Arkib Kategori: DUNIA

Hyundai IONIQ 5 N DK Edition ini dapat sentuhan Drift King Keiichi Tsuchiya!

Bertempat di Tokyo Auto Salon 2025, Hyundai memperlihatkan sebuah hasil kerjasama yang agak unik dalam bentuk crossover elektrik berprestasi tinggi IONIQ 5 N DK Edition.

Ya, seperti nama yang tertera, IONIQ 5 N DK Edition ini terhasil daripada kerjasama yang terjalin dengan insan yang bernama Keiichi Tsuchiya (atau Drift King), Hyundai N serta pengeluar aksesori Autobacs.

DK Edition ditawarkan sebagai satu pakej naik taraf yang membolehkan para pemilik IONIQ 5 N menikmati tahap pemanduan yang lebih mengujakan baik di atas jalan raya mahupun di dalam litar.

Antara komponen berprestasi tinggi yang ditawarkan termasuklah set rim ringan bersaiz 21 inci, angkup brek monoblok enam-omboh, serta gegelung spring yang merendahkan ketinggian jentera ini sebanyak 15 mm.

Penampilan crossover pantas ini dipertingkatkan dengan komponen aerodinamik khas seperti splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan sayap belakang, kesemuanya diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Menurut Hyundai, pakej DK Edition ini mampu menawarkan prestasi di selekoh yang lebih baik, pemanduan dan pengendalian yang lebih stabil, serta aspek pemberhentian yang lebih baik.

Tiada sebarang perincian didedahkan berkenaan talaan yang dibuat terhadap unit rangkaian kuasa elektrik IONIQ 5 N, jadi adalah selamat untuk kita anggap crossover pantas ini masih lagi kekal dengan kuasa 601 hp dan 740 Nm daripada dua motor elektrik.

Difahamkan pakej DK Edition ini akan ditawarkan di pasaran Jepun dan Korea terlebih dahulu menjelang akhir 2025, manakala pasaran lain dijangka akan menyusul kelak.

Toyota sumbat enjin baharu G20E dalam GR Yaris M Concept

Sebagai sebuah pengeluar automotif terbesar, Toyota jarang sekali mengecewakan para peminatnya setiap kali acara pameran Tokyo Auto Salon berlangsung.

Untuk Tokyo Auto Salon 2025, Toyota mendedahkan sebuah prototaip hot hatch yang digelar sebagai GR Yaris M Concept.

Tidak seperti GR Yaris standard, GR Yaris M Concept ini dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter (kod nama G20E) bagi menggantikan enjin tiga silinder G16E-GTS sedia ada.

Lebih mengejutkan apabila enjin baharu itu tidak diposisikan di hadapan, sebaliknya diletakkan di bahagian tengah (mid-ship).

Menurut Toyota, perubahan yang dibuat pada ini adalah untuk meneroka potensi yang wujud pada hot hatch GR Yaris, malah mereka juga merancang untuk berlumba di dalam Super Taikyu menggunakan jentera ini.

Unit prototaip ini akan diuji sepenuhnya di dalam medan perlumbaan selain mendapat input yang bermanfaat daripada para pelumba professional termasuklah Morizo (Akio Toyoda).

Kewujudan GR Yaris M Concept ini menerbitkan satu persoalan – adakah ia satu petunjuk besar tentang kehadiran model baharu MR2 akan datang?

Nissan minta bantuan daripada pakar trak untuk projek pembangunan GT-R R35

Nissan GT-R (generasi R35) muncul di persada dunia pada tahun 2007 dan disifatkan sebagai sebuah supercar “untuk sesiapa sahaja, di mana jua, tanpa mengira waktu”.

Namun tahukah anda, Nissan tidaklah bersendirian di dalam projek pembangunan model pengganti Skyline GT-R R34 ini.

Sebaliknya, menurut satu sumber dalaman, Nissan bergantung kepada individu yang mempunyai kepakaran menghasilkan trak untuk membangunkan R35!

Seperti yang dipetik daripada pengguna laman mikroblog X @trucknakanohito, 80 peratus daripada pasukan pembangun Nissan GT-R datangnya daripada para jurutera Isuzu.

Tanpa sumber yang sah, sukar untuk kita mempercayai info sebegini.

Namun, secara pantas persoalan tersebut dijawab sendiri oleh Kazutoshi Mizuno, ketua jurutera R35 atau lebih tepat lagi Mr. GT-R.

Dalam satu ciapan balasan, Mizuno menjelaskan bahawa pada mulanya kesemua jurutera Isuzu tidak mempunyai pengalaman di dalam membangunkan supercar, memandangkan mereka bermula di dalam divisyen trak.

