Penerbitan Sweden, Teknikens Värld melaporkan Volvo kini sudah pun memulakan pra-produksi sedan elektrik pertama mereka.
Ini adalah berdasarkan gambar rahsia yang berjaya diperoleh dari kilang Cixi, Wilayah Zhejiang berserta memo dalaman yang turut merangkumi spesifikasi awalan sedan elektrik tersebut.
EV dengan kod nama dalaman V551 itu bakal menggunakan nama rasmi ES90, selain berkongsi platform SPA2 yang sama dengan model SUV EX90.
Volvo ES90 itu membawakan ukuran sepanjang 4,990 mm, lebar 1,945 mm, tinggi 1,547 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,102 mm.
Ini menjadikan Volvo ES90 bersaing secara terus dengan sedan elektrik di dalam segmennya seperti BMW i5, Mercedes-Benz EQE dan Audi A6 e-tron.
Selain itu, sedan elektrik itu juga mempunyai berat sekitar 2,600 kg untuk versi dua motor elektrik AWD, dan 2,500 kg untuk versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD).
Pek bateri besar berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk versi motor elektrik tunggal.
Menurut laporan itu lagi, produksi bersiri sedan elektrik tersebut akan bermula pada Mei 2024.
Triumph Daytona bakal kembali pada tahun 2024 menerusi Daytona 660 dengan pelancaran dijadualkan berlangsung 9 Januari depan berdasarkan pengumuman terbaru yang dikongsikan di media sosial.
Triumph Daytona 660 itu bakal dikuasakan enjin tiga silinder 660cc yang sama diguna pakai pada Tiger Sport 660 dan Trident 660.
Selain enjin, kami juga berasakan Daytona 660 itu akan turut mengguna pakai casis sama dengan Trident 660.
Ini adalah kali pertama Daytona akan kembali ke pasaran global setelah jenama Britain itu menghentikan model Daytona 675 pada 2017. Walaupun kembali dengan Daytona 765 namun model itu hanya terhad kepada 1,530 unit dan hanyalah model penghargaan kepada kejayaan Triumph menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020.
Untuk rekod, Daytona 660 ini dijangka menawarkan angka kuasa sama dengan Trident 660, sekitar 80hp dan 64Nm. Bagi peminat Daytona terdahulu pastinya rasa kecewa kerana model 675 terdahulu menawarkan 126hp dan 70.2Nm.
Selain itu, reka bentuk Daytona 660 ini juga berbeza terutamanya lampu hadapan yang jelas meminjam reka bentuk sama dengan Tiger Sport 660.
Buat masa ini maklumat terperinci masih lagi samar namun segalanya akan terjawab pada 6 Januari depan.
Ketua unit rekaan Volkswagen dalam satu hantaran di laman Instagram mendedahkan pengeluar automotif itu akan melancarkan sebuah hot hatch berkuasa elektrik pada tahun 2026.
Andreas Mindt turut berkongsi di laman media sosialnya lakaran sebuah Golf GTI yang asal sekali dengan lakaran model konsep ID. GTI yang telah pun diperlihatkan secara rasmi beberapa bulan lepas.
Lakaran tersebut mencadangkan VW akan menggunakan nama ‘Golf’ untuk model produksi ID. GTI.
Volkswagen Golf GTI pertama kali muncul pada acara Frankfurt Motor Show 1975 dengan angka produksi sebanyak 5,000 unit sahaja.
Sehingga kini, Volkswagen telah menjual lebih daripada 2.8 juta unit Golf GTI.
Beberapa bulan lepas, Volkswagen telah mendedahkan model konsep ID. GTI, gambaran kepada model hot hatch berkuasa elektrik yang bakal dilancarkan kelak.
Ia membawakan rupa luaran yang lebih sporti, rim yang diinspirasikan daripada GTI Mk1, perumah lampu yang sengaja digelapkan, trim merah, serta rekaan kokpit yang retro moden.
Kerajaan Kanada mengumumkan pelaksanaan undang-undang Electric Vehicle Availability Standard pada minggu ini, di mana ia turut merangkumi langkah untuk mengharamkan penjualan kenderaan baharu yang menghasilkan emisi pada tahun 2035.
