GWM Malaysia bakal lancar 6 model baharu, sasar 60,000 unit setahun menjelang 2028

GWM Malaysia

GWM Malaysia mengumumkan perancangan untuk melancarkan sehingga enam model baharu untuk pasaran Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan semasa acara Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Prestasi GWM Malaysia tahun 2025

Sepanjang tahun lepas, GWM merekodkan jualan hampir 5,900 unit kenderaan.

Ia mewakili kadar pertumbuhan sebanyak 177 peratus dari tahun ke tahun, menunjukkan tahap penerimaan yang padu terhadap rangkaian produknya dan pendekatan yang diterima dalam pasaran Malaysia.

Sasaran tahunan 60,000 unit menjelang 2028

Enam model baharu yang bakal tiba di pasaran Malaysia ialah:

  • Tank 300 HEV
  • Dua SUV segmen B
  • Dua SUV segmen C
  • SUV mewah segmen C

Menuju tahun 2028, GWM menyasarkan 6 peratus pegangan pasaran dengan jualan tahunan 60,000 unit.

Jenama itu juga menyasarkan kedudukan 10 teratas untuk jenama automotif di Malaysia dan tangga 3 teratas untuk jenama dari China.

Teknologi jadi fokus utama GWM

GWM Wey G9 Hi4 PHEV

Teknologi akan menjadi fokus utama GWM yang dipacu oleh sistem hibrid pintar Hi4 yang mula diperkenalkan pada model Wey G9 Hi4 PHEV.

Selain sistem Hi4 itu tadi, GWM akan menggunakan pendekatan rangkaian kuasa pelbagai dengan menawarkan pilihan kenderaan ICE, HEV, dan BEV dalam senarai portfolionya yang terdiri daripada Haval, Tank, Ora, dan Wey.

Imej korporat (CI) baharu bermula 2026

Selain pembangunan produk, GWM berusaha untuk memajukan dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya.

Bersama 60 buah pengedar di seluruh negara, GWM akan memperkenalkan imej korporat (CI) yang dipertingkatkan untuk menetapkan standard jelas dalam usaha menawarkan pengalaman jualan yang lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya.

Perkhidmatan selepas jualan tetap menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan.

Ia disokong oleh program latihan teknikal yang intensif, 95 peratus ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara serta sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang tempoh pemilikan.

Malaysia sebagai hab penting ASEAN

GWM Wey G9 eksport

GWM mengekalkan komitmen terhadap pemasangan tempatan dan operasi CKD, dengan aspirasi menjadikan Malaysia hab eksport penting di ASEAN.

Strategi ini menyokong pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV) menerusi pemindahan teknologi serta memperluas eksport kenderaan bernilai tinggi.

Ia juga mengukuhkan keupayaan tenaga tempatan menerusi penyetempatan yang lebih menyeluruh, kepakaran teknikal yang lebih canggih serta permbangunan bakat yang berterusan.

Fokus bina jenama yang mampu bertahan lama

Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia menjelaskan fokus mereka adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di pasaran.

“Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.

“Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan bahawa kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul.

“Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem.

“Di masa hadapan, fokus kami menjurus kepada meneruskan momentum ini untuk memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas yang tepat, sesuai pada tempatnya, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang,” tambah beliau lagi.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved