TOYOTA mengeluarkan satu kenyataan mengejutkan terutama bagi kebanyakan ‘kaki kereta’ melibatkan salah sebuah model ‘termantapnya’ , GR86.
Memetik laporan media, syarikat asal Jepun itu tidak lagi akan mengeluarkan model GR86 dari tempoh dua tahun akan datang.
Foto ihsan Toyota
Ketua Pegawai Operasi Toyota (Eropah) berkata, pihaknya mempunyai sebab tertentu untuk tidak lagi mengeluarkan GR86 di pasaran Eropah walaupun mendapat permintaan hangat.
Jelas Matt Harrison, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peraturan dikenakan Kesatuan Eropah (EU) yang menetapkan regulasi keselamatan baharu bagi kenderaan baharu.
Justeru, jika Toyota masih ingin meneruskan pengeluaran GR86 maka, satu proses panjang perlu dilakukan termasuk proses kejuruteraan semula.
Foto ihsan Toyota
GR86 merupakan sebuah model coupe dengan enjin 2,398cc yang menghasilkan lebih 232 kuasa kuda.
Harga sebuah GR86 di Malaysia adalah sekitar RM280,000 bagi model tahun 2018 dan ke atas.
Sementara itu di Eropah, tempahan bagi model GR86 hanya dibuka menjelang musim bunga dan penghantaran kepada pelanggan bermula dalam separuh penggal pertama 2022.
TOYOTA merupakan antara peneraju kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) hidrogen menerusi model Mirai yang dijual di pasaran-pasaran utama dunia seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.
Namun, syarikat itu percaya bahawa selain itu motor elektrik, hidrogen juga mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan bakar utama dalam enjin pembakaran dalaman.
Bagi membuktikannya, Toyota baru-baru ini memperkenalkan sebuah GR Yaris konsep yang dikuasakan oleh enjin pembakaran hidrogen.
Dikenali secara rasmi sebagai GR Yaris H2, hot hatch itu mempunyai enjin G16E-GTS 1.6-liter turbo tiga silinder yang sama dengan GR Yaris standard, namun dengan sistem bekalan bahan api dan suntikan yang telah diubahsuai supaya sesuai dengan hidrogen.
Walapun GR Yaris H2 dan Mirai kedua-duanya menggunakan hidrogen, Mirai bergantung pada tindak balas kimia antara hidrogen dengan oksigen untuk menjana tenaga bagi memacu motor elektriknya, manakala GR Yaris H2 ini, seperti yang diperkatakan, dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman dengan hidrogen sebagai bahan apinya.
Toyota mendakwa bahawa hidrogen terbakar pada kadar yang lebih cepat jika dibandingkan dengan petrol.
Ini secara tidak langsung menjadikan enjin itu lebih responsif dan lebih mesra alam. Pada masa yang sama, ia juga mengekalkan bunyi bagi terus menjadikan pemanduan lebih mengujakan – sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Mirai.
Tambah syarikat itu lagi, enjin tersebut tidak 100 peratus bebas emisi kerana ia masih melepaskan sedikit gas CO2 dan NOX yang terhasil semasa operasi, namun tahap pencemaran yang dihasilkan berkali ganda lebih rendah jika dibandingkan berbanding enjin petrol.
Perincian teknikal mengenai enjin tersebut seperti kuasa dan tork, serta angka prestasinya tidak didedahkan, namun memandangkan ia pernah digunakan pada sebuah kereta lumba, ia pastinya cukup berkuasa.
Ya, enjin hidrogen yang sama sebenarnya pernah digunakan pada sebuah Corolla Sport yang telah bertanding dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun sejak Mei lalu. Apa yang menarik, ia pernah dikemudi sendiri oleh Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda.
Walaupun potensinya sudah terbukti di arena sukan permotoran, Toyota berkata bahawa teknologi enjin pembakaran hidrogen ini masih lagi dalam fasa pembangunan konsep dan eksperimentasi dan masih belum sedia untuk dikomersilkan.
Mungkin itu perasaan terbuku di hati penduduk Liang Melas Datas, Daerah Karo dekat Sumatera Utara yang kecewa dengan keadaan jalan raya yang rosak teruk sejak sekian lama.
Memetik laporan berita detikNews, para penduduk telah menghantar ‘hadiah’ selori buah oren kepada Presiden Joko Widodo bagi mendapatkan perhatian pemimpin nombor satu Indonesia itu.
Presiden Indonesia Joko Widodo. – Foto ihsan Malay Mail
Jelas pemimpin masyarakat setempat dikenali sebagai Setia Sembiring, pihaknya kian bosan dengan masalah jalan raya yang mengundang bahaya kepada pemandu.
“Semoga hadiah diberikan ini mendapat perhatian Presiden Indonesia kerana masalah jalan rosak ini sudah lama.
“Memang ada pihak berwajib memperbaiki keadaan jalan raya sebelum ini tetapi ia hanya sekadar memperbaiki. Tidak lama kemudian jalan kembali rosak,” katanya.
Keadaan jalan rosak juga berlaku di mana-mana negara termasuk Malaysia. – Foto ihsan Malay Mail
Terdahulu, penduduk mendakwa berdepan keadaan jalan rosak selama lebih 40 tahun sekaligus merencatkan urusan seharian orang ramai.
Daerah Karo terkenal sebagai hab pertanian di Sumatera Utara dengan pelbagai jenis tanaman seperti sayuran dan buah-buahan.
Justeru, keadaan jalan raya yang teruk turut memberi kesan kepada penghantaran hasil pertanian ke kawasan lain.
Jadi, apa pandangan anda?
Ada cadangan lain untuk tarik perhatian pihak berwajib jika ada masalah jalan raya?
SEBUT nama Lamborghini, pasti akan terbayang di fikiran sebuah kereta sport berkuasa tinggi dengan reka bentuk ‘body’ yang garang.
Namun, jangan lupa Lamborghini juga mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan lain antaranya seperti model Urus.
Urus merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) dilancarkan Lamborghini pada tahun 2017 dengan kuasa enjin V8 4.0 liter bi-turbo.
Ia merupakan antara kenderaan SUV terpantas di dunia dengan 641 kuasa kuda yang mampu menghasilkan kelajuan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat!
Apa yang lebih mengujakan, model ini juga mampu mencapai kelajuan maksimum lebih 305 km/j.
Foto ihsan Lamborghini
Bagaimanapun, artikel ini bukanlah untuk bercerita mengenai spesifikasi terdapat pada Urus tetapi lebih kepada berkongsi berita mengenai kejayaan Lamborghini memasarkan model tersebut.
Mencapai usia lebih 4 tahun di pasaran, Lamborghini mendedahkan berjaya memasarkan lebih 16,000 unit model Urus di seluruh dunia.
Daripada jumlah tersebut, 4,085 unit merupakan model Urus, diikuti Huracan (2,136 unit) serta Aventador (681 unit).
Rekod ini sekaligus mencatat sejarah tersendiri buat Lamborghini memandangkan Urus dinobatkan sebagai model paling berjaya untuk tempoh empat tahun.
Foto ihsan Lamborghini
Apa yang menarik, Lamborghini memberitahu bahawa 85 peratus pembeli Urus adalah pelanggan baharu.
Di Malaysia, Urus mula berada di pasaran pada Mac 2018 dengan harga jualan melebihi RM1,000,000 unit.
Tahun ini, Lamborghini berjaya mengedarkan 6,902 unit kenderaan bermula Januari hingga September 2021.
Rekod itu sekaligus memperlihatkan kejayaan pemasaran Lamborghini iaitu 23 peratus lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.
DIPERKENALKAN buat pertama kali pada 1975, Jaguar XJ Coupe atau nama ringkasnya XJ-C bukanlah calang-calang model dari pengeluar kereta British itu.
Reka bentuknya yang memukau terbukti popular di kalangan pembeli ketika apabila lebih 10,000 unit berjaya dijual dalam masa hanya tiga tahun.