Pendek kata, negara itu mahu semua kereta baharu terdiri daripada kenderaan sifar emisi, termasuklah EV dan kereta hidrogen.
Pelaksanaan peraturan baharu itu juga tidaklah terus mengharamkan penjualan kenderaan yang dilengkapi enjin pembakaran dalaman.
Selain daripada kenderaan sifar emisi yang disebutkan tadi, kenderaan plug-in hybrid (PHEV) juga boleh dikategorikan dalam kumpulan yang sama selagi ia dilengkapi dengan mod pemanduan EV untuk jarak minimum yang telah ditetapkan.
Kanada menyasarkan tahun 2026 di mana 20 peratus daripada kereta baharu mestilah terdiri daripada kenderaan sifar emisi (ZEV), di mana sasaran itu akan meningkat kepada 60 peratus pada tahun 2030.
Golongan ‘purist’ berkemungkinan besar tidak akan menggemari idea restomod kereta-kereta klasik menjadi sebuah kereta elektrik.
Namun, itu semua tidak menghalang syarikat Everrati untuk menjalankan projek mereka yang seterusnya, sebuah Porsche 911 yang kelima berkuasa elektrik.
Lebih menarik lagi, ia bukanlah sebuah 911 yang biasa-biasa, sebaliknya Everrati telah mengubah salah satu daripada 51 buah Porsche 911 (964) RSR 3.8 menjadi sebuah EV!
Kereta sports berwarna kuning ini didatangkan lengkap dengan badan gentian karbon yang lebar, rim HRE three-piece 18 inci, penggunaan bahan kulit Bridge of Weir, serta sangkar keselamatan untuk melindungi penumpang.
Enjin asal ICE RSR ini telah pun dibuang jauh-jauh, dan digantikan dengan motor elektrik dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 3.7 saat.
Pek bateri 63 kWh pula membolehkan 911 RSR ini bergerak sejauh 322 km selain menyokong pengecasan AC dan DC.
Jika anda salah seorang daripada pemilik 911 yang ‘rare’, mahukah anda korbankan kereta tersebut menjadi sebuah jentera yang lebih mesra alam?
SETELAH hampir lima tahun berada di pasaran, McLaren GT akhirnya digantikan dengan model baharu yang dikenali sebagai GTS.
Sudah tentu, sebagai model pengganti, GTS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, kelengkapan dan yang paling mengujakan, prestasi.
Seperti yang boleh dilihat, bentuk keseluruhan jentera grand tourer ini dikekalkan namun ia kini mendapat liang udara baharu yang lebih lebar untuk menyalurkan lebih banyak udara ke radiator.
Di belakang pula, skup udara yang lebih tinggi memastikan enjin twin-turbo 4.0 liter V8-nya mendapat bekalan udara yang mencukupi untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
GTS boleh didapati dalam pelbagai warna baharu termasuk Mantis Green, Tanzanite Blue, Ice White dan warna eksklusif untuk model ini iaitu Lava Grey.
Untuk rim, terdapat dua rekaan rim aloi dan kedua-dunya boleh dipadankan dengan bolt titanium yang dikatakan 35 peratus lebih ringan berbanding bolt standard. Tayar yang digunakan adalah Pirelli P Zero yang dibangunkan khusus untuk GTS.
Untuk bahagian kabin pula, pelanggan kini boleh memesan upholsteri kulit Softgrain Aniline bersama corak double piping dan jahitan kontras.
Selain menjadikan ia lebih menawan pada pandangan mata, McLaren turut berjaya mengurangkan berat GTS menerusi penggunaan bumbung komposit dan struktur atas pada bahagian belakang, kedua-duanya diperbuat daripada gentian karbon. Solusi ini menjadikan ia 10 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan sekitar 1,520 kg.
Dengan kuasa sebanyak 635 PS, iaitu 15 PS lebih tinggi berbanding model yang digantikannya, GTS hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan 8.9 saat untuk mencapai kelajuan 200 km/j. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum 326 km/j.
