Toyota RAV4 PHEV 2026 boleh bekal tenaga elektrik untuk rumah selama 7 hari

Toyota RAV4 PHEV GR Sport

Toyota akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV plug-in hybrid RAV4 PHEV 2026 serta varian GR Sport untuk pasaran Jepun.

 

Spesifikasi RAV4 PHEV

Untuk model baharu ini, ia dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid generasi baharu, terdiri daripada:

  • Enjin 2.5 liter (kod A25A-FXS), 174 hp @ 6,000 rpm, 219 Nm @ 3,600 rpm
  • Dua motor elektrik
  • Transmisi e-CVT
  • Sistem pacuan semua roda E-Four
  • Pek bateri 22.7 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 329 PS, menyumbang kepada pemanduan yang lebih bertenaga dan responsif.

Penggunaan semikonduktor silikon karbida (SiC) pada unit kawalan kuasa (PCU) menyumbang kepada jarak gerak sifar emisi sekitar 150 km.

 

RAV4 PHEV GR Sport

Untuk pasaran Jepun, RAV4 boleh didapati dalam varian Z yang hadir dengan kemasan hitam eksklusif.

Bagi yang mahukan imej sporti, terdapat varian GR Sport dengan kelengkapan istimewa seperti:

  • kit badan aerodinamik yang lebih agresif termasuklah lip spoiler dan spoiler belakang
  • GR Performance Damper oleh Yamaha
  • GR Braces
  • talaan khas pada suspensi dan stereng EPS

Menariknya, pek bateri turut digunakan sebagai struktur pengukuh casis untuk meningkatkan tahap kekakuan badan dan merendahkan pusat graviti.

 

Fungsi bekalan kuasa

Salah satu ciri praktikal yang wujud pada RAV4 PHEV ialah fungsi bekalan kuasa untuk aktiviti luar dan kegunaan rumah.

Pemilik boleh memanfaatkan ciri tersebut menerusi soket kuasa yang terletak pada ruang kargo.

Dengan unit penyambung yang boleh dicucuk terus pada port pengecasan, ia akan berubah menjadi soket luaran 100V yang mampu menyalurkan kuasa elektrik sehingga 1,500W.

Dalam situasi kecemasan, RAV4 PHEV boleh menyalurkan tenaga elektrik 400W selama 6.5 hari dengan tangki bahan api penuh dan bateri dicas penuh, atau sehingga 7 hari menggunakan mod “Power Supply Time Priority“.

 

Harga

Toyota RAV4 PHEV dijual pada harga dari ¥6,000,000 (RM151,190) untuk varian Z, sementara varian GR Sport pula berharga dari ¥6,300,000 (RM158,750).

 

Toyota RAV4 PHEV Z

 

Toyota RAV4 PHEV GR Sport

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved