Impian X dan pengedar sah dk seluruh negara bermula 20 September.
Ia dijual pada harga bermula dari RM6,090 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran, serta didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu.
Kira-kira setahun selepas model “EV Fun Concept” diperlihatkan di EICMA 2024, Honda akhirnya secara rasmi mengumumkan model produksi sebenar WN7 untuk pasaran Eropah.
Honda WN7 merupakan sebuah motosikal berkuasa elektrik yang dibangun berdasarkan pengalaman dan kepakaran Honda dalam arena motosikal selama 75 tahun.
Jentera naked berkuasa elektrik ini dinamakan bersempena dengan tema konsep “Be the Wind”, N untuk “Naked” dan 7 yang menandakan kelas output.
Tanpa mendedahkan spesifikasi rasmi, Honda mendakwa WN7 mampu menghamburkan prestasi kuasa kuda yang menyamai model bersesaran 600 cc, serta daya kilas menyamai model bersesaran 1,000 cc.
Dengan bateri lithium-ion, WN7 mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh lebih 130 km untuk sekali cas penuh.
Selain itu, WN7 turut hadir dengan port CCS2 yang membolehkan pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 30 minit.
Sayang sekali, unit bateri yang dibekalkan ini adalah jenis kekal, dan tidak boleh digantikan seperti pek bateri mudah alih Honda Mobile Power Pack e: yang digunakan pada beberapa model skuter elektrik.
Dari segi penampilan, WN7 banyak mengekalkan elemen rekaan yang wujud pada model EV Fun Concept.
Namun, terdapat beberapa perubahan seperti kehadiran pelana yang tampak lebih selesa, padanan lampu isyarat membelok dan tempat meletak nombor pendaftaran di belakang.
Dengan adanya skrin TFT lima inci, pemilik boleh menghubungkan jentera ini dengan peranti pintar menerusi aplikasi Honda RodSync.
ASEAN NCAP mengumumkan SUV terbaharu keluaran GAC, iaitu Emkoo 2025 menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.
Berdasarkan ujian tersebut, GAC Emkoo memperoleh skor keseluruhan sebanyak 84.96 mata yang dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 37.88/40.00
Perlindungan Kanak-kanak (COP) – 16.01/20.00
Bantuan Keselamatan (SA) – 18.57/20.00
Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 12.50/20.00
Model yang dipasang di Malaysia dan China itu secara standard dilengkapi dengan ciri keselamatan utama termasuklah enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Anti-Kunci (ABS), Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang.
Selain itu, terdapat ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB) dan Perlindungan Pejalan Kaki (PP).
Bergantung kepada varian, GAC Emkoo turut dilengkapi dengan teknologi Pengesanan Titik Buta (BSW), serta Peringatan Penumpang Belakang.
Untuk pasaran Malaysia, GAC Emkoo bakal dilancarkan tidak lama lagi dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium (harga dari RM120,000) dan Premium Pro (dari RM130,000).
Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.
Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini untuk menerima produk inovatif Long Life OAT Coolant daripada Bosch Mobility Aftermarket.
Produk cecair penyejuk terbaharu ini menampilkan formulasi asas Monoethylene Glycol (MEG) serta Organic Acid Technology (OAT) yang direka untuk jangka hayat servis yang lebih panjang.
Ia menawarkan perlindungan tambahan sekaligus mengelakkan enjin daripada terlalu panas.
Long Life OAT Coolant ini juga direka dengan ciri anti-kakisan untuk mengelakkan karat serta pembentukan mendapan, memastikan sistem penyejukan yang lebih bersih serta suhu enjin yang stabil untuk prestasi optimum.
Dibangunkan untuk iklim khusus di ASEAN dan Malaysia, coolant ini juga sesuai dengan pelbagai jenis bahan termasuklah logam, plastik dan getah.
Formulasi berkualiti tinggi ini juga memenuhi piawaian industri ketat dari seluruh dunia seperti GB/T 29743 (China), ASTM D3306 (Amerika Syarikat), BS 6805 (United Kingdom), dan JIS K2234 (Jepun).
