AMI-Suzuki anjur kempen keselamatan jalan raya sempena CNY 2026
Suzuki Malaysia bersama AFY Mobility Industries (AMI) menganjurkan Kempen Keselamatan AMI-Suzuki 2026 sempena Tahun Baharu Cina 2026 (CNY 2026).
Kempen ini dirasmikan oleh Datuk Jazmanie Shafawi selaku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah Ahmad Faez Yahaya selaku Pengerusi Eksekutif AFY Mobility Industries dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).
Keselamatan Bermula Dengan Kita
Dalam ucapannya, Datuk Jazmanie berkongsi statistik kemalangan yang membimbangkan terutama di kalangan golongan muda.
Ujarnya, lebih 80 peratus kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal, dan hampir 50 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berusia antara 16-25 tahun.
Datuk Jazmanie menjelaskan walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan, aspek kesedaran dan tanggungjawab individu kekal sebagai faktor paling penting.
Ia adalah selaras dengan tema kempen tahun ini, iaitu “Keselamatan Bermula Dengan Kita”.
Menurut Ahmad Faez, adalah menjadi tanggungjawab Suzuki Malaysia sebagai pengeluar, pemasang dan pengedar untuk memastikan setiap produk mengutamakan aspek keselamatan.
Jelasnya, setiap produk Suzuki, AFAZ dan Moda di bawah Kumpulan AMI dilengkapi dengan lampu LED yang lebih terang untuk meningkatkan tahap keterlihatan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Komitmen ini menjadi asas kepada penganjuran kempen yang menawarkan pemeriksaan keselamatan 16-poin secara percuma kepada orang ramai.
Serah 200 unit topi keledar & jaket keselamatan
Kempen ini turut mendapat sokongan daripada AEON Credit Malaysia dan Tokio Marine Insurance.
Hampir 200 unit topi keledar dan 200 jaket keselamatan telah diagihkan kepada para peserta yang sudah menjalani pemeriksaan keselamatan motosikal.
Selain itu, 30 buah topi keledar turut diedarkan kepada kanak-kanak berusia 4-6 tahun sebagai usaha memupuk kesedaran sejak kecil.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.