Kuasa yang lebih tinggi tidak bermakna aspek praktikaliti harus dikorbankan. Malah, GTS lebih praktikal berbanding GT kerana bahagian depannya kini boleh dinaikkan sebanyak 20 mm dalam hanya empat saat, dua kali ganda lebih pantas berbanding sebelum ini.
Selain itu, GTS mempunyai ruang but sebesar 420 liter yang boleh diakses dengan membuka tailgate kaca di belakang. Ia juga mempunyai ruang storan sebesar 150 liter pada bahagian depan, menjadikan jumlah ruang kargo sebesar 570 liter.
Satu lagi penambahbaikan adalah sistem stereng elektro-hidraulik yang telah ditala semula untuk tindak balas yang lebih tepat. Menurut McLaren, tahap bantuan sistem ini lebih tinggi pada kelajuan rendah untuk memudahkan pemandu memasuki petak parkir.
TOYOTA Crown Sport, yang merupakan salah satu daripada empat model dalam rangkaian Crown, kini boleh didapati dengan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) di Jepun. Harga jualannya bermula dari 7.65 juta yen (RM248,030).
Seperti versi hibrid, trenkuasa berkenaan menggunakan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5-liter empat silinder namun dalam versi ini, enjin tersebut dibantu oleh sepasang motor elektrik.
Secara individu, enjin tersebut menghasilkan 177 PS dan 219 Nm, manakala motor elektrik depan dan belakang masing-masing menjana 182 PS/270 Nm dan 54 PS/121 Nm.
Gandingan ini memberikan Crown Sport PHEV sistem pacuan semua roda E-Four dan kuasa keseluruhan sebanyak 306 PS.
Dengan bateri litium ion berkapasiti 51 Ah, model ini mampu bergerak sejauh 90 km tanpa menggunakan setitis bahan api.
Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan menawarkan kadar penggunaan bahan api sekitar 20.3 km/l dan dengan adanya tangki bahan api sebesar 55 liter, ia boleh dipandu sejauh lebih 1,200 km dengan satu tangki penuh.
Menurut Toyota, Crown Sport PHEV menyokong pengecasan standard dan pantas. Pengecasan pantas boleh mencapai tahap kuasa 80 peratus dalam tempoh 38 minit.
Bahagian luaran model ini mungkin nampak sama seperti versi hibrid, namun apa yang tidak kelihatan adalah pendakap tambahan pada terowong lantai yang digunakan untuk mencapai keseimbangan badan yang optimum.
Bukan itu sahaja, karakteristik redaman sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih lancar dan stabil.
Selain itu, Crown Sport PHEV didatangkan standard dengan rim aluminium 21 inci, cakera brek berukuran 20 inci bersama angkup berwarna merah, skema warna hitam dan merah pada bahagian kabin, paddle shifter dan tempat duduk sport.
Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk Vehicle to Home (V2H) untuk digunakan dalam situasi kecemasan seperti gangguan bekalan elektrik sehingga 6.5 hari, serta My Room Mode yang membolehkan pengguna menikmati sistem penyaman udara dan audio daripada sumber kuasa luar.
Kawasaki dengan bangganya mendedahkan prototaip motosikal berkuasa hidrogen pertamanya ketika di persidangan Group Vision 2023, 12 Disember lalu.
Mengguna pakai Ninja H2 SX sebagai asas utama, prototaip tersebut ternyata hadir dengan reka bentuk yang besar. Menariknya, panniers kiri dan kanan yang sebelum ini berfungsi sebagai tempat letak barang telah bertukar menjadi ruang simpanan hidrogen.
Prototaip diberi nama Kawasaki H2 HYSE (Hydrogen Small Mobility & Engine) ini masih berada di peringkat awal ujian dan kami jangka beberapa perubahan akan dilaksanakan sekiranya akan dibawa ke peringkat pengeluaran kelak.
Apa pun, berdasarkan video yang Kawasaki kongsikan, jelas menampakkan H2 HYSE ini sememangnya boleh ditunggang walaupun masih berada di peringkat awal.
Kawasaki juga tidak mendedahkan spepsifikasi model tersebut termasuk penggunaan bahan api dan jarak yang boleh dicapai. Untuk rekod, projek HYSE ini dibangunkan bersama Honda, Yamaha dan Suzuki.