Tersedia dalam botol dua liter, Bosch Long Life OAT Coolant hadir dalam tiga warna berbeza (merah, hijau dan biru) untuk dipadankan dengan spesifikasi kenderaan yang berbeza.
Castrol mengumumkan keseluruhan rangkaian produk minyak enjin yang dijual di Malaysia telah disahkan secara rasmi oleh SIRIM QAS International di bawah Standard SIRIM 58 – Skim Pensijilan Produk Tulen (Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor).
Pensijilan ini mengukuhkan lagi kedudukan Castrol dalam aspek kualiti dan perlindungan pengguna, di samping menonjolkan pematuhan proaktif Castrol terhadap piawaian kawal selia terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dalam masa terdekat, keseluruhan rangkaian produk minyak enjin Castrol akan tampil dengan pensijilan rasmi SIRIM.
Castrol juga akan memperkenalkan pakej pembungkusan yang dikemas kini secara berperingkat untuk memudahkan pengguna mengesahkan keaslian semasa membuat pembelian.
“Pensijilan ini bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia; ia adalah pengukuhan semula janji kami kepada para pengguna. Castrol sentiasa berpegang pada prestasi yang boleh dipercayai, dan kini kepercayaan itu disahkan secara rasmi oleh SIRIM,” kata Gan Wee Kiong,
Pengarah Jualan Pasaran Castrol Malaysia dan Singapura.
Pensijilan SIRIM Castrol merupakan bukti nyata terhadap integriti produk tanpa kompromi untuk melindungi pengguna daripada produk tiruan dan memastikan mereka membeli minyak pelincir yang mematuhi standard keselamatan dan prestasi Castrol.
Dengan memperoleh pensijilan ini pada peringkat awal pelaksanaan, Castrol terus menetapkan penanda aras industri, memperjuangkan bukan sahaja prestasi produk, tetapi juga pendidikan pengguna, akauntabiliti peruncit, dan ketelusan rantaian bekalan.
Castrol turut menyeru para pengguna untuk memastikan adanya Label SIRIM pada produk minyak enjin Castrol apabila pembungkusan terkini diperkenalkan, serta terus mempercayai jenama yang menawarkan prestasi terbukti yang kini disahkan secara rasmi.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan Yamaha NVX generasi baharu untuk pasaran tempatan, menampilkan reka bentuk lebih sporty, teknologi moden serta pilihan dua varian iaitu NVX ABS dan NVX SP.
Skuter automatik ini dikuasakan enjin Blue Core 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang dipadankan bersama Yamaha Electric CVT (YECVT), menawarkan prestasi bertenaga dan kecekapan bahan api lebih baik.
Varian SP mempunyai dua mod tunggangan iaitu Town Mode untuk perjalanan bandar yang lebih lancar dan jimat minyak, serta Sport Mode untuk memberikan tindak balas pendikit lebih responsif.
Menariknya, ia turut dilengkapi dengan teknologi Turbo Y-Shift yang dikawal melalui suis ibu jari, membolehkan penunggang memilih tiga tahap pecutan dan nyahpecutan.
Dari segi teknologi, kedua-dua varian didatangkan dengan sistem Yamaha Y-Connect yang membolehkan sambungan telefon pintar bagi fungsi seperti sejarah tunggangan, peringatan penyelenggaraan dan rekod penggunaan minyak.
Untuk varian SP, Y-Connect turut menyokong navigasi Google Maps yang dipaparkan melalui skrin TFT cockpit dengan tiga mod paparan berbeza, menjadikannya lebih premium dan mesra pengguna.
Aspek keselamatan juga dititikberatkan dengan penggunaan brek cakera hadapan dan belakang, ABS satu saluran bagi varian ABS, manakala varian SP mendapat tambahan sistem Traction Control (TCS).
Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) serta rangka baharu yang lebih kukuh.
Dari seg kelengkapan pula, NVX baharu menawarkan sistem keyless start, fungsi henti-mula automatik serta port pengecasan USB-C untuk kemudahan mengecas peranti mudah alih.
