Arkib Kategori: DUNIA

Dongfeng Concept Pickup 2024 – ‘Tesla Cybertruck’ buatan China, 1035 hp!

Jika anda merasakan rekaan luaran Tesla Cybertruck terlalu bersegi dan tidak selamat untuk digunakan, anda tidak keseorangan.

Dongfeng cuba untuk menghilangkan trauma yang dialami oleh para peminat trak pikap dengan memperlihatkan model Concept Pickup 2024 bersempena dengan acara Beijing Auto Show tahun ini.

 

Dibina berdasarkan platform papan selaju EV, Concept Pickup ini dikatakan mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,305 hp, jauh lebih bertenaga berbanding varian CyberBeast Tesla Cybertruck.

Daripada sudut luaran, tidak dapat dinafikan Concept Pickup ini banyak diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck.

Namun, jika dibandingkan dengan rekaan Cybertruck yang agak bersegi, Concept Pickup Dongfeng ini membawakan rekaan yang lebih lembut, dengan kemasan panel badan yang lebih sedap mata memandang dan garisan bumbung yang lebih rata.

 

Terdapat juga bar lampu LED yang bertenggek di atas bumbung, kehadiran ruang storan pada bahagian hadapan, bukaan pintu jenis suicide, tempat pemijak sisi boleh lipat, serta rekaan rim aerodinamik.

Dongfeng memperlihatkan kegunaan sebenar bahagian bed belakang trak pikap ini dengan memuatkan struktur khemah pop-out.

Susun atur dan rekaan ruang kabin pula nyata lebih moden dan menerapkan pendekatan yang lebih minimalis.

 

Terdapat roda stereng berbentuk segi empat, diikuti skrin lebar memenuhi bahagian atas papan pemuka, tempat tangan berpaut pada penghujung, rekaan lantai yang rata, serta kerangka tempat duduk dipercayai diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Buat masa ini, pihak Dongfeng masih belum memutuskan sama ada Concept Pickup ini bakal direalisasikan atau dikekalkan sebagai model konsep.

 

Tesla Cybertruck akhirnya dapat mod off-road dengan pengunci differential

TESLA Cybertruck telah membuat kemunculan di Malaysia baru-baru ini selepas beberapa bulan berada dijual di seluruh dunia. Tetapi ia tidak mempunyai beberapa ciri utama sebuah trak pikap (itu pun jika anda mahu guna Tesla Cybertruck ini seperti sebuah trak pikap).

Apa pun, kemas kini perisian tidak lama lagi akan memberikan Cybertruck pengunci differential dan beberapa ciri off-road lain untuk membolehkan anda memandunya di laluan mencabar.

Ciri ini dinamakan Off-Road Mode, yang akan menambah baik pengendalian di batu-batu, kerikil, salji tebal, dan pasir.

Pengunci differential itu boleh didapati di model dwi-motor pacuan semua-roda. Model tiga motor pula boleh dikunci differential depannya, sementara differential belakang memasuki mod Overland.

Trail Assist pula membantu kelancaran di kelajuan perlahan di atas permukaan tidak rata supaya pemandu boleh fokus kepada kawalan stereng.

Terdapat juga Baja Mod yang boleh membantu keseimbangan dan pengendaliannya jika pemandu menetapkan Stability Assist pada tahap Minimal. Ia berfungsi dengan kawalan naik dan menuruni bukit.

Tetapi bukan semua kemas kini adalah untuk fungsi off-road. Tesla juga memperbaiki kebolehan trak ini untuk mengagak beban dan melaraskan suspensi adaptif dengan sesuai.

CyberTent Mode pula mengimbangi suspensi supaya trak ini kekal tegak walaupun ia berada di permukaan senget. Ini membolehkan anda tidur di atas permukaan rata (sekiranya anda mahu tidur di dalam Cybertruck). Ia juga membiarkan lampu dan soket kuasa dihidupkan.

Kemas kini terbaharu Cybertruck ini diumumkan oleh Tesla di laman X (Twitter) mereka.

Force Gurkha 5-pintu, ‘G-wagen’ buatan India yang lebih mampu milik

Ini bukanlah sebuah Suzuki Jimny 3 atau 5 pintu dengan kit badan menyerupai sebuah Mercedes-Benz G-Wagen.

Apa yang anda lihat dalam artikel kali ini ialah sebuah SUV keluaran Force Motors yang berasal dari India, iaitu Force Gurkha.

 

Generasi keempat Force Gurkha telah pun dilancarkan pada tahun 2021, di mana model tersebut menerima kemaskini untuk model tahun 2024 dengan membawakan kembali bentuk badan 5-pintu yang lebih panjang.

Selain daripada rekaan luaran Gurkha ini sememangnya diinspirasikan daripada G-Class, ia turut dikuasakan oleh enjin yang disumberkan oleh Mercedes-Benz.

