Zontes Malaysia lancar 4 skuter 368 Series 2026, harga dari RM23,800
Zontes Malaysia secara rasmi melancarkan empat buah model di bawah siri 368 untuk tahun 2026, dengan harga jualan seperti berikut:
- Zontes 368D – RM23,800
- Zontes 368E – RM25,800
- Zontes 368K – RM27,800
- Zontes 368G – RM28,800
Spesifikasi Zontes 368 Series
Keempat-empat skuter ini dikuasakan enjin silinder tunggal 368 cc menghasilkan kuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm.
Kesemua skuter ini dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti:
- Kawalan Pendikit Elektronik (ETC) Bosch
- Kawalan Jelajah
- Kawalan Cengkaman (TCS)
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Selain itu, terdapat juga sokongan aplikasi Zontes Smart App 3.0 membolehkan penunggang mengakses informasi masa nyata, sejarah tunggangan dan diagnostik sistem menerusi peranti pintar.
Inisiatif Geng4Ride
Dalam masa yang sama, Zontes Malaysia turut mengumumkan inisiatif ‘Geng4Ride’ yang terbahagi kepada empat kumpulan berbeza yang unik dan tersendiri.
Zontes 368D untuk Geng Stylo
Zontes 368D direka untuk tunggangan yang lebih meyakinkan di dalam kawasan urban.
Dengan berat sekitar 175 kg, 368D lebih ringan 25 kg berbanding model 350D, menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah.
Aspek praktikaliti disumbangkan oleh ruang storan sebesar 20 liter.
Terdapat tiga warna iaitu kelabu, hitam dan hijau.
Zontes 368E untuk Geng Convoy
Sebagai sebuah skuter maxi touring, Zontes 368E sememangnya sesuai untuk mereka yang gemar membuat tunggangan berkonvoi jarak jauh.
Sama seperti 368D, 368E juga lebih ringan berbanding model terdahulu, dan lengkap dengan ciri seperti:
- pemanas grip bar hendal
- pemanas tempat duduk
- ruang pemijak kaki yang lebih lebar
- ruang storan sebesar 50 liter boleh muat dua helmet
Terdapat dua warna disediakan iaitu kelabu dan hitam.
Zontes 368K untuk Geng Healing
Berbeza dengan penawaran model lain, 368K tampil dengan ciri yang lebih premium.
Antaranya ialah:
- pelana gaya sofa dengan sokongan tulang belakang
- storan sebesar 50 liter
- skrin paparan Luxury UI 6.75 inci
- cermin penghadang angin larasan elektrik
- lampu LED projektor automatik
- rak barang aloi magnesium
Zontes 368K ini hanya ditawarkan dalam warna tunggal kelabu.
Zontes 368G untuk Geng Explorer
Akhir sekali, skuter kembara Zontes 368 yang direka untuk penunggang yang mahu menikmati pengalaman outdoor dan off-road ringan.
Ia menampilkan ciri seperti:
- tangki bahan api 17.5 liter
- mod tunggangan Sport dan Touring
- storan sebesar 52 liter
Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna perang atau kelabu, dan dua varian berbeza:
- Varian Standard dengan pelana 770 mm dan jarak kelegaan tanah 155 mm
- Varian High dengan pelana 795 mm dan jarak kelegaan tanah 180 mm
Sejak dilancarkan Januari 2025, Zontes 368G telah terjual sebanyak lebih 5,000 unit menunjukkan popularitinya di kalangan penunggang di Malaysia.
Zontes 368D 2026
Zontes 368E 2026
Zontes 368K 2026
Zontes 368G 2026
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



