“Walau bagaimanapun, dengan semangat berpasukan yang kuat, dan keazaman yang tinggi untuk mencapai matlamat, serta latihan dan praktis berdasarkan keputusan sistem pengukuran kenderaan yang komprehensif, kesemua ahli pasukan berjaya menjadi jurutera kelas dunia dalam masa 1.5 tahun sahaja,” ujarnya.

 

Toyota muat naik video bunyi enjin Lexus LFA, durasi 3 jam!

Pada saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia telah dihidangkan dengan barisan supercar dan hypercar yang menawarkan prestasi yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, penulis berpendapat tiada satu pun daripada model tersebut yang dapat mengalahkan enjin V10 Lexus LFA dari segi bunyi.

Ya, walaupun model tersebut telah pun lama dihentikan produksi sejak 2012, kualiti runut bunyi enjin dan ekzos yang terhasil seakan jentera F1 itu masih lagi sukar untuk ditandingi.

Jika anda merasakan bunyi hingar putih (white noise) tidak cukup membantu anda tidur dengan nyenyak, mungkin sekali boleh cuba satu cara yang sangat sesuai digunakan oleh golongan petrolhead – dengar bunyi enjin Lexus LFA!

Toyota menerusi laman YouTube Toyota Times secara senyap memuat naik video berdurasi tiga jam tanpa sebarang gangguan bunyi asing, hanya bunyi bising tulen Lexus LFA semata-mata.

Untuk makluman golongan pembaca, Lexus LFA dikuasakan oleh enjin 1LR-GUE bentangan V10 5.2 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 552 hp dan 480 Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik.

Lexus LFA Nürburgring Edition pula dilancarkan dengan enjin yang telah ditala supaya menghamburkan kuasa setinggi 563 hp, penukaran gear 0.05 saat lebih pantas, serta pakej aerodinamik yang lebih sesuai digunakan di dalam litar.

Dalam masa yang sama, Lexus turut meminta bantuan Yamaha untuk menala kembali enjin, ekzos, dan sistem kemasukan dan hasilnya – alunan runut bunyi yang sukar untuk ditiru oleh mana-mana pengeluar.

Sebagai seorang yang meminati ‘muzik’ genre unik ini, kami berharap pihak Toyota mampu menawarkan variasi bunyi enjin hebat yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu untuk didengari, seperti enjin enam silinder 2JZ-GTE, satu-satunya enjin V12 1GZ-FE yang digunakan oleh Toyota Century generasi kedua, dan tidak ketinggalan enjin lagenda 4A-GE.

Bonus: Runut bunyi Lexus LFA mengaum di dalam litar ujian

SUV mewah Lynk & Co 900 debut dengan pilihan enjin 1.5L, 2.0L PHEV, kuasa cecah 845 hp

Lynk & Co 900 merupakan sebuah SUV mewah dengan konfigurasi enam tempat duduk yang bakal memasuki pasaran China pada bulan Mac ini.

Dibina menggunakan platform SPA Evo, 900 membawakan ukuran sepanjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).

Secara luarannya, SUV ini berkongsi elemen rekaan yang wujud pada mana-mana model Lynk & Co (serta Zeekr).

Seperti contoh, unit lampu nyalaan siang LED yang tajam, diikuti dengan unit lampu utama yang diposisikan rendah pada bahagian bampar.

Daripada sudut pandang sisi, Lynk & Co 900 menerapkan elemen yang diinspirasikan daripada Range Rover, sementara bahagian belakang pula tampil dengan unit pencahayaan yang lebih ringkas.

Terdapat tiga pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang ditawarkan kepada pembeli.

Varian asas Lynk & Co 900 ini hadir dengan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan dua motor elektrik (215 hp depan/308 hp belakang), menghasilkan kuasa keseluruhan 710 hp.

Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo, di mana versi pertama dipadankan dengan motor elektrik 165 hp di depan, diikuti dengan motor elektrik 308 hp pada gandar belakang, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 724 hp.

Versi paling bertenaga pula dibekalkan dengan tiga motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 165 hp dan sepasang motor elektrik berkuasa 215 hp untuk gandar belakang, menghasilkan kuasa 845 hp!

Varian paling bertenaga itu dikatakan mampu memecut sepantas empat saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Ruang kabin Lynk & Co 900 ini membawakan susun atur papan pemuka yang agak unik.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital 12.66 inci yang agak kecil, namun untuk penumpang hadapan disediakan skrin terapung sebesar 30 inci dengan resolusi paparan 6K.

Selain itu, terdapat dua slot pengecasan tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien, serta perehat tangan terapung pada panel
pintu.

Untuk penumpang baris kedua disediakan skrin kecil pada konsol tengah, dan skrin paparan 6K sebesar 30 inci yang boleh disembunyikan pada bahagian alas bumbung.

Buat masa ini, harga jualan bagi model SUV Lynk & Co 900 ini masih belum diumumkan.