Secara standard, Force Gurkha datang dengan enjin diesel Mercedes 2.6 liter dengan kuasa sekitar 138 hp dan 320 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan empat roda (4WD), pembeza kekunci depan dan belakang, serta kotak gear manual lima-kelajuan.

 

Dari segi ukuran, Gurkha yang paling panjang membawakan dimensi 4,390 mm (+425 mm berbanding Gurkha 3-pintu), diikuti dengan jarak antara roda sekitar 2,825 mm.

Dimensi jarak antara roda yang panjang itu membolehkan Gurkha 5-pintu memuatkan tetapan tiga baris tempat duduk, walaupun ia sebenarnya panjang sedikit berbanding Honda HR-V.

Versi kemaskini tahun 2024 ini mengekalkan rekaan yang diinspirasikan daripada G-Glass, termasuklah unit lampu utama berbentuk bulat, bampar plastik serta penambahan fender lebar plastik.

 

Untuk ruang kabin, kedua-dua varian 3 dan 5-pintu didatangkan dengan ciri seperti skrin infohibur sebesar sembilan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital, serta penggunaan bahan seakan permukaan sentuh lembut.

Sayang sekali, ciri keselamatan Force Gurkha dihadkan kepada dua beg udara, tali pinggang keledar, ABS dan juga kamera undur.

Pesaing kepada Suzuki Jimny 5-pintu dan Mahindra Thar Armada ini akan mula dijual di India dalam masa terdekat, dengan harga jualan dianggarkan bermula dari Rs 1,610,000 (RM92,032).

 

MotoGP: Masih tiada peningkatan – Fabio Quartararo

Walaupun Yamaha mencuba pakej aero baharu di Jerez namun pelumba utama, Fabio Quartararo merasakan percubaan itu tidak membawa impak besar. 

Quartararo menyifatkan aero baharu itu – yang menampilkan tiga panel sayap berbanding dua sebelum ini – sebagai ‘neutral’. 

Namun, pelumba Perancis itu berpendapat hanya casis yang diuji di Jerez membawa perbezaan besar berbanding komponen lain. 

Bagaimanapun, rakan sepasukan, Alex Rins berpendapat sebaliknya.

“Saya tidak gemar dengan casis baharu itu kerana saya di selekoh saya tidak rasa sebarang peningkatan,” jelasnya. 

Alex Rins SPA
Monster Energy Yamaha MotoGP Team
Yamaha
MotoGP
Test Spain 2024 (Circuit Jerez) 29.04.2024
photo: Lukasz Swiderek

www.photoPSP.com

@photopsp_lukasz_swiderek

Untuk rekod, catatan masa Quartararo pada 2022 di Jerez jauh lebih baik berbanding catatan pada Ahad. 

“Kami sedang menganalisis segalanya dan berharap dapat melakukan sesuatu untuk kembali mendapatkan rentak seperti 2022,” ujar Quartararo. 

Selepas GR Yaris & GR Corolla, Toyota mahu bikin hot hatch GR Starlet, FWD, 1.3L Turbo!

Tidak cukup dengan penawaran sedia ada, Toyota dilapor sedang merancang untuk menambah satu lagi model pantas sebagai pelengkap kepada model GR Yaris dan GR Corolla.

Menurut laporan terkini daripada negara Matahari Terbit, Toyota dilapor sedang membangunkan sebuah hot hatch yang mungkin akan digelar sebagai GR Starlet.

 

Laman Best Car Web mendedahkan model Starlet yang sedang dirancang itu bakal menjadi sebuah jentera fokus rali bagi membolehkannya bertempur di dalam kelas Rally 4 menentang model Renault Clio, Peugeot 208 dan Ford Fiesta.

Antara ciri-ciri unik yang bakal dimuatkan pada GR Starlet:

 

1. Sistem pacuan roda hadapan

Tidak seperti GR Yaris dan GR Corolla yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, GR Starlet akan dihasilkan khusus dengan sistem pacuan roda depan (FWD) sahaja.

 

2. Enjin tiga silinder sebaris, kapasiti direndahkan

Toyota GR Starlet dilapor akan menggunakan nadi tiga silinder sebaris yang diperoleh daripada model GR Yaris.

Namun begitu, kapasiti enjin tersebut akan direndahkan kepada 1.3 liter, dengan kuasa sekitar 150 hp dan 220 Nm.

 

3. Transmisi manual atau automatik

Kuasa 150 hp itu tadi akan disalurkan kepada roda depan menerusi dua pilihan transmisi, iaitu kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan nisbah kelajuan.

 

4. Hot hatch yang ringan

Sekiranya rancangan tersebut menjadi kenyataan, GR Starlet akan menjadi sebuah hot hatch dengan berat badan yang agak ringan, sekitar 980 kg sahaja.

