Ducati Desmo450 MX Factory, senjata motocross ‘race-ready’ dari Borgo Panigale

Ducati Desmo450 MX Factory

Selain motosikal superbike, kembara, retro dan beberapa lagi, Ducati juga sudah melangkah ke segmen motocross melalui Desmo450 MX.

Ducati bukan setakat menjual malah turut terlibat dalam perlumbaan motorcross peringkat antarabangsa.

Terbaru Ducati menggegarkan dunia off-road dengan memperkenalkan Desmo450 MX Factory, versi yang dibangunkan terus untuk perlumbaan dan dipertingkat dengan komponen spesifikasi tinggi.

Setahun selepas kemunculan model standard, varian Factory kini tampil lebih ringan 104 kg (-0.8 kg) dan lebih berkuasa, serta sudah tersedia di pengedar Ducati di EU dan AS.

Pelancaran global dilakukan ketika pusingan pembukaan AMA Supercross di Anaheim, di mana pasukan Troy Lee Designs Red Bull Ducati Factory Racing tampil memperkenalkannya di pentas kejohanan SX Amerika.

Lebih Ringan, Lebih Mantap, Lebih Berdaya Saing

Ducati terus menunjukkan komitmen dalam dunia motocross, selepas kejayaan dalam Itali Prestige MX1 dan podium di MXGP termasuk pencapaian 10 teratas Tony Cairoli dalam Motocross of Nations.

Desmo450 MX Factory ialah langkah baharu Ducati dalam arena lasak, disesuaikan untuk pelumba yang mahu jentera benar-benar sedia untuk perlumbaan.

Model Factory hadir dengan sistem ekzos titanium penuh Akrapovič dengan pemetaan enjin khusus.

Ia bukan sekadar mengurangkan berat sebanyak 1.7 kg, malah meningkatkan tindak balas kuasa dan menghasilkan lengkung tork lebih penuh dari bawah ke tengah.

Suspensi pula dinaik taraf dengan Showa Dark Kashima pada kaki fork dan badan penyerap hentak, serta rawatan TiO + superfinishing untuk rod dan tiub dalaman dan memastikan geseran lebih rendah, operasi lebih lancar dan ketahanan lebih tinggi.

Triple clamp billet Factory menjimatkan hampir 200 gram, diikuti perlindungan cakera depan, skid plate dan rantai RK MXU jenis O-ring seperti jentera lumba kilang.

Sistem holeshot device tersedia standard bagi membantu pelumba mengunci fork depan ketika permulaan, meningkatkan stabiliti keluar dari pintu perlumbaan.

Tambahan pula, modul WiFi membolehkan penunggang menala Mod Tunggangan Modes melalui aplikasi X-Link, termasuk peta pendikit, launch control, brek enjin dan Ducati Traction Control (DTC).

Penampilan juga dipertingkat dengan grafik Ducati Corse 2025, menyerupai jentera rasmi MXGP.

Enjin 450 cc Desmodromic

Desmo450 MX Factory dikuasakan enjin satu silinder 449.6 cc Desmodromic, teknologi sama yang digunakan dalam MotoGP Desmosedici.

Dengan keupayaan rev tinggi, enjin ini memerlukan pertukaran gear lebih minimum dan menawarkan potensi holeshot yang lebih baik.

Model ini menghasil 63.5 hp pada 9,400 rpm dan 53.5 Nm pada 7,500 rpm, dengan had pada 11,900 rpm dan antara tertinggi dalam kelas.

Desmo450 menawarkan lengkung tork sangat kuat seawal 4,200 rpm, memberikan 70% tork maksimum, sekaligus menjadikan kawalan dalam selekoh lebih mudah dan kurang meletihkan.”

Pemasangan ekzos titanium Akrapovič turut meningkatkan kuasa di julat 4,000–7,500 rpm, memberikan pecutan lebih agresif.

Casis Aluminium, Ultra-Ringan dan Optimum Untuk Perlumbaan

Casis Desmo450 MX Factory menggunakan rangka perimeter aluminium yang direka untuk memastikan laluan masuk/keluar udara dioptimumkan sebaik mungkin.

Para jurutera di Borgo Panigale berjaya mereka bentuk rangka dengan berat 8.95 kg, mengurangkan bilangan kimpalan dan mencapai objektif ringan, tahan dan kuat.

Rekaan casis yang kompak memberi ergonomik lebih baik dan memudahkan kerja penyelenggaraan di paddock.

Penyerap hentak Showa dipasang di tengah, berinteraksi dengan lengan ayun aluminium tuang dan linkage aluminium tempa

Suspensi hadapan Showa 49 mm mempunyai gerakan 310 mm, manakala penyerap hentak tunggal belakang menawarkan 301 mm gerakan, kedua-duanya sepenuhnya boleh laras.

Brek pula menggunakan gandingan klasik Ducati-Brembo iaitu angkup dua omboh di depan dan satu omboh di belakang, dengan cakera Galfer 260 mm / 240 mm.

Elektronik Canggih Dalam Segmen

Pengalaman Ducati dalam MotoGP dan WSBK diterjemahkan ke dalam model off-road ini.

DTC pada Desmo450 MX Factory bukan sistem on/off biasa, ia mengesan gelinciran roda belakang dengan lebih tepat, responsif dan tidak mengganggu ketika melompat.

Jika pelumba mahu kuasa penuh di bahagian tertentu, DTC boleh dinyahaktifkan sementara hanya dengan menarik tuil klac dengan ringan. Sistem akan hidup semula beberapa saat kemudian. DTC menawarkan 4 tahap kawalan.

Elektronik standard lain termasuk:

  • Launch Control
  • Kawalan Brek Enjin
  • Penukar Cepat
  • 2 Mod Tunggangan + 2 Mod Kuasa
  • Konfigurasi lengkap melalui aplikasi X-Link

Sela Penyelenggaraan Rendah

Untuk mengurangkan kos penyelenggaraan, Ducati menetapkan penukaran omboh dan pemeriksaan sela injap setiap 45 jam, manakala overhaul penuh enjin setiap 90 jam.

Aksesori Rasmi Ducati Performance

Pelanggan boleh meniru sepenuhnya jentera MXGP Ducati dan kit aksesori Ducati Performance, termasuk rim prestasi, hab bilet, pelana perlumbaan dan angkup brek Brembo Racing. Suspensi Showa factory sahaja yang tidak dijual kepada orang awam.

Untuk melengkapkan gaya kilang, Ducati turut menawarkan koleksi pakaian teknikal Drudi Performance termasuk set perlumbaan Alpinestars, topi keledari Arai, vest angin, jaket softshell dan jaket hujan Spidi.

Ketersediaan

Ducati Desmo450 MX Factory sudah tersedia di pengedar Ducati terpilih di Eropah, dengan penghantaran ke Amerika Utara bermula Januari 2026 dan ke seluruh dunia selepas itu.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved