Penggunaan kenderaan NGV ditamatkan mulai Julai 2025 – Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa kenderaan yang menggunakan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya mulai 1 Julai 2025.
Menurut Loke, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Sehubungan itu, Petronas akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat.
Loke dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah di antara tahun 1995 sehingga 2014.
“Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.
“Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun, dan sekiranya tidak diganti, ianya tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat,” katanya.
Bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, PETRONAS NGV Sdn Bhd (PNGV) telah mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwi bahan api NGV.
Program Bantuan Peralihan tersebut terdiri daripada tiga pakej iaitu:
- Pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak
Setiap pemandu berdaftar yang layak akan menerima e-baucar sebanyak RM3,000 yang akan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off. - Pakej menanggalkan kit NGV
Untuk tangki daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), termasuk teksi NGV. Semua kos akan ditanggung sepenuhnya dan hanya boleh dilaksanakan di bengkel yang berdaftar sahaja. - Pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV
Pakej ini menawarkan pembayaran secara one-off kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang akan ditentukan oleh wakil penilai bebas.
Permohonan bagi menyemak kelayakan dan mendapatkan pakej peralihan dibuka mulai hari ini di www.peralihanngv.com.