Sebagai perbandingan, sebuah GR Yaris memiliki berat sekitar 1,280 kg.

 

5. Harga lebih murah

Dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas, harga jualan model baharu itu dijangka bermula sekitar 2.5 juta yen, atau RM76 ribu sahaja.

QJMotor lancar MTX150 untuk pasaran global 

QJMotor memperkembangkan tawaran motosikal di pasaran global menerusi skuter kompak, MTX 150.

Untuk rekod, MTX 150 merupakan skuter terbaru dari QJMotor yang bakal menembusi pasaran global setelah versi 125cc berjaya menempah nama di Eropah. 

Mengekalkan reka bentuk yang sama seperti varian 125cc, MTX150 ini dikuasakan enjin 150cc satu silinder yang berupaya menjana 15.8hp dan 13.7Nm. 

Selain itu, antara kelengkapan lain turut ditawarkan termasuk cakera brek tunggal depan dan belakang, pencahayaan LED penuh, panel meter digital, penyerap hentak berkembar di belakang serta tangki bahan api berkapsiti 8L. 

Menariknya, daya tarikan utama MTX150 adalah penggunaan sistem hibrid yang menyumbang kepada tahap pembakaran yang lebih efisien dan mampun mencapai 2.2L/100km atau 45km/liter. 

Buat masa ini belum ada desas-desus sama ada model ini akan turut dilancarkan di Malaysia. 

Chery Omoda 7 bakal masuk pasaran awal 2025

KIRA-kira 1,100 km dari Beijing iaitu di Wuhu, Chery telah memperkenalkan model global Omoda yang kedua iaitu Omoda 7.

Seperti Omoda 5, Omoda 7 juga merupakan sebuah SUV dan menurut Chery, ia akan dilancarkan ke pasaran pada awal tahun hadapan.

Dari segi saiz pula, Omoda 7 seperti yang dijangka lebih besar berbanding adiknya dengan ukuran panjang 4,621 mm, lebar 1,872 mm, tinggi 1,673 mm, dengan jarak roda 2,700 mm.

Untuk perbandingan, Omoda 5 mempunyai ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm, dengan jarak roda 2,630 mm.

Berbalik kepada Omoda 7, Chery dalam kenyataan berkata ia menampilkan bahasa reka bentuk “Stylish 360°” yang mengetengahkan siluet ala fastback untuk menarik minat golongan muda.

Antara elemen menarik yang boleh dilihat adalah gril parametrik dengan corak berbentuk heksagon, skema warna dua tona serta rekaan lampu yang tajam dengan grafik ‘Electric Energy’ pada bahagian belakang.

Di dalam, anda akan menemui stereng yang direka berdasarkan pengawal PlayStation 5 dan skrin berukuran 15.6 inci yang boleh diluncur dari bahagian tengah papan pemuka ke hadapan penumpang hadapan.

Sementara itu, tempat duduknya pula diinspirasikan daripada kerusi gaming dan dibalut kulit nubuck. Ciri-ciri lain termasuk sistem audio 12+2 pembesar suara yang menawarkan pengalaman audio seperti dewan konsert, fungsi arahan suara empat zon, sistem pewangi pintar dan sistem pembatalan bunyi ENC.

Memacu Omoda 7 adalah enjin TGDi 1.5-liter empat silinder dengan sistem hibrid plug-in. Perincian teknikal seperti kuasa dan tork tidak dinyatakan namun menurut Chery, trenkuasa ini mempunyai mod “penjimatan tenaga ekstrem” yang membolehkan ia mencapai jarak pandu sejauh 1,200 km dengan bateri dan tangki penuh.

Ciri bantuan pemandu dan keselamatan pula merangkumi 18 sistem ADAS, Auto Parking, dan enam beg udara. SUV ini juga dikatakan mempunyai ketegaran torsi (torsional stiffness) 25,000 N·m/degree.

TAC-6, trak 6×6 berperisai, guna asas Land Cruiser 79 Series

Toyota Land Cruiser 70 Series merupakan antara model SUV/trak pikap off-road yang sukar untuk dimatikan, dan masih lagi model kenderaan yang boleh dipercayai untuk dibawa ke mana sahaja.

Selain daripada digunakan oleh orang awam, Land Cruiser 70 Series turut digunapakai oleh syarikat-syarikat perlombongan dan tidak ketinggalan pasukan pertahanan di serata dunia.

Ini ialah TAC-6, sebuah Toyota Land Cruiser 79 Series enam roda yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar dari Afrika Selatan, iaitu Armormax Defence.

Pada mulanya, pihak Armormax dikehendaki oleh French Special Forces untuk menghasilkan sebuah kenderaan tentera yang boleh bertahan di bawah apa jua keadaan, dan tidak memerlukan sebarang latihan khusus.