MENJELANG 2030, Volvo Cars merancang untuk hanya menjual kereta elektrik (EV) sepenuhnya dan menjelang tahun 2040, ia menyasarkan untuk menjadi syarikat yang neutral iklim.
Untuk menekankan komitmen mereka terhadap cita-cita tersebut, Volvo mengumumkan penamatan pengeluaran untuk semua model kereta Volvo berkuasa diesel menjelang awal 2024 pada Minggu Iklim NYC (Climate Week NYC).
Dalam beberapa bulan dari sekarang, kereta Volvo berkuasa diesel yang terakhir akan dibina, menjadikan Volvo Cars sebagai salah satu pembuat kereta legasi pertama yang mengambil langkah ini.
Pencapaian ini mengikut keputusan Volvo Cars tahun lepas untuk berhenti daripada membangunkan enjin pembakaran (ICE)s baharu.
Pada November 2022, syarikat tersebut telah menjual pegangan mereka dalam Aurobay, syarikat usaha sama yang menyimpan semua baki aset enjin pembakaran mereka.
Sejak itu, Volvo Cars menghentikan perbelanjaan daripada bajet R&D mereka untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang baharu.
“Rangkaian kuasa elektrik adalah masa depan kami, dan ia lebih baik daripada enjin pembakaran: ia mengurangkan bunyi, mengurangkan getaran, dan juga mengurangkan kos servis untuk pelanggan kami serta mengsifarkan pelepasan paip ekor,” kata Jim Rowan, Ketua Eksekutif di Volvo Cars.
“Kami memberikan tumpuan penuh dalam mencipta sebuah portfolio yang terdiri daripada kereta elektrik premium dan elektrik sepenuhnya yang akan memberikan semua yang pelanggan kami harapkan daripada Volvo – hal ini merupakan bahagian penting dalam tindak balas kami terhadap perubahan iklim.”
Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.
Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).
Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).
Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.
Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).
Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.
Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.
Berita baik buat para peminat jenama Alfa Romeo, di mana pengeluar itu dijangka akan mengekalkan penawaran bentuk badan sedan klasik bagi model Giulia yang dijangka muncul tahun 2026.
Giulia EV merupakan satu daripada dua kereta segmen D Alfa Romeo yang bakal dilancarkan kelak, sebuah lagi merupakan pengganti kepada Stelvio.
Bercakap kepada Autocar sewaktu acara pratonton crossover baharu Milano, CEO-nya Jean Philippe Imparato menegaskan pengganti Giulia akan tetap mengekalkan bentuk sedan tradisional, biarpun mengetahui segmen tersebut semakin mengecil.
Beliau berkata, “bentuk badan (sedan) akan membuat kemunculan semula. Saya tidak mahu Alfa Romeo menjadi sebuah jenama SUV.”
Giulia EV juga berkemungkinan besar akan membawakan profil yang menggandingkan elemen sedan dan wagon, sama seperti model shooting brake Genesis G70 dan Mercedes CLA.
“Saya tidak mahu berputus asa dalam pasaran sedan. Ia adalah DNA Alfa untuk mempunyai sebuah sedan sporti. Namun saya juga mengakui terdapat cadangan untuk menghasilkan Giulia versi station wagon (estate).”
Alfa Romeo juga turut memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik GTV dan Duetto dalam era EV.
“Langkah seterusnya yang sedang kami lakukan ialah: apakah jawapan untuk model GTV, dan apakah jawapan untuk model Duetto? Namun ia belum muktamad, dan saya tidak mahu mengulas tentangnya.
Pengeluar peranti pintar China, Xiaomi dijangka akan melancarkan model kereta elektrik pertama SU7 dalam masa terdekat.
Berdasarkan info daripada laman CNEVPost, sedan coupe itu dikatakan mempunyai jarak gerak sejauh 800 km.
Xiaomi SU7 boleh didapati dengan dua saiz pek bateri, iaitu 73.6 kWh (BYD) dengan dua pilihan jarak pemanduan, iaitu sejauh 628 km dan 668 km, serta kapasiti 101 kWh (CATL) yang menawarkan jarak gerak 750 km dan 800 km.