Yamaha NVX ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,998 manakala model lebih premium, NVX SP 2025, dijual pada harga RM14,498. Kedua-dua varian kini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara.
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan ketibaan model skuter 150 cc, iaitu Modenas Elit 150S bersempena sambutan ulang tahun yang ke-30.
Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 13.5 Nm @ 6,750 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi V-belt automatik.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan, diikuti tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.
Antara ciri yang wujud pada skuter ini termasuklah lampu utama berkembar, lampu nyalaan siang DRL, sistem kekunci pintar, skrin LCD, ruang storan bawah pelana sebesar 23 liter dan rim sebesar 13 inci.
Modenas Elit 150S menawarkan tangki bahan api sebesar 12 liter yang menawarkan jarak tunggangan sehingga 480 km, berat sekitar 137 kg dan tinggi pelana 770 mm.
Terdapat dua warna pilihan iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey. Harga jualan bermula dari RM7,877.
Proton melancarkan Kempen Servis Ihsan Madani bertujuan untuk meringankan kos pemilikan kenderaan di kalangan rakyat Malaysia.
Bermula 11 September hingga 11 November, kempen ini turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah program Malaysia Madani.
Menerusi kempen terbaharu ini, pemilik proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) boleh mendapatkan pakej dengan harga promosi tetap seperti berikut:
Pakej Semi-sintetik – RM145.00
Pakej Sintetik Penuh – RM198.00
Selain penjimatan sehingga 30 peratus, pemilik juga akan menerima pemeriksaan keselamatan 40 poin secara percuma merangkumi komponen penting seperti brek, bateri, penyeka kaca dan komponen kritikal lain di semua pusat servis sah Proton.
Menurut Ainol Azmil Abu Bakar selaku Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, “Kempen Servis Ihsan MADANI mencerminkan usaha PROTON untuk memudahkan pemilikan kenderaan dan memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia.
“Dengan menyokong aspirasi program Malaysia MADANI, PROTON bukan sahaja menawarkan servis yang lebih mampu milik, malah turut menitikberatkan aspek keselamatan dan tanggungjawab di jalan raya. Inisiatif ini membuktikan komitmen PROTON dalam menjaga kepentingan pelanggan sambil menyokong pembangunan mobiliti negara.”
Selain pelancaran dua model AMG, Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi sedan mewah C 200 AMG Line.
Varian baharu ini dilihat mampu menawarkan pilihan yang lebih sporti ke atas keluarga C-Class sedia ada.
Antara ciri luaran yang wujud pada C 200 AMG Line seperti berikut:
apron hadapan AMG dengan bukaan liang udara yang besar
apron belakang seakan diffuser
corak bintang Mercedes pada jeriji
sistem ekzos dengan dua corong belakang
rim aloi AMG 19 inci
Selain itu, Mercedes-Benz turut menaik taraf sistem brek dengan dimensi rotor yang lebih besar.
Untuk ruang kabin, terdapat roda stereng sports bawah rata dengan balutan kulit Nappa, pedal sports AMG dengan kemasan keluli tahan karat yang diberus, serta alas lantai AMG.
Ciri keselamatan ditambah baik dengan Parking Package lengkap dengan sistem kamera 360 darjah yang menawarkan sistem pandangan mata burung 3D.
Terdapat USB Package Plus yang menyediakan sehingga enam port USB Type-C dan dua soket 12V, kesemua menyokong pengecasan pantas untuk kegunaan pemandu dan penumpang.
Dari segi kuasa, C 200 AMG Line kekal dengan enjin 1,496 cc turbo yang mampu menjana kuasa 204 hp @ 5,800-6,100 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 1,800-4,000 rpm yang dibantu dengan motor elektrik 17 kW/200 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 246 km/j.
Harga jualan C 200 AMG Line bermula dari RM292,888 atas jalan tanpa insurans. Penghantaran pula dijangka akan bermula Oktober 2025.