Bermula dari sebuah Land Cruiser 79 Series, Armormax kemudian memanjangkan casis asal dengan menambah gandar ketiga, unit transfer case kedua, diikuti dengan komponen aci pemacu tugas berat Dana.

Sistem gantungan asal spring dedaun boleh dikekalkan, atau dinaiktaraf kepada sistem suspensi yang mampu meninggikan jarak lega bumi sebanyak empat inci.

Terdapat pilihan enjin V6 4.2 liter atau V8 4.8 liter, di mana kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan sistem kotak gear automatik ZF yang dibina khusus untuk model TAC-6.

Menurut Armormax, kotak gear lapan nisbah kelajuan ini dikatakan mampu bertahan dalam apa jua keadaan pemanduan, dan boleh menampung daya kilas sehingga 1,000 Nm.

Sistem penyejukan khas turut dimuatkan untuk membantu pemanduan di dalam keadaan cuaca panas dan berpasir.

Tidak lengkap penawaran TAC-6 tanpa sistem pertahanan yang khusus.

Untuk model ini, Armormax menawarkan perlindungan tahap B6 dapat dapat menahan serangan peluru raifal berkuasa tinggi, selain kelengkapan pertahanan lain yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Untuk memudahkan urusan pemanduan, Armormax memasang sehingga dua tangki bahan api, masing-masing sebesar 210 liter dan 90 liter, dengan jarak pemanduan mampu mencecah melebihi 2,000 km.

Tidak cukup?

Anda boleh memilih tangki bahan api yang lebih besar dengan kapasiti sehingga 560 liter untuk model kabin berkembar, atau sehingga 610 liter untuk model kabin tunggal.

 

Beijing Motor Show 2024: BYD Ocean-M, hot hatch EV RWD ganas bergaya

Bertempat di Beijing Auto Show, BYD memperlihatkan sebuah model konsep yang bakal direalisasikan pada tahun ini, iaitu BYD Ocean M.

Berkemungkinan besar versi produksi sebenar tidak akan seganas apa yang diperlihatkan ini, namun setidak-tidaknya kita sudah tahu BYD bakal menawarkan produk yang unik kelak.

Antara fakta yang menarik pasal BYD Ocean-M:

 

Hatchback pantas segmen C

BYD bakal memposisikan model produksi Ocean-M di antara model Dolphin dan Seal.

Bermakna, Ocean-M akan menjadi sebuah hatchback EV di dalam segmen C, dan mampu memberikan cabaran kepada model seperti MG4.

 

Reka bentuk luaran sporti

Untuk model konsep yang dipamerkan ini, BYD cuba untuk menjadikan penampilan yang lebih dekat dengan jiwa kelajuan.

Antara ciri menarik yang boleh dilihat termasuklah komponen splitter hadapan besar, sirip pada bahagian sisi, spoiler tinggi serta diffuser belakang stail GT3.

Muka depan pula mengingatkan kita pada model Lamborghini Aventador, diikuti dengan profil sisi yang tampak sporti dan dinamik

 

Hot hatch pacuan roda belakang (RWD)

Unik untuk Ocean-M ialah senibina elektrik baharu dengan sistem pacuan roda belakang.

Buat masa ini, BYD masih belum mendedahkan spesifikasi terperinci rangkaian kuasa elektrik yang bakal dipadankan pada Ocean-M.

 

Harga jualan mampu milik?

Menurut laporan Car News China, BYD menyasarkan harga jualan Ocean-M versi produksi bermula dari RMB150,000 hingga 200,000 (RM98,841-RM131,789).

 

Skandal 1MDB: Polis Jerman sita empat Bugatti Veyron Les Legendes

Sebanyak empat buah supercar edisi terhad Bugatti Veyron telah disita oleh pihak polis dalam satu serbuan di premis penyimpanan kereta persendirian Motorworld Munich, Jumaat lalu.

Menurut laporan penerbitan Jerman Bild, empat unit supercar eksklusif itu dikatakan berkait rapat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Empat unit Bugatti Veyron yang disita itu merupakan sebahagian daripada siri produksi terhad Les Legendes de Bugatti yang terdiri daripada empat edisi iaitu Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini.

Ketika siri Les Legendes itu diperkenalkan pada tahun 2013, setiap satu unit dianggarkan bernilai sekitar $3 juta (RM14.31 juta).

 

Hanya 18 unit sahaja kereta Les Legendes dibina oleh Bugatti berdasarkan model Veyron Grand Sport Vitesse yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,200 PS @ 6,400 rpm dan daya kilas 1,500 Nm @ 3,000-5,000 rpm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.6 saat dan kelajuan maksimum 375 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Akhbar penerbitan Jerman Bild walau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti sebenar pemilik bagi setiap Bugatti Veyron yang telah disita itu.

