Bertone hidupkan semula konsep berusia 57 tahun, siap lampu pop-up!
Setelah 57 tahun, model konsep Autobianchi A112 Runabout 1969 hasil rekaan lagenda Marcello Gandiri berjaya direalisasikan oleh syarikat reka bentuk automotif dari Itali dalam bentuk Bertone Runabout.
Model ini ditawarkan dalam dua bentuk badan, iaitu barchetta tanpa bumbung, serta versi targa dengan cermin hadapan penuh dan bumbung yang boleh ditanggalkan.
Hanya 25 unit sahaja yang akan diproduksikan, setiap satu berharga dari €390,000 (RM1.8 juta).
Dimensi
Jentera ini mempunyai ukuran sepanjang 3,990 mm dengan tinggi cuma 1,116 mm, lebar sehingga 1,933 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,369 mm.
Besar sedikit sahaja berbanding MX-5 Miata, namun dengan dimensi yang lebih rendah dan lebih lebar.
Jentera ini menggunakan tetapan rim 18 inci di depan dan 19 inci di belakang.
Casis
Runabout menggunakan casis aluminium Lotus yang digandingkan dengan panel badan gentian karbon.
Ia juga hadir dengan tetapan sistem suspensi double wishbone lengkap dengan peredam boleh laras dan bar anti-oleng.
Enjin
Dengan nadi bentangan V6 Toyota 3.5 liter yang dibantu unit pengecas lampau (supercharger), ia berupaya menghasilkan 475 hp dan 470 Nm.
Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan nisbah rapat, membolehkan pecutan sepantas tiga saat (0-100 km/j).
Dengan berat keseluruhan cuma 1,057 kg, Runabout mempunyai nisbah berat-ke-kuasa sekitar 2.45 kg untuk setiap hp!
Gaya retro mirip konsep asal
Runabout sememangnya diinspirasikan daripada model konsep Runabout tahun 1969, dengan bentuk baji yang tajam.
Menariknya, pada konsep asal lampu utama diposisikan pada bahagian belakang.
Tapi untuk model produksi terhad ini, Bertone membuat keputusan untuk menyertakan ciri lampu pop-up yang lebih moden.
Bahagian belakang pula direka lebih ringkas dengan penutup enjin gaya vintaj.
Kabin diinspirasikan daripada maritim
Elemen maritim banyak mempengaruhi ruang kabin Runabout, seperti contoh papan pemuka yang direka sekaan dek, kompas, serta aksen aluminium.
Kelengkapan lain termasuklah roda stereng dua jejari, tombol gear manual dengan rekaan mekanikal terdedah, upholsteri kulit buatan tangan, serta skrin kluster digital.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
