BYD jual 4.27 juta kenderaan pada 2024, naik 41.3% berbanding 2023

BYD menutup tirai 2024 dengan cemerlang apabila ia buat pertama kalinya berjaya menjual lebih 4 juta unit kenderaan dalam tempoh setahun.

Menurut syarikat itu, sebanyak 514,809 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) dijual pada Disember lalu, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tahun 2024 mencecah 4,272,145 unit, naik 41.3% berbanding 3 juta unit yang direkodkan pada 2023.

Daripada jumlah tersebut, 1,764,992 unit merupakan kenderaan elektrik bateri (BEV) penumpang, 2,485,378 unit merupakan kenderaan plug-in hybrid (PHEV), manakala selebihnya iaitu 21,775 unit adalah kenderaan komersial.

Jika dibandingkan dengan prestasi 2023, jualan BEV bagi 2024 meningkat 12% dari 1.6 juta unit, manakala jualan PHEV naik 72.8% dari 1.4 juta. BEV mewakili 41.5% daripada jumlah jualan keseluruhan BYD tahun lalu, manakala PHEV mewakili 58.5%.

Pasaran eksport BYD turut menyaksikan pertumbuhan menggalakkan dengan 57,154 unit dijual pada Disember, naik 58% berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Ini melonjakkan jumlah keseluruhan kenderaan dieksport bagi tahun 2024 kepada 417,204 unit, iaitu 71.9% lebih tinggi berbanding 2023.

Selain menghasilkan kenderaan, BYD juga merupakan pembekal bateri kedua terbesar di China. Antara pelanggan BYD termasuk nama-nama besar seperti Tesla, Toyota dan Nio.

Secara keseluruhan, syarikat itu memasang 23.5 GWh kapasiti bateri pada Disember (32% lebih tinggi berbanding 2023) atau 194.7 GWh sepanjang 2024 (naik 29% berbanding 2023). Ini termasuk bateri yang dipasang pada EV dan unit storan tenaga pegun.

Anda kini boleh beli satu-satunya kereta limosin Presiden US

Tahukah anda, mana-mana kereta berperisai yang dibina khas untuk presiden Amerika Syarikat tidak pernah ditawarkan atau dijual kepada umum.

Namun, sekiranya berminat, anda boleh membida sendiri salah sebuah daripada tiga unit sedan Cadillac Fleetwood Brougham tahun 1996 yang asalnya dibina untuk kegunaan rasmi Presiden Bill Clinton menerusi laman web Mecum Auctions.

Tidak seperti model Fleetwood untuk kegunaan awam, Fleetwood Brougham ini telah dipanjangkan dimensinya kepada 6,858 mm dengan jarak antara roda sepanjang 4,255 mm.

Selain itu, ia juga mempunyai dimensi bumbung 76 mm lebih tinggi berbanding model produksi massa, bertujuan untuk memaksimumkan ruang kaca supaya orang awam dapat melihat kelibat presiden semasa upacara perarakan.

Untuk keselamatan presiden, sedan panjang ini telah dilengkapi dengan tingkap kaca setebal 76 mm, serta perlindungan perisai tahap B6 yang mampu bertahan di bawah serangan raifal R1 dan senapang AK47.

Selain itu, ia juga turut mempunyai sistem bekalan oksigen, kawalan iklim berasingan untuk ruang depan dan belakang, sistem pemadam kebakaran serta sistem komunikasi yang disediakan khas untuk kegunaan presiden.

Dengan segala macam perkakasan termasuklah pemain VHS, monitor tiub katod (!) serta perlindungan perisai yang telah dipasang, sedan ini mempunyai berat badan mencecah 4.1 tan, jauh lebih berat berbanding sebuah sedan Fleetwood Brougham standard (2 tan).

Untuk menggerakkan sedan yang sangat berat ini, pihak GM telah memadankan enjin bentangan V8 7.8 liter yang dibina oleh Jack Roush, menghasilkan kuasa sekitar 450 hp.

Dengan jarak perbatuan sejauh 849 km sahaja, sudah pasti sedan ini jarang sekali digunakan untuk kegunaan rasmi presiden Amerika berbanding dua lagi sedan yang kini disimpan rapi di muzium.

Tiada sebarang tanda harga didedahkan buat masa ini, namun apa yang pasti anda perlu menyediakan duit pengeras yang agak tinggi untuk sebuah sedan yang sudah berusia tiga dekad ini.

Menurut keterangan di laman Mecum Auctions, kos pembinaan bagi ketiga-tiga sedan ini mencecah US$6,000,000 (RM26.9 juta), nilai yang dicatatkan pada tahun sedan ini dibina (1996).

Hyundai Creta Electric muncul di India, 0-100 kmsj 7.9 saat, jarak pandu 473 km

Hyundai India bakal melancarkan sebuah SUV berkuasa elektrik iaitu Creta Electric untuk pasaran tersebut.

