Porsche Cayenne S Electric (2026) hadir dengan 666 PS, jarak 653 km

Porsche memperluaskan barisan SUV elektriknya dengan memperkenalkan Cayenne S Electric. Varian baharu inj diposisikan di antara Cayenne Electric asas dan model paling berkuasa iaitu Cayenne Electric Turbo yang diperkenalkan pada November tahun lalu.

Sistem pacuan EV berprestasi tinggi

Varian baharu ini menawarkan prestasi lebih tinggi serta kelengkapan tambahan berbanding model entry level.

Ia dipacu oleh dua motor elektrik, satu pada gandar hadapan dan satu pada gandar belakang. Gabungan ini menjana 544 PS (400 kW), namun dengan Launch Control, ia boleh meningkat kepada 666 PS (490 kW), membolehkan SUV ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum adalah 250 km/j.

Seperti varian asas dan Turbo, Cayenne S Electric didatangkan dengan bateri berkapasiti 113 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 653 km (WLTP). Dengan pengecas pantas yang menyokong kuasa sehingga 400 kW, bateri boleh dicas dari 10% ke 80% bawah 16 minit.

Seperti varian Turbo, motor elektrik di gandar belakang menggunakan sistem penyejukan minyak terus, yang menyalurkan haba secara langsung dari komponen yang membawa arus bagi mengekalkan prestasi.

Rekaan lebih sporty, teknologi casis dipertingkat

Dari segi rekaan, Cayenne S Electric hadir dengan bampar hadapan dan belakang sporty dalam warna Volcano Grey Metallic, bersama sisipan dan diffuser mengikut warna badan. Ia turut dilengkapi rim 20 inci Cayenne S Aero sebagai standard.

Beberapa ciri prestasi yang sebelum ini hanya tersedia pada model Turbo kini ditawarkan sebagai pilihan, termasuk Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), suspensi Porsche Active Ride, serta sistem brek Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

Pakej Sport Chrono juga ditawarkan, termasuk fungsi Push-to-Pass yang memberikan suntikan tambahan sebanyak 122 PS (90 kW) selama 10 saat, serta mod Track untuk prestasi maksimum di litar.

Pakej personalisasi baharu

Porsche turut memperkenalkan pakej ‘Director’s Cuts’ pertama daripada Exclusive Manufaktur. Ia merangkumi Interior Style Package dengan tema warna Mystic Green Metallic, dengan kemasan kulit dua tona Black dan Delgada Green, aksen Izabal Green serta perincian dalaman eksklusif.