Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd telah memulakan eksport ke pasaran ASEAN yang kedua, iaitu Brunei.
Penghantaran pertama ke Brunei terdiri daripada 124 unit, yang merangkumi 120 Jaecoo J7 PHEV dan 4 Jaecoo J7 ICE (versi 2WD).
Semua unit bagi pasaran eksport dikeluarkan di kilang Shah Alam dan berkongsi spesifikasi sama dengan model-model yang ditawarkan di Malaysia.
Semasa merasmikan majlis penghantaran angkatan pertama kenderan untuk dieksport, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo menerangkan, “Pasaran eksport ialah tunggak penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kami di rantau ASEAN.
“Kami sangat teruja untuk meneruskan momentum pertumbuhan untuk meluaskan capaian jenama kami ke lebih banyak pasaran.”
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng, berkata, “Berikutan permulaan eksport ke Vietnam pada Februari 2025, kedudukan dan potensi pasaran Brunei menjadikannya langkah seterusnya yang wajar dan penting.
“Penghantaran pertama kenderaan JAECOO J7 membolehkan kami menilai tahap penerimaan pasaran dan meletakkan batu asas yang kukuh di Brunei,” jelasnya lagi.