Dari segi rupa paras, Creta Electric 2025 ini menampilkan rupa paras yang berlainan berbanding model bernama serupa yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Perubahan yang ketara dibawakan ialah pada bahagian muka hadapan, dengan rekaan jeriji berlapis yang dihiasi corak piksel, lampu nyalaan siang LED yang lebih stailo, serta lampu utama di bahagian hujung bampar.

Untuk bahagian belakang, ia tidak lagi membawakan rekaan lampu yang berlapis, sebaliknya digantikan dengan susun atur pencahayaan yang lebih moden.

Profil sisi Creta Electric ini nampaknya mengekalkan apa yang wujud pada Creta berenjin pembakaran dalaman, namun dengan rekaan rim 17 inci serba baharu yang lebih aerodinamik.

Untuk ruang kabin, Creta Electric dibekalkan dengan roda stereng baharu, tuil penukaran gear yang diambil daripada model Ioniq 5, tombol penukaran mod pemanduan (Eco, Normal, Sport), serta panel skrin digital berkembar, masing-masing sebesar 10.25 inci.

Creta Electric juga turut menyokong fungsi V2L di mana terdapat soket kuasa yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti elektronik yang terdapat pada bahagian bawah bangku belakang.

Selain ruang storan sedia ada, pemilik juga boleh menyimpan kabel pengecasan di ruang frunk.

Hyundai tidak mendedahkan perincian spesifikasi motor elektrik SUV ini, namun mengesahkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

Terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu 42 kWh dengan jarak gerak sejauh 390 km, atau 51.4 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 473 km (data kitaran ARAI).

Creta Electric turut menyokong pengecasan AC 11 kW di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar empat jam, serta pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam tempoh 58 minit.

Hyundai Creta Electric akan dilancarkan secara rasmi di Bharat Mobility Show pada 17 Januari ini.

Tesla Cybertruck meletup di hadapan hotel Trump di Las Vegas

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah Tesla Cybertruck tiba-tiba meletup di luar Trump International Hotel di Las Vegas, Nevada.

Menurut laporan, letupan itu berlaku sejurus selepas trak pikap elektrik itu diparkir di hadapan lobi hotel tersebut pada pagi Rabu.

Polis berkata kejadian itu menyebabkan seorang yang berada di dalam trak itu maut manakala tujuh lagi cedera.

Setakat ini punca letupan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sama ada ia berpunca daripada trak itu sendiri atau pun faktor luaran.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Cybertruck itu sedang membawa mercun ketika letupan itu terjadi. Laporan tersebut berkata penyiasat sedang berusaha mendapatkan motif dan sama ada letupan itu disengajakan atau pun tidak.

Susulan kejadian, semua tetamu yang menginap di Trump International Hotel telah dipindahkan ke Resorts World Las Vegas.

Sementara itu, dalam ciapannya di X, CEO Tesla Elon Musk berkata,”Seluruh pasukan senior Tesla sedang menyiasat perkara ini sekarang. Kami akan menyiarkan maklumat lanjut sebaik sahaja kami mengetahui punca. Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini.”

Honda NT1100 Police untuk kegunaan penguatkuasa di Amerika Syarikat

Honda Amerika Syarikat mula menawarkan jentera peronda dua roda Honda NT1100 Police untuk kegunaan pasukan penguatkuasa dan sudah boleh ditempah menerusi program Powersports Fleet/Government Purchase yang disediakan.

Dibina berdasarkan model sports touring NT1100 yang turut ditawarkan di pasaran Eropah, Honda NT1100 Police hadir dengan kelengkapan yang serupa seperti reraup pelindung, cermin penghadang angin boleh laras, tempat duduk yang selesa, serta sistem pencahayaan LED.

NT1100 Police juga boleh dilengkapi dengan bermacam jenis aksesori untuk tugas-tugas kepolisan yang boleh didapati menerusi vendor-vendor yang diiktiraf.

Antaranya ialah beg pannier, sistem pendawaian khas, kotak dokumen serta penutup tempat duduk belakang.

Honda NT1100 Police dilengkapi dengan enjin dua silinder selari 1,084 cc yang sama digunakan oleh model Africa Twin, namun telah diubahsuai supaya mampu mencecah kelajuan sehingga 200 km/j.

Kuasa 101 hp @ 8,500 rpm dan 104 Nm @ 6,000 rpm itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.

Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik Showa 43 mm jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link Showa, masing-masing menawarkan jarak pergerakan roda sejauh 139.7 mm.

Aspek pemberhentian pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor berkembar bersaiz 310 mm di hadapan, serta angkup omboh tunggal dan rotor bersaiz 256 mm di belakang yang dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.

Dengan berat sekitar 256.7 kg, NT1100 Police ini mempunyai kapasiti tangki sebesar 20.4 liter dan ketinggian pelana sekitar 820 mm.