Kini, setelah lebih 40 tahun sejak pengeluarannya dihentikan, XJ-C muncul kembali sebagai projek restomod terbaharu syarikat kustom terkenal dari Poland iaitu Carlex Design.
Ia merupakan model pertama yang akan dilancarkan dalam barisan Carlex Jewel, yang mana fokus utamanya adalah untuk memodenkan kereta klasik.
Ya, XJ-C restomod ini sememangnya kelihatan moden namun ia juga tampil sporti dan agresif, terutamanya dengan rekaan lampu ala turbin, gerbang roda lebar, rim jenis deep dish dan diffuser yang menempatkan sepasang muncung ekzos berkembar. Sudah tentu, hanya satu warna yang sesuai untuk kereta ini iaitu British Green.
Mengekalkan imej elegan yang ditampilkannya, ruang dalaman sedan dua pintu ini didominasi oleh upholsteri kulit mewah berwarna coklat dan kemasan kayu ala mahogani pada stereng dan papan pemuka.
Secara keseluruhannya, kokpit XJ-C ini kelihatan begitu kemas dan ringkas tanpa kehadiran elemen-elemen moden seperti skrin sentuh dan kluster instrumen digital.
Jika XJ-C yang asal boleh didapati dengan enjin 4.2-liter enam silinder sebaris dan 5.3-liter V12, versi restomod ini didatangkan dengan enjin V8 yang menghasilkan 400hp.
Carlex tidak mendedahkan dari mana enjin ini diperolehi, namun apa yang pasti kuasanya disalurkan ke roda belakang.
Di samping itu, Carlex turut menggunakan sistem brek dan suspensi moden, serta meletakkan rollbar di belakang bagi membantu meningkatkan ketegaran casis. Syarikat itu mendakwa kereta ini cukup selesa untuk digunakan sebagai kereta harian.
Buat masa ini, maklumat mengenai jumlah yang akan dihasilkan dan harga tidak tersedia. Namun memandangkan ia edisi restomod yang eksklusif, jumlahnya pasti terhad dan harganya pula sudah tentu tidak murah.
EUROPEAN Car of the Year 2022 (ECOTY) telah mara ke peringkat seterusnya dimana tujuh finalis telah dipilih dari 39 model awal yang dicalonkan.
Dari sini, sekumpulan 61 juri dari 23 negara Eropah akan membuat undian awal tahun depan sebelum pemenang diumumkan pada 28 Februari 2022 di Geneva.
Peugeot 308
Barisan finalis ini didominasi oleh kenderaan yang mempunyai pilihan elektrik. Hanya satu model yang bukan elektrik sepenuhnya iaitu Peugeot 308. Semasa pelancaran, 308 boleh didapati dengan dua pilihan plug-in hybrid (PHEV) dengan kuasa 178hp dan 222hp.
Kia EV6
Selebihnya, enam model lain hadir dengan janaan kuasa elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Hyundai Ioniq 5, Cupra Born, Ford Mustang Mach-E, Kia EV6, Skoda Enyaq iV dan Renault Megane E-Tech.
Barisan EV ini berjaya menyingkirkan model-model lain seperti Audi e-Tron GT, RS e-tron GT, BMW iX dan i4, Mercedes-Benz EQS, Tesla Model Y dan Volkswagen ID.4.
Peugeot 308 pula menyingkirkan model bukan EV seperti Honda HR-V, McLaren Artura, Toyota Yaris Cross dan Lexus NX (hanya menyebut beberapa nama).
Sumber: ruetir
Model mana yang akan menang ECOTY 2022 ini pada pandangan anda?
Pada 2021, pemenangnya adalah Toyota Yaris yang mengalahkan Fiat 500 dan Cupra Formentor.
Sebelum itu, Peugeot 208 menang pada 2020, Jaguar I-Pace pada 2019 dan Volvo XC40 pada 2018.
