BMW M3 elektrik bakal tiba dengan bunyi enjin V8 dan V10 tiruan
Demam elektrik melanda seluruh dunia automotif dan BMW M3 yang selama ini dikenali dengan enjin pembakaran dalaman yang garang juga tidak terkecuali.
M3 generasi baharu bakal hadir dengan jantung elektrik, namun peminat sedan sport ini tidak perlu terlalu risau kerana pengeluar dari Jerman itu dikatakan sedang membangunkan bunyi enjin tiruan khas bagi memastikan pengalaman pemanduan kekal mengujakan.

Menariknya, model ini bukan sahaja hadir dengan bunyi tiruan berdasarkan enjin-enjin M3 terdahulu, malah pemandu juga dikatakan boleh memilih bunyi daripada enjin 3.0-liter enam silinder sebaris twin-turbo milik M4 GTS (F82), enjin 4.4-liter V8 NA daripada M3 GTS (E92), serta enjin 5.0-liter V10 daripada M6 (E64).
Semua bunyi ini dirakam menggunakan mikrofon berketepatan tinggi bagi memastikan setiap karakter dan nada asal enjin dapat dikekalkan.

Menurut BMW, matlamat mereka bukan untuk meniru sepenuhnya kereta enjin pembakaran dalaman tetapi untuk memberikan rasa pemanduan yang dramatik dan emosional seperti sebuah kereta M tulen.

Model ini dijangka diperkenalkan secara rasmi pada tahun hadapan. Bagi peminat M3 yang masih menaruh harapan terhadap versi enjin pembakaran dalaman, model M3 ICE dikatakan bakal menyusul sekitar tahun 2028.
Peminat segala jenis kenderaan