Suzuki Swift 2024 hanya terima satu bintang dalam ujian ANCAP

Di Eropah, Suzuki Swift model tahun 2024 mendapat penarafan tiga bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).

Namun lain pula ceritanya di Australia apabila hatchback itu diberikan penarafan satu bintang sahaja dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) selepas prestasi buruk dalam ujian pelanggaran yang dijalankan oleh badan itu.

Swift generasi keempat itu mendapat 47% dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa, 59% dalam Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 76% dalam Perlindungan Pengguna Jalan Raya dan 54% dalam Bantuan Keselamatan.

Menurut ANCAP, Suzuki Australia sebelum ini telah menyatakan bahawa Swift yang dijual di Australia dan New Zealand berbeza secara fizikal dengan unit pasaran Eropah.

“Berbanding dengan penarafan tiga bintang yang dicapai oleh Swift yang dijual di Eropah, unit yang dijual di Australia dan New Zealand menunjukkan prestasi yang berbeza apabila diuji.

“Reka bentuk beberapa elemen struktur dan sekatan dalam Swift yang dijual dalam pasaran tempatan nampaknya tidak mempunyai keteguhan yang membawa kepada variasi dalam prestasi kemalangan,” kata Carla Hoorweg, ketua pegawai eksekutif ANCAP.

Laporan ANCAP berkata bahawa perbezaan prestasi antara Swift Australia/NZ dan Eropah boleh dilihat dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan full-width.

Ujian pelanggaran offset hadapan menunjukkan terdapat beban dada dan risiko kecederaan kaki yang lebih tinggi kepada pemandu, manakala dalam ujian pelanggaran full-width pula, ukuran mampatan dada penumpang belakang jauh lebih tinggi dan melebihi had yang dibenarkan.

Oleh itu, Swift diberikan penilaian Lemah (Poor) dan markah sifar untuk perlindungan dada, iaitu bahagian badan yang kritikal.

Selain itu, penilaian Lemah juga dicatatkan untuk kepala dan dada patung kanak-kanak dalam senario ujian pelanggaran hadapan (head-on) dan sisi. ANCAP berkata 59% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak adalah markah yang paling rendah setakat ini.

Swift merupakan model terbaru yang memasuki pasaran Australasian yang mempunyai penarafan keselamatan yang berbeza dengan model pasaran Eropah, selepas Honda Civic, CR-V dan ZR-V.

Radar King Kong adalah trak pikap EV dari Geely, harga dari RM60k

Radar Auto, satu lagi jenama yang bernaung di bawah Geely, telah melancarkan trak pikap elektrik yang dikenali sebagai King Kong di China.

Menggantikan model terdahulu iaitu RD6, Radar King Kong ditawarkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar untuk pacuan empat roda (4WD).

Versi motor tunggal mempunyai 245 PS dan 309 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat. Ia boleh didapati dengan bateri LFP berkapasiti 42 kWj, 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu CLTC dari 310 km hingga 605 km.

Sementara itu, versi motor elektrik berkembar pula menghasilkan kuasa sebanyak 381 PS dan 485 Nm, dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat. Terdapat tiga pilihan pek bateri iaitu 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak dari 330 km hingga 520 km.

Selain konfigurasi motor elektrik dan pilihan pek bateri yang pelbagai, King Kong menunjukkan versatilitinya dengan menawarkan jarak roda standard dan panjang.

Versi jarak roda standard mempunyai ukuran panjang 5,260 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,865 mm dengan jarak roda 3,120 mm. Versi jarak roda panjang pula berukuran 5,500 mm panjang dan jarak roda 3,310 mm.

Dari segi reka bentuk, King Kong kelihatan tidak terlalu jauh berbeza dengan RD6 dan masih mengekalkan penggayaan luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada Geely Haoyue iaitu kembar kepada Proton X90.

Di China, King Kong boleh didapati dalam tujuh tahap trim iaitu empat untuk versi motor tunggal dan tiga untuk 4WD.

Versi motor tunggal dijual pada harga antara 99,800 hingga 149,800 yuan (RM60,982-RM91,525), manakala versi 4WD pula berharga dari 119,800 hingga 159,800 yuan (RM73,196-RM97,635).

Sebagai perbandingan, harga RD6 sebelum ini bermula dari 136,800 hingga 209,800 yuan (RM83,590-RM128,196).

Landc Roomy – minivan yang disumpah menjadi ‘Land Cruiser’

Jika anda merasakan Toyota Land Cruiser (dan Prado) terlalu besar untuk dimuatkan dalam garaj, usah risau kerana ESB Style kini membawakan elemen SUV off-road tersebut untuk minivan Toyota Roomy.

Pakej yang digelar sebagai ‘Landc Roomy’ itu meminjam beberapa elemen rekaan Land Cruiser, seperti contoh struktur jeriji yang besar dan lebar lengkap dengan bampar yang agresif.