 

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo J7 dipertonton dengan versi PHEV – 347PS, 525Nm!

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif di Malaysia, anda akan ketahui bahawa Jaecoo J7 telah dipertonton, malah telah dibuka tempahannya. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara RM150k hingga RM160k.

Terkini, sub-jenama di bawah Chery ini memperkenalkan pula versi PHEV (plug-in hybrid), ditayangkan di Auto China 2024 di Beijing. Ia nampak hampir serupa dengan versi petrol, tetapi sudah tentu mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi.

Ia oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi petrol yang dikatakan versi spesifik untuk hibrid. Enjin ini digandingkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan motor elektrik di depan, memberikan J7 PHEV output keseluruhan sebanyak 347PS dan 525Nm tork.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 biasa mempunyai enjin 1.6-liter TGDi dengan 197PS dan 290Nm tork.

J7 PHEV ini juga mampu dipandu dalam mod EV sehingga 88km. Penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.9 liter/100km. Menurut Jaecoo, ini memberikan kemampuan J7 PHEV untuk dipandu sehingga 1,200km untuk setiap tangki.

Menariknya, J7 PHEV ini boleh dicas menggunakan DC. Walaupun tidak didedahkan berapa lama tempoh untuk pengecasan, ia pastinya boleh dibuat dalam tempoh masa yang singkat.

Satu ciri pada J7 PHEV ini ialah fungsi V2L, iaitu kemampuan mengecas perkakasan luaran. Fungsi ini juga terdapat pada Chery Omoda E5.

Dari segi rupa luaran, Jaecoo J7 PHEV boleh dibezakan dari rim 19-inci aero, flap penutup tempat pengecasan di sisi kanan, dan ketiadaan ekzos di belakang. Ciri standard juga adalah pemegang pintu retractable.

Belum dapat dipastikan sama ada Jaecoo J7 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami rasa ia pastinya akan memberikan pilihan menarik untuk kita. Apa pendapat anda dengan spesifikasi J7 PHEV ini?

Genesis G80 EV Magma Concept buat kemunculan di Beijing

SELEPAS memperkenalkan GV60 Magma Concept pada Mac lalu, sub-jenama prestasi dari Genesis iaitu Magma kini kembali dengan model konsep keduanya iaitu G80 EV Magma Concept.

Diperkenalkan di Auto China 2024, ia tampil berbeza dengan model-model konsep dengan warna Acme Blue yang diinspirasikan oleh api biru yang membakar pada julat suhu tertinggi.

Jika dibandingkan dengan model asas Electrified G80, jentera yang mendapat sentuhan Magma ini tampil lebih agresif dengan rekaan bampar lebih sporty, fender lebih lebar, spoiler ekor itik, diffuser dan rim 21 inci.

Gambar ruang dalaman tidak disediakan namun menurut Magma, ruang kabin kereta konsep ini dihiasi dengan elemen-elemen mewah seperti Alcantara, upholsteri kulit dan kemasan gentian karbon dengan anyaman berwarna biru.

Dari segi prestasi, G80 EV Magma Concept mendapat beberapa naik taraf yang terdiri daripada ukuran track yang lebih lebar, sistem suspensi canggih, serta sistem brek berventilasi di bahagian hadapan dan belakang.

Tidak cukup dengan itu, rim tersebut didatangkan dengan rekaan khas yang bukan sahaja mengurangkan berat malah membantu menyejukkan cakera brek.

Magma bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai trenkuasa. Ia mungkin didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang sama seperti Electrified G80 namun dengan kuasa yang lebih tinggi daripada 365 hp.

Lotus Evija X catat masa ketiga terpantas di Litar Neraka Hijau

Litar Nurburgring Nordschleife, atau dikenali dengan nama Neraka Hijau merupakan lokasi wajib bagi para pengeluar automotif untuk menguji prestasi jentera pantas masing-masing.

Terbaharu, Lotus telah memuat naik video rakaman pemanduan mengelilingi litar terkenal tersebut di dalam sebuah hypercar binaan sekali (one-off), iaitu Evija X.

 

 

Lotus Evija X yang sangat agresif itu mencatatkan pusingan sepantas 6:24.047 saat, namun sayang sekali ia bukanlah catatan masa yang terpantas pernah direkodkan.

Kereta yang lebih pantas berbanding Lotus Evija X? Dua jentera lumba, iaitu Volkswagen ID.R dengan catatan masa 6:05.336 saat, dan Porsche 919 Hybrid Evo (5:19.546 saat).

Lotus tidak mendedahkan perincian spesifikasi Evija X, bermakna ia berkemungkinan besar mempunyai kuasa 2,011 hp dan 1,704 Nm yang sama seperti model jalanan.

 

Apa yang mencuri tumpuan ialah kehadiran pakej aero yang sangat ekstrem, seperti contoh kehadiran splitter depan gergasi, sayap belakang besar, serta ruang kabin yang kosong tanpa kelengkapan mewah.

Aspek penting seperti gantungan, brek dan tayar telah dinaik taraf untuk memastikan jentera ini melekat dengan baik di setiap selekoh.

Disebabkan naik taraf yang disebutkan itu tadi, Evija X mampu mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j, dengan janaan daya mendap maksimum sehingga 4,500 kg!

 

Masalah pedal tersangkut, kira-kira 17,500 Mario Kart dipanggil semula

JAKKS Pacific, pengeluar go-kart kanak-kanak bertemakan Mario Kart telah memanggil semula kira-kira 17,500 unit model Ride-On Racer Car Toys yang dijual sepanjang tempoh Oktober 2022 hingga Januari 2024.

Difahamkan, sejak model Mario Kart itu mula dijual, pihak tersebut telah menerima sebanyak 65 aduan pedal tersangkut, 15 kes kemalangan dan satu kes kecederaan.

Model go-kart yang dimaksudkan itu menggunakan sistem bateri 24 voltan dan mudah untuk dikenali terima kasih kepada liveri bertemakan Mario Kart.

Menurut pengeluar, masalah pedal tersangkut pada model tersebut akan mengakibatkan go-kart itu terus bergerak ke hadapan walaupun selepas pemandu mengalihkan kaki daripada pedal.

Untuk memudahkan urusan, pihak JAKKS Pacific akan menghantar kit pembaikan yang merangkumi segala komponen yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut di rumah pemilik masing-masing.

JAKKS Pacific juga turut mengingatkan pemilik go-kart elektrik itu supaya mencabut kabel negatif bateri sebelum proses pembaikan diteruskan.

Mario Kart 24V Ride-On Racer Car Toys itu memiliki berat sekitar 28 kg, dimana ia mampu mencapai kelajuan sehingga 12 km/j dengan tiga mod kelajuan dan satu mod mengundur.

Selain itu, go-kart comel itu juga turut dilengkapi dengan sistem runut bunyi enjin, serta muzik tema permainan Mario Kart 8 Deluxe yang boleh dimainkan semasa ia dipandu.

 

Ducati mahu jadikan Thailand hab eksport Asia Pasifik

PENGELUAR motosikal Itali, Ducati Motor Holding mahu menjadikan Thailand salah satu hab eksport selepas membuka kilang pengeluaran di Rayong. Ianya merupakan kilang pemasangan pertama Ducati di Asia.

Imej oleh: Bangkok Post

Kilang dengan pelaburan 400 juta Baht (RM51.6 juta) itu mampu mengeluarkan 10,000 motosikal setahun untuk fasa pertama.

“Thailand ialah satu pasaran penting bagi motosikal besar atau premium, dan kami mahu menjadikan Thailand sebagai pangkalan eksport,” kata Claudio Domenicali, CEO Ducati Motor Holding.

“Kami menghasilkan semua model Ducati di kilang Rayong. Kami memastikan produk-produk menepati standard tinggi yang ditetapkan oleh firma di Itali,” katanya.

Gambar oleh: Prestige Hong Kong

Syarikat itu berhasrat mengeksport hasil pengeluarannya ke serantau Asia Pasifik. Pasaran utamanya di luar Asia buat masa ini termasuklah Itali, Jerman, UK, dan Amerika Syarikat.

Di Thailand, pasaran motosikal berkuasa tinggi dijangka meningkat, dipacu oleh gaya hidup para penunggang.

Federation of Thai Industries (FTI) menjangkakan jualan keseluruhan motosikal berkuasa tinggi sekitar 15,000 unit di Thailand tahun ini.

Beijing Motor Show 2024: Volkswagen ID.Code Concept yang boleh melihat anda

VOLKSWAGEN antara pengeluar yang menyertai acara Auto China 2024 di Beijing, dan model yang menjadi tarikan utama mereka sudah tentu ID.Code Concept.

Dari luar, ia kelihatan seperti SUV biasa, kabinnya pula sedikit radikal. Tipikal seperti sebuah kenderaan konsep dengan empat tempat duduk individual serta kokpit minimalis. Tetapi yang ingin kita bincangkan ialah teknologi padanya.

Ia menampilkan 3D Eyes yang ‘melihat’ anda mendekati kereta ini. Ciri ini sebahagian dari sistem pencahayaan interaktif yang dibawakan oleh Volkswagen untuk masa depan autonomi.

Jika anda lihat strip cahaya memanjang antara dua lampu depan, ianya dinamakan Light Cloud, yang terdiri dari 967 LED. Inilah yang membentuk ‘mata’ berbentuk-U yang membuatkan SUV ini seolah-olah sedang memandang.