Dari segi ukuran, Xiaomi SU7 merupakan sebuah model sedan saiz pertengahan dengan dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi, 1440 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.
Di pasaran China, saiz SU7 adalah jauh lebih besar berbanding sedan Tesla Model 3 dan Nio ET5.
Difahamkan terdapat tiga varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna, iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max.
Varian asas SU7 akan dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion phosphate yang dibekalkan oleh BYD, serta menampilkan motor elektrik tunggal.
Sementara dua lagi varian (SU7 Pro & Max) pula mendapat bateri lithium ternary-ion daripada CATL, di mana kedua-dua varian tersebut bakal menerima tetapan dua motor elektrik.
Dalam laporan yang sama, Xiaomi bakal melancarkan dua model tambahan menjelang tahun hadapan, selepas pelancaran SU7 yang lebih dikenali dengan kod dalaman Modenat.
Model kedua (kod dalaman Lemang) pula merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang sama seperti Modenat, sementara model ketiga (kod Kunlun) merupakan sebuah kenderaan hibrid.
KEBIASAANNYA apabila menginap di hotel, pihak hotel akan mengalukan pelanggan mereka untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti gim, spa dan kolam renang.
Bagaimanapun, sebuah hotel di Jepun kini menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan mereka iaitu peluang untuk memandu pelbagai jenis model Toyota Supra.
Bermula 15 Januari hingga 30 Jun tahun depan, mereka yang menempah suite atau villa di Fuji Speedway Hotel boleh memilih untuk memandu sama ada GR Supra automatik tahun 2020 yang ditala oleh TOM’s atau GR Supra keluaran 2022 dengan transmisi manual.
Namun begitu, GR Supra manual tersebut hanya boleh dipandu oleh mereka yang mempunyai lesen memandu kereta manual. Peserta juga tidak dibenarkan untuk memandu di litar Fuji Speedway walaupun ia terletak bersebelahan dengan hotel.
Sesi pandu uji ini ditawarkan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’. Setiap sesi akan diadakan selama sejam, dengan lima sesi dijalankan setiap hari.
Lebih menarik lagi, pihak Fuji Speedway Hotel dan Toyota juga akan menganjurkan “Supra Winter Festival” pada 21 dan 22 Januari. Acara ini akan menampilkan dua buah model generasi A90, serta beberapa model terdahulu termasuk Celica XX 2000GT tahun 1985, Supra 2.5GT Twin Turbo Aerotop 1992 dan Supra generasi A80.
Peserta program pandu uji ini boleh memandu kereta-kereta tersebut selama setengah jam di jalan raya di sekitar hotel tersebut.
Disebabkan oleh kekurangan kawalan yang terdapat pada fungsi Autopilot, Tesla perlu memanggil semula (recall) hampir kesemua kenderaan yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.
Kempen terbaharu ini melibatkan lebih dua juta unit kenderaan termasuklah Tesla Model S, Tesla Model X, Tesla Model 3 dan Tesla Model Y.
Agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) telah melakukan penyiasatan terhadap teknologi Autopilot sejak tahun 2021 lagi, dan mendapati sistem tersebut tidak mempunyai kawalan mencukupi bagi mengelakkan ia daripada disalahguna oleh pemandu Tesla.
Menerusi kemaskini perisian, sistem Autopilot akan didatangkan dengan kawalan tambahan untuk memastikan pemandu sentiasa bersedia di belakang stereng, selain meringkaskan lagi fungsi Autosteer.
Kemaskini terbaharu itu juga akan turut merangkumi fungsi nyahaktif Autosteer sekiranya sistem mengesan pemandu yang gagal menumpukan perhatian sepanjang sistem tersebut diaktifkan.
Anda mungkin sekali pernah dengar salah satu jenama yang kini dimiliki oleh Geely, iaitu London Electric Vehicle Company (LEVC).
Ya, ia sebenarnya merupakan syarikat sama yang menghasilkan teksi London LEVC TX dengan spesifikasi yang lebih moden, dan dikuasakan oleh trenkuasa penambah jarak (rangeextender).
