AFAZ sahkan kehadiran supermoped buatan tempatan, enjin GSX-R150
Ini merupakan satu perkembangan menarik yang datang daripada jenama motosikal nasional kedua, AFAZ.
Hujung minggu lalu, pihak AFAZ mendedahkan beberapa info tentang perkembangan terbaharu sebuah lagi model yang bakal dilancarkan tahun ini, iaitu supermoped 150 cc.
Ya, nampaknya Modenas Z15GT bakal ada pesaing sebenar tak lama lagi!
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

Difahamkan, enjin yang mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 14 Nm @ 9,000 rpm ini akan ditala semula oleh pihak AFAZ.
2. Ketika acara berlangsung, kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar rupa sebenar supermoped tersebut.
Unit prototaip yang dipamerkan selepas itu didapati mengguna pakai komponen daripada Raider 150.
Namun usah risau kerana menurut AFAZ, casis bagi supermoped ini akan dibangunkan serba baharu, dan segala komponen lain turut dibuat sendiri oleh pihak AFAZ.
3. Supermoped AFAZ ini dikategorikan sebagai sebuah model premium yang setanding dengan model Yamaha Y16ZR.
Antara ciri yang boleh kita jangkakan termasuklah skrin paparan TFT dengan sokongan arahan suara, ABS dua-saluran, lampu LED dan ciri yang lebih sesuai untuk sebuah motosikal pantas.
4. Satu lagi benda menarik yang dikongsikan ialah supermoped ini bakal menggunakan sistem auto clutch yang dibangunkan oleh Amitech, sebuah sub-syarikat di bawah AFY Mobilities.
Sistem auto clutch ini akan debut pada model Raider pasaran Vietnam, sebelum ditawarkan pada model supermoped AFAZ ini.
5. Sedang berkira-kira untuk mencari supermoped selain Yamaha, Honda dan Modenas?
Anda boleh menantikan kemunculan model ini tidak lama lagi, jangkaan pelancaran mungkin dalam separuh kedua tahun ini (H2 2026).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