Sumber: ruetir
Peugeot merupakan jenama besar yang memasarkan kenderaannya di kebanyakan negara termasuk Malaysia. – Foto ihsan Peugeot
Sebelum anda teruskan membaca, jangan tersilap sangka kerana ini bukanlah Proton Saga versi elektrik yang dinanti-nantikan. Sebaliknya, ia merupakan EV terbaharu keluaran Alpha Motors yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengan kereta nasional pertama Malaysia itu.
Syarikat kenderaan elektrik yang berpengkalan di Irvine, California itu dilihat mula aktif sejak akhir tahun lalu. Dalam jangka masa yang pendek, ia berjaya melancarkan beberapa buah EV pelbagai segmen, bermula dengan model coupe Ace pada Disember 2020, diikuti dengan trak pikap Wolf dan Superwolf pada Mac dan Ogos tahun ini.
Kini, Alpha Motors memperkenalkan satu lagi EV dengan rekaan retro moden yang dikenali sebagai Saga iaitu singkatan untuk Sleek and Adaptive Geometric Architecture.
Bentuknya tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ace, cuma ia lebih panjang dan mempunyai empat pintu. Model ini mempunyai ukuran 185 inci panjang, 75 inci lebar dan 57 inci tinggi.
Alpha Motors berkata Saga akan ditawarkan dalam dua versi iaitu motor elektrik tunggal (RWD) dan berkembar (AWD). Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan tidak didedahkan namun menurut syarikat itu, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam 6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200km/j.
Jarak pemanduan yang diperoleh daripada pek bateri berkapasiti 85kWh adalah sekitar 480 km. Ia menyokong sistem pengecasan DC yang mampu mengisi kuasa bateri dari 0 hingga 80 peratus dalam masa sejam.
Bahagian hadapannya menampilkan lampu bulat berkembar, sekaligus memberikannya ‘wajah’ seperti Dodge Challenger, manakala di sisi pula terdapat gerbang roda yang lebar dan rim aloi lima jejari yang boleh didapati dalam saiz 16- hingga 18-inci. Bahagian belakang pula kelihatan cukup agresif dengan kehadiran spoiler dan diffuser.
Sementara itu, ruang dalaman pula mengetengahkan konsep minimalis seperti kereta-kereta muscle old school.
Disertakan adalah stereng tiga jejari, tolok meter digital dengan rekaan analog, tempat duduk ergonomik serta kawalan haptik untuk sistem pendingin hawa dan audio. Terletak di atas papan pemuka adalah skrin sentuh dengan sokongan Bluetooth.
Untuk ruang kargo pula, bonet dan but Saga dikatakan menawarkan ruang penyimpan keseluruhan sebesar kira-kira 566 liter.
SHELL dilaporkan memeterai kerjasama baharu bersama syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China, NIO.
Kerjasama membabitkan usaha menambah lebih 100 stesen pengendalian dan penukaran bateri di China menjelang tahun 2025.
Memetik Auto Express UK, NIO setakat ini mempunyai sekurang-kurangnya 300 stesen penukaran bateri di China khusus buat kegunaan pemilik kenderaan jenama itu.
Sementara itu, Shell dilaporkan telah bersetuju membenarkan NIO membina fasiliti penukaran bateri di stesen minyaknya di Eropah.
Sistem pengecasan pantas Shell Recharge juga boleh didapati di beberapa lokasi terpilih di negara ini. – Foto ihsan Shell
Pada masa sama, NIO juga akan memasang sistem pengecasan pantas Shell Recharge di fasiliti terpilih miliknya.
Untuk rekod, NIO mendakwa mampu menukarkan sebuah pek bateri kepada yang dicaj penuh dalam masa tiga minit.
Kenderaan keluaran NIO juga mula mendapat tempat di Eropah setelah berjaya memasarkan beberapa model di Norway.
Antara model mendapat permintaan tinggi adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ES8 dan sedan ET7.
NIO juga tidak menafikan berkemungkinan akan menembusi pasaran United Kingdom sekiranya mendapat permintaan tinggi penduduk negara itu di masa depan.
DALAM sedar tak sedar, China telah muncul sebagai kuasa terbesar dalam industri kenderaan elektrik (EV), mengalahkan Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Manakan tidaknya, saban tahun, ada sahaja jenama EV baharu dari negara itu yang dilancarkan. Terbaru, Great Wall Motors telah mengumumkan kemasukannya ke segmen EV dengan jenamanya yang tersendiri iaitu Saloon.
Produk pertamanya adalah sebuah coupe empat pintu yang dikenali sebagai Mecha Dragon. Ia diperkenalkan di Guangzhou Auto Show 2021 baru-baru ini.
Peminat permainan video mungkin pernah mendengar nama ini kerana ia sebenarnya ‘dipinjam’ daripada bos peringkat akhir dalam permainan Mega Man 2.
Sepadan dengan namanya itu, Mecha Dragon tampil dengan reka bentuk badan unik yang didominasi oleh garisan-garisan tajam dan bersegi. Saloon mendakwa bahagian luaran model ini direka sedemikian bagi menyerupai ‘perisai mekanikal’.
Walaupun ia sebuah EV, anda akan menemui beberapa elemen yang tidak sepatutnya dimiliki oleh sebuah kenderaan yang tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman seperti skup bonet dan muncung ekzos.
Bagaimanapun, untuk ruang kabin, Saloon seolah-olah mengambil pendekatan yang berbeza kerana rekaannya tidaklah berserabut dan kucar-kacir seperti bahagian luarannya.
Malah, ia kelihatan moden dengan adanya kluster instrumen digital, skrin sistem infotainmen yang lebar dan konsol tengah yang kemas.
Berdasarkan gambar-gambar ini, Mecha Dragon mampu memuatkan sehingga lima orang penumpang namun tempat duduk tengah di belakang kelihatan lebih sesuai untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Terdapat dua pilihan upholsteri yang ditawarkan iaitu suede dan kulit dua tona.
Menurut laporan, Mecha Dragon dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 543hp (405kW) dan 750Nm, sekaligus membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.7 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.
Dengan pek bateri berkapasiti 115kWh, trenkuasa elektrik ini dikatakan mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 802km berdasarkan kitaran ujian kenderaan tugas ringan China (CLTC).
Apa yang lebih mengagumkan adalah sistem pengecasan pantas 480kW yang boleh menambah jarak pemanduan sebanyak 401km dengan pengecasan selama hanya 10 minit.
Teknologi lain yang terdapat pada Mecha Dragon adalah empat modul LIDAR serta beberapa kamera dan sensor yang merupakan sebahagian daripada sistem pemanduan autonominya.
Tidak diketahui bilakah model ini akan memasuki pasaran namun apa yang pasti, pengeluarannya akan dihadkan kepada 101 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga kira-kira $80,000 (RM338,280).
SUBARU mengemaskini Levorg untuk pasaran JDM dan kini wagon sporti ini menerima varian STI Sport R.
Varian ini mendapat enjin 2.4-liter boxer turbo yang sama dengan WRX S4, menghasilkan 271hp dan 375Nm tork. Seperti biasa, kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear CVT dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive.
Ia juga mendapat pilihan mod Drive terdiri dari Comfort, Normal, Sport, Sport+ dan Individual.
Levorg generasi terkini mula didedahkan pada 2020, jadi ia masih baharu dan dibina pada Subaru Global Platform. Ia berkongsi beberapa panel badan dengan WRX, tetapi Levorg ini bukanlah model STI sepenuhnya. STI Sport R bermaksud pakej penggayaan berbeza, lebih sporti dari model biasa.
Subaru Levorg STI Sport R mendapat lencana STI pada gril dan pintu but belakang untuk anda kenal pasti. Terdapat juga splitter depan dengan skid plate aluminium lebih sporti, rim aluminium 18-inci, dan ekzos berkembar lebih besar.
Di dalam, Levorg ini dilengkapi kemasan kulit, skrin sesentuh infotainmen 11.6-inci, paparan instrumen digital 12.3-inci dan stereng balutan kulit.
Kelengkapan lain pada Subaru Levorg ini adalah sunroof, pintu but berkuasa elektronik, dan sistem ADAS Eyesight X.
Harga untuk Subaru Levorg 2022 di Jepun bermula dari ¥3,102,000 (RM114,704) untuk model asas sehingga ¥4,092,000 (RM151,313) untuk STI Sport R.
SELEPAS hampir setahun memperkenalkan Tuono 660, kini Aprilia melancarkan pula Tuono 660 Factory di EICMA 2021. Versi Factory hadir dengan spesifikasi lebih tinggi dan sporti.
Pertamanya dari segi enjin, Tuono 660 Factory dipacu oleh enjin 659cc dua-silinder yang menjana 100hp (5hp tambahan) dan 67Nm tork.
Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan quickshifter. Sprocket juga ditukar kepada 16/43 untuk pecutan lebih baik.
Suspensi dikekalkan dati Tuono 660 biasa iaitu fork Kayaba 41mm boleh-laras di depan, dan monoshock Sachs di belakang. Tetapi berat Tuono 660 Factory dikurang menjadi 181kg, hasil penggunaan bateri lithium-ion.
Lima mod tunggangan masih dikekalkan iaitu Road, Track, dan tiga mod pre-set serta kustom. Tetapi dengan penambahan IMU 6-axis, sportbike ini mempunyai kawalan tambahan Traction Control, Wheelie Control, Engine Braking Control dan Cornering ABS.
Kuasa memberhenti digalas oleh sepasang angkup Brembo di depan dan belakang dengan cakera bersaiz 320mm (depan) dan 220mm (belakang).
Tuono 660 Factory hadir dengan tangki bahan api 15 liter (termasuk 4 liter simpanan) dan menurut Aprilia, jentera ini mempunyai kecekapan sekitar 4.9 liter/100km.
FERRARI telah menambah rangkaian Icona mereka dengan model terbaharu – Daytona SP3. Ianya model terkini dalam siri Icona yang membawakan rekaan klasik untuk era moden.
Ferrari Daytona dilancarkan di Litar Mugello baru-baru ini dan ‘menyertai’ Monza SP1 dan SP2. Daytona ini juga dikatakan model Ferrari dengan aerodinamik paling efisyen pernah dihasilkan.
Dengan enjin lebih berkuasa, pastinya ia lebih panas. Maka sebab itulah Daytona SP3 ini mempunyai banyak ruang dan sirip aliran udara dan Ferrari mengambil peluang ini untuk menjadikan aerodinamik sebagai satu elemen penting.
Bahagian paling ketara dalam rekaan kereta ini ialah belakangnya, dimana Ferrari memberikan beberapa bar melintang sepanjang lebar bampar.
Lampu belakang juga dibentuk pada bar-bar ini, yang terletak betul-betul di bawah spoiler. Kemudian sepasang ekzos terkeluar dari diffuser belakang yang agresif.
Rekaan luaran memberi pengaruh besar ke bahagian dalam, dengan cermin depan ‘membaluti’ kabin. Tempat duduk direka tetap dan melekat pada casis, jadi untuk pelarasan anda hanya tolak atau tarik set pedal kaki (pelarasan sama pada LaFerrari).
Menggunakan prinsip Human-Machine Interface, lebih 80 peratus kawalan kenderaan terletak pada stereng, memastikan tangan pemandu tidak perlu beralih terlalu banyak.
Nadi kepada Daytona SP3 ini ialah enjin 6.5-liter V12 naturally-aspirated dari 812 Competizione. Enjin ini telah ditala dengan komponen baharu dan lebih ringan, serta menggunakan Diamond Like Carbon.
Hasilnya ialah 828hp dan 697Nm tork, menjadikan SP3 ini Ferrari paling berkuasa pernah dihasilkan. Enjin ini mampu ‘menjerit’ hingga 9,500rpm dan dipadankan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan.
Dari segi prestasi, Ferrari Daytona SP3 mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 2.86 saat dan 200km/j boleh dicapai dalam masa 7.4 saat.