Disebabkan limitasi ruang, agak sukar untuk memuatkan kesemua elemen Land Cruiser pada minivan ini.

Jadi, ESB Style hanya mengehadkan perubahan tersebut pada bahagian hadapan, namun untuk bampar belakang tetap diberikan sentuhan yang sporti, diikuti dengan rim keluli berwarna putih yang dibaluti tayar Toyo Open Country R/T.

Tidak ketinggalan, sistem gantungan telah ditinggikan 30 mm bagi membolehkan ‘Landc Roomy’ ini meredah laluan off-road ringan dengan lebih mudah.

Untuk ruang kabin pula, ESB Style menawarkan aksesori seperti “Fox Mat” boleh lipat di mana ia boleh mengubah ruang kabin Roomy menjadi sebuah van pekhemah.

Berikut merupakan senarai harga aksesori yang ditawarkan oleh ESB Style untuk panduan:
• Bampar hadapan – ¥100,000 (RM2,848)
• Bampar belakang – ¥60,000 (RM1,709)
• Kit suspensi – ¥50,000 (RM1,424)
• Set rim keluli – ¥60,000 (RM1,709)
• Fox Mat – ¥25,000 (RM712)

Di Jepun, Toyota Roomy bukanlah sebuah kei van, memandangkan ia didatangkan dengan dimensi yang lebih besar, dan dikuasakan pula oleh enjin tiga silinder sebaris 996 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 98 PS.

Versi aspirasi semula jadi pula hanya mampu menghasilkan kuasa setinggi 69 PS, namun anda boleh mendapatkan Toyota Roomy (atau Daihatsu Thor/Subaru Justy) dengan pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).

Sunshine EV ialah sebuah kei van versatil buatan China

Sekali imbas, ini mungkin sekali model kei van terbaharu yang datang dari pasaran Jepun.

Namun, usah tertipu kerana logo yang terpampang itu menyatakan segalanya – ia adalah kenderaan komersial ringan (LCV) yang dihasilkan oleh SAIC-GM-Wuling.

Memfokuskan kepada praktikaliti dan pakej yang mampu milik, Sunshine EV sememangnya mengambil inspirasi daripada barisan model kei van buatan Jepun, dengan rekaan hidung pendek, roda yang kecil, pintu gelangsar kiri dan kanan, serta dimensi badan yang tinggi.

Jika dibandingkan ukuran dimensi, Sunshine EV mempunyai saiz yang besar sedikit berbanding kei van buatan Jepun, dengan ukuran sepanjang 3,685 mm, lebar 1,530 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,600 mm.

Dalam konfigurasi lima tempat duduk, Sunshine EV mampu menawarkan ruang kargo sebesar 527 liter, atau sehingga 1,117 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Untuk ruang kabin, ia membawakan kelengkapan yang serba asas, namun mementingkan aspek praktikaliti dan versatiliti untuk pelbagai jenis kegunaan.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, van kecil ini boleh diubah menjadi pelbagai jenis kedai bergerak, atau digunakan sebagai van pekhemah, atau dijadikan sebagai bengkel mini yang lengkap dengan perkakasan professional.

Dari segi kuasa, EV ini mendapat motor elektrik tunggal 40 hp dengan kelajuan tertinggi sekitar 100 km/j.

Pembeli boleh mendapatkan pilihan pek bateri berkapasiti 17.6 kWh, atau pilihan kapasiti 26.5 kWh yang boleh ditukar menerusi jaringan penukaran bateri CATL.

Sunshine EV akan dilancarkan di pasaran China seawal tahun 2025, dengan harga jualan bermula sekitar 50,000 yuan (RM30,580).

Prototaip kereta api CR450 dari China Railway boleh capai kelajuan 450 km/j

China State Railway Group (China Railway) telah mendedahkan rekaan prototaip kereta api peluru komersial generasi seterusnya, yang mana menurut syarikat itu bakal menjadi kereta api terpantas di dunia.

Kereta api yang dikenali sebagai CR450 itu dikatakan mampu beroperasi pada kelajuan 400 km/j namun boleh mencapai kelajuan maksimum 450 km/j.

China Railway berkata, pendedahan prototaip itu merupakan kejayaan terkini dalam projek CR450 yang dilancarkan pada 2021 bagi membangunkan kereta api yang “lebih selamat, lebih mesra alam, lebih cekap tenaga dan lebih pintar.”

 

Kereta api baharu ini bakal menggantikan CR400 dalam siri kereta api laju Fuxing yang mampu beroperasi pada kelajuan 350 km/j.

Jika CR450 mula beroperasi seperti yang dijangkakan, ia boleh memendekkan masa perjalanan antara Beijing dan Shanghai dari empat jam setengah kepada tiga jam 18 minit.