Pencahayaan ini bekerja dengan Light Screen, iaitu bahagian ‘senyum’ di bawah Light Cloud. Volkwagen menggunakan cat jernih, yang mana bila Light Screen dipadamkan, nampak seperti bahagian normal.

Semasa dihidupkan, ia boleh menayangkan pelbagai maklumat dari laporan cuaca hinggalah grafik buah ceri di musim bunga. Jika ada kereta berhenti untuk memberi lalua anda membelok, ia akan menayangkan bentuk hati sebagai ucapan terima kasih.

Ada lagi ciri pelik, iaitu Smart Windows. Pada beberapa tempat di cermin, ia boleh menayangkan avatar berbentuk manusia yang boleh diajak berbual.

Kemudian, satu ciri rahsia dari Volkswagen ialah satu bentuk hubungan atau komunikasi kereta ini oleh teknologi AI. Komunikasi ini tidak terhad kepada pemiliknya sahaja.

Pelbagai kamera dan pengesan juga memberikan ID.Code fungsi Autonomous Level 4. Dengan itu, anda boleh memusingkan tempat duduk depan 180-darjah, jadi anda boleh berbual dengan penumpang belakang.

Rupa luaran ID.Code ini Volkswagen terangkan sebagai sleek dan seperti jet, memberikan kombinasi SUV praktikal dan kenderaan grand touring sporti.

ID.Code hanyalah sebuah konsep buat masa ini. Tidak dinyatakan jenis rangkaian kuasa, jarak pemanduan, atau sebarang elemen mekanikal.

Tiada juga dinyatakan pelan pengeluaran, walaupun Volkswagen berkata ID.Code memberikan klu tentang hala tuju mereka untuk masa depan di China.

Toyota bZ3C, bZ3X muncul di Auto China 2024

Segmen EV yang sudah sedia sesak di pasaran China kini dipadatkan lagi dengan kehadiran dua buah model EV daripada jenama nombor satu dunia, iaitu Toyota bZ3C dan Toyota bZ3X.

Kedua-dua model ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada Auto Shanghai 2023 yang dikenali dengan nama bZ Sport Crossover Concept dan bZ FlexSpace Concept.

Apa yang kami faham, model Toyota bZ3C dibangun menerusi kerjasama antara BYD, FAW dan pusat R&D Intelligent ElectroMobility Toyota (IEM), manakala model bZ3X pula hasil kerjasama antara Toyota, Guangzhou Automobile Group Co, GAC Toyota Motor Co. Ltd dan IEM Toyota.

 

Toyota bZ3C membawakan bentuk badan crossover coupe dengan struktur bumbung yang melandai rendah ke belakang, diikuti rekaan luar yang mengingatkan kita pada model bZ4X dan Prius.

Pendekatan yang minimalis seakan Tesla digunakan dalam menghasilkan ruang kabin bZ3C ini, di mana ia menampilkan skrin tengah bersaiz besar, kluster digital yang lebih kecil, sistem pencahayaan ambien yang unik.

 

Sementara Toyota bZ3X pula dilihat lebih besar dimensinya berbanding bZ3C, membawakan binaan badan SUV yang lebih tradisional dan lebih menegak.

Disebabkan garis bumbung yang lebih rata, ruang kabin bZ3X ini nampak lebih luas, dan turut menerapkan elemen rekaan yang minimalis.

 

Selain skrin infohibur dan roda stereng dua jejari, terdapat juga pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar berkembar, sistem pencahayaan ambien, serta bumbung kaca panorama.

Sayang seribu kali sayang, ketika artikel ini sedang ditulis tiada sebarang perincian spesifikasi terutama unit rangkaian kuasa yang digunakan oleh bZ3C dan bZ3X didedahkan oleh Toyota.

Untuk makluman, Toyota pada tahun lepas telah pun melancarkan sedan elektrik Toyota bZ3 untuk pasaran China, dimana model tersebut dihasilkan menerusi kerjasama dengan BYD.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 241 hp/303 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 65.28 kWh di mana ia mampu bergerak sejauh 616 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

 

Toyota bZ3C

 

Toyota bZ3X

 

Toyota bZ3

Mazda EZ-6 guna asas sedan Deepal SL03, EV atau PHEV, mampu capai 1,000 km!

Bertempat di Auto China 2024 yang baru dibuka tirainya hari ini, Mazda menerusi syarikat Changan Mazda Automobile Corp. memperlihatkan dua buah model baharu, iaitu sedan Mazda EZ-6 serta model konsep Mazda ARATA.

 

Mazda EZ-6 merupakan sedan saiz pertengahan yang bakal menggantikan peranan Mazda6, dan dijangka akan dilancarkan di China pada penghujung tahun 2024.

Mazda EZ-6 secara asasnya merupakan Deepal SL03 versi tukar lencana, namun dengan elemen  bahasa rekaan KODO Soul of Motion, konsep Jinba-ittai (kereta dan pemandu bersatu), dan teknologi elektrifikasi yang disalurkan oleh Changan Automobile.

 

Di China, Mazda EZ-6 boleh didapati dalam versi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan versi plug-in hybrid (PHEV), di mana versi EV boleh mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Versi PHEV pula dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

 

Ciri lain termasuklah tetapan suspensi multi-link di bahagian belakang, spoiler belakang adaptif untuk kestabilan pemanduan berkelajuan tinggi, serta nisbah pembahagian berat ideal 50:50 untuk model BEV.

Tidak banyak perincian berkenaan spesifikasi rangkaian kuasa didedahkan, melainkan ia didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang, dengan ukuran dimensi 4,912 mm panjang, 1,890 mm lebar, tinggi 1,485 mm dengan tetapan roda bersaiz 245/45R19.

Ruang kabin Mazda EZ-6 pula mengekalkan elemen minimalis dan mewah, disumbangkan oleh susun atur papan pemuka yang kemas, diikuti dengan penggunaan bahan balutan yang premium.

 

Dalam masa yang sama, Mazda turut memperlihatkan sebuah model konsep SUV yang digelar sebagai Mazda ARATA.

SUV tersebut direka menggunakan tema ‘SOULFUL + FUTURISTIC x MODERN’ yang menerapkan elemen moden masa depan di dalam kenderaan tenaga baharu.

Selain itu, ia juga turut menggandingkan pendekatan bahasa rekaan KODO yang menjadi identiti Mazda.

 

Sama seperti Mazda EZ-6, tidak banyak perincian spesifikasi rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Mazda ARATA didedahkan buat masa ini.

Apa yang pasti, SUV ini membawakan elemen aerodinamik seperti contoh kehadiran terowong udara pada bahagian hadapan, sisi bampar hadapan, diikuti bahagian tiang D.

Mazda ARATA dijangka akan muncul dalam versi produksi sebenar pada akhir tahun 2025 dengan menggunakan nama rasmi Mazda EZ-60.

 

Mazda EZ-6 Sedan

 

Mazda ARATA Concept

Mitsubishi ASX 2024 dikemaskini, masih lagi model rebadge Captur facelift

Tidak lama selepas Renault melancarkan Captur facelift, tiba giliran Mitsubishi mengemaskini penawaran model crossover ASX untuk model tahun 2024.

Tipikal untuk sebuah model tukar lencana (rebadge), Mitsubishi ASX mengekalkan reka bentuk Captur namun dengan beberapa perincian yang berbeza.

 

Seperti contoh, rekaan jeriji yang lebih agresif, kemasan hitam berkilat pada bampar hadapan, sementara bahagian belakang pula terpampang perkataan MITSUBISHI.

Keempat-empat sudut gerbang roda telah dipadankan dengan set rim aloi hitam bersaiz 18 inci untuk penampilan sporti.

Susun atur ruang kabin juga tidak banyak berubah berbanding Captur facelift.

 

Secara standard, ASX datang dengan skrin Smartphone-link Display Audio (SDA) sebesar 10.4 inci, diikuti dengan roda stereng berlogo Mitsubishi.

Mitsubishi ASX juga merupakan model Mitsubishi yang pertama dilengkapi dengan sokongan aplikasi Google, seperti Google Assistant, Google Maps, dan juga Google Play Store.

Dengan menggunakan aplikasi mudah alih, pemilik juga boleh menentukan lokasi sebenar ASX ini diparkir.

 

 

Di pasaran Eropah, Mitsubishi ASX boleh didapati dalam versi petrol, hibrid ringan dan hibrid penuh (HEV).

Versi petrol datang dengan nadi 1.0 liter turbo (89 hp) yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, sementara versi hibrid ringan pula menggandingkan enjin 1.3 liter turbo berkuasa 138 hp dengan kotak gear manual, atau versi 158 hp dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

Versi hibrid penuh pula membawakan enjin 1.6 liter 143 hp yang dipadankan dengan dua motor elektrik, kotak gear automatik berbilang mod, dan pek bateri berkapasiti 1.2 kWh.

 

Menurut Mitsubishi, ASX HEV ini mempunyai mod penyimpanan cas bateri E-SAVE yang boleh digunakan kemudian untuk pemanduan sifar emisi, dengan syarat bateri mempunyai tahap cas 40 peratus dan ke atas.

Ciri keselamatan yang dimuatkan pada ASX termasuklah sistem parkir automatik Park Assist, sistem pemantauan keliling Around View Monitor, serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

 

Renault Captur versi facelift tampak lebih premium

 

Mitsubishi ASX 2024