Oh ya, walaupun enjin ini cukup berkuasa, dengan perubahan pada manifold, Ferrari berkata ianya 30 peratus lebih bersih dari segi emisi berbanding 812 Competizione.
Tiada perincian harga dan berapa unit didedahkan setakat ini. Tapi kami rasa, pasti semua unit sudah mempunyai pemilik. Tidak didedahkan juga bila penghantaran akan mula dibuat.
SEKILAS pandang, objek ini kelihatan seperti sebuah kereta futuristik bersaiz mini walaupun hanya mempunyai dua roda.
Namun, tahukah anda ia sebenarnya adalah mesin pemotong rumput yang dilengkapi dengan teknologi autonomi? Ini bermakna ia boleh beroperasi dengan sendiri tanpa sebarang bantuan manusia.
Dikenali sebagai Novabot, mesin pemotong rumput ini mempunyai nadi utama iaitu sistem NovaVision yang membolehkan ia mengesan dan mengenal pasti lokasi, jenis permukaan dan objek yang berada di sekelilingnya.
Semua ini dilakukan dengan data daripada beberapa buah sensor pada bahagian hadapan serta kamera 360-darjah.
Sebaik sahaja ia diaktifkan menerusi aplikasi telefon pintar, Novabot akan mula memotong rumput secara automatik, sambil mengelak dan mengalihkan haluannya apabila objek asing atau halangan dikesan di hadapannya.
Jangan risau jika permukaan halaman rumah anda tidak rata kerana ia boleh menaiki permukaan curam sehingga 45 darjah dengan bantuan tayar off-road.
Lebih menarik lagi, ketinggian bilah pemotongnya boleh dinaikkan dan diturunkan antara 20 hingga 70mm bergantung pada panjang rumput.
Di samping itu, algoritma CoreMind yang dikuasakan oleh cip 5 Tera Operations Per Second (TOPS) berfungsi seperti otak yang membantu Novabot memeta haluannya ketika memotong rumput.
Ini membolehkan ia bergerak secara bebas dari satu permukaan ke satu permukaan yang lain, serta menghasilkan potongan yang lurus dan kemas seperti di padang bola sepak.
Bilah pemotongnya terletak di bahagian bawah dan digerakkan oleh sebuah motor jenis brushless.
Kuasa pula dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti tinggi yang membolehkan ia memotong rumput sehingga 2,000 kaki persegi dengan satu cas penuh.
Anda tidak perlu mengecasnya kerana ia akan kembali ke stesen pengecas dengan sendiri apabila kuasa bateri berada pada tahap 5 peratus.
Tidak cukup dengan itu, Novabot juga mempunyai satu lagi fungsi yang tidak terdapat pada mana-mana mesin pemotong rumput yang lain.
Pada waktu malam, ia boleh dijadikan sebagai robot keselamatan yang bertindak meronda sekeliling kawasan kediaman, tidak ubah seperti seorang pengawal. Amaran akan diberikan sekiranya terdapat penceroboh. Canggih, bukan?
Bukan itu sahaja, ia juga kalis air IPX6 dan mempunyai tahap bunyi kurang dari 60dB, jadi anda boleh tidur nyenyak sambil mesin ini menjalankan tugasnya.
Buat masa ini, Novabot boleh didapati menerusi laman web Indiegogo. Ia ditawarkan pada harga bermula dari USD1,299 (RM5,437) untuk pembeli terawal, dengan penyerahan dijangka bermula pada Julai tahun hadapan.
Pelumba Formula Satu (F1) Lewis Hamilton nampaknya tidak lekang daripada terus berdepan kontroversi.
Terbaharu, juara dunia tujuh kali itu menerima kritikan apabila sengaja mengenakan topi keledar yang tertera mesej menyokong golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
Situasi menjadi ‘panas’ memandangkan tindakan itu dibuat pada perlumbaan Grand Prix F1 Qatar di Litar Antarabangsa Losail.
Bagaimanapun, Hamilton mempertahankan tindakan itu sambil menyifatkan adalah menjadi tugasnya untuk membela hak setiap individu termasuk golongan LGBT.