Menurut laporan media tempatan, kereta api CR450 mempunyai berat keseluruhan sekitar 10 tan, menjadikan ia 10% lebih ringan berbanding kereta api terdahulu.

Penunjuk rintangan operasi dan penggunaan tenaga masing-masing telah dikurangkan sekitar 20%, manakala prestasi brek juga meningkat kira-kira 20%.

Langkah seterusnya adalah meletakkan prototaip itu dalam satu siri ujian dan penilaian untuk menilai prestasinya.

China Railway tidak menyatakan tarikh CR450 boleh mula beroperasi namun menurut laporan-laporan terdahulu, ia mungkin berlaku seawal awal tahun depan.

DAMD Reverb bikin krisis identiti pada Honda WR-V

Bosan dengan rupa paras standard Honda WR-V?

Jika krisis identiti merupakan jawapan yang anda cari, usah risau kerana syarikat penala dari Jepun yang satu ini sememangnya pakar dalam mengubah rupa paras model standard menjadi sesuatu yang lebih berbeza.

DAMD bakal membawakan beberapa model yang menarik pada acara pameran Tokyo Auto Salon 2025.

Salah satu daripadanya ialah Reverb, sebuah Honda WR-V (atau nama lainnya Honda Elevate) yang telah diberikan rupa paras seakan Jeep Cherokee XJ.

Bahagian hadapan Honda WR-V telah diubah sepenuhnya menampilkan unit lampu berbentuk segi empat serta jeriji enam-slot yang mengingatkan kita pada model klasik Cherokee.

Selain itu, bahagian sisi SUV ini telah diberikan decal seakan panel kayu yang wujud pada model station wagon vintaj Amerika, diikuti dengan panel plastik gerbang roda yang tidak bercat.

Melengkapi imej yang ranggi itu ialah set rim keluli berwarna hitam yang dibaluti tayar mud-terrain BFGoodrich.

Selain daripada WR-V, DAMD turut membawakan model-model berikut:

1. Stuart – Toyota Sienta dengan imej hadapan Mini Cooper
2. Rodney – Honda N-Box Custom yang tampil lebih sporti
3. Lucy – Daihatsu Taft dengan imej Daihatsu Rocky F300 90-an

 

 

 

 

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition, hanya 1,000 unit dihasilkan untuk Jepun

Mazda MX-5, yang juga dikenali sebagai Roadster atau Miata, tidak syak lagi merupakan antara kereta paling ikonik dalam dunia automotif dengan lebih 1.2 juta unit terjual sejak diperkenalkan buat pertama kali pada 1989.

Bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-35, Mazda akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition.

Menurut Mazda, hanya 1,000 unit akan dihasilkan dan semuanya akan dijual di Jepun bermula Februari 2025. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan versi soft top atau hard top RF.

Apa yang menjadikan model ulang tahun ini lebih istimewa berbanding versi standard?

Untuk bahagian luaran, MX-5 35th Anniversary Edition tampil dalam warna Artisan Red Premium Metallic yang diaplikasikan menggunakan teknologi ‘Takuminuri’ bagi menonjolkan lagi garisan-garisan dan lengkungan badan MX-5.

Selain itu, ia didatangkan dengan bumbung berwarna beige, rim aloi 17 inci dan lencana ’35th Anniversary’ lengkap dengan nombor siri pengeluaran yang diletakkan berdekatan dengan tayar belakang.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Nappa berwarna tan yang dipadankan dengan karpet beige, serta cetakan timbul logo ’35th Anniversary’ pada perehat kepala.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Versi soft top menampilkan enjin 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 136 PS dan 152 Nm, dan transmisi manual enam kelajuan.

Sementara itu, versi RF pula dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder dengan 184 PS dan 205 Nm, dan boleh didapati dengan transmisi manual atau automatik.

Harga jualan bermula dari 3,753,200 yen (RM106,402) untuk versi soft top, 4,354,900 yen (RM123,460) untuk RF manual dan 4,382,400 yen (RM124,240) untuk RF automatik.

Bila Lamborghini Miura dapat sentuhan Liberty Walk….

Apa akan jadi bila supercar yang paling cantik di dunia diberikan sentuhan magis oleh Liberty Walk?

Anda tidak perlu pun untuk membayangkan hasilnya, ini kerana penala terkenal Jepun itu sudah pun mendedahkan imej janaan komputer hasil kerja terbaharu mereka pada Lamborghini Miura.

Bakal didedahkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025, LB-Silhouette Works GT Lamborghini Miura itu tampil dengan rupa paras yang lebih agresif dan berani dalam masa yang sama.

Anda boleh melihat padanan kit badan agresif berserta dengan fender flare yang serba lebar, serta set rim aftermarket pada keempat-empat sudut gerbang roda.