Kelak, LEVC bakal memperluaskan lagi perniagaan mereka dengan menawarkan produk baharu berbentuk sebuah minivan elektrik yang diinspirasikan daripada Airbus A380.
LEVC L380 (nama pun dah hampir serupa) membawakan rekaan luaran yang minimalis, di mana unit lampu utama terletak pada bahagian bampar depan, jalur LED nipis, rekaan pemegang pintu tertanam serta perumah kaca yang tinggi.
Ia dibina berdasarkan platform Space Oriented Architecture (SOA) Geely, dengan keupayaan untuk membawa enam hingga lapan orang pada satu-satu masa.
LEVC L380 akan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 268 hp yang dipadankan dengan pek bateri nickel-cobalt-manganese (NMC), besar kemungkinan berkapasiti antara 73 hingga 120 kWh.
Difahamkan, LEVC L380 akan memasuki pasaran China pada tahun hadapan sebagai pesaing kepada minivan daripada Denza, Zeekr, Trumpchi, Toyota dan juga Volvo.
KERJASAMA antara Automobili Lamborghini dan pasukan polis Itali kini diteruskan dengan kenderaan peronda lebuh raya baharu iaitu Urus Performante.
Buat pengetahuan anda, SUV berprestasi tinggi itu merupakan kereta Lamborghini keenam yang menyertai flit polis lebuh raya Itali sejak termeterainya kerjasama antara dua pihak itu pada 2004.
Urus Performante itu bakal memasuki perkhidmatan bermula tahun hadapan bersama dengan Huracan LP610-4 dan akan digunakan untuk tugasan-tugasan khas termasuk penghantaran segera organ dan plasma.
Jentera ini disiapkan oleh jurutera Lamborghini di Sant’Agata Bolognese mengikut spesifikasi polis. Livery direka oleh studio Lamborghini Centro Stile, menampilkan gabungan warna biru dan putih polis Itali, serta warna bendera Itali pada bahagian sisi dan tali pinggang keledar.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan logo polis yang dibalut filem pantulan cahaya, bar lampu LED biru 360 darjah di atas bumbung dan siren elektrik dua nada.
Bahagian kokpit pula menampilkan kotak senjata, paparan boleh lipat dan kotak simpanan di dalam but untuk menyimpan alat defibrilator.
Lebih penting lagi, terdapat juga peti sejuk mudah alih untuk membawa organ serta paparan dan pengelog data untuk pemantauan suhu secara berterusan.
Urus Performante ini tidak akan mempunyai masalah untuk menggalas tugasnya dalam situasi kecemasan kerana ia dikuasakan oleh enjin 4.0 liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 666 PS dan 850 Nm.
Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 306 km/j.
Berita sedih untuk para peminat Honda, di mana pengeluar itu mengesahkan mereka tidak lagi akan menawarkan hatchback comel Honda e untuk pasaran UK dan Eropah.
Bercakap kepada laman TopGear.com, Honda tidak lagi akan menerima tempahan bagi model tersebut memandangkan ia telah mencapai misi yang disasarkan.
Menurut Honda, model e telah banyak menarik golongan pelanggan baharu dengan rekaan, teknologi termaju, serta dinamik pemanduan Honda yang tersendiri.
Antara punca ia kurang mendapat sambutan ialah harga jualan yang agak tinggi (bermula dari £37 ribu atau RM218 ribu) untuk sebuah EV dengan jarak gerak sejauh 220 km sahaja.
Honda e akan digantikan secara terus oleh model crossover elektrik e:NY1.
MV Agusta memperkenalkan model palinng eksklusif pernah dihasilkan jenama motosikal Itali itu menerusi Superveloce Arsham hasil kerjasama dengan artis, Daniel Arsham.
Mengguna pakai MV Agusta Superveloce sebagai asas utama, versi eksklusif ini tampil dengan warna serba putih dengan beberapa panel menampilkan kesenian unik.