“Sebagai ahli sukan saya telah menyaksikan banyak negara yang tidak peka dengan isu ini (hak asasi).
“Inilah sebab kenapa kami menghasilkan corak bertemakan warna LGBT dan mengenakan ia di GP Qatar.
“Kita sedia maklum bahawa di negara ini hak golongan LGBT tidak wujud,” katanya seperti dilaporkan portal The Drive.
Pelumba Formula Satu (F1) Lewis Hamilton tekad untuk terus membasmi perkauman terutama dalam sukan. – Foto ihsan Instagram/Lewis Hamilton
Qatar adalah sebuah negara yang mengharamkan dan tidak mengiktiraf hubungan sesama jenis serta bi-seksual.
Berdasarkan hukum Islam, orientasi seks sesama jenis atau bi-seksual juga adalah suatu yang ditegah dan diharamkan.
Pada GP Qatar, Hamilton berjaya meraih tempat pertama dan diikuti Max Verstappen serta Fernando Alonso di kedudukan ketiga.
Sementara itu, timbul persoalan adakah Hamilton akan mengenakan topi keledar sama pada perlumbaan seterusnya?
Ini kerana dalam tempoh kurang dua minggu pelumba itu akan menjejakkan kaki ke Jeddah bagi perlumbaan GP Arab Saudi.
PERTUBUHAN Bangsa Bersatu (PBB) menggesa langkah keselamatan di jalan raya dipertingkat berikutan kes kemalangan kian membimbangkan.
Setiausaha Agungnya António Guterres berkata, statistik menunjukkan kemalangan jalan raya seluruh dunia berlaku pada setiap 24 saat.
“Setiap 24 saat berlaku korban akibat nahas jalan raya.
“Sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia diadakan bagi mengenang kematian tragis berjuta-juta orang,” katanya.
Guterres berkata demikian dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia.
Tema tahun ini menekankan kepentingan mengurangkan had laju di jalan raya untuk mengelak kematian dan kecederaan serius.
Terdahulu, Guterres menggesa para syarikat menyokong sebarang usaha untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya.
“Saya menggesa setiap negara, syarikat dan rakyat untuk menyokong usaha tempatan dan global bagi menjadikan jalan raya lebih selamat, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mencatat lebih 90 peratus kematian.
“…sementara kita menanti mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun depan untuk meningkatkan langkah keselamatan jalan raya, marilah kita mengingatkan bahawa setiap daripada kita berperanan memastikan jalan raya yang selamat,” katanya lagi.
Sambutan itu dirai pada Ahad ketiga November setiap tahun sebagai memperingati mangsa nahas jalan raya dan waris keluarga.
Ia dimulakan badan amal mangsa kemalangan jalan raya Britain RoadPeace pada 1993.
BEBERAPA dekad berdepan konflik dan peperangan, lapangan terbang di Jalalabad dekat wilayah Nangarhar, Afghanistan kembali dibuka untuk penerbangan awam.
Memetik laporan Sputnik, perkara itu diumumkan pejabat gabenor pada Ahad.
Apa yang mengujakan penduduk Afghanistan, ia merupakan kali pertama lapangan terbang itu dibuka kepada penerbangan awam selepas lebih 20 tahun.
“Sebuah pesawat membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Iran.
“Ia penerbangan awam pertama ke lapangan terbang Nangarhar selepas terhenti selama 20 tahun,” memetik kenyataan pejabat gabenor.
Sabtu lalu, pihak berkuasa memaklumkan lapangan terbang di Jalalabad bersedia menerima penerbangan domestik dan antarabangsa.
Pihak berkuasa telah menyelesaikan segala masalah teknikal dan keselamatan sebagai persiapan menerima penerbangan awam pertama itu.
Sebelum ini, Afghanistan berdepan konflik berpanjangan yang menyaksikan beberapa siri peperangan telah tercerus.
Pada pertengahan Ogos, Afghanistan kembali dikuasai Taliban yang sekaligus mengisytiharkan tamatnya perang selama beberapa dekad.