Produksi Xforce CKD bermula, Mitsubishi sasar serah 800 unit pertama April ini

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan produksi bagi model SUV baharu Xforce 2026 sudah pun bermula di kilang Pekan.

Tempahan bagi model baharu itu akan dibuka dalam masa terdekat.

Pengenalan model baharu Xforce ini mencerminkan komitmen berterusan MMM untuk meluaskan lagi portfolio produk sedia ada.

 

Naik taraf fasiliti sedia ada

Untuk itu, MMM telah menaik taraf operasi pengeluaran di Pekan termasuklah pembinaan ‘Sub-Assembly Body Shop’ serba baharu.

Selain itu, MMM turut memasang perkakasan moden di bahagian pengecatan, pemasangan akhir serta bahagian pemeriksaan.

MMM menjamin kesemua proses pengeluaran Xforce di Pekan mematuhi piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors.

Menurut Takashi Sakamaki selaku Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, “Pengeluaran massa Mitsubishi Xforce serba baharu mencerminkan penerapan falsafah pembuatan Jepun Mitsubishi Motors di kilang Pekan.

Berasaskan ketepatan, disiplin proses dan penambahbaikan berterusan, standard ini memastikan setiap Xforce yang dihasilkan mencapai penanda aras kualiti yang sama seperti kenderaan Mitsubishi di seluruh dunia.

Keutamaan kami adalah untuk menyerahkan kenderaan yang memenuhi standard global tertinggi Mitsubishi Motors, memberikan keyakinan, kebolehpercayaan dan rasa bangga kepada pemilik sejak hari pertama.”

 

Sasar serah 800 unit pertama April ini

MMM menyasarkan untuk menyerahkan 800 unit pertama Xforce serba baharu April ini.

Pengeluaran rasmi Xforce dari kilang Pekan ini mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang MMM terhadap pengeluaran tempatan.