Apa yang membuatkan model ini cukup eksklusif adalah hanya enam unit model ini dihasilkan. MV Agusta menyifatkan kerjasama kali ini sebagai mencerminkan DNA Superveloce itu sendiri iaitu menarik perhatian, ‘avant-garde’, ikonik dan berteknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Timur Sardarov, turut meluahkan rasa teruja akan kerjasama dengan Arsham.
“Saya teruja dengann kolaborasi ini, Arsham merupakan seorang artis yang saya kagumi dan seninya mirip dengan MV Agusta terutamanya dari aspek nilai dan falsafah. Bersama-sama kami mengangkat seni motosikal ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Arsham menyifatkan model eksklusif sebagai arca yang bergerak sekaligus menjelaskan pemilihan warna putih dan bahagian yang terdedah seakan arca yang pecah.
Untuk rekod, MV Agusta Superveloce Arsham ini dikuasakan enjin tiga silinder798cc yang berupaya menghasilkan 147hp dan 88Nm.
WALAUPUN mempunyai bentuk badan berkotak dan bumbung yang tinggi, MPV masih ada potensi untuk tampil lebih sporty dan menarik, dengan syarat ia mendapat sentuhan yang betul dari mereka yang pakar.
Buktinya? Lihat sahaja hasil kerja terbaru dari Manhart ini. Dikenali sebagai V 350, ia masih sebuah van namun mempunyai aura yang lebih menggerunkan.
Ini kerana V 350 didatangkan dengan bampar depan baharu dengan bukaan intake yang besar, yang jelas diinspirasikan daripada bampar Mercedes-AMG, berserta lip pada bahagian bawah.
Selain itu, terdapat juga gril dengan kemasan mesh, penutup bonet yang lebih ‘berotot’ dan skirt sisi. Bahagian belakang pula menampilkan sambungan dapra, diffuser dan empat muncung ekzos. Oleh kerana ini Manhart, semua komponen kit badan diperbuat daripada gentian karbon.
Seperti yang boleh dilihat, V 350 Manhart ini kelihatan lebih rendah berbanding biasa. Ia dilengkapi dengan set gegelung H&R yang mengurangkan ketinggian sebanyak 25 mm, dipadankan pula dengan rim double spoke 20 inci.
Enjin 2.2-liter turbodiesel yang asal dikekalkan namun dengan penggunaan unit kawalan tambahan MHtronik, ia kini menghasilkan 280 PS dan 585 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 41 PS dan 85 Nm.
Harga untuk pakej ini tidak dinyatakan namun semua komponen dijual secara berasingan, dengan harga bermula dari 625 euro untuk gril hingga 4,685 euro untuk bampar belakang dan diffuser.
Volkswagen kini sedang merancang untuk membangunkan kereta elektrik yang lebih murah untuk berdepan dengan saingan daripada pengeluar China.
Menurut laporan Automotive News Europe, Volkswagen dikhabarkan telah berhubung dengan Renault untuk perbincangan peringkat awal, dan salah satu sasaran yang ditetapkan ialah untuk mencapai produksi tahunan berjumlah 200,000 hingga 250,000 unit.
Wakil jurucakap Renault menghubungi Automotive News dan menyebut, “kami sedang dalam perbincangan yang berbeza, tetapi tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.
Volkswagen pula enggan mengulas lanjut.
Renault sebelum ini telah memperlihatkan sebuah model konsep Twingo yang bakal diposisikan sebagai kereta elektrik aras mula, dan akan dijual seawal tahun 2026.
Selain Twingo, Renault akan menggunakan senibina Ampr Small (sebelum ini dikenali sebagai CMF-BEV) untuk model seperti R5 dan juga R4, di mana hampir 70 peratus komponen datang daripada platform CMF-B sedia ada untuk mengurangkan kos pembangunan.
Volkswagen pula sebelum ini mendedahkan sebuah model ID.2all dengan kos kurang dari €25,000 (RM126,063), sebelum disusuli dengan sebuah lagi EV yang lebih mampu milik dengan julat harga dibawah €20,000 (RM100k).
Kerjasama antara kedua-dua belah pihak itu dilihat mampu untuk mempercepatkan proses pembangunan, selain dapat mengurangkan penguasaan pasaran EV daripada pesaing jenama automotif China yang kian berkembang di pasaran tersebut.