Honda Malaysia terajui segmen kereta penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut

Honda Malaysia terus menerajui segmen kereta penumpang di Malaysia untuk 12 tahun berturut-turut.

Sepanjang tahun 2025, Honda berjaya menjual sebanyak 72,301 unit kenderaan dengan pegangan pasaran sebanyak 8.8 peratus.

Honda HR-V paling laris

Daripada jumlah tersebut, Honda HR-V merupakan model yang paling laris terjual, mewakili 25 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti model City (24 peratus) dan CR-V (15 peratus).

Honda Malaysia turut mencatatkan sumbangan signifikan daripada jualan varian e:HEV, dengan HR-V dan CR-V menyumbang kepada lebih 30 peratus jumlah jualan kenderaan hibrid.

Narushi Yazaki selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia berkata, “saya ingin menyampaikan penghargaan lepada para pelanggan atas keyakinan berterusan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap jenama Honda.

“Prestasi jualan tahun 2025 mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap hala tuju produk Honda dan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal,” jelasnya lagi.

 

Model hibrid pertama dilancarkan 21 tahun lepas

Beliau menambah, “Ketika kami meraikan 21 tahun (2004–2025) sejak pengenalan teknologi hibrid kami, usaha memperkukuh kehadiran model hibrid dalam segmen utama kekal sebagai keutamaan.

“Dengan mengintegrasikan teknologi hibrid termaju, kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dan memuaskan kepada pelanggan.

“Kami komited untuk memacu pertumbuhan jangka panjang dan menyokong masa depan yang lebih mampan untuk jenama Honda.”

Model hibrid pertama yang diperkenalkan oleh Honda untuk pasaran Malaysia ialah Honda Civic Hybrid pada tahun 2004.

 

Dua pemenang terakhir kempen Because of You diumumkan

Kempen Because of You yang dilancarkan sejak Oktober 2025 bersempena ulang tahun yang ke-25 sudah tiba ke penghujung.

Empat orang pemenang bertuah telah diumumkan tahun lepas, dan hari ini Honda mengumumkan dua pemenang terakhir untuk bulan Disember 2025.

Cheah Wei Kong dari Selangor yang membawa pulang City 1.5L RS setelah membeli sebuah Honda e:N1.

Manakala Muhammad Syabil bin Muzafar dari Perak pula memenangi HR-V 1.5L Turbo V setelah membeli Civic 1.5L Turbo V.