Morbidelli NR125X 2026, naked retro 125cc!
Morbidelli memperkenalkan NR125X yang membawa konsep Naked Retro Crossover dan menggabungkan prestasi motosikal naked moden dengan elemen reka bentuk scrambler klasik.
Nama model ini membawa maksud NR untuk Naked Retro manakala X mewakili elemen Crossover.
Bagi tahun model 2026, rangkaian NR125X akan diperluas secara global melibatkan versi 125cc serta varian 200cc baharu yang dikhususkan untuk pasaran Amerika Tengah dan Selatan.
Rekaan Luaran dan Gaya Scrambler NR125X
Walaupun jentera ini tidak menggunakan reka bentuk ekzos tinggi, pengaruh warisan scrambler jelas kelihatan pada beberapa komponen utama NR125X.
Ia dilengkapi lampu hadapan bulat yang disertakan dengan lampu siang DRL, bar pemegang yang tinggi, serta pelana tunggal dengan tekstur beralun.
Penampilan ringkas model retro ini diteruskan pada unit ekor yang minimalis dan penggunaan panel instrumen LCD bulat yang diletakkan secara offset.
Untuk kegunaan pelbagai permukaan jalan, rim aloi 17 inci NR125X dipadankan dengan tayar corak bunga campuran daripada CST yang sesuai untuk tugasan bandar mahupun pengembaraan ringan.
Rangkaian Kuasa NR125X
Morbidelli NR125X dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan konfigurasi DOHC 4 injap dengan sistem penyalaan T.C.I. dan sistem sejukan cecair.
Dari segi output, enjin motosikal ini menghasilkan 14.7 hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 11.5Nm pada 8,000 rpm.
Kuasa dihantar ke roda melalui kotak gear 6 kelajuan yang turut dilengkapi dengan ciri premium klac jenis slipper untuk meningkatkan aspek keselamatan ketika menurunkan gear dengan pantas.
Kerangka Diamond dan Suspensi
NR125X menggunakan kerangka jenis Diamond yang direka untuk kelincahan tunggangan.
Dengan berat hanya 143 dan ketinggian pelana pada paras 795 mm, NR125X menawarkan akses yang mudah untuk pelbagai profil penunggang.
Sistem ampaian pula menggunakan fork teleskopik terbalik 33 mm pada bahagian hadapan dengan jarak gerak 130 mm.
Bahagian belakang NR125X dilengkapi penyerap hentak tunggal Pro-link dengan fungsi larasan prabeban dan jarak gerak 30 mm.
Ciri Keselamatan dan Kelengkapan Moden
Aspek pemberhentian NR125X dikendalikan oleh brek cakera terapung 260 mm dengan angkup 2 omboh di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup 1 omboh di bahagian belakang.
Sistem keselamatan pada NR125X diperkukuhkan lagi dengan penggunaan ABS dua saluran untuk mengelakkan roda terkunci ketika brek kecemasan.
Di antara keunikan utama model ini adalah tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter yang memberikan jarak tunggangan terbaik dalam kelasnya bagi sesaran ini.
Kelengkapan lain pada NR125X seperti lampu LED sepenuhnya, lampu kecemasan serta dua port pengecasan USB jenis A dan jenis C untuk kemudahan peranti pintar.
Spesifikasi Morbidelli NR125X
- Enjin: 125cc, 1 silinder, 4 lejang, 4 injap, DOHC
- Kuasa Maksimum: 14.7 hp pada 9,500 rpm
- Tork Maksimum: 11.5Nm pada 8,000 rpm
- Sistem Penyejukan: Sejukan cecair
- Sistem Bahan Api: EFI Motion
- Klac: Slipper clutch
- Kotak Gear: 6 kelajuan
- Kerangka: Jenis Diamond
- Suspensi Hadapan: Fork teleskopik terbalik 33 mm
- Jarak Gerak Suspensi Hadapan: Jarak gerak 130 mm
- Suspensi Belakang: Penyerap hentak tunggal Pro-link, prabeban boleh laras
- Jarak Gerak Suspensi Belakang: Jarak gerak 30 mm
- Lengan Ayun: Keluli dua sisi
- Brek Hadapan: Cakera terapung 260 mm, angkup 2 omboh
- Brek Belakang: Cakera 220 mm, angkup 1 omboh
- Sistem Keselamatan: ABS dua saluran
- Rim: Aloi aluminium
- Tayar Hadapan: 100/80-17, CST
- Tayar Belakang: 130/70-17, CST
- Ketinggian Pelana: 795 mm
- Kapasiti Tangki: 17.5 liter
- Berat (kerb): 143
- Kelajuan Maksimum: 102 km/j
- Pengecasan: Port USB Jenis A dan Jenis C
BACA: Morbidelli T502XR 2026, kembar T502X dengan ciri berbeza termasuk lebih tinggi