Tidak ketinggalan, sayap bersaiz besar dan diffuser yang agresif pada bahagian belakang sebelum jentera ini dilayangkan dengan warna putih yang lengkap dengan liveri penaja serta logo Liberty Walk berwarna merah di bahagian sisi.

Buat masa ini, Liberty Walk tidak mendedahkan sebarang naik taraf yang dibuat pada enjin asal bentangan V12 4.0 liter berkuasa 345 hp/355 Nm pada Miura ini.

Kit badan yang khas untuk Lamborghini Miura ini akan mula dijual secara rasmi pada tahun hadapan, yang pasti harganya tidaklah semurah yang anda sangka.

Ineos Grenadier Quartermaster Kaiju ini umpama buku katalog aksesori bergerak

Ini mungkin sekali salah sebuah contoh trak pikap yang sarat dengan bermacam-macam aksesori untuk kegunaan off-road yang boleh dijadikan sebagai panduan ubah suai.

Dihasilkan secara sekali oleh pihak Ineos Australia, Grenadier Quartermaster Kaiju (bermaksud raksasa dalam bahasa Jepun) akan digunakan untuk pelbagai acara promosi di seluruh negara itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Terdapat beberapa nama syarikat aksesori besar yang mengambil bahagian dalam melengkapkan trak pikap ini.

Seperti contoh, pihak Norweld menghasilkan struktur kanopi pada bahagian belakang yang diperbuat daripada aluminium ringan dan turut menyediakan tangki air sebesar 40 liter, laci storan, peti sejuk Bushman sebesar 130 liter dan tempat pemegang jerry can.

Pihak Recarc pula memasang unit penyongsang 2,000W dan bateri lithium 150 Ah yang mampu bertahan lebih 5,000 kitaran pengecasan.

Keempat-empat sudut tayar dipasangkan getah mud terrain BFGoodrich KM3, dibantu dengan sistem suspensi kustom termasuklah remote reservoir electric shocks daripada JMACX.

Selain sistem pencahayaan keliling, Ineos turut memastikan tangki bahan api sebesar 168 liter turut dipasangkan pada trak pikap ini.

Akhir sekali, terdapat beberapa aksesori yang ditawarkan sendiri oleh pihak Ineos seperti bull bar, rock slider, snorkel, bateri tambahan, dan tidak ketinggalan tangga akses.

Firefly, EV urban yang mempunyai lampu seakan lensa kamera iPhone

Syarikat kenderaan elektrik dari China, Nio melancarkan sebuah lagi jenama EV baharu untuk menyaingi jenama-jenama EV mewah bersaiz kecil seperti smart dan Mini.

Jenama baharu yang dimaksudkan itu ialah Firefly, di mana ia bakal diposisikan di antara jenama Nio itu sendiri dan Onvo dari segi saiz, ciri dan harga yang ditawarkan.

Model pertama yang bakal menerjah pasaran Eropah, Amerika Latin dan Asia Tenggara ialah sebuah hatchback dengan elemen rekaan yang mengingatkan kita kepada Honda e yang telah dihentikan pengeluarannya itu.

Dihasilkan oleh bekas pereka BMW dan Ford, Kris Tomasson, hatchback Firefly ini menampilkan ciri yang agak unik, iaitu gugusan lampu utama LED depan dan belakang seakan lensa kamera iPhone.

Antara ciri lain termasuklah pemegang pintu yang tertanam, set rim enam jejari yang comel, serta plastik pelindung badan keliling yang disumberkan daripada bahan yang lestari.

EV urban ini menyediakan ruang kargo hadapan sebesar 92 liter dengan fungsi saliran air keluar, diikuti dengan ruang kargo yang mampu mencecah 1,250 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dimensi keseluruhan hatchback elektrik Firefly ini tidak didedahkan, namun besar kemungkinan ia memiliki saiz yang hampir sama dengan model seperti BYD Dolphin dan Renault 5, dengan radius putaran 9.4 meter.

Nio juga mendakwa EV ini telah direka untuk mencapai penarafan lima bintang di dalam ujian Euro NCAP dan C-NCAP, dengan ciri keselamatan termasuklah sembilan beg udara sebagai kelengkapan standard.

Penggunaan bahan aluminium dan keluli berkekuatan tinggi yang merangkumi 83.4 peratus struktur badan, diikuti rasuk anti-pelanggaran berganda pada pintu hadapan sedikit sebanyak menyumbang kepada angka kekakuan kilasan yang terbaik di dalam kelasnya (35,700 Nm).

Buat masa ini, spesifikasi bateri dan motor elektrik Firefly masih lagi belum didedahkan, namun menurut Nio Firefly ini turut menyokong fungsi penukaran bateri.

Di pasaran China, Firefly sudah boleh ditempah pada harga bermula dari 148,800 yuan (RM91,085).

Menjelang akhir 2025, Nio mahukan jenama Firefly mendarat di 25 buah negara.